Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Panggil bomba pindah pesakit obes 280kg

Posted: 05 Sep 2014 01:33 PM PDT

Georgetown: Sepasukan lapan anggota bomba dipanggil bagi memberikan perkhidmatan bantuan khas memindahkan seorang lelaki mempunyai masalah obesiti dengan berat 280 kilogram.

Difahamkan, lelaki berkenaan dipindahkan dari Wad Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini, untuk dibawa pulang ke rumahnya di Bandar Baru Farlim, Air Itam, jam 3.50 petang semalam.

Berat badan lelaki itu menyukarkan usaha kakitangan HPP memindahkannya sebelum pihak pengurusan memutuskan untuk meminta bantuan bomba.

Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Mohd Daud Mad Disa berkata, sejurus menerima panggilan sebuah jentera bersama lapan anggota menuju ke HPP untuk membantu usaha memindahkan lelaki berkenaan.

Foto

ANGGOTA bomba memberi bantuan kecemasan kepada M Balagi ketika dibawa turun dari wad untuk dihantar ke rumahnya.


Beliau berkata, lelaki berkenaan M Balagi, 47, diangkat menggunakan pengusung berikutan tidak mampu berdiri dan sukar dipapah.


"Kami mengambil masa satu jam bagi melakukan persiapan mengusung lelaki itu sebelum dia dibawa turun dari tingkat satu bangunan wad berkenaan dan dipindahkan ke dalam van sebelum dihantar ke rumahnya," katanya.

"Dengan bantuan semua anggota, kakitangan HPP dan lelaki itu sendiri, tugasan itu dilakukan dengan lancar tanpa masalah," katanya.

Bagaimanapun, katanya, anggota bomba melakukan tugasan itu dengan berhati-hati bagi mengelakkan berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Difahamkan, bomba turut membantu memindahkan lelaki berkenaan untuk dibawa naik ke rumahnya di tingkat sembilan sebuah flat di Bandar Baru Farlim.

Kisah mengenai lelaki berkenaan yang mempunyai masalah obesiti mendapat perhatian umum selepas dia terjatuh ketika berjalan ke tandas di rumahnya pada 26 Oktober tiga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

'Kami tak nak rugi'

Posted: 05 Sep 2014 01:30 PM PDT

Kuala Lumpur: "Kami tidak sesuka hati menaikkan harga lesen memandu atau mengambil untung di sebalik kenaikan harga pada waktu sekarang, namun pelanggan harus sedar kami tidak mampu beroperasi dalam keadaan rugi setiap hari."

Itu luahan Presiden Persekutuan Persatuan Institut Memandu Malaysia (PERPISMA), Harun Shafie berikutan isu institut memandu mengenakan harga dianggap melampau kepada pelajar sekolah memandu.

"Kami sudah melakukan pelbagai perubahan kepada premis operasi kami seperti diarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) antaranya penaiktarafan litar memandu dan penggunaan kereta transmisi automatik dan semua ini memerlukan kos tinggi," katanya.

Harun memberi contoh pada 2009, JPJ mengarahkan menaik taraf litar di Institut Memandu Kenderaan Darat (IMKEDA) di Batu 10, Cheras sejajar dengan perkembangan Kurikulum Baru Pemandu yang dilaksanakan apabila ia turut mempunyai modul pemanduan transmisi automatik.


"Kami diarah membesarkan litar memandu. Kami menyambut arahan itu dengan hati terbuka dan membeli tanah berkeluasan 2.15 hektar di sebelah kawasan litar sedia ada yang menelan belanja RM2.5 juta, tetapi JPJ tidak mengambil kira soal itu," katanya.


Malah, dengan wujudnya modul pemanduan transmisi automatik dalam pengambilan lesen, institut memandu itu juga menyediakan beberapa kereta bertransmisi automatik.

"JPJ mahukan kereta bertransmisi automatik ini mempunyai CC 1.3 ke atas dan sekurang-kurangnya RM6 juta dibelanjakan untuk melengkapkan prasarana dan kereta. Kami masih beroperasi dalam keadaan hutang yang belum habis dibayar lagi," katanya.

Muka depan Harian Metro semalam menyiarkan tindakan beberapa institut memandu mengenakan harga melebihi harga siling yang dikuatkuasakan pada 1 September lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

Panik Kunak bergegar

Posted: 05 Sep 2014 01:24 PM PDT

Kunak: Penduduk di tiga daerah di kawasan pantai timur negeri ini panik seketika apabila berlaku gegaran akibat gempa bumi berukuran 4.0 skala Ritcher yang dikesan di 3.6 darjah Utara dan 118.3 darjah Timur iaitu 11 kilometer ke selatan daerah ini, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian 9.15 pagi, penduduk di kawasan berkenaan hanya merasai gegaran yang lemah dan tiada sebarang kerosakan mahupun kecederaan dilaporkan berikutan kejadian itu.

Seorang penduduk di Lahad Datu, Muhammad Yusof, 32, berkata, ketika kejadian dia berada di pejabat bersama rakannya.

"Saya terasa lantai bangunan bergegar seketika, manakala kerusi dan meja turut bergoyang. Kami yang berada di dalam pejabat hairan dengan gegaran itu dan panik.


"Selepas beberapa saat kemudian, baru keadaan tenang dan kami masih tertanya-tanya sama ada itu gempa bumi atau bangunan sedang diselenggara," katanya ketika ditemui, semalam.


Bagaimanapun, Muhammad berkata, selang beberapa minit kemudian, dia mendapat tahu bahawa gegaran itu turut dirasai seluruh penduduk di daerah berkenaan.

"Kejadian ini menjadi bualan hangat di dalam laman sosial menerusi aplikasi Whatsapp, Wechat dan Facebook yang turut berkongsi bahawa gegaran berkenaan memang berlaku di beberapa daerah lain," bekerja di Taman Perindustrian Kelapa Sawit.

Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan satu kenyataan berlaku gempa bumi lemah dan pusat gempa itu terletak di 3.6 darjah Utara dan 118.3 darjah Timur, iaitu 11 Kilometer Selatan dari daerah Kunak pada jam 9.15 pagi.

Sehubungan itu, Pengarah Meteologi negeri Abdul Malik Tussin berkata, pihaknya menerima aduan bahawa berlaku gegaran di tiga kawasan iaitu Kunak, Lahad Datu dan Tawau kesan daripada gempa bumi berkenaan.

"Tiada kesan lain diterima atau aduan kerosakan berlaku akibat kejadian gempa bumi terbabit. Malah kejadian ini berlaku di darat yang tidak akan mengakibatkan ancaman tsunami," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

Kelentong lelaki tatu 2 tupai

Posted: 05 Sep 2014 01:23 PM PDT

Gombak: Lagak tidak ubah seperti pegawai polis, namun seorang lelaki bertatu dua tupai didapati menyamar apabila kad kuasa digunakan didapati palsu.

Dalam kejadian jam 10.45 malam kelmarin, suspek yang berusia 24 tahun ditahan sepasukan anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Balai Polis Selayang di sini.

Sumber polis berkata, suspek yang memandu kereta ditahan dalam keadaan mencurigakan berhampiran lokasi kolam air panas di sini.

"Sebaik ditahan, lelaki itu terus mengaku sebagai pegawai polis.


"Anggota polis URB kemudian memintanya mengemukakan kad kuasa. Apabila diperiksa, kad itu didapati sudah diubah suai dan dipercayai palsu," katanya.


Menurutnya, pemeriksaan lanjut juga mengesahkan nama individu tertera pada kad kuasa itu juga bukan nama sebenar suspek, tetapi dilekatkan gambarnya.

"Suspek ditahan dan dibawa ke Balai Polis Selayang di sini, untuk siasatan lanjut. Pemeriksaan pada badan suspek juga menemui tiga MyKad bukan miliknya.

"Suspek juga didapati mempunyai dua tatu tipu pada paha kakinya," katanya.

Dia berkata, suspek adalah warga tempatan dan berasal dari Bachok, Kelantan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad mengesahkan tangkapan itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

Empat pelajar kemalangan di Mesir

Posted: 05 Sep 2014 01:22 PM PDT

Kuala Lumpur: Seorang penuntut Perubatan Universiti Zagazig di Mesir cedera parah selepas tayar teksi dinaiki mereka meletup dan terbabas di Jalan Bilbis, Kaherah, manakala tiga rakannya mengalami kecederaan ringan dan ditahan di wad Hospital Universiti Zagazig.

Dalam kejadian jam 4 petang (waktu Malaysia) Muhammad Syafiq Abdullah Hashim, Muhammad Miftahuddin Sufiyan,Muhammad Aizuddin Abdul Razak dan Shukri Muslim Maulana Mahamad Anuar yang menaiki teksi dalam perjalanan pulang ke Zagazig dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sebelum kenderaan dinaiki terbabit kemalangan.

Duta Besar Malaysia di Mesir Datuk Ku Jaafar Ku Shaari berkata, Muhammad Syafiq mengalami pendarahan dalam otak dan retak tulang belakang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu.

Menurutnya, sehingga kini dia masih berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan bernafas menggunakan alat bantuan. Keluarganya dijangka tiba dua hari lagi untuk melihat keadaan mangsa.

Foto

DUA daripada empat mangsa yang mendapatkan rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/06

No comments:

Post a Comment