Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Gantung dua tahun

Posted: 19 Sep 2014 10:44 AM PDT

Kuala Lumpur: Penggunaan dadah terlarang semakin membimbangkan kancah sukan negara apabila tiga atlet muda disahkan gagal ujian doping ketika bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis pertengahan tahun ini.

Menurut peraturan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), hukuman penggantungan dua tahun menanti ketiga-tiga atlet berkenaan.


Majlis Sukan Negara (MSN) menerusi satu kenyataan semalam mengesahkan selain Olahragawati SUKMA Jelinie Em Pera, 21, dari Sarawak yang memenangi dua pingat emas angkat berat kategori melebihi 75 kg, dua lagi atlet Siti Fazera Ishak (angkat berat) dan Dhia Danial Mohd Kharil (berbasikal) turut dikesan positif bahan terlarang, namun kedua-dua atlet berkenaan yang berusia 18 tahun tidak memenangi sebarang pingat.

Hasil ujian sampel Dhia Danial yang mewakili Wilayah Persekutuan dan Jelinie disahkan mengandungi anabolik steroid manakala sampel Siti Fazera (Perlis) didapati mengandungi diuretik, kesemuanya bahan dilarang WADA.


"Steroid bertujuan meningkatkan prestasi manakala diuretik mempunyai dua tujuan iaitu mengurangkan air dalam badan (menurunkan berat badan) dan menyembunyikan penggunaan steroid.


"Bagaimanapun, hanya Jelinie yang meminta sampel B dijalankan manakala dua lagi, tidak," jelas Ketua Unit Antidoping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar.

Foto

PINGAT emas milik Jelinie (kanan) ditarik balik.

Tambah Nishel, menurut surat ADAMAS kepada dua persatuan sukan kebangsaan (Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia dan Persatuan Angkat Berat Malaysia), mereka dinasihatkan untuk mengambil tindakan mengikut saranan WADA dan persatuan mereka pada peringkat antarabangsa.


"Saya lihat mereka bernasib baik kerana WADA akan menguatkuasakan kod tatatertib baru bermula 1 Januari tahun depan dengan kesalahan seperti itu akan dikenakan penggantungan empat tahun selain mempunyai ruang sekadar diberikan amaran sekiranya menjadi mangsa keadaan atau sabotaj, berbeza dengan hukuman sekarang yang tidak mempunyai tolak ansur.

"Namun sebelum menjatuhkan hukuman terhadap atlet, kami juga memberi cadangan kepada persatuan sukan kebangsaan supaya mengadakan perbicaraan agar dapat mengetahui sama ada wujud unsur sabotaj atau sebaliknya kerana mereka atlet muda," katanya.


Sepanjang SUKMA edisi ke-17 berlangsung, sebanyak 208 atlet lelaki dan 197 perempuan diambil sampel air kencing secara rambang yang dihantar untuk dianalisis Makmal Ujian Dadah Nasional di New Delhi, India.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Satu misi

Posted: 19 Sep 2014 10:37 AM PDT

London: Terkejut dengan jaringan minit akhir yang mencetuskan kekalahan di Liga Juara-Juara, Manchester City berazam meraih kemenangan dalam saingan memburu kejuaraan Liga Perdana apabila menanti kunjungan pendahulu liga, Chelsea tengah malam ini.

Jaringan minit ke-90 yang dilakukan bekas pemainnya, Jerome Boateng menyebabkan kekalahan 0-1 City ketika bertemu Bayern Munich pada awal pagi Khamis lalu dan skuad kendalian Manuel Pellegrini kini tanpa sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan.


Chelsea boleh melebarkan kelebihan lapan mata ke atas juara bertahan itu jika berjaya mengulangi kemenangan 1-0 di Stadium Etihad, Februari lalu dan pemain tengah City Fernandinho menegaskan ia adalah perlawanan yang wajib mereka menangi.

"Bukan mudah untuk pasukan besar seperti City (tewas kepada Bayern), namun cara terbaik untuk membangkitkan kembali keyakinan dan kualiti terbaik adalah memenangi perlawanan selepas ini," kata pemain Brazil itu.


"Kami sudah memikirkan mengenai perlawanan menentang Chelsea. Kami perlu memenangi perlawanan ini kerana terikat (2-2) menentang Arsenal dan tewas (1-0) kepada Stoke di laman sendiri. Kami perlu menambah mata bagi meningkatkan saingan di puncak liga." Chelsea kini memburu kemenangan kelima berturut-turut, namun rentak mereka agak terjejas pada awal pagi Khamis selepas terikat 1-1 di laman sendiri menentang Schalke.


Jaringan menerusi serangan pantas Klaas-Jan Huntelaar membolehkan kelab Jerman itu meraih satu mata selepas Cesc Fabregas meletakkan tuan rumah mendahului dan kapten Chelsea, John Terry menggesa rakan sepasukan untuk mengurangkan kesilapan di bahagian pertahanan yang menyaksikan mereka sudah melepaskan enam gol dalam empat perlawanan awal liga.

"Empat perlawanan awal liga, kami musnahkan pasukan. Kami tidak mengulanginya (menentang Schalke), namun amat mengecewakan apabila melepaskan jaringan seperti yang kami lakukan, menerusi serangan balas yang berpunca daripada sepakan penjuru kami," kata Terry.


"Ia sepakan penjuru kami. Kami menyerang dan terkena. Ia tidak sepatutnya berlaku, kali kedua musim ini." City kembali menyenaraikan Sergio Aguero dalam kesebelasan utama dan Diego Costa yang muncul penjaring terbanyak dengan tujuh gol untuk Chelsea kembali selepas kedua-duanya berada di bangku simpanan dalam aksi pembukaan Liga Juara-Juara. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Toffees mula garang

Posted: 19 Sep 2014 10:28 AM PDT

Paris: Everton menandakan kehadiran semula ke kancah bola sepak Eropah sejak musim 2009/2010 dengan kemenangan 4-1 mengatasi Wolfsburg awal pagi semalam manakala Celtic dan Tottenham mencatatkan keputusan seri dalam aksi sukar di tempat lawan.

Kelab Merseyside itu mendahului seawal minit ke-15 di Goodison Park apabila Ricardo Rodriguez menjaringkan gol sendiri selepas bola sepakan Steven Naismith terkena badannya sebelum tandukan jarak dekat Seamus Coleman menjadikan kedudukan 2-0 pada hujung babak pertama.


Leighton Baines menambah jaringan ketiga menerusi sepakan penalti dua minit selepas babak kedua bersambung dengan Kevin Mirallas meledak jaringan keempat ketika perlawanan berbaki dua minit menerusi hantaran bijak pemain gantian Samuel Eto'o.

Rodriguez mendapatkan gol sagu hati untuk Wolfsburg menerusi sepakan percuma melepasi jangkauan Tim Howard di gawang gol Everton pada masa kecederaan.


Kelab Inggeris itu kini menerajui Kumpulan H selepas Lille dan Krasnodar terikat 1-1 di Perancis.


Kunjungan juara Scotland, Celtic menentang finalis 1994, Salzburg dalam perlawanan yang menghiburkan berakhir 2-2 dalam aksi Kumpulan D manakala Spurs terikat tanpa jaringan menentang Partizan di Belgrade.

Pada satu lagi perlawanan dalam kumpulan membabitkan Celtic, pemain pinjaman Manchester United, Angelo Henriquez antara penjaring yang membantu Dinamo Zagreb membelasah kelab Romania, Astra Giurgiu 5-1.


Tottenham, musim keempat dalam kempen Liga Europa, melakukan 10 pertukaran berbanding skuad yang seri menentang Sunderland di Liga Perdana hujung minggu lalu, dengan hanya penjaga gol Hugo Lloris dikekalkan. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Tak ada masalah!

Posted: 19 Sep 2014 10:27 AM PDT

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers mengakui beliau tidak bimbang dengan kemampuan Philippe Countinho untuk bersaing dari segi fizikal menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham, hari ini.

Coutinho kerap dikasari ketika Liverpool tumpas 0-1 kepada Aston Villa di Anfield hujung minggu lalu.


Bagaimanapun, Rodgers mendakwa pemain perancang kelahiran Brazil itu mampu mengharungi satu lagi perlawanan selepas bertemu The Hammers di Upton Park.

"Saya tidak rasa ada persoalan sekarang sama ada dia mampu mengharungi aksi di EPL. Dia sudah berada di sini selama 18 bulan dan beraksi dengan cemerlang. Anda hanya perlu menilainya sejak dia berada di sini dan ketika beraksi dalam perlawanan besar.


"Bagaimanapun, tidak ada sangsi mengenai kelajuan, kekuatan dan ketahanannya untuk EPL.


"Saya tidak meragui kemampuannya, dia mempunyai bakat besar. Dia sudah menerangi kami sejak tiba di kelab kami. Dia beraksi dalam beberapa perlawanan dan dia tidak berada pada tahap terbaik, tetapi sentiasa cuba memberi yang terbaik dan itu saja yang saya minta dari semua pemain.

"Dia adalah seorang pemain yang hebat. Dia betul-betul sedar saya tidak pernah sangsi kemampuannya," kata Rodgers.


Liverpool bertambah semangat dengan kembalinya pertahanan tengah, Martin Skrtel yang sebelum ini mengalami kecederaan lutut sementara pertahanan kanan, Glen Johnson juga dijangka kembali berlatih selepas cedera di bahagian pinggul.

The Reds masih beraksi tanpa penyerang Daniel Sturridge yang mengalami kecederaan paha, pemain tengah Joe Allen (lutut), Emre Can (buku lali) dan Jon Flanagan (lutut).


"Martin kembali dalam latihan bersama pasukan dan ia adalah berita gembira buat kami. Glen sepatutnya kembali berlatih untuk persiapan perlawanan hujung minggu ini.


"Sturridge pula mungkin akan kembali berlatih minggu depan. Allen bagaimanapun masih cedera dan terpaksa berehat selama beberapa minggu," katanya.


Sementara itu, pengurus West Ham Sam Allardyce mengaku mempunyai perasaan bercampur-baur mengenai pemergian Luis Suarez dari Liverpool.


Allardyce berasa lega kerana pasukannya tidak perlu berdepan dengan penyerang antarabangsa Uruguay itu hujung minggu ini. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Enggan kecewa lagi

Posted: 19 Sep 2014 10:26 AM PDT

Birmingham: Arsene Wenger akan cuba mengembalikan Arsenal pada landasan terbaik menentang Aston Villa, hari ini selepas menghadapi minggu mengecewakan seterusnya menimbulkan persoalan mengenai peluang mereka untuk memenangi trofi musim ini.

Pasukan bimbingan Wenger berkunjung ke Villa Park untuk bertemu Villa yang berada di tempat kedua Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat tiga kemenangan daripada empat perlawanan termasuk kejayaan mengejutkan ketika menentang Liverpool.


Jika mereka ingin membawa pulang tiga mata, Arsenal perlu segera melupakan kekecewaan selepas kalah 0-2 dalam perlawanan Liga Juara-Juara ketika bertemu Borussia Dortmund, tiga hari selepas The Gunners hanya mencatat keputusan seri 2-2 menentang Manchester City dalam saingan EPL.

Kelemahan di bahagian pertahanan Arsenal sangat ketara pada kedua-dua perlawanan itu, sekali lagi mengimbas kegagalan Wenger membawa masuk pertahanan tengah dan pemain tengah bertahan pada pasaran perpindahan pemain baru-baru ini.


Jack Wilshere menegaskan, dua perlawanan terakhir sekali lagi membuktikan Arsenal gagal memberi tentangan di peringkat tinggi dan mempersoalkan sama ada mereka melakukan pendekatan yang betul menentang kelab dari Jerman itu.


Wilshere mengalami kecederaan buku lali pada perlawanan itu untuk menambahkan lagi kebimbangan Wenger yang berharap pemain tengah itu segera sembuh menjelang pertemuan dengan Villa.

"Sukar untuk mengatakan keadaannya. Selalunya ia tidak terlalu teruk, tetapi saya sedikit bimbang kerana sejarah lampaunya (masalah buku lali)," kata Wenger. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Persiapan lancar

Posted: 19 Sep 2014 10:25 AM PDT

Temerloh: Bandar Temerloh sudah bersedia menerima kunjungan peminat dan pelumba Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 pada 27 September ini.

Ketua Jabatan Kejuruteraan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) Muhamad Mohd Nor berkata, pihaknya kini dalam peringkat akhir bagi menyelaraskan semua persediaan yang turut membabitkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Tourism Malaysia Pahang.


"Ia termasuk menyediakan kemudahan dan peralatan di Stadium Temerloh seperti bilik urusetia, bilik mesyuarat, kaunter tiket dan bilik media untuk kegunaan kru, peserta dan pemberita yang membuat liputan.

"Kami juga memberi kelulusan permit berkaitan yang diperlukan untuk penganjuran acara ini seperti hiburan, jualan dan perhimpunan,"" katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Program Kejohanan itu, di Pejabat MPT, semalam.


Hadir sama, Pengarah Kejohanan Husain Jahit.


Muhamad berkata, jalan sepanjang antara lima hingga lapan kilometer daripada keseluruhan laluan trek di beberapa kawasan terpilih akan ditutup dari dari jam 6 pagi hingga 1 tengah hari pada kejohanan itu.

Foto

MUHAMAD (kanan) bersama Husain (dua dari kanan) ketika Mesyuarat Penyelarasan Kejohanan Harian Metro MTB.

"Kira-kira 30 anggota polis akan ditugaskan mengawal lalu lintas dan penutupan jalan, 30 anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) bagi bantuan perubatan di samping tiga ambulans.


""Bomba juga akan menyediakan bekalan air untuk pembersihan basikal peserta semasa hari acara berkenaan"" katanya.

Pada kejohanan itu nanti, empat kategori akan dipertandingkan iaitu Junior (Terbuka Lelaki bawah 23), Elit (Terbuka Lelaki 24 hingga 39), Masters (Terbuka Lelaki 40 tahun ke atas) serta Wanita (tanpa had umur).


Kejohanan Harian Metro MTB yang dijadual bermula di perkarangan Stadium Temerloh dengan trek sepanjang kira-kira 40 kilometer akan melalui beberapa kampung tradisional.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Monster MTB timba pengalaman

Posted: 19 Sep 2014 10:24 AM PDT

Kuantan: Menggabungkan pelumba dari Kuantan dan Pekan, Monster MTB Team bersedia menyahut cabaran besar pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti Malaysia 2014 di Temerloh, 27 September ini.

Presiden Khairuddin Abu Bakar berkata, dengan menghantar 10 pelumba dalam kategori junior dan veteran, pasukan itu berazam menamatkan kayuhan sejauh 40 kilometer (km) dengan pencapaian membanggakan.


Katanya, sebagai persediaan terutama bagi menghadapi saingan getir, pasukan itu menjalani latihan lebih 20km di jalan raya dan kampung untuk memantapkan kayuhan.

"Setakat ini, kami puas hati dengan komitmen setiap pelumba," katanya di sini, semalam.


Khairuddin berkata, penyertaan kali pertama kejohanan anjuran Harian Metro itu juga diharap membantu menimba pengalaman berharga.


"Kami harap dapat mempelajari sesuatu daripada pelumba profesional agar boleh dijadikan motivasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

BBC harap tuah

Posted: 19 Sep 2014 10:24 AM PDT

Kuantan: Penyertaan Balok Cycling Club (BCC) pada Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) diharap membawa tuah buat kelab yang berpangkalan di Balok itu.

Ketua pasukan Mohd Norhisam Mohamed berkata, pengalaman beraksi di kejohanan sama di Ipoh, Perak dan Marang, Terengganu tahun lalu menyuntik semangat mereka untuk menyerlah kali ini. Menurutnya, 11 pelumba terbaik kelab itu akan mengambil bahagian dengan sasaran berada dalam kelompok 20 terbaik di Temerloh apabila saingan berlangsung 27 September ini.


"Walaupun kelab ini baru ditubuhkan dua tahun lalu, kami akan berusaha memberi aksi terbaik supaya menduduki 20 tempat terbaik setiap kategori.

"Justeru, kami harap latihan waktu siang dan malam sejauh 25 kilometer akan menghasilkan keputusan positif biarpun sedar peserta lain juga berpengalaman," katanya semalam.


Beliau berkata, keputusan menyertai MTB itu juga sebenarnya lebih kepada usaha menambah kenalan pelumba terutama dari luar Pahang dan Terengganu.


Menurutnya, apabila peminat sukan berbasikal lasak berkumpul dalam satu kejohanan, ia dapat mengeratkan hubungan serta berkongsi pengalaman.

"Ini kerana setiap laluan berbeza dan sudah pasti pengalaman yang ada dapat dikongsi untuk mempamerkan kayuhan terbaik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Wajib benam Kemboja

Posted: 19 Sep 2014 10:24 AM PDT

Kelana Jaya: Ketua jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh sedar risiko yang bakal dihadapinya andai mereka dimalukan skuad kerdil Kemboja pada aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Shah Alam, malam ini.

Justeru beliau tiada pilihan selain mengarahkan anak buahnya bangkit untuk mencipta kemenangan selepas dua kekalahan kepada Tajikistan (1-4) dan Indonesia (0-2) yang mengakibatkan mereka menjadi mangsa kecaman peminat dan pengkritik bola sepak tempatan.


"Perlawanan ini mesti menang. Sekurang-kurangnya jika menang boleh tutup mulut sikit (pengkritik), kalau tidak habislah saya. Walaupun Kemboja bukan lawan mudah, tapi saya percaya dengan latihan serta kualiti pemain yang kita ada, kita boleh melakukan sesuatu," kata Dollah pada sidang media rasmi perlawanan itu semalam.

Bagaimanapun bekas penyerang kebangsaan itu tetap fokus dengan misinya untuk menilai pemain dan bersedia untuk merombak pasukannya berbanding ketika tewas dengan Indonesia 0-2 pada perlawanan persahabatan Ahad lalu.


"Saya akan menukar hampir 90 peratus pemain bagi perlawanan dengan Kemboja. Pemain gantian dan yang tidak beraksi di Surabaya akan saya turunkan dalam perlawanan esok (hari ini). Saya mahu menilai prestasi pemain sebelum mengumumkan senarai 22 pemain selepas satu lagi perlawanan persahabatan dengan Terengganu pada 24 September ini," katanya.


Bagaimanapun empat pemain sudah pasti tiada dalam pasukan hari ini iaitu penjaga gol Azizon Abd Kadir, Mohd Muslim Ahmad, Zairul Fitree Ishak (pertahanan) dan S Chanturu (penyerang) kerana masalah kecederaan.

Foto

DOLLAH (kiri) bersalaman dengan Meas.

Ketika Dollah tidak mempunyai masalah untuk memilih pemain di posisi penjaga gol, pertahanan dan tengah, bekas pengendali Selangor, Pahang dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu mahu bahagian penyerang mengasah ketajaman penyudah dalam aksi menentang pasukan di ranking ke-199 dunia itu.


"Masalah utama saya bahagian serangan. Saya mempunyai (Mohd) Amri Yahyah, Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) dan pemain yang boleh menggelecek, tapi tidak ada naluri pemusnah. Saya harap Safee (Sali) boleh kembali mendapatkan sentuhannya.

"Mereka jangan terlalu taksub untuk menjaringkan gol, perlu 'rileks', gol akan datang, tapi mereka perlu berusaha keras," katanya.


Sementara itu bagi penolong jurulatih Kemboja Meas Channa, pertemuan dengan Harimau Malaya tiada lain hanyalah untuk menguji pemainnya sebagai persiapan mengharungi pusingan kelayakan Piala AFF bulan depan.


"Perlawanan ini memberi peluang untuk kami menguji pemain. Kami tidak pasti boleh mengalahkan Malaysia tapi akan cuba. Kami yakin dengan pemain kerana mereka tampak lebih yakin dan bagus berbanding sebelum ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

Impian kian sukar

Posted: 19 Sep 2014 10:20 AM PDT

Shah Alam: Skuad futsal negara bukan saja dimalukan Indonesia dengan kekalahan 1-6 pada aksi pembukaan Kejohanan AFF 2014 semalam malah keputusan mengecewakan itu juga bakal membuatkan impian mereka untuk melangkah lebih jauh berkubur.

Walaupun baru perlawanan pertama, kekalahan kepada Indonesia itu memberi kesan besar terhadap misi skuad kendalian Maizal Hairi Marzuki untuk muncul dua pasukan terbaik Kumpulan A layak ke separuh akhir.


Mereka tiada pilihan selain perlu menang baki perlawanan menentang Brunei, Timor Leste dan finalis tahun lalu Australia serta mengharapkan ihsan Indonesia.

"Ini baru perlawanan pertama, kami masih ada baki tiga perlawanan dan perlu menang kesemua perlawanan," kata Maizal pada sidang media selepas perlawanan itu. "Kami juga perlu berharap agar Indonesia dapat membantu kita mengalahkan Australia agar membolehkan kami layak ke pusingan seterusnya," kata Maizal pada sidang media selepas perlawanan itu.


Pada aksi di Stadium Malawati itu, Malaysia yang tewas kepada Indonesia 4-5 pada Sukan SEA Myanmar tahun lalu ketinggalan dua gol menerusi jaringan Bambang Bayu Saptaji pada minit ketiga dan Adriansyah Agustin (m-8).


Malaysia yang lebih banyak menguasai permainan merapatkan kedudukan menerusi jaringan Khairul Effendy Bahrin pada minit kesembilan.

Ketika penyokong tempatan mengharapkan kebangkitan pada separuh masa kedua sebaliknya pula berlaku apabila pasukan pelawat menambah empat lagi gol hasil jaringan Jaelani Ladjanibi pada minit ke-23, Ardy Dwi Suwardy (m-24), Bambang (m-35) dan Nur Ali (m-36).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/20

No comments:

Post a Comment