Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Jali kemaruk

Posted: 26 Sep 2014 01:52 PM PDT

Kuala Terengganu: Lazimnya ayam betina bertelur dan mengeram selama 21 hari sebelum telur menetas, tetapi lain pula yang berlaku di Kampung Bukit Tumbuh, di sini, apabila seekor ayam jantan berkelakuan pelik kerana mengeram telur.

Jamsyaril Sawal Aziz, 30, berkata, ibu bapanya menternak ayam kampung sejak dia masih kecil, tetapi belum pernah berlaku kejadian pelik seperti itu.


"Macam cerita jenaka dan tidak masuk akal, tetapi itulah hakikat. Saya sendiri terkejut dan tidak pernah melihat kejadian seperti ini.

"Ramai rakan dan penternak ayam tidak percaya dan terkejut apabila datang ke rumah menyaksikan sendiri ayam jantan itu mengeram," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Menurutnya, usia ayam jantan dipanggil Jali itu sekitar dua tahun dan dipelihara sejak setahun lalu selepas dibeli daripada seorang kenalan di Marang.


"Jali bukan saja mengeram, tetapi turut mengikut keletah ayam betina yang sedang mengeram seperti mematuk sesiapa saja yang mengganggunya.

Foto

JALI mengeram telur di Kampung Bukit Tumbuh.

"Sudah hampir dua minggu Jali mengeram. Pada mulanya cuma lima telur, tetapi memandangkan ramai penduduk datang melihat keletahnya, Jali terganggu menyebabkan empat telur pecah dan sekarang tinggal hanya satu," katanya.


Menurutnya, dia menyedari keletah Jali itu apabila ayam betina yang sepatutnya mengeram di situ tidak lagi memasuki reban kerana diganggu haiwan itu yang kemaruk untuk mengeram.

"Malah, perbuatan Jali mengeram sudah heboh diceritakan di laman sosial Facebook dan blog penternakan ayam," katanya.


Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penternak Negeri Terengganu Hamid Salleh berkata, kejadian ayam jantan mengeram memang jarang berlaku dan jika berlaku, ia mungkin didorong faktor usia ayam yang terlalu tua serta nyanyuk.


"Walaupun ayam jantan itu mengeram telur seperti ayam betina namun telur berkenaan tidak akan menetas dan ia akan rosak begitu saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/27

Pacu daya saing industri

Posted: 26 Sep 2014 01:44 PM PDT

Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) bakal melakar sejarah tersendiri dalam bidang pendidikan negara apabila menubuhkan Pusat Latihan Penyelidikan dan Pendidikan Berterusan (RETRACE) untuk memberi peluang kepada pekerja sektor industri menyambung pengajian peringkat pasca siswazah secara separuh masa dengan lebih mudah.

Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada Januari 2015 sebagai pengembangan Anjung UniMAP Kulim sedia ada di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kulim akan memberi kemudahan dan keselesaan kepada pelajar berikutan tidak perlu mengikuti sesi kuliah di kampus UniMAP di Perlis.


Justeru, langkah menaik taraf pejabat Anjung UniMAP di Pusat Perniagaan KHTP yang selama ini berfungsi sebagai pejabat representasi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) itu sejak lebih tiga tahun lalu adalah langkah tepat bagi mengisi ruang mereka yang berada dalam sektor industri untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.

Kelahiran RETRACE juga disifatkan seiring dengan keperluan sektor industri yang begitu 'dahaga' pekerja berpengetahuan dan memiliki kemahiran tinggi berikutan keperluan pihak berkenaan untuk sentiasa melakukan penyelidikan dalam bidang masing-masing menerusi tenaga kerja mereka yang berkualiti.


Pengerusi Jawatankuasa Penubuhan RETRACE UniMAP Profesor Madya Dr Yufridin Wahab berkata, sebagai permulaan, pihaknya hanya menawarkan 200 tempat untuk pekerja industri yang berminat dan layak untuk mendaftar bagi mengikuti pengajian peringkat pasca-siswazah sesi pertama dalam pelbagai kursus yang ditawarkan.


Katanya, kursus ditawarkan adalah di peringkat Sarjana Mod Campuran seperti Kejuruteraan Matematik, Kejuruteraan Rekabentuk Sistem Terbenam, Kejuruteraan Elektrik Kuasa, Kejuruteraan Sistem Pembuatan, Kejuruteraan Rekabentuk Sistem Mikroelektronik, Pentadbiran Perniagaan bidang Pengurusan Kejuruteraan (MBA) mengikut permintaan serta Sarjana Sains Penyelidikan selain PhD Penerbitan, PhD Penyelidikan dan juga PhD Industri.

"Pekerja industri yang ditawarkan peluang mengikuti pengajian peringkat pasca siswazah ini tidak perlu hadir ke kampus UniMAP di Perlis kerana sesi pembelajaran dan perjumpaan dengan pensyarah boleh dilakukan secara komunikasi dalam talian ataupun pertemuan di dalam KHTP tanpa keluar dari tempat kerja.


"Tujuan utama UniMAP sebagai sebuah institusi ilmu berasaskan kejuruteraan mewujudkan RETRACE ialah bagi meningkatkan bilangan pekerja industri khasnya di KHTP dan sekitarnya untuk mempunyai ijazah peringkat tinggi iaitu Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) melalui kaedah penyelidikan.

"Ia secara tidak langsung memastikan kewujudan RETRACE juga bakal membantu KHTP menjadi Taman Industri Penyelidikan setaraf dengan kawasan industri di luar negara," katanya. ketika ditemui di Kawasan Perindustrian Kuala Perlis, Perlis, baru-baru ini.


Yufridin yang juga Pengurus Pusat Kecemerlangan Elektronik Bersepadu NCER Berasaskan MEMS Pelbagai Disiplin Maju (AMBIENCE) berkata, konsep asas RETRACE ialah membawa IPTA kepada sektor industri iaitu kewujudan kampus pengajian tinggi di t lokasi industri seperti di KHTP bagi memudahkan pekerja industri menyambung pelajaran secara separuh masa.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/27

Pengutip botol berhati mulia

Posted: 26 Sep 2014 01:44 PM PDT

Bera: Dia hanya bekerja mengutip barangan kitar semula untuk menyara kehidupan, namun warga emas ini mempunyai hati yang mulia apabila sanggup mendermakan wang simpanan RM10,000 hasil titik peluhnya itu kepada Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang dekat Triang, di sini.

Warga emas berkenaan, Tan Ah Moi, 71, mengambil masa selama enam tahun untuk mengumpul wang sebanyak itu hasil menjual kotak, kertas, tin, botol dan plastik yang dikutip dari kedai dan pasar raya di sekitar bandar Kuantan.


Sikap dermawan ditunjukkan Tan membuktikan wang bukan segalanya dan warga emas itu kini menemui kebahagiaan hidup apabila memutuskan untuk tinggal di rumah kebajikan berkenaan bagi membantu penghuninya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

Tan berkata, dia menyara kehidupan dengan mengutip barangan kitar semula sejak 20 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu dia mengamalkan sikap berjimat cermat, suka menabung dan tidak lokek membantu mereka yang dalam kesusahan.


Meskipun begitu, sikap pemurah Tan tidak selalunya membawa kebaikan kepadanya apabila mendakwa pernah beberapa kali ditipu pihak tidak bertanggungjawab yang meminjam wang daripadanya, namun gagal membayar semula sehingga dia kerugian ribuan ringgit.


"Saya tertarik dengan keikhlasan rumah kebajikan ini dalam menjaga kebajikan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) secara percuma tanpa mengira bangsa sekali gus mendorong saya mendermakan semua wang simpanan itu," kata ibu kepada tiga anak itu.

Katanya, dia berhasrat untuk mengajar penghuni rumah kebajikan berkenaan kaedah yang betul mengasingkan barangan kitar semula sekali gus amalan itu boleh memberikan pulangan lumayan kepada mereka dan rumah kebajikan berkenaan.


"Ramai tidak tahu sebenarnya jika diasingkan dengan betul, barangan kitar semula seperti kertas dan plastik boleh dijual dengan harga lebih tinggi dan peluang ini digunakan untuk membantu penghuni di rumah kebajikan ini," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengurus Rumah Kebajikan Warga Emas Sang Riang Jamil Karim berkata, Tan bersama anak angkatnya mengunjungi rumah kebajikan berkenaan beberapa hari lalu untuk menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000.


"Selepas mengetahui latar belakang Tan, saya terkejut dan kagum dengan sikap pemurahnya, malah pihak kami berbesar hati apabila dia menyatakan hasrat untuk tinggal di sini selepas mendapat persetujuan ahli keluarganya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/27

Tiada kaitan pengganas

Posted: 26 Sep 2014 01:43 PM PDT

Langkawi: Polis mengesahkan menemui sebanyak 23 laras raifal bersama peluru dalam dua serbuan di lokasi berasingan dalam tempoh seminggu di Pulau Langkawi, namun tiada sebarang kaitan dengan aktiviti pengganas.

Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata, dalam serbuan itu, polis turut menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Britain berusia 40-an bersama 16 laras raifal termasuk shotgun dan lebih 1,500 butir peluru dalam serbuan di Kampung Belanga Pecah, di sini, pada Rabu lalu.


Sebelum itu, pihak polis turut menahan seorang lelaki warga Afrika Selatan berusia 43 tahun dan teman wanitanya warga Thailand berusia 30-an kerana menjadikan kapal mewah mereka sebagai tempat penyimpanan tujuh laras raifal Benelli Agro buatan Itali dan beratus peluru di Jeti Kuah, di sini, pada 18 September lalu.

Ahmad berkata, penahanan tiga lelaki yang juga pekerja syarikat ejen penghantaran berkenaan dalam tangkapan terbaru pada Rabu lalu itu adalah susulan daripada soal siasat yang dilakukan terhadap sepasang kekasih yang ditahan terlebih dahulu.


Menurutnya, siasatan awal mendapati mereka dipercayai bertindak menyembunyikan kesemua raifal berkenaan selepas menyedari pihak polis melakukan serbuan ke atas bot mewah yang menjadi tempat simpanan senjata api terbabit.


"Kejadian itu tiada kena mengena dengan kegiatan pengganas sebaliknya mereka (syarikat ejen penghantaran) melakukan kesalahan apabila tiada permit atau lesen sementara daripada pihak berkuasa untuk menyimpan senjata api milik kapal dagang.

Foto

AHMAD (kiri) bersama pegawainya menunjukkan senjata api dan peluru yang dirampas.

"Mengikut prosedur, kapal dagang yang ingin berlabuh perlu memiliki lesen sementara untuk menyimpan senjata api dalam tempoh waktu tertentu daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan membawa senjata api berkenaan bersama apabila meninggalkan pulau ini.


"Bagaimanapun, dalam kes ini syarikat terbabit didapati melanggar syarat lesen apabila menyimpan senjata api berkenaan sehingga tamat tempoh permit selain turut dibawa ke darat sekali gus gagal mematuhi prosedur," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi, di sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/27

'Malaysia tolak fahaman pelampau'

Posted: 26 Sep 2014 01:36 PM PDT

New York: Datuk Seri Najib Razak menyifatkan tindakan militan Negara Islam (IS) bertentangan dengan Islam dan kemanusiaan.

Perdana Menteri menegaskan kumpulan itu yang menggelarkan diri mereka sebagai pejuang jihad tidak mewakili Islam sebenar.


"Mereka tidak sepatutnya merujuk diri mereka sebagai negara kerana mereka bukan sebuah negara atau negeri.

"Malaysia sebuah negara Islam yang sederhana dan progresif dan menolak fahaman pelampau," katanya kepada pengurus dana Amerika Syarikat (Amerika) semasa mengadakan pertemuan di sebuah hotel di sini, semalam. Amerika, selepas mendapat sokongan beberapa negara Arab, baru-baru ini melancarkan serangan udara terhadap kumpulan militan di Syria kerana khuatir serangan terhadap Amerika dan kepentingan Barat. IS atau ISIL dilaporkan membunuh orang yang tidak bersalah termasuk memenggal kepala mereka. – BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/27

No comments:

Post a Comment