Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Julang imej TRW

Posted: 02 Oct 2014 11:06 AM PDT

Kota Bharu: Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa (gambar) melaungkan amaran agar pasukannya memperbaiki segala kelemahan demi memastikan kemenangan pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Annuar berkata, The Red Warriors (TRW) harus bersedia menangkis serangan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dan berharap kelemahan ketara di bahagian pertahanan sudah diperbaiki semasa tempoh rehat selama sebulan itu.
"Semua pasukan yang layak mempunyai kekuatan tersendiri dan Kelantan perlu mengakui ada kelemahan. Saya harap ia sudah diperbaiki.

"Saya tahu kita ada material, maka jurulatih perlu gunakan segala kepakaran mereka untuk mara ke final," katanya.
Annuar yang digantung 30 bulan apabila Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan beliau bersalah kerana membuat kenyataan akhbar berbau negatif terhadap skuad bola sepak negara yang melanggar Artikel 88, Statut FAM edisi 2010-2014 pada 12 Februari 2012, akan kembali memberi tumpuan sepenuhnya kepada pasukan selepas tamat tempoh pengantungan Sabtu ini.
Beliau mula mengatur strategi untuk meningkatkan kembali prestasi pasukan bola sepak Kelantan.

Foto

PEMAIN Kelantan gigih berlatih menjelang pertemuan dengan Kedah.

"Saya ingin Kelantan kekal sebagai pasukan disegani dalam Liga M. Sebelum ini saya hanya dapat menolong secara tidak langsung kerana terdapat halangan untuk membantu secara terbuka. Apabila penggantungan ini berakhir, saya rasa dapat memberi tumpuan penuh membantu pasukan," katanya
Sementara itu, pengendali Kelantan George Boateng berkata, tempoh rehat sebulan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan menjalani latihan bagi persiapan suku akhir Piala Malaysia.

Jurulatih kelahiran Ghana itu turut gembira kerana semua pemain dilapor cergas untuk perlawanan ini termasuk Wan Zack Haikal yang pulih dari kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Hamilton idam hatrik

Posted: 02 Oct 2014 09:49 AM PDT

Suzuka, Jepun: Lewis Hamilton berharap dapat melakar kemenangan hatrik untuk melebarkan lagi kedudukannya selaku pendahulu kejuaraan pemandu Formula Satu (F1) berbanding rakan sepasukan Nico Rosberg pada perlumbaan Grand Prix Jepun, hujung minggu ini yang sering didominasi Sebastian Vettel sejak beberapa tahun lalu.

Dengan baki lima pusingan lagi, Hamilton hanya mendahului Rosberg dengan kelebihan tiga mata selepas melakar kemenangan ketujuh di Grand Prix Singapura bulan lalu.


Andai menang di Suzuka, ia akan memberi kelebihan kepada pemandu berusia 29 tahun dari Britain itu untuk merangkul kejuaraan dunia buat kali kedua.

Hamilton bagaimanapun belum pernah menakluk Suzuka dan bakal berdepan tugas lebih sukar berbanding di Singapura yang menyaksikan Rosberg terpaksa menarik diri kerana berdepan masalah jentera.


"Kami mempunyai pakej kereta yang bagus dan saya harap dapat berada di kedudukan paling depan.


"Semua legenda F1 sudah mencatatkan kemenangan di Suzuka sejak sukan ini kali pertama diperkenalkan pada era 1980-an dan saya mahu meletakkan nama dalam senarai pemenang minggu ini," katanya.

Hamilton pernah memenangi Grand Prix Jepun pada penampilan pertamanya pada 2007, tetapi perlumbaan ketika itu berlangsung di Litar Fuji Speedway.


Keputusan terbaiknya di Suzuka adalah tempat ketiga ketika bersama McLaren pada 2009.

Pada perlumbaan terakhir tahun lalu, Hamilton bermula di petak ketiga, tetapi terpaksa menarik diri pada pusingan ke-10 kerana terbabit kemalangan.


Rosberg juga belum pernah menang di Jepun dengan penamat terbaik hanya di tempat kelima.


Pemandu Jerman itu menguasai saingan sebelum dua perlumbaan terakhir, tetapi kesilapan di Itali serta masalah jentera di Singapura meleburkan penguasaannya.


"Saya tidak sabar untuk berlumba hujung minggu ini, terutama dengan pakej terbaik yang kami ada ketika ini.


"Ia memberi kelebihan kepada kami untuk mencatat keputusan yang bagus," katanya.


Vettel yang mendominasi Litar Suzuka sejak beberapa tahun lalu, tampil dengan keyakinan tinggi selepas meraih podium kedua di Singapura.


"Suzuka sentiasa memberi tuah kepada saya sejak beberapa tahun lalu.


"Saya memenangi saingan di sini empat kali dan juga merangkul kejuaraan dunia pada 2011," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

McIlroy Pemain Terbaik Jelajah PGA

Posted: 02 Oct 2014 09:48 AM PDT

London: Rory McIlroy dinobat Pemain Terbaik Jelajah PGA buat kali kedua selepas memenangi dua kejohanan utama tahun ini.

Pemain nombor satu dunia berusia 25 tahun dari Ireland Utara itu memenangi tiga kejohanan berturut-turut bermula dengan kejohanan terbuka pertamanya di Hoylake Julai lalu.


McIlroy memenangi Kejohanan Jemputan WGC-Bridgestone sebelum memenangi Terbuka Amerika Syarikat (AS) di Valhalla.

Dia muncul individu paling banyak menerima undian berbanding Billy Horschel, Martin Kaymer, Jimmy Walker dan Bubba Watson.


Juara Terbuka Puerto Rico, Chesson Hadley memenangi Anugerah Pemain Baru Terbaik mengatasi Victor Dubuisson dan Brooks Koepka.


"Tahniah kepada Rory dan Chesson kerana pencapaian hebat yang membolehkan mereka menerima anugerah ini," kata Pesuruhjaya Jelajah PGA Tim Finchem.

"Kedua-dua pemain berhak menerima anugerah ini selepas beraksi konsisten sepanjang musim," katanya lagi.


McIlroy juga memenangi Anugerah Jack Nicklaus buat kali pertama sejak 2012.

Dia turut memenangi Anugerah Arnold Palmer selepas mengumpul wang kemenangan £5,107,526.28 (RM26,833,493.57 juta). - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Welbeck terbaik!

Posted: 02 Oct 2014 09:48 AM PDT

London: Keputusan bekas pemain Manchester United, Danny Welbeck menyertai Arsenal nyata tepat apabila dia membuktikan dirinya memiliki kualiti menjadi antara penyerang hebat.

Mengetahui dirinya menjadi pilihan utama untuk membarisi skuad kendalian Arsene Wenger serta beraksi di posisi kegemarannya di bahagian serangan tengah berbanding sayap di Old Trafford, Welbeck kini mula mempamerkan bisanya.


"Dia kelihatan cukup ganas malam ini (semalam)," kata pemain pertahanan Arsenal, Kieran Gibbs memuji kehebatan penyerang berusia 23 tahun itu yang meledak hatrik untuk membantu Arsenal mengatasi Galatasaray, 4-1 dalam aksi Liga Juara-Juara semalam.

"Dia memiliki semuanya. Dia pantas, kuat, bijak mengawal bola dan berusaha keras." Welbeck menjadi pemain Inggeris keenam menjaringkan hatrik pada kejohanan itu selepas Mike Newell, Andrew Cole, Michael Owen, Alan Shearer dan Wayne Rooney.


Dengan kebijaksanaan pergerakan, kepantasan dan kekuatan dimiliki, pemain bernilai £16 juta (RM83.9 juta) itu boleh dianggap pembelian berbaloi buat Wenger.


Gol pertama Welbeck hasil kualiti lariannya menyempurnakan hantaran Alexis Sanchez.

Gol keduanya pula diperoleh menerusi kekuatan fizikal manakala gol ketiga yang paling menggembirakan hatinya menyerlahkan sentuhan penyudah tajam buat menutup mulut pengkritik.


Menjadi penjaring tetap dalam Liga Perdana Inggeris dan penyerang yang meledak 20 gol semusim untuk membantu kelab memburu kejuaraan adalah cabaran terbarunya, namun ia tidak sukar kerana Wenger boleh menjadi guru terbaik buatnya.

Ketika Thierry Henry tiba di Arsenal dari Juventus pada 1999, ramai menganggap pemain itu sebagai penyerang biasa, tapi Wenger mengubahnya menjadi penyerang tengah dengan rekod 175 gol dalam Liga Perdana.


Welbeck dibawa masuk selepas penyerang utama Arsenal, Olivier Giroud mengalami kecederaan jangka panjang dan dia perlu beraksi cemerlang untuk menghampiri pencapaian Henry di utara London, tapi kini sudah menemui pasukan yang boleh menggilap bakatnya.


"Memang bagus apabila melihat dia mula mendapat keyakinan dan menjaringkan gol," kata Wenger.


"Memang menggembirakan untuk melihat potensinya di sini dan dia mula mendapat rentak. Diharap jaringan hatrik itu meningkatkan keyakinannya." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Rodgers puji 'kerja keras' Balotelli

Posted: 02 Oct 2014 09:43 AM PDT

Basel: Kerja keras Mario Balotelli dalam perlawanan menentang FC Basel mendapat pujian pengurus Liverpool Brendan Rodgers semalam meskipun penyerang Itali itu dilihat lebih banyak menghabiskan masa dengan terbaring untuk mendapatkan sepakan percuma.

"Dia hampir menjaringkan gol menerusi sepakan percuma. Dia tahu tugasnya untuk mencipta peluang dan menjaringkan gol. Dia berkerja keras untuk mencapai matlamatnya. Itulah yang saya arahkan kepadanya," kata Rodgers kepada pemberita selepas menyaksikan pasukannya tewas 0-1 kepada juara Switzerland dalam pertembungan Liga Juara-Juara.


"Dia berkerja keras. Memang tugasnya mencipta peluang dan menjaringkan gol, itulah yang dia lakukan.

"Keputusan ini mengecewakan kami, tapi perlawanan seterusnya di Anfield pasti lebih penting, " katanya merujuk kepada pertemuan dengan Real Madrid di laman sendiri.


"Kami tidak sabar menunggu perlawanan itu kerana dalam kejohanan ini, perlawanan di gelanggang sendiri sangat penting." Kapten Liverpool Steven Gerrard mengakui pasukannya layak tewas perlawanan itu.


"Kami mencipta beberapa peluang keemasan pada awal permainan, tapi kami berhak untuk tidak mendapat apa-apa daripada perlawanan ini.

"Kami kurang agresif di setiap penjuru padang," kata Gerrard yang mensia-siakan dua gerakan. "Lawan lebih bersemangat untuk menang dan itu amat mengecewakan. Melepaskan gol sekali lagi menerusi gerakan 'set-piece' tidak bagus dan kami perlu memperbaiki kelemahan itu. Anda tidak akan memenangi perlawanan jika terus dibolosi menerusi gerakan 'set-piece' - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Benzema wira Real

Posted: 02 Oct 2014 09:42 AM PDT

Madrid: Penyerang Real Madrid Karim Benzema mempunyai ramai pengkritik di Sepanyol dan negara kelahirannya, Perancis namun menjaringkan gol penting seperti kemenangan di Ludogorets, awal pagi semalam mampu menutup mulut semua yang tidak senang dengannya.

Pengkritik mengatakan Benzema seharusnya lebih prolifik manakala penyokongnya, termasuk Presiden Real Florentino Perez dan jurulatih Carlo Ancelotti mengakui sumbangannya untuk pasukan yang didakwa mereka sering tidak dipandang.


Pemain berusia 26 tahun itu hadir dari bangku simpanan pada separuh masa kedua di Sofia dan meledak jaringan ketika saingan berbaki 13 minit untuk menjadikan kedudukan 2-1 bagi melengkapkan kebangkitan Real selepas ketinggalan satu gol dan mengekalkan rekod bersih juara Eropah itu dalam Kumpulan B dengan dua kemenangan setakat ini.

"Paling penting bagi saya, kami beraksi bersama-sama walaupun bagi seorang penyerang, menjaringkan gol tugas utamanya," kata Benzema.


"Hari ini (awal pagi semalam), saya banyak membantu pasukan," tambah bekas penyerang Olympique Lyon itu.


"Orang ramai mahu saya menjaringkan lebih banyak gol namun kami akan terus bekerja keras seperti hari ini (awal pagi semalam)." Kritikan terhadap Benzema sengaja diperbesarkan berdasarkan rekodnya untuk Real sejak menyertai kelab terkaya dunia berkenaan pada 2009 bersama Cristiano Ronaldo dan Kaka.

Musim terbaiknya adalah pada 2011/12 dengan meledak 31 gol dalam 50 perlawanan di semua pertandingan dengan Real menamatkan dominasi tiga tahun Barcelona sebagai juara La Liga dan melangkah ke separuh akhir Liga Juara-Juara.


Selepas kemenangan di Ludogorets, Real perlu segera fokus untuk aksi La Liga pada Ahad menentang Athletic Bilbao di laman sendiri.

Ronaldo yang menyamakan kedudukan untuk Real menerusi sepakan penalti pada minit ke-24 selepas terlepas percubaan awal, cedera di buku lali pada lewat perlawanan namun Ancelotti menjelaskan pada sidang media ia tidak serius.


Real akan bertandang ke Liverpool pada 22 Oktober bagi perlawanan seterusnya di Liga Juara-Juara dengan FC Basel melayan kunjungan Ludogorets. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Turan istimewa

Posted: 02 Oct 2014 09:41 AM PDT

Madrid: Jurulatih Atletico Madrid Diego Simeone menganggap Arda Turan istimewa selepas pemain tengah Turki itu membantu kelab La Liga itu menewaskan Juventus, 1-0 di laman sendiri pada saingan Kumpulan A Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Saingan sengit di Calderon membabitkan juara Sepanyol dan Itali itu terlerai apabila Arda menolak bola ke gawang pada minit ke-75 bagi membolehkan kempen Atletico di pentas Eropah kembali ke landasan tepat selepas tewas 2-3 kepada Olympiakos Piraeus pada aksi pembukaan dua minggu lalu.


Pemain berusia 27 tahun itu meneruskan tugas meledak jaringan penting selepas memastikan kemenangan 2-1 mengatasi Real Madrid dalam kancah La Liga awal bulan ini.

"Arda istimewa," kata Simeone sambil menambah mereka menjalani latihan menggunakan gerakan yang menyumbang gol itu.


Pemain pertahanan, Juanfran melakukan hantaran dari sebelah kanan dan walaupun penyerang Mario Mandzukic gagal menyambar bola, Arda berada pada posisi tepat untuk menjaringkan gol.


"Hantaran silang Juanfran sangat bagus," kata Simeone. "Mandzukic terlepas namun Arda tiba tepat pada masanya seperti yang kami lakukan dalam latihan." Arda menyertai Atletico selepas meninggalkan Galatasaray pada 2011 dan antara pemain kegemaran utama Atletico selain memainkan peranan penting sejak kebelakangan ini.

Pemain berbadan gempal itu mencetuskan gerakan kreatif yang mampu memecahkan kekebalan pertahanan, sekali lagi membuktikannya awal pagi semalam.


"Apabila dia diberi peranan bebas, dia kehilangan sesuatu namun apabila diberikan posisi tetap dia sangat luar biasa kerana mempunyai kelebihan taktikal," kata Simeone. "Dia memberikan masa dan ruang yang cukup kepada pertahanan melakukan serangan." Kemenangan Atletico membolehkan mereka kembali ke landasan tepat untuk melepasi saingan peringkat kumpulan yang turut membabitkan Malmo. Kelab Sweden itu mengatasi Olympiakos, 2-0 di laman sendiri sekali gus empat pasukan kini meraih tiga mata selepas dua perlawanan.

Juventus kehilangan perancang tengah Itali, Andrea Pirlo yang mengalami kecederaan pinggul dan jurulatih Massimiliano Allegri berkata, pasukannya dihampakan kekurangan kualiti hantaran bola.


"Saya fikir pendekatan diamalkan bagus," kata Allegri. "Kami cuba memenangi perlawanan dan terlepas beberapa hantaran penting apabila mempunyai peluang untuk melakukan serangan balas.


"Kami sangat kecewa kerana kekalahan ini namun saingan kumpulan masih terbuka dan tidak mengubah kedudukan kami." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

'Kegagahan' Hulk gagal jinak Monaco

Posted: 02 Oct 2014 09:41 AM PDT

St Petersburg, Russia: Hulk mempamerkan persembahan luar biasa untuk Zenit St Petersburg yang terikat tanpa jaringan dengan Monaco dalam saingan Kumpulan C Liga Juara-Juara awal pagi semalam, beberapa jam selepas dia menjadi sasaran insiden berbaur perkauman dalam perlawanan liga domestik.

Pemain antarabangsa Brazil itu memberitahu akhbar Russia dia mendengar jeritan 'monyet' yang ditujukan kepadanya ketika kunjungan ke Spartak Moscow, Sabtu lalu tetapi tetap berjaya mempamerkan aksi menarik di Stadium Petrovsky.


Namun, persembahan cemerlangnya itu belum mampu memecahkan kebuntuan dengan Zenit dan Monaco terpaksa berkongsi mata pada aksi dalam cuaca sejuk itu.

Hulk yang mencipta beberapa peluang terbaik Zenit menerusi lariannya, berkata: "Saya dengan jelas mendengar penonton mengeluarkan perkataan 'monyet' ke arah saya dan ia kedengaran setiap masa.


"Ia hadir daripada sejumlah besar penyokong...saya anggap ia serangan peribadi kepada diri dan kelab." Kontroversi berkenaan tidak menunjukkan sebarang gangguan terhadap persembahan Hulk ketika menentang Monaco. Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Kesatuan Bolasepak Russia (RFD) Artur Grigoryants mengesahkan hukuman terhadap kata-kata berbaur perkauman dilaksanakan panel itu dan penyokong Spartak diharamkan untuk hadir perlawanan kelab itu di tempat lawan, Ural Yekaterinenburg pada 19 Oktober. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Bisa Tarantula

Posted: 02 Oct 2014 09:40 AM PDT

Sungai Petani: Jatuhan pin terkumpul 2,176 sudah cukup untuk pasukan Tarantula menjuarai Kejohanan Tertutup Tenpin Bowling Kelab Motosikal Santai Berkuasa Tinggi (FRB).

Berlangsung di Sejati Superbowl Park Avenue, Sungai Petani baru-baru ini, pasukan Tarantula yang dianggotai Khairil Azizi Azmy, Ismail Othman, Kamarul Zaman dan Mohamad Sham mengatasi 12 pesaing lain.


Kejohanan sulung anjuran FRB itu bertujuan menghimpunkan ahli dan keluarga kelab itu bagi meraikan ulang tahun pertama penubuhannya.

Pasukan Boa Yellow muncul naib johan dengan 2,148 pin manakala Scorpion di tempat ketiga, 2,096.


Pengerusi pertandingan Ismail Abdul Rahman berkata, FRB mengambil inisiatif mengadakan kejohanan itu sebagai medan mengeratkan hubungan dalam kalangan ahli dan juga keluarga masing-masing.


"Selain aktif dalam gerak kerja kebajikan, kelab juga mengatur kejohanan bowling sebagai antara aktiviti tahunan. Ini penting kerana ia mampu mengukuhkan hubungan dua hala dalam kalangan ahli FRB yang kini berjumlah lebih 200 orang.

"Kejohanan ini juga medan untuk ahli menunjukkan bakat selepas diketahui mahir mengawal motosikal berkuasa tinggi di jalan raya," katanya.


Ismail berkata, pihaknya bercadang mengadakan lagi kejohanan serupa kerana ia nyata memberi pengalaman baru kepada setiap ahli FRB dan keluarga.

"Jika sebelum ini FRB lebih sinonim dengan tunggangan kebajikan, kejohanan ini memberikan mereka ruang lebih santai sambil bersukan.


"Secara tidak langsung, FRB mampu memikat golongan muda menyertai aktivitinya sekali gus mengelak mereka terjebak gejala negatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

Samba bola meriah

Posted: 02 Oct 2014 09:40 AM PDT

Pulau Pinang: Padat dengan aksi bertenaga dan menghiburkan itulah yang dapat digambarkan pada siri ketiga Karnival Bola Sepak Perpaduan 7 Sebelah Bawah 12 tahun merebut Piala Datuk Shukor Salleh 2014 bertemakan Samba Bola di padang Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, baru-baru ini.

Program itu berjaya menarik penyertaan 32 pasukan di negeri utara tanahair.


Kejohanan itu juga bermatlamat mengiktiraf pengorbanan legenda bola sepak negara, Shukor dalam mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Kehadiran beliau pada program itu berjaya memeriahkan suasana ditambah dengan keramahan memberi tunjuk ajar kepada pemain.


Skuad Bintang Biru muncul juara selepas mengecewakan Kulim Tigers FC, 2-0 melalui penentuan sepakan penalti selepas terikat 0-0.


Lapan pasukan terbaik menerima hadiah berbentuk pingat dan barangan penaja disempurnakan Shukor.

Program sedikit sebanyak dapat melahirkan budaya sukan dan semangat setiakawan antara kanak kanak berbilang kaum serta melahirkan pemain berbakat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/03

No comments:

Post a Comment