Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Belum masanya: Dollah

Posted: 16 Sep 2014 10:27 AM PDT

Kuala Lumpur: "Tunggu dulu, jika nak nilai saya". Itu permintaan ketua jurulatih skuad kebangsaan Dollah Salleh yang masih dalam proses memilih pemain terbaik bagi menghadapi Piala AFF hujung tahun ini.

Dollah yang dilantik mengemudi Harimau Malaya mengalami kekalahan kedua berturut-turut kepada Tajikistan (1-4) dan Indonesia 0-2 pada Ahad lalu.


"Selepas saya umumkan 22 pemain akhir untuk Piala AFF penghujung bulan nanti, silalah nilai prestasi Dollah Salleh," kata bekas pengendali Pahang dan PDRM yang terbang ke Incheon semalam untuk menilai enam pemain dalam skuad bawah 23 tahun negara di Sukan Asia.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilapor melahirkan kekecewaan menerusi laman facebook rasmi Harimau Selatan berhubung prestasi skuad negara, pemilihan pemain dan aksi persahabatan menentang Terengganu.


Ditanya mengenai kritikan terhadapnya di media sosial, Dollah menjelaskan tiada apa yang membimbangkannya kerana beliau belum menyenaraikan senarai akhir 22 pemain untuk menghadapi Piala AFF.


"Saya tidak kisah apa yang dikatakan. Pemilihan pemain (Muslim Ahmad dan Azizon Kadir) berpandukan kepada prestasi dan saya tidak bercakap mengenai pemain yang pernah digantung atau sebagainya. Malah kedua-dua pemain ini belum pasti tersenarai, jadi apa yang mahu dipertikaikan? "Perkara biasa dalam bola sepak, tidak semua orang suka. Kedua-dua pemain sudah memberikan yang terbaik dalam Liga Perdana dan prestasi di Piala Malaysia juga baik. Kenapa mahu singkirkan pemain yang sudah membuktikan kesungguhan mereka di kelab dan mereka juga layak untuk dipertimbangkan. Jika sudah membuktikannya, kenapa saya mahu ketepikan mereka?" katanya.

Foto

ABDUL Manaf Mamat (tengah) ketika sesi latihan disaksikan Dollah pada persiapan menentang Kemboja, Sabtu ini.

Jelas Dollah, beliau hanya akan mengumumkan senarai 22 pemain ke Piala AFF selepas persahabatan menentang Terengganu pada 25 September. Harimau Malaya akan tampil dalam perlawanan persahabatan ketiga di bawah kendalian Dollah menentang Kemboja, Sabtu ini.


"Selepas saya umum senarai berkenaan, jika mahu mencemuh, saya terima," katanya yang diletakkan sasaran melangkah ke final Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Malam epik

Posted: 16 Sep 2014 10:23 AM PDT

Munich: Buat kali kelima dalam tempoh empat tahun, gergasi Eropah Bayern Munich dan Manchester City akan bertemu pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Perlawanan pembukaan Kumpulan E awal pagi esok menyaksikan juara Jerman dan Inggeris itu bertemu di Allianz Arena, Munich, medan menyaksikan kebangkitan City yang ketinggalan dua gol untuk menang 3-2 pada perlawanan terakhir aksi kumpulan Disember lalu.


Bayern muncul pendahulu Bundesliga selepas tiga perlawanan dengan senarai panjang kecederaan menjelang aksi pertama di pentas Eropah.

Pemain tengah Bastian Schweinsteiger, Javi Martinez dan Thiago tersisih kerana kecederaan lutut dan kelab itu berdepan satu lagi masalah apabila Holger Badstuber dikeluarkan kerana kecederaan paha selepas menewaskan VfB Stuttgart 2-0.


Baru-baru ini Badstuber kembali selepas tersisih selama 20 bulan, namun tidak dapat diturunkan kerana kecederaan ligamen kedua-dua belah kakinya dan ketiadaannya membolehkan pemain baru, Mehdi Benatia tampil buat kali pertama di barisan pertahanan awal pagi esok.


Berita positif untuk Bayern adalah kembalinya Franck Ribery selepas masalah lutut. Pemain tengah Perancis itu tampil buat kali pertama musim ini ketika menentang Stuttgart, diturunkan sebagai pemain gantian babak kedua untuk menjaringkan gol kedua Bayern ketika saingan berbaki lima minit.

"Ketika ini kami berada dalam situasi sangat sukar kerana ramai pemain cedera dan ada yang masih belum cergas sepenuhnya," kata Ribery.


"Namun kami cuba untuk memberikan yang terbaik. Kami melakukan segala yang termampu supaya mendapat keputusan baik." Kapten Bayern Philipp Lahm turut bersara daripada bola sepak antarabangsa musim panas ini selepas mengetuai Jerman meraih kegemilangan Piala Dunia. Pemain berusia 30 tahun itu dahagakan lebih kejuaraan sebelum kariernya berakhir, terutamanya di Liga Juara-Juara.

"Saya mahu mendakap trofi sekali lagi, sama ada musim ini atau tiga tahun akan datang," katanya.


"Skuad yang kami miliki ketika ini mempunyai peluang untuk memenangi kejuaraan." City menamatkan rentak 10 perlawanan tanpa kalah Bayern di Liga Juara-Juara pada pertemuan terakhir, namun Xavi Alonso berharap kelab barunya mampu membalas dendam awal pagi esok sebelum berdepan pencabar lain Kumpulan E, CSKA Moscow dan Roma.


"City antara 10 pasukan terbaik di Eropah," katanya. "Namun kami mahu mendapat mata." - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Roma terdesak pamer aksi positif

Posted: 16 Sep 2014 10:22 AM PDT

Milan: Pengendali Roma Rudi Garcia meraikan kepulangan kelabnya ke Liga Juara-Juara dengan menanti kunjungan pasukan yang dibayangi masalah kecederaan, CSKA Moscow di Stadium Olimpik pada aksi pembukaan Kumpulan E.

Kali terakhir Roma berada dalam saingan adalah pada kempen 2010/2011 dengan melangkah ke pusingan kedua dan terdesak untuk memulakan langkah positif sebelum aksi seterusnya menentang dua pasukan utama, Manchester City dan juara Liga Juara-Juara 2013, Bayern Munich.


Walaupun berdepan tugas mencabar, Garcia bersemangat dengan kemampuan pasukannya kembali ke saingan utama pentas Eropah.

"Liga Juara-Juara saingan yang hebat. Saya sudah mengalaminya sebagai jurulatih di Lille," kata Garcia selepas kemenangan 1-0 Roma ke atas Empoli hujung minggu lalu.


"Pemain tidak sabar kembali ke pentas Eropah namun tumpuan kami malam ini di Empoli." CSKA juara Piala UEFA 2005, kehilangan pertahanan Georgi Schennikov, pemain tengah Rasmus Elm dan penyerang Vitinho kerana kecederaan manakala tahap kecergasan pemain tengah, Aleksandrs Cauna masih diragui.


Pemain antarabangsa Russia, Alan Dzagoev dan pemain Sweden, Pontus Wernbloom turut tersisih susulan penggantungan tiga perlawanan selepas dibuang padang musim lalu ketika menentang kelab Republik Czech, Viktoria Plzen. Selepas mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas pasukan baru, Arsenal Tula, pengendali CSKA Leonid Slutsky mengakui pemainnya kurang bermaya selepas beraksi dalam perlawanan antarabangsa.

"Memang sukar untuk beraksi selepas rehat untuk perlawanan antarabangsa," kata Slutsky. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Messi, Neymar makin serasi

Posted: 16 Sep 2014 10:22 AM PDT

Madrid: Salah satu punca yang menyebabkan kegagalan Barcelona memenangi trofi musim lalu adalah tahap persefahaman antara Lionel Messi dan Neymar.

Pemain terbaik dunia empat kali, Messi dan penyerang Brazil, Neymar menghadapi masalah kecederaan pada 2013-14, tetapi apabila kembali cergas, penyokong Barca menjangkakan kedua-duanya mampu menjadi peledak gol yang menghiburkan.


Bagaimanapun, musim ini dijangka berbeza apabila Sabtu lalu mereka berjaya mengalahkan Athletic Bilbao, 2-0 dalam saingan La Liga di tempat sendiri .

Neymar masuk sebagai pemain gantian pada 30 minit akhir di Nou Camp dan menjaringkan dua gol selepas bergandingan mantap bersama Messi yang melakukan hantaran kepadanya.


Ia permulaan cemerlang buat Barcelona musim ini apabila menang semua tiga perlawanan dan tidak melepaskan sebarang gol.


Jurulatih baru Luis Enrique dijangka menurunkan barisan sama apabila Barca menanti kunjungan kelab Cyprus, APOEL dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F, Liga Juara-Juara.

Bekas pemain tengah Barca dan Sepanyol yang pernah membimbing AS Roma dan Celta Vigo, mengambil alih dari Gerardo Martino bertekad memperbaiki aksi musim lalu apabila mereka disingkirkan Atletico Madrid di peringkat suku akhir.


Barca berbelanja besar dalam pasaran perpindahan pemain dengan membawa masuk penyerang Uruguay, Luis Suarez, yang digantung hingga hujung Oktober, pemain tengah Croatia, Ivan Rakitic dan pemain tengah Perancis, Jeremy Mathieu.

Selepas permulaan positif, apabila kelemahan pertahanan yang rapuh musim lalu sudah diperbaiki, mereka berharap mampu mencabar trofi Liga Juara-Juara sekali lagi.


"Setiap tahun sasaran kami mara ke saingan akhir Liga Juara-Juara dan kekalahan di tangan Atletico musim lalu adalah sangat memalukan.


"Kami ingin memenangi trofi ini. Jurulatih sudah memberitahu kami supaya memberi tekanan, mencuri bola dan memegangnya.


"Kami melakukannya dengan baik dan tidak melepaskan sebarang peluang, tetapi masih ada ruang perlu diperbaiki," kata penyerang, Pedro.


APOEL beraksi di peringkat kumpulan buat kali ketiga, mara ke suku akhir pada aksi terakhir Liga Juara-Juara musim 2011-12.


Mereka tidak pernah bertemu Barca dan bakal berdepan satu tugas sukar kerana gergasi Catalan itu hanya tewas sekali dalam 27 perlawanan di tempat sendiri pada kejohanan yang membariskan kelab elit Eropah.


"Barca membina semula rangkaian serangan, tetapi pada masa sama mengekalkan kehebatan bahagian tengah.


"Setakat ini semuanya dilihat amat sempurna buat mereka. Mereka hebat dan sukar untuk ditumpaskan. Bagaimanapun, kami mempunyai pengalaman di Eropah dan yakin mencatat keputusan yang bagus," kata penjaga gol, Urko Pardo. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Schalke lega Costa cedera

Posted: 16 Sep 2014 10:21 AM PDT

London: Ada khabar gembira buat pertahanan Schalke 04 ketika mereka mempersiapkan diri untuk bertemu Chelsea dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara Kumpulan G awal pagi esok apabila penyerang Diego Costa mengalami kecederaan hamstring.

Bagaimanapun, berita buruknya pula ialah walaupun kurang cergas dia masih mampu menjaringkan tujuh gol dalam empat perlawanan pertama untuk kelab barunya itu sejak berpindah dari Atletico Madrid.


Schalke pasti gentar jika Costa boleh diturunkan dalam perlawanan yang berlangsung di Stamford Bridge itu.

Kebanyakan jaringannya termasuk hatrik ketika Chelsea menang 4-2 ke atas Swansea City Sabtu lalu, banyak membantu Chelsea untuk memulakan aksi musim ini dengan cemerlang, berbeza dengan Schalke yang belum mencatat sebarang kemenangan dalam saingan Bundesliga.


Chelsea berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas mengutip 12 mata tatkala Schalke pula berada di zon penyingkiran dengan hanya meraih satu mata dalam tiga perlawanan awal.


Mereka sedar apa yang bakal dihadapi ketika menentang Chelsea terutama selepas tewas 0-3 dalam kedua-dua perlawanan di tempat sendiri dan lawan pada aksi Liga Juara-Juara musim lalu dan prestasi terkini Chelsea dilihat mampu untuk mengalahkan mereka sekali lagi dengan jumlah jaringan sama.

Selepas satu lagi aksi yang mengagumkan Sabtu lalu, Costa adalah pemain pertama sejak 1992 menjaringkan gol dalam empat perlawanan pertama EPL.


Bagaimanapun, aksi cemerlang masih belum dapat membantunya menyesuaikan diri dengan kehidupan di London, tetapi dia sudah semakin serasi di kelab itu.

"Saya belum menyesuaikan diri di London, tetapi cuba untuk mengenalinya dengan lebih dekat.


"Mempunyai bekas rakan sepasukan (Felipe Luis) di sini sangat penting. "Ramires, Willian, Oscar, Cesc Fabregas dan Cesar Azpilicueta juga banyak membantu saya. Saya sangat gembira," kata pemain kelahiran Brazil itu.


Fabregas yang menyertai Chelsea dari Barcelona, juga memulakan aksi dengan cemerlang di Stamford Bridge apabila setiap hantaran dilakukannya menghasilkan gol dalam semua perlawanan disertainya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Zaman gelap QPR

Posted: 16 Sep 2014 10:20 AM PDT

London: Tewas 0-4 di tangan Manchester United bukanlah perkara buruk dialami Queens Park Rangers (QPR) berbanding menentang pasukan kerdil seperti Southport, Forest Green Rovers atau Dover Athletic tahun depan.

Malam kelmarin, QPR sibuk mengekang kemaraan Angel Di Maria di depan 75,000 penyokong di Old Trafford, tetapi musim akan datang, mereka mungkin bermain sambil disaksikan hanya ratusan peminat.


Itulah risiko menanti skuad kendalian Harry Redknapp jika mereka tersingkir ke Liga Bola Sepak selain gagal membayar denda kerana kesilapan dilakukan musim lalu.

Pemilik kelab Tony Fernandes pernah berkata, beliau akan mencabar apa saja denda dikenakan Liga Perdana selain pernah membayangkan beliau tidak akan membayar denda itu.


Namun, jika QPR benar-benar tersingkir, Liga Perdana pasti membuat kajian terperinci terhadap kedudukan kewangan kelab sebelum mengenakan tindakan.


Amaran ke atas QPR dikeluarkan minggu lalu oleh Shaun Harvey, ketua eksekutif Liga Perdana yang bertanggungjawab ke atas 72 kelab dalam tiga divisyen lain di bawah Liga Perdana.

Beliau memberitahu delegasi Konvensyen Soccerex Global di Manchester, jika QPR tersingkir ke liga bawahan dan enggan membayar denda dikenakan, kelab itu mungkin dikeluarkan daripada pertandingan.


Ia akan menyaksikan QPR bakal beraksi di liga kelima, itupun jika bernasib baik.

Bagi United pula, sejak kelab itu diambil alih keluarga Glazer pada 2005, mereka menanggung beban hutang tinggi, tetapi jenama mereka tetap dikenali di seluruh dunia.


Ahad lalu, mereka menurunkan pemain bernilai ratusan juta ringgit termasuk Di Maria yang menyertai kelab itu dari Real Madrid.


Di Maria mempamerkan bakatnya pada aksi sulung di Old Trafford apabila menjaringkan gol pertama dan bersama-sama Daley Blind, mereka memberikan kekalahan ketiga sepanjang empat aksi awal QPR setakat ini.


Pada satu tahap, United dikatakan berhutang £700 juta pound (RM3.6 bilion) walaupun angka terbaru dikeluarkan minggu lalu menyebut hutang kelab itu hanya £342 juta (RM1.7 bilion).


Untuk mengatasi masalah itu, United mengikat perjanjian bernilai AS$559 juta (RM1.8 bilion) dengan General Motors, sekali gus membolehkan logo Chevrolet terpampang di jersi mereka selama tujuh musim.


Walaupun QPR masih belum didapati salah, ancaman Harvey sangat meresahkan.


"Secara teori, QPR boleh berdepan penyingkiran, tetapi saya harap akan ada jalan penyelesaian terbaik," katanya. "Namun ia hanya satu kemungkinan." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

West Ham, Hull City kongsi mata

Posted: 16 Sep 2014 10:19 AM PDT

London: Gol sendiri Curtis Davies memberikan West Ham United satu mata selepas Hull City mendahului dua kali ketika kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, kelmarin.

Gol pada kemunculan pertama Abel Hernandez dan Mohamed Diame untuk Hull ketika bertemu bekas majikan mereka, dinafikan pada babak kedua oleh Enner Valencia serta gol sendiri Davies.


Hernandez yang tiba dari kelab Itali, Palermo memulakan aksi pertama bersama tuan rumah dengan tandukan cantik hasil hantaran lintang Ahmed Elmohamady pada minit ke-39.

Penyerang Ecuador Valencia, menyamakan kedudukan buat West Ham pada minit ke-50 menerusi rembatan jauh, sekali gus membuatkan penyokong tuan rumah terdiam.


Kegembiraan kembali terpancar apabila kapten Senegal Diame mengambil kesempatan daripada kesilapan pertahanan lawan untuk menjaringkan gol kedua.


Begitupun, kegembiraan tuan rumah tidak bertahan lama apabila pemain pertahanan Davies secara tidak sengaja menampan rembatan Diafra Sakho ke gawang sendiri tiga minit kemudian dan keputusan itu menyaksikan skuad bimbingan Sam Allardyce hanya mengumpul empat mata setakat ini.

"Agak meresahkan saya apabila ketinggalan dua kali terutama apabila mereka menjaringkan gol kedua apatah lagi penjaring itu adalah bekas pemain kami," kata Allardyce.


"Namun kami menunjukkan karektor dan saya rasa itulah yang membezakan kedua-dua pasukan. Kami menghormati lawan serta mata yang kami peroleh. Pemain mempamerkan aksi membanggakan dan saya yakin persembahan kami lebih mantap selepas semua pemain sudah serasi nanti." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Trofi hatrik!

Posted: 16 Sep 2014 10:18 AM PDT

Sungai Petani: Bangkit daripada permainan kurang bermaya, pasukan bawah 18 tahun lelaki SMK Bedong akhirnya mengesahkan juara hatrik Pesta Bola Baling Kuala Muda/Yan (KMY) 2014 di padang SMK Sungai Layar, Sungai Petani, baru-baru ini.

Sekolah itu mula menunjukkan kehebatan sejak 2011 dan setahun kemudian mereka terus menggenggam juara daerah KMY dan legasi itu diteruskan hingga tahun ini.


Guru jurulatih S Gunasegaran berkata, kejuaraan itu dimiliki selepas pemainnya terpaksa berhempas-pulas menewaskan pasukan lain untuk muncul pemenang.

"Saingan kali ini juga cukup hebat hingga kami terpaksa menukar taktik beberapa kali.


"Cukup sukar mempertahankan kejuaraan, namun hasil komitmen semua pemain, SMK Bedong kekal juara," katanya.


Pada perlawanan pusingan awal, SMK Bedong menewaskan SMK Bandar Sungai Petani, 3-2 menerusi balingan penalti selepas kedudukan terikat 1-1.

Belajar daripada kelekaan itu, mereka menggandakan fokus dan hasilnya menang besar ke atas SMK Pengkalan Lebai Man, 5-2 di suku akhir.


Pada separuh akhir, pemain SMK Bedong dipaksa mengerah keringat kerana lawan mereka, SMK Guar Chempedak memberi tentangan sengit sebelum membenarkan mereka menang 3-2.

"Kami hampir melupakan aksi final, tetapi semangat yang kembali meresap sebaik babak kedua bermula menjadikan pemain kekal fokus dan akhirnya menang tipis.


"Kemenangan itu membolehkan kami bertemu tuan rumah, SMK Sungai Layar di final dan kemantapan posisi kami teruskan dalam aksi ini," katanya yang dibantu Razali Md Nordin, Nor Raida Awang, Fazilah Hassan dan Penolong Kanan Kokurikulum SMK Bedong, Che Ros Awang, .


Gunasegaran berkata, selepas belajar daripada kesilapan, pemain SMK Bedong akhirnya merealisasikan merangkul kejuaraan hatrik menerusi kemenangan mutlak 4-1.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Norrobiatun julang imej hoki SSTMI

Posted: 16 Sep 2014 10:17 AM PDT

Ipoh: Sekolah Sukan Tengku Mahkota Tengku Ismial (SSTMI) muncul juara Kejohanan Hoki Sekolah Raja Perempuan (RPS) Ipoh 9'S berakhir di Stadium Azlan Shah, baru-baru ini.

Jaringan Norrobiatun Norhisham enam minit sebelum tamat membantu SSTMI menumpaskan UiTM, 2-1 untuk muncul juara kejohanan edisi kedua itu. Pada perlawanan itu, SSTMI mendahului melalui jaringan Nur Syuhada Suhaimi pada minit ketiga, tetapi gagal menambah jaringan hingga babak pertama berakhir.


UiTM bangkit pada separuh masa kedua apabila menyamakan kedudukan menerusi Fatin Nurafiqah Mohd Fadzil.

Impian UiTM musnah apabila Norrobiatun melakukan tindakan pemusnah meledak jaringan bagi membolehkan SSTMI muncul pemenang. Mereka juga menggondol anugerah 'pemain terbaik kejohanan' melalui Nur Syahira Mohd Yazid.


SSTMI mara ke final selepas menundukkan pasukan Projek Alpha, 2-0 manakala UiTM mengatasi Terengganu B, 1-0 di separuh akhir.


Begitupun Terengganu B menebus kekecewaan dengan menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Projek Alpha, 2-0. Pasukan Pantai Timur itu turut memenangi anugerah penjaring terbanyak melalui pemainnya, Nurul Ain Adila Muhammad Asmadi.

Manakala Projek Alpha juga tidak pulang tangan kosong apabila penjaga gol, Mashitah AB Khalid dinobat penjaga gol terbaik.


Pasukan tuan rumah, RPS Bravo B pula muncul pasukan terbersih apabila memenangi anugerah 'fair play'.

Sebanyak 22 pasukan daripada 16 sekolah menyertai kejohanan khusus untuk sekolah kluster, Sekolah Bantuan Penuh (SBP) dan Sekolah Sukan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

Habuan lumayan nanti peniaga

Posted: 16 Sep 2014 10:17 AM PDT

Temerloh: Kejohanan Harian Metro Mountain Bike (MTB) Grand Prix Cuti-Cuti 1Malaysia 2014 pasti memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha ikan patin ini apabila peserta dan peminat sukan lasak itu bakal 'berkampung' pada 27 September ini.

Laluan trek sepanjang 40 kilometer (km) bermula dari Stadium Temerloh akan melalui beberapa perkampungan sekali gus memberikan peluang perniagaan kepada pengusaha ikan berkenaan.


Peserta dan pengunjung pasti sudah sedia maklum dengan jolokan nama Temerloh sebagai 'Bandar Ikan Patin' dan tidak akan melepaskan peluang mendapatkan ikan patin segar untuk dibawa pulang.

Pemilik Patin Buluh Kampung Pangsenam, Ahmad Ridzuan Zainudin (gambar), 32, berkata, kejohanan itu adalah peluang keemasan baginya dan pengusaha ikan patin lain untuk meraih pendapatan lebih berbanding hari biasa.


"Saya fikir peserta dan ahli keluarga mereka pasti akan mengambil peluang ini untuk mendapatkan ikan patin sangkar segar daripada kami.


"Sepanjang kampung Pangsenam saja, terdapat kira-kira tujuh gerai pengusaha ikan patin dan jadi tiada masalah bagi mereka untuk membeli ikan yang terkenal di Temerloh ini," katanya yang turut menjual ikan sungai lain seperti talapia. Pemilik Patin Sangkar Bujul Aizun Zainuddin, 40, berkata, dia menjangkakan pelanggan yang datang ke gerainya akan bertambah memandangkan kejohanan itu berlangsung pada hari minggu.

Foto

GERAI perniaga ikan patin dan tilapia di sepanjang jalan Kampung Pangsenam.

"Biasanya hari minggu dan cuti umum, saya bersama pekerja memang tidak menang tangan melayan pelanggan, lebih-lebih lagi jika ada program seperti ini.


"Pelanggan yang datang pada hari kejohanan itu nanti tidak perlu risau kerana mereka boleh memilih ikan sungai lain seperti talapia dan baung serta udang galah pada harga berpatutan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/17

No comments:

Post a Comment