Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Guna tangan gali rakan tertimbus

Posted: 02 Oct 2014 11:58 AM PDT

Petaling Jaya: Empat pekerja kontraktor Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) hanya menggunakan tangan untuk mengorek runtuhan tanah dalam usaha menyelamatkan rakan mereka yang tertimbus.

Dalam kejadian jam 1.40 tengah hari semalam, mangsa lelaki warga Bangladesh berusia 27 tahun dan seorang lelaki tempatan berusia 42 tahun nyaris maut apabila dinding lubang sedalam lebih dua meter digali runtuh secara tiba-tiba berhampiran Damansara Damai, di sini.

Kejadian dipercayai berlaku ketika dua mangsa itu sedang melakukan kerja menggali bagi menggantikan paip air di kawasan terbabit.

Difahamkan, mangsa yang masuk ke dalam lubang berkenaan terperangkap apabila tembok tanah pada lubang itu runtuh sebelum menimbus mangsa.

Foto

MANGSA yang terimbus terbaring menunggu ketibaan pasukan perubatan.

Foto

LUBANG di mana runtuhan menimbus dua pekerja kontrak SYABAS.


Mangsa warga tempatan berusia 42 tahun yang tertimbus sehingga paras pinggang sempat dibantu empat rakan lain.


Mereka kemudian mengorek timbunan tanah menggunakan tangan bagi mengeluarkan mangsa kedua yang tertimbus paras leher.

Usaha itu berhasil apabila lelaki Bangladesh itu berjaya ditarik keluar dari lubang itu walaupun mangsa mengalami sesak nafas.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Imigresen terus pantau dewan, sekolah sarang PATI

Posted: 02 Oct 2014 11:53 AM PDT

Seremban: Rentetan pendedahan mengenai dewan orang ramai dan bangunan sekolah agama yang tidak digunakan di sebuah kampung di Labu, dekat sini, yang dijadikan bilik sewa untuk pendatang asing tanpa izin (PATI) serbuan dan operasi pihak berkuasa diteruskan.

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sembilan Faizal Fazri Othman berkata, pihaknya meneruskan pemantauan bagi memastikan tiada PATI yang 'bermaharajalela' di kawasan berkenaan.

Terdahulu, pihaknya menahan 41 PATI membabitkan 17 warga India, Indonesia (16), Bangladesh (6) dan masing-masing seorang Pakistan dan Nepal atas kesalahan tinggal lebih masa dan tiada dokumen pengenalan diri pada jam 3 pagi kelmarin.

Menurutnya, selepas serbuan itu, pihaknya menjalankan pemeriksaan kali kedua kira-kira jam 12 tengah malam kelmarin di kampung berkenaan untuk mengesan saki baki PATI.

"Namun, hasil serbuan berkenaan, tiada warga asing menghuni dewan dan sekolah agama berkenaan.

Kita tidak menolak kemungkinan ada yang sudah melarikan diri lebih awal berikutan mengetahui rakan mereka ditahan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Harian Metro semalam melaporkan Jawatankuasa Pengurusan Kampung LB Johnson, di sini, bersetuju menyewakan dewan lama itu kepada sebuah kilang selepas wakilnya memberitahu mahu menempatkan pekerja, namun tidak mengetahui pekerja itu adalah PATI.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan satu unit dewan orang ramai dan bangunan sekolah agama yang tidak lagi digunakan diubah suai pihak tertentu dengan membina bilik sewa kepada PATI.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak enam bulan lalu dan sehingga kini puluhan PATI menginap di situ dengan membuat bayaran antara RM50 hingga RM100 sebulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Azab dalam gelap

Posted: 02 Oct 2014 11:53 AM PDT

Kulim: Seorang wanita menempuh detik mengerikan apabila kaki kirinya tertusuk besi sepanjang satu meter akibat cuba mengelak satu objek ketika menunggang motosikal di Bukit Kukus, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 8 malam, mangsa, Nurul Syazlinda Mat Yusub, 19, dari Kampung Permatang Pasir, Bandar Baharu, di sini, dalam perjalanan berjumpa suaminya, Muhamad Rahimi Sobari, 25, yang ketika itu berada di Padang Serai, dekat sini.

Menurutnya, ketika menunggang motosikal, dia ternampak penunggang motosikal di hadapannya cuba mengelak sesuatu objek.

"Saya sempat melihat objek itu terpelanting dalam keadaan gelap. Walaupun saya tidak tahu objek apa, namun saya mengangkat kedua-dua kaki untuk mengelak objek berkenaan.

Foto

NURUL Syazlinda menerima rawatan di Hospital Kulim.

Foto

KAKI Nurul Syazlinda tertusuk besi selepas cuba mengelak objek di jalan.


"Bagaimanapun, kaki kiri saya berasa seperti terkena sesuatu. Saya sangka hanya seketul batu.


"Tidak lama kemudian, kaki kiri saya pedih dan sakit, namun saya gagahkan diri meneruskan perjalanan sehingga beberapa meter dari tempat kejadian," katanya ketika ditemui di Hospital Kulim (HK), di sini, semalam.

Nurul Syazlinda berkata, dia memberhentikan motosikal di tepi jalan di kawasan cerah dan terkejut melihat besi satu meter menembusi kaki kiri di buku lali.

"Saya tergamam lalu terus menghubungi talian kecemasan 999 serta menghubungi suami dan saudara memaklumkan kejadian itu.

"Akibat terlalu takut dan sakit, saya hanya duduk di atas motosikal sambil menangis sementara menunggu bantuan tiba.

"Beberapa penguna jalan raya yang berhenti turut terkejut apabila saya menunjukkan keadaan kaki saya.

"Selepas setengah jam, barulah ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba dan memberikan rawatan sebelum membawa saya ke HK," katanya.

Menurutnya, ketika berada di wad kecemasan, pihak hospital menghubungi pasukan bomba bagi mendapatkan bantuan memotong besi berkenaan.

Sementara itu, Pegawai JPAM Daerah Kulim Mohd Fadhil Fahmi Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9 malam dan bergegas bersama ambulans serta empat anggota.

Katanya, ketika sampai di tempat kejadian, anggotanya memberi rawatan kecemasan tanpa mengganggu kedudukan besi itu dan pihaknya bersama orang awam berhati-hati mengangkat mangsa ke dalam ambulan sebelum membawanya ke wad kecemasan HK.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Koma jatuh siling tingkat dua

Posted: 02 Oct 2014 11:48 AM PDT

Keningau: Seorang murid lelaki tahun enam parah dan kini dirawat di Wad Kecemasan Hospital Keningau dalam keadaan koma selepas dipercayai terjatuh dari siling tingkat dua bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Ansip, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.55 pagi, mangsa, Dylause Dionel, 12, dipercayai terjatuh dari siling tingkat dua bangunan sekolah berkenaan sebelum terhempas di lantai koridor di tingkat bawa sekolah terbabit.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami pendarahan hidung manakala tangan dan paha kanan patah sebelum dibawa ke Wad Kecemasan Hospital Keningau, di sini, untuk rawatan dan tidak sedarkan diri.

Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa dipercayai meminta kebenaran daripada guru kelas yang mengajarnya untuk ke tandas.

Foto

MANGSA masih tidak sedarkan diri.

Foto

LOKASI kejadian membabitkan mangsa jatuh dari siling tingkat dua sekolah.


Apabila guru berkenaan mendapati mangsa lambat masuk ke kelas, guru itu keluar mencari dan terkejut apabila murid berkenaan terjatuh dan cedera.


Guru berkenaan kemudian meminta bantuan guru lain memberitahu pihak pentadbiran sebelum membawa mangsa ke Hospital Keningau.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Asisten Superintendan Merbin Ak Lisa ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis daripada bapa mangsa mengenai kejadian itu.

"Setakat ini, polis belum membuka kertas siasatan kerana masih menjalankan siasatan sama ada mangsa naik sendiri atau dipaksa.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Selamat dikebumi

Posted: 02 Oct 2014 11:45 AM PDT

Butterworth: Pengebumian jenazah mangsa bunuh dan bakar, Rohani Hashim, 30, berjalan lancar di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Teluk Air Tawar, di sini, jam 5.30 petang, semalam.

Walaupun masih terkejut dengan kejadian itu, keluarga dan sanak saudara yang mengiringi jenazah mangsa ke tanah perkuburan kelihatan tenang.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka terkejut apabila dimaklumkan wanita berkenaan dibunuh sebelum mayatnya dibakar.

"Kami semua tidak menduga mangsa diperlakukan sedemikian.

Sebelum ini saya hanya membaca cerita orang dibunuh dan dibakar, tetapi tidak sangka kali ini terjadi kepada ahli keluarga sendiri.

"Kali terakhir saya berjumpa dengannya bulan lalu ketika menghadiri kenduri kahwin saudara," katanya.

Menurutnya, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dihubungi kakak kandung mangsa, pagi semalam sebelum membaca laporan akhbar.

Katanya, mangsa masih bersuami dan mempunyai dua anak berusia dua dan lima tahun.

"Dia juga mengusahakan kedai runcit di Penaga bersama suaminya selepas berhenti kerja di sebuah kilang.

"Apa yang saya tahu mangsa ada menguruskan kedai runcit itu bersama suaminya dan mereka tinggal di rumah keluarga mentuanya," katanya.

Terdahulu, jenazah mangsa dituntut di Jabatan Forensik Hospital Seberang Jaya sebelum dibawa pulang ke rumah keluarganya di Kampung Setol, di sini, jam 4.30 petang, semalam.

Jenazah kemudian disembahyangkan di Masjid Jamek Teluk Air Tawar sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam yang terletak bersebelahan.

Usaha untuk menemubual suami dan saudara terdekat mangsa gagal berikutan mereka sedih dan terkejut dengan pembunuhan kejam itu.

Dalam kejadian Isnin lalu, mangsa dibunuh sebelum mayatnya dibakar oleh seorang kenalan lelakinya di Kampung Tok Keramat, Juru yang kemudian ditemui keesokkan harinya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

No comments:

Post a Comment