Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Harga murah peras wang

Posted: 01 Sep 2014 12:18 PM PDT

Kuala Lumpur: Sekumpulan peniaga samseng dikesan memasang jerat dengan menawarkan telefon pintar pada harga serendah RM599 sebelum mangsa dipaksa membuat bayaran tambahan mencecah RM1,500.

Bayaran tambahan berkenaan kononnya perlu dibayar mangsa sebagai pakej bayaran perisian, antivirus, pelan Internet, ganti rugi dan pelbagai kos tersembunyi yang sebelum itu tidak dinyatakan pada mangsa.

Lebih buruk lagi, ada antara pelanggan yang mendakwa pernah diserang beberapa samseng daripada kumpulan terbabit kerana tidak mahu membayar duit tambahan diminta.

Sumber Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur berkata, kumpulan jurujual telefon pintar itu yang bergerak aktif di beberapa pusat beli-belah menggunakan strategi membuat promosi jualan tidak masuk akal.

Foto


Katanya, kumpulan itu menawarkan telefon pintar model terbaru pada harga jauh lebih murah dari pasaran.


"Sebagai contoh telefon pintar model Samsung S4 pada harga RM599 padahal harga sebenar sekitar RM1,499.

"Selepas pelanggan berminat dan membayar harga telefon itu, mereka akan menunjukkan belang dengan meminta pembeli membuat bayaran tambahan RM1,000 hingga RM1,500 kononnya untuk bayaran perisian, antivirus, pelan Internet, ganti rugi dan sebagainya," katanya.

Menurutnya, pembeli yang mahu membatalkan niat membeli telefon pintar berkenaan bagaimanapun akan ditunjukkan rekod pada komputer bahawa urusan pembelian itu sudah didaftarkan dan tidak boleh dibatalkan.

Katanya, pelanggan yang berkeras mahu membatalkan pembelian mereka hanya dibenarkan mendapat pengembalian 20 peratus dari wang dibayar.

"Mereka langsung tidak menyatakan bayaran tambahan sebelum menjual telefon pintar terbabit dan lebih mengejutkan apabila telefon bimbit itu adalah model tiruan," katanya.

"Dari pemerhatian, setiap premis itu akan sentiasa menukar pekerja setiap bulan mungkin bagi mengelakkan pelanggan datang untuk menuntut ganti rugi dengan hanya mendakwa tidak tahu menahu mengenai perkara itu dan pekerja terbabit juga sudah menghilangkan diri," katanya.

Menurutnya, kebanyakan sasaran kumpulan ini adalah orang berpendapatan rendah, pekerja asing dan pelancong asing.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan tawaran harga yang jauh lebih murah dari harga pasaran semasa.

Katanya, pastikan terlebih dahulu ketulenan telefon bimbit berkenaan dan pakej yang ditawarkan sebelum membuat pembayaran.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

'Suntikan vaksin' kebas barang kemas

Posted: 01 Sep 2014 11:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Seorang wanita licik dikesan berkeliaran menyamar sebagai kakitangan jabatan kesihatan bertujuan memperdaya pekerja warga asing dengan taktik memaksa mangsa mendapatkan suntikan di hospital.

Dalam kejadian terbaru, empat pekerja wanita warga Indonesia menjadi mangsa apabila diperdaya sebelum semua barang kemas dan wang milik mereka dilarikan wanita terbabit.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ati, 32, berkata, kejadian berlaku ketika dia dan empat rakan lain sedang bekerja di kedai makan berhampiran Taman Sri Rampai di sini, sekitar jam 3 petang kelmarin.

Menurutnya, seorang perempuan yang dikenali sebagai mak cik tiba-tiba muncul dengan menaiki sebuah kereta di kawasan itu.

"Mak cik berkenaan yang kerap datang ke pasar sebagai pelanggan kemudian mengarahkan saya dan empat rakan lain bersiap sedia untuk mengikutnya ke hospital.

"Wanita itu mendakwa kami perlu berjumpa doktor dan mendapatkan suntikan vaksin bagi membolehkan kami bekerja di negara ini.

Dia memberitahu kami boleh dikenakan tindakan dan ditangkap pihak berkuasa sekiranya masih gagal mendapatkan suntikan," katanya.

Dia berkata, mereka kemudian dibawa menaiki sebuah kereta milik wanita itu sebelum dibawa ke sebuah klinik di Jalan Ipoh, di sini.

"Sebaik tiba di hadapan klinik itu, wanita itu mengarahkan kami menanggalkan semua barang kemas dan mengeluarkan semua wang tunai serta telefon bimbit dibawa.

"Dia kemudian mengarahkan kami mengumpulkan semua barangan itu dan meletakkannya ke dalam beg tangan milik seorang rakan saya bernama Winda," katanya.

Menurutnya, wanita itu memberi alasan semua barang kemas itu tidak boleh dibawa ketika membuat pemeriksaan doktor.

"Kami diarah masuk ke dalam klinik.

Bagaimanapun kami menyedari ditipu apabila wanita terbabit menghilangkan diri.

"Kejadian itu menyebabkan kami kerugian cincin dan subang emas, wang tunai, empat telefon bimbit dan pelbagai barangan berharga lain berjumlah lebih RM2,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Kendong anak ke akhir hayat

Posted: 01 Sep 2014 11:53 AM PDT

Manjung: Hasrat seorang lelaki mengutip duit sewa rumah bertukar tragedi apabila dia bersama dua anak berusia lima dan tujuh tahun maut apabila motosikal ditunggang dirempuh sebuah kereta ketika dalam perjalanan pulang di Batu 6, Lekir, di sini lewat malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa dikenali sebagai Suhaini Abu Samat, 39, yang menunggang motosikal bersama dua anak lelakinya maut selepas tercampak ke laluan bertentangan sejurus kenderaan mereka dirempuh dari belakang.

Mangsa yang bekerja sendiri, bersama dua anaknya, Mohamad Kuzaimy, tujuh tahun dan Haikal Firdaus, lima tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut adik mangsa, Rosnita Abu Samat, 32, abang dan dua anak saudaranya itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Sungai Limau, Kampung Pasir Pandak, di sini, selepas mereka ke rumah arwah ibunya di Taman Keris Batu 6.

Foto

KEMALANGAN maut yang melibatkan tiga beranak di Batu 6 Lekir, Manjung.

Foto

KERETA yang merempuh mangsa diterbalikkan orang ramai.


"Arwah abang dan anaknya ke rumah arwah ibu kami yang disewakan kepada orang lain untuk mengutip duit sewa rumah.


"Mereka tiga beranak keluar selepas Isyak dan apabila tiba di sana penyewa tiada di rumah, lalu mereka bergerak pulang semula ke rumah di Sungai Limau.

"Malangnya, dalam perjalanan pulang itu mereka terbabit kemalangan dan kami dimaklumkan tiga beranak itu meninggal dunia di tempat kejadian,"" katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Seri Manjung, di sini, semalam.

Rosnita berkata, hubungan Allahyarham bertiga begitu rapat dan anak saudaranya begitu manja dengan arwah abangnya sejak kematian ibu mereka dua tahun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

4 dekad nikah hilang begitu saja

Posted: 01 Sep 2014 11:48 AM PDT

Georgetown: Seorang suami resah apabila isteri menjadi teman hidup sejak 40 tahun lalu hilang tanpa dikesan hampir sebulan lalu selepas keluar dari rumah mereka di Taman Teluk Indah, Prai di sini.

Anak saudara mangsa, Muhammad Ubaidullah Othman, 23, berkata ibu saudaranya Zainab Ali, 60, disedari hilang jam 8 pagi, 4 Ogos lalu selepas keluar dari kediamannya itu.

Ketika itu Zainab, disangka pulang semula ke rumah kerana keluar dalam keadaan sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang wang tunai, dokumen pengenalan diri dan pakaian.

Keadaan itu menyebabkan bapa saudaranya Abdul Aziz Akil, 65, terlalu rindu serta bimbang dengan keselamatan isterinya itu.

"Kami tidak tahu apakah tujuan ibu saudara saya keluar kerana tidak meninggalkan sebarang pesanan ke mana destinasinya, ketika itu dia bersahaja terus berjalan meninggalkan rumah dalam keadaan sehelai sepinggang.

"Saya pelik dengan apa yang berlaku kerana, beberapa hari sebelum hilang, ibu saudara saya tidak menunjukkan sebarang gelagat aneh dan semuanya berjalan seperti biasa," katanya.

Muhammad berkata, dia dan ahli keluarga berusaha mengesan Zainab dengan mencari wanita itu di kawasan berhampiran namun tidak membuahkan hasil.

Mereka yang hampir berputus asa selepas gagal mengesan Zainab, bercadang mendapatkan bantuan pakar rawatan tradisional dalam usaha mencari wanita berkenaan.

"Pasangan itu mempunyai dua anak perempuan berusia 30 dan 35 tahun turut tinggal di rumah sama.

Ibu saudara biasanya akan membantu suaminya di warung mereka di Prai dan kadang-kadang menjaga dua cucunya," katanya.

Katanya, Abdul Aziz turut membuat laporan sehari selepas Zainab hilang di Balai Polis Prai, namun hingga kini belum mendapat maklum balas daripada pihak berkuasa.

Orang ramai mempunyai maklumat mengenai Zainab Ali diminta menghubungi Abdul Aziz di talian 0164841334 atau balai polis yang berdekatan.

Foto

MUHAMMAD Ubaidullah menunjukkan gambar ibu saudaranya yang hilang sejak sebulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

Pekerja berang lambat terima gaji samun penyelia

Posted: 01 Sep 2014 11:46 AM PDT

Kota Kinabalu: Akibat berang berikutan lambat dibayar gaji, sekumpulan buruh binaan bukan saja bertindak mengikat penyelia, malah melarikan wang gaji berjumlah RM17,000, dalam kejadian di sebuah restoran makanan di Jalan Lintas Pendek, di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 petang, penyelia berusia 35 tahun dikatakan sedang mengagihkan gaji pekerja di sebuah kedai kopi, sebelum didatangi sekumpulan pekerja dipercayai untuk menuntut gaji mereka.

Bagaimanapun, mangsa terpaksa menangguhkan bayaran gaji seorang daripada suspek memandangkan dia mengalami masalah kehadiran termasuk tidak bekerja sejak beberapa hari lalu.

Berikutan itu, suspek berusia 50 tahun tidak berpuas hati lalu bertindak menyerang mangsa dan dibantu beberapa rakannya.

Suspek dikatakan bertindak mengikat mangsa, namun berlaku pergelutan dengan pekerja lain sebelum kumpulan pekerja itu berjaya melarikan diri bersama wang gaji pekerja milik majikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Superintendan M Chandra berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan polis kemudian menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di Jalan Lintas, di sini, jam 3.55 petang, kelmarin.

"Siasatan awal mendapati suspek pekerja di tempat mangsa dan didapati tidak hadir bekerja sejak beberapa hari yang lalu.

Pada Sabtu lalu, ketika mangsa mengagihkan gaji pekerja, suspek dan beberapa rakan yang lain datang menuntut gaji mereka.

"Memandangkan suspek mempunyai masalah kehadiran, gaji suspek akan diberi pada hari Selasa menyebabkan suspek tidak puas hati lalu bertindak mengeluarkan tali untuk mengikat mangsa.

"Ketika itu berlaku kekecohan kerana rakan mangsa cuba membantu sebelum suspek dan rakannya melarikan diri bersama-sama wang gaji pekerja dianggarkan RM17,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/02

No comments:

Post a Comment