Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Skuad B-23 negara tumbang di Qingdao

Posted: 10 Sep 2014 11:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Hasrat skuad bawah 23 tahun negara (B-23) untuk mendapat tonik terbaik sebelum beraksi di Sukan Asia Incheon Ahad ini tidak kesampaian apabila tumpas 0-2 pada aksi persahabatan menentang skuad B-23 China di Qingdao, semalam.

Anak buah Datuk Ong Kim Swee itu beraksi baik pada babak pertama apabila mengikat kedudukan 0-0, namun insiden layangan kad merah kepada penyerang Ahmad Hazwan Bakri pada awal separuh masa kedua memberi tekanan kepada mereka hingga dibolosi dua gol.

Ia kekalahan kedua dialami skuad muda negara selepas tumpas 0-1 kepada Yaman di Shah Alam, Sabtu lalu namun bagi Kim Swee, beliau tetap melihat daripada aspek positif dalam aksi pemanas badan terakhir sebelum berlepas ke Incheon esok.

"Memang kita harap dapat mengakhiri persiapan dengan kemenangan, tapi dua kekalahan ini memberi banyak pengajaran kepada pemain supaya mereka sedar apa yang perlu dilakukan pada kejohanan sebenar.

Foto

FADHLI (kanan) galas tugas sebagai kapten.


"Jika dibandingkan ketika menentang Yaman, pasukan ini beraksi lebih baik cuma kita dibolosi selepas kehilangan seorang pemain. Pemain sudah mula faham dengan konsep permainan yang saya mahukan tidak kira dari segi bertahan mahupun menyerang," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.


Pada perlawanan itu, Kim Swee menggandingkan Ahmad Hazwan Bakri bersama Ferris Danial Mat Nasir di bahagian serangan dan menurunkan pemain lebih usia Mohd Nor Farhan Muhammad di posisi sayap kanan.

Kombinasi Brendan Gan dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor juga menjadi di bahagian tengah manakala ketiadaan kapten Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak tidak dirasai pada babak pertama apabila pemain pertahanan Mohd Fadhli Shas, Mohammad Amer Saidin, Zubir Azmi dan Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham berjaya mengekang asakan tuan rumah.

Bagaimanapun aksi skuad B-23 negara terjejas pada separuh masa kedua apabila penyerang Selangor, Ahmad Hazwan diarah keluar padang apabila memijak pemain China sebagai tindak balas selepas dia dikasari.

"Kami bermain dengan sangat baik pada babak pertama dengan bertahan serta melakukan beberapa percubaan bahaya hingga China hanya mampu melakukan satu percubaan.

"Namun pasukan tuan rumah mengambil kesempatan selepas Ahmad Hazwan dikenakan kad merah dengan menjaringkan dua gol," kata Kim Swee.

Skuad B-23 akan berlepas ke Incheon esok bagi mengharungi perlawanan pertama dengan tuan rumah Korea Selatan sebelum menentang Laos dan Arab Saudi bagi kempen Kumpulan A.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Tagih taring muda

Posted: 10 Sep 2014 11:02 AM PDT

Kelana Jaya: Kehadiran semula pemain veteran dalam skuad kebangsaan tidak bermakna ketua jurulatih Dollah Salleh mengabaikan potensi pemain muda yang boleh diserapkan dalam skuad ke Piala AFF, November ini.

Beberapa pemain daripada skuad bawah 23 tahun negara kini berada dalam radar pengendali itu apabila beliau meluangkan masa untuk ke Incheon, Korea Selatan pada 16 September ini untuk menyaksikan anak buah Datuk Ong Kim Swee beraksi di Sukan Asia.

"Saya akan ke Incheon untuk menyaksikan skuad bawah 23 tahun bermain menentang Laos di Sukan Asia pada 17 September. Dalam pasukan itu ada pemain yang tersenarai dalam pasukan saya sebelum ini seperti Aidil (Zafuan Abd Radzak), Zubir (Azmi), Mohd Nor Farhan (Muhammad) dan saya mahu melihat aksi mereka.

"Saya juga mahu melihat pemain lain kerana saya tidak puas menonton permainan mereka ketika menentang Yaman tempoh hari. Saya mahu melihat mereka beraksi di kejohanan sebenar," katanya ketika ditemui selepas sesi latihan skuad kebangsaan semalam.


Dollah memanggil 29 pemain untuk menjalani latihan pusat sebagai persiapan menentang Indonesia di Surabaya Ahad ini bagi perlawanan persahabatan sebelum berdepan Kemboja di Shah Alam pada 20 September.


Dua pemain baru menyertai skuad kebangsaan kelmarin iaitu penyerang Baddrol Bakhtiar dari Kedah dan Bobby Gonzales (PDRM) namun pengendali itu hanya akan membawa 24 pemain bagi aksi pertama itu.

Empat pemain mungkin terpaksa diketepikan akibat kecederaan dan masalah kecergasan iaitu Abdul Manaf Mamat, S Chanturu, Razman Roslan dan Mohd Badhri Radzi, namun mereka masih dalam perancangan Dollah bagi aksi menentang Kemboja.

"Saya tidak menggugurkan terus pemain yang tidak pergi ke Surabaya kerana bercadang menukar pemain bagi perlawanan dengan Kemboja.

"Saya puas hati dengan sesi latihan kali ini kerana berpeluang memilih pemain berbanding ketika menentang Tajikistan sebelum ini," katanya.

Semua pemain akan kembali bersama pasukan masing-masing selepas aksi persahabatan menentang Terengganu pada 24 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Chen Long tertekan?

Posted: 10 Sep 2014 11:01 AM PDT

Kuala Lumpur: Tidak pasti sama ada ia perang psikologi, tetapi kem badminton Malaysia yakin China dan Chen Long berada dalam keadaan tertekan menjelang Sukan Asia 2014 Incheon.

Ia diakui sendiri jurulatih perseorangan negara Tey Seu Bock yang China berada dalam tekanan untuk merebut pingat emas acara berpasukan berikutan aksi hambar di Piala Thomas 2014 New Delhi Mei lalu.

"Dalam acara berpasukan lelaki China pasti tertekan, begitu juga Chen Long selaku pemain perseorangan pertama. Kita lihat siapa yang mampu mengawal tekanan ini," katanya selepas sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Malaysia dijangka bertemu China dalam saingan separuh akhir acara berpasukan lelaki dan selain Datuk Lee Chong Wei (gambar), harapan juga diletakkan kepada perseorangan kedua, Chong Wei Feng.

Foto


"Kita juga harap Wei Feng memperoleh semula keyakinannya, kerana dia pemain yang pakar dalam acara berpasukan.


"Mungkin dia boleh jadi wira sekali lagi seperti Piala Thomas sebelum ini," kata Seu Bock yang mengesahkan perseorangan ketiga masih belum ditentukan antara Goh Soon Huat dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Pada masa sama Seu Bock juga mengakui Chong Wei harus berhati-hati dengan Chen Long agar kesilapan ketika tewas perlawanan akhir Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen tidak berulang.

"Ketika itu China menukar perancangan dengan cepat, pusingan pertama hingga separuh akhir mereka menggunakan strategi sama untuk Chen Long.

"Dulu Lin Dan saja yang boleh menukar perancangan dengan mengejut, kali ini Chen Long pula, tapi sedikit sebanyak kita sudah tahu perancangan mereka menjelang Sukan Asia," katanya.

Chong Wei tidak menghadiri latihan di sebelah pagi semalam kerana gusi bengkak, namun dia kembali berlatih di gimnasium untuk sesi petang.

Malaysia akan bertemu Macau atau Mongolia di peringkat suku akhir acara berpasukan lelaki Sukan Asia 2014 dan selepas itu China menanti mereka di separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Arif tumpu lakar sejarah

Posted: 10 Sep 2014 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemain pilihan ketujuh Kejohanan Indonesia Masters, Mohamad Arif Abdul Latif (gambar) mengetuai kemaraan pemain negara selepas memenangi pusingan pertama di Kompleks Sukan Jakabaring, Palembang, semalam.

Arif tidak berdepan masalah menumpaskan pemain tuan rumah, Briand Christofle 21-23, 21-6, 21-11 untuk mara ke pusingan kedua.

Pemain bebas bernaung di bawah One Badminton Academy itu akan bertemu Huang Chao dari Singapura yang sebelum itu menumpaskan pemain tuan rumah, Julian Arbitama 21-8, 21-15.

"Saya lebih yakin sekarang, tidak ada tekanan langsung dan saya sasar melayakkan diri ke Kejohanan Dunia tahun depan," katanya.

Foto


Pemain berusia 25 tahun itu mensasarkan untuk mara ke suku akhir kejohanan ini, namun jika melangkah ke separuh akhir ia boleh dianggap sebagai bonus.


"Saya mungkin bertemu Sony Dwi Kuncoro pada suku akhir, tapi jika menang ia akan memperbaiki pencapaian 2012 apabila mara ke suku akhir," katanya.

Aksi perseorangan lelaki semalam juga memperlihatkan pemain perseorangan negara, Liew Daren mara ke pusingan kedua selepas menumpaskan pemain tuan rumah, Rajid Patriawan 21-16, 21-16.

Daren yang diletakkan sebagai pilihan kesembilan akan menentang Fikri Ihsandi Hadmadi dari Indonesia yang sebelum itu mengalahkan pemain negara, Chong Yee Han 21-13, 21-13.

Seorang lagi pemain bebas, Zulfadli Zulkiffli turut mara apabila mengalahkan pemain tuan rumah Andrew Susanto, 17-21, 21-11, 21-12.

Pemain pilihan ke-11 itu akan menentang Andrew Smith dari England yang sebelum itu mengalahkan wakil Indonesia, Kaizar Bobby Alexander 21-15, 21-19.

Turut mara Nur Mohd Azriyn Ayub, Soong Joo Ven, Tan Kian Meng dan Soo Teck Zhi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

June Wei idam separuh akhir

Posted: 10 Sep 2014 10:58 AM PDT

Kuala Lumpur: Episod sentiasa tersekat di suku akhir akan cuba dilupakan Chem June Wei yang kini sudah mara ke pusingan ketiga Kejohanan Badminton Remaja Dunia Bawah 19 Tahun 2014.

Semalam June Wei menepati ramalan selaku pilihan utama apabila mengalahkan rakan senegara, Andrew Liw Zheng Zhau di pusingan kedua 11-5, 11-8, 11-1.

"Sebelum ini saya sering terkandas di suku akhir terutama Sukan Olimpik Remaja Nanjing dan Kejohanan Badminton Remaja Dunia.

Saya mahu mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir," kata pemain berusia 17 tahun itu.

June Wei berkata, aksi pusingan kedua semalam biasa saja kerana dia sering bertemu Zheng Zhau pada kejohanan lain dan juga ketika berlatih.

"Status sebagai pemain pilihan utama juga tidak memberi tekanan buat saya.

"Saya bermain seperti biasa dan tidak memikirkan lawan dari negara lain.

"Saya mungkin menentang Lee Jung Su (Korea Selatan) di suku akhir, tapi masih belum fikir mengenai apa yang perlu dilakukan untuk mengalahkannya," kata pemain yang menjadikan Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan sebagai idolanya.

Pada pusingan ketiga hari ini, June Wei akan menentang rakan senegara Soh Wooi Yik yang sebelum itu menumpaskan Tan Vi Hen juga dari Malaysia 10-11, 9-11, 11-9, 11-7, 11-10.

Turut mara ke pusingan ketiga pemain pilihan kedua, R Satheishtharan yang mengalahkan Kang Min Hyuk dari Korea Selatan 11-5, 11-6, 11-4.

Menanti Satheishtaharan di pusingan ketiga pilihan ke-10 dari Taiwan, Chang En Chia yang sebelum itu menumpaskan seorang lagi pemain negara, Tan Teck Han 7-11, 7-11, 11-6, 11-7, 11-6.

Sementara itu dalam acara perseorangan wanita, pilihan pertama Lee Ying Ying dari Malaysia dikejutkan rakan senegara, Desiree Siow apabila tewas 11-6, 9-11, 9-11, 7-11.

Desiree akan bertemu rakan senegara, Eng Sin Jou yang sebelum itu menumpaskan wakil Singapura, Chun Yi Deline Quek 10-11, 11-6, 11-10, 6-11, 11-10.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Nicol teruja

Posted: 10 Sep 2014 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Ratu skuasy negara Datuk Nicol David diberi pengiktirafan selaku pembawa bendera Jalur Gemilang kontinjen negara pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan yang bakal membuka tirainya 19 September ini.

Nicol yang ditemui sebelum turun menjalani latihan semalam mengesahkan perkara itu sambil menganggap peluang diberikan itu penghargaan buatnya yang bakal membuat penampilan kelima di Sukan Asia.

"Saya sudah dimaklumkan mengenai perkara ini.

Ia penghargaan buat saya apabila diberi tugas membawa bendera Malaysia pada majlis perasmian Sukan Asia.

"Lebih manis, ini kali pertama saya diberi tugas selaku pembawa bendera negara di Sukan Asia," katanya.

Nicol berkata, pengiktirafan yang diberikan itu menyuntik motivasi tambahan untuk sekali lagi menjadi penyumbang pingat emas kontinjen negara.

Sekiranya pemain berusia 31 tahun itu merangkul emas kelima di Incheon nanti, dia bakal mencipta sejarah baru selaku atlet negara paling banyak memenangi emas di Sukan Asia.

"Saya tidak pernah terfikir mengenai perkara itu.

Apapun, ia perjalanan karier yang amat menarik untuk saya di Sukan Asia," katanya.

Empat tahun lalu di Sukan Asia 2010 Guangzhou, Nicol meraih emas menerusi acara individu serta berpasukan wanita.

Foto

NICOL bersama Ong Beng Hee (kanan), Delia Arnold dan Ivan Yuen (kiri) ketika sesi latihan di Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Idam padam mimpi buruk

Posted: 10 Sep 2014 10:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Kenangan empat tahun lalu ketika skuad hoki negara hampir mencipta sejarah merangkul pingat emas buat kali pertama di pentas Sukan Asia masih segar dalam ingatan Tai Beng Hai yang menggalas tugas selaku jurulatih bergandingan bersama Stephen Van Huizen.

Ketika itu, Malaysia hanya tinggal selangkah menempah tiket automatik ke Sukan Olimpik 2012 di London sekiranya merangkul emas, namun kekalahan 0-2 kepada Pakistan pada aksi final meranapkan impian skuad negara yang terpaksa berpuas hati dengan perak.

Malaysia juga gagal ke Olimpik selepas gagal melepasi kempen kelayakan di Dublin, Ireland pada 2012.

Kini, Beng Hai yang kembali dalam skuad negara selaku pengurus Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bermula 19 September ini berharap warna perak diraih empat tahun lalu itu akan bertukar menjadi emas sekali gus membolehkan Malaysia layak secara automatik ke Sukan Olimpik Rio 2016 Brazil.

"Walaupun sejak kebelakangan ini kita berdepan banyak isu, saya rasa persiapan ke Incheon tetap berjalan baik.

"Kalau tak silap, kita ada lebih kurang 12 atau 13 pemain 2010 yang mungkin pergi ke Incheon.

Daripada segi pengalaman, mereka sudah ada sebagai bekalan dalam laluan kita untuk menuju ke final.

"Ini pengalaman yang boleh mereka gunakan untuk merancang dan mendapat keyakinan ketika turun beraksi," katanya.

Beng Hai berkata, kualiti saingan di Sukan Asia sememangnya sukar, tetapi beliau yakin dengan semangat untuk ke Rio, setiap pemain akan mencuba yang terbaik.

"Semua negara akan cuba untuk mendapat tiket kelayakan secara terus dengan memenangi emas di Sukan Asia.

"Jika kita beraksi di pusingan kelayakan Liga Dunia, mungkin jauh lebih sukar untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik," katanya.

Foto

PEMAIN hoki negara jalani latihan di Stadium Bukit Jalil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Skuad ragbi kikis imej 'pelancong'

Posted: 10 Sep 2014 10:53 AM PDT

Shah Alam: Selepas mendapat kritikan hebat susulan prestasi di Sukan Komanwel Glasgow, Julai lalu, skuad ragbi negara sekali lagi berdepan cabaran hebat di Sukan Asia Incheon dengan misi untuk mengikis tanggapan sebagai pasukan 'makan angin'.

Lebih memburukkan keadaan, selepas diturunkan kepada Kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM), nasib ketua jurulatihnya Yusli Ramli juga tidak begitu baik apabila direhatkan susulan gagal mencapai sasaran ditetapkan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) untuk satu kejohanan minggu lalu.

Bagaimanapun rentetan insiden negatif berkenaan tidak mematahkan semangat barisan pemain negara yang bertekad merealisasikan sasaran meraih sekurang-kurangnya pingat gangsa pada temasya terbesar di benua Asia berkenaan.

"Kami seboleh-bolehnya mahu mengelak keputusan kurang memberangsangkan di Sukan Komanwel daripada berulang.

Kami mahu membuktikan sesuatu kali ini dan tidak mahu dilabelkan sebagai pelancong," kata pemain negara, Anwarul Hafiz Ahmad.

Mereka ditetapkan sasaran menaiki podium di Incheon dan Anwarul Hafiz tidak melihatnya sebagai sesuatu yang mustahil.

"Ketiadaan jurulatih (Yusli) yang digantikan penolongnya sebelum ini, Nik Safuan Ismade Nik Man, saya lihat tiada sebarang masalah kerana sudah biasa dengan cara dan pendekatannya.


Malah kami sudah memulakan persiapan sejak awal tahun ini, jadi dari aspek persefahaman dalam kalangan pemain, saya rasa kami tidak mempunyai sebarang masalah.

"Berbanding Sukan Komanwel, saingan di Sukan Asia lebih rendah dengan hanya beberapa negara agak dominan seperti Jepun, Hong Kong, Sri Lanka dan Korea Selatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

'Beri saja laluan'

Posted: 10 Sep 2014 10:52 AM PDT

Kuala Lumpur: "Bagi saya, Datuk Ahmad Ismail perlu sedar, jika berkunjung ke rumah orang terlalu lama, walaupun dialu-alukan, beliau perlu tahu bila masanya untuk pulang."

Itu reaksi Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Sembilan (PESTANS) Mohd Zamry Fareed Moh Norden ketika ditanya mengenai pemilihan pucuk pimpinan Persatuan Sepaktakraw (PSM) dijadual berlangsung Sabtu ini.

"Usah terlalu lama pegang jawatan.

Sudah 12 tahun tiada pencapaian dan pembangunan dan sebagai Presiden PSM, beliau perlu melihat perkara ini secara meluas termasuk aspek penajaan, dana, pembangunan, kejurulatihan dan aktiviti yang patut diadakan.

"Namun apa yang saya tengok beliau hanya fokus untuk meraih pingat emas semata-mata sedangkan kalau semua perkara berkenaan dilaksanakan dengan tepat, saya yakin kita akan meraih pingat yang diidamkan itu," katanya.

Zamry yang juga bekas pengurus skuad kebangsaan berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan Ahmad sebagai seorang individu dengan pandangan yang diutarakannya atas dasar menyayangi sukan tradisional itu.

Ahmad yang memegang jawatan itu sejak 2002, kini berdepan tekanan pelbagai pihak susulan kegagalan berterusan skuad kebangsaan di pentas antarabangsa selain tewas kepada beberapa negara yang baru saja berkecimpung dalam sukan tradisi ini seperti Korea Selatan.

Kali terakhir skuad negara meraih emas di Sukan SEA pada 2005 dan kemarau di Sukan Asia sejak 1994 dijangka berterusan di Incheon, Korea Selatan bulan ini.

"Saya tidak mengatakan Ahmad tidak bagus, namun saya berasa bintang dan nasibnya bukan di situ (sebagai Presiden PSM).

Foto


"Kita perlukan pemimpin yang mempunyai jiwa dan kita boleh lihat apa yang dilakukan Mohd Shapian Ali (Presiden Persatuan Sepaktakraw Terengganu) di Terengganu.


Bagi saya, Shapian calon terbaik untuk memimpin PSM.

"Dalam organisasi sukan, mudah untuk kita membuat penilaian.

Orang tidak akan pandang apa yang anda lakukan, namun orang akan lihat pencapaian.

Mungkin lebih baik jika beliau (Ahmad) tidak mempertahankan jawatan," katanya.

Zambry sebelum ini mencetuskan kejutan apabila meletak jawatan kira-kira sebulan sebelum berlangsungnya Sukan Asia Incheon apabila kurang senang dengan sejumlah urusan yang dilakukan di luar pengetahuannya selain campur tangan senarai pemain negara untuk sesuatu kejohanan.

Perebutan jawatan Presiden PSM pada Sabtu ini membabitkan Ahmad menentang Shapian dengan seorang lagi calon, Datuk Akramuddin Abd Aziz (Presiden Persatuan Sepaktakraw Melaka) dijangka menarik diri pada saat akhir bagi merebut jawatan nombor dua.

Seramai 72 perwakilan akan memilih barisan kepimpinan baru PSM untuk penggal 2014-17 pada mesyuarat yang dijadual berlangsung di Johor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

Tak kisah siapa jadi presiden

Posted: 10 Sep 2014 10:50 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas kapten negara Norshahruddin Mad Ghani tidak kisah siapa yang bakal mengisi pucuk kepimpinan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) yang mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), Sabtu ini.

Namun perejam negara itu berharap barisan kepimpinan baru PSM selepas ini mampu merealisasikan kewujudan liga sepak takraw negara bagi memastikan sukan itu tidak terus ketinggalan di pentas antarabangsa.

"Kami sebagai pemain tidak campur tangan siapa bakal pegang jawatan presiden.

Kami hanya menjalankan segala perancangan direncanakan dan menjalankan tanggungjawab seperti diamanahkan, cuma saya berharap liga sepak takraw dapat diwujudkan seperti dirancang.

"Saya difahamkan liga itu akan bermula Oktober dan berharap ia dapat direalisasikan.

Ketiadaan liga ini punca kita ketinggalan kepada Thailand," katanya yang pernah menimba pengalaman di Liga Takraw Thailand (TTL) sebelum ini.

Katanya, kewujudan liga akan membolehkan pemain menimba pengalaman selain menarik minat generasi yang lebih muda untuk bermain sepak takraw.

"Ini yang saya nampak sebagai seorang pemain apabila beraksi di Thailand.


Situasi ini bakal memberikan kesan yang positif, sebab itu kebanyakan pemain mereka tidak gentar untuk berdepan dengan pemain terkenal seperti Pornchai (Kaokaew)," katanya.

Perejam berpengalaman negara itu tersisih daripada skuad Sukan Asia selepas dibayangi kecederaan dan bakal menjalani pembedahan kaki dalam masa terdekat.

Sementara itu saingan Siri Super Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) akan membuka tirai di Myanmar hujung bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/11

No comments:

Post a Comment