Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Provokasi Sun Yang!

Posted: 18 Sep 2014 11:05 AM PDT

Incheon: Juara Olimpik acara renang China yang pernah mencetuskan kontroversi, Sun Yang mempertaruhkan satu sesi makan malam ala barbeku dengan pesaing dari Korea Selatan, Park Tae-hwan di samping berkata dia pasti menewaskan atlet tuan rumah berkenaan.

Dalam satu iklan komersial disiarkan stesen televisyen China, Sun mendakwa dia lebih hebat dalam acara yang disertainya berbanding Tae-hwan menjelang pertarungan mereka di kolam renang minggu depan.


"Tolong gandakan usaha anda," kata Sun. "Jangan biar saya menang terlalu mudah," katanya lagi sebelum melakukan terjunan ke kolam dan berenang dengan gaya itik.

Sun yang terkenal dengan minatnya terhadap kereta berkuasa tinggi serta wanita cantik, mencuri tumpuan di Olimpik London dua tahun lalu apabila muncul atlet lelaki China pertama menang emas di kolam renang apabila menakluk acara gaya bebas 400 dan 1,500 meter.


Imejnya bagaimanapun tercalar apabila ditahan polis selepas memandu kereta Porsche miliknya tanpa lesen. Dia dihukum penjara seminggu dan pihak berkuasa sukan China menggantungnya selama enam bulan.


Tetapi kemunculannya dalam iklan komersial itu sambil mempersendakan Tae-hwan seolah-olah memberi petanda dia sedia untuk kembali menggegar.

Foto

SUN Yang terkenal dengan kontroversi.

Sun mempersendakan Tae-hwan dengan berkata: "Encik Park, anda ialah kebanggaan Korea selain mempunyai peminat yang tidak terhitung ramainya. Anda cukup popular hinggakan venue pertandingan turut menggunakan nama anda. Tetapi saya tidak peduli." Dalam satu babak, Sun yang turut pernah terbabit dalam kontroversi berikutan perbalahan secara terbuka dengan jurulatihnya, membandingkan wajahnya dengan bintang Korea itu.


"Encik Park, biarlah kita bertaruh. Siapa yang kalah harus belanja yang menang dengan makan malam barbeku ala Korea." Salah satu babak dalam iklan komersial itu turut menunjukkan Sun memaki hamun Tae-hwan di dalam air dan suaranya diubah seperti suara Donald Duck.

"Encik Park, anda memecahkan rekod Asia dan temasya sebelum ini," katanya.


"Tetapi saya sudah memadam rekod berkenaan. Tahun ini di Incheon, cubalah cipta rekod baru jika anda berpeluang melakukannya." Dua perenang terkemuka Asia itu akan memulakan aksi dalam acara 200 meter Ahad ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Idam jadi legenda

Posted: 18 Sep 2014 10:59 AM PDT

London: Brendan Rodgers mendedahkan Mario Balotelli kini berusaha memahami sejarah Liverpool dengan mengkaji ikon kelab itu dalam usaha untuk menempatkan dirinya sebagai antara legenda Anfield.

Penyerang Itali itu yang dibawa masuk ke Merseyside dari AC Milan untuk menguatkan jentera serangan skuad Reds pada musim panas lalu meledak gol pertamanya untuk kelab itu ketika menentang Ludogorets Razgrad, Selasa lalu.


Ketika perlawanan memasuki minit ke-81 dan penyokong menantikan gol pertama kelab itu dalam kancah Liga Juara-Juara dalam tempoh lima tahun, Balotelli bijak merebut bola dalam kotak penalti sebelum meledak gol dengan menggunakan kaki kanan.

Bagaimanapun perlawanan tidak berakhir di situ apabila jaringan penalti Steven Gerrard pada masa tambahan mengesahkan kemenangan 2-1 namun gol pembukaan Balotelli itu tetap menjadi detik yang menggembirakan penyokong tuan rumah.


Turut teruja Rodgers yang menyifatkan penyerang itu memberi pengaruh kuat kepada pasukan serta mengakui sejarah kegemilangan lampau Reds melonjakkan semangat pemain berusia 24 tahun itu untuk berjaya.


"Mario pemain yang melihat kepada sejarah kelab dan dia mengenali penyerang hebat kelab ini dulu," kata Rodgers kepada Liverpool Echo.

"Kami pernah bercakap mengenai Luis Suarez ketika dia berada di sini. Dia masih muda, masih mahu belajar dan itulah yang menarik.


"Apabila saya bercakap dengannya ketika kali pertama bertemu, dia menyuarakan minat untuk belajar dan apabila anda melihat kesungguhannya ketika menentang Ludogorets, dia memang berusaha ke arah itu.

"Saya fikir gol akan datang apabila dia cergas dan berada di posisi terbaik untuk menjaringkan gol. Dia berada dalam kedudukan terbaik untuk mencipta sejarah bukan saja untuk kelab, tapi Liverpool." Bagaimanapun pengurus itu menegaskan pemain yang menyarung jersi nombor 45 itu perlu memperbaiki keseluruhan permainannya selain berusaha mengadaptasi gaya permainan kelab itu serta keadaan padang latihan di Melwood. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Kepantasan Chamberlain jadi taruhan

Posted: 18 Sep 2014 10:59 AM PDT

London: Alex Oxlade-Chamberlain percaya dia boleh membantu Arsenal mencipta kejayaan musim ini.

Pemain antarabangsa England itu antara pemain yang menyerlah untuk Gunners di Dortmund apabila kerap mencetuskan masalah kepada kelab Jerman itu menerusi kepantasannya apabila masuk sebagai pemain gantian.


Oxlade-Chamberlain tidak dapat menghalang Broussia daripada 2-0 Borussia namun dia yakin sudah bersedia untuk memikul tugas apabila diperlukan Arsene Wenger.

"Saya gembira dengan prestasi sendiri dan apabila diberi peluang bermain, saya bersemangat membantu pasukan," kata Oxlade-Chamberlain. "Terpulang kepada pengurus untuk menentukannya namun saya sentiasa bersedia.


"Saya bersaing untuk merebut tempat selama empat tahun. Saya sudah masak dengan permainan ini. Saya pemain muda dalam pasukan Arsenal ini dan memahaminya.


"Saya mahu bermain selagi boleh namun faham sama ada kami akan beraksi dalam kesebelasan utama atau pemain gantian, kami perlu memberikan aksi terbaik. Kami perlu fokus 100 peratus dengan peluang yang diberikan." Oxlade-Chamberlain meningkatkan tempo permainan Arsenal pada Rabu lalu dan dia menganggap itu antara kelebihan yang dimilikinya.

"Saya fikir mahu menjadi pemain seperti itu. Saya mahu menjadi pemain yang masuk dan memberikan impak dalam perlawanan dengan melarikan bola atau memberi semangat kepada pasukan," katanya.


"Saya akan terus lakukannya. Kami mempunyai ramai pemain yang boleh melakukannya. Jika semua pemain memberikan aksi terbaik, kami boleh mendapat keputusan yang diinginkan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Dilema Costa

Posted: 18 Sep 2014 10:58 AM PDT

London: Penyerang Diego Costa yang menjaringkan tujuh gol untuk Chelsea sepanjang empat penampilan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), tidak boleh beraksi lebih daripada sekali dalam seminggu kerana mengalami masalah hamstring, kata pengurus Jose Mourinho.

Mourinho dilihat kecewa apabila Chelsea hanya seri 1-1 dengan Schalke 04 dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Kumpulan G semalam dan beliau menurunkan kembali penyerang veteran, Didier Drogba di bahagian depan dengan Costa pula diletakkan di bangku simpanan.


Penyerang kelahiran Brazil itu yang berpindah ke Chelsea dengan nilai £32 juta (RM168 juta) dari Atletico Madrid, menggantikan Drogba pada minit ke-74, tetapi dia gagal mengekalkan sentuhan jaringannya termasuk empat gol ketika pra-musim dan tujuh gol dalam saingan liga serta hatrik ketika bertemu Swansea City Sabtu lalu.

Mourinho berkata, kecederaan Costa tidak ada kena mengena dengan kesakitan lama dialami pada penghujung musim lalu apabila dia hanya beraksi sembilan minit ketika berdepan Real Madrid dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara musim 2013.


Costa berjaya sembuh untuk bermain dengan Sepanyol di Piala Dunia.


"Ketika dia datang kepada kami, dia cergas sepenuhnya. Dia hanya mengalami kecederaan ketika bersama pasukan kebangsaan," kata Mourinho.

Foto

COSTA (dua dari kiri) menanduk bola ketika menentang Schalke 04.

Costa mengalami kecederaan ketika Sepanyol tumpas 0-1 kepada Perancis 4 September lalu dan Mourinho berkata, pemain itu tidak boleh beraksi lebih daripada satu perlawanan seminggu buat masa ini.


"Dia memerlukan tempoh seminggu untuk memberi ruang kepada ototnya sembuh sebelum memulakan aksi. Dia bermain Sabtu lalu dan tidak berada dalam keadaan yang baik untuk memulakan perlawanan ini," katanya.

Costa menjaringkan gol dalam Liga Juara-Juara di Stamford Bridge sebelum ini apabila menyempurnakan sepakan penalti ketika Atletico mencatat kemenangan 3-1 ke atas Chelsea musim lalu.


"Ia bukan untuk merehatkan Costa bagi perlawanan menentang Manchester City Ahad ini, ia kerana dia tidak berada dalam keadaan baik bagi memulakan perlawanan.


"Beraksi Sabtu lalu, tiga hari tidak cukup buatnya untuk kembali cergas. Dia akan beraksi menentang City, tetapi tidak boleh bermain menentang Bolton dalam saingan Piala Liga minggu depan," kata Mourinho. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Boateng calar misi City

Posted: 18 Sep 2014 10:57 AM PDT

Munich, Jerman: Rembatan menakjubkan Jerome Boateng ketika perlawanan berbaki seminit membolehkan Bayern Munich mencatat kemenangan dramatik 1-0 ke atas Manchester City pada aksi pembukaan Liga Juara-Juara semalam.

Penjaga gol City Joe Hart memberikan persembahan terbaik untuk sekurang-kurangnya membantu pasukannya membawa pulang satu mata ketika bertemu penyandang juara Liga Jerman itu di Munich Allianz Arena.


Namun bekas pertahanan City, Boateng melakukan sepakan voli yang menerjah jaring beberapa saat sebelum perlawanan tamat.

Hart berjaya menyelamatkan percubaan Thomas Mueller, David Alaba, Goetze dan Boateng, tetapi pemain antarabangsa England itu ditewaskan bagi membolehkan Bayern mencatat kemenangan pada perlawanan pembukaan Kumpulan E.


Jurulatih Bayern Munich Pep Guardiola berkata, pasukannya berdepan masalah untuk mengekang kemaraan pemain tengah City, Samir Nasri dan Jesus Navas pada awal saingan.


Bagaimanapun, beliau gembira melihat pasukannya kembali agresif dan mengawal permainan.

"Kami bermain dengan baik. Pada 20 minit awal City bermain lebih baik dan pada 15 minit akhir separuh masa kedua kami pula mendominasi permainan.


"Kami cipta banyak peluang menjaringkan gol. Bukan mudah menentang pasukan seperti City. Kami bermain sepenuh hati dan berhak menang," katanya.

Pengurus City Manuel Pellegrini dikenakan penggantungan dan tidak boleh berada di bangku simpanan, tetapi penolong jurulatih Ruben Cousillas mengakui City mampu bangkit pada pertemuan dengan Roma dan CSKA Moscow dalam usaha melayakkan diri ke peringkat kalah mati.


"Saya rasa kami bermain dengan baik dan ia persembahan yang menghiburkan penonton kerana kedua-dua pasukan cuba menjaringkan gol. Melepaskan gol pada minit akhir amat mengecewakan kami.


"Ia bukan permulaan yang baik apabila tumpas, tetapi masih ada lima perlawanan, semuanya bergantung kepada kami sendiri," kata Cousillas. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Barca nasib baik

Posted: 18 Sep 2014 10:56 AM PDT

Barcelona: Barcelona yang turun tanpa kekuatan penuh masih berupaya memulakan kempen Liga Juara-Juara mereka dengan persembahan jitu jika tidak luar biasa dengan tandukan Gerard Pique memastikan kemenangan 1-0 di gelanggang sendiri ke atas APOEL dalam aksi Kumpulan F, semalam.

Barca dijangka mendominasi permainan menentang pelawat dari Cyprus di Nou Camp dan selepas melakukan beberapa siri serangan, mereka akhirnya menembusi gawang lawan menerusi tandukan Pique hasil sepakan percuma Lionel Messi pada minit ke-28.


APOEL bertahan dengan baik dan berjaya mengekang gerakan gandingan penyerang Barca yang membariskan Messi dan Neymar sambil turut sesekali mengancam kubu tuan rumah.

Messi hampir menjaringkan gol, tetapi percubaannya ditepis penjaga gol APOEL, Urko Pardo ketika babak pertama berbaki lima minit dan satu lagi cubaan pada hujung permainan dihalang pertahanan Mario Sergio.


Ketika perlawanan lebih banyak berlegar di tengah padang, APOEL beroleh peluang terbaik dan penjaga gol Barca, Marc Andre ter Stegen terpaksa menepis cubaan Gustavo Manduca.


"Kami terpaksa bekerja keras," kata tonggak dan kapten Barca Xavi yang menyamai rekod 142 penampilan di Liga Juara-Juara selama ini dipegang bekas penyerang Real Madrid, Raul.

"Kami tidak beraksi seperti biasa dan ia benar-benar membuatkan kami berada dalam keadaan sukar. Mereka bertahan dengan baik," kata bekas pemain antarabangsa Sepanyol itu.


"Apabila perancangan tidak menjadi dan anda terlepas banyak peluang, lawan pasti bertambah yakin. Ia membuatkan kami tertekan, tapi kami tetap beroleh tiga mata yang kami inginkan." Tahun lalu, Barca disingkirkan Atletico Madrid di suku akhir, kali pertama kelab Catalan itu gagal melangkah ke separuh akhir sejak musim 2006-07. Jurulatih Gerardo Martino kemudian meletak jawatan selepas hanya semusim mengendalikan Barca.

Di bawah bimbingan jurulatih baru Luis Enrique, Barca memulakan La Liga dengan penuh yakin apabila menang semua tiga perlawanan dan dilihat tidak berdepan masalah melangkah ke pusingan kedua Liga Juara-Juara.


APOEL bertanding di peringkat kumpulan kejohanan elit Eropah itu buat kali ketiga dan pencapaian terbaik mereka layak ke suku akhir pada musim 2011-12.


"Ia aksi yang baik, tapi pasti lebih menarik jika kami seri," kata pemain tengah Stathis Aloneftis.


"Kita semua sedar kekuatan Barcelona. Kami memang mahukan keputusan seri, tapi tidak menjadi. Justeru, kami perlu terus berusaha," katanya.


"Kami mempunyai dua atau tiga peluang menjaringkan gol dan jika kami lebih tajam di bahagian depan, kami mampu mencipta sesuatu malam ini." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Hatrik Brahimi musnah BATE

Posted: 18 Sep 2014 10:52 AM PDT

Porto: Pemain tengah Algeria, Yacine Brahimi meledak hatrik untuk membantu Porto membelasah pasukan yang sering melakukan kesilapan, BATE Borisov 6-0 dalam aksi Liga Juara-Juara awal pagi semalam, kemenangan terbesar mereka dalam kejohanan ini.

Persembahan berkenaan mencetuskan amaran kepada pesaing Kumpulan H, Athletic Bilbao dan Shakhtar Donetsk dengan juara Belarus itu kelihatan begitu lemah dan menyumbang kepada kejatuhan pasukan sendiri akibat beberapa kesilapan bahagian pertahanan.


Porto, yang pernah menjulang Liga Juara-Juara 10 tahun lalu di bawah kendalian Jose Mourinho, mempamerkan kebangkitan selepas dibimbing bekas jurulatih Bawah 21 tahun Sepanyol Julen Lopetegui, melakar enam kemenangan dan satu keputusan seri dalam tujuh perlawanan musim ini.

Lopetegui dibawa masuk selepas persembahan buruk musim lalu apabila Porto menamatkan saingan di kedudukan ketiga liga dan tersingkir daripada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


Brahimi, yang tampil buat kali pertama di Liga Juara-Juara, memanfaatkan sepenuhnya kelemahan BATE, bermula dengan kesilapan penjaga gol BATE, Sergei Chernik pada minit kelima permainan.


Dia tersilap melontar bola kepada Brahimi, yang pantas meluru ke kotak penalti dan melakukan sepakan tinggi ke gawang walaupun memiliki ruang yang terhad.

Brahimi, yang mewakili Perancis pada semua peringkat umur bermula Bawah 16 hingga 21 sebelum menyertai Algeria, menambah jaringan menerusi gerakan solo pada minit ke-32, melakukan larian di bahagian tepi bermula daripada bahagian tengah dan bergerak ke dalam kotak penalti sebelum melakukan rembatan ke penjuru gol.


Ketika dominasi Porto berterusan, penyerang Colombia Jackson Martinez melakukan sepakan voli menggegar tiang sebelum meledak jaringan ketiga pada minit ke-37.

Martinez turut menggegar palang pada awal babak kedua namun penyokong tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk meraikan jaringan seterusnya.


Brahimi melakukan sepakan percuma cantik untuk melakar hatrik pada minit ke-57 dan empat minit kemudian, pemain gantian Adrian Lopez, yang tampil di aksi final bersama Atletico Madrid musim lalu, meledak jaringan kelima.


Vincent Aboubakar yang menggantikan Martinez, melengkapkan kemenangan besar pada minit ke-76 untuk memastikan Porto mengatasi rekod kemenangan terbesar dalam kejohanan itu, kejayaan 5-0 menewaskan Werder Bremen 20 tahun lalu.


"Ia adalah luar biasa bagi perlawanan pertama," kata Brahimi, yang membantu Algeria melangkah ke pusingan kedua Piala Dunia selepas melakar hatrik pertama dalam kariernya.


"Ini kali pertama saya menjaringkan tiga gol. Kami bermain dengan sangat baik dan perlu meneruskannya. Saya sangat gembira. Saya perlu mengucapkan terima kasih kepada semua."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Roma menang bergaya

Posted: 18 Sep 2014 10:52 AM PDT

Rome: Gervinho meledak dua gol pada babak pertama ketika AS Roma memastikan kehadiran semula dalam kancah Liga Juara-Juara berakhir penuh bergaya apabila menang besar 5-1 ke atas CSKA Moscow, awal pagi semalam.

Kali terakhir terakhir Roma hadir dalam kejohanan sama pada musim 2010-11 apabila melangkah ke pusingan kedua.


Namun selepas tiga tahun menanti dan menamatkan saingan di tempat kedua Serie A di belakang Juventus musim lalu, anak buah Rudi Garcia kini menetapkan sasaran utama mereka, meraih salah satu daripada dua tiket Kumpulan E yang turut dianggotai Bayern Munich dan Manchester City.

Roma akan bertandang ke Manchester pada 30 September untuk berdepan City yang tewas 0-1 kepada Bayern di Jerman.


"Apabila anda meraih tiga mata pada perlawanan pertama dalam saingan membabitkan enam perlawanan seperti Liga Juara-Juara (peringkat kumpulan), ia langkah yang penting," kata Garcia.


"Saya tidak fikir keputusan akhir mencerminkan kekuatan sebenar CSKA namun kami bermula baik dan berharap mampu meneruskannya." Garcia merehatkan sejumlah pemain utama untuk kunjungan skuad Giallorossi ke Empoli minggu lalu dan strategi berkenaan berjaya dengan pemain Argentina Juan Iturbe, yang berada di bangku simpanan ketika kemenangan 1-0 di Tuscany, membolehkan Roma mendahului 1-0 pada minit keenam selepas larian bijak membolehkan dia hanya berdepan Igor Akinfeev.

Juara Russia, CSKA berkunjung ke ibu negara Itali itu tanpa beberapa pemain kerana kecederaan dan penggantungan dengan mereka kerap mengejar bayang pemain tuan rumah sepanjang perlawanan.


Pergerakan dan hantaran bola Roma menghadirkan kesukaran bagi hampir setiap sentuhan pada peringkat awal perlawanan sebelum Gervinho menggandakan kelebihan tuan rumah pada minit ke-10 menerusi kawalan menarik sebelum melorongkan bola melepasi jangkauan Akinfeev.

Skuad kendalian Leonid Slutsky terlepas peluang terbaik yang mampu mengubah perlawanan pada minit ke-16 apabila Seydou Doumbia mengatasi lawan untuk membolehkannya berdepan satu lawan satu dengan Morgan De Sanctis. Namun hanya beberapa meter daripada penjaga gol Roma itu, Doumbia tersilap langkah dan hilang kawalan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

Pikat anak muda lasak

Posted: 18 Sep 2014 10:52 AM PDT

Kuantan: Penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti Malaysia 2014 diharap membantu menarik minat masyarakat, khususnya golongan belia menyertai sukan lasak itu.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri Datuk Mohd Johari Hussain berkata, inisiatif Harian Metro itu dilihat mampu mendidik masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan.


Justeru katanya, pemilihan Temerloh sebagai lokasi kedua selepas Kuala Kangsar pilihan tepat ketika ramai yang meminati sukan berbasikal lasak di negeri ini.

"Kita sememangnya mengalu-alukan semua jenis sukan yang mampu menarik belia ke arah gaya hidup sihat dan cergas.


"Kita juga bersedia bekerjasama dengan Harian Metro pada masa depan kerana Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri sering menganjurkan pelbagai aktiviti sukan lasak yang mensasarkan penyertaan golongan belia," katanya semalam.


Beliau berkata, kejohanan berkenaan juga diharap menarik minat pelumba sukan berbasikal dari seluruh negara untuk menghangatkan daerah Temerloh yang popular dengan jolokan 'Bandar Ikan Patin'.

Foto

Ketua Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Muhamad Mohd Nor (enam dari kanan) bersama Pengarah Kejohanan Husain Jahit menunjukkan baju-T rasmi MTB.

"Kita percaya barisan pelumba yang menyertai kejohanan ini puas hati dengan laluan disediakan. Ia menjadi cabaran baru kepada peserta selain menguji tahap kecergasan mereka.


"Pada masa sama, peserta akan dapat melihat suasana persekitaran menarik di sekitar Temerloh," katanya.

Pada kejohanan itu, empat kategori dipertandingkan iaitu Junior (Terbuka Lelaki Bawah 23), Elit (Terbuka Lelaki 24 hingga 39), Masters (Terbuka Lelaki 40 ke atas) serta Terbuka wanita (tanpa had umur).


Kejohanan Harian Metro MTB dijadual bermula di perkarangan Stadium Temerloh dengan peserta bakal menempuh trek sepanjang kira-kira 40 kilometer termasuk melalui beberapa kampung tradisional.


Antara kampung terbabit Kampung Kujan, Kampung Belengu, Kampung Tanjung Belengu, Kampung Lebak, Kampung Baru Lebak dan Kampung Pangsenam selain laluan ladang sawit membabitkan Ladang FELCRA, Karman Mengkarak dan Era Jaya Plantations Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

MTB gilap pelumba berbakat

Posted: 18 Sep 2014 10:50 AM PDT

Kuantan: Terengganu Revolution Cycling Team (TRCT) percaya penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti Malaysia 2014 akan menjadi penanda aras terhadap usaha melahirkan pelumba berkaliber pada masa depan.

Penaung TRCT Tengku Mohd Arifin Tengku Abdul Rahman berkata, kejohanan itu juga menjadi platform kepada generasi muda untuk membabitkan diri dalam aktiviti sukan lasak.


Katanya, pembabitan ramai peserta diharap dapat menyuntik semangat kepada pelumba untuk mencatat kejayaan di kejohanan lebih besar pada masa depan.

"Apabila generasi muda lebih terbabit dengan aktiviti bersukan, saya percaya golongan itu dapat menghindari diri daripada kegiatan tidak sihat.


"Secara tidak langsung, saya melihat kejohanan ini juga membantu mengatasi gejala tidak bermoral dalam kalangan generasi muda," katanya semalam.


Ditanya penyertaan TRCT, beliau mengesahkan 10 pelumba akan menghangatkan perlumbaan itu termasuk peserta muda sebagai sokongan dengan slogan kelab 'Jom Kayuh Sokmo'.

Menurutnya, sebagai sebuah pasukan yang baru dibentuk, pendedahan awal di Temerloh itu langkah pertama untuk melahirkan pelumba yang mampu bersaing pada kejohanan antarabangsa.


"Yang pasti kehadiran TRCT kali ini bukan sahaja untuk memberi pendedahan kepada ahli kelab. Malah, ia juga untuk mencungkil bakat baru disebabkan sambutan hangat dalam sukan berbasikal lasak ini.

"Kami harap dengan adanya kejohanan ini, ia akan menjadi satu platform kepada pelumba TRCT memantapkan diri di samping mengeratkan silaturrahim antara satu sama lain," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/19

No comments:

Post a Comment