Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hari jadi paling manis

Posted: 24 Sep 2014 10:48 AM PDT

Incheon: "Ini mungkin hadiah hari jadi terbaik sepanjang karier saya," kata penembak negara Nur Suryani Taibi (gambar) selepas meraih pingat perak di temasya Sukan Asia Incheon, semalam.

Suryani yang genap berusia 32 tahun semalam, melakar sejarah muncul penembak wanita pertama negara memenangi pingat perak pada temasya benua itu apabila menduduki tangga kedua acara 50 meter rifle prone individu.

Penembak berasal dari Ipoh itu terikat 620.6 mata dengan Eum Bit Na dari Korea Selatan namun perak menjadi miliknya selepas kiraan semula. Narantuya Chuluunbadrakh dari Mongolia merangkul emas selepas mengumpul 624.1 mata.

Malaysia turut meraih pingat gangsa dalam acara berpasukan selepas Muslifah Zulkifli menghuni tangga ke-10 individu dengan 618.3 mata manakala Nur Ayuni Farhana Abdul Halim di tangga ke-21 dengan 614.7 mata.

Foto


Tuan rumah Korea Selatan menang emas berpasukan dengan catatan 1,855.5 mata, China perak 1,854.1 dan Malaysia gangsa, 1,853.6.


"Saya tak berapa ingat, tapi ini kali kedua saya menang pada hari lahir saya. Kali ini lebih bermakna kerana berlaku ketika temasya Sukan Asia. Sebelum ini pada temasya yang lebih kecil, mungkin Sukan SEA beberapa tahun lalu.

"Sudah tentu saya gembira hari ini kerana berjaya menyamai catatan terbaik peribadi sebelum ini, 596 mata mengikut sistem lama.

"Saya sebenarnya tidak tertekan langsung kerana hanya fikirkan cabaran perlu dihadapi dan melupakan apa saja yang sudah berlaku," kata ibu kepada anak perempuan yang mendapat liputan meluas ketika Sukan Olimpik London 2012 apabila bertanding ketika mengandung lapan bulan.

Suryani yang gagal layak ke pusingan akhir acara kegemarannya 10m air rifle Isnin lalu, berpeluang menambah koleksi pingat apabila turun beraksi bagi acara ketiga dan terakhir, 50m rifle 3 position esok.

Pencapaian Suryani itu yang terbaik buat skuad menembak negara selepas 28 tahun apabila Peter Lim memenangi perak trap lelaki di Seoul 1986.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Gear punya pasal

Posted: 24 Sep 2014 10:42 AM PDT

Incheon: Kesukaran menentukan penggunaan gear menghancurkan harapan Azizulhasni Awang meraih pingat semalam dan kini perlu bangkit dengan henjutan lebih bertenaga dalam acara kegemarannya keirin pada Sukan Asia Incheon, hari ini.

Jaguh berbasikal negara itu kecewa selepas gagal memenangi pingat dalam acara pecut sekalipun mara ke separuh akhir di Velodrom Antarabangsa Incheon, semalam.

Pelumba berusia 26 tahun itu menghuni tangga keempat apabila kecundang 1-2 di tangan Bao Seifei dari China pada penentuan pingat gangsa selepas sebelumnya tewas 0-2 di tangan pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata pada separuh akhir.

"Saya memang datang ke sini hari ini dengan sasaran meraih emas dan kegagalan ini memang amat mengecewakan," katanya.

"Mungkin kekalahan hari ini kerana saya silap menggunakan gear ketika lawan menggunakan gear lebih besar.

"Apatah lagi keadaan angin juga tidak menentu menyebabkan saya dan jurulatih (John Beasley) sukar menentukan gear mana patut digunakan," katanya yang memenangi emas keirin di Guangzhou 2010.

Namun Azizulhasni mendapat tonik terbaik menjelang acara keirin hari ini apabila anak kesayangannya, Amna Mariam, 2, hadir melihatnya berlumba.

"Saya berjanji kepadanya untuk menang pingat hari ini, tapi saya gagal.

Saya akan cuba tunaikan janji itu esok," kata Azizulhasni.

Sementara itu, Fatehah Mustapa berpeluang menambah pingat perak keirin apabila mara ke separuh akhir acara pecut wanita hari ini selepas menyingkirkan pelumba Korea Selatan, Lee Hye Jin 2-0.

"Saya belum pernah berlumba dengan pelumba China dalam acara pecut, tapi dia sememangnya bertenaga dan pantas.

Foto

AZIZULHASNI (kanan) bersaing dengan Bao Seifei di Velodrom Antarabangsa Incheon.


Tapi saya akan cuba menewaskannya," kata Fatehah mengulas mengenai perlumbaan menentang Zhong Tianshi pada separuh akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Esther terlepas kilauan pingat

Posted: 24 Sep 2014 10:41 AM PDT

Incheon: Balingan tidak sempurna pada frame terakhir menyebabkan pemain bowling negara, Esther Cheah terlepas pingat acara perseorangan wanita Sukan Asia di Gimnasium Anyang Hogye, semalam.

Esther, 28, berada dalam kedudukan terbaik meraih pingat selepas lima game namun kesilapannya yang hanya menjatuhkan enam pin bagi balingan pertama frame ke-10 memusnahkan impiannya sekurang-kurang merangkul pingat gangsa.

Pemenang emas perseorangan wanita Sukan Asia Doha 2006 itu perlu melakukan 220 pada game terakhir namun dia hanya mampu melakukan 198 sekali gus berakhir di tangga kelima.

Dia mengumpul 1,255 jatuhan pin selepas catatan 218, 194, 212, 188, 245 dan 198 dalam enam game.

"Saya berasa kecewa kerana agak hampir untuk meraih pingat.

Saya sedar perlu melakukan 220 pada game terakhir untuk berpeluang merebut pingat tapi balingan saya pada frame terakhir itu tidak menjadi.

"Tapi sebenarnya saya sudah bermain dengan bagus.

Keadaan lorong sama sekali berbeza berbanding ketika latihan," jelas Esther yang berazam menebus kegagalan itu dalam acara beregu esok.

Chou Chia Chen dari Taiwan yang beraksi dalam skuad sebelah pagi, terlalu sukar dikejar dan memenangi emas dengan 1,291 jatuhan pin, Jazreel Tan dari Singapura perak (1,277) manakala pemain tuan rumah Lee Na Young gangsa (1,272).

Pemain lain negara membabitkan Sin Li Jane yang seperti Esther, beraksi pada sebelah petang, menghuni tangga ke-13 dengan 1,232 pin, manakala Syaidatul Afifah Badrul Hamidi ke-20 (1,204), Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman ke-23 (1,198), Hee Kar Yen ke-24 (1,184) dan Shalin Zulkifli ke-39 (1,126).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Vivian, Khe Wei kejut bekas juara dunia

Posted: 24 Sep 2014 10:40 AM PDT

Incheon: Gandingan Vivian Hoo-Woon Khe Wei mencuri tumpuan hari pertama acara individu badminton Sukan Asia semalam apabila melakar kemenangan mengejut ke atas bekas juara dunia dari China.

Pemenang pingat emas beregu wanita Sukan Komanwel itu menyingkirkan juara dunia 2011 dan 2013 yang juga pilihan kelima, Yu Yang-Wang Xiaoli 17-21, 21-11, 22-20 sebelum memastikan tempat di suku akhir.

"Amat menakjubkan," kata Khe Wei manakala Vivian menyampuk: "Kami bermain mati-matian dan semua taktik menjadi.

"Saya fikir beregu China tertekan, itu sebabnya kami menang.

Kami harap mampu meneruskan rentak baik ini," katanya.

Vivian-Khe Wei yang menang perlawanan pertama dengan mudah apabila menundukkan Chen Hsiao Huan-Lai Chia Wen dari Taiwan 21-15, 21-6, kini akan berdepan Wang Rong-Zhang Zhibo.

Pasangan Macau itu mengejutkan pilihan keempat, Chang Ye Na-Kim So Yeong dari Korea Selatan 21-17, 21-18.

Beregu muda negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut mencatat kejutan mengetepikan pilihan kelima, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin dari Taiwan 15-21, 21-12, 22-20 pada pusingan pertama beregu lelaki.


Mereka akan bertemu pasangan Thailand, Wannawat Ampunsuwan-Patiphat Chalardchalaem pada pusingan berikutnya.

Kemenangan itu melegakan kem negara selepas Tan Boon Heong terpaksa menarik diri akibat kecederaan kaki dan dia bersama pasangannya Hoon Thien How terpaksa memberikan kemenangan percuma kepada pasangan China, Liu Xiaolong-Qiu Zihan.

Hari ini, pilihan utama Datuk Lee Chong Wei memulakan kempen menentang Umeer Zeeshan dari Pakistan pada pusingan kedua manakala Chong Wei Feng berdepan juara dunia Chen Long dari China.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

'Komen bangang'

Posted: 24 Sep 2014 10:40 AM PDT

Incheon: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan pihak yang mempertikaikan kejayaan ratu skuasy negara Datuk Nicol Ann David menyumbang emas kedua negara di temasya Sukan Asia ke-17 semalam sebagai bangang dan tidak bertanggungjawab.

Salah seorang pemegang akaun laman sosial Facebook semalam meletakkan komen negatif di status akaun Facebook Khairy dengan memperlekehkan kejayaan Nicol atas alasan sukan itu tidak dipertandingkan pada peringkat Sukan Olimpik.

"Bangang," kata beliau ketika diminta mengulas mengenai perkara berkenaan.

Khairy berkata, beliau tidak kisah jika individu terbabit memperlekehkannya sebagai Menteri Belia dan Sukan namun bukan kepada atlet negara yang bertungkus lumus mengharumkan nama negara di pentas sukan dunia.

"Atlet kita sanggup ketepikan hal peribadi mereka semata-mata untuk mengalas cabaran negara di Incheon dan tidak ramai yang sanggup berbuat demikian demi kepentingan negara.

"Saya ingin tahu sama ada individu yang mengkritik kejayaan Nicol tahu bermain skuasy atau tidak, sebelum mereka layak untuk melemparkan kritikan," katanya semalam.

Nicol mempertahankan pingat emasnya selepas mengalahkan rakan senegara Low Wee Wern dengan mata 9-11, 11-6, 11-5 dan 12-10 di final.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Kamsa Hamida: Catatan peribadi terbaik tak cukup

Posted: 24 Sep 2014 10:28 AM PDT

Saya tertarik dengan pandangan seorang peminat tegar sukan negara dalam media sosial yang mempersoalkan kenapa ada kalangan atlet negara tampil pada sesuatu temasya besar dengan sasaran hanya untuk memperbaiki catatan peribadi.

Haruskah atlet sebegini diberi peluang bertanding jika saban kali mereka hadir, mereka hanya bertindak sebagai pelengkap korum atau dalam kata lain sekadar menjadi pelancong?

Hakikatnya ada sesetengah atlet berjaya melepasi had kelayakan atau layak menerusi ranking persekutuan antarabangsa masing-masing namun Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang mempunyai kuasa mutlak pemilihan atlet ke temasya sukan besar perlu lebih teliti dalam keputusan mereka.

Menyentuh mengenai sasaran, saya juga tertarik dengan komen sesetengah pemimpin sukan selepas kontinjen negara meraih emas kedua menerusi ratu skuasy, Datuk Nicol David di Incheon kelmarin.


Kenapa baru sekarang mahu mengakui satu emas masing-masing dari wushu dan skuasy memang ada dalam sasaran awal kontinjen negara?


Kenapa sebelum ini semua itu tidak didedahkan? Apabila wartawan bertanya kepada Chef de Mission Datuk Danyal Balagopal Abdullah dari sukan mana lapan emas yang disasarkan itu, beliau sebaliknya meminta wartawan membuat tekaan sendiri.

Saya juga pasti tiada siapa dalam kalangan pemimpin sukan bersedia menjawab sekiranya wartawan bertanya berapa banyak perbelanjaan diperuntukkan terhadap latihan atlet negara dalam tempoh empat tahun sejak Sukan Asia Guangzhou 2010.

Perkara ini pernah terjadi di Nay Pyi Taw tidak sampai setahun lalu sebaik Myanmar selesai menjadi tuan rumah Sukan SEA.

Apabila wartawan meminta jumlah peruntukan terhadap atlet negara, semuanya memberikan alasan tiada angka tepat mengenainya dan hingga kini jawapan itu belum diketahui. Saya jangkakan perkara sama berulang di Incheon 2014.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Pintu separuh akhir kembali terbuka

Posted: 24 Sep 2014 10:27 AM PDT

Incheon: Skuad hoki wanita negara menghidupkan peluang ke separuh akhir selepas mengalahkan Thailand, 2-1 pada perlawanan kedua Kumpulan A di temasya Sukan Asia ke-17 di Stadium Seonhak, semalam.

Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nublin Ibrahim bermula garang apabila pemain tengah, Siti Noor Amarina Ruhani menyuntik semangat pasukan dengan gol pembukaan pada minit ke-24.

Tiga minit kemudian, Malaysia memperkukuhkan kedudukan menerusi percubaan pukulan sudut penalti yang disempurnakan Fazilla Sylvester Silin.

Thailand, yang kalah 3-0 kepada India pada perlawanan pertama, bagaimanapun merapatkan jurang menerusi pukulan sudut penalti Tikhamporn Sakunpithak pada minit ke-53.


Dalam kumpulan A, China mengungguli kedudukan kumpulan dengan enam mata selepas mengatasi Malaysia 1-0 dan India 2-1, diikuti India dan Malaysia, masing-masing tiga mata selepas satu kemenangan. Thailand pula tercorot tanpa sebarang mata selepas dua perlawanan.


Malaysia perlu mengatasi India pada perlawanan berikutnya, Jumaat ini, andai mahu menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik pada edisi kali ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Larang pakai tudung

Posted: 24 Sep 2014 10:26 AM PDT

Incheon: Qatar membidas peraturan Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) berhubung larangan pemain beragama Islam memakai tudung ketika beraksi hingga menyebabkan pasukan wanita negara itu menarik diri pada saat akhir dari Sukan Asia.

Seorang pegawai Qatar memberitahu peraturan FIBA yang melarang penggunaan tudung atas alasan keselamatan, bercanggah dengan prinsip Olimpik.

Hampir separuh pemain pasukan Qatar memakai tudung dan mereka sepatutnya memulakan kempen menentang Mongolia pada pusingan kelayakan di Incheon, kelmarin.

"FIBA tidak membenarkan pemain kami memakai tudung dan kami terpaksa menarik diri," kata Ketua Jawatankuasa Sukan Wanita Qatar Ahlam Al Mana.

"Apa yang berlaku hari ini jelas bertentangan dengan matlamat Majlis Olimpik Antarabangsa yang mempunyai negara dengan pelbagai budaya." Ahlam berkata, Qatar memang sedar larangan itu dari awal lagi, tetapi tetap hadir di Korea Selatan dengan harapan dapat memujuk FIBA mengubah pendirian mereka.

Penggunaan tudung itu bagaimanapun dibenarkan di peringkat kebangsaan negara berkenaan.

Beliau menambah beberapa pasukan lain yang turut terjejas dengan larangan itu mengambil keputusan untuk tidak menyertai temasya sukan berkenaan.

"Apapun saya pasti apa yang berlaku hari ini boleh mengubah peraturan FIBA," kata Ahlam.

"Sudah tentu OCA (Majlis Olimpik Asia) menggalakkan kami mengambil bahagian, tapi apa yang berlaku ini kerana keputusan teknikal FIBA.

"Saya harap pada masa depan mereka akan membenarkan kami beraksi dengan memakai tudung." Tiada komen diperoleh daripada FIBA atau OCA.

Foto

PASUKAN bola keranjang wanita Qatar meninggalkan gelanggang selepas menarik diri.


Bola sepak antara sukan yang kini membenarkan penggunaan tudung berikutan perubahan pendirian FIFA tahun ini.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Hyun II puas julang Korea

Posted: 24 Sep 2014 10:24 AM PDT

Incheon: Pemain veteran, Lee Hyun Il berasa bangga apabila membantu pasukan lelaki Korea Selatan meraih emas menumpaskan China selepas dipanggil semula dari persaraan untuk menjadi senjata rahsia negara tuan rumah itu.

Pertarungan epik lima jam kelmarin ditentukan dalam permainan kelima yang menyaksikan Hyun Il, 34, menumpaskan pemain 10 tahun muda daripadanya, Gao Huan dalam perlawanan dua set.

"Saya sangat bangga dapat memenangi pingat emas dengan rakan sepasukan yang lebih muda.

"Saya baru saja menyertai skuad Sukan Asia kerana pasukan kebangsaan meminta saya untuk kembali.

Saya masih lagi bermain di peringkat kelab dan bersara sepenuhnya dalam tempoh beberapa tahun lagi, memang puas dapat meraih kejayaan di sini," katanya.

Hyun Il sebahagian daripada pasukan lelaki Korea Selatan yang memenangi pingat emas Sukan Asia 2002 Busan dan tumpas dalam perlawanan penentuan pingat gangsa dalam dua temasya Olimpik, terbaru kepada pemain China, Chen Long pada 2012 London, selepas itu dia terus bersara daripada saingan peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, Hyun Il yang sudah beberapa kali bersara, tetapi kembali dalam skuad negara selepas dipujuk, beraksi garang terutama pada temasya yang berlangsung di negara kelahirannya.

Walaupun usia jauh berbeza, Hyun Il mendominasi perlawanan akhir, dengan mengimbangi kepantasan Gao Huan dari segi kebolehan dan kepantasan.

Stadium perlawanan akhir itu gemuruh dengan sorakan penyokong tuan rumah selepas dia memenangi perlawanan 21-14, 21-18 dan rakan sepasukannya mengerumuninya yang terbaring di gelanggang.

Penyenaraian semula Hyun Il menimbulkan persoalan terhadap kekuatan skuad lelaki Korea Selatan yang sangat menyinar dengan rangkaian pemain beregu, tetapi lemah dari segi pemain perseorangan.

Mereka mungkin tertekan apabila pemain bintang beregu, Lee Yong Dae, 28, memberi bayangan akan bersara selepas meraih emas.

"Saya merasakan ini aksi Sukan Asia terakhir dan mahu melakukan yang terbaik.

"Kami sentiasa berada di tempat kedua beberapa kali kepada China dan kami sangat gembira meraih emas di tempat sendiri," katanya.

Yong Dae dan pasangannya Yoo Yeon Seong, yang juga pasangan nombor satu dunia, diletakkan sebagai pilihan untuk meraih emas acara beregu lelaki.

- AFP

Foto

HYUN II (atas) dijulang rakan sepasukan selepas membantu Korea menumpaskan China.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

Ibu raih emas sulung Mongolia

Posted: 24 Sep 2014 10:22 AM PDT

Incheon: Ibu seorang anak, Narantuya Chuluunbadrakh menjadi atlet Mongolia pertama memenangi pingat emas acara menembak di Sukan Asia apabila mendominasi 50m rifle prone wanita, semalam.

Atlet berusia 29 tahun dari Ulaanbaatar itu menamatkan saingan final dengan mengumpul 624.1 mata, kurang empat mata daripada rekod dunia dicipta penembak Jerman, Beate Gauss di Kejohanan Dunia di Sepanyol bulan ini.

"Pencapaian terbaik saya perak acara berpasukan empat tahun lalu, kejayaan kali ini sangat istimewa," kata Narantuya.

"Lebih menggembirakan lagi ini adalah rekod terbaik saya.

"Masih terlalu awal untuk memikirkan mengenai peluang di Sukan Olimpik kerana ada lagi dua tahun, tapi saya akan beraksi lebih baik pada Piala Dunia tahun depan.

"Saya harap pingat ini akan memberikan inspirasi kepada lebih ramai wanita menceburi sukan menembak di Mongolia." Juara dunia, Kim Jun-Hong memenangi acara 25m rapid fire pistol lelaki dengan mengalahkan atlet China Zhang Jian, 31-30 dalam aksi final membabitkan tiga penembak dari setiap pasukan.

Zhang yang memerlukan empat mata pada pusingan terakhir untuk menyamakan mata dengan Jun-Hong hanya mampu membidik tiga mata sekali gus memberikan keceriaan kepada penyokong tuan rumah Korea.

Seorang lagi wakil China, Hu Haozhe memungut gangsa dengan 25 mata untuk meninggalkan juara bertahan Li Yuehong di kedudukan keempat dengan 22 mata.

Korea Selatan turut mengungguli acara berpasukan lelaki menerusi trio Song Jong-Ho, Jang Daekyu dan Kim shooting yang mengumpul 1747 mata.

China yang memenangi emas berpasukan dan individu di Guangzhou 2010 terpaksa berpuas hati dengan perak mengatasi Vietnam di tangga ketiga.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/25

No comments:

Post a Comment