Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Teruja emas tinju pertama

Posted: 04 Oct 2014 03:30 PM PDT

Incheon: Peninju Korea Selatan, Shin Jong-hun menyumbang emas pertama Sukan Asia buat negaranya dalam tempoh 12 tahun dan bangga berjaya meletakkan tinju Korea di tempat yang sewajarnya.

Shin meraih kemenangan ke atas Birzhan Zakypov dalam acara light-flyweight bout, memberikan peninju Kazakhstan kekalahan pertamanya dalam tujuh perlawanan akhir di Gimnasium Seonhak pada hari terakhir acar itu dipertandingkan.


Selepas kekecewaan di Sukan Olimpik London dan Sukan Asia Guangzhou empat tahun lalu, Shin membuktikan dia semakin matang sebagai peninju di Incheon dan bakal menjadi pencabar utama di Sukan Olimoik Rio 2016.

"Perjalanan saya masih jauh tetapi saya akan cuba buat orang ramai mengingati saya setiap kali mereka mendengar perkataan tinju," katanya.


"Saya berterima kasih kepada mereka yang berkata saya mampu melakukannya ketika ada yang mengatakan sebaliknya.


"Saya akan bekerja lebih keras untuk meletakkan tinju Korea di tempat teratas." Selapas gagal memenangi emas di Guangzhou empat tahun lalu dan Doha 2006, Korea Selatan mengkaji semula program tinju mereka dan meletakkan peninju mereka dalam latihan lebih intensif menjelang temasya di Incheon. - Reuters

Foto

Shin Jong-hun

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Perang mulut Wenger, Mourinho

Posted: 04 Oct 2014 03:28 PM PDT

London: Cesc Fabregas mungkin pemain ciptaan Arsenal (Made in Arsenal) namun apa yang penting bagi pengurus Jose Mourinho adalah corak permainannya yang 'luar biasa' ketika bersama Chelsea yang kini mendahului carta kedudukan.

Sewaktu Fabregas bersedia menghadapi kelab lamanya buat kali pertama, bekas pengurus Arsene Wenger berkata beliau tidak berhasrat untuk memujuk pemain itu kerana bintang Sepanyol itu sudah memilih untuk bersama Chelsea. Kedua-dua pengurus terbabit bercakap mengenai pemain import paling menyerlah dalam Liga Perdana Inggeris yang berharap dapat meraih gelaran liga buat kali pertama bersama Chelsea selepas gagal mendapatkannya sepanjang lapan tahun bersama Arsenal. Bercakap di padang latihan di Cobham, barat London sebelum Chelsea turun menentang Arsenal di Stamford Bridge hari ini Mourinho berkata, beliau tidak berminat untuk mengetahui kelab mana yang mungkin akan diwakili Fabregas selepas meninggalkan Barca kerana apa penting dia bersama Chelsea sekarang. "Saya tidak kata di situ dia dilahirkan tetapi hampir separuh kariernya mempunyai acuan Arsenal dan ke mana dia mungkin pergi tidak penting. Bagi saya apa yang penting adalah dia kini pemain Chelsea dan memberi aksi yang luar biasa untuk kami. "Dia cemerlang dalam setiap perlawanan. Dia memikul tanggungjawab dan itu memberikan kesan kepada pasukan. Dia bermain dengan baik dan kami mendapat hasilnya dan saya amat gembira sejak mendapatkannya dan bagi saya itulah yang penting. "Saya tidak pasti jika Chelsea adalah pilihan pertamanya dan saya tidak berminat untuk mengetahuinya. Dia pemain kami sekarang, itulah yang penting." Tiada rahsia antara Fabregas dengan Arsenal namun dalam satu sesi temubual bulan lalu dia mengatakan tidak akan kembali bersama Arsenal. Dia tidak mempunyai masalah untuk berhijrah ke kelab lain di London dan menyarung jersi biru Chelsea. Satu perkara yang menjadi misteri adalah mengapa Wenger tidak bertindak menawarkan sesuatu kepada pemain itu yang menjadi hero kepada peminat Arsenal sepanjang 300 perlawanan di antara 2003 hingga 2011. Wenger menjelaskan bahawa dia tidak menghalang Fabregas kerana dia percaya pemain itu sudah membuat keputusan untuk menyertai Chelsea. Katanya, Arsenal mempunyai penyerang tengah yang cukup selepas menandatangani Mesut Ozil dari Real Madrid yang mencatatkan rekod perpindahan kelab 42.5 juta pound (RM220.9 juta) pada Ogos 2013.


Wenger diajukan soalan ketika di kompleks latihan di London Colney, utara London, siapa yang membuat keputusan untuk Fabregas berhijrah ke Stamford Bridge.

"Cesc Fabregas," jawab Wenger.


"Apabila dia meninggalkan kelab, kami membeli Ozil untuk memiliki penyerang. Kami mempunyai (Santi) Cazorla, (Jack) Wilshere, (Aaron) Ramsey, (Alex) Oxlade-Chamberlain, semuanya adalah pemain penyerang. Kami tidak perlu lagi membeli penyerang baru." Beliau berkata, Fabregas tidak mungkin akan kembali bersama Arsenal semula.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

LvG kagumi cara Martinez

Posted: 04 Oct 2014 03:27 PM PDT

London: Louis van Gaal mengagumi gaya permainan Everton dan pengurus Manchester United itu berpeluang melihatnya lebih dekat apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam saingan Liga Perdana Inggeris di Old Trafford malam ini.

Di bawah kendalian bekas pengurus Everton, David Moyes, yang dikritik hebat penyokong setia di Old Trafford kerana menggunakan taktik sama seperti di Goodison Park, United tewas dua kali kepada anak buah Roberto Martinez musim lalu.


Van Gaal mengakui meminati gaya permainan Martinez di Everton dan jurulatih Belanda itu berharap dapat menggunakan pendekatan sama ketika mengendalikan United.

"Saya sukakan Everton kerana mereka bermain bola sepak seperti yang saya inginkan," kata Van Gaal.


"Ia pastinya perlawanan yang menarik. Saya tahu kami kalah kepada mereka dua kali musim lalu jadi ia pastinya sukar.


"Saya harap kami boleh mendominasi perlawanan tetapi mereka juga mahu melakukannya. Mereka mungkin lebih cenderung untuk melakukan serangan balas. Pastinya ia lebih sukar." Isu kecederaan pemain United dijangka berterusan apabila ramai pemain skuad utama mereka masih bergelut dengan kecederaan. Malah Van Gaal juga kehilangan kapten Wayne Rooney yang dibuang padang ketika menentang West Ham United hujung minggu lalu kerana menendang Stewart Downing.

"Anda mungkin cergas tetapi bukannya cergas untuk diturunkan, itu perbezaan yang ketara," kata Van Gaal, yang baru mengumpul enam mata hasil lapan perlawanan.


"Saya terasa kehilangan Rooney kerana dia kapten pasukan tetapi Juan Mata juga boleh bermain dengan baik." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Rosberg raih petak pertama

Posted: 04 Oct 2014 03:27 PM PDT

Suzuka: Pemandu Mercedes, Nico Rosberg meraih petak pertama untuk Grand Prix Jepun semalam, mengatasi rakan sepasukannya Lewis Hamilton, sekali gus meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk kembali mendahului saingan Formula Satu.

Rosberg meraih petak pertama buat kali pertama musim ini dengan catatan masa 1 minit, 32.506 saat di Suzuka, 0.197 saat di depan Hamilton. Pemandu Williams Valtteri Bottas di petak ketiga diikuti rakan sepasukannya, Felipe Massa. "Hari ini sungguh hebat tetapi tetapi itu hanya langkah pertama," kata Rosberg.


"Ia benar-benar menyeronokkan kerana kereta ini dipandu dengan baik." Hamilton mendahului Rosberg dengan tiga mata dalam saingan keseluruhan iaitu 241 berbanding 238. Kedua-dua pelumba itu tidak pernah menang di Suzuka. "Saya tidak tahu apa yang tidak kena," kata Hamilton.

Pelumba Ferrari, Fernando Alonsodi petak kelima dan pelumba Red Bull, Daniel Ricciardo, yang jauh berada di tangga ketiga keseluruhan, menduduki petak keenam untuk perlumbaan yang dikatakan bakal berdepan ancaman ribut.


Ketika perlumbaan dalam keadaan litar basah boleh menghasilkan keputusan luar dugaan, Rosberg percaya hujan mampu membantu dominasi Mercedes.


"Kami menjangkakan litar akan basah," kat Rosberg. "Pengalaman terakhir dalam litar basah adalah di Spa di mana kereta bergerak begitu pantas. Jadi saya optimis, biarpun hujan ia akan menjadi lebih baik." Sesi kelayakan semalam dibayangi berita sebelum itu bahawa juara bertahan empt kali Sebastian Vettel akan meninggalkan Red Bull pada akhir musim dan kemungkinan akan menyertai Ferrari.

Vettel yang menjuarai empat daripada lima perlumbaan di Suzuka masih belum meraih sebarang kemenangan musim ini dan sekadar berada di tempat kesembilan di belakang dua pelumba McLaren, Kevin Magnussen dan Jenson Button. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Penerjun China terus gemilang

Posted: 04 Oct 2014 03:26 PM PDT

Incheon: Penerjun China terus mempamerkan dominasi mereka dalam acara bertaraf dunia. Berbekalkan skil akrobatik dan keberanian, menguasai pentas Olimpik dan kejohanan dunia.

Di Sukan Asia, rekod mereka begitu sempurna. Dalam tempoh 40 tahun sejak temasya sukan rantau ini bermula pada 1974, China tidak pernah tewas dalam acara terjun dan rekod itu kekal sepanjang tempoh berkenaan.


Mereka kembali melakukannya di Sukan Asia yang berakhir di Incheon semalam, menyapu bersih 10 acara yang dipertandingkan.

Dua acara terakhir diadakan kelmarin dan China bukan saja menang dua emas tetapi juga dua pingat perak.


Qiu Bo menjuarai acara 10m platform lelaki mengatasi rakan senegaranya, Yang Jian.


"Saya gembira dengan persembahan hari ini (kelmarin)," kata Qiu yang tewas mengejut di Sukan Olimpik 2012 dan terpaksa berpuas hati dengan pingat perak.

"Biarpun saya melakukan beberapa kesilapan pada pusingan pertama dan keempat, keadaan saya begitu baik hari ini." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Kuasa sujud Husain

Posted: 04 Oct 2014 03:25 PM PDT

Hanya kerana bersujud di padang, nama Husain Abdullah mendapat perhatian seluruh dunia!

Pemain American Football yang beraksi dengan pasukan Kansas City Cheifs itu dilaporkan menerima penalti (denda 15 ela kerana tidak mempamerkan semangat kesukanan) kerana bersujud tanda bersyukur ketika meraikan touchdownnya ke atas New England, 41-14 Isnin lalu.


Husain hanya menyangka dia didenda kerana meluncur keterlaluan selepas melakukan touchdown, tetapi tindakannya bersujud selepas itu dikatakan menimbulkan rasa kurang segelintir pihak.

"Mungkin saya terlalu teruja. Saya ingatkan ia disebabkan saya menggelungsur," katanya.


Insiden itu mencetuskan kegemparan di media sosial. Ramai yang segera mengkritik pegawai perlawanan termasuk ejen Abdullah, CJ LaBoy.


Malah NFL sendiri, menerusi jurucakapnya Michael Signora mengakui hukuman itu satu tindakan yang kurang wajar.

"Abdullah tidak sepatutnya menerima penalti. Pengadil perlawanan tidak sepatutnya mengibarkan bendera kepada pemain yang turun ke tanah atas sebab keagamaan," katanya menerusi Twitter.


Husain kemudiannya menerusi media sosial sama mengucapkan terima kasih kepada peminatnya di seluruh dunia atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan terhadapnya.

Berbalik kepada kisah Husain, anak kepada Yusuf dan Sa'eeda Johnwell dilahirkan dalam keluarga yang besar dengan 12 adik beradik. Bukan saja Husain, abangnya Hamza juga bintang NFL yang disegani, selain Abbas yang membuka jalan untuk kedua-dua mereka.


"Sewaktu kami masih muda, bapa saya memasukkan Hamza dalam sukan itu. Pada mulanya dia tidak pasti, justeru seorang lagi abang, Abbas menyertainya," kata Husain, mengimbas kenangan detik pertama dia menyertai sukan kebanggaan rakyat AS itu.


"Kami menyaksikan pasukannya mara ke peringkat kejohanan. Dia melakukan touchdown dan kami teruja. Pada tahun berikutnya, kami menyertai pasukan football dan bersedia untuk beraksi. Ia memang menyeronokkan. Saya hanya seorang anak kecil yang mahu berseronok." Pada 2012, Husain dan Hamza mengambil tindakan nekad berehat seketika daripada menyertai sukan itu bagi membolehkan mereka mengerjakan ibadah Haji di Makkah.


Sebelum itu, mereka mengadakan siri jelajah di masjid seluruh AS sebelum mengerjakan rukun Islam kelima itu, biarpun ia bermakna kerjaya mereka dalam sukan itu mula terancam.


Pada tahun itu, Abdullah menolak tawaran pasukan Minnesota Vikings dan beberapa pasukan lain manakala Hamza ketika itu masih bersama Arizona Cardinals.


"Saya ke Makkah, Mac lalu dan timbul keinginan yang kuat untuk mengerjakan ibadah haji pada Oktober. Saya cintakan sukan American Football ini, tetapi ia bertembung dengan musim haji. Saya memutuskan untuk berehat seketika," kata Husain.


Tentu sekali, menjadi seorang pemain American Football apatah lagi seorang Muslim menjadikannya tumpuan media negara berkenaan, misalnya apabila berpuasa dalam bulan Ramadan, ramai yang bertanya apakah dia mampu melakukannya dengan cabaran perlawanan yang sememangnya memerlukannya memerah kudrat.


"Baiklah, saya seorang Muslim. Ia bukan satu masalah besar," katanya.


Menurutnya, yang pasti dia menggalas tanggungjawab sosial yang besar.


"Ini satu tanggungjawab kerana kadang-kala, percaya atau tidak saya Muslim pertama yang mereka temui," jelas Husain.


"Mereka melihat dan membaca banyak perkara dan sebaik bertemu anda, perkara pertama yang ingin mereka lihat adalah jika anda seperti yang dilaporkan media.


"Selepas itu mereka bertanyakan pelbagai soalan dan ia satu rahmat sebenarnya kerana anda mempunyai peluang untuk mendidik insan."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Bojan berang aksi pemain

Posted: 04 Oct 2014 03:22 PM PDT

Johor Bahru: "Saya tidak berpuas hati dengan segelintir pemain yang berstatus pemain kebangsaan apabila mereka gagal pamer aksi terbaik,".

Itu yang diluahkan ketua jurulatih Johor Darul Ta'zim (Johor DT), Bojan Hodak yang kecewa dengan kegagalan beberapa pemain kebangsaan yang diturunkan dalam kesebelasan utama pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, kelmarin.


Keputusan seri 0-0 bukanlah yang disasarkan oleh pengendali dari Croatia tatkala barisan serangan nyata tempang tanpa kelibat Jorge Pereyra Diaz yang cedera pada saat akhir sebelum perlawanan dan hanya bergantung kepada Luciano Figueroa selaku penggempur skuad Harimau Selatan.

Namun persembahan di bawah keupayaan segelintir pemain kebangsaan bagaikan tidak dapat diterima Hodak yang menuntut mereka kembali bangkit pada aksi kedua di Stadium Larkin, Sabtu depan.


"Pemain kebangsaan ini bagaikan hilang tempo permainan selepas pulang daripada latihan skuad kebangsaan dan ia menghairankan saya. "Sepatutnya mereka mampu tonjolkan kualiti permainan tinggi namun apa yang dipersembahkan amat mengecewakan. Mereka menjalani latihan selama lebih seminggu dan saya hanya sempat melatih mereka dalam tempoh begitu singkat," katanya.


Hodak menambah tempoh seminggu sebelum aksi suku akhir kedua akan digunakan sepenuhnya bagi memperbaiki apa jua kelemahan untuk memastikan langkah ke separuh akhir tidak tersekat.

Foto

Pemain bertaraf kebangsaan pamer aksi mengecewakan dan longlai.

Beliau berkata, kecederaan Diaz tidak serius dan bakal kembali beraksi dalam kesebelasa utama selain menuntut beberapa pemain yang tidak konsisten pada aksi lalu supaya kembali bangkit.


"Kecederaan Diaz tidak serius dan bakal kembali cergas sepenuhnya malah saya mahu pemain kembali fokus Sabtu depan," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Latihan intensif menjadi

Posted: 04 Oct 2014 03:12 PM PDT

Kota Bharu: Latihan intensif tendangan sudut selama dua hari sebelum bermulanya pusingan suku akhir pertama Piala Malaysia, membuahkan hasil apabila berjaya memanfaat dua daripada tiga gol menewaskan Kedah 3-1, malam kelmarin.

Dua tendangan sudut daripada Mohd Badri Radzi atau Piya dan Fitri Omar berjaya membantu Kelantan memperolehi gol kemenangan sebagai bekalan selesa ke Stadium Darulaman, Jumaat depan.


Ketua Jurulatih Kelantan, George Boateng berkata, beliau menggunakan pendekatan itu selepas percubaan mereka untuk menghasilkan gol melalui tendangan sudut sepanjang kempen Liga Super lalu, gagal.

"Latihan 'set piece' ditumpukan 200 peratus selama dua hari dalam usaha mengenal pasti pemain yang boleh melakukan sepakan itu.


"Sebelum ini, saya tidak boleh tidur memikirkan strategi selepas jentera penyerang gagal menembusi benteng lawan dalam perlawanan terdahulu," katanya.


Mengulas perlawanan itu, Boateng berkata, pujian diberikan kepada benteng pertahanan diketuai Khairul Fahmi Che Mat, Zairul Fitree dan Farisham Ismail kerana berjaya mengekang serangan pelawat termasuk merantai penyerang Kedah, Billy Osman Mehmet.

"Brendan Gan turut beraksi baik bergandingan dengan Piya mengemudi barisan tengah termasuk membantu Forkey Doe untuk menjaringkan gol.


"Saya enggan mendabik dada dengan defisit dua gol itu kerana kedua-dua pasukan masih mempunyai baki masa 90 minit lagi di Stadium Darulaman, Jumaat depan," katanya yang turut berterima kasih kepada penyokong Kelantan kerana terus memberi sokongan walaupun hujan lebat.

Sementara itu, Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe pula berkata, berdepan dengan pasukan berpengalaman seperti Kelantan banyak memberi tekanan terutama kepada pemain muda.


Katanya, dua gol set piece dan berkualiti oleh Kelantan ternyata membunuh semangat pasukannya dalam separuh masa pertama.


"Saya yakin Kedah mampu mengekang kemaraan Kelantan termasuk perlu menjaringkan gol sekurang-kurangnya lima pada aksi kedua nanti."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Zainal terima keputusan seri

Posted: 04 Oct 2014 03:11 PM PDT

Kuantan: Pengendali skuad Tok Gajah, Zainal Abidin Hassan menerima keputusan seri dengan hati terbuka selepas skuadnya terikat 1-1 dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada saingan suku akhir pertama Piala Malaysia, kelmarin.

Pada masa sama, skuad bekas pemain kebangsaan itu terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang baki 50 minit permainan selepas Mohd Nasril Nourdin di perintah keluar padang kerana mengasari pemain lawan.


Katanya, keputusan itu juga tidak bermakna impian mempertahankan piala berpretij itu tersekat kerana perlawanan masih lagi berbaki 90 minit.

"Saya harap suku akhir kedua nanti pemain bijak memanfaatkan segala peluang yang dimiliki dan tidak mengulangi kesilapan dilakukan pada perlawanan malam ini (kelmarin)," katanya.


Pada perlawanan itu, Mohd Nasril Nourdin dilayangkan kad merah selepas menjatuhkan Ashfaq Ali lima minit sebelum berakhir separuh masa pertama. Pahang perlu berterima kasih kepada penyerang importnya, Dickson Nwakaeme kerana berjaya menyamakan kedudukan selepas PDRM selesa mendahului menerusi jaringan Mohd Fauzi Abd Hamid.


Sementara itu, jurulatih PDRM, Azman Adnan berbangga kerana pemainnya dapat melakukan jaringan yang mampu meneruskan perjuangan memburu tiket separuh akhir piala berprestij itu.

Katanya, jika dinilai dari segi keputusan, peluang ke pusingan seterusnya masih ada dan beraksi di gelanggang sendiri akan dimanfaatkan sebaiknya.


"Oleh itu, kami perlu lebih tenang dan memperbaiki segala kelemahan yang ada jika mahu meneruskan perjuangan ke separuh akhir," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

Tamat sudah Sukan Asia Incheon

Posted: 04 Oct 2014 03:07 PM PDT

Padamnya obor di Stadium Utama Asiad Incheon malam tadi bermakna berakhirnya tugas saya dan rakan seperjuangan pada temasya Sukan Asia edisi ke-17.

Semalam juga genap 22 hari saya membuat liputan memberikan gambaran secara dekat kisah pahit dan manis atlet negara yang berjuang memburu pingat dan tidak kurang juga cuba membaiki pencapaian terbaik peribadi.


Hampir sebulan keluarga - isteri dan anak-anak - ditinggalkan demi mencari rezeki membesarkan mereka supaya satu hari nanti menjadi sebahagian daripada masyarakat yang berguna menyumbang kepada kejayaan negara.

Sudah menjadi lumrah kejayaan dipuji dan setiap kegagalan dikritik. Ada yang menerimanya dengan hati terbuka ada juga yang marah, benci dan tidak kurang melontarkan kata-kata tidak manis dibaca, dilihat mahupun didengari.


Zaman ini pelbagai media sosial dilambakkan menjadi alat komunikasi antara individu. Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain bagaikan teman sejati ke mana saja anda pergi.


Sebelum ini saya menggunakan Facebook untuk mencari semula sahabat handai, rakan taulan yang sudah bertahun-tahun tidak ketemu. Dapat melihat wajah terkini mereka pun sudah cukup menggembirakan.

Hari ini media sosial sudah banyak disalahgunakan. Tidak hairan ramai yang ditangkap polis kerana mengepos kata-kata berbentuk hasutan, perkauman dan negatif dalam media sosial.


Saya dan akhbar ini pun berdepan pelbagai kutukan, ancaman dan ugutan dari peminat sepak takraw yang tidak berpuas hati dengan laporan saya pada temasya kali ini. Biasalah kalau bermain bagus dan meraih emas, tak mungkin mereka dikritik.

Akhir sekali saya menyusun sepuluh jari memohon maaf dan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Muslimin dan Muslimat di mana saja anda berada.


Kami di Incheon menyambutnya semalam tanpa lemang, ketupat, nasi impit dan rendang. Kamsa hamida.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/05

No comments:

Post a Comment