Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Masih ada harapan

Posted: 29 Sep 2014 10:54 AM PDT

Melbourne: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang dilahirkan tanpa 'muka' akan menjalani pembedahan oleh pakar bedah di sini yang sebelum ini berjaya memisahkan kembar siam warga India, Trisna dan Krishna.

Pakar bedah Australia, Tony Holmes bertemu dengan Yahya Zohra, kanak-kanak warga Maghribi untuk kali pertama Ogos lalu bagi menilai sejauh mana dia boleh membentuk semula muka kanak-kanak itu.


"Saya percaya adalah menjadi hak bagi setiap orang untuk dilihat sebagai manusia tetapi Yahya tidak macam manusia biasa.

"Yang membimbangkan saya ialah sama ada dia sesuai menjalani pembedahan atau tidak," kata Holmes. Yahya dilahirkan di perkampungan kecil berhampiran Tangiers tanpa mata, hidung dan rahang atas kerana tulang mukanya gagal bercantum ketika dalam kandungan.


Satu-satu rakannya ialah Heba, kanak-kanak perempuan yang tinggal di sebelah rumahnya.


Bapanya, Mostapha berkata, dia sudah puas membawa Yahya dari seorang pakar ke seorang pakar untuk mendapatkan bantuan selepas anaknya dilahirkan.

Foto

Holmes bersama Yahya.

Tetapi, tidak seorang pun bersedia merawatnya.


Mujur wanita kelahiran Maghribi yang menetap di Melbourne, Fatimah Bakara terbaca kisah kanak-kanak itu di Facebook bersedia membantu dan menjejaki Holmes.

"Dia bersedia membantu Yahya dan saya sekeluarga amat berterima kasih kepadanya," kata Mostapha.


Fatimah sendiri berdepan dengan barah payu dara apabila mengetahui nasib Yahya tetapi ia tidak menyekatnya menelefon keluarga itu untuk menyatakan kesediaannya membantu.


Holmes yang turut dihubungi Fatimah juga bersedia menghulurkan bantuan.


Pakar bedah itu akan terus memeriksa keadaan Yahya walaupun sedar prosedur itu memerlukan banyak pembedahan.


Dia berharap untuk melakukan pembedahan pertama di Melbourne menjelang tahun ini.


"Maaf cakap, kecacatan Yahya sungguh teruk. Anda boleh lihat di mana matanya sepatutnya berada. Lubang di tengah mukanya sepatutnya hidungnya. Anda boleh lihat mulutnya terbuka dan di sebelah ialah otaknya. Tidak ada tulang, kulit saja," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Bomoh halau jin dalam rahim

Posted: 29 Sep 2014 10:48 AM PDT

Riyadh: Seorang bomoh memperkosa remaja yang mendapatkan rawatan kerana masalah psikologi selepas dia membohongi mangsa kononnya terdapat jin dalam rahimnya.

Bomoh berkenaan memberitahu gadis itu, dia mempunyai kekuatan untuk menghalau jin berkenaan dalam satu sesi rawatan saja jika dia mahu berubat di rumahnya.


Apabila mangsa yang umurnya tidak didedahkan datang ke rumah bomoh terbabit, lelaki itu merogolnya.

Polis menahan bomoh berkenaan selepas mangsa yang masih dara itu menyedari kesilapannya dan membuat laporan polis.


"Lelaki itu memberitahu mangsa rahimnya dihuni jin dan dia mahu menghalaunya," menurut laporan akhbar tempatan, memetik kata-kata polis.


Kisah itu menjadi viral di media sosial Saudi dan ramai pembaca mengecam bomoh itu dan ada juga yang menyelar gadis berkenaan.

"Nampaknya masyarakat kita masih percaya perkara khurafat dan mengamalkan upacara sebegini atas nama agama. Kami meminta kementerian kehakiman dan dalam negeri, menghukum Raqi," kata aktivis masyarakat terkenal negara itu, Souad Al Shammari. Bagaimanapun, seorang pembaca, Sarah Al Waleed mempunyai pendapat berbeza.


"Gadis itu yang senang-senang menyerah diri kepada bomoh itu memang bodoh," katanya.

Seorang lagi pembaca bernama Dalal bersetuju dengan berkata: "Kenapa menyalahkan bomoh saja. Kenapalah bodoh sangat gadis itu sehingga membenarkan dirinya diperkosa." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Susilo 'Bapa Antidemokrasi'

Posted: 29 Sep 2014 10:47 AM PDT

Jakarta: Kepulangan Susilo Bambang Yudhoyono daripada lawatan luar negara pada malam ini dijangka akan disambut dengan tunjuk perasaan orang ramai yang kecewa terhadap pindaan undang-undang pelantikan ketua kerajaan tempatan.

Penyelaras protes, Syafti Hidayat berkata, Presiden Indonesia itu layak diberi gelaran 'Bapa Antidemokrasi' hasil keputusan undian di parlimen negara itu minggu lalu.


"Anugerah ini perlu disampaikan secara terbuka.

"Justeru, kami perlu menyambut beliau di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma," katanya.


Susilo yang berada pada hari-hari terakhir pemerintahannya sedang berada di luar negara dan dijadual tiba di Indonesia malam ini.


Semakan dengan Pejabat Media Istana Presiden menunjukkan Susilo, isteri dan rombongannya mendarat pada jam 12.30 tengah malam.

Foto

beberapa warga Indonesia menyambut Susilo dengan tunjuk perasaan di depan hotel penginapannya di Washington.

Susilo dan rombongannya melawat Portugal, Amerika Syarikat dan Jepun selama 12 hari.


Syafti berkata, protes itu adalah respon terhadap kegagalan peranannya dalam perbahasan dan pengundian meminda rang undang-undang pemilihan ketua kerajaan tempatan.

Beberapa pihak menganggap Susilo adalah pencetus kepada pindaan berkenaan.


"Ketika rakyat berteriak kerana hak politiknya dirampas, presiden pula bergembira menerima penghargaan di luar negara.


"Justeru memang layak rakyat menyambut kedatangan Susilo dan memberi penghargaan," katanya, semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Penagih bunuh keluarga sebelum bakar dalam lori

Posted: 29 Sep 2014 10:45 AM PDT

Bangkok: Polis menangkap seorang lelaki yang memiliki sejarah penyalahgunaan dadah selepas dia disyaki menikam mati isteri dan anak perempuannya.

Rames Rattana kemudian meletakkan mayat berkenaan dalam lori pikapnya sebelum dibakar. Kejadian berlaku di Jalan Samut Sakhon malam Jumaat minggu lalu.


Sumber berkata, operasi bersama membabitkan polis dari daerah Chumphon dan Samut Sakhon bekerjasama menangkap Rames, 37, pada Sabtu lalu.

"Suspek ditangkap selepas orang awam melaporkan melihat Rames dalam keadaan mencurigakan berhampiran sebuah kereta di persimpangan utama di Chumphon," katanya, semalam.


Tidak dapat dipastikan sama ada Rames sudah didakwa di mahkamah atau belum.


Sementara itu jurucakap polis berkata, Rames dipercayai mengalami tekanan perasaan dan pernah menjadi penagih dadah sebelum menjalani rawatan pemulihan dua tahun lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Titik panas berkurang tapi jerebu bertambah

Posted: 29 Sep 2014 10:45 AM PDT

Palembang: Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Ogan Ilir di Sumatera Selatan mendakwa titik api kebakaran hutan dan ladang di kawasan itu telah berkurang namun pada pagi semalam, jerebu lebih tebal menyelimuti kawasan berkenaan.

Ketua BPBD Ogan Ilir, Syakroni berkata, pihaknya sedia bekerjasama dengan BNPB Sumatera Selatan untuk melakukan proses sewajarnya namun rancangan itu belum terlaksana.


Tinjauan menunjukkan jerebu tebal itu mengehadkan jarak pandangan dan kenderaan di bahagian timur kawasan itu terpaksa memasang lampu bagi mengelak kemalangan. Namun tidak semua pemandu kenderaan menyalakan lampu, mendorong anggota polis sesekali menghentikan mereka untuk memberi nasihat.

Pihak berkuasa juga mencadangkan orang ramai memakai penutup hidung dan mulut. Daerah Ogan Ilir adalah satu daripada kawasan paling teruk dilanda masalah pembakaran terbuka serta jerebu dan menjadi penyumbang utama masalah jerebu sejak lebih sebulan lalu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Serah tugas pada sekutu

Posted: 29 Sep 2014 10:44 AM PDT

Bangkok: Panglima Tentera Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha akan menyerahkan tugasnya kepada sekutu dipercayainya minggu ini dan melangkah memasuki dunia politik awam sebagai ketua kerajaan.

Prayuth, 60, yang mengetuai kudeta menyingkirkan Yingluck Shinawatra daripada kekuasaan pada Mei lalu diraikan dalam majlis perpisahan semalam. Di sebalik peletakan jawatan itu Prayuth akan kekal sebagai ketua junta yang mempengerusikan Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam Kebangsaan. Pengganti Prayuth ialah rakan rapatnya, Jen Udomdej Sitabutr dan langkah itu dilihat penganalisis sebagai isyarat dominasi kumpulan tentera yang menentang abang Yingluck yang juga bekas perdana menteri, Thaksin Shinawatra. Pada masa sama, pemerhati meramalkan kemungkinan pengaruh Prayuth akan mula terhakis dengan peletakan jawatannya itu. Pensyarah Kajian Hak Asasi Manusia di Universiti Mahidol, Gothom Arya berkata, masalah boleh timbul jika Prayuth gagal bekerjasam dengan penggantinya. "Tanpa jawatan panglima tentera Prayuth tidak lagi memiliki pengaruh dan ia memberi kesan kepada dinamisme dalam junta," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

36 disahkan terbunuh

Posted: 29 Sep 2014 10:43 AM PDT

Tokyo: Sekurang-kurangnya 36 orang dikhuatiri mati selepas gunung berapi meletup secara mengejut hujung minggu lalu namun proses pencarian mangsa terpaksa dihentikan sementara waktu semalam berikutan kebimbangan peningkatan gas toksik di udara.

Pasukan penyelamat di puncak Gunung Ontake yang dilitupi abu tebal semalam menemui lima mangsa baru letupan yang berlaku Sabtu lalu itu.

Letupan puncak setinggi 3,067 meter yang terletak kira-kira 200 kilometer ke barat Tokyo itu berlaku ketika ramai pendaki, termasuk kanak-kanak berada di situ untuk menikmati pemandangan indah musim luruh.

Foto

PASUKAN penyelamat mengusung seorang mangsa yang cedera dalam letupan Gunung Ontake, semalam.

Setakat ini 10 orang disahkan maut dalam letupan gunung berapi pertama yang menyebabkan kematian di Jepun sejak 1991.

Seramai 63 lagi mangsa cedera, sebahagiannya mengalami patah tulang. Lapan dilaporkan hilang dan pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan mereka antara yang maut.

Seorang warga emas yang ditemuramah media tempatan berkata anak lelakinya berusia 26 tahun antara yang hilang.

"Dia anak kedua kami dan kami langsung tidak mendengar khabar berita daripadanya.

"Dia pergi ke gunung itu bersama teman wanitanya. Kami terlalu risau dan hampir putus asa," katanya.

Lebih 500 anggota keselamatan mencari mangsa di puncak gunung itu tanpa menghiraukan keadaan asap tebal dan debu setinggi paras lutut.

Helikopter turut membawa mangsa satu persatu dari lokasi berkenaan sebelum usaha mencari dan menyelamat dihentikan disebabkan asap tebal yang beracun.

Kali terakhir Ontake, gunung berapi kedua paling aktif Jepun meletup ialah tujuh tahun lalu.
Letupan besar pertamanya direkodkan pada 1979.

Mangsa yang ditemui berkata tiada langsung tanda-tanda gunung itu akan meletup.

"Saya cuma menyedari apa yang berlaku selepas merasa angin panas di belakang saya lalu terus mencangkung.
"Ketika itu saya sangka akan mati di situ," kata seorang pendaki yang terselamat.
Sementara itu Ketua Setiausaha Kabinet Yoshihide Suga berkata, Agensi Kaji Cuaca Jepun tidak boleh dipersalahkan kerana tiada tanda-tanda menunjukkan letupan itu akan berlaku.

Selain itu, katanya, letupan berkenaan tidak langsung memberi kesan terhadap pemulihan loji nuklear Sendai yang juga terletak di kawasan gunung berapi aktif.

Sementara itu, pakar berkata letupan Gunung Ontake sukar dijangka walaupun ada gegaran kecil berlaku sepanjang bulan ini disebabkan gunung berkenaan tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Selain itu, pakar gunung berapi Toshitsugu Fujii berkata, jenis letupan dialami memang sukar diramalkan.

"Jenis letupan ini memang berlaku mendadak. Jadi sukar untuk mengaitkan letupan ini dengan gegaran yang dilaporkan baru-baru ini," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Tunjuk perasaan berterusan

Posted: 29 Sep 2014 10:42 AM PDT

Hong Kong: Penunjuk perasaan demokrasi Hong Kong tidak menghiraukan gas pemedih mata dan tindakan polis antirusuhan malah meneruskan protes yang dilihat sebagai cabaran terbesar dihadapi Beijing sejak demonstrasi di Dataran Tiananmen, 25 tahun lalu.

China memberi amaran kepada pelajar yang terbabit dalam protes berkenaan selain memberi peringatan kepada pihak luar supaya tidak campur tangan.

"Hong Kong milik China," kata jurucakap Kementerian Luar Hua Chunying kepada media di Beijing.

Kekacauan itu yang paling teruk sejak China mengambil alih pentadbiran wilayah itu daripada British pada 1997.


Asap putih akibat gas pemedih mata melitupi bangunan pejabat serta pusat beli-belah terkenal Hong Kong sebelum polis antirusuhan tiba-tiba berundur tengah hari semalam selepas pertempuran selama tiga hari.


Penunjuk perasaan kemudian dilihat baring dan tidur di tepi jalan akibat keletihan, mengelak diri daripada sinaran terik matahari dengan mengguna payung yang juga dijadikan simbol bantahan, sehingga ada yang menggelar protes itu Revolusi Payung.

Selain berlindung daripada cuaca panas atau hujan, payung turut digunakan untuk mengelak terkena semburan gas pemedih mata.

Pelajar Universiti Baptist, Nicola Cheung, 18, berkata, kumpulan penunjuk perasaan kini memikirkan langkah seterusnya.

"Ya, keadaan akan kembali ganas kerana kerajaan Hong Kong tidak akan membiarkan kami terus berada di sini.

"Kami memperjuangkan nilai asas kebebasan dan demokrasi.

"Kami tidak gentar dengan taktik keganasan mereka," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

2 bunuh imam dihukum mati

Posted: 29 Sep 2014 10:41 AM PDT

Beijing: Dua lelaki dihukum mati manakala seorang lagi dipenjara seumur hidup kerana membunuh imam prokerajaan di Kashgar.

Mahkamah di Kashgar kelmarin mendapati Gheni Hasan dan Nurmemet Abidilimit bersalah kerana menganjur dan mengetuai kumpulan yang didakwa China sebagai pengganas selain melakukan pembunuhan, lapor portal berita kerajaan Tianshan Net.

Sementara itu, lelaki ketiga Atawulla Tursun didapati bersalah terbabit dalam kejadian.

Media China melaporkan Nurmemet dan dua lelaki lain membunuh imam, Jume Tahir, 74, selepas solat subuh di sebuah masjid utama, 30 Julai lalu.


Kejadian berlaku ketika kerajaan China turut berdepan pelbagai ancaman kumpulan minoriti Uighur.


Nurmemet ditahan manakala dua lelaki bersamanya ditembak mati. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Sedia tangani semua ancaman

Posted: 29 Sep 2014 10:40 AM PDT

Riyadh: Arab Saudi tidak akan membenarkan sebarang aktiviti yang mampu mengancam keselamatan jemaah haji serta mencemar ibadah haji, kata Menteri Dalam Negeri Putera Mohammed Naif.

Menurutnya, pasukan keselamatan Saudi mampu menangani sebarang ancaman keganasan sama ada oleh individu atau yang dilakukan secara berkumpulan.

Mohammed yang juga pengerusi Jawatankuasa Agung Haji berkata demikian kepada media selepas membuat pemeriksaan ketersediaan agensi keselamatan negara itu untuk musim haji ini.

Dia turut menasihatkan jemaah supaya mengelak daripada terbabit dalam propaganda politik atau sebarang aktiviti lain yang mampu menggugat kesucian ibadah haji.

Foto

ANGGOTA tentera Arab Saudi mempamerkan ketangkasan mereka dalam pertunjukkan sempena persediaan menyambut musim haji di Makkah, semalam.


Ditanya mengenai ancaman kumpulan Negara Islam (IS), Mohamed berkata, Raja Abdullah sudah mengingatkan kepada pemimpin dunia bahawa pengganas mungkin menyerang negara mereka jika tindakan tidak diambil untuk menangani jenayah yang dilakukan kumpulan itu dan kumpulan lain seumpamanya.


"Kami tahu IS disokong negara serta organisasi tertentu, namun kami cukup bersedia menghadapi ancaman mereka, bukan saja dari segi tenaga tentera malah juga keazaman kami.

"Pasukan keselamatan kami berjaya menghapuskan ancaman operasi pengganas sebelum ini," kata Mohammed.

Menurutnya, banyak negara lain sudah mendapat manfaat daripada kepakaran Arab Saudi dalam menangani pengganas.

Sehubungan itu, dia turut menegaskan IS dan kumpulan lain seumpamanya wajar dihapuskan untuk menjamin keselamatan serta kestabilan sejagat.

Menurutnya, keadaan di Yaman kini juga bukan saja menjejaskan kepentingan rakyat negara itu sendiri tetapi juga negara jiran.

Dia memberi amaran Riyadh tidak teragak-agak bertindak keras terhadap pengganas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment