Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


12 CCTV kawal premis barang jenama tiruan

Posted: 23 Sep 2014 12:26 PM PDT

Kuala Lumpur: Bimbang diserbu pihak berkuasa menyebabkan seorang pemilik premis pemborong barangan tiruan memasang 12 kamera litar tertutup (CCTV) di sekeliling premis miliknya.

Tindakan itu bagaimanapun gagal menghalang tindakan sepasukan anggota Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Putrajaya yang menyerbu premis itu di Jalan Haji Taib di sini, jam 12 tengah hari semalam.


Siasatan mendapati pemilik premis berusia 50-an itu seolah-olah tidak pernah serik walaupun pernah diserbu pihak berkuasa berulang kali.

Ketua operasi Nazrullhisham Hamudi Ismail berkata, serbuan dilakukan selepas pihaknya melakukan intipan berdasarkan aduan diterima daripada wakil cap dagang produk jenama tulen yang dipalsukan itu.


Menurutnya, sebanyak 6,700 pelbagai barangan jenama terkenal tiruan yang dijual secara pukal di premis terbabit dirampas dalam serbuan mendadak itu.


"Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjual pelbagai jenis dompet, tali pinggang dan topi berjenama tiruan antaranya Adidas, Levis dan Louis Vuitton.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa merampas tali pinggang berjenama tiruan di sebuah premis di Jalan Haji Taib.

"Siasatan awal mendapati semua produk tiruan itu dipercayai dijual kepada peniaga kecil-kecilan di sekitar Lembah Klang," katanya.


Menurutnya, nilai barang tiruan yang berjaya dirampas dalam serbuan itu dianggarkan berjumlah lebih RM50,000 berdasarkan harga pasaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Sehidup semati

Posted: 23 Sep 2014 12:20 PM PDT

Shah Alam: Sepasang suami isteri maut selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang besar berdekatan Pasar Basah Seksyen 6, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, mangsa, Abdul Manan Mohamed Noh, 70-an, meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya yang hanya dikenali sebagai Zabedah, juga berusia 70-an, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, sejam selepas kejadian.


Harian Metro difahamkan, mangsa yang memandu Kia Spectra berwarna hitam itu dipercayai mengalami kekejangan kaki lalu tertekan pedal minyak menyebabkan kenderaan berkenaan hilang kawalan.

Kereta mangsa melanggar pagar penghadang di kawasan tempat letak kereta pasar berkenaan sebelum terjunam ke dalam longkang besar sedalam kira-kira lima meter.


Anak mangsa yang berada di lokasi kejadian bagaimanapun enggan ditemu bual, namun melahirkan rasa terkilan kerana bapanya masih memandu kereta walaupun dia sudah menyorokkan kunci kereta terbabit.


Seorang penjual buah yang hanya ingin dikenali sebagai Jamaluddin, 62, berkata, dia menyedari kejadian itu selepas terdengar dentuman kuat dari arah longkang besar terbabit.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia melihat mangsa seperti kurang sihat dan menggeletar ketika keluar daripada petak letak kenderaan.


"Beberapa minit selepas itu, saya terdengar bunyi dentuman kuat dan melihat kereta dipandu mangsa sudah terjunam ke dalam longkang," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Deputi Superintendan Goh Lee Shen berkata, mayat dihantar ke HTAR untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.


"Isteri mangsa cedera parah dan dikejarkan ke hospital sama namun meninggal dunia di sana," katanya yang dihubungi semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Pelajar Yaman pulang ke rumah

Posted: 23 Sep 2014 12:17 PM PDT

Kuala Lumpur: Gencatan senjata antara kumpulan pemberontak Houthi dan kerajaan Yaman sejak dua hari lalu diambil kesempatan penuntut rakyat Malaysia kembali ke penempatan asal untuk mengambil dokumen penting mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Pelajar Malaysia Yaman (PERMAYA) Md Irham Nori Abidin berkata, suasana aman itu juga membolehkan mereka menjalankan aktiviti harian seperti biasa.


"Keadaan tenang ini diharap berterusan namun langkah berjaga-jaga tetap diambil sekiranya keadaan kembali bergolak.

"Kebanyakan pelajar pulang ke penempatan di kawasan Street 30 untuk mengambil dokumen dan barangan peribadi sebelum pulang semula ke penempatan di kawasan Diplomat Hadda, Sanaa kerana masih bimbang dengan keselamatan yang masih belum terjamin," katanya.


Menurutnya, sepanjang tempoh berada di penempatan khas itu pelajar terus menerima bekalan kewangan dan makanan termasuk daripada kerajaan Malaysia. Harian Metro sebelum ini melaporkan seramai 440 orang iaitu 357 lelaki, 45 wanita dan 33 kanak-kanak ditempatkan di penempatan khas selepas berlakunya tunjuk perasaan dan pertempuran antara kumpulan pemberontak Houthi dengan kerajaan.


Pertempuran itu menyebabkan pengajian elajar ditangguhkan berikutan semua universiti ditutup.

Sementara itu, Setiausaha Akhbar Wisma Putra Datin Nirvana Jalil Ghani dalam satu kenyataan berkata, setakat ini keadaan rakyat Malaysia di Yaman berada dalam keadaan selamat dan ditempatkan di kediaman sementara yang disediakan pihak kedutaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Wanita ganas rempuh 4 kereta

Posted: 23 Sep 2014 12:16 PM PDT

Kuala Lumpur: Bimbang diberkas polis menyebabkan seorang wanita bertindak agresif memecut kenderaan sebelum melanggar empat kereta berhampiran Jinjang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian jam 3 petang, suspek berusia 32 tahun yang memandu kenderaan curi Honda CRV cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran kereta peronda polis.

Bagaimanapun tindakan pantas polis berjaya menahan suspek bersama seorang lagi remaja perempuan berusia 17 tahun di dalam kenderaan itu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, kejadian bermula apabila anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan itu melihat kenderaan dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan.


Menurutnya, suspek dilihat berhenti di hadapan sebuah sekolah di Jinjang, di sini, sebelum seorang remaja perempuan berusia 17 tahun membuka pintu untuk masuk ke dalam kenderaan itu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Penunggang maut tercampak atas jalan

Posted: 23 Sep 2014 12:15 PM PDT

Kulim: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kereta Perodua Myvi di Jalan Perdagangan, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.50 malam, mangsa Mohamad Nizam Jamari, 23, dari Taman Impian Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan dari arah Keladi menuju ke Taman Selasih, di sini, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala dan badan.


Difahamkan, kenderaan berkenaan bertembung secara bertentangan menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter ke atas jalan manakala motosikal mangsa terlekat di bawah kereta terbabit menyebabkan kedua-dua kenderaan itu remuk.

Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Abdullah Arshad berkata, mangsa dalam perjalanan dari arah Keladi menuju ke Taman Selasih manakala kereta Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 22 tahun yang berasal dari Taman Serai Wangi, Padang Serai datang dari arah Taman Selasih untuk membelok ke kanan jalan.


"Ketika pemandu kereta terbabit hendak membelok ke kanan di simpang berkenaan, tiba-tiba motosikal itu bertembung secara bertentangan menyebabkan mangsa tercampak kira-kira 10 meter ke atas jalan manakala motosikal mangsa terlekat di bawah kereta terbabit.


"Akibat kemalangan itu, mangsa parah di kepala dan badan maut di tempat kejadian.

Mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kulim (HK) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarganya," katanya ketika dihubungi, semalam.


Abdullah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dalam keadaan cuai.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

No comments:

Post a Comment