Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Perak jadi penawar

Posted: 29 Sep 2014 10:35 AM PDT

Incheon: Sakit tidak menghalang dua penerjun negara Cheong Jun Hoong dan Wendy Ng daripada menyumbang pingat perak dalam acara 3 meter papan anjal seirama wanita pada temasya Sukan Asia Incheon, semalam.

Jun Hoong masih berasa sakit di lutut dan buku lali manakala Wendy bahu dan belakang badan namun kedua-duanya mengumpul 287.70 mata untuk meraih perak dalam acara yang dimenangi penerjun ternama China, Wu Minxia-Shi Tingmao dengan 318.60.


Gandingan Korea Utara, Choe Ung Yong-Kim Ji Nok merangkul pingat gangsa dengan 274.32 mata di Pusat Akuatik Munhak Park Tae Hwan.

"Kami masih berasa sakit ketika melakukan terjunan tapi memaksa diri untuk melupakan semua itu. Sebelum melakukan terjunan, kami mendapatkan dulu rawatan pakar fisio bagi mengurangkan rasa sakit.


"Mujurlah semuanya menjadi seperti yang diharapkan dan perak ini amat bermakna kerana saya dan Jun Hoong berganding semula selepas dipisahkan ketika Sukan Komanwel Glasgow," kata Wendy yang meraih perak keduanya selepas berpasangan dengan Leong Mun Yee di Guangzhou 2010.


Kedua-duanya tidak digandingkan bersama oleh jurulatih Yang Zhuliang di Glasgow dua bulan lalu namun mereka kembali disatukan di Incheon.

Foto

PASANGAN Jun Hoong- Wendy Ng dan Yi Wei-Tze Liang bersama pingat yang dimenangi.

"Sudah tentu saya gembira kerana turut membantu Wendy mempertahankan perak yang dimenanginya di Guangzhou. Kami memang berhak meraikan pencapaian ini selepas bekerja keras dalam latihan," kata Jun Hoong, pemenang gangsa 3m papan anjal individu empat tahun lalu.


Sementara itu, Chew Yi Wei-Ooi Tze Liang meraih pingat gangsa dalam acara 10 meter platform seirama lelaki apabila mengumpul 384.90 mata, ketinggalan 78.00 mata kepada pasangan China, Zhang Yanquan-Chen Aisen dari China yang meraih emas manakala perak dimenangi Kim Yeong Nam-Woo Ha Ram dari Korea Selatan (403.50).

"Saya berasakan cabaran pada Sukan Asia amat sukar. Jepun dan Korea Utara pun kuat jadi saya bangga kerana berjaya naik ke podium," kata Yi Wei, yang meraih pingat gangsa acara sama pada Sukan Komanwel Glasgow.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

'Maafkan saya'

Posted: 29 Sep 2014 10:32 AM PDT

Manchester: Kapten Manchester United Wayne Rooney (gambar) memohon maaf kepada semua rakan sepasukannya selepas dia dibuang padang ketika menentang West Ham United dalam saingan Liga Perdana, Sabtu lalu susulan terjahan keras ke atas Stewart Downing.

"Ia mungkin keputusan yang tepat," kata Rooney seperti yang dilaporkan laman web BBC. "Sudah pasti saya perlu memohon maaf." Rooney yang berkata tidak akan merayu terhadap keputusan berkenaan, tidak dapat diturunkan menjelang pertemuan setempat pada 2 November menentang Manchester City dengan dia kini menjalani penggantungan tiga perlawanan selepas insiden terbabit.


Kekasaran yang dilakukan Rooney dianggap sebagai 'gila dan tidak bertanggungjawab' oleh pengurus West Ham Sam Allardyce manakala pengurus Manchester United Louis van Gaal pula mempertahankan keputusan pengadil Lee Mason.

"Saya melihat pemain West Ham mahu melakukan serangan balas dan saya cuba untuk menghentikan rentak mereka namun tersilap pertimbangan," kata Rooney.


"Saya lega dan gembira apabila rakan sepasukan mampu mempertahankan kelebihan satu gol yang kami peroleh." Pasukan diwakili Rooney melakar kemenangan 2-1 walaupun terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika saingan masih berbaki 30 minit. - Reuters

Foto

ROONEY (kanan) mengaku bersalah lakukan kekasaran ke atas Downing.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Berahino wira West Brom

Posted: 29 Sep 2014 10:30 AM PDT

London: Dua jaringan penyerang Saido Berahino membolehkan pasukan yang sedang menduduki tangga pertengahan liga, West Bromwich Albion melakar kemenangan memberangsangkan 4-0 ke atas Burnley pada saingan Liga Perdana (EPL), malam tadi.

West Brom meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas menewaskan Tottenham dalam saingan EPL dan Hull City di Piala Liga.


Berahino meledak jaringan pada setiap babak selepas Craig Dawson membuka jaringan sekali gus menghadirkan Clarets kekalahan ketiga di peringkat liga.

Pemain tengah Graham Dorrans menambah jaringan keempat ketika saingan berbaki seminit.


Burnley yang baru kembali ke kancah utama, masih gagal menjaringkan gol dalam tempoh hampir sembilan jam perlawanan liga dan kelihatan ditakdirkan untuk bersaing daripada tersingkir kerana kelab berkenaan berada di kedudukan tercorot ketika ini.


Burnley tidak menjaringkan gol dalam tempoh 436 minit setakat ini. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Hart sedia beraksi

Posted: 29 Sep 2014 10:29 AM PDT

London: Penjaga gol Manchester City Joe Hart akan kembali beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara menentang Roma di laman sendiri awal pagi esok.

Pengurus Manuel Pellegrini membuat keputusan meletakkan pemain antarabangsa England itu di bangku simpanan ketika mereka mencatat kemenangan 4-2 ke atas Hull City Sabtu lalu.


Pemain Argentina Willy Caballero yang dibawa masuk dari Malaga dengan bayaran £4.4 juta (RM23.4 juta) pada musim panas lalu diberi peluang untuk membuat penampilan pertama dalam Liga Perdana.

Namun, ketika ditanya adakah Hart akan kembali diturunkan bagi pertemuan dengan Roma, Pellegrini berkata: "Betul. Dia juga dalam prestasi terbaik ketika ini." City perlu kembali bangkit untuk mencipta kemenangan ke atas Roma selepas tumpas pada perlawanan pembukaan kumpulan Liga Juara-Juara 0-1 kepada Bayern Munich di gelanggang lawan pada 17 September lalu.


Hart, 27, diturunkan dalam perlawanan di Jerman itu dan ketika seri 1-1 dengan Chelsea empat hari kemudian di tempat sendiri.


Bagaimanapun, Pellegrini memilih untuk menggunakan Caballero bagi dua perlawanan terakhir ketika membelasah Sheffield Wednesday 7-0 dalam perlawanan Piala Liga dan mengatasi Hull.

Foto

HART bakal diturunkan menentang Roma.

Pengendali itu berkata, ketiadaan Hart dalam kesebelasan utama sebelum ini hanyalah sebahagian daripada sistem penggiliran pemain yang digunakannya dan dia akan kembali beraksi menentang Roma yang kini mengumpul mata sama dengan pendahulu Serie A Juventus.


"Ia perlawanan penting kerana Roma memenangi perlawanan pertama dan kami pula tewas," kata Pellegrini.

"Ia saingan peringkat kumpulan yang sangat sukar dan kami tidak boleh keciciran mata di laman sendiri. Ia penting untuk kami memenangi perlawanan ini." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Mourinho 'pening' pilih penyerang

Posted: 29 Sep 2014 10:28 AM PDT

London: Pengurus Chelsea Jose Mourinho berdepan dilema untuk memilih penyerang utama apabila beliau kembali ke tempat bermulanya karier bola sepak di Portugal untuk mengecewakan bekas majikannya di Sporting Lisbon bagi aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Jika semuanya dalam keadaan terbaik, Mourinho pasti akan menurunkan penyerang berbisa Diego Costa untuk menewaskan kelab yang memberi peluang kepadanya untuk berkecimpung dalam bidang kejurulatihan dua dekad lalu sebagai jurubahasa kepada pengurus Bobby Robson.


Namun, sebaliknya dengan masalah kecederaan hamstring menyelubungi Costa, Mourinho yang masih berharap untuk menurunkan bintang Sepanyol itu kini mungkin terpaksa memilih sama ada akan menggunakan Didier Drogba atau Loic Remy bagi misi menghidupkan semula kempen Chelsea di peringkat Kumpulan G Liga Juara-Juara selepas seri dengan Schalke.

Costa hanya tampil pada suku terakhir permainan itu apabila jentera serangan Chelsea tampak kurang mengancam. Drogba yang masih belum menjaringkan gol sejak kembali ke Chelsea adalah salah seorang pemain yang banyak mensia-siakan peluang di depan gol. Remy pula setakat ini hanya meledak satu gol sejak berpindah dari QPR.


Melakar kemenangan di gelanggang lamanya bukan tugas mudah bagi Mourinho memandangkan Sporting pasti mahu meneruskan rekod empat tahun, 16 perlawanan tanpa kalah termasuk 13 kemenangan dalam kejohanan Eropah di Stadium Alvalade.


Kehadiran Costa yang mencipta permulaan sensasi dalam kariernya di Liga Inggeris dengan menyumbat lapan gol dalam enam perlawanan Liga Perdana termasuk ketika menang 3-0 ke atas Aston Villa Sabtu lalu pasti sekali lagi menjadi kunci kejayaan mereka.

Mourinho menjelaskan pemain berusia 25 tahun itu masih mengalami masalah hamstring di kaki kirinya, sekali gus menyebabkan dia sukar berlatih.


"Dia tidak boleh mempamerkan permainan terbaiknya. Dia langsung tidak berlatih. Dia cuma berehat dan melakukan program pemulihan otot kakinya yang tegang. Saya mahu menurunkannya. Kita tunggu dan lihat." Sporting yang memulakan kempen pertama Liga Juara-Juara selepas lima tahun dengan keputusan seri 1-1 di Maribor kini berada di tangga tercorot kumpulan.

Sporting di bawah kendalian jurulatih baru Marco Silva masih belum tewas dalam semua kejohanan musim ini walaupun lima daripada perlawanan itu berakhir dengan keputusan seri 1-1.


"Ia akan menjadi perlawanan yang menarik dan kami mahu membuktikan kemampuan sebenar pasukan kami," kata Silva selepas sekali lagi seri 1-1 dengan Porto pada Jumaat lalu.


Chelsea akan berdepan musuh lama, Nani yang beraksi sebagai pemain pinjaman daripada Manchester United. Kelab di Stamford Bridge iu pasti mengingati aksi pemain sayap Portugal itu yang menjadi antara pemain yang menjaringkan gol pada penentuan sepakan penalti untuk United mengalahkan Chelsea pada final 2008 di Moscow.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Tagih bisa Cavani

Posted: 29 Sep 2014 10:20 AM PDT

Paris: Paris St Germain (PSG) dilihat berdepan tugas sukar tanpa khidmat penyerang Zlatan Ibrahimovic menjelang aksi bertemu Barcelona pada saingan Kumpulan F Liga Juara-Juara awal pagi esok.

Selepas seri pada perlawanan pertama di Ajax Amsterdam, skuad bimbingan Laurent Blanc itu perlu meminimumkan kesilapan apabila melayan kunjungan Barcelona yang membelasah Granada 6-0 pada saingan La Liga, minggu lalu.


Sudah dua perlawanan PSG tidak dapat menggunakan khidmat Ibrahimovic selepas penyerang Sweden itu berdepan kecederaan tumit dan ketiadaannya jelas memberi kesan apabila mereka sekadar mencatat keputusan seri 1-1 di Toulouse, Sabtu lalu.

PSG belum pernah tewas musim ini tetapi mereka sudah melakar enam seri daripada sembilan perlawanan dalam semua pertandingan dan nampaknya hanya Ibrahimovic yang mampu mengubah nasib kelab Perancis itu.


"Barisan kakitangan kami akan melakukan apa saja bagi membolehkan dia kembali cergas.


"Dengan kecederaan yang menimpa, kami tidak dapat melakukan apa yang sudah dirancang. Kami perlu bersabar," kata Blanc.

Tanpa Ibrahimovic, Blanc boleh memasukkan Edinson Cavani di bahagian serangan tetapi penyerang Uruguay berkenaan mempamer aksi hambar setakat ini.


Jean-Christophe Baheback mungkin menjadi pilihan selepas menjaringkan gol ketika bertemu Toulouse Sabtu lalu. Pemain Brazil Lucas juga boleh diturunkan selepas mempamer aksi meyakinkan sejak kebelakangan ini.

PSG mungkin tidak dapat menurunkan penyerang Argentina Ezequiel Lavezzi yang berdepan kecederaan paha minggu lalu ketika pasukannya menang 2-0 ke atas Caen.


Barcelona pula tidak berdepan masalah besar seperti yang menimpa PSG.


Neymar dan Lionel Messi menjaringkan lima gol ketika bertemu Granada dan ia membuktikan tahap persefahaman antara mereka berdua semakin bagus.


Neymar yang juga penyerang antarabangsa Brazil mencetak hatrik kedua selaku pemain Barcelona sementara Messi meledak dua gol untuk mengumpul 400 gol peribadi untuk kelab dan negaranya.


"Tahun pertama adalah untuk menyesuaikan diri tetapi saya rasa mampu memberikan aksi lebih baik lagi.


"Banyak kali kami berdua digandingkan dan saya sangat gembira dengan gol yang disumbangkan. Ia adalah hasil kerjasama rakan sepasukan juga," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Aksi CSKA tanpa penyokong

Posted: 29 Sep 2014 10:19 AM PDT

Moscow: Beraksi bertemu juara lima kali, Bayern Munich pada saingan Liga Juara-Juara sepatutnya menjadi antara tumpuan utama CSKA Moscow musim ini tetapi malang bagi juara Russia itu apabila mereka perlu beraksi secara tertutup dalam saingan Kumpulan E awal pagi esok.

CSKA diarahkan untuk beraksi di stadium kosong oleh badan induk bola sepak Eropah, UEFA berikutan aksi luar batas peminat mereka ketika bertemu Viktoria Plzen pada Disember tahun lalu.


Selepas tewas 1-5 kepada AS Roma pada perlawanan pertama dua minggu lalu, CSKA kini berdepan tugas sukar bertemu Bayern tanpa penyokong setia mereka.

Kali terakhir kedua-dua kelab itu bertemu adalah di Khimki Arena yang menyaksikan Bayern mencatat kemenangan 3-1 pada peringkat sama setahun lalu.


Leonid Slutsky berharap anak buahnya mempamerkan aksi terbaik selepas menang tujuh daripada sembilan saingan Liga Perdana Russia musim ini tetapi beliau mengaku pasukannya perlu mengatasi kerapuhan benteng pertahanan selepas bolos tiga kali ketika mencatat kemenangan 4-3 ke atas Ural Yekaterinenburg.


"Pasukan ini tidak seimbang dan kami nampak sangat lemah di barisan pertahanan," katanya.

Menambahkan kebimbangan mereka ialah apabila penyerang Seydou Doumbia tidak dapat menjalani latihan selepas berdepan kecederaan ketika bertemu Lokomotiv Moscow minggu lalu.


Ketika Slutsky berharap Doumbia akan dapat diturunkan apabila bertemu Bayern, beliau sudah pasti tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah Pontus Wernbloom dan Alan Dzagoev yang menjalani hukuman penggantungan.

Bayern yang juga juara Bundesliga, bermula baik apabila menewaskan Manchester City 1-0 dan akan bertemu CSKA dengan beberapa masalah kecederaan pemain.


Kelab itu akan bertemu CSKA tanpa pertahanan Holger Badstuber, pemain tengah Bastian Schweinsteiger, Franck Ribery, Thiago Alcantara dan Javi Martinez.


Bayern belum pernah tewas pada saingan Bundesliga kali ini dengan terbaru mencatat kemenangan 2-0 ke atas Cologne minggu lalu.


Selepas tewas 0-1 pada perlawanan separuh akhir pertama di Real Madrid, Bayern tidak tewas dalam 10 perlawanan Liga Juara-Juara di tempat lawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Mickelson melampau

Posted: 29 Sep 2014 10:18 AM PDT

Gleneagles: Kritikan Phil Mickelson terhadap kapten Piala Ryder Amerika Syarikat (AS) Tom Watson mencetuskan pelbagai reaksi kelmarin dengan bekas kapten Eropah Colin Montgomerie dan Nick Faldo menganggap tindakan pemain itu sebagai melampaui batas.

Bekas pemain Jelajah PGA Brandel Chamblee yang kini bertugas sebagai penganalisa golf bersama stesen Golf Channel pula melabel Mickelson sebagai pemain golf yang merosakkan pengalaman di Piala Ryder.


Sejurus selepas AS tewas di tangan Eropah kelmarin, Mickelson dalam satu sidang akhbar memberitahu Watson tidak bersama pemain dan beliau sepatutnya mengekalkan sistem yang dilihat berjaya untuk AS pada 2008.

Bagaimanapun, Montgomerie dan Faldo mengulas tindakan Mickelson yang juga bekas pemain nombor dua dunia itu dengan berkata dia sepatutnya tidak menghebohkan perkara berkenaan.


"Adakah kita perlu berbalah selepas kita tewas? Jawapannya ialah tidak sama sekali," kata Montgomerie yang mengetuai skuad Eropah ketika menjulang Piala Ryder di Celtic Manor pada 2010.


"Anda sepatutnya menyokong kapten tidak kira dalam apa keadaan sekalipun. Di tempat awam, anda perlu menghormati kapten anda.

"Pihak PGA AS menganggap Tom Watson selaku pilihan terbaik untuk mengembalikan Piala Ryder tetapi nampaknya ia tidak berjalan seperti dijangka." Faldo yang tewas Piala Ryder di Valhalla pada 2008 ketika kapten AS Paul Azinger berjaya menerusi sistem tersendiri, bersetuju dengan pandangan rakannya itu.


"Ia sepatutnya menjadi perbincangan di kalangan pemain saja," kata Faldo. "Phil tidak menghormati Tom Watson." Montgomerie mengakui kepentingan kapten pasukan di Piala Ryder terlalu dilebihkan.

"Pasukan Eropah bermain lebih cemerlang (di Gleneagles) dan ia adalah semudah itu," kata Montgomerie.


"Saya rasa Tom Watson sudah melakukan yang terbaik. Sebenarnya tidak kira siapa yang menjadi kapten. Ia terpulang kepada pemain untuk mengutip mata." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Keadaan Rossi stabil

Posted: 29 Sep 2014 10:17 AM PDT

Barcelona: Legenda Itali Valentino Rossi tidak sedarkan diri selepas terbabit kemalangan ketika perlumbaan MotoGP di Sepanyol kelmarin dan dia dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pelumba Yamaha berusia 35 tahun itu yang juga juara dunia sebanyak enam kali dalam semua kategori, gagal mengawal jenteranya sebelum terbabas ketika awal perlumbaan di Litar Motorland Aragon.


"Valentino tidak sedarkan diri dan kami bimbang otaknya mengalami gegaran. Bagaimanapun, berdasarkan pandangan pakar neurologi, keadaannya tidak membimbangkan," kata pengarah perubatan MotoGP Michele Zasa dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Yamaha.

"Dia dibawa ke hospital di Alcaniz untuk pemeriksaan lanjut terutamanya ujian imbasan ke atas otaknya. Hasil ujian mendapati tiada pendarahan berlaku ke atas otaknya.


"Sebagai langkah berjaga-jaga, keadaannya akan terus dipantau tetapi semua pihak tidak perlu bimbang," kata kenyataan itu lagi.


Rossi memenangi perlumbaan sebelum ini yang berlangsung di Litar Misano dan berharap dapat menamatkan satu lagi perlumbaan di podium ketika aksi di Sepanyol tetapi saingan yang berlangsung dalam hujan itu dimenangi pelumba tuan rumah, Jorge Lorenzo. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Pelumba puas hati

Posted: 29 Sep 2014 10:14 AM PDT

Temerloh: Majoriti peserta Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia di Temerloh, Sabtu lalu, berpuas hati dengan perjalanan kejohanan berkenaan, malah ada menganggapnya antara yang terbaik pernah dianjurkan terutama dari sudut teknikal dan trek.

Kehadiran beberapa nama besar sukan berbasikal negara seperti Anuar Manan, Nurul Suhada Zainal (gambar) dan Nik Mohd Azwan Zulkefli yang menyertai kejohanan berkenaan selain peserta luar negara, memeriahkan lagi suasana serta memberikan lebih persaingan.


Seorang peserta, Saad Ismail, 42, berkata dia yang mempunyai banyak pengalaman kerana menyertai kejohanan MTB di merata tempat, menyifatkan pusingan kedua Kejohanan Harian Metro MTB di daerah ini antara yang terbaik pernah disertai setakat ini.

"Tiada banyak masalah dihadapi peserta apabila trek yang digunakan sangat baik kerana memenuhi ciri diidamkan iaitu luas, halangan mencabar, suasana semula jadi, penunjuk arah tepat serta petugas sentiasa membantu.


"Malah konsep kejohanan dengan dua kategori iaitu XC Metro dan Open Metro (Jamboree) sememangnya menarik perhatian kebanyakan peserta daripada pelumba amatur kerana mereka tidak perlu bersaing dengan profesional sekali gus membuka peluang menaiki podium," katanya dari Shah Alam, Selangor.


Saad berkata, dia tidak puas berkayuh walaupun selepas menamatkan perlumbaan sejauh 40 kilometer kerana menganggap trek terbabit sangat menyeronokkan malah tidak kisah jika penganjur menetapkan perlumbaan dibuat dalam dua pusingan.

Foto

PESERTA melalui beberapa kampung tradisional di bandar Temerloh.

Sementara itu, peserta dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Mohd Darus Rashid, 50, berkata dia pernah melalui pengalaman pahit menyertai kejohanan MTB di tempat lain apabila trek disediakan penganjur sangat teruk dan tidak sesuai untuk pertandingan.


"Namun pada kejohanan Harian Metro MTB kali ini, saya dapat katakan trek sangat baik malah menguji kemahiran peserta dan jika ada yang mengalami masalah, itu disebabkan mereka kurang persediaan atau kemahiran.

"Malah kami dapat mendedahkan teknik dan pengalaman baru kepada ahli junior kelab kami (Kelab Pacman) yang turut sama menyertai kejohanan ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment