Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tagih magis Muslim

Posted: 09 Sep 2014 12:01 PM PDT

Kuala Lumpur: Pengalaman pemain pertahanan tengah Mohd Muslim Ahmad pasti ditagih ketua jurulatih Dollah Salleh selepas skuad Harimau Malaya tidak dapat menggunakan khidmat dua pemain tonggak Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Fadhli Shas bagi aksi persahabatan menentang Indonesia di Surabaya Ahad ini.

Gandingan Aidil dan Fadhli tiada dalam perancangan Dollah kali ini apabila mereka bersama skuad bawah 23 tahun negara kendalian Datuk Ong Kim Swee ke Sukan Asia Incheon, sekali gus membuka ruang kepada pemain lain.

Antara pemain yang mengintai peluang untuk merebut slot itu adalah Muslim dan Mohd Afif Amiruddin dari PDRM, Mohd Shukor Adan (FELDA United), Mohd Bunyamin Umar (Selangor) dan Ronny Harun (Sarawak).

Bagaimanapun, dari segi pengalaman di pentas antarabangsa pasti lebih memihak kepada Muslim yang pernah membantu skuad kebangsaan menjuarai Piala AFF 2010 mengalahkan Indonesia menerusi agregat 4-2.

Foto

MOHD Muslim Ahmad

Foto

DOLLAH panggil kembali Muslim ketika aksi persahabatan menentang Tajikistan.


"Kalau melihat kepada tahap prestasi sekarang saya dalam keadaan baik, cuma saya perlu menunjukkan kesungguhan dalam latihan kerana semua pemain mahu merebut tempat.


Memang kalau boleh saya mahu beraksi menentang Indonesia, tapi terpulang kepada jurulatih untuk membuat keputusan," katanya kepada Arena Metro.

Muslim bukan asing dengan Dollah kerana pernah dibimbing pengendali itu ketika bersama PDRM, namun itu bukan tiket automatik untuk dia mendapat tempat kerana perlu membuktikan kemampuannya selepas lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

Selepas lebih tiga tahun tidak menyarung jersi kebangsaan pemain berusia 25 tahun itu kembali dipanggil Dollah bagi aksi persahabatan dengan Tajikistan awal bulan lalu, namun hanya beraksi selama 20 minit terakhir ketika tewas 1-4.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Usah masuk jerat China

Posted: 09 Sep 2014 12:00 PM PDT

Kuala Lumpur: Tumpuan acara beregu lelaki Sukan Asia 2014 Incheon pasti terarah kepada pasangan tuan rumah yang menguasai Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen, namun pemain negara, Tan Wee Kiong mengakui wakil China juga tidak boleh dipandang mudah.

Wee Kiong yang kembali bergandingan dengan Goh V Shem di Incheon nanti mengakui sekarang ini tahap permainan beregu China biasa saja.

"Tapi kita tidak boleh pandang rendah kemampuan mereka, sudah pasti mereka akan bangkit dan capai sesuatu terutama dengan kehadiran pasangan veteran Cai Yun-Fu Haifeng," katanya yang memenangi emas bersama V Shem di Sukan Komanwel 2014 Glasgow bulan lalu.

Wee Kiong kembali bergandingan dengan V Shem apabila di Copenhagen dia berpasangan bersama Hoon Thien How.

Foto

WEE Kiong (tengah) bakal kembali berpasangan dengan V Shem.


Bagaimanapun, Wee Kiong tidak begitu risau mengenai kebangkitan dan kehebatan beregu tuan rumah yang muncul juara dan naib juara di Copenhagen baru-baru ini.


"Saya rasa mereka terlalu awal untuk berada di puncak prestasi, dalam beregu semua pemain sama saja tahap kekuatan.

"Kalau kuat pun, sedikit saja kerana semuanya nanti akan bergantung pada aksi sebenar di atas gelanggang dan keadaan pemain ketika itu," katanya.

Ko Sung-Hyun-Shin Baek-cheol muncul juara dunia se lepas menumpaskan pasangan senegara, Lee Yong-Dae-Yoo Yeon-seong.

Ini penampilan kedua Wee Kiong di Sukan Asia kerana empat tahun lalu di Guangzhou dia bergandingan bersama Mark Hee Chun dan kalah di pusingan awal kepada Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa dari Jepun.

"Pada 2010 saya ada perasaan takut dan memang lain, berbanding sekarang yang mana saya sudah mempunyai pengalaman serta sudah membiasakan diri di kejohanan besar.

"Saya harap kami bermula dengan baik, jika gagal tidak boleh berasa terlalu kecewa kerana ini peringkat awal saya mula bergandingan dengan V Shem sebagai pasangan tetap," katanya.

Empat tahun lalu, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong me menangi perak selepas tumpas kepada gandingan Indonesia, Markis Kido-Hendra Setiawan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Aik Quan-Pei Jing lepasi ujian pertama

Posted: 09 Sep 2014 11:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Pasangan beregu campuran negara, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing melepasi halangan pusingan pertama di Kejohanan Indonesia Masters 2014 yang bermula semalam.

Aik Quan-Pei Jing yang beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen bulan lalu tidak berdepan masalah menumpaskan pasangan tuan rumah, Tedi Supriadi-Mychelle Crhystine Bandaso 21-10, 21-11.

Mereka yang tidak beraksi di Sukan Asia 2014 Incheon, akan bertemu Luki Apri Nugroho Masita Mahmudin dari Indonesia yang sebelum itu mengalahkan rakan senegara, Richard Kuncoro-Mega Cahya Purnama Lestari 21-10, 21-9.

Turut mara satu lagi beregu campuran, Ong Jian Guo-Lee Meng Yean yang menumpaskan Achmad Rivai-Aris Budiharti 21-11, 21-14.

Foto

PEI Jing (depan), Aik Quan mara ke pusingan kedua.


Menanti mereka di pusingan kedua pilihan ketiga kejohanan, Irfan Fadhilah-Weni Anggraini dari Indonesia yang mencatatkan kemenangan 21-11, 21-14 ke atas satu lagi pasangan tuan rumah, Trikusuma Wardhana-Meiliana Jauhari.


Bagaimanapun satu lagi beregu campuran negara, Wong Fai Yin-Chow Mei Kuan gagal mara selepas tumpas 17-21, 12-21 kepada pasangan tuan rumah, Alfian Eko Prasetya-Annisa Saufika.

Sementara itu, pada peringkat kelayakan beregu lelaki, Lee Jian Yi-Lim Zhen Ting mara ke undian utama selepas menumpaskan Hilkiya Rumengan-Hiski Rumengan dan Danang Haryandika-Ivan Gunardi.

Mereka mengalahkan Hilkiya-Hiski Rumengan 21-11, 21-18 sebelum mengalahkan Haryandika-Gunardi dan hari ini di pusingan pertama mereka akan bertemu
Fran Kurniawan-Agripinna Prima Rahmanto Putra dari Indonesia.

Dua pemain perseorangan Lee Jian Yi dan Tan Li Bin gagal ke undian utama apabila tewas di peringkat kelayakan kepada lawan masing-masing.

Jian Yi tumpas kepada Alvindo Saputra 15-21, 16-21 manakala Li Bin kalah 13-21, 19-21 kepada Niovin Er Mansyah.

Aksi pusingan pertama perseorangan lelaki hari ini mem babitkan beberapa wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan pemain bebas antaranya, Liew Daren, Soong Joo Ven, Nur Mohd Azriyn Ayub, Tan Kian Meng, Soo Teck Zhi, Zulfadli Zulkiffli dan Mohamad Arif Abdul Latif.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

June Wei mula langkah kanan

Posted: 09 Sep 2014 11:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Cheam June Wei bermula cemerlang di Kejohanan Badminton Remaja Dunia Bawah 19 Tahun 2014 apabila memenangi pusingan pertama dengan menumpaskan pemain Singapura, Chuang Jin Lei dari Singapura.

June Wei yang diletakkan pilihan pertama menang 11-1, 11-5, 11-6 menerusi kiraan baru yang dalam tempoh percubaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pemain berusia 17 tahun itu yang tersingkir di pusingan suku akhir Sukan Olimpik Remaja 2014 Nanjing itu akan bertemu rakan senegara Andrew Liw Zheng Zhau yang sebelum itu mengalahkan Amro Alnoubani 11-3, 11-9, 11-7.

Turut mara ke pusingan kedua ialah R Satheishtharan yang diletakkan pemain pilihan kedua apabila mengalahkan Ahmad Aljallad dari Syria 11-7, 11-6, 9-11, 11-6.

Satheishtharan akan bertemu Kang Min Hyuk dari Korea Selatan selepas mengalahkan seorang lagi wakil negara, Lai Wei Jie yang kecundang 7-11, 6-11, 2-11.

Pasangan beregu campuran negara, Tan Jinn Hwa-Eng Pui Yee yang juga diletakkan pilihan ketiga mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan Shi Xuan Dominic Soh-Chun Yi Deline Quek dari Singapura, 11-10, 11-8, 11-10.

Mereka akan menentang pasangan Korea Selatan, Kim Moon Jun-Seong Na Yeong yang sebelum itu mengalahkan Ikramzhan Yuldashev-Yelizaveta Kharchenko 11-0, 11-2, 11-2.

Kejohanan itu berlangsung di Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Saya tidak tertekan: Danyal

Posted: 09 Sep 2014 11:50 AM PDT

Kuala Lumpur: "Saya anggap itu sebagai satu cabaran."

Demikian jawapan Chef de Mission (CDM) Datuk Danyal Balagopal Abdullah membalas cabaran Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Seri Zolkples Embong yang mahu kontinjen negara ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan memecahkan rekod sembilan pingat emas diraih kontinjen negara empat tahun lalu di Guangzhou, China.

Bagaimanapun, Danyal menegaskan kekuatan kontinjen negara empat tahun lalu ketika Zolkples dilantik selaku CDM berbanding yang ada ketika ini, berbeza.

"Mungkin ada atlet yang beraksi dulu, tapi tidak dapat beraksi untuk Sukan Asia kali ini.

"Jadi, itu semua kena ambil kira dalam usaha kita untuk memungut pingat.

"Apapun saya tetap menganggap ia sebagai cabaran diri sendiri," katanya ketika dihubungi semalam.

Ditanya adakah beliau berasa tertekan dengan cabaran diberikan Zolkples, Danyal menafikannya.

"Tidak, saya tak pernah rasa tertekan walaupun hanya beberapa hari lagi Sukan Asia akan bermula.

"Saya mempunyai pengalaman yang jauh lebih sukar berbanding sekarang ketika bekerja dulu," katanya.

Foto

Danyal (tengah) bertemu dengan pemain hoki negara di Stadium Hoki Bukit Jalil, baru-baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Skuad hoki negara hanya senarai seorang penjaga gol

Posted: 09 Sep 2014 11:49 AM PDT

Kuala Lumpur: Ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Arul Selvaraj tidak menolak menyenaraikan hanya seorang penjaga gol di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan bermula 19 September ini.

Keputusan muktamad yang sedang bermain di benak fikiran Arul itu mengambil kira keperluan untuk mengisi pemain di posisi lain yang lebih penting selepas hanya 16 pemain dibenarkan dibawa ke Incheon.

"Tidak dinafikan ketiga-tiga penjaga gol yang ada sekarang yang terbaik.

"Tapi, oleh kerana di Incheon kami hanya dibenarkan membawa 16 pemain, ada kemungkinan saya membawa seorang penjaga gol.

"Sebab saya perlu fikir kepada pemain gantian di posisi lain yang lebih penting.

Tapi mungkin juga saya akan bawa dua penjaga gol, " katanya ketika ditemui selepas perlawanan persahabatan antara skuad senior serta remaja semalam.

Tiga penjaga gol negara yang sedang menjalani latihan untuk ke Sukan Asia ketika ini S Kumar, Roslan Jamaluddin serta bintang baru Mohd Hafizuddin Othman.

Ditanya adakah Kumar akan menjadi pilihan utama untuk mengisi posisi itu, Arul mengakuinya.

"Kumar bukan saja penjaga gol, dia sentiasa memberi idea ketika sesi latihan.

"Memang dia penjaga gol terbaik, tapi kita juga tidak boleh menolak keupayaan dua lagi pemain," katanya yang memberi bayangan untuk mengumumkan senarai 16 pemain sama ada hari ini atau esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Tiada muslihat

Posted: 09 Sep 2014 11:46 AM PDT

Kuala Lumpur: Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Arshad Yahya tampil menafikan pihak pengurusan tidak telus dalam merencanakan mesyuarat agung tahunan (AGM) badan sukan berkenaan yang dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

Katanya, segala yang dilakukannya betul dengan segala persediaan untuk menghadapi AGM bagi memilih barisan kepimpinan 2014-2017 di Johor Bharu itu berjalan lancar.

"Apa lagi tidak betul yang kami lakukan? Presiden PSM (Datuk Ahmad Ismail) sudah mengeluarkan kenyataan media sebelum ini mengenai senarai calon bertanding, apa lagi yang mereka mahukan?" katanya ketika diminta mengulas mengenai desakan yang disuarakan calon Timbalan Presiden PSM Datuk Markiman Kobiran kelmarin.

Markiman yang juga Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Selangor mahu senarai penuh calon dikeluarkan selain turut mendesak agar senarai perwakilan yang bakal mengundi agar didedahkan bagi membolehkan mereka menyampaikan hasrat dan tujuan bertanding serta mengubah kepimpinan yang ada ketika ini.

"PSM cuma ada 18 ahli gabungan dengan setiap negeri menghantar dua wakil (tambahan seorang lagi Ahli Majlis).

Tiada dalam perlembagaan kami perlu memberikan senarai perwakilan.

Malah jika Ahmad (Presiden PSM) sendiri yang meminta, saya tidak akan beri.

"Mereka boleh mencari sendiri dengan menghubungi persatuan negeri untuk mengetahui siapa dua wakil itu.


Jadi apa yang timbul masalah besar?" katanya.

AGM PSM kali ini dijangka menjadi tumpuan apabila Ahmad yang memegang jawatan berkenaan sejak 2002 bakal dicabar Presiden Persatuan Sepaktakraw Terengganu, Mohd Shapian Ali selain calon 'simpanan' Ahmad iaitu Presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka Datuk Akramuddin Abd Aziz yang dijangka menarik diri pada saat akhir.

Akramuddin sebaliknya dijangka bertanding jawatan Timbalan Presiden yang bakal ditentang Markiman selain Naib Presiden Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang Abdul Jalil Ariffin.

Lima lagi calon - Datuk Awang Sham Amit (Sabah), Datuk Mohd Yusof Ismail (Kedah), Datuk Khairuddin Saad (Putrajaya), Fudin Chee Kifli (Sarawak) dan Razak Rahman (Penolong Bendahari PSM) - bersaing untuk merebut tiga kerusi Naib Presiden.

"Sehingga kini tiada calon yang menarik diri.


Seramai 72 orang akan mengundi pada AGM berkenaan," katanya.

Malah Arshad mengalu-alukan kehadiran pihak Pejabat Pesuruhjaya Sukan sekiranya mahu memantau AGM berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Pemilihan mesti telus!

Posted: 09 Sep 2014 11:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka mahu mesyuarat agung tahunan (AGM) Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Sabtu ini di Johor Bahru berlangsung dengan telus dan tidak mendatangkan keraguan kepada mana-mana pihak.

Khairy berkata, PSM perlu mengambil kira kelemahan ketara menjelang pemilihan itu termasuk ketelusan menyenaraikan senarai calon yang akan bertanding.

"Saya pun ada baca kenyataan dikeluarkan beberapa calon bertanding.

Saya harap PSM dapat mengatasi segera segala kelemahan ini.

"Contohnya dari segi ketelusan senarai calon bertanding dan senarai perwakilan.

"Pemilihan ini mesti dijalankan mengikut perlembagaan persatuan sukan dan peraturan mesyuarat.

Jadi bagi calon bertanding, mereka sendiri nak tahu siapa perwakilan yang akan mengundi pada Sabtu nanti.

"Macam saya bertanding dalam parti UMNO pun saya tahu siapa perwakilannya.


Jadi takkanlah satu pemilihan yang jauh lebih kecil tak boleh tunjuk ketelusan yang baik," katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Belia dan Sukan (KBS) semalam.

Jelas Khairy, beliau sememangnya ternanti-nanti AGM itu bagi membolehkan pihaknya dengan kerjasama Majlis Sukan Negara (MSN) dapat memperkenalkan pelan pemulihan bagi sukan sepak takraw negara.

"Kita tidak dapat melaksanakannya sehingga pemilihan ini selesai.


Saya harap selepas selesai, kita di KBS, MSN (Majlis Sukan Negara) dan PSM boleh bekerjasama untuk meletakkan sukan sepak takraw ke tempat selayaknya.

"Jadi segala kelemahan yang kita hadapi sejak beberapa tahun lalu sehingga peringkat Sukan SEA pun tak dapat nak menang pingat emas, saya harap kita dapat mengatasinya dalam kadar segera tapi ini memerlukan pemilihan diselesaikan dengan cepat ," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, calon Timbalan Presiden PSM Datuk Markiman Kobiran mendakwa pihaknya masih belum mendapat senarai muktamad senarai pencalonan bakal bertanding dan perwakilan yang bakal mengundi pada AGM bagi memilih kepimpinan baru untuk penggal 2014-2017.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Azizulhasni sandaran emas

Posted: 09 Sep 2014 11:43 AM PDT

Kuala Lumpur: "Satu emas!"

Itu sasaran Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) kepada barisan pelumba negara yang bersaing di Sukan Asia Incheon.

Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab berkata, sasaran berkenaan disandarkan kepada pelumba sensasi negara, Mohd Azizulhasni Awang untuk menggegar di Velodrom Antarabangsa Incheon.

"Kami meletakkan sasaran satu emas menerusi Azizulhasni.

Sekiranya tidak halangan, pelumba negara mampu mendapat lebih (emas) namun saya tidak mahu meletakkan sasaran lebih kerana khuatir gagal dicapai.

Cukuplah satu emas," katanya.

Pada Sukan Komanwel lalu, pelumba kelahiran Terengganu itu meraih gangsa dalam acara keirin namun saingan di Sukan Asia dilihat lebih rendah tanpa kehadiran pencabar dari Eropah.

Azizulhasni dijangka bersaing dalam acara keirin, pecut individu dan berpasukan bersama-sama Josiah Ng dan Mohd Edrus Yunos manakala Fatehah Mustafa dan Ju Pha Som Net tampil dalam kategori wanita.

Acara trek dijangka menjadi acara sandaran kontinjen negara untuk meraih sekurang-kurangnya sebutir emas selepas persembahan konsisten dipamerkan pelumba negara di pentas antarabangsa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

Sedia jalin kerjasama

Posted: 09 Sep 2014 11:28 AM PDT

Kuantan: Kerajaan Negeri Pahang sedia memberi sokongan terhadap penganjuran Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti Malaysia 2014 pada masa depan.

Justeru, sekiranya daerah Temerloh yang dipilih sebagai lokasi kedua selepas Kuala Kangsar, Perak tahun ini dikekalkan tahun depan, Kerajaan Negeri Pahang sedia menjalin kerjasama bersama Harian Metro dengan lebih erat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata, penganjuran kejohanan itu memang dialu-alukan kerana mampu mempopularkan Temerloh.

Menurutnya, kejohanan itu yang lebih kepada 'sport tourism' membantu dalam mem promosikan Temerloh yang sememangnya terkenal dengan lokasi pelancongan menarik.

"Selain popular dengan ikan patin, kewujudan kumpulan gajah di Kuala Gandah, Lanchang turut menjadikan Temerloh lokasi strategik.

"Selain itu, Temerloh sebagai titik tengah Semenanjung mampu menarik kehadiran peminat sukan lasak yang dilihat semakin mendapat tempat dan perhatian," katanya semalam.

Mohd Sharkar berkata, penyertaan peminat dari seluruh negara juga diharap mempromosikan Temerloh selain mempopularkan sukan basikal lasak.

Menurutnya, kehadiran pelumba dari luar Pahang memang dinantikan kerana Temerloh bakal memberi pengalaman berharga.

"Kami percaya sukan berbasikal ini mampu menarik pendatang baru sukan ini selain mereka yang memang sudah lama terbabit," katanya.

Pada kejohanan itu nanti, empat kategori akan dipertandingkan iaitu Kategori Junior (Terbuka Lelaki bawah 23 tahun), Kategori Elit (Terbuka Lelaki 24 hingga 39 tahun), Kategori Master (Terbuka Lelaki 40 tahun ke atas) serta Kategori Terbuka wanita (tanpa had umur).

Kejohanan Harian Metro MTB yang dijadualkan bermula di perkarangan Stadium Temerloh dan peserta pula bakal menempuh trek sepanjang 40 kilometer termasuk melalui beberapa kampung tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/10

No comments:

Post a Comment