Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Lembu tiga mata, dua hidung mati

Posted: 17 Sep 2014 02:48 PM PDT

Nibong Tebal: Seekor anak lembu yang dilahirkan dengan tiga mata dan dua hidung di Ladang Byram, di sini, menarik perhatian orang ramai khasnya penganut agama Hindu untuk melihat sendiri keunikan haiwan berkenaan.

Pemiliknya, M Thangamani, 62, berkata, anak lembu betina itu dilahirkan jam 6.45 pagi Isnin lalu, namun haiwan berkenaan didapati mati jam 7.45 malam kelmarin selepas 37 jam dilahirkan.

Beliau berkata, keunikan haiwan itu menarik perhatian masyarakat India dari beberapa negeri selepas berita mengenai kelahiran lembu pelik itu mula menjadi viral dan tersebar di laman sosial termasuk Facebook.

"Sebelum anak lembu ini dilahirkan, saya terjaga secara tiba-tiba jam 2 pagi dan ketika itu hati saya resah seperti petanda sesuatu yang pelik akan berlaku menyebabkan saya tidak dapat melelapkan mata.

Foto

ANAK lembu berkepala dua memiliki tiga mata dan dua hidung.


"Pada pagi itulah saya menyaksikan kejadian paling mengejutkan dan pelik dalam hidup selepas mendapati anak lembu ini dilahirkan dengan tiga mata dan dua hidung. Dua mata di sisi kiri dan kanan seperti lembu normal manakala satu lagi berada di tengah-tengah kepalanya," katanya.


Thangamani berkata, anak lembu istimewa itu dilahirkan seekor lembu betina yang dibelinya dari sebuah ladang di Pantai Remis, Perak, pada 2008 dan tidak mengesan sebarang tanda pelik dengan haiwan berkenaan.

Dia yang merasa bertuah dengan kelahiran anak lembu berkenaan pada mulanya bercadang menyerahkan haiwan berkenaan kepada sebuah kuil berhampiran, namun hasratnya itu terbantut selepas ia mati.

Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu datang untuk melihat haiwan pelik itu dipercayai menyebabkan lembu betina berkenaan merasa terganggu dan enggan menyusukan anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Terjerat akhirnya

Posted: 17 Sep 2014 02:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Lima penganggur menjadikan stesen transit aliran ringan (LRT) Wangsa Maju dan Taman Melati dekat sini sebagai lubuk untuk mereka menjalankan kegiatan mencuri motosikal.

Semua lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu yang dipercayai bergiat aktif lebih enam bulan lalu ditahan polis ketika melalui sekatan jalan raya di sekitar Wangsa Maju dan Setapak.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supritendan Nor Azman Muhamad Yusuf berkata, lima suspek terbabit ditahan dalam operasi besar-besaran yang dijalankan polis bagi membanteras jenayah di daerah itu.

"Hasil pemeriksaan mendapati semua suspek menunggang motosikal curi yang dilaporkan hilang sejak beberapa bulan lalu.

Semua suspek ditahan dalam tangkapan berasingan dari 10 hingga 15 September lalu," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam.

"Siasatan awal mendapati mereka aktif melakukan kegiatan curi motosikal di stesen LRT dengan menggunakan kunci pendua," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju, semalam.

Katanya, setakat ini hanya lima motosikal berjaya ditemui semula.

Sementara itu, dalam kes berasingan Nor Azman memberitahu pihaknya menahan lima lelaki berusia 22 hingga 45 tahun bersabit kesalahan memiliki dadah jenis heroin.

Menurutnya, semua suspek diberkas dalam serbuan Isnin lalu di sebuah rumah di Desa Rejang, Setapak, di sini, selepas polis menjalankan risikan selama seminggu ke atas suspek.

"Hasil serbuan polis menemui heroin seberat 87 gram yang dianggarkan bernilai RM2,300," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Drebar temui ajal di selekoh berbukit

Posted: 17 Sep 2014 02:45 PM PDT

Kuala Lumpur: Anggota bomba mengambil masa lebih tiga jam untuk mengeluarkan mayat pemandu lori yang tersepit di tempat duduk selepas kenderaan dipandunya terbabas di kilometer 14.5 Jalan Genting Highland-Kuala Lumpur petang, semalam.

Dalam kejadian jam 6.10 petang itu, mangsa dikenali sebagai K Veloo berusia 30-an maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa anggota badan.

Rakan mangsa dikenali sebagai Dhanis, 25, menyelamatkan diri dengan melompat ketika lori berkenaan hampir merempuh pembahagi jalan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohammad Mansor Mohammad Nor berkata, kejadian berlaku apabila mangsa gagal mengawal lori ketika melalui jalan berselekoh dan berbukit.

Foto

KEADAAN lori dipandu Veloo yang terbabas di pembahagi jalan.


"Polis masih melakukan siasatan mengenai kejadian sama ada ia disebabkan masalah teknikal atau kecuaian pemandu," katanya.


Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Bentong untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Maut tersilap pusingan U

Posted: 17 Sep 2014 02:45 PM PDT

Kuantan: Seorang lelaki terbunuh apabila kereta yang dipandunya secara melawan arus bertembung dengan tiga kenderaan lain di Kilometer 25, Jalan Pintasan Sungai Ular dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 9 malam itu, mangsa Mohamad Othman, 58, dari Kemaman, Terengganu mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Pemangku Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik negeri Deputi Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kejadian berlaku apabila mangsa yang memandu Perodua Kancil dari arah pusat bandar menuju Kemaman dikatakan membuat pusingan 'U' lalu memasuki laluan bertentangan.

Menurutnya, mangsa kemudian cuba berpatah balik sebaik menyedari tersilap laluan sebelum keretanya bertembung dengan tiga kenderaan iaitu masing-masing sebuah van, pacuan empat roda dan kereta.

"Anggota bomba mengambil masa 15 minit mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya untuk pengebumian manakala pemandu dan penumpang tiga kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis menasihatkan orang ramai mematuhi undang-undang dan tidak mengambil mudah aspek keselamatan kerana boleh membahayakan nyawa," katanya.

Foto

ANGGOTA penyelamat mengeluarkan Mohamad yang maut akibat nahas di Jalan Pintasan Sungai Ular, Kuantan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

Digertak 15 konco gores dan menang

Posted: 17 Sep 2014 02:44 PM PDT

Seremban: "Sebelum ini kami ditampar ejen gores dan menang, kali ini diugut pula dengan kayu dan besi sepanjang satu meter," kata Low Beng Yen selepas dia mencuba nasib kali kedua menuntut supaya wang isterinya dipulangkan dalam kejadian di syarikat gores dan menang di Taman Bukit Kepayang, di sini, semalam.

Low, 54, berkata, dia dan rakannya, Kong Chee Tern, 50, datang ke pejabat syarikat berkenaan jam 11.30 pagi selepas tidak puas hati dengan keengganan ejen gores dan menang memulangkan semula wang RM1,200 walaupun dituntut pada Isnin lalu.

"Malangnya sekumpulan 15 lelaki disyaki ejen gores dan menang menyedari kehadiran kami dan menghalang dengan mengacu paip besi dan kayu," katanya di sini, semalam.

Menurutnya, kumpulan terbabit mahu menghalang dia daripada memasuki pejabat di tingkat satu premis perniagaan itu dan mendakwa akan memukul sekiranya mereka berdegil.

"Bimbang keselamatan kami, saya menghubungi Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Jason Lee Kee Chong meminta bantuan, " katanya.

Sementara itu, Jason berkata, beliau bimbang keselamatan kedua-dua sahabat itu berikutan tindakan ejen gores dan menang seperti samseng itu.

Menurutnya, selepas dimaklumkan mengenai kejadian, beliau segera menghubungi polis meminta bantuan.

"Saya kesal dengan kejadian itu yang menggambarkan seolah-olah sindiket gores dan menang tidak dapat dibendung lagi," katanya ketika ditemui di Balai Polis Jalan Campbell, di sini, selepas membuat laporan polis mewakili mangsa, semalam.

Beliau berharap pihak berkuasa memandang serius perkara itu sebelum kejadian lebih buruk berlaku kerana sindiket terbabit sanggup bertindak membahayakan nyawa orang ramai.

Foto

LELAKI disyaki ejen syarikat gores dan menang membawa kayu mengancam mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/18

No comments:

Post a Comment