Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Bintang masa depan

Posted: 01 Oct 2014 12:07 PM PDT

London: Mungkin agak keterlaluan jika mengharapkan Max Verstappen, 17, mampu membuktikan sesuatu pada kemunculan pertamanya di Jepun tetapi andai dia menyerlah, pelumba muda itu bakal bergelar bintang pada masa akan datang.

Pelumba Belanda itu akan memandu jentera Toro Rosso, pasukan yang bakal diwakilinya pada 2015 pada sesi latihan pertama di Suzuka, esok.


"Tumpuan dunia kini terarah kepadanya dan ia bukanlah tekanan yang mudah untuk ditangani," kata Sir Jackie Stewart, 75.

"Kehadirannya sudah dianggap sensasi sedangkan sekarang adalah peringkat awal kariernya, tetapi F1 amat berbeza." Bekas juara dunia tiga kali itu turut menyatakan, Verstappen bakal berdepan tekanan lebih tinggi berbanding pelumba muda yang tampil sebelum ini.


"Saya pernah lihat kemunculan beberapa pelumba muda dan tekanan membuatkan mereka goyah. Bagaimanapun, tidak mustahil ia memberi faedah buatnya.


"Memang seronok melihat cara dia menangani tekanan. Sudah banyak yang diperkatakan mengenai dirinya." Suzuka dilabel salah satu litar paling sukar di dunia dan dianggap ujian getir buat mana-mana pemandu.

Tetapi, ketika Stewart mengakui cabaran berkenaan, beliau turut sedar faedah serta kekuatan bakal diperoleh pelumba yang pernah beraksi di litar terbabit.


"Tidak dapat dinafikan Verstappen diberikan litar paling sukar pada kemunculan pertamanya," katanya.

"Namun dia akan berlatih di depan mesin simulator dan itulah kelebihan yang akan diperoleh ketika ini.


"Dia seorang pelumba muda berpengalaman dan sudah menang banyak kali dalam acara go-kart dan formula lebih rendah.


"Toro Rosso percaya mereka perlu memberikannya peluang. Jika dia mampu melakukannya dengan baik, dia pasti menjadi pelumba muda bertaraf bintang." - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Benteng roboh

Posted: 01 Oct 2014 12:06 PM PDT

Paris: Barcelona tidak dibolosi sebarang gol musim ini namun Paris St Germain membuktikan pertahanan pasukan gergasi Sepanyol itu agak rapuh selepas naib juara La Liga itu tewas 2-3 dalam aksi Liga Juara-Juara di Parc des Princes, semalam.

Gawang Barca yang tidak dibolosi sepanjang tujuh perlawanan awal semua pertandingan musim ini nampak goyah di bahagian pertahanan khususnya di bahagian tepi, namun ia tidak mengejutkan jurulatih PSG Laurent Blanc.


"Kami menyaksikan perlawanan mereka menerusi video dan yakin walaupun mereka tidak dibolosi, mereka membuka peluang kepada pasukan lawan," katanya dalam sidang media.

"Mereka mengambil banyak risiko, bukan mudah untuk bertahan di Barca, saya tahu kerana pernah bermain di sana," tambah bekas pemain pertahanan tengah yang beraksi untuk kelab Catalan itu pada musim 1996/97.


"Mereka mengambil risiko terutama di bahagian pertahanan kiri dan kanan yang sering menyerang." Pemain pertahanan Barca Dani Alves dan Jordi Alba bergelut dalam perlawanan itu apabila Marco Verratti dan Blaise Matuidi menjaringkan gol untuk meletakkan PSG mendahului 2-1 dan 3-1.


Blanc memuji aksi pasukannya yang menyempurnakan peluang dengan baik.

"Kami tidak mendominasi permainan, tapi ia bukan sesuatu yang pelik," katanya.


"Namun kami mengancam mereka setiap kali mendapat bola dan penting untuk kami tidak mensia-siakan setiap peluang." PSG mendahului Kumpulan F dengan empat mata selepas dua perlawanan, satu mata mengatasi Barcelona. Ajax Amsterdam menduduki tempat ketiga dengan dua mata selepas seri 1-1 di APOEL yang terperosok di tangga tercorot apabila hanya mengumpul satu mata.

Jurulatih Barca Luis Enrique berkata: "Kami tahu bukan mudah untuk layak. Kami tahu aksi di APOEL pasti sukar termasuk menentang Ajax nanti." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Tak semangat beraksi di stadium kosong

Posted: 01 Oct 2014 12:05 PM PDT

Moscow: Pemain sayap Bayern Munich, Arjen Robben tidak teruja dengan pengalaman baru kariernya ketika membenam CSKA Moscow pada saingan Liga Juara-Juara tanpa sorakan penonton.

Selepas meluahkan rasa tidak puas hati dengan taktik bertahan CSKA ketika kelabnya mencatat kemenangan 1-0, Robben juga dilihat kurang senang beraksi di stadium kosong.


"Ini kali pertama saya beraksi tanpa sokongan penonton di stadium," katanya merujuk keputusan UEFA yang mengarahkan perlawanan berlangsung tanpa penonton berikutan tindakan liar penyokong CSKA sebelum ini.

"Biasanya saya beraksi di dalam stadium yang dipenuhi penyokong dan itulah suasana sebenar bola sepak," katanya.


Robben juga percaya bola sepak perlu dimainkan dengan menarik dan tidak seperti ketika Bayern mencatatkan kemenangan ke atas CSKA yang gemar bertahan.


Robben dikawal ketat barisan pemain lawan, namun Bayern berjaya juga memecah kebuntuan apabila mendapat sepakan penalti pada minit ke-21.

"Satu gol sangat penting dan kami gembira kerana berjaya meraih tiga mata," kata jurulatih Bayern Pep Guardiola.


Corak permainan CSKA mengingatkan Guardiola kepada beberapa perlawanan sebelum ini kerana ia mengamalkan corak permainan sama.

"Ketika kami bertemu Cologne, mereka juga menggunakan pendekatan bertahan seperti CSKA," katanya.


Meskipun tewas kali kedua, ketua jurulatih CSKA Leonid Slutski masih tidak berputus asa untuk melangkah ke pusingan kedua.


"Oleh kerana kami berdepan masalah pemilihan pemain serta bertemu pasukan gergasi seperti Bayern, kami memilih untuk bertahan. Secara keseluruhan saya rasa ia pasti membuahkan hasil nanti.


"Satu-satunya yang kami gagal lakukan adalah menjaringkan gol walaupun ada beberapa peluang keemasan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Bilbao perlu ubah strategi

Posted: 01 Oct 2014 12:05 PM PDT

Madrid: Athletic Bilbao tidak mempunyai peluang mara ke pusingan kalah mati jika mengulangi persembahan buruk menentang BATE Borisov, kata jurulatih Ernesto Valverde.

Selepas berjaya layak ke peringkat kumpulan buat kali kedua, Bilbao meletakkan harapan tinggi untuk mara dari Kumpulan H yang turut dihuni Porto (Portugal) dan Shakhtar Donetsk (Ukraine).


Bagaimanapun, seri tanpa jaringan di tempat sendiri dengan Shakhtar dalam perlawanan pembukaan dan tewas 1-2 kepada BATE semalam menyaksikan perlawanan seterusnya yang bakal berlangsung 21 Oktober ini sebagai peluang terakhir untuk memulihkan peluang mara ke pusingan kedua.

BATE yang dibelasah Porto, 0-6 pada aksi pembukaan, berhak menang di gelanggang baru mereka, Borisov Arena dan melepaskan beberapa peluang untuk mengukuhkan kedudukan ketika mendahului pada separuh masa kedua.


"BATE lebih tenang dan mempercayai diri sendiri, manakala kami tidak bermula dengan baik. Sebelum ini saya tidak gembira dengan persembahan kami, tetapi saya puas hati dengan semangat mereka.


"Kini saya tidak puas hati kedua-dua perkara. Kami masih berpeluang mara dari peringkat kumpulan, tetapi mustahil jika mempamerkan corak sama," kata Valverde.

Velvarde berkata, beliau tidak menjangkakan BATE bangkit selepas dibelasah Porto dan berasa tidak selesa apabila pasukan lawan lebih hebat berbanding anak buahnya.


"Kami dihukum di kawasan yang sentiasa kami kuasai termasuk permulaan yang lebih lancar. Saya sangat kecewa.

"Mereka lebih mantap, terutama dari segi merampas bola, kami tidak mampu menguasainya.


"Mereka memiliki inisiatif dan menyebabkan kami terpaksa membayar harga yang mahal selepas kehilangan bola. Apa yang berlaku sukar diterima dan kami perlu bangkit," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Arul calon pilihan

Posted: 01 Oct 2014 12:05 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun kecewa dengan kegagalan skuad hoki lelaki negara layak ke perlawanan akhir Sukan Asia di Incheon kelmarin, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tetap percaya jurulatih Arul Selvaraj calon terbaik untuk terus membimbing pasukan negara.

Arul dilantik jurulatih sementara pada awal Ogos lalu apabila MHC membuat kejutan merehatkan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah dan beliau memikul tugas mencabar untuk mempersiapkan pasukan dalam tempoh singkat bagi memenuhi misi merangkul pingat emas di Incehon.


Bagaimanapun hasrat itu tidak kesampaian apabila skuad negara tewas tipis kepada Pakistan 5-6 menerusi penentuan pukulan penalti di separuh akhir Sukan Asia kelmarin sekali gus meleburkan peluang merebut tiket automatik ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Bagi Tengku Abdullah, beliau tidak menolak kemungkinan menyerahkan tugas itu secara tetap kepada jurulatih berusia 40 tahun itu jika tidak menemui pengganti lebih baik.


"Saya akan cari jurulatih baru, tapi kalau tidak ada yang lebih bagus, kita akan kekalkan Arul sebagai ketua jurulatih untuk dua pasukan. Cuma kita perlu mantapkan barisan kejurulatihan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Kejohanan Piala Asia 2015 semalam.


Menurut Tengku Abdullah, kegagalan pasukan negara mara ke final Sukan Asia amat menyedihkan, namun beliau memuji kesungguhan pemain pada aksi separuh akhir dengan Pakistan.

Foto

ARUL (tengah) bawa skuad negara ke separuh akhir Sukan Asia.

"Saya begitu sedih, kita boleh nampak peningkatan pemain cuma nasib tidak memihak kita. Tapi pujian harus diberikan kepada Arul dan pemain kerana mereka sudah mencuba yang terbaik," katanya.


Ketika mengulas mengenai masa depan Muhammad Dhaarma Raj yang direhatkan selepas prestasi hambar pasukan negara di temasya Sukan Komanwel ke-20 di Glasgow, Scotland dan juga Piala Dunia di The Hague, Belanda, ternyata bekas jurulatih itu seakan-akan sudah tiada dalam radar MHC.

"Kita perlu lihat ke depan, buat masa ini Arul yang akan mengambil tempat itu, kita tidak bercakap mengenai masa lalu. Itu cara saya bekerja," tegas Tengku Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

UKM FC, UiTM Perlis tentu juara IPT

Posted: 01 Oct 2014 12:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Juara dan naib juara Divisyen Satu bola sepak Liga Institusi Pengajian Tinggi 2014 (Liga IPT), UiTM Perlis dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menutup tirai musim ini dengan bertemu di final Piala Menteri Pendidikan Malaysia pada 9 Oktober ini.

Bagaimanapun laluan UiTM Perlis ke perlawanan akhir itu menyaksikan mereka bergelut dengan 10 pemain hingga masa tambahan di gelanggang sendiri sebelum mengatasi Politeknik Kota Bharu (PKB), 3-2 yang turut kehilangan dua pemain. Kedudukan masa penuh perlawanan terikat 2-2.


UKM yang juga juara 2012, hanya memerlukan 90 minit perlawanan untuk menempah tiket ke final apabila mengatasi Universiti Multimedia (MMU), 1-0 di Bangi.

Ini bermakna UKM yang dibimbing Sulaiman Hussin, mara ke akhir tiga musim berturut-turut. "Alhamdulillah, selepas berdepan pelbagai dugaan, UKM FC akhirnya berjaya juga ke final," kata Sulaiman. "Selepas kemenangan ini, keyakinan pemain makin tinggi untuk menebus kegagalan meraih gelaran Divisyen Satu musim lalu apabila kami terpaksa mengalah dengan perbezaan gol kepada UiTM Perlis." UiTM Perlis yang dibimbing bekas pemain Kedah dan Perlis, Manja Man adalah juara Divisyen Satu dua musim berturut-turut dan kali pertama mara ke final.


"Masih ada seminggu lagi untuk membuat persediaan selepas beberapa pemain dijangka tak dapat beraksi. Saya yakin final menentang UKM pasti getir," kata Manja.


Selain juara Divisyen Satu, UiTM Perlis turut meraih Piala Sumbangsih selepas menewaskan UM pada aksi pembuka tirai Liga IPT 2014, awal Mac lalu.

Perlawanan akhir itu berlangsung di Stadium UiTM Shah Alam, jam 8.30 malam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Hendrawan naik pangkat?

Posted: 01 Oct 2014 12:02 PM PDT

Kuala Lumpur: Kesudian dan kerelaan Tey Seu Bock mengundur diri daripada melatih Datuk Lee Chong Wei memberi bayangan jurulatih skuad pelapis, Hendrawan akan mengisi kekosongan itu.

Menurut sumber Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Hendrawan hampir pasti dinaikkan pangkat untuk membantu ketua jurulatih perseorangan negara, Rashid Sidek untuk mempersiapkan Chong Wei menghadapi Sukan Olimpik 2016 Rio.


Chong Wei semalam juga memberitahu dia tidak kisah jika ada jurulatih baru dilantik BAM untuk melatihnya selepas gagal meraih kejuaraan dunia sulung Ogos lalu dan pingat emas Sukan Asia 2014 Incheon.

Bayangan awal Hendrawan akan melatih Chong Wei sebenarnya sudah dapat dilihat ketika beliau dipanggil membantu Rashid dan Seu Bock pada Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen yang menyaksikan pemain nombor satu negara itu tumpas kepada Chen Long dari China di final.


Bagaimanapun, timbul tanda tanya mengenai kemampuan Hendrawan walaupun beliau pernah muncul juara Kejohanan Dunia 2001 Seville.


Ini kerana sepanjang melatih skuad pelapis sejak 2009, tidak ada pemain dilahirkan untuk menyamai atau sekurang-kurangnya hampir dengan prestasi dipamerkan Chong Wei setakat ini.

Pada masa sama, wujud juga persoalan mampukah Hendrawan mengikut rentak selain tidak berasa tertekan melatih pemain nombor satu dunia yang meraih beberapa kejuaraan utama Siri Super Premier dan Siri Super.


Sementara itu, Hendrawan berkata, beliau tidak tahu menahu mengenai perlantikan jurulatih baru itu kerana belum ada sebarang mesyuarat dan keputusan yang dibuat setakat ini, tetapi mengakui ada mendengar desas-desus mengenainya.

"Belum ada mesyuarat dan pihak pengurusan tidak memberitahu apa-apa, saya cuma tahu dari akhbar mengenai kenyataan Seu Bock. "Kita tunggu saja, saya tidak boleh komen sekarang, mereka pula baru pulang dari Incheon, saya juga belum berjumpa dan berbincang dengan Seu Bock," katanya.


Bekas pemenang perak Sukan Olimpik 2000 Sydney itu berkata, jika dilihat kedudukan semasa, pertukaran jurulatih Chong Wei tidak menjamin dapat menamatkan badi kejuaraan yang gagal diraih pemain itu.


"Semuanya terletak kepada Chong Wei sendiri, dengan tahap sekarang, dia sebenarnya tidak perlu bergantung kepada jurulatih. Dia sendiri paling memahami apa yang dia mahukan," kata Hendrawan yang membantu dari segi psikologi ketika Chong Wei beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.


Mengenai perlantikan He Guo Quan yang juga bekas jurulatih Lin Dan, pengurusan BAM mengesahkan secara lisan yang pengendali dari China itu sudah bersetuju untuk berkhidmat bersama pasukan negara.


Bagaimanapun, Guo Quan belum menandatangani kontrak kerana masih lagi dalam proses meneliti terma dan syarat serta menyesuaikan diri dengan cara pengurusan serta latihan badminton di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Aidil positif jumpa Penyu

Posted: 01 Oct 2014 12:01 PM PDT

Johor Bahru: Tidak timbul faktor kepenatan kerana baru pulang dari Sukan Asia Incheon, sebaliknya Aidil Zafuan Abd Radzak sudah bersedia mempamerkan aksi terbaik apabila Johor Darul Ta'zim (Johor DT) turun menentang Terengganu, malam esok.

Begitupun, Aidil mengakui aksi suku akhir pertama di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pasti sukar kerana Johor DT belum pernah menang berdepan skuad bimbingan Abdul Rahman Ibrahim musim ini.


Namun kapten Harimau Selatan itu tetap mengambil pendekatan positif dan yakin kesebelasan utama yang akan diturunkan sudah bersedia berdepan apa jua rintangan ketika beraksi di tempat lawan.

"Kami pernah tewas 0-1 kepada Terengganu pada aksi Liga Super dan sudah tiba masanya untuk menang, tapi kami perlu fokus 100 peratus.


"Kami juga perlu mengawasi Nor Farhan Muhammad, Ismail Faruqi dan Ashaari Shamsuddin jika mahu menang," katanya kepada Arena Metro di Padang Seri Gelam, semalam.


Menurutnya, tumpuan terarah kepada penekanan corak taktikal selepas kekuatan fizikal dan mental berada di tahap memuaskan dan kemenangan ke atas Terengganu amat penting untuk dijadikan bekalan pada aksi suku akhir kedua di Stadium Larkin, nanti.

"Saya yakin kami mampu memberikan persembahan terbaik walaupun tuan rumah mempunyai kelebihan penyokong," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Dasar terbuka FAM

Posted: 01 Oct 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Walaupun sering dikritik, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tetap mengamalkan sikap terbuka apabila menjemput Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk turut serta dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan esok.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) itu dilihat antara individu yang lantang mengkritik dan menyuarakan pandangan mengenai sebarang kelemahan dan kepincangan bola sepak tanah air, namun dengan transformasi yang dilakukannya ke atas Harimau Selatan, FAM menganggap mungkin lebih baik jika mereka menjalin kerjasama serta berkongsi idea.


Menurut Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, mereka sentiasa mengamalkan dasar 'pintu terbuka' kepada sesiapa yang bersedia menyumbang kepada pembangunan bola sepak negara, termasuk Tunku Ismail.

"Saya mungkin menjemput TMJ (Tunku Ismail) untuk berada dalam jawatankuasa itu," kata Tengku Abdullah ketika ditanya pemberita mengenai anggota yang hadir dalam mesyuarat itu nanti.


Bagaimanapun kehadiran Tunku Ismail yang pernah digantung enam bulan dan denda RM18,000 oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana melanggar Artikel 88 tahun lalu bersama jawatankuasa itu tidak mengejutkan kerana beliau dikatakan sudah bertemu dengan Tengku Abdullah di Wisma FAM, Isnin lalu.


Selain membincangkan mengenai pengurusan skuad kebangsaan, mesyuarat esok bakal memberi fokus menentukan hala tuju skuad Harimau Muda A, B dan C.

Selepas gagal menepati sasaran ke suku akhir Sukan Asia Incheon baru-baru ini, FAM bersedia membincangkan mengenai program terbaru Harimau Muda A kendalian Datuk Ong Kim Swee biarpun ada desakan yang mahukan pasukan itu dibubar bagi membolehkan pemain kembali menyertai pasukan negeri masing-masing.


"Itu satu pilihan dan saya akan kaji. Kita beri kebebasan bagi situasi menang-menang. Kita boleh beri kepada pasukan negeri, tapi dari masa ke semasa kita mahu kumpul pemain untuk pendedahan di luar negara.

"Kita akan kaji semua program Harimau Muda A, B dan C, mungkin kita perlu ada pendekatan baru. Tapi kita perlu akui ada juga peningkatan ditunjukkan pemain, jangan kita cuba menidakkannya," kata Tengku Abdullah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

Piala AFF penentu nasib Dollah

Posted: 01 Oct 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Hanya kejayaan di Piala AFF November ini bakal menentukan karier Dollah Salleh sebagai jurulatih Harimau Malaya.

Kata dua Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah itu tiada lain hanya mahu pengendali kebangsaan itu mempersiapkan pasukan terbaik bagi menghadapi Piala AFF di Singapura.


Biarpun Dollah diberikan tugas dalam tempoh singkat apabila menandatangani kontrak 1 Julai lalu untuk menggantikan Datuk K Rajagobal, Tengku Abdullah tetap mengharapkan sentuhan terbaik jurulatih itu.

"Kita nak kejayaan kali ini, kalau tidak ada kejayaan mungkin kedudukan Dollah Salleh juga akan diambil kira," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Bola Rasmi Kejohanan Piala Asia 2015 semalam.


Dollah, bekas jurulatih Selangor MPPJ, Selangor, Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengikat kontrak dua tahun bersama FAM selepas badan induk bola sepak tanah air itu lebih percaya dengan kemampuannya berbanding beberapa calon lain termasuk jurulatih dari Jerman Gert Engels dan Wolfgang Sidka.


Bagaimanapun ketika bekas penyerang kebangsaan berusia 50 tahun itu masih lagi dalam proses pemilihan pemain, beberapa keputusan yang kurang memberangsangkan dalam aksi persahabatan termasuk tewas kepada Tajiskistan 1-4 dan Indonesia 0-2 mula mencetuskan panik di kalangan peminat.

Dollah sebelum ini meminta sedikit masa sebelum beliau mengumumkan senarai 22 pemain ke Piala AFF minggu depan sebelum aksi persahabatan dengan Filipina pada 11 Oktober di Stadium Shah Alam dan Tengku Abdullah berharap pengendali itu membuat pilihan pemain yang tepat.


"Saya benar-benar berharap Dollah dapat memastikan pemain bersedia, tak kira muda atau lama, tahap kecergasan perlu ditekankan. Setiap pemain perlu fokus 100 peratus," jelasnya.

FAM sebelum ini menetapkan sasaran layak ke final Piala AFF namun ia bukan mudah apabila Harimau Malaya diundi bertemu juara bertahan serta pasukan tuan rumah, Singapura dan juara tiga kali, Thailand dalam Kumpulan B yang membabitkan pasukan juara pusingan kelayakan.


Malaysia muncul juara kali pertama pada 2010 namun gagal mempertahankan gelaran apabila terkandas kepada Thailand di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/02

No comments:

Post a Comment