Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kempunan konvo anak

Posted: 02 Sep 2014 01:23 PM PDT

Tanjong Karang: Harapan menggunung seorang bapa menyaksikan hari bersejarah anak gadisnya di majlis Konvokesyen Ke-9 Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS), Sungai Ayer Tawar, dekat sini berakhir tragedi selepas terbunuh dalam kemalangan turut mengorbankan seorang penunggang motosikal, semalam.

Mangsa, Mazni Abdul Ghani, 58, yang memandu Perodua Myvi, maut di tempat kejadian, selepas kereta dipandunya melanggar sebuah lori sebelum merempuh motosikal dinaiki seorang lagi mangsa, Rahman Rashid, 46.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Taib Ahmad, berkata kejadian berlaku jam 7.30 pagi semalam selepas kereta yang dipandu Mazni dari Kuala Lumpur, bergesel dengan kereta Proton Wira yang datang dari arah bertentangan.

Menurutnya, kejadian di KM 59, Jalan Klang-Teluk Intan, itu membabitkan lima kenderaan kerana kenderaan dipandu Mazni kemudian melanggar sebuah lori yang membawa muatan barangan elektrik dari Kedah ke Negeri Sembilan lalu terbabas dan merempuh pula sebuah motosikal.

Foto

KENDERAAN dipandu Mazni terbabas ke dalam parit.


"Sebuah lagi kereta jenis Proton Perdana yang dinaiki dua individu terbabas ke dalam parit berhampiran kerana mahu mengelak Perodua Myvi mangsa," katanya. Menurutnya, Mazni dan Rahman, seorang pemandu di Pejabat Daerah Kuala Selangor maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala dan badan.


"Polis difahamkan, Mazni yang memandu dari Kuala Lumpur menghala ke Sabak Bernam dalam perjalanan untuk ke Istiadat Konvokesyen anak gadisnya di PSIS, Sungai Ayer Tawar manakala Rahman pula dalam perjalanan ke tempat kerja di Pejabat Daerah Kuala Selangor, dari rumahnya di Sekinchan.

"Kedua-dua mangsa mengalami cedera parah di kepala dan mayat mereka dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk dibedah siasat," katanya.

Mohd Taib berkata, pemandu lori dan pemandu serta penumpang kedua-dua kereta yang lain hanya mengalami kecederaan ringan dan meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tampil membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

'Kerjaya' culik untuk tebusan punah

Posted: 02 Sep 2014 01:19 PM PDT

Kuala Lumpur: Sepasang suami isteri dikesan mencari wang mudah dengan melakukan jenayah culik menggunakan alat renjatan elektrik terhadap warga asing sebelum mengugut ahli keluarga mangsa membayar wang tebusan.

Dalam kejadian terbaru 19 Ogos lalu, pasangan terbabit dibantu tiga lelaki lain dikesan menculik seorang lelaki warga Myanmar berusia 26 tahun di hadapan pusat beli-belah Plaza Kota Raya di sini.

Sumber polis berkata, mangsa yang dibebaskan sehari selepas diculik bertindak membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi di sini.

Menurutnya, susulan laporan itu, polis menahan empat suspek termasuk pasangan suami isteri berusia 20-an selepas menyerbu sebuah pangsapuri di Selayang, Gombak.

"Hasil soal siasat dijalankan, polis kemudian berjaya memberkas seorang lagi suspek lelaki warga tempatan di Pulau Pinang.

"Suspek kelima ditahan itu dikesan menggunakan akaun bank miliknya untuk urusan pemindahan wang tebusan," katanya.

Menurutnya, mangsa mendakwa diculik empat lelaki menaiki sebuah kereta sebelum dipukul termasuk didera menggunakan alat renjatan elektrik.

"Sebaik tiba di Hutan Lipur Ulu Yam, Gombak, mangsa diikat pada kaki dan tangan.

Mata mangsa turut ditutup dengan kain hitam.

"Mangsa kemudian dikurung di sebuah rumah di Selayang.

Kumpulan penjenayah kemudian meminta wang tebusan daripada keluarga mangsa di Myanmar.

"Sebaik wang tebusan dibayar, mangsa dibebaskan serta merta," katanya.

Harian Metro difahamkan keluarga mangsa membayar RM10,000 kepada kumpulan penjenayah terbabit selepas diugut mangsa akan dibunuh.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Rasdi Ramli mengesahkan berhubung penahanan lima suspek dan masih memburu seorang lagi penjenayah.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan sama ada kumpulan terbabit pernah melakukan jenayah sama sebelum ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 342 dan 385 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Saudara VIP perisik palsu

Posted: 02 Sep 2014 12:51 PM PDT

Melaka: Seorang lelaki dipercayai anak saudara kepada isteri orang kenamaan dipanggil polis untuk memberi keterangan kerana disyaki memiliki kad kuasa sebagai perisik Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang tidak wujud, Ahad lalu.

Difahamkan, lelaki berusia 30 tahun yang bekerja sebagai pengurus sebuah hotel di Bandar Hilir, di sini, hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah kira-kira jam 11 malam bagi membantu siasatan.

Menurut sumber, rahsia lelaki berkenaan memiliki kad kuasa tertera jawatan 'perisik' di Unit Risikan Khas KDN terbongkar selepas dia menunjukkan kad berkenaan kepada anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam serbuan di sebuah pusat hiburan di Melaka Raya, awal pagi Sabtu lalu.

"Ketika serbuan kira-kira jam 2 pagi itu, lelaki terbabit datang ke pusat hiburan berkenaan dan mendakwa mahu mengeluarkan dua kenalannya yang berada dalam premis itu, namun tindakannya dihalang anggota penguat kuasa.

Foto

RAJA Shahrom menunjukkan kad kuasa perisik KDN palsu yang dirampas daripada anak saudara seorang kenamaan, Ahad lalu.


"Lelaki itu kemudian menunjukkan kad tertera jawatannya sebagai perisik KDN dan curiga dengan perkara itu, anggota penguat kuasa meminta suspek bertemu pihak berkaitan jika mahu memasuki lokasi serbuan," katanya, di sini, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

2 warga Nepal parah dirempuh mat rempit

Posted: 02 Sep 2014 12:37 PM PDT

Parit Buntar: Dua warga Nepal cedera parah dirempuh sebuah motosikal yang terbabas dipercayai berlumba haram di Batu 13, Kuala Kurau, dekat sini, kelmarin.

Mangsa, Laxmi Thapa, 26, patah kaki kanan manakala rakannya, Narayan Bahadur, 28, parah di kepala dalam kejadian jam 6.30 petang itu dan dihantar ke Hospital Parit Buntar (HPB) untuk rawatan.

Saksi, Khairussani Idris, 40, berkata, ketika kejadian kelihatan kedua-dua mangsa yang bekerja di sebuah kilang makanan laut di kawasan itu dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi mereka di kilang berkenaan.

Menurutnya, pada masa sama sekumpulan remaja yang berlumba motosikal di kawasan berkenaan dipercayai bergesel sesama sendiri sehingga menyebabkan tiga daripadanya terbabas dan jatuh ke bahu jalan.

"Sebuah motosikal Modenas Kriss ditunggang seorang remaja berusia 17 tahun itu terbabas dan merempuh kedua-dua mangsa.

"Akibat pelanggaran itu remaja terbabit turut cedera parah dan kini masih dirawat di hospital sama," katanya ketika ditemui.

"Dua lagi penunggang yang terbabas itu bertindak melarikan diri dan meninggalkan rakan mereka yang parah apabila melihat penduduk kampung memenuhi lokasi kejadian," katanya.

Khairussani berkata, dia kemudian menghubungi pihak polis bagi memaklumkan kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

Generasi terdidik berwawasan

Posted: 02 Sep 2014 12:24 PM PDT

Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam merumuskan beberapa objektif utama dalam membangunkan pendidikan tinggi negara termasuk mewujudkan pusat penjanaan ilmu, membentuk generasi terdidik serta menggunakan tenaga negara untuk memenuhi wawasan negara.

Beliau berkata, menerusi kewujudan pusat penjanaan dan khazanah ilmu yang tertinggi, ia mesti bertapak di negara ini seterusnya diperkembangkan.

Katanya, selain itu, generasi pada masa akan datang juga perlu dipastikan adalah terdidik bukan semata-mata mempunyai kelulusan akademik tetapi mereka benar-benar terdidik.

"Apabila menyebut mengenai generasi akan datang, bagaimana rupa dan bentuk mereka? Dalam soal legasi, masa depan anak cucu, perkara ini menjadi tugas kita.

Foto

MOHD Najib dan Muhyiddin bergambar bersama penerima Anugerah Akademik Negara 2013, Dr Mohd Rashdan (tengah).


"Mengenai soal guna tenaga negara, kita mahu guna tenaga yang dapat membawa, mengisi segala wawasan negara, transformasi dan cita-cita dalam abad ke-21.


"Persaingan global semakin sengit, ini menuntut kita menjana, melahirkan guna tenaga yang boleh ditempatkan sebagai mereka yang mempunyai kemampuan serta syarat cukup dalam persaingan global," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Akademik Negara (AAN) 2013 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan anugerah Tokoh Akademik Negara 2013 kepada Naib Canselor pertama Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) dari 1971 hingga 1982 iaitu Prof Emeritus Tan Sri Dr Mohd Rashdan Baba.

Sementara itu Najib berkata, golongan akademik juga berperanan dalam proses inovasi negara malah mereka digalakkan melaksanakan penjanaan kekayaan melalui inovasi.

"Kita mesti memupuk kerjasama antara akademia dan industri. Sekiranya kita meminta pihak industri kecil dan sederhana (SME) membuat inovasi produk dan sebagainya, tetapi mereka tidak tahu.

"Mereka boleh merujuknya kepada akademia dan universiti. Universiti dengan geran dibiayai boleh menyediakan penyelesaian inovatif yang boleh membawa syarikat itu lebih berjaya kerana lebih berinovatif dapat menjual produk baru," katanya.

Mengenai majlis pengiktirafan semalam Najib berkata, majlis berkenaan bukan sekadar pengiktirafan sumbangan dan ketokohan kepada golongan akademik semata-mata malah ia melonjakkan imej dan kemasyhuran pendidikan Malaysia di peringkat global.

"Saya yakin inisiatif berterusan ini akan memberi rangsangan kepada ahli dan tokoh akademik kerana tiada anugerah lebih bermakna dan berprestij daripada AAN ini," katanya.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh, Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Tan Sri Dr Madinah Mohamad dan Ketua Setiausaha II, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/03

No comments:

Post a Comment