Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tak habis cerita banjir

Posted: 29 Sep 2014 11:39 AM PDT

Kajang: Hujan lebat lebih sejam petang semalam menyebabkan beberapa kawasan di sekitar Jalan Abdul Aziz, di sini, dilanda banjir kilat.

Keadaan ini menyebabkan berlaku kesesakan lalu lintas manakala orang ramai pula sibuk mengalihkan kenderaan masing-masing bagi mengelak ditenggelami seperti yang pernah berlaku sebelum ini.

Seorang pengusaha sebuah restoran, Jalal Din, 42, berkata, air mula melimpahi restorannya kira-kira jam 3.30 petang dan surut sepenuhnya sejam kemudian.

"Bagaimanapun, banjir kilat ini tidak terjejas teruk berikutan air hanya naik beberapa sentimeter sahaja.

Foto

AIR melimpahi jalan di bandar Kajang, semalam.

Foto

DUA lelaki cuba mengalih sebuah teksi.


"Ini kali ketiga banjir kilat berlaku di sini sejak 2011. Kejadian petang tadi (semalam) turut menyebabkan kesesakan lalu lintas, namun tiada kenderaan yang terperangkap," katanya.


Katanya, banjir kilat paling teruk berlaku pada akhir 2011 menyebabkan pekan Kajang dinaiki air secara mendadak, sekali gus merosakkan barangan di beberapa buah kedai.

Tinjauan mendapati sistem saliran terutama longkang yang kecil menyebabkan air melimpah ke atas jalan raya.

Walaupun banjir kali ini tidak seburuk sebelumnya, tetapi orang ramai berharap Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu bertindak bagi memastikan tiada lagi banjir kilat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Kebas emas RM20,000

Posted: 29 Sep 2014 11:36 AM PDT

Kajang: Seorang pembantu rumah wanita warga Sri Lanka ditahan selepas disyaki melarikan pelbagai barang kemas milik majikannya ketika sedang menunggu pesawat untuk pulang ke negara asalnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2), pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 6 pagi 22 September lalu, pembantu rumah yang digaji untuk tempoh beberapa hari melarikan diri dari rumah mangsa di Taman Tan Sri Manickavasagam, Semenyih, di sini.

Difahamkan, mangsa menggaji wanita itu sementara majikan asal yang juga rakan mangsa mempunyai tugasan di luar kawasan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kajang Superintendan Abdul Ghani Muhammad Ji berkata, susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Semenyih.

Pemeriksaan mangsa di rumahnya mendapati pelbagai barangan kemas dan wang tunai berjumlah RM3,800 miliknya lesap.

"Pada jam 9 pagi kelmarin, anggota D4 IPD Kajang berjaya mengesan suspek selepas membuat semakan di kaunter Imigresen klia2 sebelum menahan wanita terbabit ketika sedang menunggu penerbangan pulang ke negaranya," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek memberitahu barang kemas itu disimpan di rumah majikan asalnya di Subang Baru.

"Polis merampas pelbagai barangan emas termasuk gelang, rantai leher, loket dan subang milik mangsa yang dianggarkan bernilai RM20,000 yang diletakkan di dalam sofa," katanya.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Sambutan kasih

Posted: 29 Sep 2014 11:34 AM PDT

Frovi: Nasi dengan lauk sambal udang dimasak kakaknya menjadi masakan Melayu pertama dinikmati Shalwati Norshal, 46, selepas dibebaskan dari Penjara Hinseberg, di sini, semalam.

Shalwati menikmati juadah itu ketika mereka singgah di restoran makanan segera, di sini selepas menaiki kereta bersama kakaknya Noor Azila Makhzan yang menyambutnya sebaik dibebaskan daripada penjara.

Dia mengambil masa lima minit untuk menelefon dan berbual dengan anak sulungnya, Aisyah, 15, dan perbualan singkat itu diakhiri dengan linangan air mata serta gelak ketawa.

Dalam tempoh itu, dia juga sempat bercakap dengan tiga lagi anaknya, Ammar, 13, Adam, 12, serta Ariff, 8 untuk bertanya khabar mereka di Kota Bharu, Kelantan.

Foto

SHALWATI memeluk kakaknya selepas bebas dari Penjara Hinseberg.


Shalwati berkata, dia gembira mendengar suara anaknya dan bersyukur mereka dalam keadaan sihat.


"Perbualan ringkas itu sangat bermakna dan ia berbeza berbanding menghubungi mereka ketika berada di penjara," katanya.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Panggilan video penuh emosi

Posted: 29 Sep 2014 11:32 AM PDT

Kota Bharu: Aisyah Azizul Raheem, 15, tidak dapat menahan air matanya daripada mengalir ketika berbual melalui panggilan video dengan ibunya Shalwati Norshal, 46, jam 8.45 malam tadi.

Bagaimanapun perbualan itu hanya selama lima minit kerana talian terputus, tetapi Aisyah serta tiga adiknya, tiga adiknya, Ammar, 13, Adam, 12, dan Ariff, 8, sempat melihat ibu mereka buat pertama kali selepas 14 bulan.

Perbualan malam tadi ialah panggilan kedua selepas Shalwati dibebaskan dari Penjara Hinseberg, Frovi, Sweden jam 3.35 petang waktu tempatan, semalam.
Panggilan pertama berlangsung setengah jam selepas Shalwati yang juga guru bercuti tanpa gaji, dibebaskan.

Foto

EMPAT anak bercakap dengan Shalwati melalui pangilan video selepas bebas dari penjara Hinseberg di Frovi, Sweden di rumah keluarga di Melor, Kota Bharu, semalam.

Dalam perbualan malam tadi yang disaksikan media, Aisyah anak sulung pasangan Shalwati dan suami Azizul Raheem Awalludin, 38, gagal mengawal perasaan sebaik menatap wajah ibunya yang disifatkannya 'berbeza' selepas kali terakhir bertemu Disember tahun lalu.

Pasangan Azizul Raheem Awalludin, 38, dan isteri Shalwati Norshal, 46, menjalani hukuman penjara selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Solna, Stockholm terhadap tuduhan mengasari dan mencabul integriti empat anak mereka sejak September 2010 hingga Disember tahun lalu.

Bagaimanapun, pasangan itu yang masing-masing menjalani hukuman penjara 10 bulan dan 14 bulan, bebas sepenuhnya dengan Azizul Raheem dibebaskan 9 Julai lalu dan Shalwati, semalam.

Antara ayat sempat dilafazkan Aisyah kepada ibunya, "Kami semua menunggu kepulangan mummy" sebelum panggilan terputus.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

Ibu tiada hati perut

Posted: 29 Sep 2014 11:28 AM PDT

Bukit Mertajam: Seorang ibu tergamak menghumban mayat anaknya ke dalam kawasan semak di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Tongkang, Jalan Pematang Tinggi, di sini, bagi menyembunyikan perbuatannya yang dikatakan secara tidak sengaja memukul kanak-kanak lelaki berusia lima tahun itu sehingga meninggal dunia.

Berikutan panik dengan kejadian itu, wanita berusia 30 tahun itu dengan teman lelakinya berusia 24 tahun, bertindak membuang mayat kanak-kanak itu di kawasan berkenaan.

Ketika ditemui kira-kira jam 12 tengah hari semalam, mayat mangsa berada dalam keadaan masih lengkap berpakaian dan dibungkus menggunakan selimut.

Terdahulu sebelum penemuan mayat itu, teman lelaki wanita terbabit dilihat dibawa sepasukan anggota polis untuk menunjukkan lokasi di mana mayat mangsa dibuang.

Foto

PEGAWAI penyiasat mengumpul bukti di lokasi kejadian.

Foto

POLIS mengumpul bukti di lokasi kejadian.


Mangsa juga dipercayai sudah meninggal dunia sejak beberapa hari lalu selepas pemeriksaan dijalankan anggota forensik hanya menemui rangka kanak-kanak berkenaan.


Selimut yang digunakan untuk membungkus mangsa juga dikatakan dipenuhi ulat berikutan keadaan mayat kanak-kanak itu yang sudah mereput.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Mazlan Kesah, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian dan berkata siasatan lanjut sedang dilakukan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/30

No comments:

Post a Comment