Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Kene sabotaj?

Posted: 12 Sep 2014 11:13 AM PDT

Surabaya: Tiada layanan kelas pertama buat skuad Harimau Malaya yang tiba di Surabaya, Indonesia semalam apabila sesi latihan mereka diadakan dalam stadium gelap.

Skuad kendalian Dollah Salleh mengadakan sesi latihan pertama di sebelah petang di Stadium Gelora Delta Sidoarjo, namun ia tidak seperti diharapkan menjelang aksi persahabatan dengan Indonesia jam 6 petang waktu Malaysia esok.

Sesi latihan yang sepatutnya diadakan pada jam 6 petang (waktu Malaysia) semalam dilewatkan setengah jam atas permintaan jurulatih Indonesia Alfred Riedl sebelum lampu stadium pula secara tiba-tiba terpadam beberapa minit ketika sesi latihan diadakan, seolah-olah ada unsur sabotaj.

Bagaimanapun Dollah tetap tenang kerana beliau dan anak buahnya bersedia dengan segala tekanan.

Foto

LATIHAN skuad negara lewat setengah jam dari waktu asal.


"Mereka mahu mengadakan latihan lebih hari ini (semalam) dan kami berlatih agak lewat. Saya sudah biasa dan ia bukan satu masalah," katanya.


Bagaimanapun di sebalik ketenangan itu terbit kegusaran di hati pengendali berusia 51 tahun itu apabila pemain pertahanan tengah, Mohd Muslim Ahmad mengalami kecederaan otot.

"Saya sebenarnya mahu melihat keadaan Muslim pada sesi latihan ini. Saya harap kecederaannya tidak serius.

"Saya mahu menggunakan tiga pemain pertahanan tengah dan jika dia tidak cergas saya masih mempunyai Ronny Harun sebagai pengganti," kata Dollah.

Ketika ditanya mengenai kekuatan Indonesia Dollah berkata: "Saya tidak mempunyai banyak maklumat mengenai pasukan Indonesia, tapi kami sudah bersedia untuk memberi tentangan."

Aksi menentang skuad Garuda perlawanan kedua kendalian Dollah selepas dilantik jurulatih, menggantikan Datuk K Rajagobal pada 1 Julai lalu.

Sebelum ini anak buahnya tewas 1-4 di tangan Tajikistan pada perlawanan persahabatan sebagai persiapan ke Piala AFF pada November.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Riedl gusar taktikal Dollah

Posted: 12 Sep 2014 11:01 AM PDT

Surabaya: Kehadiran Dollah Salleh bersama skuad Harimau Malaya mencetuskan persoalan buat jurulatih Indonesia Alfred Riedl mengenai sejauh mana kemampuan pasukan negara menjelang aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Gelora Delta Sidoarjo esok.

Pengendali dari Austria itu mengakui pertemuan dengan Malaysia diibaratkan permusuhan baru buat kedua-dua pasukan.

"Saya tidak tahu mengenai kekuatan mereka selepas dibimbing jurulatih baru.

"Mereka juga mungkin membuat pertukaran pemain dan sistem permainan berbeza dan saya tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi latihan skuad Garuda semalam.


Riedl yang kembali bersama Indonesia buat kali kedua selepas semusim pada 2010 bimbang dengan tahap kecergasan pemainnya selepas seri 0-0 dengan Yaman dalam aksi persahabatan Selasa lalu.


"Memang sukar untuk kembali cergas dalam tempoh singkat kerana pemain memerlukan masa selepas perlawanan itu.

"Saya masih belum puas hati dengan persembahan ketika menentang Yaman dan saya harap mereka boleh beraksi lebih baik menentang Malaysia," katanya

Bagi persiapan menentang Malaysia, Riedl menyenaraikan 24 pemain termasuk gandingan penyerang Irfan Bachdim dan Cristian Gonzales yang dipanggil semula menyarung jersi Garuda.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Izham taruhan sekat Korea

Posted: 12 Sep 2014 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Sepasang 'tangan emas' milik Izham Tarmizi Roslan bakal memainkan peranan penting buat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) mengawal gawang daripada dibolosi dalam aksi penuh getir menentang Korea Selatan di Sukan Asia Incheon esok.

Bekas pemain Harimau Muda A yang beraksi bersama skuad juara Liga Super tahun ini Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menjadi calon terbaik untuk mengisi posisi penjaga gol berdasarkan pengalamannya.

Menurut Izham, 23, dia sedar tugas berat menanti mereka apabila turun menentang juara tiga kali, Korea yang pasti mengasak kubu skuad negara habis-habisan untuk melakar kemenangan dalam aksi pembukaan Kumpulan A di depan penyokong sendiri.

"Kita akan menentang pasukan tuan rumah pada perlawanan pertama dan itu bukan tugas mudah. Kebanyakan pemain pernah beraksi menentang Korea pada kelayakan Piala AFC (2012) dan itu serba sedikit memberikan pengalaman buat kami.


"Kami akan cuba memberikan tentangan untuk sekurang-kurangnya mencatat keputusan seri dengan Korea," katanya.


Selain Izham, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu turut memiliki Farhan Abu Bakar untuk menjadi benteng terakhir negara.

"Ini satu penghargaan buat saya untuk bersama pasukan ini dan saya tidak fikir kedudukan saya selamat dalam pasukan kerana Farhan juga penjaga gol yang bagus," kata Izham.

Skuad B-23 kini sudah berada di Incheon dan akan memulakan kempen menentang Korea esok sebelum menentang Laos dan Arab Saudi untuk ke pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Peluang Iskandar pamer sengat

Posted: 12 Sep 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain perseorangan negara Iskandar Zulkarnain Zainuddin mahu membuktikan pemilihannya ke temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan tepat dan bukan sekadar nasib berikutan keputusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengetepikan nama Liew Daren.

Iskandar yang sering dibayangi barisan pemain senior dan berdepan kecederaan hamstring awal tahun ini berkata, sekarang masa terbaik untuknya melangkah lebih maju dalam kariernya selepas tersenarai dalam acara berpasukan.

"Saya memang berdebar, tapi pada masa sama gembira sebab terpilih.
"Mungkin ada yang kata saya bernasib baik terpilih sebab ketiadaan Liew Daren, tapi kalau diturunkan saya akan memberikan segala-galanya untuk dibuktikan," katanya.

Foto

ISKANDAR (dua dari kanan) mendapat tunjuk ajar daripada Datuk Lee Chong Wei ketika sesi latihan.

Jelas Iskandar, selain latihan di atas gelanggang, dia juga sering menyaksikan ulang tayang video pemain ketiga negara lain.

"Nak perbaiki semua corak permainan di atas gelanggang memang tak sempat. Saya ada alternatif lain iaitu mengkaji corak permainan lawan menerusi video," katanya.

Iskandar berkata, pentas Sukan Asia sememangnya jauh lebih sukar berbanding Sukan SEA yang menyaksikannya beraksi di Myanmar, Disember lalu.

"Di Sukan SEA saya bermain acara individu. Banyak tekanan dihadapi, tapi saya banyak belajar perkara baru.

"Tapi di Sukan Asia, saya akan beraksi dalam acara berpasukan dan harap dapat menimba ilmu lagi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Semangat baru Daren

Posted: 12 Sep 2014 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Kegagalan terpilih ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan umpama memberi suntikan semangat baru kepada pemain perseorangan Liew Daren apabila terus mempamerkan aksi cemerlang di Kejohanan Indonesia Masters semalam.

Pada aksi suku akhir, Daren yang diletakkan pilihan kesembilan kejohanan mempamerkan aksi meyakinkan dengan menewaskan pemain India, B Sai Praneeth 21-15, 21-16 dalam tempoh 39 minit bagi menempah tiket ke separuh akhir hari ini.

Aksi meyakinkan itu meneruskan rentak cemerlangnya selepas menewaskan pilihan pertama, Dionysius Hayom Rumbaka kelmarin.

"Saya rasa sudah melakukan yang terbaik.

Praneeth nampak keletihan mungkin kerana terpaksa berhempas-pulas menewaskan lawannya sebelum itu.

"Lebih mudah untuk saya menewaskannya daripada dijangkakan," katanya ketika dihubungi semalam.

Menanti Daren di separuh akhir H S Prannoy dari India yang juga pilihan kelima kejohanan.

Sementara itu seorang lagi pemain perseorangan negara, Zulfadli Zulkiffli turut cemerlang apabila menewaskan wakil tuan rumah Ivanudin Rifan Fauzin 21-19, 21-12.

Zulfadli akan bertemu seorang lagi wakil tuan rumah Firman Abdul Kholik di separuh akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

June Wei mara separuh akhir

Posted: 12 Sep 2014 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Cheam June Wei terus mempamerkan aksi cemerlang pada Kejohanan Badminton Remaja Dunia Bawah 19 tahun apabila menempah tiket ke separuh akhir, hari ini.

Pada suku akhir semalam, Jun Wei yang diletakkan selaku pilihan pertama kejohanan menewaskan pemain Korea Selatan, Lee Jun Su 11-7, 11-8, 11-7 pada perlawanan yang memakan masa 27 minit.

Pemain berusia 17 tahun itu akan menentang rakan senegara, Muhammad Iqram Muala Azman pada separuh akhir hari ini.

Muhammad Iqram juga tidak berdepan masalah menewaskan Saehul Islam dari Indonesia 11-3, 11-8, 11-10.


R Satheishtharan muncul seorang lagi pemain remaja lelaki negara berjaya melangkah ke separuh akhir hari ini.


Pada suku akhir, Satheishtharan menewaskan rakan senegara Chin Wai Kin 11-9, 11-7, 11-7.

Menantinya di separuh akhir pilihan keenam dari Korea Selatan, Seo Seung Jae.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Cabaran lebih sukar

Posted: 12 Sep 2014 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Tiga acara keirin (lelaki dan wanita) dan pecut individu lelaki menjadi taruhan ketua jurulatih negara John Beasley untuk menggegar di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan selepas melakukan persiapan rapi untuk menghadapi temasya itu.

Pelumba sensasi negara, Azizulhasni Awang menjadi taruhan utama apabila bersaing dalam acara keirin dan pecut selain pecut berpasukan manakala Fatehah Mustapa yang disifatkan Beasley berada dalam keadaan terbaik turut mampu menyumbangkan pingat.

"Sasaran saya dua pingat dengan salah satunya emas. Saya melihat Azizulhasni dan Fatehah berada pada prestasi terbaik dengan persediaan berjalan seperti dirancang selepas berada di Chiang Mai, Thailand sejak tiga minggu lalu.

"Bagaimanapun, cabaran kali ini lebih sukar berbanding Kejohanan Asia di Kazakhstan kerana untuk Sukan Asia kami akan bersaing di velodrom terbuka yang mempunyai laluan lebih panjang (berbanding tertutup) dan tiupan angin kencang. Ia bakal memberikan kelebihan kepada atlet mempunyai susuk tubuh lebih besar untuk menghadapi cabaran ini.

Foto

AZIZULHASNI


"Malaysia sebaliknya mempunyai pelumba bersaiz kecil dan segala-galanya bergantung kepada kepantasan dan kekuatan untuk meraih kejayaan.


"Segala-galanya tidak memihak kepada kami kerana velodrom dan keadaan persekitaran memberi kelebihan kepada atlet Jepun dan Korea yang sudah biasa menggunakan trek itu untuk saingan kejohanan keirin profesional. Kami turun sebagai underdog, namun sudah bersedia sepenuhnya dan melakukan kajian secukupnya," katanya.

Malah menurut Beasley, segala persiapan dilakukan di velodrom terbuka sejak berakhirnya Sukan Komanwel lalu seterusnya ke Jerman dan Chiang Mai bagi menjalani latihan fasa akhir yang berakhir semalam.

Skuad negara meraih sebutir pingat emas di Guangzhou, China empat tahun lalu menerusi Azizulhasni yang mengungguli acara keirin dengan kontinjen Malaysia pastinya berharap ia mampu diulangi di Incheon kali ini.

"Saya jangkakan saingan sangat kompetitif dalam semua acara individu. Kami akan bergelut untuk meraih pingat dalam acara berpasukan lelaki dan wanita.

"Josiah Ng masih bergelut untuk kembali cergas selepas kemalangan ngeri di Mexico tahun lalu dengan kategori wanita pula hanya Fatehah pelumba pecut manakala Jupha Somnet atlet trek endurance yang beraksi untuk acara itu, ia sesuatu amat berbeza," katanya.

Skuad trek negara diwakili lima pelumba, Azizulhasni (keirin, pecut individu dan berpasukan), Josiah (keirin, pecut berpasukan), Mohd Edrus Yunos (pecut individu dan berpasukan), Fatehah (keirin, pecut individu dan berpasukan) dan Jupha (pecut berpasukan dan omnium).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Skuad hoki wanita sedia lakar kejutan

Posted: 12 Sep 2014 10:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas sekian lama dibayangi pasukan lelaki negara, skuad hoki wanita sudah bersedia untuk melakukan kejutan pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bermula 19 September ini.

Ketua jurulatih Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menegaskan, skuad kali ini lebih mantap dan beliau yakin anak buahnya akan membuktikan sesuatu di Incheon nanti.

"Saya dapat melihat tahap permainan setiap pemain meningkat dari masa ke semasa.
"Jika kita perhatikan pada Sukan Komanwel lalu, skuad negara sudah tidak gentar lagi untuk beraksi dengan mana-mana pasukan.

Foto

KETUA Kontinjen Malaysia ke Sukan Asia, Datuk Danyal Balagopal Abdullah (tengah) bertemu pemain hoki wanita di Bukit Jalil.

"Saya yakin pada Sukan Asia kali ini kami boleh melakukan kejutan," katanya.

Jelas Nasihin, anak buahnya tidak akan menunjukkan rasa hormat meskipun lawan mereka di Sukan Asia nanti mempunyai ranking lebih tinggi.

"Sekarang kami memang tidak peduli tentang ranking lawan. Yang kami tahu apabila turun pada setiap perlawanan, kami akan memberikan yang terbaik," katanya.

Pada temasya Sukan Asia kali ini, skuad negara diundi dalam Kumpulan A bersama China serta India yang mempunyai ranking lebih tinggi berbanding skuad negara selain Thailand.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

'Sasaran munasabah'

Posted: 12 Sep 2014 10:53 AM PDT

Kuala Lumpur: "Sasaran yang boleh diterima." Demikian pandangan bekas Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Wira Mazlan Ahmad ketika diminta mengulas sasaran lapan pingat emas yang diberikan kepada kontinjen negara ke temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan.

Jelas beliau, pandangannya itu berasaskan jumlah itu menyamai sasaran 2010 dan hanya mengalami penurunan sedikit iaitu satu emas berbanding sembilan emas diraih di Guangzhou, China empat tahun lalu.

"Kalau turun sampai 40 peratus (daripada pencapaian 2010), barulah tidak boleh diterima," katanya ketika dihubungi semalam.

Mazlan berpendapat, sasaran lapan emas itu juga mengambil kira kegagalan temasya Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland baru-baru ini.

"Saya jangkakan pengurus atau jurulatih dalam satu-satu persatuan itu cuak untuk beri sasaran tinggi kerana mereka melihat akibat daripada kegagalan di Glasgow.

"Sebab itulah mereka membuat sasaran lebih konservatif," katanya.

Ditanya adakah wajar untuk persatuan sukan bersikap begitu, Mazlan mempunyai pendapatnya tersendiri.

"Saya faham perasaan mereka.

Kalau sasar lebih, mereka pasti akan kena akibatnya.

Lebih baik mereka meletakkan sasaran yang lebih selamat." Bagaimanapun di sebalik dapat menerima sasaran lapan emas itu, Mazlan juga menegaskan sekiranya kontinjen negara tidak mampu mencapai angka itu, ia boleh dianggap satu kegagalan.

"Kalau tak dapat lapan (emas), maka ia satu kegagalan.


Kemungkinan untuk kontinjen negara meraih lebih daripada lapan emas juga ada.

"Sebab ada sukan yang tidak mengalami kesan daripada impak di Sukan Komanwel, akan beraksi di Sukan Asia selain sukan yang sentiasa menjadi penyumbang emas untuk negara," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi laporan Arena Metro semalam berkata, sasaran lapan emas itu realistik selepas mengambil kira kajian serta laporan pelbagai pihak termasuk persatuan sukan kebangsaan, Institut Sukan Negara (ISN), Majlis Sukan Negara (MSN) serta pendapat beliau sendiri.

Begitupun, angka itu dilihat tiada peningkatan dan hanya menyamai sasaran 2010 yang menyaksikan kontinjen negara meraih sembilan emas, lebih satu daripada yang disasarkan sekali gus menjadi pencapaian terbaik Malaysia sepanjang beraksi di Sukan Asia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

Jeremy idam emas

Posted: 12 Sep 2014 10:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Pelayar utama negara Jeremy Joo mensasarkan akan meraih pingat emas acara perahu layar di Sukan Asia yang akan berlangsung di Incheon Korea Selatan, bermula 19 September ini.

"Kami sudah meningkatkan latihan, baik dari segi fizikal dan mental untuk menghadapi temasya itu.

Berdasarkan perlumbaan sejak akhir-akhir ini, kami sendiri begitu terkejut dengan peningkatan yang kami pamerkan.

"Pergerakan kami begitu pantas dan cara kru kami bertindak di bot sungguh membanggakan.

Setiap orang begitu pantas," katanya kelmarin.

Persembahan jitu mereka itu hasil latihan dan pengorbanan yang diberikan pasukan itu.

"Setiap orang begitu positif dan komited terhadap apa yang kami impikan.


Setiap orang sedar mereka sudah banyak berkorban (seperti mengambil cuti tanpa gaji) dan sehubungan itu mereka menganggap Sukan Asia sebagai pentas penting untuk meraih sesuatu," kata ketua pasukan itu.

Kali terakhir Malaysia memenangi emas acara perahu layar di Sukan Asia apabila Rufina Tan muncul juara acara Optimist Wanita di Doha 2006, manakala pada 2010, pasukan negara hanya membawa pulang dua perak dan satu gangsa.

Kali terakhir pelayar lelaki negara meraih emas 20 tahun lalu apabila Ryan Tan menang acara Opitimist Terbuka di Hiroshima 1994.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/13

No comments:

Post a Comment