Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Emas pertama

Posted: 20 Sep 2014 07:30 AM PDT

Incheon: Pingat emas yang tidak disangka-sangka hadir seawal hari pertama pertandingan pada Sukan Asia Incheon semalam apabila peserta wushu negara Tai Cheau Xuen (gambar) melakar kejutan memenangi acara gabungan nanquan-nandao wanita di Gimnasium Ganghwa Dolmens.

Malah atlet dari Negeri Sembilan berusia 23 tahun itu sendiri bagaikan terkejut dengan kejayaannya sendiri apabila dia kelu lidah untuk berkata-kata ketika diajukan soalan oleh wartawan selepas dikalungkan pingat.

"Saya berasa bangga dan gembira kerana berjaya meraih pingat emas pertama untuk kontinjen negara dan terima kasih kepada semua termasuk persatuan, Majlis Olimpik Malaysia dan Majlis Sukan Negara kerana sokongan mereka selama ini," katanya ringkas dalam bahasa Mandarin selepas dipujuk wartawan berkali-kali.

Cheau Xuen, yang memenangi pingat gangsa acara sama di Guangzhou empat tahun lalu, mendapat sentuhan dan bimbingan pemenang pingat emas sebelum ini Lin Fan dari China.

Foto


Dia pada mulanya sekadar menduduki tangga ketiga selepas acara nandao pada sebelah pagi dengan 9.62 mata di belakang peserta pilihan utama dari China, Wei Hong (9.72) dan Wasni Juwita Niza dari Indonesia (9.63).


Cheau Xuen, yang muncul juara dunia acara nanquan di Kuala Lumpur tahun lalu, mencatat 9.61 bagi acara itu pada sesi petang untuk mendahului seketika sebelum Wei Hong mempersembahkan aksinya.

Bagaimanapun Wei Hong, pemenang pingat emas ketika acara itu dipertandingkan sebagai acara demonstrasi pada temasya Sukan Olimpik Beijing 2008, melakukan kesilapan apabila terjatuh ketika melakukan pendaratan terakhir.

Cheau Xuen akhirnya menang dengan 19.23 mata manakala Wasni perak dengan 19.19 dan Wei Hong sekadar gangsa 19.15.

Ketua jurulatih negara Thong Foong Yoong berkata, mereka tidak menyangka Cheau Xuen mampu meraih emas kerana perlu berdepan Wei Hong dan kini berharap dapat menambah sekurang-kurangnya satu lagi pingat emas.

"Tahap antara peserta Malaysia dengan China agak hampir sama jadi apabila atlet China melakukan kesilapan, kami sedar ini peluang untuk menang," ujarnya.

Kejayaan semalam menyaksikan skuad wushu memenangi pingat emas keempat berturut-turut pada temasya Sukan Asia selepas Ho Ro Bin (Busan 2002) dan Chai Fong Ying (Doha 2006 dan Guangzhou 2010).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Danyal syukur

Posted: 20 Sep 2014 07:26 AM PDT

Incheon: Chef de Mission negara Datuk Danyal Balagopal Abdullah bersyukur dengan permulaan baik Malaysia pada Sukan Asia Incheon semalam.

Wushu menyumbang pingat emas pertama menerusi Tai Cheau Xuen dalam acara nanquan-nandao wanita selepas mengejutkan jaguh China, Wei Hong.

"Ini satu permulaan baik buat kontinjen negara. Kami pun tidak menjangka pingat emas dapat diraih pada hari pertama pertandingan, tidak sampai 24 jam selepas upacara pembukaan.

"Saya harap ini menjadi pemangkin untuk menyemarakkan semangat atlet lain dan membantu memenuhi sasaran lapan pingat emas," katanya semalam.


Kontinjen negara hanya mensasarkan sasaran paling rendah dengan lapan pingat emas sahaja selepas gagal melakukannya pada temasya Sukan Komanwel Glasgow Julai lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Beza tujuh mata kecewakan Jonathan

Posted: 20 Sep 2014 07:25 AM PDT

Incheon: Perbezaan hanya tujuh mata menidakkan peluang penembak negara, Johnathan Wong Guanjie untuk menempatkan nama dalam senarai ke pusingan akhir acara 50m Pistol individu lelaki di Ongnyeon International Shooting Range, semalam.

Namun, anak muda berusia 22 tahun kelahiran Melaka itu berpuas hati dengan apabila mencatat rekod peribadi 550 mata sekali gus memperbaharui rekod 548 mata yang dicapainya, dua tahun lepas.

"Ini adalah Sukan Asia pertama dan saya gembira dapat buat pencapaian
peribadi terbaik. Kalau saya dapat meminimumkan kesilapan, mungkin saya berjaya ke final. Tapi, apa boleh buat, kesilapan sendiri," katanya yang menduduki tempat ke-18.

Pingat emas acara itu dimenangi penembak India Jitu Rai, diikuti Nguyen Hoang Phuong (Vietnam) dan Wang Zhiwei (China).

Beliau yang akan turun beraksi dalam acara 10m Air Pistol hari ini.
Aksinya semalam banyak memberi motivasi untuk melakukan yang lebih baik hari ini.

"Sebenarnya, apabila berdiri dalam kalangan penembak handalan, mereka banyak mendatangkan motivasi kepada diri sendiri. Selalu fikir, mahu jadi macam mereka juga, itu yang buat lebih semangat," katanya.

Johnathan mula berjinak dalam sukan menembak sejak berusia 13 tahun apabila sering mengikut kakaknya Cornelia Wong menyertai latihan dan pertandingan di peringkat negeri.

Katanya, selepas menjalani latihan di bawah Majlis Sukan Negara (MSN), minatnya terhadap sukan menembak menjadi lebih serius.

Selain Johnathan, dua lagi rakan sepasukan Eddy Chew dan Choo Wen Yen masing-masing menduduki tangga ke-39 dan 43 apabila mengumpul 529 mata dan 526 mata.

Sementara itu, Eddy yang ditemui berkata dia sedikit kecewa dengan tembakannya selepas bermula baik di awal bidikan.

"Saya mula baik, penghujung teruk. Mungkin mata sudah agak penat," katanya yang turut beraksi dalam acara 10m Air Pistol hari ini.

Dalam acara berpasukan pula, Malaysia menduduki tangga ke-11 selepas mengumpul 1,605 mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Kamsa Hamida: Jurulatih perlu profesional

Posted: 20 Sep 2014 07:12 AM PDT

Masih ada lagi sikap enggan membenarkan anak didik mereka melayani media dalam kalangan jurulatih negara pada temasya Sukan Asia kali ini.

Insiden terbaru berlaku di gelanggang pertandingan wushu kelmarin apabila jurulatih yang dibawa dari China, Lin Fan tidak mahu saya dan rakan setugas bercakap dengan atletnya selepas kami menunggu hampir tiga jam.

Tidak sampai setahun lalu, insiden serupa berlaku pada temasya Sukan SEA Myanmar apabila jurulatih karate dari Latvia, Andris Vasiljevs dikatakan mengherdik media kerana enggan mengikut arahannya supaya tidak menemuramah atlet.

Entahlah apa yang mereka fikirkan.

Jika kami datang dari jauh dan gagal melaksanakan tugas kami melaporkan perkembangan atlet sepanjang sesuatu temasya, rasa saya lebih baik kami tidak datang.

Sekalipun kami menghubungi Chef de Mission, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengadu mengenai perkara itu, Lin Fan yang meraih pingat emas acara nanquan-nandao wanita pada Sukan Asia Guangzhou 2010 tetap enggan membenarkan.

Ketika itu ketua jurulatih Thoong Foong Yoong dan pengurus Lim Chin Eng tidak bersama pasukan kerana menghadiri mesyuarat pengurus pasukan.

Atlet sebenarnya tidak kisah bercakap dengan media namun mereka tidak boleh dipersalahkan juga kerana mereka akur dengan arahan jurulatih.

Agaknya apabila atlet mengadu kemungkinan risiko beliau dan skuad wushu dikritik, barulah kami dapat menemuramah bintang utama Diana Bong selama lima minit.

Mungkin Majlis Sukan Negara (MSN) yang membayar gaji jurulatih atau persatuan patut menasihati mereka supaya menghormati dan memahami budaya sukan negara.

Tabik kepada Holloway Cheah, jurulatih bowling veteran yang tidak kisah atletnya ditemuramah kerana menganggap tekanan satu perkara biasa yang dihadapi mereka bergelar atlet.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Tagih kepantasan Sun Yang

Posted: 20 Sep 2014 07:11 AM PDT

Incheon: China mengharapkan impak juara Olimpik, Sun Yang untuk mengetepikan cabaran pesaingnya Park Tae-Hwan dalam pertarungan sengit bagi menentukan siapa bakal mendominasi kolam renang Sukan Asia hari ini.

Saingan di antara pemenang Olimpik berdepan atlet pujaan Korea Selatan, Park selain perenang sensasi baru dari Jepun, Kosuke Hagino tiket untuk acara gaya bebas 200 dan 400m bakal mendapat sambutan hebat.

Park yang turut diabadikan namanya di arena akuatik Incheon dan Sun juga akan bertanding dalam acara 1,500m.

Begitupun, semangat bintang Olimpik, Kosuke Kitajima, membawa gelombang baru buat perenang Jepun yang diketuai Hagino untuk menyekat dominasi perenang China.

Sun meraih populariti di London dua tahun lalu dengan menjadi atlet China pertama memenangi pingat emas renang Olimpik dengan menjuarai acara 400m dan 1,500m gaya bebas.

Begitupun, sejak itu dia dibayangi kontroversi dan digantung badan induk sukan sukan China November lalu selepas polis menahannya kerana memandu kereta sports tanpa lesen.

Perenang yang mempunyai ketinggian 198sm itu yang masih memegang rekod dunia bagi acara 1,500m gaya bebas bagaimanapun menjadi harapan China di Sukan Asia apabila menjuarai acara 200m di kejohanan kebangsaan sebaik bebas daripada penggantungan.

"Park adalah wira Korea Selatan," kata Sun mengenai juara 400m pada Sukan Olimpik 2008, digelar 'Marine Boy' oleh media tempatan.

"Venue berkenaan dinamakan sempena namanya, satu bukti yang menunjukkan pencapaiannya." Sun sudah pun melontarkan cabaran buat Park secara gurauan dalam iklan televisyen yang menghebohkan pertemuan mereka di kolam renang, mahu menewaskan Park di depan penyokong sendiri.

Perenang China memenangi 24 daripada 38 pingat emas di Sukan Asia 2010 manakala Jepun di tangga kedua dengan sembilan emas, kesemuanya dimenangi atlet lelaki.

Ye Shiwen yang menjuarai acara beregu rampaian di London mengetuai cabaran perenang wanita meskipun perenang berusia 18 tahun itu menampilkan persembahan mengecewakan ketika kejohanan dunia di Barcelona.

Saingan acara kuak kupu-kupu 200m wanita mungkin akan berakhir dengan kemenangan 1-2 buat China menerusi Jiao Liuyang dan Liu Zige, yang menjuarai acara itu pada dua Olimpik terakhir.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Rai tiada tandingan

Posted: 20 Sep 2014 07:10 AM PDT

Incheon: Atlet India Jitu Rai mengekalkan penguasaan mengagumkan tahun ini dengan merangkul emas dalam acara 50m air pistol lelaki sekali gus menghadiahkan emas pertama dalam saingan yang cukup dramatik di Sukan Asia buat India, semalam.

Pegawai tidak bertauliah berusia 27 tahun dalam pasukan tentera India menewaskan penembak Vietnam Hoang Nguyen dengan hanya 0.2 mata ketika saingan berbaki satu tembakan sebelum pemenang diumumkan.

Nguyen meraih 5.8 mata sebelum Rai atlet yang menghuni ranking pertama dunia dalam acara itu tampak lebih tenang berjaya meraih 8.4 mata mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.

Rai menamatkan saingan dengan 186.2 mata dan Nguyen 183.4 mata manakala penembak China, Wang Zhiwie meraih gangsa dengan 165.6 mata.

"Memenangi pingat emas di Sukan Asia sentiasa menjadi sasaran saya jadi ia satu kejayaan yang hebat," kata Rai yang sentiasa meraih emas atau perak selepas mara ke final sebanyak enam kali dalam saingan peringkat dunia tahun ini.

Rai akan kembali beraksi hari ini dalam acara 10m.


"Tiada siapa boleh menjangkakan apa akan berlaku dan apa yang saya tahu kami semua akan bermula dengan kosong," katanya.


Penyandang juara Olimpik dan dunia Jin Jong-Oh menamatkan saingan di kedudukan ketujuh selepas membantu Korea Selatan meraih perak tewas kepada China dalam acara berpasukan.

Vietnam berjaya membawa pulang gangsa.

China meraih tiga lagi emas pada hari pertama acara menembak yang berlangsung di Lapang Sasar Antarabangsa Ongnyeon.

-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Pescao bulat tekad

Posted: 20 Sep 2014 07:09 AM PDT

Kebanyakan ahli sukan menjadikan ayah sebagai inspirasi kejayaan karier mereka. Hakikat itu tidak terkecuali buat pelumba Program Pembangunan Bakat PETRONAS (PTD) dan Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang mengakui pernah merajuk dengan ayah yang menyuruhnya berhenti berlumba 'pocket-bike'.

Semua itu gara-gara dia berlumba di luar pengetahuan ayahnya itu pada usia tujuh tahun di sebuah trek di Galaxy Ampang.

"Sewaktu zaman kanak-kanak, saya menghabiskan masa di bengkel motosikal ayah di Kuala Lumpur.

Setiap kali mendapat peluang ke kedai, saya akan pastikan dapat menunggang motosikal," katanya ketika wawancara dalam treler jelajah kegunaan pasukan pada MotoGP San Marino di Sirkit Dunia Marco Simoncelli di Misano, Itali, baru-baru ini.

"Biasanya separuh daripada duit baki ke kedai akan saya ambil dan sorok tanpa pengetahuan ayah.

"Dalam diam saya menyimpan duit itu untuk digunakan berlumba dengan menyewa trek dan pocket bike.

"Saya sering menang perlumbaan dan sejak itu, saya mula menanam minat untuk menjadi pelumba motosikal profesional satu hari kelak." Impian dari zaman kanak-kanak itu akhirnya menjadi kenyataan apabila Hafizh kini beraksi pada musim pertama Moto2 bersama pasukan PETRONAS Raceline Malaysia dalam Kejuaraan MotoGP Dunia.

Dia juga beraksi selama dua musim dengan mencipta dua kemenangan dalam penampilan kejuaraan CEV Sepanyol dan memenangi perlumbaan Harley Davidson pada MotoGP Amerika Syarikat di Indianapolis tahun lalu.

Malah, Hafizh turut memahat nama sebagai pelumba muda terbaik antarabangsa menjejak podium pada penampilan wild card Moto2 di Litar Sepang sewaktu MotoGP Malaysia tahun lalu.

Dia juga tampil juara termuda Expert CP130 Kejuaraan Cub Prix PETRONAS pada 2010 dan bertarung dengan ramai pelumba terbaik Asia dalam Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC).

Disebabkan kehebatannya memacu jentera dalam keadaan litar basah, Hafizh yang menggunakan nombor 55 diberi jolokan 'Pescao' atau Ikan Kecil dalam bahasa Sepanyol.

Kata Hafizh, penampilan sulungnya dalam Moto2 memberi cabaran baru perkembangan kariernya.

"Perlumbaan Moto2 musim ini memang sukar dan tidak semudah disangka.

Foto

HAFIZH 'Pescao' menunjukkan trofi podium wild card Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang tahun lalu.


Bagaimanapun saya bertuah kerana memiliki pengurus pasukan, Barry Leong yang sentiasa memberi semangat kepada saya dalam setiap perlumbaan,".

Keputusan terbaiknya dalam Moto2 musim ini menyaksikan Hafizh menduduki tempat ketujuh pada perlumbaan GP Amerika Syarikat.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Aizulridzwan tetap fokus aksi suku akhir

Posted: 20 Sep 2014 07:02 AM PDT

Jempol: "Saya akan tetap memberi tumpuan dan fokus menghadapi perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia, FELDA United menentang Selangor, pada 7 Oktober nanti walaupun anak kedua saya kini dirawat di hospital kerana menghidap leukimia," kata pemain pertahanan FELDA United, Mohd Aizulridzwan Razali.

Mohd Aizulridzwan, 28, berkata Qeisha Raudhah, 21 bulan, dikesan mengidap penyakit itu sejak seminggu lalu dan kini sedang menjalani rawatan kimoterapi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Kuala Lumpur.

Katanya, cuti rehat yang diberi majikan digunakan sepenuhnya menjaga anaknya itu bersama isterinya, Adriyanie Awang Damit, 28, yang bekerja sebagai jururawat di Klinik Kesihatan Ibu dan Anak Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.

"Tugas yang diberikan untuk mengawal benteng pertahanan akan tetap dilaksanakan sepenuh hati walaupun sedih dengan nasib menimpa anak saya," katanya ketika ditemui selepas Program Jom Ke Stadium FELDA United, di Dewan Besar Pejabat Daerah Jempol, kelmarin.

Program yang dirasmikan Pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, Mohd Aizulridzwan turut menerima sumbangan daripada FELDA United bagi menampung belanja perubatan Qeisha Raudhah.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Benam Chelsea

Posted: 20 Sep 2014 07:01 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester City, Manuel Pellegrini yakin menamatkan rekod tanpa kalah 100 peratus Chelsea dalam Liga Perdana sekali gus membolehkan skuadnya membuat permulaan meyakinkan dalam mempertahankan gelaran liga Inggeris.

City belum mencatat sebarang kemenangan sejak mengejutkan Liverpool, naib juara musim lalu menerusi kemenangan 3-1.

Sejak itu, mereka tewas di tempat sendiri kepada Stoke, sekadar seri di Arsenal dan tewas pada jaringan saat akhir di Bayern Munich pada perlawanan Liga Juara-Juara pertengahan minggu.

Satu lagi kekalahan di Stadium Etihad hari ini akan membolehkan Chelsea melebarkan kelebihan mereka kepada lapan mata di depan juara bertahan itu.

Bagaimanapun, Pellegrini lebih suka melihat pada satu sudut lain ketika dia cuba memperbaiki rekod menentang musuh ketat lama, Jose Mourinho, yang merencanakan kejayaan klasik 1-0 menang di City, Februari lalu sebagai sebahagian kejayaan berganda terhadap juara bertahan itu musim lalu.

" Chelsea bermula dengan baik.

Mereka juga bermain dengan baik," kata Pellegrini.

Foto

CITY (jersi biru) tagih pengalaman berguna selepas tewas kepada Bayern pada aksi Liga Juara-Juara.


"Saya rasa kami tidak bermula dengan buruk biarpun tewas pada perlawanan menentang Stoke adalah perlawanan yang tidak seperti biasa.

"Saya rasa kami tidak bernasib baik pada dua perlawanan terakhir menentang Bayern terutamanya cara jaringan dilakukan menyaksikan kami tewas dan menentang Arsenal yang kami berhak menang tiga mata tetapi begitulah hakikat perlawanan perlu diterima dan ia berlaku," kata pengurus berasal dari Chile itu.

"Kami berharap dapat pulih di sini bermain di tempat sendiri dan mendapat tiga mata hari ini.

"Saya sentiasa cuba memikirkan aspek positif dan saya berharap kami tidak tewas dan tertinggal lapan mata di belakang Chelsea.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

Rooney istimewa

Posted: 20 Sep 2014 06:59 AM PDT

Manchester: Pengurus Manchester United, Louis van Gaal mendakwa Wayne Rooney mempunyai 'keistimewaan' ketika skuadnya membuat persiapan untuk bertandang ke ke Leicester hari ini.

United mula mempamerkan peningkatan musim ini selepas mencatat kemenangan 4-0 mengatasi QPR dalam Liga Perdana minggu lalu, kejayaan kompetitif pertama van Gaal sejak mengambil alih kerusi panas di Old Trafford dan mereka berharap dapat meneruskan rentak sama menentang pasukan baru dinaikkan liga di stadium King Power.

Mereka memulakan musim pertama kendalian van Gaal dengan hanya empat pemain iaitu Rooney, David de Gea, Tyler Blackett dan Juan Mata memulakan aksi dalam kesebelasan utama setakat ini.

United menambah sengat serangan menerusi Angel di Maria dan Radamel Falcao pada musim perpindahan baru i yang akan disesuaikan oleh van Gaal untuk menggunakan semua barisan penyerangnya.


Pengurus Belanda itu menafikan keadaan itu akan menyebabkan pertarungan antara Falcao dan Robin van Persie untuk bermain bersama Rooney tetapi dia turut menyatakan selain penjaga gol, de Gea, Rooney akan sentiasa beraksi.


"Akan sentiasa terdapat pemain yang anda akan letakkan dalam pasukan. Kapten saya akan bermain termasuk penjaga gol, jadi ia tidak mengejutkan," kata van Gaal.

"Saya tidak merasakan sebarang pemain terikat. Hanya kapten mempunyai lebih banyak keistimewaan tetapi bukan pemain lain. Setiap pemain mengetahuinya kerana orang melihat bagaimana saya menguruskan pasukan saya." -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/21

No comments:

Post a Comment