Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Gergasi merah padam'

Posted: 03 Oct 2014 01:32 PM PDT

Shah Alam: Peluang juara 32 kali Piala Malaysia, Selangor melangkah ke separuh akhir hampir tertutup pabila tewas 0-4 kepada FELDA United FC (FUFC) malam tadi.

Aksi suku akhir pertama di Stadium Shah Alam jelas bukan milik tuan rumah apabila lawan meledak dua gol pada separuh masa pertama menewaskan Mohd Farizal Marlias di gawang.


Makeche Ndumba membuka jaringan pelawat pada minit ke-22 sebelum penjaring terbanyak Liga Perdana Edward Junior Wilson menambah jaringan kedua pada minit ke-45.

Penyerang import itu menyempurnakan hantaran bekas pemain Selangor, Raimi Md Noor dalam kotak penalti untuk menewaskan Farizal buat kali kedua.


Kelibat penyerang terbanyak Liga Super, Paulo Rangel jelas terbatas apabila gagal memberikan ancaman kepada kubu lawan.


OPeluang terbaiknya hadirnya pada minit ke-56 namun rembatan kencang pula sedikit tersasar.

Foto

DUMBA (kanan) diasak pemain Selangor, Pantelidis.

Malah percaturan pengendali FUFC, Irfan Bakti Abu Salim merehatkan Indra Putra Mahayuddin dan pertahanan import, Yaroslav Krushelnitskiy sebelum memasukkan kedua-dua nya pada penghujung babak kedua jelas membawa impak besar.


Kehadiran kedua-dua pemain berkenaan menyuntik sengat The Fighters untuk menambah dua jaringan pantas menerusi Ndumba pada minit ke-84 dan 85.

Ketinggalan empat jaringan mencetuskan suasana tegang apabila segelintir penyokong membaling 'bom asap' ke arah padang dan anggota keselamatan.


Suku akhir kedua akan berlangsung pada Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Detik sukar Reds

Posted: 03 Oct 2014 01:19 PM PDT

London: Brendan Rodgers dicabar untuk mengembalikan semula aksi dipamerkan Liverpool musim lalu.

Skuad The Reds belum mencatat sebarang kemenangan sejak mengatasi Tottenham Hotspur 3-0, Ogos lalu dan kini menduduki tempat ke-14 Liga Perdana Inggeris.


Selepas tewas mengejut 1-0 pada aksi Liga Juara-Juara di tangan Basel Rabu lalu, mereka kini bakal berdepan cabaran West Bromwich Albion yang menang semua tiga pertemuan antara mereka dalam semua pertandingan.

"Ketika ini, kami berdepan saat sukar, langsung tidak berada dekat dengan kedudukan serta aksi yang kami persembahkan musim lalu," kata Rodgers.


Sejak mengambil alih tugas di Anfield pada Jun 2012, pengendali berusia 41 tahun itu sering dipuji kerana berjaya melonjakkan imej Liverpool dan menjadi pasukan yang kembali digeruni lawan.


Walaupun berjaya menghasilkan gandingan penyerang yang mantap, pengendali dari Ireland Utara itu berkata, Liverpool perlu kembali melihat semula semua kesilapan bagi memastikan mereka dapat bersaing.

"Itu adalah cabaran besar buat pemain dan saya sendiri. Kami perlu membuat analisis yang lebih lengkap dan mendalam," katanya.


"Ia satu cabaran yang menarik. Enam bulan pertama saya di sini, keadaan cukup sukar dan 18 bulan kemudian, kami berada di landasan tepat untuk muncul juara dan segala-galanya dilihat meningkat.

"Kami kehilangan pemain (Luis Suarez) tetapi kami sedang mengalami sedikit perubahan.


"Ia adalah sesuatu yang sukar buat beberapa bulan pertama iaitu ketika saya tiba di kelab ini tetapi kami berjaya melahirkan sesuatu untuk pasukan." Sementara itu, Rodgers melemparkan cabaran buat Mario Balotelli supaya membuktikan kemampuannya untuk menjaringkan gol.


"Daripada segi jaringan, sudah tentu dia perlu meningkat dan itu adalah tugasnya. Bukan saja dia tetapi mana-mana penyerang sekalipun perlu menjaringkan gol. Buat masa ini, dia belum meledak jumlah yang kami perlukan.


"Sebagai penyerang, anda perlu menjaringkan gol selain berusaha mencipta gerakan untuk meledak jaringan. Sebagai pemain di bahagian depan, dia masih belum berbuat demikian." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Milner tak sabar jumpa Villa

Posted: 03 Oct 2014 01:18 PM PDT

Manchester: James Milner tidak sabar untuk bertemu kembali dengan bekas kelabnya, Aston Villa malam ini.

Pemain tengah Manchester City yang sedang berada di tahap terbaiknya itu berharap dapat mengatasi bekas majikannya itu dalam usaha membantu pasukannya melonjakkan diri pada kedudukan lebih baik Liga Perdana selepas tidak mencatat tiga kemenangan sebelum ini.


Juara bertahan itu tewas mengejut 3-2 di Villa Park musim lalu dan Milner menjangkakan perlawanan malam ini pasti lebih sengit.

"Saya kagum dengan prestasi semasa mereka," kata Milner. "Mereka memulakan musim dengan baik dan saya gembira melihat mereka berada di kedudukan atas dan sebagai bekas pemain Villa, saya berharap mereka akan terus bermain cemerlang.


"Saya menikmati setiap masa sepanjang saya bersama Villa. Peminat mereka hebat dan Villa tidak bernasib baik untuk menjulang kejuaraan serta gagal layak ke Liga Juara-Juara. Saya terhutang budi dengan mereka." Milner mengakui setakat ini dia gembira dengan apa yang berlaku ke atasnya dan berharap dapat meneruskan aksi membanggakan minggu ini.


"Pada awal musim, saya tidak kerap bermain tetapi saya sudah mula disenaraikan di dalam skuad utama sejak kebelakangan ini.

"Itulah yang seronoknya di kelab ini. Anda perlu bermain baik untuk kekal di dalam kesebelasan utama kerana sekurang-kurangnya ada dua pemain hebat di dalam setiap posisi. Jika anda tidak boleh meningkatkan keupayaan diri, anda tidak mungkin dapat ke mana-mana di Manchester City.


"Pasukan perlu diutamakan. Anda ada posisi kegemaran dan sudah tentu mahu bermain di posisi itu tetapi pengurus mungkin mengarahkan anda bermain di tempat lain.

"Beliau mahu pemain bergerak lebih bebas dan mencipta gerakan. Beliau mahu kami menyerang dan mempamer aksi yang menyeronokkan." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Lunas dendam

Posted: 03 Oct 2014 01:04 PM PDT

London: Arsenal mahu melunaskan dendam selepas dibelasah Chelsea, Mac lalu dan kekalahan itu masih dirasai Arsene Wenger yang berkata ia tidak mungkin dapat dilupakan oleh semua pemain.

Pengurus Arsenal itu mahu memburu kemenangan pertama ke atas kelab bimbingan Jose Mourinho walaupun sudah banyak kali mencuba dan perlawanan malam esok bakal menyaksikan satu lagi pertembungan menarik.


Wenger mengaku kekalahan 6-0 yang berlaku di Stamford Bridge musim lalu itu mencemarkan perlawanan ke-1,000 yang dikendalikannya dan ia sangat perit untuk ditanggung.

"Kami tidak akan sesekali melupakan apa yang berlaku di Chelsea musim lalu dan kini berpeluang untuk membetulkan segala-galanya," kata Wenger. "Kami perlu menjadikan dendam sebagai pemangkin semangat.


"Permulaan kami yang perlahan tahun lalu membuka ruang buat lawan untuk melancarkan serangan balas. Ia satu kenangan yang pahit tetapi bola sepak bukan berdiri di atas sejarah sebaliknya persembahan anda pada hari itu." Dengan enam mata yang membezakan Arsenal berbanding Chelsea, Wenger berkata kemenangan malam esok adalah wajib jika pasukannya mahu terus kekal memburu kejuaraan Liga Perdana musim ini.


Kejayaan Arsenal membelasah Galatasaray pada aksi Liga Juara-Juara membuatkan Wenger berkata ia adalah perkara yang boleh melonjakkan keyakinan pasukan.

"Kami mahu menang di Chelsea. Kelebihan enam mata yang mereka peroleh ketika ini membuatkan semangat kami lebih membara.


"Kami masing-masing belum tewas (dalam aksi Liga Perdana) tetapi saya rasa kami berdepan tugas lebih sukar berbanding mereka. Ia perlawanan penting buat kami untuk kekal bersaing." Mengenai saingan peribadi antara beliau dan Mourinho serta statistik yang perlu mereka pertaruhkan - 11 perlawanan menentang kelab kendalian jurulatih Portugal itu dan tidak satu pun dimenangi Wenger - membuatkan beliau berkata: "Beliau sentiasa mempunyai pasukan yang hebat. Ia bukanlah perlawanan antara pengurus sebaliknya aksi antara dua kelab." Perkara lain yang bakal mencetuskan sensasi pada pertemuan malam esok ialah bekas bintang kesayangan Arsenal, Cesc Fabregas yang kini semakin menyerlah bersama Cheslea sejak berpindah dari Barcelona.

"Peminat kami menghormati Cesc dan saya mengharapkan semua pihak menyokongnya," kata Wenger. "Saya tidak bermusuh dengannya. Saya sukakan pemain itu tetapi dia sudah membuat keputusan dan kami harus menerimanya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Pening pilih benteng

Posted: 03 Oct 2014 01:03 PM PDT

Manchester: Bukan kali pertama pengurus Manchester United Louis van Gaal pening kepala memilih pemain, kali ini di benteng pertahanan untuk perlawanan menentang Everton, esok.

Pengendali dari Belanda itu terpaksa menukar barisan pemainnya kerana masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.


Malah, tidak kurang 12 pemain silih berganti menjaga benteng pertahanan dalam hanya enam perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Pilihan Van Gaal kali ini mendapat rangsangan kehadiran semula Tyler Blackett yang sudah memenuhi hukuman penggantungan satu perlawanan selepas dilayangkan kad merah ketika tewas 3-5 kepada Leicester City.


Sering menjadi pilihan utama sebelum ini, Blackett sudah bersedia untuk diturunkan semula.


"Biasanya saya mahu beraksi pada setiap perlawanan dan cuba untuk meyakinkan pengurus untuk terus mendapat tempat dalam pasukan.

"Pada mulanya saya kurang gembira kerana hanya diberi peluang bersama-sama skuad simpanan. Tetapi kini saya diturunkan dalam beberapa perlawanan dan ia menyebabkan saya teruja untuk diturunkan lagi.


"Persaingan sihat berlaku di bahagian pertahanan. Kami sentiasa bekerja keras ketika sesi latihan.

"Marcos Rojo dan Daley Blind kedua-duanya pernah digandingkan bersama dan saya rasa kami dapat memberi persefahaman bersama.


Rojo beraksi cemerlang di pertahanan kiri sebelum ini tetapi kini posisi itu dilihat menjadi milik Luke Shaw selepas beraksi cemerlang pada perlawanan Sabtu lalu.


Dengan kemungkinan Phil Jones dan Paddy McNair turut berpeluang untuk diturunkan, Van Gaal mempunyai banyak pilihan di benteng pertahanan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Hamsik julang Napoli

Posted: 03 Oct 2014 01:03 PM PDT

London: Pemain Napoli Marek Hamsik menjadi duri dalam daging buat bekas kelabnya, Slovan Bratislava apabila menjaringkan satu gol dan menjadi arkitek untuk satu lagi gol ketika menewaskan tuan rumah 2-0 semalam sekali gus menyaksikan kelab Itali itu menyertai lima lagi kelab lain yang melakar dua kemenangan pada saingan Liga Europa setakat ini.

Dengan habuan tiket ke peringkat kelayakan Liga Juara-Juara bagi pemenang saingan itu, Fiorentina, Legia Warsaw, Dynamo Kiev, Inter Milan dan Dynamo Moscow turut cemerlang pada saingan peringkat kumpulan dan semakin hampir untuk ke pusingan kalah mati.


Juara bertahan Sevilla memerlukan gol penyamaan Stephane Mbia pada minit ke-90 untuk seri 2-2 dengan wakil Croatia, Rijeka. Sementara itu, malang bagi bekas juara Eropah, PSV Eindhoven dan Steaua Bucharest yang tewas pada perlawanan masing-masing.

Bagaimanapun, dua lagi bekas pemenang Eropah melakar keputusan berbeza dengan Celtic menewaskan Dinamo Zagreb, 1-0 dan Feyenoord menang 2-1 ke atas Standard Liege di tempat sendiri.


Selepas perlawanan pembukaan menyaksikan banyak gol dijaringkan, rata-rata aksi semalam tidak begitu menonjol.


Napoli yang bermula hambar pada kempen Serie A apabila hanya mencatat dua kemenangan daripada lima perlawanan, pasti menuntut sentuhan pengurus Rafa Benitez yang setakat ini gagal membantu kelab itu pada kempen kelayakan Liga Juara-Juara.

Pengurus dari Sepanyol itu bagaimanapun kekal mempunyai rekod cemerlang di Eropah apabila sudah memenangi Liga Juara-Juara, Piala UEFA dan Liga Europa bersama kelab-kelab terdahulu.


Hamsik memulakan karier profesionalnya di Slovan Bratislava dan menunjukkan sikap profesional dengan menjaringkan gol pertama sebelum melakukan hantaran cantik kepada Gonzalo Higuain di babak kedua.

Seteru utama Napoli dalam Serie A, Inter Milan turut melakar kemenangan apabila menewaskan wakil Azerbaijan, Qarabag 2-0 dalam saingan Kumpulan F menerusi gol sumbangan Danilo D'Ambrosio dan Mauro Icardi.


Sevilla pula terpaksa mengharapkan Mbia untuk menyelamatkan mereka dalam saingan Kumpulan G sekali gus berkongsi mata dengan Rijeka.


Wakil Sepanyol itu berada di depan menerusi pemain pinjaman Liverpool, Iago Aspas tetapi menerima tamparan selepas itu apabila Timothee Kolodziejczak dibuang padang kerana menjatuhkan Andrej Kramaric.


Sementara itu, Everton terpaksa berkongsi satu mata selepas sekadar seri 1-1 dengan Krasnodar.


"Sememangnya kami mahu enam mata penuh selepas dua perlawanan, tetapi keputusan ini sudah cukup baik," kata pengurus Roberto Martinez ketika Tottenham juga seri 1-1 dengan Besiktas. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Xavi yakin strategi Enrique

Posted: 03 Oct 2014 01:02 PM PDT

Madrid: Xavi Hernandez yang juga legenda Barcelona tetap optimis peluang kelabnya di bawah bimbingan Luis Enrique musim ini.

"Setakat ini kami dapat menggalas tugas dengan baik. Secara dasarnya, kami dapat memenuhi arahan diberikan jurulatih dan setiap pemain juga dapat merasakan suasana positif," katanya.


Kapten Barcelona itu turut menganggap kelabnya mampu memberi saingan untuk tiga gelaran utama.

Pemain tengah kelab Catalan itu berkata, dia bersedia untuk diturunkan di mana-mana posisi.


"Terpulang kepada jurulatih. Yang penting saya bebas daripada kecederaan dan cergas untuk diturunkan.


"Saya terlepas aksi pramusim kerana masalah kecederaan, tetapi sekarang sudah kembali dalam skuad.

"Saya akan bersaing untuk menjadi antara tonggak utama pasukan dan mahu membuktikan saya berhak untuk diturunkan.


"Musim ini pasti sukar, sama seperti musim lalu," katanya.

Enrique yang gemar melakukan rombakan menyebabkan persaingan hebat dalam pasukan, tetapi Xavi menyokong tindakan jurulatihnya itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Kuyt bersara

Posted: 03 Oct 2014 01:02 PM PDT

Amsterdam: Dirk Kuyt mengumumkan persaraannya daripada aksi antarabangsa selepas melakukan 104 penampilan bersama Belanda kerana menganggap dia sudah tidak mampu memberi sumbangan kepada pasukan.

Penyerang veteran yang mempamerkan aksi cemerlang ketika membantu Belanda mara ke separuh akhir Piala Dunia di Brazil Julai lalu berkata, keputusan itu diambil selepas berbincang dengan jurulatih baru Belanda Guus Hiddink.


"Saya mahukan watak penting di atas padang, tetapi jurulatih tidak dapat meletakkan saya di posisi itu. Sebab itu saya berasa keputusan terbaik adalah bersara," katanya.

Kuyt berkata, dia sudah melakukan beberapa pertemuan dengan Hiddink dan mengambil keputusan itu selepas pertemuan terakhir minggu lalu.


"Selepas banyak kali berbincang, saya ambil keputusan untuk bersara. Mungkin lebih baik saya bersara selepas Piala Dunia, tapi saya rasa masih boleh memberi sumbangan ketika itu.


"Malah jurulatih mahu saya kekal. Sebab itu saya terus bermain. Tetapi ketika bertemu Republik Czech, jelas sekali pemilihan di barisan serangan lebih terarah kepada pemain muda.

"Ia menyebabkan saya sekadar memanaskan bangku simpanan. Saya perlu bersikap jujur. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

Hamilton terpantas!

Posted: 03 Oct 2014 01:01 PM PDT

Suzuka, Jepun: Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton mencatat masa terpantas sesi latihan Grand Prix Jepun, mengatasi rakan sepasukan dan pesaing utamanya, Nico Rosberg semalam.

Hamilton mencatat masa 1 minit 35.078 saat ketika pertengahan aksi sebelah petang di Litar Suzuka dan ia 0.240 saat lebih pantas berbanding Rosberg.


"Perbezaan mata antara kami berubah di setiap litar, tetapi setakat ini ia kelihatan agak baik," kata Hamilton. "Catatan seperti itu di litar paling sukar untuk ditakluk sangat menggembirakan saya." Hamilton mendahului Rosberg dengan kelebihan tiga mata menjelang aksi perlumbaan sebenar esok selepas menang dua saingan sebelum ini. Kedua-duanya tidak pernah menjuarai perlumbaan di Suzuka.

Pemandu Williams, Valtteri Bottas mencatat masa ketiga terpantas diikuti pemandu McLaren, Jenson Button.


Ribut taufan semakin menghampiri Jepun, tetapi dijangka tiba di Suzuka, Isnin ini. Hujan pula diramal tidak turun pada hari perlumbaan sebenar, esok.


"Kelayakan sangat penting kerana di Suzuka, anda sukar untuk memintas pelumba di depan," kata Hamilton. "Kita tidak tahu apa yang bakal menanti kami nanti. Ia litar yang sukar, tetapi kami perlu sentiasa bersedia untuk apa saja kemungkinan." Rosberg yang kehilangan kedudukan selaku pendahulu kategori pelumba di tangan Hamilton sejak di Singapura, berkata keputusan positif ketika sesi latihan akan memberikan kesan besar pada perlumbaan sebenar.

"Kami mencatat masa terbaik sepusingan dan penggunaan petrol juga memberangsangkan," kata Rosberg. "Catatan saya di sebelah petang lebih baik dan saya yakin dapat berlumba dengan sempurna." Pemandu Red Bull yang juga juara bertahan di Suzuka, Sebastian Vettel yang menang empat daripada lima aksi sebelum ini, mencatat masa kelima terpantas diikuti gandingan pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen dan Fernando Alonso.


"Kami boleh mencatat masa lebih baik berbanding di tempat kelima," kata Vettel. "Tetapi kami mungkin sekadar mampu ke tempat ketiga. "Mercedes kelihatan sangat pantas, tetapi kami pasti boleh meningkat terutamanya pecutan di jalan pendek. Memang seronok dapat bersaing dengan Mercedes. Siapa tahu mungkin hujan pada hari perlumbaan nanti?" - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

McIlroy kekal optimis

Posted: 03 Oct 2014 01:00 PM PDT

St Andrews, Scotland: Rory McIlroy ketinggalan sembilan pukulan apabila sekadar mencatat satu di atas par 73 pada pusingan pertama Kejohanan Alfred Dunhill Links, kelmarin.

Empat hari selepas membantu Eropah menjuarai Piala Ryder buat kali ketiga berturut-turut, McIlroy hanya mencatat satu birdie dan dua bogey di lapangan Carnoustie.


"Catatan 73 pukulan bukanlah satu malapetaka besar," kata McIlroy. Oliver Wilson dari England yang berada di kedudukan 791 dunia, menyamai rekod Carnoustie apabila mencatat lapan bawah par 64. Ia tahun kedua berturut-turut dia mencatat 64 pukulan mengetuai pemain lain di kejohanan sama. Tahun lalu, dia menamatkan saingan di kedudukan ke-59.

Wilson pernah tersenarai untuk skuad Piala Ryder Eropah pada 2008 iaitu kali terakhir benua itu ditundukkan Amerika Syarikat. Sejak 2011, dia beraksi di Jelajah Cabaran. Wilson diundang menyertai kejohanan minggu ini dan membenam sembilan birdie dan menamatkan saingan hari pertama dengan catatan birdie-birdie-birdie-bogey-birdie.


"Saya melakar 63 pukulan dua minggu lalu di Terbuka Kazakhstan yang menjadi antara kejohanan utama Jelajah Cabaran. Justeru, mencatat 64 pukulan di Carnoustie adalah sesuatu yang cukup menggembirakan," kata Wilson.


"Saya hanya tercicir satu pukulan, di lubang ke-17 tetapi berjaya membenam birdie di lubang terakhir. Saya gembira menyamai rekod di Carnoustie kerana ia lapangan paling sukar di sini." Raphael Jacquelin dari Perancis ketinggalan satu pukulan di belakang selepas mencatat 65 pukulan termasuk satu eagle di lubang ke-14 yang menjadi lubang kelimanya.

Gandingan pemain Ireland, Padraig Harrington dan Shane Lowry berkongsi kedudukan ketiga dengan 66 pukulan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/04

No comments:

Post a Comment