Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Spa sundal diserbu

Posted: 12 Sep 2014 11:13 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas lebih tiga bulan menjalankan aktiviti persundalan dengan menawarkan khidmat mandian kolah berahi kepada pelanggan hidung belang, akhirnya sebuah pusat spa di Bandar Puteri, Puchong, dekat sini, diserbu oleh pihak berkuasa.

Serbuan yang dijalankan sepasukan 10 pegawai dan anggota polis dari Bahagian Pencegahan Jenayah Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat Bukit Aman jam 11 malam kelmarin itu berjaya menahan empat wanita dipercayai pelacur.


Ketika serbuan dijalankan, empat wanita itu dikatakan sedang melayan pelanggan, termasuk seorang dalam kolah jakuzi.

Pakej istimewa yang disediakan pusat spa itu membolehkan pelanggan dan pekerja seks mandi bersama dalam kolah menaikkan keghairahan sebelum mengadakan hubungan seks.


Serbuan diketuai Asisten Superintendan Muhammad Mohd Jais turut menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai penjaga premis terbabit.


Muhammad berkata, empat wanita dipercayai warga Thailand itu ditahan kerana menyalahgunakan pas lawatan yang dimiliki mereka dengan bergiat dalam aktiviti pelacuran.

"Kami sentiasa memandang serius perkara ini dan akan menjalankan serbuan dari semasa ke semasa bagi mengekang aktiviti tidak bermoral ini," katanya.


Menurutnya, semua wanita berusia 20-an dan penjaga premis terbabit dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang untuk siasatan lanjut.

Tinjauan Harian Metro mendapati terdapat beberapa laluan sulit dibuat sindiket berkenaan yang disyaki digunakan oleh pelanggan dan pelacur di premis terbabit untuk melarikan diri ketika serbuan diadakan.


Turut ditemui ratusan kotak kondom yang disembunyikan dipercayai untuk diberikan kepada pelanggan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Penghasut pengkhianat negara

Posted: 12 Sep 2014 11:09 AM PDT

Lahad Datu: "Sesiapa saja yang cuba menghasut rakyat Sabah dan Sarawak untuk keluar dari Malaysia dianggap sebagai pengkhianat negara dan saya sendiri akan memastikan individu ini dikenakan tindakan tegas," kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika mengulas mengenai tindakan individu yang cuba membangkitkan isu berkenaan.

Menurut Ahmad Zahid, individu yang cuba menghasut kononnya Semenanjung menjajah rakyat negeri ini dan Sarawak akan diheret ke muka pengadilan.


"Saya akan pastikan mereka (penghasut) dikenakan tindakan dan didakwa di bawah Akta Hasutan 1948, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) atau undang-undang lain berkaitan.

"Setakat ini, tiga individu sudah dikenal pasti dan polis sedang giat mengesan mereka termasuk yang sudah melarikan diri ke luar negara," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Silam di Dewan Sri Perdana, di sini, semalam.


Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, polis masih melakukan siasatan terperinci termasuk mengesan individu lain atau kumpulan kecil yang menyebarkan propaganda kepada orang ramai di laman sosial.


"Ini termasuk mereka yang terbabit dalam gerakan Kesultanan Sulu yang mahu merampas Sabah.

Foto

AHMAD Zahid (duduk kanan) bercakap pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Silam, semalam.

"Polis sudah mengenal pasti individu ini termasuk mereka yang bergiat aktif menyebarkan gerakan ini melalui media sosial. Tindakan tidak bertanggungjawab ini tidak berpanjangan dan mereka tidak akan terlepas," katanya.


Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan pihaknya menahan tiga individu dipercayai menyertai Kesultanan Sulu dan merekrut ahli baru bagi tujuan membawa Sabah keluar dari Malaysia, diperintah menjalani tahanan di pusat pemulihan tidak melebihi dua tahun mengikut Seksyen 19A Akta Pencegahan Jenayah.

Khalid berkata, ketiga-tiga individu terbabit adalah dua rakyat Malaysia dikenali sebagai Abu Bakar Yajari dan Zainuddin Mislani serta seorang warga Filipina, Kassim Ibrahim.


Dalam pada itu, Ahmad Zahid mengesahkan kerajaan akan menubuhkan markas Pasukan Gerakan Am (PGA) di Kunak dalam masa terdekat.


"Penubuhan markas dengan kekuatan satu batalion PGA ini mampu membantu memantapkan struktur Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menjaga keselamatan dan kedaulatan negeri ini.


"Selain itu, semua balai polis di Lahad Datu, Tungku dan Kunak akan dinaik taraf, selain menyediakan fasiliti bersesuaian dengan senario jenayah di kawasan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

4 pandangan berkaitan Akta Hasutan 1948

Posted: 12 Sep 2014 11:07 AM PDT

Putrajaya: Terdapat empat pandangan berlainan yang wujud berkaitan isu Akta Hasutan 1948 berdasarkan perbincangan dan maklum balas diterima kerajaan setakat ini.

Kenyataan dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri semalam menyebut, elemen pertama ialah terdapat permintaan supaya Akta Hasutan dikekalkan dengan sedikit pindaan saja.


"Kedua, ada yang meminta Akta Hasutan dihapuskan sama sekali dan ketiga, ada yang memilih untuk menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan Akta Keharmonian Nasional bagi menjaga perpaduan rakyat dan kestabilan negara "Keempat, ada yang berpendapat supaya Akta Keharmonian Nasional diwujudkan sebagai akta baru di samping Akta Hasutan 1948 yang patut dikekalkan," katanya.

Dalam kenyataan itu, kerajaan bagaimanapun ingin menjelaskan bahawa draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional belum disediakan lagi pada masa ini.


"Kerajaan masih lagi dalam peringkat perbincangan mengenai prinsip asas yang akan dijadikan panduan dalam menggubal undang-undang berkenaan.


"Hanya selepas konsensus umum (persetujuan bersama) dicapai dalam kalangan rakyat termasuk mereka di Sabah dan Sarawak, barulah kelak proses penggubalan akan dimulakan," katanya.

Proses berkenaan akan mengambil masa supaya undang-undang yang baru kelak benar-benar dapat membantu merealisasikan matlamat untuk membina sebuah negara stabil, aman dan harmoni.


"Penggubalan Akta Keharmonian Nasional akan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara hanya selepas perkara prinsip dan dasar diputuskan kelak.

"Mana-mana draf rang undang-undang yang disediakan oleh mana-mana pihak selain daripada Jabatan Peguam Negara tidak sahih dan tidak boleh diterima," katanya.


Dalam pada itu, kerajaan menegaskan sebarang keputusan dibuat sama ada untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948 atau memperkenalkan Akta Keharmonian Nasional hendaklah dibuat dengan rasional, berhemah dan terbuka.


"Proses ini hendaklah dilakukan dalam keadaan terkawal supaya negara terus berada dalam keadaan harmoni, kukuh dan stabil.


"Kerajaan juga tidak tergesa-gesa menggantikan Akta Hasutan 1948 dengan undang-undang baru tanpa meneliti semua aspek berkaitan termasuk kepentingan elemen pencegahan.


"Kerajaan tidak akan mengambil langkah atau tindakan yang boleh menyebabkan suasana dalam negara tidak tenteram," katanya.


Rundingan akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan termasuk kumpulan yang mewakili kepentingan orang Melayu yang kebanyakannya bimbang dengan cadangan pemansuhan Akta Hasutan 1948.


"Selepas proses rundingan diadakan, barulah kerajaan menentukan hala tuju yang akan diambil dengan matlamat mewujudkan keadaan lebih baik untuk negara.


"Apa saja keputusan yang bakal dibuat kerajaan, ia tidak akan menyebabkan masyarakat berbilang bangsa negara ini berasa bimbang, kurang yakin atau tergugat.


"Dalam mengubah atau memperkenalkan sesuatu akta baru, ia perlulah lebih baik daripada akta sedia ada khususnya dalam meningkatkan lagi keharmonian, keamanan dan kestabilan negara serta memastikan negara terus berjaya," katanya.


Katanya, kebebasan yang diberi kepada rakyat perlu diimbangi dengan undang-undang untuk melindungi prinsip penting yang sudah sekian lama didukung oleh masyarakat di negara ini.


"Ini termasuklah peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan iaitu kedudukan agama Islam dan Raja-raja, hak keistimewaan orang Melayu dan sebagainya. Semua peruntukan ini akan dikekalkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Perjanjian bukti kerjasama

Posted: 12 Sep 2014 11:06 AM PDT

Putrajaya: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor memeterai Perjanjian Utama bagi memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah (gambar) yang mewakili kerajaan persekutuan; Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Datuk Mohammed Khusrin Munawi mewakili kerajaan Selangor manakala Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman dan Air Selangor Sdn Bhd diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Suhaimi Kamaralzaman.


Majlis menandatangani perjanjian itu disaksikan sendiri oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menerusi kenyataan bersama dikeluarkan antara Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Kerajaan Negeri Selangor semalam menyebut, Perjanjian Utama itu membuktikan kerjasama erat dan komitmen berterusan antara kedua pihak bagi melaksanakan penyelesaian jangka panjang berkaitan isu air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.


"Perjanjian Jual-Beli Saham antara Air Selangor Sdn Bhd (yang ditubuhkan khusus sebagai operator air di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya) dengan pihak yang berkenaan akan ditandatangani dalam waktu terdekat bagi melengkapkan proses pengambilalihan syarikat konsesi air Selangor.


"Ia sekali gus memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya seperti yang termaktub dalam Perjanjian Utama itu," katanya.

Menurut kenyataan itu, Perjanjian Utama itu merangkumi beberapa perkara termasuk Air Selangor Sdn Bhd mengambil alih tiga syarikat konsesi air negeri Selangor iaitu Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS); Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB); Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS) dan pemegang lesen perkhidmatan adalah Konsortium Air Selangor Sdn Bhd (KASB).


"PAAB menyediakan peruntukan RM1.68 bilion bagi memudah cara pengambilalihan syarikat konsesi iaitu SYABAS, PNSB dan ABASS oleh Air Selangor Sdn Bhd. Sebagai balasan, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset-aset air kepada PAAB secara pegangan pajakan selama 45 tahun dengan jumlah peruntukan yang sama.

"PAAB juga akan mengambil alih liabiliti syarikat konsesi dan pinjaman Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Selangor, SYABAS dan PNSB yang dianggarkan RM7.45 bilion. Sebagai balasannya, kerajaan negeri Selangor akan memindah milik aset air kepada PAAB dengan jumlah yang sama secara pegangan pajakan selama 45 tahun," kata kenyataan bersama itu.


Selain itu, dalam Perjanjian Utama itu, turut terkandung PAAB akan memajakkan aset air yang diambil alih, kepada Air Selangor Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Taklimat terperinci Isnin ini

Posted: 12 Sep 2014 10:47 AM PDT

Pelabuhan Klang: Kerajaan negeri akan memberikan satu taklimat terperinci mengenai penstrukturan industri air, Isnin ini.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, taklimat berkenaan kelak akan memperincikan langkah pengambilalihan syarikat konsesi yang sudah menyatakan persetujuan untuk diambilalih kerajaan negeri.


"Kita akan berikan beberapa langkah tentang pengambilalihan syarikat konsesi air agar ia dibuat dengan betul.

"Dengan pengambilalihan ini, rakyat akan menikmati kebaikan daripada penstrukturan industri air di negeri ini," katanya selepas Majlis Serah Cek Bantuan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Selangor Fasa 2, di sini, malam tadi.


Semalam, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat menandatangani Perjanjian Utama Penstrukturan Air negeri ini.


Dengan termeterainya perjanjian itu, industri air di negeri ini akan dikawal sepenuhnya oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Air Selangor Sdn Bhd.

Sebelum ini, kerajaan negeri dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 26 Februari lalu dan Perjanjian Mengenai Persefahaman 1 Ogos lalu.


Semua aset syarikat konsesi yang diambil alih dan Loji Langat 2 serta sistem agihan diuruskan Air Selangor Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

No comments:

Post a Comment