Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Hajat emas lebur

Posted: 28 Sep 2014 12:49 PM PDT

Incheon: Khairul Anuar Mohamad, Atiq Bazil Bakri dan Haziq Kamaruddin meraih pingat sulung memanah negara pada temasya Sukan Asia dengan pingat perak acara berpasukan recurve lelaki, semalam.

Walaupun tumpas 0-6 di tangan China pada final, trio negara itu bertindak cemerlang layak ke perlawanan penentuan pingat emas dalam sukan yang tidak pernah menuai pingat sebelum ini.

"Kami tidak tahu menahu mengenai sejarah kerana sasaran kami hanyalah untuk layak ke separuh akhir," jelas Khairul, yang pada usia 23 tahun pemanah paling senior dalam pasukan.

"Kami amat gembira mendapat pingat, tapi juga sebenarnya mahukan pingat emas cuma China terlalu bagus berbanding kami hari ini (semalam)."

Foto

KHAIRUL Anuar (tengah), Atiq Bazil (kanan) dan Haziq hanya berjaya meraih pingat perak.


Haziq yang menjadi pembidik ketiga selepas Khairul dan Atiq, kelihatan tertekan dalam penampilan sulung Malaysia pada perlawanan akhir Sukan Asia.


Dia satu-satunya pemanah yang gagal melakukan catatan 10 daripada enam panahan malah melakukan enam pada set kedua.

Trio China, Gu Xuesong, Qi Kaiyao dan Yong Zhiwei yang mengejutkan Korea Selatan pada separuh akhir kelmarin, memenangi set pertama 57-54, diikuti 57-53 pada set kedua dan 58-57 pada set ketiga.

Jumlah mata kutipan Haziq 50 berbanding rakan sepasukannya Khairul (57) dan Atiq (56) ketika China berjaya membidik bulatan tengah 11 kali berbanding Malaysia lapan.

"Apa yang berlaku sudah berlaku dan saya tidak boleh berbuat apa-apa mengenainya sekarang," kata Haziq, 21.

"Hanya jurulatih dan saya tahu apa silapnya.

"Kami sudah cuba memenangi pingat emas, tapi kami tidak mampu mencapai apa yang kami harapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Nicol akur tak dapat nikmati aksi Olimpik

Posted: 28 Sep 2014 12:40 PM PDT

Kuala Lumpur: Datuk Nicol David mengaku dirinya kurang bernasib baik kerana tidak dapat merasai pengalaman beraksi di Sukan Olimpik meskipun sudah meraih pelbagai pencapaian di pentas antarabangsa.

Pemain nombor satu dunia itu melakar sejarah selaku atlet negara paling banyak memenangi pingat emas temasya Sukan Asia iaitu enam emas dengan dua daripadanya diraih di Incheon, Korea Selatan, baru-baru ini.

Kejayaan Nicol itu bermakna, dia mengatasi rekod empat emas yang dikongsi sebelum ini bersama bekas bintang olahraga Tan Sri Dr M Jegathesan, legenda badminton Datuk Ng Boon Bee dan pemain bowling veteran Shalin Zulkifli.

"Memang tidak bernasib baik apabila skuasy tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

"Tapi saya rasa sukan ini mempunyai potensi besar untuk dipertandingkan pada temasya sukan terbesar itu di masa depan," katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Nicol bagaimanapun tetap puas hati dengan pencapaian yang diraih sebelum ini termasuk terus kekal menduduki ranking pertama dunia.

"Sudah tentu saya bangga dengan pencapaian ini.

Di Sukan Asia pula, kami mencapai sasaran ditetapkan.

Saya turut bangga dengan pencapaian rakan sepasukan," katanya.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebelum ini meluahkan rasa kecewa terhadap kritikan di laman sosial yang mempertikaikan kemenangan Nicol pada Sukan Asia 2014 kelmarin berikutan sukan itu tidak dipertandingkan di Sukan Olimpik.

Foto

ATLET skuasy wanita negara (dari kanan) Nicol, Low Wee Wern, Vanessa Raj dan Delia Arnold mempamerkan pingat emas sebaik tiba di KLIA, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Wajib jinak regu Korea

Posted: 28 Sep 2014 12:39 PM PDT

Incheon: Skuad sepak takraw negara perlu bangkit melupakan kegagalan dalam acara berpasukan sebelum turun memburu pingat bagi acara regu Sukan Asia Incheon bermula hari ini.

Regu dibarisi Izurin Refin, Syazreenqamar Salehan, Fadzli Roslan, Zamree Dahan dan Syahir Rosdi kini perlu mengelakkan pertemuan dengan musuh tradisi Thailand pada separuh akhir seperti yang berlaku dalam acara berpasukan jika mahu merebut pingat emas.

Disebabkan itu, mereka perlu memulakan kempen dengan nota kemenangan menentang tuan rumah Korea Selatan dalam aksi Kumpulan B di Gimnasium Bucheon, hari ini.

"Kami tiada pilihan selain menewaskan Korea Selatan jika mahu menjadi juara kumpulan dan mengelak pertembungan separuh akhir dengan Thailand.

"Namun saya percaya pemain mampu bangkit dalam acara regu bermula dengan perlawanan menentang tuan rumah yang pernah kami tewaskan pada Piala Raja Thai tahun ini," kata ketua jurulatih Jamaluddin Hassan.

Sejak sepak takraw dipertandingkan pada temasya Sukan Asia Beijing 1990, Malaysia tidak pernah gagal mara ke perlawanan akhir regu dengan memenangi emas di Beijing dan Hiroshima 1994.

Selain Korea, regu negara turut bertemu Brunei, India dan Nepal dalam Kumpulan B manakala Thailand mengetuai Kumpulan A di samping Myanmar, China, Singapura dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Bebas dadah: Danyal

Posted: 28 Sep 2014 12:38 PM PDT

Incheon: Tiada sebarang kes doping membabitkan atlet wushu negara seperti yang didakwa sebelum ini.

Chef de Mission kontinjen negara Datuk Danyal Balagopal Abdullah mendedahkan laporan mengenai kes positif dadah yang dikaitkan dengan seorang peserta wushu Malaysia tidak wujud sama sekali.

Danyal menyatakan kekeliruan mengenai perkara itu disebabkan 'kesilapan pentadbiran' yang sudah diselesaikan.

"Tiada kes doping.

Tolonglah jangan bercakap mengenainya lagi," katanya selepas menyaksikan skuad memanah recurve lelaki negara meraih pingat perak, semalam.

"Kami sudah mencabar perkara itu dan ia disebabkan kesilapan pentadbiran.

OCA (Majlis Olimpik Asia) menyatakan tiada kes dan saya fikir tiada sebarang kes perlu ditangani.

"Saya hanya perlu menyediakan kertas kerja untuk diselesaikan antara saya dengan OCA.


Kami bersih." Minggu lalu, agensi berita kebangsaan China, Xinhua melaporkan seorang peserta wushu Malaysia antara tiga atlet yang didapati gagal dalam ujian air kencing pada temasya Sukan Asia Incheon.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Penerjun negara buka langkah

Posted: 28 Sep 2014 12:37 PM PDT

Incheon: Penerjun negara memulakan kempen pada Sukan Asia hari ini dengan harapan sedikit kesilapan penerjun China mampu membantu Malaysia meraih pingat emas.

Atlet China menyapu bersih setiap pingat emas terjun yang ditawarkan pada temasya itu sejak 1974 di Teheran iaitu 60 emas semuanya dan peluang penerjun negara lain menggugat penguasaan mereka dilihat sukar.

Malaysia memenangi empat pingat perak dan lima gangsa pada 2010 untuk menduduki tangga kedua di belakang China dalam sukan itu dan mereka sepatutnya mampu mengulangi pencapaian berkenaan.

Bintang terjun negara, Pandelela Rinong yang tiba di Incheon Khamis lalu, dilihat bersedia menjadi pertaruhan terbaik Malaysia menamatkan dominasi China.

"Kadang kala dalam kehidupan kita bermula dengan perlahan, tapi tidak mengapa kerana kami akan berakhir dengan kejayaan," tulis pemenang pingat gangsa acara platform Sukan Olimpik London 2012 dalam akaun Twitter semalam.

Acara pertama daripada 10 acara terjun bermula di Pusat Akuatik Munhak Park Tae Hwan membabitkan Cheong Jun Hoong-Wendy Ng dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita akhir.

Acara pertama Pandelela, 10m platform seirama wanita berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Trio lelaki sekadar perak

Posted: 28 Sep 2014 12:36 PM PDT

Incheon: Kegagalan bertindak cemerlang pada permainan terakhir menyebabkan trio bowling lelaki negara gagal memecah kebuntuan pingat emas pada temasya Sukan Asia Incheon, semalam.

Ketika mereka memerlukan 678 jatuhan pin pada permainan keenam dan terakhir untuk menang, gandingan Syafiq Ridhwan Abdul Malek, Timmy Tan dan Zulmazran Zulkifli sebaliknya hanya mengumpul 597 pin dan sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Mereka akhirnya kalah 80 pin berbanding pemenang pingat emas Tomoyuki Sasaki, Shogo Wada dan Shusaku Asato dari Jepun yang mengumpul 3,881 jatuhan pin.

Trio Korea Selatan, Kim Kyung Min, Park Jong Woo dan Choi Bo Keum meraih pingat gangsa dengan 3,715 pin.

"Saya gembira, tapi pada masa sama sedih kerana gagal memenangi pingat emas.

Saya tidak bermain dengan baik, tapi rakan-rakan saya lebih cemerlang," kata Zulmazran yang sebelum ini kecewa apabila menduduki tangga keempat acara perseorangan lelaki.

"Mungkin pingat emas belum berjaya diraih lagi, tapi kami harap ia dapat ditunaikan dalam acara lima sepasukan nanti." Satu lagi trio negara Adrian Ang, Rafiq Ismail dan Alex Liew sekadar menghuni tangga ke-10 dengan 3,640 pin.

Dalam acara trio wanita, pasukan negara juga gagal bertindak cemerlang apabila menghuni tempat keenam dan 16.

Bagaimanapun, Malaysia berpeluang cerah sekurang-kurangnya meraih satu pingat emas menerusi Sin Li Jane yang mendahului acara All-Events wanita selepas tiga acara.

Dia mendahului dengan perbezaan 25 mata di depan pemain Korea Selatan, Lee Na Young selepas mengumpul 3,901 jatuhan pin dan satu lagi permainan mantap sekitar 1,300 dalam acara lima sepasukan mampu membantunya memenangi emas.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Arul fokus sasaran keempat

Posted: 28 Sep 2014 12:36 PM PDT

Incheon: Dua daripada tiga sasaran awal pengendali sementara skuad hoki negara Arul Selvaraj sudah dipenuhi dan kini beliau berdepan sasaran keempat peribadi apabila bertemu Pakistan pada separuh akhir Sukan Asia, esok.

Arul, yang mempunyai masa kira-kira sebulan mempersiapkan skuad selepas dipilih memegang tugas itu secara sementara berikutan kekecewaan Sukan Komanwel Glasgow, bagaimanapun menyedari tugas getir menantinya bertemu pasukan juara bertahan itu.

Malah, beliau cuba menyembunyikan kebimbangan itu dan seolah-olah mahu mengendurkan tekanan sebelum berdepan pemenang pingat emas Sukan Asia lapan kali itu.

"Pada Sukan Asia kali ini, saya mempunyai lima sasaran yang perlu dipenuhi.

Satu daripadanya mengalahkan Jepun (menang 4-1 kelmarin).

Satu lagi layak ke separuh akhir.

"Kami akan menumpukan kepada usaha memenuhi sasaran itu.


Saya lebih fokus kepada pasukan sendiri, bukan pasukan lain.


"Saya fikir tiada gunanya jika anda lebih mengetahui mengenai pasukan lain sebaliknya tidak memahami pasukan sendiri," jelas Arul.

Rekod tidak memihak kepada pasukan negara yang hanya menang sekali dalam enam pertemuan dengan Pakistan tahun lalu.

Pada pertembungan terakhir dalam kejohanan Trofi Juara-Juara Asia di Kakamigahara November lalu, Malaysia tumpas 0-1.

Malaysia juga kalah 0-2 kepada lawan sama pada perlawanan penentuan pingat emas Sukan Asia Guangzhou empat tahun lalu.

Arul pastinya mahukan anak buahnya terutama pakar sudut penalti Razie Rahim meneruskan rentak cemerlang selain menuruti arahannya seperti ketika menumbangkan Jepun kelmarin jika bercita-cita menyingkirkan Pakistan.

"Saya hanya minta pemain memikirkan tanggungjawab mereka untuk menang sebagai satu pasukan.

Mereka mengikut arahan saya dengan baik dan aspek positif ini perlu diteruskan," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Ogunode lelaki terpantas Asia

Posted: 28 Sep 2014 12:35 PM PDT

Incheon, Korea Selatan: Atlet Qatar Femi Ogunode menamatkan acara 100 meter (m) Sukan Asia dengan catatan di bawah 10 saat, sekali gus bergelar Raja Pecut manakala atlet China, Wei Yongli dimahkotakan anugerah Ratu Pecut selepas memenangi emas 100m wanita.

Dilahir dan dibesarkan di Nigeria, Ogunode pernah memenangi emas 200 dan 400m empat tahun lalu dan kali ini, dia memilih untuk beraksi dalam acara 100 dan 200m di Incheon.

Ketika tugasnya dilihat menjadi lebih mudah selepas penarikan diri atlet Jepun, Yoshihide Kiryu akibat kecederaan, catatan 9.93 saat yang dilakar itu mengesahkan kedudukannya selaku lelaki terpantas Asia.

"Saya sentiasa yakin dengan kebolehan diri," katanya. "Saya tidak tahu apa yang mahu dikatakan. Saya sangat gembira. Selepas berlatih dan bertungkus lumus empat bulan, saya kini tidak sabar untuk pulang bertemu keluarga."

Foto

OGUNADE.

Foto

WEI Yongli dinobat Ratu Pecut selepas ungguli 100m wanita.


Sementara itu, Wei Yongli mengatasi atlet Jepun, Chisato Fukushima yang menduduki tempat kedua sambil atlet Kazakhstan, Olga Safronova berada di tempat ketiga.


"Saya tidak pernah terfikir mampu muncul juara," kata Yongli. "Saya mempunyai jurulatih yang sangat bagus dari Amerika Syarikat." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Afif takluk Teluk Intan

Posted: 28 Sep 2014 12:32 PM PDT

Kuala Lumpur: Ahmad Afif Amran meraih kemenangan kedua kategori CP130 musim ini selepas berjaya menakluk perlumbaan akhir di litar Teluk Intan, Perak pada saingan Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, semalam.

Selepas ketinggalan di kedudukan kedua hingga ke pusingan terakhir, peluang pelumba PETRONAS Yamaha-AHM itu hadir pada selekoh terakhir apabila Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang mendahului perlumbaan melakukan kesilapan ketika membuat pertukaran gear untuk melepasi selekoh pusingan-U sekali gus membuka ruang buat Afif untuk memintas dan seterusnya memenangi perlumbaan dengan masa keseluruhan 16:58.225s.

Zaqhwan terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan masa 16:59.105s manakala Ahmad Fazli Sham (PETRONAS Yamaha Maju Motor) ketiga, 17:05.236s.

"Keupayaan jentera yang cukup bagus, ditambah keadaan fizikal dan mental kental sepanjang perlumbaan, strategi saya berjaya dan akhirnya memenangi perlumbaan," katanya.

Gelaran naib juara sudah cukup untuk Zaqhwan melebarkan jurang sebagai pendahulu dengan mengumpul 120 mata, 11 mata mengatasi pencabar terdekat, Norizman Ismail (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing) manakala Afif naik ke tangga ketiga dengan 98 mata.

Dalam kategori CP115, pasukan Motul Yamaha YY Pang menyapu bersih ketiga-tiga kedudukan podium buat kali kedua musim ini, sekali lagi menerusi gandingan Tengku Amirul Haffirudin, Zaidy Mohd Zaifaizal dan Mohd Izzat Zaidi Salehan selepas kali pertama melakukannya pada perlumbaan pusingan kelima di Temerloh, Pahang, Jun lalu.

Tengku Amirul muncul juara selepas menamatkan 15 pusingan perlumbaan dengan masa 14:23.883s diikuti Zaidy kedua, 14:24.090s manakala Izzat ketiga, 14:25.652s.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

Tonik tambahan Red Giants

Posted: 28 Sep 2014 12:31 PM PDT

Shah Alam: Menjuarai Piala Sultan Selangor buat kali ketiga berturut-turut kelmarin dianggap satu petanda positif buat pasukan Selangor menjelang saingan suku akhir Piala Malaysia yang akan berlangsung Jumaat ini.

Menurut pengendali Mehmet Durakovic, kemenangan 2-1 mengalahkan Pilihan Singapura yang disaksikan 70,000 penyokong itu, setidak-tidaknya menaikkan semangat pemain menjelang pertemuan dengan FELDA United.

"Ini sangat bagus untuk persiapan Piala Malaysia, saya gembira kerana kami berjaya mencatat kemenangan, semua bermain baik untuk membuktikan mereka bersedia untuk berjumpa FELDA United," katanya yang juga bekas pemain import Selangor era 90-an.

Jelasnya, mereka berhak menang kelmarin dan mampu menjaringkan lebih banyak gol berikutan kombinasi dan semangat ditunjukkan anak buahnya.

"Kami juga mendominasi perlawanan dan saya anggap ia adalah persediaan terbaik untuk Piala Malaysia," katanya yang turut beraksi dalam perlawanan antara Veteran Selangor dan Veteran Singapura dengan keputusan perlawanan terikat 1-1.

Jurulatih kelahiran Australia itu mengakui beraksi bersama pasukan Veteran Selangor dapat mengimbau sekali kenangan ketika bermain dari 1995 hingga 1998.

"Memang sesuatu yang menarik dapat bermain dengan pasukan Veteran Selangor, tetapi ia lebih meninggalkan kesan jika kami memenangi perlawanan itu.

"Saya suka melihat penyokong datang membanjiri stadium dan memberi sokongan kepada kedua-dua pasukan Selangor, promosi yang dijalankan amat hebat sekali," katanya.

Pilihan Selangor berjaya mencatat hatrik selepas muncul juara pada 2012 dan 2013, dengan Paulo Rangel muncul wira menjaringkan gol pada minit ke-45 dan 80, manakala jaringan saguhati Pilihan Singapura disumbangkan Leonel Felice pada minit ke-68.

Sementara itu Veteran Selangor pula memperoleh jaringan melalui Anuar Abu Bakar pada minit ketujuh sebelum Steven Tan menyamakan kedudukan melalui sepakan penalti minit ke-20.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/29

No comments:

Post a Comment