Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak sempat raya

Posted: 04 Oct 2014 04:50 PM PDT

Jempol: Hasrat dua beranak yang juga Orang Asli untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga mentua di Kampung Pabai, Miku, Rembau, dekat sini tidak kesampaian apabila mereka terbunuh dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.50 malam itu, mangsa, Baji Lebong, 29 dan anaknya, Zamzuriery Muzameer, 8 dalam perjalanan dari Kampung Ulu Lakai, di sini dengan menunggang motosikal ke Rembau.


Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Hamzah Alias berkata, mangsa yang menunggang motosikal Honda EX5 bersama anaknya dikejutkan kehadiran kereta Proton Gen 2 yang cuba memotong sebuah kenderaan di jalan itu.

Katanya, kereta itu yang datang dari arah Kuala Pilah gagal memotong sehingga merempuh motosikal ditunggang mangsa.


"Akibat nahas, mangsa dan anaknya tercampak 10 meter dan meninggal dunia di tempat kejadian.


"Dua beranak itu parah di paha, badan dan kepala. Mayat mereka dibawa ke Hospital Jempol, di sini, untuk dibedah siasat." katanya. Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto

KEADAAN motosikal mangsa yang terbabit nahas di Jalan Kuala Pilah-Simpang Pertang.

Abang mangsa, Pusa, 30, berkata, adiknya keluar rumah jam 7 malam bersama anak sulungnya itu menuju ke Rembau manakala isteri dan dua lagi anak kembar perempuannya pulang ke kampung lebih awal untuk meraikan Aidiladha.


"Saya tidak menyangka adik (Baji) yang mahu meraikan Aidiladha bersama keluarga mentua terbunuh dalam kemalangan itu," katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian, ibunya, Ong Goi Mulling, 56 tidak membenarkan adiknya membawa Zamzuriery Muzameer kerana cuaca yang gelap.


"Saya sedih dengan kehilangan adik yang begitu rapat dengan saya dan kali terakhir kami bertemu adalah Jumaat lalu di rumahnya. Dia juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Nyaris maut jatuh perigi

Posted: 04 Oct 2014 04:47 PM PDT

Tanah Merah: Seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) nyaris maut selepas terjatuh ke dalam sebuah perigi sedalam empat meter di kampung Berchang Bukit Panau di sini, kelmarin, sebelum diselamatkan, semalam.

Mangsa, Eh Tim Eh Yeh, 33, ditemui penduduk kampung pada jam 11 pagi semalam sebelum diselamatkan anggota bomba.


Difahamkan, mangsa hanya luka dan lebam di bahagian badan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah Hanaffi Mohd berkata, empat anggota bomba dan satu jentera ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 11.55 pagi.


Katanya, sebaik tiba kami dapati mangsa masih berada dalam perigi dan anggota bomba mengambil masa 20 minit untuk menaikkan mangsa dengan menggunakan tali.


"Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam telaga pada tengah hari kelmarin sebelum ditemui penduduk kampunga pada jam 11 pagi, semalam.

Foto

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa yang terperangkap.

"Mangsa masih trauma dengan kejadian itu dan kes ini diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

8 hanyut sejam diselamat APMM

Posted: 04 Oct 2014 04:46 PM PDT

Langkawi: Lapan sekeluarga yang dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung bagi meraikan Aidiladha berdepan detik cemas apabila hanyut di laut lebih sejam selepas bot gentian kaca dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin sebelum diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Utara, semalam.

Difahamkan, penumpang berusia tiga tahun hingga 40-an itu menaiki bot berkenaan dari Kampung Kilim sebelum enjin bot terbabit rosak di perairan Tanjung Dendang.


Pengarah Operasi APMM Wilayah Utara Kapten Maritim Salim Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.50 pagi berkaitan kejadian.

"Bot APMM Wilayah Utara dikejarkan ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat. Kami menemui bot berkenaan pada kedudukan 10 batu nautika di Timur Laut Tanjung Chincin, jam 11.10 pagi.


"Semua penumpang yang menaiki bot berkenaan selamat dan mereka kemudiannya dihantar ke Kampung Kilim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Sempat minta maaf

Posted: 04 Oct 2014 04:45 PM PDT

Kuala Kangsar: "Saya sempat meminta maaf dengan ibu selepas melihat keadaannya. Ibu yang tenat sempat memberitahu dia sudah memaafkan semua kami adik-beradik dan turut meminta maaf kepada kami," kata Yusriman Roslan, 22.

Yusriman ialah pemandu kereta Proton Saga BLM yang dirempuh sebuah treler dalam kemalangan jalan raya membabitkan lapan kenderaan di Kilometer 256, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara berhampiran Terowong Menora dekat sini, semalam.

Dalam nahas jam 11.40 pagi itu, Norhayati Wook, 50, dan anaknya, Siti Yuslianis Roslan, 22, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di badan. Abangnya, Yusrizal, 25, parah, manakala adiknya, Siti Yusliana, 12, cedera ringan.

Menurut Yusriman, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan dari Rawang, Selangor untuk balik ke kampung di Lenggong, Perak bagi menyambut Aidiladha.

Foto

DUA maut, seorang cedera parah dalam kemalangan membabitkan empat kereta dan sebuah lori di KM 256 Lebuhraya Utara-Selatan menghala ke Utara berdekatan Terowong Menora dekat Ipoh.


Katanya, dia yang terkejut terdengar dentuman kuat akibat rempuhan lori itu hanya mampu menjerit manakala keretanya pula diheret ke kanan jalan.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Perjalanan akhir mualaf

Posted: 04 Oct 2014 04:43 PM PDT

Batu Pahat: Hasrat seorang gadis mualaf meraikan Aidiladha pertamanya selepas memeluk Islam dua minggu lalu bersama keluarga angkat tidak kesampaian apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 15, Jalan Labis-Yong Peng di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.30 pagi, mangsa, Hidayah Shahira Abdullah, 20, atau nama asalnya, Ling Sii Ping dalam perjalanan ke rumah keluarga angkatnya di Segamat bersama tiga rakan sekampungnya.

Dalam kejadian itu, mangsa yang juga penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Sungai Besi, Kuala Lumpur menaiki kereta Toyota Vios sebelum ia hilang kawalan lalu terbabas dan merempuh tiang elektrik.

Seorang daripada mangsa, Mohamad Faridzuan Abdul Hamid, 20, yang duduk di tempat duduk penumpang depan berkata, selain dia dan mangsa, dua lagi rakan yang menaiki kereta itu ialah Muhammad Faridz Izzat Hamidnudin, 20, dan Mohd Azrin Mohd Idris, 20.

Foto

KEADAAN kereta Toyota Vios selepas terbabit dalam kemalangan.


"Muhammad Faridz Izzat memandu kereta manakala Hidayah Shahira dan Mohd Azrin duduk di tempat duduk penumpang belakang.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

No comments:

Post a Comment