Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Faiz pasrah

Posted: 07 Sep 2014 11:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Esok akan menjadi penentu sama ada khidmat pemain pertahanan negara Faiz Helmi Jali (gambar) dapat digunakan atau sebaliknya pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bermula 19 September ini.

Ini kerana, tonggak utama pertahanan skuad hoki negara itu akan menjalani pemeriksaan kedua kecederaan di bahu kirinya dengan doktor dijangka akan memberi kata putus kepada pemain kelahiran Batu Pahat, Johor itu.


Faiz mengalami kecederaan itu ketika temasya Sukan Komanwel lalu dan ia bertambah buruk selepas dia bertembung dengan rakan sepasukan Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil ketika skuad negara menjalani sesi latihan di Korea Selatan, baru-baru ini.

"Saya masih tak pasti lagi sama ada dapat bermain di Sukan Asia atau tidak dan ia hanya akan diketahui Selasa ini (esok).


"Kalau ikutkan hati, memang saya nak bermain tapi segala-galanya terpulang kepada laporan pemeriksaan dokor dan jurulatih," katanya ketika dihubungi semalam.


Jelas Faiz, jika mengikut kepada pengamatannya, kecederaan yang dialami tidaklah begitu serius, namun dia tetap akan menuruti segala keputusan doktor yang merawatnya.

Foto

Faiz Helmi Jali

"Setakat ini, saya hanya menjalani latihan ringan saja. Kalau tak dapat bermain, mungkin bukan rezeki saya," katanya.


Sabtu lalu, Faiz menjalani ujian imbasan MRI untuk mengenalpasti tahap kecederaannya itu.

Faiz mempunyai rekod cemerlang selaku tonggak pertahanan negara dan sentiasa menjadi pilihan utama jurulatih baik ketika di bawah bimbingan Paul Revington atau Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Takluk Monza

Posted: 07 Sep 2014 11:43 AM PDT

Monza, Itali: Lewis Hamilton berjaya menebus permulaan buruk dengan mencatatkan kemenangan sekali gus mengatasi rakan sepasukan Nico Rosberg pada perlumbaan Grand Prix Itali di Monza semalam.

Pemandu Britain itu bermula di petak depan tetapi merudum ke tangga keempat kerana berdepan masalah perisian dalam jentera Mercedes pada awal perlumbaan.


Bagaimanapun Hamilton berjaya bangkit dan memotong Rosberg selepas dia memberi tekanan kepada pemandu Jerman itu.

Kemenangan satu dua semalam menyaksikan Hamilton berjaya mengurangkan jarak kedudukan pemandu kepada 24 mata berbanding Rosberg yang masih memimpin saingan.


Kedua-duanya mencipta drama pula selepas berakhir perlumbaan itu dengan Rosberg menerima reaksi berbeza daripada penyokong yang membanjiri Litar Monza.


Ketika ditanya adakah hubungan rakan antara mereka berdua kembali pulih, Hamilton menjawab: "Sudah tentu sebab kami adalah rakan sepasukan." Jawapan itu mungkin kurang meyakinkan kerana rakan sepasukan Rosberg merujuk Hamilton menerusi radio pasukan ketika perlumbaan sedang berlangsung sebagai 'kereta satu lagi.' Felipe Massa menduduki tempat ketiga bersama jentera Williams, podium pertamanya tahun ini sementara rakan sepasukan Valtteri Bottas menyambar tempat keempat selepas bermula hambar.

Pemandu Red Bull Daniel Ricciardo mencatat keputusan memberangsangkan apabila menamatkan perlumbaan di tempat kelima mengatasi rakan sepasukan Sebastian Vettel. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Nishikori, Cilic gegar tenis dunia

Posted: 07 Sep 2014 11:40 AM PDT

New York: Pemain tenis Jepun, Kei Nishikori dan Marin Cilic dari Croatia mengejutkan tenis dunia apabila melakukan kejutan besar pada separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat semalam dengan menyingkirkan dua pemain ternama Roger Federer dan Novak Djokovic di Flushing Meadows.

Hari yang luar biasa berlaku selepas kejutan berlaku dalam sejarah Grand Slam, pemain pilihan ke-10, Nishikori mengetepikan Djokovic untuk mara ke perlawanan akhir Terbuka Amerika Syarikat selepas menang 6-4, 1-6, 7-6 (7/4), 6-3 di Stadium Arthur Ashe.


Sebaik saja penonton seakan tidak percaya dengan apa yang mereka saksikan, pemain pilihan ke-14, Cilic pula melakukan kejutan di Pusat Tenis Kebangsaan Amerika Syarikat dengan menewaskan juara Grand Slam sebanyak 17 kali, Federer dalam perlawanan selama satu jam 45 minit.

Tiada siapa mampu meramalkan Cilic, yang terlepas aksi tahun lalu selepas penggantungan doping dan Nishikori, menjadi pemain Asia pertama mara ke perlawanan akhir Grand Slam.


Perlawanan akhir Grand Slam hari ini tanpa Rafael Nadal, Federer atau Djokovic sejak Terbuka Australia 2005 ketika Marat Safin mengalahkan Lleyton Hewitt.


"Saya rasa ia akan berlangsung menarik selepas melihat pemain yang berbeza beraksi.

"Pada masa yang sama, peminat tetap menikmati perlawanan itu berbanding menyaksikan saingan antara pemain utama.


"Bagaimanapun, saya rasa ia mungkin sesuatu yang menyegarkan untuk beberapa sebab. Ia sangat penting buat Croatia dan Jepun, terutama dari sudut sukan dan tenis," kata Federer selepas ditanya mengenai perlawanan akhir Nishikori-Cilic. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Tekad lonjak United

Posted: 07 Sep 2014 11:31 AM PDT

Miami, AS: Radamel Falcao menegaskan dia mahu menyumbang "gol dan kejayaan" bersama Manchester United.

Penyerang Colombia itu, pemain yang dipinjam United pada hari akhir perpindahan dengan harga £6 juta (RM31 juta), hampir menjaringkan gol penyamaan pada lewat perlawanan ketika tampil menentang Brazil, namun gagal menghalang negaranya tewas 0-1 dalam aksi persahabatan kelmarin.


"Bagi saya, ia amat hebat. Saya sangat gembira. Saya harap dapat memberikan yang terbaik kepada pasukan dan membantu untuk menjaringkan banyak gol dan kejayaan.

"Saya mengharungi minggu ini dengan gigih. Minggu ini bukanlah selesa untuk bekerja, dengan segala perubahan namun saya perlu mengharunginya seperti seorang kanak-kanak. Saya perlu mempunyai perasaan yang sama ketika kali pertama mewakili skuad kebangsaan. Ia sangat menarik dan istimewa serta gembira dapat kembali.


"Saya berada dalam keadaan yang sangat baik untuk menyertai kelab dan berharap mampu beraksi minggu depan. Saya ke Manchester dengan harapan tinggi untuk cuba memenangi tempat dalam kesebelasan utama dan kembali beraksi untuk Colombia. Adalah lebih baik tidak terlalu memikirkannya dan membiarkan ia berlaku secara semula jadi." Falcao hampir menjaringkan gol apabila dia melonjak untuk menyambut hantaran Adrian Ramos, namun tandukannya terkena palang.


Ia penampilan pertamanya bersama negaranya sejak tersisih ke Piala Dunia kerana kecederaan lutut yang serius, Falcao hadir sebagai pemain gantian pada minit ke-78 di Stadium Sun Life.

Foto

Radamel Falcao

Kehadirannya dalam tempoh yang terhad mungkin mengecewakan penyokong Colombia di selatan Florida, penyokong United akan berharap aset terbaru mereka disimpan bagi perlawanan seterusnya.


Tidak terjejas dan kelihatan tajam selepas lapan bulan tersisih, Falcao akan kembali dalam masa terdekat ke England untuk menjalani latihan bersama rakan pasukan baru dengan berpotensi tampil buat kali pertama menentang Queens Park Rangers di Old Trafford hujung minggu ini. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Poket Chelsea makin kempis

Posted: 07 Sep 2014 11:30 AM PDT

London: Tugas Jose Mourinho pada jendela perpindahan musim panas dipuji sebagai satu kejayaan dengan Chelsea meraih keuntungan apabila membawa masuk pemain seperti Diego Costa dan Cesc Fabregas.

Namun, bos Chelsea itu berkata, pada musim panas akan datang, ia tidak akan sama dengan Blues tidak lagi mampu berbelanja ratusan juta terhadap pemain bintang seperti pada peringkat awal di bawah pemilikan Roman Abramovich.


Mourinho mengakui peraturan kewangan Fair Play akan menyekat Chelsea daripada berbelanja besar dan berkata, mereka tidak akan mampu menandingi yuran £60 juta (RM311.8 juta) yang dibayar Manchester United terhadap Angel Di Maria, sekali gus memecahkan rekod perpindahan Fernando Torres £50 juta (RM259.8 juta) pada Januari 2011.

"Kami meraih duit untuk membolehkan ia dibelanjakan. Pada setiap jendela perpindahan, Chelsea kehilangan pemain, menjual pemain," kata Mourinho.


Mourinho tidak mempunyai masalah dengan potongan perbelanjaannya selepas turut mendapat peruntukan yang terhad di Porto.


"Chelsea ketika ini tidak berbelanja besar. Chelsea ketika ini meraih lebih duit dengan perpindahan berbanding duit yang kami belanjakan.

"Jadi Real Madrid, Barcelona, Bayern dan Manchester United, saya fikir mereka mempunyai kelebihan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Three Lions pincang

Posted: 07 Sep 2014 11:29 AM PDT

London: Selepas ketiadaan Daniel Sturridge serta dikritik hebat media, England memulakan kempen kelayakan Euro 2016 menentang pencabar utama Kumpulan E Switzerland di gelanggang lawan.

England kembali selepas aksi buruk tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia dengan kemenangan tipis 1-0 pada perlawanan persahabatan menentang Norway Khamis lalu dan meskipun menang kemampuan mereka tetap diragui.


Rekod kehadiran penonton 40,181 yang sedikit di stadium baru Wembley pada perlawanan itu turut diburukkan dengan ketiadaan Sturridge yang terpaksa digugurkan daripada kunjungan ke Basel akibat kecederaan.

Format baru Kejohanan Euro menyaksikan England masih boleh layak jika menamatkan kempen di belakang Switzerland dalam kumpulan itu namun kekalahan di St Jakob's Park bakal memberikan lebih tekanan kepada pengurus Roy Hodgson.


Perlawanan awal pagi esok pasti mengimbas kembali memori kejayaan pengurus berusia 67 tahun itu yang membimbing Switzerland ke Piala Dunia buat kali pertama dalam 28 tahun di Amerika Syarikat pada 1994.


Bagaimanapun bekas pengurus Liverpool itu tiada masa untuk berehat apabila gagal mengawal perasaan marah dan memarahi wartawan pada sidang media selepas perlawanan dengan Norway.

Pemain tengah Jack Wilshere menerima hakikat persembahan pada perlawanan itu tidak seperti yang diharapkan namun percaya aksi lebih baik menentang Switzerland kendalian Vladimir Petkovic akan menceriakan mereka.


"Beraksi menentang Switzerland pasti sukar, namun jika kami beraksi dengan baik dan mendapat keputusan yang diharapkan sudah pasti penyokong akan kembali menyokong kami," kata pemain tengah Arsenal itu.

Wilshere juga berharap semua pihak melihat kepada sudut lebih realistik mengenai aksi England di Piala Dunia Brazil apabila skuad bimbingan Hodgson tersingkir tanpa sebarang kemenangan.


"Jika semua pihak menganalisis persembahan itu, mereka tidak akan terlalu keras mengkritik. Kami cuma melakukan sedikit kesilapan individu dan kurang fokus namun itulah keputusan yang anda akan dapat apabila beraksi di peringkat itu," katanya.


"Tapi apabila anda melihat semula kepada perlawanan itu, banyak aspek positif yang tidak diberikan pujian." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Peluang La Roja kenduri gol

Posted: 07 Sep 2014 11:29 AM PDT

Valencia, Sepanyol: Sepanyol berpeluang mengembalikan semula rentak selepas gagal mempertahankan Piala Dunia apabila turun menentang pasukan kurang ternama Macedonia di stadium kecil Levante berkapasiti 26,000, awal pagi esok.

Bagaimanapun beberapa siri kecederaan dialami pemain utama menyebabkan jurulatih Vicente del Bosque perlu mencari penyerang berbisa bagi membangkitkan semula pasukan itu dalam memburu kejuaraan Eropah kali ketiga berturut-turut.


Penyerang Chelsea, Diego Costa terpaksa diketepikan selepas mengalami kecederaan hamstring ketika tewas 0-1 kepada Perancis Khamis lalu sekali gus menyaksikan pemain Valencia, Paco Alcacer yang membuat penampilan pertama di Paris sebagai pemain gantian pada babak kedua menjadi penyerang tunggal bersama pasukan.

Masalah menjaringkan gol sememangnya sudah biasa bagi Sepanyol kebelakangan ini apabila mereka gagal menjaringkan gol dalam permainan terbuka sebelum tersingkir di Brazil dengan hanya meledak 14 gol dalam lapan perlawanan di pusingan kelayakan Piala Dunia.


Ketiadaan Andres Iniesta yang mengalami kecederaan ditambah pula dengan persaraan Xavi Hernandez dan Xabi Alonso di pentas antarabangsa pasti memberi kesan kepada gaya permainan tiki-taka La Roja yang menyumbang kepada tiga kejuaraan antarabangsa berturut-turut sebelum ini.


Bagaimanapun pemain tengah Manchester City David Silva menegaskan gaya permainan itu perlu dikekalkan meskipun terpaksa melakukan rombakan pemain.

"Ramai pemain baru dan kami perlu membentuk persefahaman kerana inilah cara untuk kami bergerak ke depan.


"Kami mencipta banyak kemenangan dengan menggunakan cara permainan ini. Cesc (Fabregas), Andres, saya sendiri serta ramai lagi pemain sudah biasa dengan permainan ini dan saya fikir kami perlu meneruskannya." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Bale optimis Wales mampu menyerlah

Posted: 07 Sep 2014 11:28 AM PDT

Cardiff: Gareth Bale percaya dia masih boleh berjaya walaupun akan menempuh situasi sama seperti Ryan Giggs, Mark Hughes dan Ian Rush yang gagal dan membantu Wales mara ke kejohanan utama buat pertama kali dalam tempoh 50 tahun.

Negara yang mempunyai penduduk tiga juta orang itu sudah melahirkan ramai bintang ternama, tetapi sejak Piala Dunia 1958 Wales sering kali terlepas beraksi di kejohanan itu.


Bale yang menjadi pemain bola sepak termahal dunia apabila menyertai Real Madrid dari Tottenham Hotspur setahun yang lalu dengan nilai 100 juta euro (RM412 juta) percaya Euro 2016 di Perancis akan menamatkan penantian itu.

Euro 2016 kali pertama dianjurkan dengan 24 negara (meningkat dari 16 negara) sekali gus memberikan Bale dan Wales peluang terbaik untuk berentap dengan pasukan handalan Eropah.


"Ia akan menjadi lebih menarik, kami rasa boleh mempersiapkan pasukan terbaik dan berasa sangat yakin.


"Banyak pasukan akan layak kali ini dan ia menambahkan lagi keyakinan saya," kata Bale.

Wales akan memulakan kempen kelayakan untuk kejohanan 2016 itu dengan beraksi menentang Andorra awal pagi Rabu ini di gelanggang lawan.


Mereka berada dalam Kumpulan B selain Belgium, Bosnia, Cyprus dan Israel. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

Intai 10 terbaik

Posted: 07 Sep 2014 11:28 AM PDT

Kuantan: Kelab Basikal Galing (GCC) (gambar) menyasarkan tempat 10 terbaik dalam Kategori Master Jamboree pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Temerloh, 27 September ini sekali gus menebus kekecewaan tahun lalu.

Pada kejohanan sama di Marang, Terengganu, Oktober lalu, wakil GCC hanya tercicir satu tempat untuk menduduki kelompok 10 terbaik dalam kategori itu namun nekad untuk menebus kekecewaan itu pada penyertaan kali ini.


Presiden GCC Azli Baderin berkata, penganjuran Harian Metro MTB di Temerloh hujung bulan ini sememangnya dinantikan ramai peminat sukan basikal lasak di negeri itu termasuk GCC yang sentiasa menyokong program berkaitan basikal.

"Selain dapat bersaing antara satu sama lain dan merebut hadiah, kejohanan itu turut menjadi tempat buat peminat sukan berbasikal terutamanya mountain bike berkumpul dan saling bertukar pandangan," katanya semalam.


Azli berkata, GCC ditubuhkan kira-kira dua tahun lalu dan disertai lebih 100 pegawai kanan dan anggota pangkat rendah Pasukan Gerakan Am (PGA) di negeri itu, Terengganu dan Kelantan.


"Penubuhan GCC cetusan idea Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Azizan Abu Taat yang menyokong aktiviti berbasikal sebagai gaya hidup sihat sekali gus menggalakkan anggota dan pegawai menyertai kelab ini.

"Antara usaha kami untuk menggalakkan lebih ramai pegawai dan anggota serta ahli keluarga mereka meminati sukan berbasikal ini, sebuah rumah kelab ditubuhkan serta memberikan perkhidmatan penggunaan basikal secara percuma di Kem PGA Galing."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

RRR kibar cabaran

Posted: 07 Sep 2014 11:27 AM PDT

Kuantan: Biarpun Rock n Roll Riders (RRR) dari Kuantan tidak setanding kelab berbasikal yang lebih hebat dan profesional, ia tidak menghalang mereka untuk turut serta pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Temerloh pada 27 September ini.

Jurucakap RRR Mohd Zahid Mohd Tahir berkata, dengan hanya mempunyai 10 pelumba, mereka berusaha untuk memberikan saingan jika berkesempatan memeriahkan kejohanan itu.


Katanya, setakat ini semua pelumba hanya berkayuh pada hujung minggu dan ketika masa terluang untuk meningkatkan kecergasan serta bersedia apabila ada pihak yang menganjurkan kejohanan.

"Kami percaya dengan pembabitan ramai pelumba berpengalaman akan membantu meningkatkan moral terutama dari segi memantapkan diri terutama teknik kayuhan," katanya semalam.


Beliau berkata, RRR mengalu-alukan pemilihan Temerloh sebagai lokasi kejohanan dan kehadiran ramai pelumba sudah pasti menarik lebih ramai pelumba baru terutama golongan remaja yang kurang berminat dalam sukan berbasikal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/08

No comments:

Post a Comment