Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Fokus mental, fizikal

Posted: 03 Sep 2014 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Lupakan Kejohanan Dunia, fokus pada Sukan Asia.

Demikian nasihat Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz kepada pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei supaya tidak terus terbawa-bawa dengan kegagalan merangkul kejuaraan dunia buat kali ketiga, sebaliknya terus fokus kepada Sukan Asia yang bakal bermula 19 September ini.


"Yang lepas biarlah lepas. Sekarang Chong Wei hanya perlu tumpukan kepada Sukan Asia.

"Kekalahan di Kejohanan Dunia sedikit sebanyak memberi pengajaran kepadanya. Tahun depan mungkin dia boleh cuba lagi.


"Tapi Sukan Asia hanya berlangsung sekali selama empat tahun. Dia perlu kekal fokus daripada segi mental dan fizikal sebelum turun pada Sukan Asia," katanya.


Tidak menolak faktor tekanan menyebabkan Chong Wei tewas kepada jaguh China Chen Long pada aksi final Kejohanan Dunia pada Ahad lalu, Ramlan berkata, pemain nombor satu dunia itu perlu mengelak daripada mengulangi perkara sama di Sukan Asia.

Foto

Datuk Lee Chong Wei

"Oleh kerana dia adalah pemain nombor satu dunia, corak permainnnya pasti dikaji oleh pihak lawan.


"Bermakna Chong Wei bukan misteri lagi. Mungkin ini juga antara faktor yang menyebabkan dia tewas," katanya.

Ramlan berkata, beliau akan meminta laporan daripada empat kakitangannya yang mengiringi Chong Wei di Kejohanan Dunia sebelum bertemu sendiri dengan pemain itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Julang trofi bersama England

Posted: 03 Sep 2014 10:39 AM PDT

Watford, United Kingdom: Wayne Rooney menganggap dia masih belum berjaya di peringkat antarabangsa selagi tidak berupaya menjulang trofi walaupun namanya kini disenaraikan selaku kapten England pada pertemuan persahabatan menentang Norway.

Penyerang Manchester United berusia 28 tahun itu dilantik menggantikan tempat Steven Gerrard sebagai ketua pasukan selepas pemain tengah Liverpool itu bersara daripada arena antarabangsa selepas Piala Dunia 2014 Brazil.


Selepas 95 kali mewakili England, Rooney dilihat mempunyai pengalaman dua kali ganda berbanding pemain lain yang disenaraikan pengendali Roy Hodgson.

Dia tidak pernah merasai saat manis bersama skuad kebangsaan sepanjang lima kejohanan utama yang pernah disertainya.


Namun, walaupun England tersingkir di peringkat kumpulan Piala Dunia, Rooney masih percaya dia mampu memberi inspirasi untuk melakar kejayaan pasukan.


"Saya sentiasa mahu memenangi trofi untuk England dan jika dapat mengetuai pasukan untuk meraihnya, ia akan menjadi kenangan manis sepanjang karier saya.

"Ia memang sukar tetapi saya rasa ia boleh dicapai, lihat pemain yang kita ada, mereka sungguh luar biasa.


"Mereka akan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan seperti mana di kelab ketika bersama England dan kita harus membawa semangat itu bersama. Memang ia sukar, tetapi semua negara akan melakukan perkara yang sama. Itulah sasaran kami.

"Ia akan sia-sia jika kami tidak mempunyai sasaran ataupun keinginan," katanya.


Walaupun Rooney menjelaskan bekas rakan sepasukannya di Manchester United Gary Neville dan bekas pemain England David Beckham sebagai ketua pasukan yang akan dicontohi, dia juga tetap memuji cara Gerrard.


"Saya sangat rapat dengan Steven dan mungkin melihatnya dengan lebih rapat berbanding yang lain, termasuk caranya mengawal diri dan pasukan.


"Gary mengetahui permainan dengan baik sekali. Itulah sebabnya anda dapat melihat dia terus bekerja di Sky (sebagai pengkritik bola sepak).


"Becks pula adalah duta yang hebat buat bola sepak England dan Steven mempunyai kedua-dua kualiti itu. Memang banyak kualiti," kata Rooney yang juga ketua pasukan baru United. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Chelsea lanjut kontrak Azpilicueta

Posted: 03 Sep 2014 10:38 AM PDT

London: Pertahanan tengah Chelsea Cesar Azpilicueta menandatangani kontrak lanjutan bersama kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu Selasa lalu.

Pemain antarabangsa Sepanyol berkenaan yang tiba di kelab London pada 2012 sebagai pertahanan kanan, diletakkan sebagai pertahanan kiri dengan lebih kerap apabila pengurus pasukan Jose Mourinho kehilangan bekas pemain antarabangsa England Ashley Cole yang berpindah ke AS Roma.


Azpilicueta beraksi sebanyak 95 kali untuk Chelsea, menjaringkan satu gol dan berada dalam skuad yang memenangi trofi Liga Europa pada 2013.

Musim lalu dia dipilih sebagai pemain terbaik kelab.


Dia juga beraksi sepanjang tiga perlawanan awal Chelsea dalam saingan EPL setakat ini.


Musim lalu, dia berada dalam rangkaian pertahanan Chelsea yang melepaskan 27 gol dalam 38 perlawanan, jumlah paling rendah untuk saingan liga.

Pemain berusia 25 tahun itu berpindah ke Stamford Bridge dari Olympique Marseille dengan nilai perpindahan £6.5 juta (RM34 juta) untuk kontrak dua tahun.


Kontraknya disambung walaupun Chelsea sudah mendapatkan Filipe Luis, pertahanan kiri Atletico Madrid ketika memenangi Liga Sepanyol musim lalu.

"Chelsea berbesar hati untuk mengumumkan Cesar Azpilicueta sudah menandatangani kontrak baru selama lima tahun," jelas satu kenyataan dalam laman web rasmi kelab itu, (www.chelseafc.com).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Impian Guidetti

Posted: 03 Sep 2014 10:38 AM PDT

Stockholm: Penyerang Manchester City John Guidetti berharap FIFA akan meluluskan perpindahannya secara pinjaman bersama juara Scotland Celtic walaupun terdapat keraguan sama ada dokumen mampu disiapkan sebelum jendela perpindahan ditutup, Isnin lalu.

Penyerang berusia 22 tahun berkenaan tergesa-gesa ke Glasgow dengan harapan untuk mengikut jejak langkah rakan senegaranya dari Sweden Henrik Larsson yang diangkat sebagai ikon di Celtic apabila meledak 242 gol dalam 315 penampilan sepanjang tujuh tahun di sana.


"Semalam adalah hari yang huru-hara, saya tidak dapat berfikir dengan tenang sepanjang hari," kata Guidetti kepada akhbar Sportbladet ketika tiba di pantai barat untuk tugasan bersama skuad bawah 21 tahun.

"Saya hanya menanti. Ratusan penyokong berdiri di luar stadium dan menanti sehingga tengah malam," kata Guidetti yang sudah dimaklumkan khidmatnya tidak diperlukan City.


Ia kelihatan seperti penantian yang sia-sia, untuk dirinya dan peminat, namun media di Scotland melaporkan Persatuan Bolasepak Scotland sudah menerima dokumen perpindahan dan kini terpulang kepada badan induk dunia, FIFA untuk menentukan jika perpindahan berkenaan boleh diluluskan.


"Saya berharap masalah bersama Celtic akan selesai, jika sebaliknya saya perlu kekal di City dan ia bukanlah perkara terburuk yang boleh berlaku," kata Guidetti. "Malangnya, dokumen tidak selesai dalam masa yang ditetapkan dan kini terpulang kepada FIFA untuk memutuskannya." Guidetti yang menghabiskan masa lima tahun di Kenya berkata, dia yang terpaksa bermain tanpa kasut sepanjang tempoh itu mengakui keadaan sedemikian membantu mengembangkan kemahirannya, tetapi dia tidak pernah beraksi untuk perlawanan senior Manchester City sejak berpindah dari kelab Sweden Brommapojkarna pada 2008.

Dia menarik perhatian pada musim 2011/12 apabila meledak 20 gol dalam 23 perlawanan ketika beraksi secara pinjaman di Feyenoord. Musim lalu dia dipinjamkan ke Liga Perdana bersama Stoke City, namun gagal meledak jaringan dalam enam perlawanan.


Perpindahan ke Celtic adalah yang dia dan kelab inginkan.

Selepas beberapa kali dipinjamkan, Guidetti tidak sabar untuk beraksi dan Celtic yang tersingkir dari play-off Liga Juara-Juara selain bergelut di permulaan kempen liga, cuba mencari Larsson yang baru.


"Sebenarnya kami ada berbincang mengenai nombor tujuh (jersi lama Larsson)," kata Guidetti kepada Sportbladet. "Terdapat ruang yang luas untuk diisi, namun ia sesuatu yang menyeronokkan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Giliran Cleverley tinggalkan United

Posted: 03 Sep 2014 10:37 AM PDT

London: Pemain tengah England Tom Cleverley menjadi pemain terbaru yang meninggalkan Manchester United apabila menyertai pesaing Liga Perdana, Aston Villa secara pinjaman selama semusim.

Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun berkenaan mungkin kembali ke United pada jendela perpindahan pemain Januari nanti atau terus dibeli Villa jika aksinya di kelab berkenaan dapat memikat kelab terbabit.


Perjanjian berkenaan termeterai pada hari terakhir perpindahan pemain, lewat Isnin lalu dan kelab sedang menanti kelulusan lembaga Liga Perdana.

Cleverley mengharungi tempoh pinjaman yang berjaya bersama Watford terutamanya Wigan Athletic sebelum meraih kesebelasan utama secara kerap di bawah Alex Ferguson pada musim terakhirnya iaitu 2012/13.


Bagaimanapun, nasibnya malang musim lalu apabila kehilangan tempat dalam kesebelasan utama United yang mengakibatkan posisinya bersama skuad England turut terjejas.


Kehadiran beberapa pemain baru berprofil tinggi yang diambil Louis van Gaal dalam usahanya untuk meningkatkan semula imej kelab yang merekodkan pencapaian terendah menamatkan saingan di tangga ketujuh musim lalu.

Van Gaal terpaksa membenarkan pemain tengah itu meninggalkan Old Trafford.


Cleverley yang turut membuat 79 penampilan bersama United, turut dikaitkan dengan perpindahan ke Everton. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Ujian pertama Sepanyol

Posted: 03 Sep 2014 10:37 AM PDT

Paris: Selepas kegagalan memalukan di Piala Dunia, Sepanyol dilihat sudah berwajah baru serta sedia untuk mempertahankan gelaran selaku juara Eropah tetapi mereka perlu terlebih dulu membuktikan keupayaan dengan mengatasi Perancis pada saingan persahabatan awal pagi esok.

Dua bulan selepas tersingkir daripada peringkat kumpulan di Piala Dunia, jurulatih Vicente del Bosque menggabungkan pemain lama serta bintang masa depan untuk pertemuan di Stade de France, venue final Euro 2016 nanti.


Xavi Hernandez dan Xabi Alonso - pemain veteran yang menjulang Euro 2008, Piala Dunia 2010 dan Euro 2012 sudah bersara daripada arena antarabangsa mengikut jejak David Villa.

Pepe Reina, Fernando Torres dan Juan Mata semuanya masih kekal manakala masalah kecergasan melanda Gerard Pique, Andres Iniesta serta Javi Martinez.


Daripada semua muka baru di dalam skuad Sepanyol, lima daripadanya tidak pernah mewakili negara dan empat lagi berusia 23 tahun atau ke bawah termasuk penyerang Valencia Paco Alcacer.


Pemain lain seperti pemain tengah Atletico Madrid Raul Garcia, perlu menunggu lebih lama untuk mendapat peluangnya.

Mereka semua akan menyertai pemain tengah Atletico yang berusia 23 tahun, Koke yang turut disenaraikan ke Piala Dunia lalu.


"Inilah pasukan kami buat masa ini dan saya memberi tempoh kepada mereka selama dua tahun," kata del Bosque.

"Kami menampilkan pemain yang kami harap mampu melonjakkan semula imej kami tetapi penyingkiran kami dari Piala Dunia tidak akan sesekali membuatkan kami mengubah cara kami menghadapi masa depan." Pemain pertahanan Sergio Ramos kembali dipanggil untuk mengembalikan semula kekuatan La Roja.


"Kami sedang mencuba untuk kembali ke landasan sebenar dan kami perlu melupakan semua kejayaan kami sebelum ini kerana kami tidak boleh hidup berdasarkan catatan sejarah," kata pertahanan Real Madrid itu.


Berbanding Sepanyol, Perancis berjaya mengharungi Piala Dunia dengan bergaya dan kekalahan di peringkat suku akhir di tangan Jerman hadir selepas aksi membanggakan di peringkat kumpulan.


Jurulatih Didier Deschamps kini bergantung sepenuhnya kepada perlawanan persahabatan sebelum Perancis menjadi tuan rumah Euro 2016 dan mereka bakal menggabungkan pemain senior dengan pemain muda.


Deschamps hanya mengubah tiga pemain berbanding skuad yang beraksi di Piala Dunia dan perlawanan persahabatan menentang Serbia di Belgrade awal pagi Isnin ini bakal menyaksikan kehadiran penjaga gol Marseille Steve Mandanda bagi menggantikan Mickael Landreau.


Penyerang Lyon Alexandre Lacazette dan pertahanan Barcelona Jeremy Mathieu turut dipanggil ketika penggempur Arsenal Olivier Giroud serta Laurent Koscielny mengalami kecederaan.


Tetapi Deschamps mengakui kesebelasan utama yang mungkin diturunkan ketika menentang Itali adalah sama seperti pemain yang bertemu Jerman di suku akhir Piala Dunia lalu.


"Kami mempunyai dua perlawanan persahabatan dalam tempoh terdekat ini dan pemain yang akan turun menentang Itali adalah pemain sama ketika kami bertemu Jerman di Piala Dunia," kata Deschamps.


Perancis tewas 0-2 di tangan Sepanyol pada suku akhir Euro 2012 dan menamatkan saingan di tempat kedua di belakang La Roja pada kelayakan Piala Dunia.


Begitupun, pemain pertahanan Bacary Sagna yakin Perancis adalah sebuah pasukan berbeza.


"Kami lebih dihormati berbanding beberapa tahun lalu," katanya. "Kami sudah membuktikan bahawa kami sedia untuk menentang siapa saja. Kami berani bersaing untuk merebut tempat di dalam pasukan. Kami lebih yakin dengan diri sendiri dan semakin banyak negara lain yang gerun dengan kami." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Tiada kejutan

Posted: 03 Sep 2014 10:29 AM PDT

New York: Roger Federer melangkah ke suku akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali ke-10 dalam tempoh 22 tahun ketika barisan pemain berpengalaman mempamer aksi cemerlang menewaskan ramai pemain muda.

Federer yang juga juara lima kali, menewaskan pemain Sepanyol Roberto Bautista 6-4, 6-3, 6-2.


Berdepan Federer buat kali pertama, lawannya yang berusia 26 tahun itu berjaya mendahului 5-1 pada set pertama tetapi juara Grand Slam 17 kali berkenaan pantas bangkit untuk mencatatkan kemenangan dalam tempoh kurang dua jam.

Sementara itu, tiga pemain berbakat dan berpotensi untuk memenangi gelaran Grand Slam, berjaya mengatasi lawan masing-masing.


Pakar beregu China Peng Shuai menewaskan pemain berusia berusia 17 tahun, Belinda Bencic 6-2 6-1, Tomas Berdych menewaskan pemain Austria Dominic Thiem 6-1 6-2 6-4 sementara bintang Perancis Gael Monfils menewaskan wakil Bulgaria Grigor Dimitrov 7-5 7-6(6) 7-5.


Monfils yang juga pilihan ke-20, akan kembali beraksi di suku akhir buat kali pertama sejak 2010 menentang Federer.

"Dia berpotensi untuk berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia," kata Federer merujuk kepada Monfils.


"Dia adalah pemain berkualiti yang mempunyai pukulan servis menarik.

"Masalah yang dihadapinya ialah tahap kecergasan serta kecederaan. Kemudian kadangkala dia tidak mahu bermain kerana sebab-sebab tertentu.


"Mewakili semua pemain, kami sememangnya gemar melihat aksinya," katanya.


Begitupun, ia bukanlah hari yang menggembirakan untuk kem Perancis selepas Gilles Simon tewas kepada Marin Cilic.


Cilic berjaya menewaskan Simon menerusi permainan lima set pada awal tahun ini di Terbuka Australia dan pilihan ke-14 itu sekali lagi berjaya mengatasi lawannya dengan keputusan 5-7 7-6(3) 6-4 3-6 6-3.


Ketika Cilic dan Simon bertarung selama lebih empat jam dalam cuaca panas, Federer, Monfils, Berdych, Peng dan Caroline Wozniacki menyimpan tenaga mereka dengan kemenangan straight set.


Peng, 28, hanya mengambil masa selama 64 minit untuk menewaskan Bencic.


Pemain itu mencipta kejutan bermula dari pusingan kedua dengan menewaskan pilihan keempat Agnieszka Radwanska, pilihan ke-28 Roberta Vinci dan pilihan ke-14 Lucie Safarova dalam laluannya untuk melangkah ke saingan separuh akhir.


"Ia adalah satu persembahan yang cukup mengejutkan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Alonso tetap kekal di Ferrari

Posted: 03 Sep 2014 10:27 AM PDT

Milan: Fernando Alonso gagal menyinar bersama Ferrari musim ini dan harapan untuk menang di Grand Prix Itali hujung minggu ini dilihat tipis tetapi dia menafikan khabar angin yang menyebut dia bakal berhijrah ke pasukan lain tahun depan.

Juara dunia dua kali dari Sepanyol itu berkata, di sebalik kekecewaan bersama pasukan Itali itu, dia tidak pernah terfikir untuk meninggalkan pasukan dan menyertai Mercedes.


Dalam satu temuramah, dia menafikan untuk berpindah ke seteru utama Ferrari itu meskipun ada menyatakan bahawa dia bosan memandu jentera sekarang.

"Ia bukanlah perkara yang saya utamakan ketika ini. Saya mahu memenangi perlumbaan bersama Ferrari.


"Saya mahu menang di sini seperti yang pernah kami lakukan sejak beberapa tahun lalu," katanya.


Alonso dilihat kecewa sepanjang musim ini selepas Mercedes dilihat mendominasi saingan dengan pemandu Jerman Nico Rosberg dan sensasi Britain Lewis Hamilton bersaing dalam merebut kejuaraan pemandu.

"Kami melalui musim yang mengecewakan kerana mempunyai harapan yang tinggi berikutan peraturan baru.


"Kami jangkakan mempunyai kelebihan dengan segala persiapan yang dilakukan.

"Tetapi kami mendapati bahawa kami tidak berada di landasan tepat serta tidak begitu kompetitif.


"Kami jauh ketinggalan berbanding pendahulu," katanya.


Alonso menambah, ia adalah musim yang begitu sukar untuk Ferrari.


"Pertama kerana kami tidak kompetitif dan agak membosankan ketika berlumba. Jentera pula agak perlahan serta berat," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

Tak gentar cabaran

Posted: 03 Sep 2014 10:27 AM PDT

Kuantan: Seramai 15 pelumba Colour Cycling Club (CCC) dari Kuantan akan menghangatkan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 di Temerloh pada 27 September ini.

Kapten pasukan Ahmad Munif Mohamad berkata, dia menyasarkan kejayaan pada kejohanan kali pertama disertai pasukannya itu biarpun sedar saingan getir bakal dihadapi apabila turut disertai pelumba profesional.


Katanya, setakat ini, semua pelumba menjalani latihan seperti biasa termasuk berkumpul pada hujung minggu sebagai persediaan awal.

"Lokasi latihan bukan saja bertumpu di Teluk Cempedak, malah berlatih di Kota SAS dan Jabor untuk meningkatkan kecergasan dan kayuhan terbaik menjelang kejohanan sebenar.


"Penyertaan 15 pelumba kami diharap dapat berkongsi pengalaman berharga bersama peserta lain dari seluruh negara," katanya.


Beliau berkata, selepas tiga tahun bergiat aktif dalam sukan lasak itu, CCC diharap dapat meraih kejayaan di peringkat lebih tinggi.

"Sebenarnya, kami turut menyertai beberapa kejohanan mountain bike yang dianjurkan di seluruh negara. Apabila mengetahui Harian Metro menganjurkan kejohanan ini, kami membuat keputusan menyertainya.


"Kami harap keputusan terbaik akan memihak kepada CCC untuk penyertaan kali pertama ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

'Kami sedia kongsi pengalaman'

Posted: 03 Sep 2014 10:26 AM PDT

Kuantan: Pemilihan Temerloh, Pahang sebagai lokasi kedua Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti Malaysia 2014 mendapat sokongan MTBE Cycling Club Kuantan.

Kapten kelab berkenaan, Zainuddin Jamil berkata, sebagai peminat sukan lasak, penganjuran kejohanan itu dialu-alukan dalam usaha mempopularkan sukan berbasikal kepada masyarakat, khususnya golongan muda di negeri ini.


Menurutnya, berdasarkan pemerhatiannya, kebanyakan pelumba terdiri daripada golongan dewasa seperti ahli MTBE Cycling Club Kuantan berusia antara usia 25 dan 50 tahun.

"Apabila Harian Metro menganjurkan kejohanan ini, saya gembira kerana ia dapat menarik golongan muda terutama pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) turut serta.


"Dengan penyertaan mereka, saya percaya sukan berbasikal lasak akan menjadi popular bukan sahaja untuk riadah semata-mata.


"Mungkin golongan ini berasa mereka terpaksa mengeluarkan modal besar untuk membeli basikal tetapi harganya tidak begitu mahal jika berminat," katanya.

Foto

Jurulatih basikal kebangsaan, Aminuddin Sulaiman (kanan) bersantai bersama ahli kelab basikal daerah Temerloh selepas menjalani latihan.

Beliau berkata, pemilihan Temerloh sebagai lokasi kejohanan juga mendorong kelabnya untuk turut berkongsi pengalaman bersama kelab lain dari seluruh negara.


Menurutnya, sebelum ini kelab berkenaan hanya berbasikal di litar khas Teluk Chempedak, Kuantan serta menyertai kejohanan antaranya di Melaka dan Terengganu.

"Dengan pemilihan Temerloh, kami berazam untuk menghantar peserta, sekaligus memberi saingan kepada pelumba lebih berpengalaman," katanya.


Kejohanan yang menjadi tempuan pelumba basikal lasak tempatan itu berlangsung pada 27 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/04

No comments:

Post a Comment