Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Cabaran lebih getir

Posted: 08 Sep 2014 12:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Sukan Asia 2014 Incheon adalah pentas berbeza buat pasangan beregu wanita negara, Vivian Hoo-Woon Khe Wei walaupun meraih emas Sukan SEA 2013 Myanmar dan terbaru Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Ia diakui sendiri jurulatih Rosman Razak kerana lawan yang bakal dihadapi itu berbeza dengan dua temasya sebelum ini.


"Bagaimanapun, saya tetap mengharapkan mereka melakukan kejutan di sana, secara realistik kalau sudah memasuki separuh akhir ia boleh dianggap pencapaian cemerlang," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Vivian-Khe Wei berjaya meraih emas di Glasgow selepas menumpaskan pasangan India, Jwala Gutta-Ashwini Ponnappa.


"Kita menjangkakan mereka juga akan berdepan pasangan hebat di pusingan kedua dan ketiga, jadi untuk ke separuh akhir mereka perlu melakukan kejutan terlebih dulu.


"Sekarang ini mereka tetap positif dan berada di landasan betul, semua mesti ada perancangan, jadi tidak ada apa yang merisaukan saya," katanya.

Foto

VIVIAN (kanan) dan Khe Wei raih emas di Glasgow.

Ditanya mengenai kekurangan perlu digilap, Rosman berkata, anak buahnya itu kurang konsisten terutama dalam pertarungan rali yang lama.


"Mereka perlu masa, perkara ini tidak boleh terlalu gopoh untuk diselesaikan, banyak faktor perlu diperbetulkan," katanya.

Selain Vivian-Khe Wei, turut beraksi dalam acara beregu wanita di Incheon nanti adalah ketua pasukan Piala Uber 2014 New Delhi, Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.


Dua lagi pemain beregu wanita, Ng Hui Lin dan Lim Yin Loo pula akan beraksi dalam acara beregu campuran bersama, Chan Peng Soon dan Lim Khim Wah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Serena belum puas!

Posted: 08 Sep 2014 11:55 AM PDT

New York: Serena Williams percaya memenangi kejuaraan Grand Slam ke-18 lebih bermakna berbanding kejuaraan keenam Terbuka Amerika Syarikat yang dirangkulnya semalam dan berazam untuk terus menokok koleksi kejuaraan utamanya.

Pemain nombor satu dunia itu mengatasi rakan karib Caroline Wozniacki 6-3, 6-3 pada perlawanan akhir sekali gus menyertai Chris Evert sebagai juara enam kali di New York.


Kemenangan itu turut menyamakannya dengan Chris dan Martina Navratilova dengan 18 kejuaraan utama.

"Mungkin kejuaraan ke-18 lebih penting kerana saya menyertai Chrissy dan Martina. Terlalu banyak halangan sebelum mendapat angka 18, ia membelenggu saya dalam tempoh yang lama dan akhirnya saya memenanginya juga," jelas Serena sambil menangis.


"Saya tidak pernah memikirkan saya, Serena Williams berada dalam kelompok itu. Siapa saya? Saya tidak pernah menyangka anda akan menyebut nama saya dalam kalangan pemain hebat dan legenda. Saya hanya seorang budak kecil dengan satu impian dan sebuah raket. Tinggal di Compton." Bintang Amerika itu kini mengumpul 63 kejuaraan jelajah manakala hadiah kemenangannya pada Terbuka AS membolehkannya meraih AS$63 juta (RM200 juta) setakat ini.


Namun selepas tiga jam meraih kejuaraan utama terbarunya, kejuaraan keenam di New York selain lima di Wimbledon, lima di Australia dan dua Terbuka Perancis, dia sudah mula bercadang memburu kejuaraan ke-19 di Melbourne.

Ia pasti meletakkannya hampir tiga kejuaraan berbanding 22 milik Steffi Graf selain rekod sepanjang zaman Margaret Court dengan 24 kejuaraan.


"Saya sudah mula memikirkan mengenai nombor 19. Saya mahu terus meningkat dan bekerja keras untuk melakukan yang terbaik." Serena memenangi kejuaraan sulung Terbuka AS pada 1999 ketika berusia 17 tahun dan menokok kejuaraan lagi pada 2002, 2008, 2012 dan 2013. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Horschel ketepi Garcia, Watson juara Kejohanan BMW

Posted: 08 Sep 2014 11:54 AM PDT

Colorado, AS: Pemain Amerika Syarikat, Billy Horschel menangani cabaran saat akhir daripada Sergio Garcia dan Bubba Watson sebelum menjuarai Kejohanan BMW semalam sekali gus berpeluang cerah memenangi play-off PGA AS.

Enam hari selepas mensia-siakan peluang menang di Boston apabila pukulannya tersasar ke rough pada lubang terakhir, Horschel tenang menuju lubang penamat ketika pencabarnya merudum untuk memenangi hadiah utama AS$1.4 juta (RM4.4 juta).


"Saya berasa amat bagus. Ia terlalu bermakna," jelas Horschel. "Kemenangan ini terlalu menyeronokkan." Horschel mencatat satu bawah par 69 untuk berakhir dengan 14 bawah par 266 dan mengalahkan juara Masters AS, Watson dengan dua pukulan di Cherry Hills Village di Colorado.

Ia kemenangan keduanya dalam PGA selepas kejuaraan sulung di New Orleans tahun lalu.


"Minggu lalu saya melakukan hayunan buruk pada saat memerlukan saya bertindak baik. Saya tidak tertekan kerana saya hadir dari belakang.


"Ia terlalu bermakna saya menang kali ini." Horschel melakukan par sepanjang sembilan lubang terakhir termasuk tolakan par penting dari jarak tujuh kaki pada lubang ke-15 dan dari jarak lapan kaki pada lubang ke-16. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Mueller penyelamat

Posted: 08 Sep 2014 11:53 AM PDT

Dortmund, Jerman: Juara dunia Jerman memulakan kempen kelayakan Euro 2016 dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Scotland di Dortmund, awal pagi semalam.

Jerman tumpas 2-4 di tangan Argentina pada perlawanan persahabatan minggu lalu namun gol pada setiap babak menerusi penyerang Bayern Munich, Thomas Mueller memastikan mereka memenangi perlawanan kompetitif pertama sejak Piala Dunia.


Scotland mempamerkan permainan bersemangat dan pendekatan positif mereka pada babak kedua berhasil apabila pemain sayap Ikechi Anya meluru untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-66.

Namun pelawat gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya ekoran sepakan sudut empat minit kemudian dan Mueller mengambil kesempatan itu untuk menyumbat gol ke-24 pada peringkat antarabangsa.


Gol kemenangan Mueller menafikan Scotland kendalian Gordon Strachan mata berharga dalam kumpulan yang turut dihuni Republik Ireland, Poland, Georgia dan Gibraltar.


"Ketika kedudukan 1-1, saya yakin kami boleh menang perlawanan ini," jelas Strachan.

"Saya sudah saksikan pemain beraksi pada tahap itu tanpa sebarang ketakutan.


"Lebih lama perlawanan berlangsung, lebih banyak ancaman kami lakukan. Kami patut berbangga. Apa yang kami perlu lakukan adalah kerja keras bagi 20 minit pertama. Atasi masalah itu dan kami pasti lebih bagus," kata Strachan.

"Saya puas hati dengan tiga mata. Amat penting memulakan kempen dengan kemenangan," ujar jurulatih Jerman, Joachim Loew, ketika pasukannya tidak kalah dalam 33 perlawanan kelayakan Euro atau Piala Dunia.


Scotland menamatkan saingan dengan 10 pemain apabila Charlie Mulgrew menerima dua kad kuning pada masa kecederaan. Pertama terjahan ke atas Marco Reus sekali gus mencetus kebimbangan kecederaan buat pemain Borussia Dortmund itu.


"Mereka bermain dengan amat tersusun. Kami terlepas satu atau dua peluang jika tidak keputusan mungkin berbeza," kata Mueller. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Voli Balaj aibkan Bento

Posted: 08 Sep 2014 11:45 AM PDT

Lisbon: Albania mencetus satu daripada keputusan mengaibkan buat Portugal pada perlawanan antarabangsa apabila sepakan voli menakjubkan Bekim Balaj membolehkan pasukan kerdil itu menang 1-0 pada perlawanan sulung kelayakan Euro 2016 di laman lawan, awal pagi semalam.

Kekalahan itu, pertama buat Portugal di gelanggang sendiri pada perlawanan kompetitif antarabangsa sejak kecundang kepada Denmark enam tahun lalu, tidak menyenangkan jurulatih Paulo Bento yang terselamat daripada jawatannya berikutan persembahan hambar pada Piala Dunia apabila mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.


Portugal, yang terlepas aksi kapten Cristiano Ronaldo yang kurang cergas bagi perlawanan Kumpulan I itu, sekali lagi kurang menyengat di jentera serangan dan menjadi bukti mereka terlalu bergantung kepada penyerang Real Madrid itu.

Albania, yang tidak pernah layak ke kejohanan utama, bertahan dengan lima pemain pertahanan dan empat pemain tengah. Ia menyukarkan Portugal untuk memecah benteng mereka.


Albania menyumbat gol menerusi satu-satunya percubaan tepat mereka pada minit ke-52 apabila Odise Roshi melakukan hantaran silang dekat penjuru padang ke tengah kawasan penalti.


Balaj menyambut hantaran itu dan penyerang Slavia Prague berusia 23 tahun itu bertindak cemerlang menyepak masuk melepasi Rui Patricio.

"Tiada perlawanan mudah, sama ada Albania atau pasukan lain," jelas pemain tengah Joao Moutinho.


"Kami perlu bertindak lebih baik, tiada alasan mengenainya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Advocaat puas sekadar seri

Posted: 08 Sep 2014 11:45 AM PDT

Belgrade: Perlawanan pertama Dick Advocaat sebagai jurulatih Serbia berakhir dengan seri 1-1 menentang tuan rumah Euro 2016 Perancis pada perlawanan persahabatan, awal pagi semalam.

Perancis mendahului pada minit ke-13 menerusi Paul Pogba namun terpaksa berpuas hati dengan seri selepas pertahanan Manchester City, Aleksandar Kolarov menyamakan kedudukan 10 minit sebelum tamat.


"Semuanya boleh dipertingkatkan lagi, tapi bagi perlawanan pertama... saya fikir ia OK," jelas Advocaat. "Saya fikir di sebalik beberapa peluang dicipta Perancis, kami bermain dengan amat tersusun.

"Kami masih melakukan eksperimen dalam pasukan, tapi keputusan seri 1-1 sesuatu yang bagus menentang pasukan seperti Perancis," katanya.


Pengurus Perancis, Didier Deschamps menyifatkan pasukannya sepatutnya bermain lebih bagus.


"Sasaran kami adalah menang. Mulanya kami menang tapi akhirnya hanya seri," ujarnya.

Pogba meletakkan Perancis di depan berikutan kesilapan pertahanan membolehkannya merembat masuk hasil sepakan penjuru Remy Cabella sebelum Kolarov menyamakan kedudukan menerusi sepakan percuma. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Sterling persis Overmars

Posted: 08 Sep 2014 11:35 AM PDT

Basel, Switzerland: Kapten England, Wayne Rooney menyamakan rakan sepasukannya Raheem Sterling dengan bekas pemain sayap Arsenal, Marc Overmars dan meramalkan masa depan yang cerah buatnya di kelab dan antarabangsa.

Sterling, 19, tampil mencuri tumpuan bersama Liverpool musim lalu dan antara muka baru yang mendapat pujian ketika persembahan hambar dipamerkan England pada Piala Dunia Brazil apabila mereka tersingkir pada peringkat kumpulan.


Rooney mendedahkan dia sudah menyatakan perkara itu sebelum Piala Dunia mengenai persamaannya dengan Overmars.

"Saya berbicara dengannya sebelum Piala Dunia dan menunjukkan rakaman video Marc Overmars. Dia mengingatkan saya mengenainya. Saya fikir potensi yang bagus untuknya," kata penyerang Manchester United itu.


"Dia pemain yang hebat. Anda boleh lihatnya musim lalu dan permulaan musim ini.


"Dia pemain luar biasa. Dia boleh bermain di bahagian serangan dan sebelah sayap. Dia turut kuat walaupun tubuhnya kecil.

"Dia masih muda, namun potensi yang ditunjukkannya menakjubkan. Dia pemain yang penting untuk kami (England) dalam tempoh 10-15 tahun akan datang dan untuk Liverpool!" Pemain yang pantas, kelebihan kaki kanan di posisi sayap kiri, Overmars mewakili Belanda sebanyak 86 kali dan muncul bintang di Arsenal yang meraih gelaran Liga Perdana dan Piala FA pada 1998. Dia kini pengarah bola sepak di Ajax.


Sterling adalah pemain yang menyerlah ketika aksi persahabatan menentang Norway minggu lalu apabila berjaya mencipta penalti pada separuh masa kedua dengan Rooney menjaringkan gol tunggal perlawanan selain memberikan kesukaran berterusan kepada benteng pertahanan Norway. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

Remy tekad menyinar di Chelsea

Posted: 08 Sep 2014 11:34 AM PDT

London: Loic Remy mulanya bersedia untuk kekal bersama Queens Park Rangers, namun tidak teragak-agak untuk menyertai Chelsea sebaik saja mendapat peluang.

Pemain kebangsaan Perancis itu melengkapkan perpindahan ke Chelsea sebelum jendela perpindahan tutup selepas perjanjian dengan Liverpool gagal pada awal musim panas ini.


Remy menyertai QPR dari Marseille pada Januari 2013 sebelum menghabiskan tempoh semusim sebagai pemain pinjaman di Newcastle United, sedar dia tidak akan menjadi penyerang pilihan utama di Stamford Bridge.

Bagaimanapun, pemain berusia 27 tahun itu akan memanfaatkan peluang beraksi bersama pendahulu awal Liga Perdana itu dan percaya perpindahannya ke Chelsea adalah reaksi balas terbaik terhadap pengkritiknya.


"Berada di Chelsea adalah reaksi balas terbaik terhadap kritikan yang diterima," kata Remy.


"Ramai menganggap saya gagal menyerlah apabila menyertai QPR, namun lihatlah saya sekarang.

"Saya sentiasa cuba membuat keputusan yang terbaik dalam karier saya. Saya sudah tidak mempunyai masalah dan ia bukan bergantung kepada tuah, namun kerja keras.


"Kekuatan saya adalah menyedari arah tuju dan melakukan usaha ke arahnya.

"Apabila peluang terhidang untuk menyertai kelab seperti Chelsea, anda tidak boleh menolaknya." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

KKTM sahut cabaran

Posted: 08 Sep 2014 11:34 AM PDT

Kuantan: Bagi menyahut cabaran, seramai 10 pelumba mewakili Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan Cycling Team mengesahkan penyertaan Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 yang diadakan di Temerloh pada 27 September ini.

Ketua pasukan, Jaharudin Mohd Alwi berkata, dengan pengalaman berkayuh di beberapa kejohanan termasuk Kuala Lumpur, Perak dan sekitar Pahang, kejayaan dijangka diraih ahli KKTM Kuantan.


Katanya, biarpun masih baru dalam sukan lasak itu kerana baru ditubuhkan pada Mac lalu, tiada yang mustahil untuk mencapai kejayaan jika mempamerkan semangat juang tinggi.

"Keyakinan itu berdasarkan sesi latihan diadakan setiap hari terutama pada cuti hujung minggu di trek utama iaitu di Teluk Chempedak dan Jalan Kuantan-Pekan.


"Setakat ini, kami amat berpuas hati dan bagi menyahut cabaran KKTM Kuantan mendaftar awal untuk bersama memeriahkan kejohanan ini," katanya.


Beliau berkata, menyedari peserta terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan profesional, pasukannya akan melakukan yang terbaik untuk mengharumkan nama KKTM Kuantan Cycling Team.

Menurutnya, pengalaman berkayuh dalam beberapa kejohanan diharap mematangkan peserta terutama meraih kedudukan terbaik.


"Segalanya akan dapat disaksikan pada 27 September ini dan sudah pasti kehadiran 1,000 peserta meningkatkan motivasi buat kami sebagai peserta baru," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

MTB mampu capai sasaran 1,000 peserta

Posted: 08 Sep 2014 11:33 AM PDT

Kuantan: Sasaran 1,000 peminat sukan basikal lasak dari seluruh negara menyertai Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti Malaysia 2014 dijangka tercapai.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan Malaysia Pahang, Edros Yahaya berkata, dengan promosi besar-besaran, sasaran itu akan menjadi kenyataan bagi memeriahkan Temerloh sebagai lokasi kedua kejohanan berkenaan.


Katanya, penyertaan peserta bukan saja bertumpu di Pahang, malah Kelantan, Terengganu, Johor dan Negeri Sembilan yang dijangka mendaftar pada kejohanan 27 September ini.

"Bagi Pahang sendiri, sebahagian besar daerah seperti Temerloh, Jerantut, Raub, Pekan, Rompin, Maran, Kuantan dan Lipis mempunyai kelab berbasikal yang aktif dalam sukan lasak ini.


"Sudah pasti kelab itu akan menghantar peserta untuk memeriahkan kejohanan kali pertama di Temerloh iniyang terkenal dengan ikan patin," katanya semalam.


Edros berkata, pemilihan Temerloh sebagai lokasi kedua selepas Kuala Kangsar, Perak bagi mempromosikan daerah itu sebagai bandar ikan pantin dan lokasi pelancongan amat bertepatan.

Menurutnya, kewujudan Kuala Gandah di Lanchang yang terkenal dengan gajah dan titik tengah Semenanjung diharap menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara.


"Dengan penganjuran ini kita percaya destinasi pelancongan yang ada di Temerloh menjadi pilihan untuk mereka yang gemar melancong," katanya.

Pada kejohanan itu nanti, empat kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori Junior (Terbuka Lelaki bawah 23 tahun), Kategori Elit (Terbuka Lelaki 24 hingga 39 tahun), Kategori Master (Terbuka Lelaki 40 tahun ke atas) serta Kategori Terbuka wanita (tanpa had umur).


Kejohanan Harian Metro MTB yang dijadualkan bermula di perkarangan Stadium Temerloh dengan trek sepanjang kira-kira 40 kilometer termasuk melalui beberapa kampung tradisional bakal mencabar stamina peserta.


Antara kampung terbabit dengan laluan trek adalah Kampung Kujan, Belengu, Tanjung Belengu, Lebak, Baru Lebak dan Pangsenam selain laluan ladang sawit membabitkan Ladang FELCRA, Karman Mengkarak dan Era Jaya Plantations Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/09

No comments:

Post a Comment