Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tak melawan

Posted: 02 Sep 2014 11:19 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan tersungkur dilaman sendiri buat kali kedua dalam kempen Piala Malaysia selepas tewas 0-3 kepada Johor Darul Takzim (Johor DT) di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Sebelum ini, The Red Warriors (TRW) tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di gelanggang sama namun peluang ke suku akhir terbuka selepas gergasi Pantai Timur itu menewaskan Pulau Pinang 3-1.

Bagaimanapun keputusan itu tidak menggugat TRW mahupun Johor DT untuk mara ke suku akhir sebaliknya perlawanan berkenaan lebih kepada menjaga reputasi dan maruah pasukan masing-masing.

Bermula babak pertama, Kelantan mengasak kubu skuad Harimau Selatan seawal minit kedua menerusi Francis Forkey Doe namun peluang terhidang itu disia-siakan apabila penyerang import itu melakukan percubaan lemah yang mudah ditangkap penjaga gol, Al-Hafiz Hamzah.

Foto

PENYERANG Kelantan, Forkey Doe (kiri) dihalang pemain Johor DT, Kamarul Afiq.


Peluang terus menyebelahi tuan rumah m-7 dan kali ini menerusi pemain tengah import, Mohamed Shawky Aly yang berjaya menanduk hantaran lintang Famirul Asyraf Sayuti namun Al-Hafiz sekali lagi menepis percubaan itu.


Ketika tuan rumah berusaha keras untuk mendapatkan jaringan, pasukan kendalian George Boateng dikejutkan jaringan pelawat menerusi penyerang import Jorge Pereyra Diaz yang berjaya menampan masuk lorongan Norshahrul Idlan Talaha berpunca daripada serangan balas m-27.

Tiga minit berselang, tuan rumah berpeluang untuk menyamakan kedudukan menerusi gerakan Forkey Doe yang bijak melorongkan bola kepada Famirul Asyraf namun gagal disudahkan pemain berkenaan.

Dua minit sejurus babak kedua bermula, tuan rumah sekali lagi dikejutkan jaringan kedua pasukan kendalian Bojan Hodak menerusi Jasazrin yang bijak menampan masuk hantaran lintang Pereyra Diaz.

Minit ke-67 gawang tuan rumah bolos buat kali ketiga apabila penyerang import, Luciano Gabriel Figueroa berjaya menanduk masuk hantaran lintang pemain gantian, Mohd Fazly Mazlan.

Malang berterusan buat TRW apabila pemain pertahanan, Nik Shahrul Azim Ab Halim dilayang kad merah m-87 sekali gus mengganggu rentak permainan tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

The Fighters mara suku akhir

Posted: 02 Sep 2014 10:53 AM PDT

Selayang: Naib juara Piala FA musim ini FELDA United melangkah bergaya ke suku akhir Piala Malaysia selepas melakar kemenangan 3-1 menewaskan LionsXII di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MP Selayang) dalam aksi terakhir kumpulan A bagi menobatkan kelab dari divisyen dua itu muncul juara kumpulan.

Turut mengiringi FELDA adalah juara bertahan Piala Malaysia musim lalu, Pahang selaku naib juara kumpulan yang menyaksikan skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu bakal menempuh laluan cukup berliku di suku akhir apabila bakal bertemu juara kumpulan D, PDRM, manakala nasib berbeza buat anak didik Irfan Bakti Abu Salim yang akan hanya mengetahui pencabarnya hari ini sama ada juara Piala Malaysia sebanyak 32 kali Selangor atau Sime Darby FC.

Walaupun tumbang 0-2 kepada Pahang di halaman sendiri pada dua pertemuan sebelum ini, The Fighters kembali bangkit Jumaat lalu dengan menundukkan Johor Darul Takzim II (Johor DT II) 1-3 di Pasir Gudang.

Kali ini barisan FELDA tidak memberikan sebarang ruang kepada anak buah Fandi Ahmad untuk bernafas selepas melancarkan serangan bertalu-talu sejak awal permainan.

Foto

PEMAIN FELDA United Shahrulnizam Mustapa (no 11) diasak pemain LionsXII Mohammad Hafiz Abu Sujad (kanan) di Stadium Selayang.


Tuan rumah memulakan kenduri gol mereka menerusi pemain import Zah Rahan Krangar pada minit ke-10 hasil rembatan deras menewaskan pengaja gol LionsXII Mohd Izwan Mahbud.


Namun berselang lapan minit kemudian, pelawat menyamakan kedudukan melalui sumbangan Muhammad Faris Ramli.

Tersentak dengan gol penyamaan itu, pemain tuan rumah memperkemaskan aksi mereka dan hasilnya kapten pasukan tonggak Indra Putra Mahayuddin menjarakkan semula jaringan kepada 2-1 menewaskan Izwan kali kedua m-23.

Tidak sampai dua minit selepas itu Makeche Ndumba pula menggandakan kelebihan buat tuan rumah dengan gol ketiga hasil gerakan solonya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Tok Gajah ikat Johor DTII

Posted: 02 Sep 2014 10:51 AM PDT

Pasir Gudang: Dua kad merah mewarnai aksi terakhir perlawanan Kumpulan A di Stadium Perbadanan Pasir Gudang, semalam membabitkan Johor Darul Takzim (Johor DTII) dan Pahang yang berkesudahan seri 1-1.

Pemain skuad Tok Gajah, Matias Roben Conti terlepas aksi suku akhir Piala Malaysia pada 3 Oktober depan selepas dilayangkan kad merah m-65 babak kedua perlawanan apabila menghayun tangan ke muka pemain Johor DTII, Jose Manuel Carraso.

Kad merah kedua turut dilayangkan kepada Manuel Carraso yang terlebih dahulu melakukan terjahan terhadap Conti sebelum dilayangkan kad kuning kedua.

Abdul Malik Mat Ariff hampir meletakkan pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan di hadapan pada minit kesembilan, namun rembatannya tersasar jauh.


Johor DTII mendahului perlawanan hasil jaringan Nicolas Delmonte selepas dihadiahkan sepakan penalti m-13 dan keputusan kekal 1-0 hingga akhir separuh masa pertama.


Pertukaran beberapa pemain dan asakkan Pahang pada babak kedua perlawanan membuahkan hasil selepas menyamakan kedudukan apabila Zeshan Rehman menyempurnakan hantaran sudut m-72.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Pulau Pinang jinak ATM

Posted: 02 Sep 2014 10:50 AM PDT

Georgetown: Pulau Pinang berjaya melakukan kejutan apabila mencatatkan kemenangan 2-1 mengecewakan ATM di Stadium Bandaraya, semalam.

Kemenangan itu adalah kemenangan pertama tuan rumah itu dalam saingan kumpulan C Piala Malaysia 2014.

Babak pertama menyaksikan pasukan pelawat melakukan serangan bertali arus dengan mengatur gerak laju tetapi berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang Harimau Kumbang Khairul Amri Salehuddin.

Benteng pertahanan tuan rumah akhirnya runtuh menerusi gol ketua pasukan ATM, Hairuddin Omar m-36.


Babak kedua menyaksikan kebangkitan Pulau Pinang apabila tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi pemain import dari Brazil Luiz Ricardo m-50.


Gerak atur sempurna tuan rumah sekali lagi berhasil apabila sepakan Lee Gil Hoon menggegar gawang ATM m-62 untuk kemenangan bermakna Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Tiga mata wajib

Posted: 02 Sep 2014 10:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Sime Darby FC wajib mencuri tiga mata penuh dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan D apabila bertandang ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, bertemu PDRM malam ini disamping mengharapkan juara 32 kali Piala Malaysia Selangor keciciran mata di Stadium Shah Alam.

Ini kerana skuad kendalian Mehmet Durakovic itu kini memiliki kelebihan satu mata di depan anak buah Ismail Zakaria dengan enam mata berbanding The Red Giants yang mengumpul tujuh mata, buat merebut posisi kedua selaku naib juara kumpulan selepas The Cops gah layak lebih awal ke saingan kalah mati.

Kapten Sime Darby Muhammad Juzaili Samion, menyeru rakan sepasukannya agar tidak mudah leka pada pertemuan menentang juara Liga Perdana itu biarpun ada kemungkinan Azman Adnan bakal membariskan barisan kedua bagi menghadapi aksi terakhir itu.

"Atas kertas memang menunjukkan mereka (PDRM) sudah layak dan muncul juara kumpulan kami lebih awal.

Mungkin mereka akan memberi peluang kepada pemain utama untuk berehat dan memberi peluang pemain simpanan mengambil tempat.

"Namun bagi saya, ia bukanlah satu kelebihan kepada kami kerana rata-rata pemain kedua mereka juga cukup bagus sama seperti pemain utama.

Jadi saya mengingatkan rakan sepasukan supaya fokus dan beri tumpuan sepenuhnya dengan matlamat utama meraih kemenangan di sana.

"Peluang untuk mara ke suku akhir tetap ada, dengan syarat kami mesti menang dengan PDRM dan harap Selangor tewas atau seri," katanya, semalam.

Juzaili, 33, yang pernah berguru di Perancis bersama kelab Strasbourg ketika zaman remajanya sudah mendakap beberapa piala kejuaraan dalam liga domestik seperti Liga Perdana dan Piala FA bersama pasukan negeri kelahirannya Pahang pada 2004 dan 2006.

Justeru, pemain kelahiran Bentong itu mahu memastikan slot kedua terbaik kumpulan itu menjadi milik The Giant Killers dan seterusnya meneruskan misi memburu mahkota kejuaraan Piala Malaysia buat kali pertama.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Mehmet mahu pemain fokus 90 minit

Posted: 02 Sep 2014 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Pengendali Selangor, Mehmet Durakovic menuntut fokus 90 minit diberikan anak buahnya apabila turun menentang T-Team di Stadium Shah Alam malam ini.

Selangor memerlukan kemenangan bagi memastikan laluan ke suku akhir dan tidak perlu bergantung kepada Sime Darby FC (SDFC) yang kini hanya ketinggalan satu mata dalam saingan Kumpulan D.

"Saya mahukan pemain memberikan fokus 90 minit, bukannya 80 atau 85 minit.

Kami sebenarnya mampu mencatatkan keputusan lebih baik sebelum ini jika memberikan fokus sehingga wisel penamat.

"Itu yang pemain perlu lakukan.

Jika mereka mampu lakukannya, saya yakin kami akan melangkah ke suku akhir," kata pengendali dari Australia itu.

Durakovic jelas kurang senang dengan situasi berkenaan yang berlaku beberapa kali menyebabkan Merah Kuning gagal meraih tiga mata berharga.

Malah pada pertemuan menentang PDRM, Sabtu lalu, juara 32 kali Piala Malaysia itu melepaskan jaringan pada minit ke-84 menyebabkan Selangor terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri.

"Aksi malam ini amat penting untuk kami meraih tiga mata dan melangkah ke suku akhir.


Kami bermain di tempat sendiri dan saya berharap pemain dapat memanfaatkannya.

"Kami perlu mencapai sesuatu lebih baik tahun ini selepas tersingkir pada peringkat kumpulan tahun lalu," katanya.

Bagaimanapun Selangor perlu melakukannya tanpa kehadiran pertahanan kental, Shahrom Abd Kalam serta tiga pemain di jentera serangan iaitu Ahmad Hazwan Bakri, Abdul Hadi Yahya dan Afiq Azmi yang mengalami kecederaan.

Seandainya meraih kemenangan, Selangor akan mengiringi PDRM ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan D dengan mengumpul 10 mata dan tidak perlu bergantung kepada keputusan SDFC menentang PDRM di Paroi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

BAM perlu pantas gilap bakat pemain muda: Elyas

Posted: 02 Sep 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Sudah tiba masanya untuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berhenti daripada terus bergantung harap kepada Datuk Lee Chong Wei, sebaliknya mencari pengganti baru setaraf pemain nombor satu dunia itu.

Demikian saranan bekas Presiden BAM Tan Sri Elyas Omar kepada badan induk itu selepas menyaksikan Chong Wei kecewa buat kali ketiga pada pentas final Kejohanan Dunia di Copenhagen, Denmark, Ahad lalu.

Bagi Elyas, sudah cukuplah segala sumbangan serta tenaga dikerah Chong Wei selama ini dan kini bermulanya tugas BAM untuk mencari pengganti Chong Wei.

"Kita bukan saja boleh lahirkan satu Chong Wei, malah tiga Chong Wei pun boleh dilahirkan.

Foto

PASUKAN muda badminton negara juarai acara badminton berpasukan pada Sukan Komanwel di Glasgow.


"Yang penting cari bakat bermula di peringkat akar umbi. Turun ke sekolah, daerah dan negeri.


"Saya tak percaya dalam ramai rakyat Malaysia kita tak jumpa pemain berbakat seperti Chong Wei. Mesti ada, cuma yang penting berusaha untuk cari," katanya.
Jelas Elyas, tugas itu adalah di bawah tanggungjawab BAM yang ketika ini pada pandangannya semakin 'rosak'.

"BAM sebenarnya sudah lama rosak. Sudah berulang-ulang kali saya katakan kalau rasa tak mampu pikul tanggungjawab, undur diri saja.

"Saya tak mahu sebut nama secara spesifik, tapi faham-faham sendirilah. Sebab selagi ada individu seperti ini, selagi itulah BAM tak akan berubah.

"Bukan BAM saja, persatuan lain pun sama juga," katanya.

Justeru Elyas yang pernah melakar kejayaan bersama pasukan negara memenangi Piala Thomas pada 1992 berkata, mahu tidak mahu, BAM perlu berubah dan tidak bergantung harap saja kepada Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Dua calon cabar Ahmad

Posted: 02 Sep 2014 10:39 AM PDT

Kuala Lumpur: Gendang perang Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sudah dibunyikan apabila tiga calon mengesahkan untuk bertanding merebut jawatan nombor satu badan sukan berkenaan pada 13 September ini.

Tiga calon berkenaan adalah penyandangnya, Datuk Ahmad Ismail, Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu Mohd Shapian Ali dan Presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka Akramuddin Abd Aziz.

Ketiga-tiga nama berkenaan disahkan Ahmad selepas tamat tarikh tutup pencalonan semalam.

Perkembangan ini mencetuskan persoalan terhadap strategi Ahmad sama ada mahu kekal mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 2002 atau melepaskan kepada calon pilihannya, Akramuddin.

"Saya masih boleh menarik diri ketika mesyuarat agung berlangsung, begitu juga dengan Akramuddin," kata Ahmad.

Namun kemungkinan besar Ahmad kekal mempertahankan jawatan dengan Akramuddin menarik diri dan bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang Shapian.

Situasi ini bakal menyaksikan saingan sengit membabitkan Ahmad dan Shapian ketika ahli gabungan, peminat dan bekas pemain mahukan pembaharuan dalam PSM selepas sekian lama dibayangi kemerosotan prestasi skuad negara.

Dua lagi calon yang bakal merebut jawatan Timbalan Presiden adalah Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor Datuk Markiman Kobiran dan Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang Abdul Jalil Ariffin.

Manakala persaingan untuk merebut tiga jawatan Naib Presiden membabitkan lima calon antaranya adalah penyandang jawatan, Datuk Awang Sham Amit (Presiden Persatuan Sepaktakraw Sabah), Datuk Mohd Yusof Ismail (Kedah) dan Datuk Khairuddin Saad (Presiden Persatuan Sepaktakraw Putrajaya).

Sementara Setiausaha Kehormat Persatuan Sepaktakraw Wilayah Persekutuan yang juga ahli majlis PSM, Mohd Azmi Shaari yang meninggal dunia semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Ayuh bangkit!

Posted: 02 Sep 2014 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain hoki wanita negara, Surizan Awang bertekad untuk bangkit dari kekecewaan di Sukan Komanwel 2014 Glasgow dengan membantu Malaysia mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir Sukan Asia 2014 Incheon yang membuka tirai 19 September ini.

Surizan yang beraksi di bahagian tengah mengakui pelbagai perancangan dan persediaan dilakukan oleh jurulatih, Nasihin Nubli menjelang saingan temasya yang dianjurkan empat tahun sekali itu.

"Kita teruskan latihan seperti biasa selepas pulang dari Sukan Komanwel dan kali ini jurulatih lebih menekankan pukulan sudut penalti dan pukulan penalti pendek," kata pemain berusia 20 tahun itu.

Jelasnya, saingan kali ini sedikit berbeza berbanding Sukan Komanwel terutama dengan kehadiran China, Korea Selatan dan Jepun.

Foto

SURIZAN (kanan) sasar mara separuh akhir di Sukan Asia.


"Kami mensasarkan sekurang-kurangnya ke separuh akhir dan saya pula mempunyai sedikit keyakinan selepas baru saja menimba pengalaman di Glasgow.


"Sebagai pemain saya tidak mempunyai sebarang sasaran peribadi kerana hoki adalah permainan secara berpasukan, cuma saya bersedia membantu pasukan dalam setiap perlawanan jika diturunkan," katanya.

Dalam aksi di Glasgow baru-baru ini, skuad negara gagal mara ke saingan separuh akhir dan terkandas di peringkat kumpulan apabila tewas tiga perlawanan dan seri sekali.

Skuad negara tewas 0-4 kepada Australia, 0-2 kepada tuan rumah Scotland dan dibelasah England 0-5 di Glasgow.

Mereka berjaya meraih satu mata apabila mencatat ke putusan seri tanpa jaringan menentang Wales dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

UPM tawar atlet sambung pengajian

Posted: 02 Sep 2014 10:36 AM PDT

Kuala Lumpur: Seramai 28 atlet kebangsaan berstatus elit, pelapis dan luar program ditawarkan menyambung pengajian ke program bacelor di Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi sesi akademik 2014/2015.

Kesemua atlet itu yang mewakili dalam pelbagai acara termasuk menembak, memanah, olahraga, hoki, taekwando, karate, bola tampar dewan, bola tampar pantai, gimnastik, tenis dan skuasy mendaftar semalam bersama 4,631 pelajar baru yang lain.

Berdasarkan pecahan seramai sembilan atlet berstatus elit, enam pelapis kebangsaan dan 13 luar program yang dipilih untuk menyambung pengajian dalam pelbagai kursus.

Kemasukan mereka ke menara gading adalah kesinambungan antara kerjasama awal yang dibuat oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan UPM pada 1996.

Satu memorandum persefahaman (MoU) dibuat antara MSN dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan UPM pada 5 November 2001 .

Ia sekali gus memberi peluang buat atlet negara di bawah program prauniversiti Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) menempah tempat ke UPM.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof.

Dr.


Mohammad Shatar Sabran daripada 4,659 pelajar baru, 3,278 adalah pelajar wanita manakala selebihnya pelajar lelaki.

"Daripada jumlah itu, seramai 336 pelajar antarabangsa dari 23 buah negara ditawarkan ke program sarjana terdiri dari China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Indonesia, Thailand, Iraq, Mesir, Kenya, Iran, Fiji, India, Kazakhstan, Jerman, Arab Saudi, Somalia, Mauritius, Sri Lanka, Palestin, India, Yemen, Nigeria, Sudan dan Oman," katanya.

Sementara itu atlet olahraga negara, Zaidatul Husniah Zulkifli berkata, dia bersyukur diberi peluang untuk menyambung pengajian di UPM dalam jurusan pendidikan jasmani.

"Memang sejak prauniversiti lagi saya meminati jurusan ini dan saya rasa ia tidak akan mengganggu persiapan serta pembelajaran saya walaupun menjadi seorang pelajar universiti," katanya yang beraksi di Sukan SEA 2013 Myanmar dan bakal mengambil bahagian di Sukan Universiti Asean (AUG) 2014 Disember ini.

Bagi pelapis memanah kebangsaan, Mohd Alif Adha, ia memang sesuatu yang menyeronokkan dapat menyambung pengajian di peringkat universiti serta bertemu ramai rakan baru.

"Sukan juga mampu membantu atlet memasuki universiti jadi program antara MSN dan UPM ini harus diteruskan bagi generasi akan datang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

No comments:

Post a Comment