Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Maafkan saya'

Posted: 01 Sep 2014 10:07 AM PDT

Kuala Lumpur: Taktik permainan agresif Chen Long adalah sebab utama mengapa Datuk Lee Chong Wei gagal untuk memenangi perlawanan akhir Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen kelmarin.

Ia diakui sendiri Chong Wei yang sedaya upaya untuk menyekat permainan agresif lawannya dari China itu tetapi tidak menjadi malah dia pula yang terperangkap dengan melakukan kesilapan demi kesilapan.

"Saya cuba untuk mengelak daripada melakukan kesilapan tapi ia tetap berlaku, dia (Chen Long) pula berjaya mengambil setiap pukulan saya dengan baik sekali," katanya selepas perlawanan kelmarin.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Ballerup Super Arena itu, Chong Wei yang juga pemain nombor satu dunia tewas straight set 19-21, 19-21.

Foto

CHONG Wei gagal kali ketiga untuk muncul juara dunia.


Ia adalah cubaan kali ketiga pemain berusia 31 tahun itu untuk muncul juara Kejohanan Dunia buat kali pertama selepas gagal dalam dua aksi sebelum ini pada 2011 dan tahun lalu, yang mana kedua-duanya menyaksikan dia tewas kepada seteru utama, Lin Dan.


Ini adalah peluang terbaik buatnya merangkul kejuaraan itu, selepas Lin Dan gagal melayakkan diri namun harapannya hancur berkecai.

Selepas perlawanan semalam, Chong Wei meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana bukan saja gagal meraih kejuaraan tetapi tidak kesampaian menghadiahkan keme nangan sebagai hadiah Hari Kemerdekaan kali ke-57 negara.

"Saya juga terlampau berhati-hati pada set pertama dan selepas ketinggalan jauh tekanan mula menghantui saya," kata pemain nombor satu dunia itu.

Kemenangan Chen Long itu menyaksikan dia berjaya mengikat rekod pertembungan peribadi 9-9 ketika bertemu sesama sendiri sebanyak 18 kali.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Cari pengganti Chong Wei segera

Posted: 01 Sep 2014 09:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi isyarat kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya segera mengetengahkan pemain pelapis dalam usaha mencari pengganti Datuk Lee Chong Wei.

Khairy mengakui beberapa kali berjumpa dengan pengurusan BAM dan sentiasa membincangkan mengenai masalah perseorangan lelaki negara.

"Kita sedar usaha dilakukan untuk mencari pemain baru terutama perseorangan lelaki, selepas beberapa pengalaman sebelum ini (perseorangan lelaki kecundang)," katanya.

Jelasnya, BAM hanya mengharapkan Chong Wei Feng dan Liew Daren saja selain Chong Wei.


"Wei Feng masih lagi dalam program, Daren pula BAM akan kaji semula khidmatnya. Jadi saya meminta supaya mereka memberi peluang kepada lapisan kedua (pelapis) untuk tampil ke depan.


"Beberapa pemain beraksi dengan baik di peringkat remaja seperti Zulfadli Zulkiffli dan Misbun Ramdan Misbun," katanya.

Khairy juga menggesa BAM supaya melihat bagaimana latihan yang berkesan untuk melatih pemain itu.

"Chong Wei memang tidak akan berhenti bermain sekarang tapi pada satu ketika dia akan bersara juga, sekarang umurnya sudah 31 tahun mungkin dia akan beraksi dua tahun lagi tapi selepas itu kita kena ada pengganti.

"Ini yang saya katakan perlu berikan pendedahan kepada mereka (pelapis), mereka (BAM) bukan tidak buat kerja tapi hendak melahirkan juara ia mengambil masa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

BAM kecewa

Posted: 01 Sep 2014 09:56 AM PDT

Copenhagen: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kegagalan skuad negara menghadiahkan gelaran dunia sempena Hari Kemerdekaan ke-57, kelmarin.

Timbalan presidennya Datuk Mohamad Norza Zakaria berkata, beliau kecewa dengan persembahan skuad negara pada Kejohanan Dunia BWF 2014 di sini kerana gagal mengakhiri kemarau gelaran sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1977.

Beliau turut bersimpati dengan nasib Datuk Lee Chong Wei yang terus kempunan untuk memenangi kejuaraan dunia sulungnya walaupun sudah memberikan persembahan terbaik menentang pemain nombor dua dunia, Chen Long dari China.

"Saya kecewa kerana kami gagal menamatkan badi selama 37 tahun namun saya turut bersimpati dengan Chong Wei yang sudah mencuba sedaya upaya untuk menang namun nasib lebih memihak kepada Chen Long," katanya.


Bagaimanapun, beliau bangga dengan peningkatan persembahan yang dipamerkan perseorangan utama wanita negara, Tee Jing Yi walaupun kalah seawal pusingan kedua kepada juara baru dunia, Carolina Marin dari Sepanyol.


Pilihan kesembilan itu melakar sejarah tersendiri selepas muncul pemain pertama Sepanyol muncul juara dunia selepas mengejutkan juara Olimpik dan pilihan utama, Li Xuerui dari China 17-21, 21-17, 21-18.

Malaysia gagal meraih sebarang kejuaraan selepas sebahagian besar wakil negara termasuk pemain wanita negara tersingkir pada pusingan awal kejohanan.

Kejohanan Dunia 2015 akan diadakan di Jakarta. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

PKBM yakin 'bebas'

Posted: 01 Sep 2014 09:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) menaruh keyakinan tinggi jawapan kepada surat tunjuk sebab yang akan diserahkan kepada Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail akan melepaskan mereka daripada penggantungan pendaftaran badan sukan itu.

Badan induk berbasikal negara itu mengadakan mesyuarat bersama Exco dan ahli majlis yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Abu Samah Wahab semalam bagi membincangkan secara terperinci jawapan terhadap surat tunjuk sebab yang perlu diserahkan sebelum Khamis ini.

"Berdasarkan kepada soalan dikemukakan Pesuruhjaya Sukan kepada PKBM, kami mendapati dengan semua jawapan yang akan diberikan itu, tiada sebab ia tidak boleh diterima dengan kandungan jawapan kerana kami sudah memberikan secara terperinci.

"Contohnya, jika soalan bertanyakan tahun berapakah Malaysia merdeka, jawapan kami adalah 31 Ogos 1957, itu maksud saya," kata Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sidek Khalid yang juga ahli majlis PKBM.

Ia diakui Abu Samah yang menegaskan: "Saya rasa ahli majlis hari ini (semalam) yakin, kami sudah mengedarkan semua soalan dan jawapan, semua sudah setuju dan yakin dengan jawapan yang akan kami hantar pada Khamis ini (hari terakhir)".

PKBM berdepan surat tunjuk sebab Pesuruhjaya Sukan susulan arahan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas audit terhadap peruntukan yang disalurkan terhadap badan itu dari 2011 hingga tahun lalu.

PKBM akan memberikan jawapan bertulis kepada Pesuruhjaya Sukan yang disertakan dengan bukti sokongan lain.

Sementara itu Abu Samah turut menegaskan ada laporan yang tidak tepat apabila mengatakan wang sejumlah RM1.3 juta hilang atau salah laku.

"Saya dan ahli majlis mengesahkan wang itu tidak hilang dan semuanya sudah digunakan untuk Le Tour de Langkawi (LTdL) dan pembangunan sukan lebuh raya.

Kami mendapat peruntukan RM17,305,000 untuk LTdL 2011 dengan RM16,405,000 dan RM900,000 digunakan untuk pembangunan sukan lebuh raya.

Foto

ABU Samah (tiga dari kanan) dan ahli majlis melihat dokumen yang akan dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan selepas mesyuarat PKBM.


Jumlah yang kami belanjakan hingga 31 Disember 2011 adalah RM16,375,374.45 maknanya masih berbaki RM29,625 (dibawa ke LTdL 2012).

"Manakala kami sudah membelanjakan RM927,437.30 untuk pembangunan lebuh raya berbanding peruntukan RM900,000.


Ia digunakan untuk bayaran seperti elaun, latihan di Melbourne dan dalam negara, peralatan, tiket penerbangan dan kejohanan.

Isu ini adalah salah satu soalan yang dikemukakan dalam surat tunjuk sebab," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Harimau Selatan simpan 'kuku'

Posted: 01 Sep 2014 09:49 AM PDT

Johor Bahru: Kelibat beberapa pemain yang sering memanas bangku simpanan akan dipertaruhkan Johor Darul Ta'zim (Johor DT) apabila berdepan Kelantan pada aksi terakhir Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Walaupun kedua-dua pasukan sudah layak ke suku akhir dan skuad Harimau Selatan kekal selaku peneraju kumpulan namun pengendali Johor DT, Bojan Hodak tetap mengimpikan kemenangan.

Hodak berkata, beliau terpaksa merehatkan Amri Yahyah (gambar) dan Asraruddin Putra Omar selepas kedua-dua pemain itu mengutip dua kad kuning dan pasti amat berisiko andai diturunkan dan mungkin akan terlepas aksi pusingan kalah mati.

"Saya tidak mahu mengambil risiko menurunkan Amri dan Asraruddin pada perlawanan ini kerana mereka amat diperlukan pada aksi kalah mati nanti.

"Tidak timbul masalah untuk mendapatkan pengganti kedua-dua pemain itu memandangkan saya memiliki barisan pemain simpanan yang mampu menggalas tugas di sayap kanan dan bek kiri.

"Sasaran utama Johor DT adalah memburu kemenangan biarpun saya akui agak sukar untuk menewaskan Kelantan yang beraksi di laman mereka," katanya.

Hodak menegaskan tiga tonggak utama, Aidil Zafuan Abd Radzak, Marcos Antonio dan Luciano Figueroa mengalami kecederaan pada aksi menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jumaat lalu.

Katanya, walaupun kecederaan ketiga-tiga pemain itu tidak serius namun pemantauan perlu dilakukan dan jika pegawai perubatan pasukan Johor DT tidak membenarkan tiga pemain itu beraksi maka pemain simpanan akan dipertaruhkan.

"Johor DT dan Kelantan sudah layak ke suku akhir tapi saya yakin pasukan lawan akan beraksi dengan corak permainan pantas dan kami tidak akan mengamalkan corak bertahan sebaliknya beraksi dengan corak taktikal yang ampuh.

"Andai tewas pada perlawanan itu, kami tetap berada di tangga teratas tapi saya tidak mahu rekod tanpa kalah tercalar dan saya harap pemain memberikan yang terbaik untuk memastikan kemenangan," jelasnya.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Pok Nik mahu rantai JDT

Posted: 01 Sep 2014 09:43 AM PDT

Kota Bharu: Pemain pertahanan Kelantan, Nik Shahrul Azim Halim tekad untuk menebus kekecewaan pasukannya yang tewas kepada Johor Darul Takzim (JDT) pada perlawanan peringkat kumpulan Piala Malaysia, 13 Ogos lalu.

Kelantan yang berkunjung ke Stadium Larkin, tewas 0-1 kepada Johor DT hasil jaringan Safiq Rahim pada minit ke-72.

Pemain berusia 23 tahun yang lebih dikenali Pok Nik itu berkata, dia ingin menebus kegagalan itu dengan memastikan benteng pertahanan pasukan kemas dan sukar ditembusi lawan.

Katanya, kealpaan benteng pertahanan hingga membolehkan Safiq memanfaatkan peluang untuk meledakkan gol kemenangan Harimau Selatan pada pusingan pertama itu perlu diambil iktibar bagi memastikan perkara sama tidak berulang pada pusingan kedua ini.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk memperoleh kemenangan pada malam ini bagi menebus kekecewaan pada aksi pertama yang lalu.

"Benteng pertahanan pasukan akan lebih berhati-hati supaya menyukarkan Johor DT untuk membuat hantaran berbahaya ke arah gol," katanya semalam.

Jelas pemain kelahiran Rantau Panjang, Kelantan itu, kelebihan beraksi di laman sendiri perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk menghadiahkan kemenangan kepada penyokong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Tok Gajah lakukan perubahan taktikal

Posted: 01 Sep 2014 09:42 AM PDT

Kuantan: Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan akan melakukan perubahan taktikal apabila skuad itu bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) II di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam ini.

Menurutnya, perubahan itu dilakukan selepas prestasi hambar barisan serangannya sekali gus menyaksikan mereka kecundang 1-2 kepada LionsXII minggu lalu.

"Apa yang pasti kesebelasan utama juga akan menyaksikan perubahan iaitu dengan menyenaraikan pemain simpanan untuk memberi tekanan kepada lawan.

"Saya akan turunkan pemain yang benar-benar cergas dan harapnya pemain dapat membolosi gawang JDT II, sekali gus mengutip tiga mata.

"Saya juga percaya pemain mahu menebus kekecewaan tewas kepada LionXII tempoh hari dan menjadikan perlawanan terakhir peringkat kumpulan berakhir dengan kejayaan," katanya semalam.

Beliau berkata, biarpun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia, misi mencatat kemenangan terhadap JDT II diharap direalisasikan.

Menurutnya, kunjungan Pahang ke Pasir Gudang lebih kepada memulihkan semula semangat buat pemain Tok Gajah sebagai persediaan menghadapi pusingan kalah mati piala berprestij itu.

"Rekod bersih di gelanggang lawan pada peringkat kumpulan juga diharap membantu meraih tiga mata berharga bagi mengesahkan tempat selaku juara atau naib juara kumpulan.

"Bagi saya, kami tidak kisah bertemu juara atau naib juara Kumpulan D kerana tumpuan kini adalah untuk mencatat kemenangan apabila bertemu JDT II esok (malam ini)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Pengalaman ngeri, menakutkan

Posted: 01 Sep 2014 09:39 AM PDT

Ipoh: Ia pengalaman yang cukup menakutkan, mengerikan dan sukar untuk dilupakan oleh pegawai dan pemain bola sepak Perak.

Justeru Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) akan membuat laporan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai insiden kekecohan penyokong Sarawak di Stadium Negeri, Sabtu lalu bermula dari ketibaan mereka hingga balik.

"Kami dimaki-hamun dengan macam-macam perkataan.

Maki hamun sangat perkauman tapi kami boleh terima kerana menganggap provokasi itu perkara biasa," kata pengurus pasukan Datuk Azhar Ahmad pada sidang media di pejabat PAFA, semalam.

Menceritakan kejadian itu, Azhar berkata, beliau sudah memaklumkan kepada pegawai dan pemain supaya terus masuk ke dalam bilik persalinan sebaik wisel penamat ditiup.

Menurutnya, semua pegawai dan pemain memasuki bilik persalinan yang hanya boleh memuatkan kira-kira 30 orang, dari jam 11 malam hingga 3 pagi, tanpa makan dan minum.

"Makan tak ada, minum air pun tak ada, cuba bayangkan, gelap lagi, alat pendingin hawa pula tak boleh pasang, kita dengar pula mereka masuk stadium, nak rempuh pagar.

"Kami hanya sampai balik ke hotel penginapan kira-kira jam 2-3 pagi sebelum makan malam dan bergegas keluar dari hotel pada jam 6 pagi," katanya.

Beliau bagaimanapun merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) dan polis kerana meningkatkan kawalan keselamatan bagi mengelakkan insiden yang lebih buruk.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Padah kurang stamina

Posted: 01 Sep 2014 08:37 AM PDT

Kuala Lumpur: Hajat pasukan Inline Hockey tempatan Underdogs Comps untuk meraih kejuaraan pada Kejohanan Inline Hockey MBPJ (MIHT) tidak kesampaian selepas terpaksa akur dengan kehebatan pasukan dari negara lain apabila hanya mampu menamatkan kedudukan di tangga kelima daripada lapan pasukan yang bertanding.

Kejohanan yang memasuki tahun keenam penganjuran itu diungguli pasukan dari Taiwan, Cerberus Taiwan yang hebat membelasah wakil dari Singapura, International Xpats 8-2 dalam aksi final di Arena Petaling Jaya (PJ), kelmarin.

Pengurus pasukan Underdogs Comp, Zain Amri Ayeob berkata, kekurangan tahap stamina berbanding pasukan lain menjadi punca utama kegagalan kelab tempatan itu untuk memenuhi sasaran awal mara ke final dan seterusnya menjulang mahkota kejuaraan.

"Pada saya inilah perkara yang paling kami takuti ketika bersaing dengan pasukan dari rantau lain yang sememangnya memiliki tahap stamina tinggi berbanding pasukan kami yang agak keletihan selepas melalui perlawanan peringkat kumpulan.

"Memandangkan pasukan harapan kami (Underdogs Comp) dianggotai sebilangan besarnya pemain senior yang sudah berusia, kami masih mampu memberi cabaran sengit kepada pasukan lain yang rata-ratanya mempertaruhkan ramai pemain remaja.

"Lagipun, pemain kami juga terbabit secara langsung sebagai petugas pada kejohanan ini.

Mungkin itu juga antara punca mengapa pasukan kami cepat letih selepas perlu menyertai pasukan dan juga bertindak sebagai petugas.

"Biarpun kami tewas, tapi kami puas dan akan berusaha untuk mempertingkatkan kualiti kami pada kejohanan akan datang," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Jelas Zain lagi, pasukannya akan menyertai Kejohanan Inline Antarabangsa Hong Kong November ini, justeru segala kelemahan yang ada akan dipertingkatkan sebelum menyertai kejohanan itu.

"Biarpun kami gagal kali ini, namun saya cukup yakin pemain sudah belajar sesuatu di sini dan kami perlu perbaiki segera kelemahan untuk membawa kejayaan lebih baik dalam kejohanan di Hong Kong nanti," katanya.

Berdasarkan rekod sepanjang tahun ini, Underdogs Comp muncul juara pada Kejohanan Inline Hockey Indonesia Mac lalu selepas menewaskan pasukan tuan rumah menerusi pukulan penalti yang memihak kepada kelab tempatan dari PJ itu.

Penyampaian hadiah disempurnakan oleh ADUN Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran dan Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Oon Chong Ling.

Juara menerima piala pusingan berserta pingat manakala International Xpats membawa pulang pingat kejohanan.

Foto

AKSI Underdogs Comps (baju putih) ketika menentang Sydney Stingers.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Falcao sertai United

Posted: 01 Sep 2014 08:33 AM PDT

London: Manchester United bersetuju untuk mengikat perjanjian sensasi dengan penyerang sensasi Colombia, Radamel Falcao (gambar) bagi tempoh semusim secara pinjaman dari Monaco.

Penyerang prolifik berusia 28 tahun itu yang terlepas aksi di Piala Dunia 2014 kerana kecederaan lutut, juga pernah dikaitkan dengan Real Madrid, Manchester City dan Arsenal.

Bagaimanapun, beberapa media termasuk Press Association, BBC dan Sky Sports, melaporkan United sudah mendapat jaminan untuk mendapat khidmat pemain itu tertakluk kepada ujian perubatan pada hari terakhir perpindahan pemain semalam.

Press Association melaporkan United bersetuju membayar Monaco £12 juta (RM62.8 juta) untuk proses pinjaman itu.

Foto


Falcao yang menjaringkan 20 gol dalam 51 penampilan bersama Colombia, masih mempunyai kontrak dengan Monaco hingga 2018.


Sejak sembuh daripada kecederaan awal musim, dia menjaringkan dua gol dalam tiga perlawanan tetapi tidak diturunkan ketika Monaco seri 1-1 di tempat sendiri dengan Lille dalam saingan Liga Perancis, Sabtu lalu.

Jika perpindahan itu lengkap, pengurus United Louis van Gaal mempunyai pilihan di bahagian depan yang mana Falcao akan menyertai Robin van Persie dan Wayne Rooney di Old Trafford.

United dalam usaha untuk membina semula pasukan mereka selepas aksi mengecewakan sekali gus hanya berupaya menduduki tempat ketujuh dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu. Mereka membelanjakan £130 juta (RM681 juta) untuk membeli pemain baru, termasuk rekod baru Britain £59.7 juta (RM312 juta) untuk mendapatkan Angel Di Maria.

Mereka juga melepaskan beberapa pemain dengan Shinji Kagawa kembali ke bekas kelabnya, Borussia Dortmund kelmarin dan Javier Hernandez dilaporkan dalam perbincangan untuk dipinjamkan ke Real Madrid.

Van Gaal masih tercari-cari kemenangan pertamanya sebagai pengurus United selepas mencatat keputusan seri dua kali dan kalah sekali serta dimalukan Milton Keynes Dons 0-4 dalam saingan Piala Liga.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

No comments:

Post a Comment