Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Chong Wei kempunan kali ketiga

Posted: 31 Aug 2014 12:37 PM PDT

Kuala Lumpur: Hadiah Hari Kemerdekaan kali Ke-57 yang ditunggu rakyat Malaysia dari Datuk Lee Chong Wei (gambar) tidak kesampaian apabila dia tewas di tangan bintang China Chen Long pada final Kejohanan Dunia 2014 malam tadi.

Kekalahan itu sekali gus terus membuatkan pemain nombor satu dunia berkenaan kempunan buat kali ketiga selepas muncul naib juara 2011 dan tahun lalu.

Chong Wei yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan, terpaksa akur dengan keputusan straight set 19-21, 19-21.

Ramalan awal bahawa Chong Wei mampu meraih kejuaraan dunia yang pertama buatnya tidak menjadi kenyataan walaupun seteru utamanya dari China Lin Dan gagal melayakkan diri ke kejohanan edisi ke-21 itu.

Foto


Ia bermakna sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 1977, belum ada seorangpun pemain perseorangan negara muncul juara malah Chong Wei juga terus kempunan untuk merangkul trofi seperti di beberapa kejohanan lain termasuk Sukan Olimpik, Piala Thomas, Piala Sudirman dan Sukan Asia.


Mengimbas kembali perlawanan semalam, pemain berusia 31 tahun itu bergelut untuk memerangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2012 London berkenaan apabila pada satu ketika ketinggalan 9-13 kerana beberapa pukulannya keluar selain kandas di jaring.

Set kedua pula menyaksikan Chong Wei bermula agak perlahan sehingga ketinggalan 1-6 sebelum bangkit mengikat kedudukan 11-11, namun tekanan serta harapan tinggi yang diletakkan dilihat mengganggu rentak pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2008 Beijing dan London 2012 sebelum tewas 19-21.

Sementara itu, sejarah tercipta dalam acara perseorangan wanita apabila pemain Sepanyol, Carolina Marin meraih kejuaraan buat kali pertama dengan mengalahkan Li Xuerui dari China, 17-21, 21-17, 21-18.

Dalam aksi beregu lelaki, pilihan ke-12 dari Korea Selatan, Ko Sung Hyun-Shin Baek Choel mengejutkan pasangan senegara, Lee Yong Dae-Yoo Yeon Seong 22-20, 21-23, 21-18 manakala acara beregu wanita pula menyaksikan Tian Qing-Zhao Yunlei dari China muncul juara selepas mengalahkan rakan senegara Wang Xiaoli-Yu Yang 21-19, 21-15.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Nicol cemerlang

Posted: 31 Aug 2014 12:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara, Datuk Nicol David menambah keceriaan di Hari Kemerdekaan ke-57 apabila berjaya mempertahankan kejuaraan Terbuka Hong Kong 2014 selepas mengalahkan Nour El Tayeb dari Mesir 11-4, 12-10, 11-8 semalam.

Pemain nombor satu dunia itu meraih kejuaraan buat kali kesepuluh berturut-turut dalam perlawanan yang berlangsung selama 37 minit di Pusat Skuasy Hong Kong, Tsim Sha Tsui.

"Lawan saya terus memberi tentangan sejak awal namun saya mula mendapat keyakinan terutama di set kedua," katanya yang selepas ini akan memberi tumpuan untuk temasya Sukan Asia 2014 Incheon.

Jelasnya, usaha yang dilakukan sejak awal saingan berjaya membantunya untuk mempertahankan kejuaraan walaupun sedar bahawa lawannya, Nour mampu menyekat impian berkenaan.

"Saya rasa dia adalah seorang pemain yang luar biasa kerana mempunyai kemahiran individu tinggi.

"Semua orang tahu bahawa pemain dari Mesir adalah hebat dan dia membuktikan anggapan itu hari ini," kata Nicol yang menyambut hari lahirnya yang ke-31, Selasa lalu.

Kemenangan itu sekali gus mengubat kekecewaan Nicol terkandas di separuh akhir Terbuka Malaysia 2014 minggu lalu.

Nicol mula menguasai Terbuka Hong Kong sejak muncul juara buat kali pertama pada 2005.

Sejak itu, dia tidak pernah terlepas untuk mara ke saingan akhir dan meraih kejuaraan.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow itu juga begitu gembira dapat kembali semula ke Hong Kong dan masih belum ada pemain yang dapat menyekat penguasaannya.

"Saya akan kembali lagi di sini, memang satu yang menyeronokkan mendapat sokongan daripada warga Hong Kong," katanya.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu menambah, selepas ini dia dan rakan-rakannya yang lain akan cuba mendapatkan rehat secukupnya sebelum melakukan persediaan rapi untuk Sukan Asia.

Nicol adalah penyandang pingat emas dalam acara perseorangan wanita di Sukan Asia dan dalam masa yang sama juga dia berjaya membantu pasukan wanita muncul juara di Guangzhou empat tahun lalu.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Idam Mr Universe

Posted: 31 Aug 2014 12:34 PM PDT

Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Sazali Abd Samad memastikan gelaran Mr Asia menjadi miliknya apabila menjuarai kategori 75 kilogram di Kejohanan Bina Badan Asia ke-48 di Macau, kelmarin.

Kejayaan olahragawan negara pada kejohanan di Macau itu adalah kali kesembilan selepas meraihnya pada 1996, 1998, 1999, 2000, 2004, 2009, 2010 dan 2012.

Ternyata perjudian atlet berusia 47 tahun berkenaan menukar kepada kategori berat badan baru membuahkan hasil apabila menewaskan tujuh peserta lain dengan peserta India, Singh Arambam Boby meraih perak dan peserta tuan rumah, Chong Ka Lap sekadar meraih gangsa.

"Kejayaan ini adalah hadiah sempena kemerdekaan negara ke-57. Ia bukan kemenangan yang mudah kerana semua peserta memberikan cabaran yang sengit terutamanya peserta India yang juga juara dunia tiga tahun lalu," katanya.

Foto


Sazali yang mengalami kecederaan lutut sejak awal tahun ini pernah menyatakan mahu mencabar kemampuan diri sendiri selepas meraih kejayaan pada kategori berat badan lebih rendah sebelum ini dengan persediaan yang rapi.


"Masing-masing ada kelebihan tersendiri dalam aspek ketebalan otot dan sebagainya. Hanya juri mampu menilainya dan saya gembira kerana persiapan sejak awal tahun membuahkan hasil. Bagi saya kalah dan menang adalah adat pertandingan dan apa yang lebih penting adalah mencuba," jelasnya.

Kejayaan ini pastinya meningkatkan lagi semangat Sazali untuk bersaing merebut gelaran Mr Universe buat kali ke-10 di Mumbai, India penghujung November nanti.

Turut cemerlang di Macau adalah Buda Anchah yang muncul juara kategori Master lelaki (umur 41 hingga 50), Meilaura Dora Jimmy (gangsa) dalam kategori wanita 49 kilogram manakala Mohd Syahrul Azman meraih perak dalam saingan physique sports.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Janji rapat jurang hoki Asia, Eropah

Posted: 31 Aug 2014 12:23 PM PDT

Kuala Lumpur: Presiden baru Persekutuan Hoki Asia (AHF), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berjanji untuk merapatkan jurang antara Asia dengan kuasa hoki dunia, Eropah serta Australia.

Tengku Abdullah dipilih secara sebulat suara pada Kongres AHF 2014 yang berlangsung di Hotel Concorde di ibu negara semalam selepas kemangkatan Sultan Perak Almarhum Sultan Azlan Shah, Jun lalu.

"Ini adalah hari baru buat saya.

Saya memerlukan masa untuk berbincang dengan barisan exco baru yang dipilih, tetapi keputusan untuk memegang badan induk ini adalah kerana AHF sentiasa komited," katanya dalam sidang media semalam.

Jelas Tengku Abdullah, beliau mahu meneruskan legasi Almarhum Sultan Azlan Shah dengan syarat mendapat sokongan padu ahli gabungan.

"Prestasi hoki Asia masih lagi di belakang Eropah dan Australia, jadi sesuatu perlu dilakukan.

"Kita perlu mencari formula yang berkesan bagaimana untuk mengejar pasukan dari Eropah dan juga Australia," katanya yang sebelum ini mengumumkan untuk mengosongkan kerusi Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHF) pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) selepas Sukan Asia 2014 Incheon.

Ditanya adakah beliau akan melakukan pusingan U untuk mengekalkan jawatan presiden MHF Tengku Abdullah mengakui beliau sama sekali tidak akan berbuat demikian.

"Saya rasa tiada masa untuk menimbang kembali keputusan itu.

Setakat ini saya sudah mempunyai calon untuk menggantikan tempat saya.

"Saya tidak akan memberikan nama itu kepada anda, tetapi sudah ada seorang atau dua calon di dalam fikiran saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Nasib PKBM ditentukan hari ini

Posted: 31 Aug 2014 12:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Nasib Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kini terletak di tangan ahli gabungannya apabila 10 exco dan 15 ahli majlis badan induk sukan berkenaan mengadakan mesyuarat hari ini berhubung surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan, Ahmad Shapawi Ismail.

Seandainya gagal mencetuskan idea dan jawapan yang kukuh, PKBM bakal berdepan penggantungan pendaftaran seperti yang diarahkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar baru-baru ini.

"Setiap ahli gabungan sudah mendapat draf jawapan berhubung surat tunjuk sebab berkenaan beberapa hari lalu.

Jadi mereka perlu mengkajinya dengan teliti dan kemudian memberikan pandangan pada mesyuarat hari ini.

"Jadi, mereka diharapkan mampu memberikan komen dan cadangan bagi PKBM terselamat daripada situasi ketika ini," menurut sumber yang rapat dengan badan berkenaan.

PKBM turut dijangka menjadikan mesyuarat berkenaan bagi menjelaskan situasi sebenar yang melanda badan induk itu kepada ahli gabungan.

PKBM mempunyai tempoh sehingga Khamis ini untuk membalas surat tunjuk sebab terbabit yang dikeluarkan susulan audit yang dijalankan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi tahun 2011 hingga tahun lalu dengan kementerian berkenaan menyalurkan sejumlah peruntukan tahunan susulan penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL).

Khairy selepas mengadakan mesyuarat bersama Panel Penasihat Sukan pada 21 Ogos lalu menjelaskan banyak pelanggaran terhadap perlembagaan berlaku, salah urus kewangan, konflik kepentingan dan kekurangan tanggungjawab yang serius berlaku dalam tempoh yang lama.

Isu berkenaan timbul selepas pelumba lebuh raya negara terus gagal memenangi pingat emas di Sukan SEA Myanmar hujung tahun lalu selepas kali terakhir meraihnya di Filipina pada 2005.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Cari alternatif lain?

Posted: 31 Aug 2014 12:21 PM PDT

Kuala Lumpur: "Ini bukan soal untuk menang liga kampung atau apa-apa liga tapi ini sebahagian daripada pembangunan dan pembentukan karaktor pemain."

Itu kenyataan balas yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah selepas keputusan badan induk itu menghantar skuad Harimau Muda A beraksi di Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia mendapat kecaman.

Menurut beliau, program pembangunan pemain muda sentiasa menjadi keutamaan FAM dan mereka bersikap terbuka jika ada program lebih baik yang dapat diusahakan selain ke Australia.

"Keputusan itu dibuat sebelum saya menjadi presiden dan saya tidak boleh buat apa-apa namun demikian kita akan kaji semula pembabitan pasukan itu ke Liga Australia.

Jika ada alternatif lain juga bagus.

Ini membabitkan persetujuan pihak MSN dan idea utamanya adalah untuk meneruskan program penghantaran pemain ke luar negara.

"Keutamaan kita adalah untuk memberi pendedahan pemain muda sebaik dan seawal mungkin di luar negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Kongres Persekutuan Hoki Asia (AHF) 2014-2018 semalam.

Program skuad Harimau Muda A menyertai liga NPL di Australia bermula Mac lalu mendapat kritikan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim apabila beliau menganggap liga itu hanya bertaraf kampung seperti yang dilaporkan Arena Metro sebelum ini.

Beliau yang membidas sikap seorang pengacara sukan televisyen swasta kerana tidak memberikan fakta tepat terhadap kualiti liga itu berkata program berkenaan diatur atas kepentingan peribadi dan bukan berniat untuk menambah baik prestasi pasukan.

Tengku Abdullah yang juga Presiden baru AHF menganggap bukan mudah untuk melabel kualiti sesuatu liga namun apa yang penting adalah setiap pemain memanfaatkan setiap peluang yang diberikan.

"Untuk menyatakan liga itu tidak bagus, Liga EPL (Liga Perdana Inggeris) kurang bagus juga, England tak menang juga jadi ia sesuatu yang subjektif.

Foto

ANAK buah Kim Swee diuji fizikal, mental jika dapat pendedahan luar.


Saya percaya kalau pemain bermain di mana sekalipun, bermain dan berlatih bersungguh-sungguh, mereka akan balik ke sini dengan keyakinan dan lebih baik.


"Pada peringkat ini memang sukar untuk kita menyatakan mereka boleh menjadi pemain hebat dalam sekelip mata jadi ini adalah sebahagian daripada pembangunan, bukan kita bermain soal untuk menang juara liga kampung ke atau apa-apa liga," tegasnya.

Harimau Muda A yang dikendalikan oleh Datuk Ong Kim Swee diberi peluang untuk beraksi dalam Liga NPL Queensland bermula Mac dan tamat minggu lalu.

Dalam 24 perlawanan liga, barisan pemain bawah 23 tahun ini mencatat sembilan kemenangan, seri enam dan kalah sembilan untuk menduduki tangga pertengahan liga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Mahu muka baru diberi peluang

Posted: 31 Aug 2014 12:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berharap lebih ramai pemain muda diberi peluang untuk menyertai skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Dollah Salleh.

"Saya lebih mengharapkan pemain muda dan berbakat (mendapat tempat).

Kalau terlalu ramai pemain senior ada baik dan buruknya, kalau boleh utamakan pemain muda juga," katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai keputusan Dollah yang memanggil semula beberapa pemain veteran iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Shukor Adan dan Azizon Abd Kadir untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan Khamis ini.

Tiga pemain berpengalaman itu yang sudah lama diketepikan bersama lapan lagi pemain baru yang berada dalam senarai 29 pemain bagi persiapan menghadapi tiga perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Indonesia pada 14 Oktober, Kemboja (20 September) dan Jordan (10 Oktober).

Bagaimanapun, Tengku Abdullah tidak mahu mengulas lanjut mengenai pemilihan itu kerana beliau menyerahkan sepenuhnya kepada Dollah untuk membuat keputusan terbaik dalam membentuk pasukan sebelum ke kejohanan Piala AFF November ini di Singapura.

Sebelum ini, skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian Datuk K Rajagobal mendapat kritikan pelbagai pihak berikutan kecenderungannya menggunakan pemain hampir sama dalam tempoh tiga hingga empat tahun lalu.

Namun dalam tempoh itu, jurulatih berkenaan berjaya membimbing pasukannya memenangi pingat emas Sukan SEA 2009 dan Piala AFF 2010 sebelum kontraknya tidak disambung pada Disember tahun lalu dan digantikan dengan Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Shukor teruja dipanggil sertai kem latihan Dollah

Posted: 31 Aug 2014 12:19 PM PDT

Johor Bahru: "Mungkin ada pihak yang mempertikaikan penyenaraian nama saya di dalam pemilihan skuad kebangsaan."

Itu reaksi Mohd Shukor Adan selepas dia mendapat panggilan daripada ketua jurulatih kebangsaan Dollah Salleh untuk menyertai kem latihan skuad Harimau Malaya bagi persiapan menghadapi kempen Piala AFF, November depan.

Apa pun, kapten FELDA United itu yang kini berusia 35 tahun sedang berusaha menepis tanggapan negatif sesetengah pihak dan bersedia menyahut cabaran sekali gus memastikan namanya ada dalam senarai akhir skuad kebangsaan.

"Pasti ada pihak mempertikaikan kenapa saya masih lagi di panggil untuk menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dan saya ingin nyatakan jurulatih sedar dan tahu dengan kemampuan saya.

"Saya hanya dapat tahu nama saya terpilih menjalani latihan bersama skuad kebangsaan ketika berada di Johor Bahru untuk aksi menentang Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Selasa lalu dan saya menghargai pemilihan itu kerana beliau (Dollah) masih mahu menggunakan khidmat saya.

"Komitmen saya di padang mungkin menarik minat jurulatih untuk beri peluang kepada saya membuktikan kemampuan sama ketika bersama skuad kebangsaan dan peluang itu saya tidak akan lepaskan," katanya.

Kali terakhir Shukor menyarung jersi Harimau Malaya ialah ketika kelayakan Piala Asia 2009 di bawah kendalian jurulatih B Sathiananthan dan peluang yang diberi Dollah mahu digunakan sebaik mungkin sekali gus menutup mulut pengkritik.

Shukor sedia untuk beraksi sama ada di posisi tengah atau pertahanan dan bergantung kepada perancangan Dollah yang bakal mengenal pasti sendiri keselesaan serta kelebihan setiap pemain.

"Tidak kisah sama ada beraksi di posisi tengah atau pertahanan kerana apa yang saya perlu lakukan ialah memberi sepenuh komitmen pada sesi latihan dan aksi persahabatan nanti.

"Saya akui untuk kembali mendapat rentak permainan di peringkat antarabangsa bukannya mudah dan kekerapan aksi persahabatan amat penting memandangkan permainan bola sepak tempatan amat berbeza dengan antarabangsa kerana menampilkan corak permainan lebih pantas," kata Shukor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

Lima polis cedera

Posted: 31 Aug 2014 12:18 PM PDT

Petra Jaya: Berang dengan kegagalan pasukan Bujang Senang layak ke saingan suku akhir Piala Malaysia, segelintir penyokong tempatan bertindak liar hingga mencetuskan keganasan yang dianggap mencemarkan imej bola sepak negara.

Dalam insiden memalukan yang berlaku malam kelmarin, lima anggota polis cedera manakala tujuh kenderaan milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengalami kerosakan dengan sebuah daripadanya dibakar sekumpulan penyokong.

Insiden berlaku sebaik tamat perlawanan antara Sarawak menentang Perak yang berkesudahan dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Negeri di sini, apabila sekumpulan kira-kira 2,000 penyokong bertindak memasuki padang sehingga menyebabkan kerosakan pintu pagar Zon A dan Zon B.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuching Superintendan Fauzilan Abdul Aziz berkata, berikutan insiden itu lima individu berusia antara 17 hingga 20 tahun ditahan dan mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Tabuan Jaya untuk siasatan lanjut.

Foto

GELAGAT penyokong Sarawak, kelmarin.


"Pada masa sama, polis akan menjalankan ujian air kencing terhadap mereka yang ditahan dan akan direman empat hari bermula hari ini (semalam).


"Semua mereka akan disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh," katanya.

Fauzilan berkata, dalam insiden itu, seorang daripada lima anggota polis luka di mata akibat terkena balingan objek keras.

Menurutnya, sebelum kejadian, penonton bertindak membakar suar serta membaling mercun dan objek ke arah anggota keselamatan bertugas.

"Walaupun beberapa kali diberi amaran supaya bersurai namun mereka tidak mengendahkannya sebaliknya bertindak semakin agresif dengan merempuh masuk ke padang melalui pintu utama stadium.

"Keadaan kembali terkawal seketika dengan bantuan anggota dari Unit Pencegah Rusuhan (FRU) apabila kebanyakan penonton mula bersurai.

"Namun, pada jam 11.30 malam, penonton sekali lagi berkumpul di hadapan pintu masuk utama serta parkir luar stadium sebelum bertindak merosakkan kenderaan polis," katanya.

Fauzilan berkata, dalam insiden berkenaan, Perodua Kembara milik cawangan pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching musnah apabila dibakar kumpulan terbabit.

"Turut mengalami kerosakan adalah sebuah lori milik Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Batu Kawah, di sini apabila pecah cermin sisi kanan manakala sebuah Perodua Kancil dari Balai Polis Bintawa diterbalikkan dalam longkang.

"Dua lagi Perodua Kancil masing-masing dari Balai Santubong dan Tabuan Jaya di sini, mengalami kerosakan manakala Proton Waja dari Balai Tapah dan van Balai Serian masing-masing kemek, retak lampu belakang dan pintu hadapan tercalar," katanya.

Katanya, melihat kepada situasi semakin tegang, anggota FRU tiada pilihan selain terpaksa melepaskan tembakan gas pemedih mata serta 10 bom asap.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

'Imej bersih pasukan musnah satu malam'

Posted: 31 Aug 2014 12:12 PM PDT

Petra Jaya: Imej bersih pasukan bola sepak Sarawak yang terbina sejak lima tahun lalu lebur dalam tempoh satu malam gara-gara sikap segelintir penyokong yang bertindak liar dengan merusuh ketika tamat perlawanan antara Sarawak menentang Perak dalam saingan Piala Malaysia di sini, kelmarin.

Sambil meluahkan kekesalan, Presiden Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Datuk Sudarsono Osman berkata, badan induk bola sepak negeri bertungkus-lumus menaikkan nama Sarawak selain berusaha mengukuhkan semula reputasi pasukan.

Sudarsono berkata, semua reputasi yang sebelum ini dibanggakan peminat Sarawak musnah dalam sekelip mata.

"Selaku Presiden FAS, saya amat kesal dengan kejadian rusuhan di Stadium Negeri malam tadi (kelmarin) sehingga menyebabkan ramai penonton, termasuk kanak-kanak terpaksa diberi rawatan apabila terhidu bom asap.

"Insiden ini juga menyaksikan kenderaan polis rosak selain dibakar, ini satu tindakan melampau dan di luar batasan.

"Saya amat kecewa dengan sikap mereka (segelintir penyokong) dan kami (FAS) akan terus bekerjasama dengan polis bagi memastikan tindakan tegas diambil terhadap mereka bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan yang dipaparkan dalam laman Facebook (FB), Sarawak FA.

Menurutnya, kejayaan FAS membina semula pasukan Bujang Senang itu sekurang-kurangnya menyaksikan skuad bola sepak negeri kini berada di tahap yang boleh dibanggakan.

"Namun, semuanya berkecai, hanya mengambil masa satu malam untuk memusnahkan segala usaha serta kejayaan dibina dan dicapai selama ini.

"Dalam era bola sepak profesional, sukan ini dilihat sebagai satu industri kepada pemain dan jurulatih mencari nafkah, malah sejak kami mengambil alih pengurusan FAS lima tahun lalu, belum pernah kami lewat membayar gaji pemain walaupun sehari.

"Perkara ini boleh disahkan pemain kita, kami tidak mengharap sebarang ganjaran, tetapi apa yang kita harapkan adalah kerjasama dan saling memahami daripada penyokong," katanya.

Menurutnya, sebelum perlawanan bermula, FAS menambah bilangan anggota keselamatan bertugas selepas mengambil kira provokasi penyokong Perak kepada pemain dan penyokong Sarawak semasa perlawanan di Ipoh minggu lalu.

"Malangnya, dalam insiden ini orang kita sendiri yang menjadi mangsa, bukan orang lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/01

No comments:

Post a Comment