Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Sejarah Nicol

Posted: 23 Sep 2014 10:57 AM PDT

Incheon: Banyak sejarah dicipta ratu skuasy negara Datuk Nicol David di bumi Incheon, semalam.

Dia muncul atlet pertama negara meraih lima pingat emas Sukan Asia selepas menewaskan rakan karib Low Wee Wern 9-11, 11-5, 11-6, 12-10 pada final individu wanita di Gelanggang Skuasy Yeorumul.

Juara dunia tujuh kali itu mengatasi rekod empat emas yang dikongsinya sebelum ini bersama bekas bintang olahraga Tan Sri M Jegathesan, bekas pemain badminton Datuk Ng Boon Bee dan pemain bowling veteran Shalin Zulkifli.

Malah dia berpeluang menambah pingat emas keenam dalam acara berpasukan wanita yang bermula hari ini.

Foto

NICOL (depan) benam cabaran Wee Wern.


Lebih mengujakan, Nicol tidak menolak kemungkinan dia akan terus bertanding pada temasya 2018 di Jakarta.


"Tengoklah keadaan nanti. Saya mahu terus bermain, tapi masih terlalu awal memikirkan mengenainya lagipun saya perlu berada pada tahap dan prestasi terbaik. Jika saya masih bagus, saya akan terus beraksi," kata pemain nombor satu dunia berasal dari Pulau Pinang itu.

Nicol hanya kalah sekali pada perlawanan penentuan emas individu di tangan Rebecca Chiu dari Hong Kong pada temasya Busan 2002. Dia turut membantu skuad negara memenangi emas berpasukan di Guangzhou empat tahun lalu.

"Saya berasa hebat memenangi pingat emas kelima. Saya tidak tahu ia satu rekod dan saya tidak memikirkan mengenainya langsung," jelas Nicol, 31.

"Saya hanya fokus terhadap perlawanan ini, tapi saya amat gembira meraih emas kelima dan perlu kembali memberi tumpuan terhadap acara berpasukan."

Lima pingat emas itu bermakna Nicol muncul pemain skuasy paling berjaya dalam sejarah Sukan Asia sejak kali pertama dipertandingkan di Bangkok 1998.

Wee Wern, pemain nombor dua negara berusia 23 tahun, hampir menundukkan Nicol dalam pertemuan ke-12 antara kedua-duanya.

"Ia mungkin perlawanan terbaik saya menentangnya," ujar Wee Wern, yang memenangi pingat gangsa individu di Guangzhou.
Dalam acara individu lelaki, Malaysia meraih pingat gangsa menerusi Ong Beng Hee yang tumpas kepada pilihan utama Saurav Gosal pada separuh akhir kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Helah menjadi

Posted: 23 Sep 2014 10:53 AM PDT

Incheon: Pelumba berbasikal negara Azizulhasni Awang berjaya dengan taktik memperdayakan lawannya sebelum melangkah ke separuh akhir acara pecut lelaki pada temasya Sukan Asia Incheon, hari ini.

Jaguh keirin berusia 26 tahun itu kini berpeluang mengulangi kejayaannya memenangi acara itu pada Kejohanan Asia di Astana, Kazakhstan Mei lalu.

Pada perlumbaan suku akhir di Velodrom Antarabangsa Incheon semalam, dia mudah menjinakkan pelumba tuan rumah, Im Chae Bin 2-0 dalam dua perlumbaan dengan catatan 10.567 dan 10.376 saat.

Azizulhasni akan bersaing dengan pelumba Jepun, Tomoyuki Kawabata yang terdahulu menyingkirkan Xu Chao dari China 2-0 pada aksi separuh akhir, hari ini.

Foto

AZIZULHASNI bijak menewaskan pelumba tuan rumah, semalam.


"Saya perlu mengekalkan prestasi sebegini jika mahu memenangi perlumbaan esok (hari ini).


"Pada masa sama, saya perlu hati-hati dengan lawan kerana pelumba Korea Selatan dan Jepun sudah biasa dengan keadaan trek ini dan mereka mempunyai kelebihan," katanya.

Pemenang perak acara keirin wanita, Fatehah Mustapa turut memastikan tempat ke suku akhir acara pecut hari ini selepas menduduki tangga kelima pusingan kelayakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Lee Yang tiada 'ong'

Posted: 23 Sep 2014 10:50 AM PDT

Incheon: Peserta wushu negara, Lee Yang nyata belum bertuah apabila gagal meraih sebarang pingat pada penampilan Sukan Asia ketiganya.

Atlet berusia 30 tahun itu sekadar menduduki tangga kelima acara taijiquan-taijijiam dengan 19.14 mata di Gimnasium Ganghwa Dolmens, semalam.

Bagaimanapun, pencapaian juara dunia taijiquan 2009 itu lebih bagus berbanding Doha 2006 apabila dia menghuni tangga kelapan dan ke-11 di Guangzhou.

Awalnya, peserta berasal dari Perak itu berada dalam kedudukan mengutip pingat selepas berkongsi kedudukan ketiga bersama Nguyen Tanh Tung dari Vietnam dan Hsiao Yung Jih dari Taiwan menerusi acara taijijian pada sebelah pagi dengan 9.62 mata.


"Saya melakukan kesilapan teknikal ketika taijiquan dan mata saya ditolak. Mungkin saya tidak bertuah sekali lagi," jelasnya yang menang pingat emas acara itu pada Sukan SEA Indonesia 2011.


Seorang lagi peserta negara, Loh Jack Chang sekadar menduduki tangga ke-10 dengan atlet China, Chen Zhouli (19.55) memenangi emas, perak milik Daniel Parantac dari Filipina (19.26) dan gangsa Tanh Tung (19.24).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Wushu, skuasy tepati ramalan

Posted: 23 Sep 2014 10:47 AM PDT

Incheon: Dua acara sukan menepati sasaran pingat emas ditetapkan sebelum ini, kata Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Beliau berkata, acara wushu yang dikatakan 'pingat tidak diduga' sebenarnya berada dalam senarai sasaran lapan pingat emas kontinjen negara ke Sukan Asia di Incheon.

"Kita menepati sasaran. Pingat emas daripada wushu dan skuasy wanita memang dalam perancangan kita. Saya harap kita dapat kekalkan momentum agar dapat melepasi sasaran.

"Setakat ini belum tersasar. Walaupun wushu ramai kata di luar dugaan, tapi kita sebenarnya sering menang pingat emas, cuma kita tidak tahu dalam acara mana, buat masa ini kita menepati sasaran," katanya.


Khairy hadir menyaksikan perlawanan akhir skuasy perseorangan wanita yang menyaksikan pingat emas dan perak milik kontinjen negara.


Datuk Nicol David menepati ramalan pingat emas selepas menewaskan rakan senegara Low Wee Wern 9-11, 11-6, 11-5 da 12-10.

Sementara itu, ditanya mengenai pencapaian skuad bola sepak yang gagal ke suku akhir seperti disasarkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Khairy berkata, tidak adil untuk menilai prestasi berikutan temasya Sukan Asia masih berlangsung dan beliau sendiri tidak berkesempatan menonton perlawanan Malaysia menentang Arab Saudi.

"Saya dengar rentak permainan agak bagus. Kita akan kaji selepas ini," katanya.
Pada aksi terakhir Kumpulan A, skuad bawah 23 negara tewas 0-3 kepada Arab Saudi, sekali gus meranapkan harapan bola sepak untuk mara ke suku akhir seperti disasarkan. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Zul kempunan pingat angkara satu pin

Posted: 23 Sep 2014 10:44 AM PDT

Incheon: Zulmazran Zulkifli hampir muncul pemain bowling lelaki pertama negara memenangi pingat emas acara perseorangan temasya Sukan Asia namun semuanya berakhir dalam masa lima jam semalam.

Zulmazran, 30, mendahului skuad pertama beraksi di sebelah pagi di Gimnasium Anyang Hogye dengan 1,298 jatuhan pin, mengatasi pemain Thailand, Annop Arromsaranon dengan perbezaan 25 pin manakala pemain Korea Selatan, Park Jong Woo ketiga, 1,269 pin.

Bagaimanapun, selepas skuad kedua mengakhiri saingan pada sebelah petang, semuanya berubah dengan Zulmazran diatasi tiga pemain dari blok itu sekali gus menyaksikan pingat emas dimenangi pemain Thailand, Yannaphon Larp Apharat dengan 1,319, perak Du Jianchao dari China (1,300) dan gangsa Sitthiphol Kunaksorn dari Thailand (1,299).

Lebih mengecewakan Zulmazran diatasi Sitthiphol dengan satu pin saja.

"Memang pedih kerana saya terpaksa menunggu hampir lima jam dan akhirnya mengetahui saya kalah.

Kesilapan permainan kedua (dia melakukan 187) menjadi punca saya kehilangan pingat apabila saya gagal menyempurnakan split.

"Kelebihan mungkin berpihak kepada pemain blok petang kerana mereka dapat menyaksikan aksi kami di sebelah pagi," kata Zulmazran yang bagaimanapun memperbaiki catatannya pada Sukan Asia dalam acara itu selepas menduduki tangga ke-18 di Doha 2006 dan ke-48 di Guangzhou 2010.

Lima lagi pemain negara turut gagal bertindak cemerlang dengan Rafiq Ismail di tangga ke-24 (1,212 pin), Adrian Ang ke-25 (1,208), Syafiq Ridhwan ke-32 (1,195), Timmy Tan ke-42 (1,180) dan Alex Liew ke-50 (1,170).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Misi bidik pingat

Posted: 23 Sep 2014 10:43 AM PDT

Incheon: Pasukan recurve negara menghuni tangga ketiga acara berpasukan lelaki Sukan Asia Incheon semalam ketika mereka dijangka mendapat undian baik bagi peringkat kalah mati.

Selepas bidikan dari jarak 90 dan 70 meter, Malaysia mengumpul 1,925 mata, ketinggalan di belakang Jepun dengan 30 mata manakala juara Olimpik 2012, Korea Selatan berada jauh di depan dengan 2,008 mata.

Jika berada dalam kelompok empat teratas acara berpasukan, pemanah Malaysia berpeluang cerah meraih pingat pertama dalam sukan itu.

Dalam acara individu, Khairul Anuar Mohamad kini di tangga kelima dengan 656 mata manakala Atiq Bazil Bakri ke-13 (637), Haziq Kamaruddin ke-18 (632) dan Ikram Joni ke-33 (615).


Mereka meneruskan saingan bagi jarak 50 dan 30m di Lapang Sasar Memanah Asian Gyeyang hari ini.


Bagi acara compound lelaki, Malaysia berada di tangga keenam berpasukan dengan 2,503 mata. Pusingan kalah mati acara itu berlangsung esok.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Wajib benam Thailand

Posted: 23 Sep 2014 10:42 AM PDT

Incheon: Kegagalan meraih kemenangan pertama pada aksi pembuka tirai kumpulan A apabila kalah tipis 0-1 kepada China selaku juara bertahan Sukan Asia, tidak mematahkan semangat skuad hoki wanita negara untuk terus memburu mata pertama pada aksi menentang Thailand, hari ini.

Kapten pasukan hoki wanita negara Nadia Abdul Rahman berkata, kemenangan pertama menentang negara 'Gajah Putih' itu amat penting buat Malaysia bagi menghidupkan peluang ke separuh akhir seperti disasarkan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) sebelum ini.

"Saya percaya skuad negara mampu menang sekiranya semua pemain berjaya mengekalkan persembahan seperti ketika menentang China," katanya kepada pemberita semalam.

Dia berkata semua rakan sepasukan kini berada pada tahap terbaik biarpun tewas kepada China itu.


"Kami bersemangat untuk turun menjadikan kegagalan semalam sebagai pembakar semangat kerana tiada istilah mengalah dalam kamus seorang atlet," katanya.


Nadia berkata, dia mengingatkan rakan sepasukan agar tidak melakukan kesilapan supaya insiden seorang pemain pertahanan negara jatuh sehingga membolehkan China menjaringkan gol kelmarin tidak berulang.

"Saya tidak menyalahkan sesiapa dalam perkara ini kerana sesiapa zaja boleh terjatuh termasuk saya sendiri, namun kami akan cuba untuk kurangkan kesilapan," katanya.

Malaysia berada dalam Kumpulan A bersama Korea Selatan, China, India dan Jepun.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Ganggu temasya!

Posted: 23 Sep 2014 10:41 AM PDT

Incheon: Laos yang kehilangan pingat di Sukan Asia 2014 Incheon selepas tidak turun beraksi separuh akhir sepak takraw beregu lelaki, mungkin dikenakan tindakan disiplin.

Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASF) memandang berat ketiadaan pasukan Laos dan bercadang mengadakan mesyuarat bagi mengenakan denda setimpal.

"Pengurus Pertandingan dan Jawatankuasa Teknikal membuat keputusan menyingkirkan Laos dari acara beregu lelaki, selepas mereka gagal muncul dalam saingan separuh akhir.

"Mereka mengganggu temasya dan memalukan acara ini, terutama selepas penyiar rasmi sudah bersedia menyiarkan perlawanan itu secara langsung," kata Presiden ASF Abdul Halim Kader kepada akhbar Singapore Today.

Laos sudah mengesahkan pingat gangsa selepas mara ke separuh akhir dan bertemu Korea Selatan, tetapi disingkirkan apabila gagal turun ke gelanggang.

Pasukan Laos berkata, mereka tersangkut dalam kesesakan lalu lintas selepas kembali ke perkampungan atlet untuk berehat dan makan tengah hari.

Perlawanan itu tertangguh 20 minit, tetapi selepas tidak muncul, Korea Selatan diberikan kemenangan percuma.

Laos disingkirkan dan Singapura yang gagal mara ke separuh akhir, dihadiahkan gangsa, menyebabkan bantahan dari pihak Laos.

"Kami beraksi sebelum itu dan pemain sangat letih, kami membuat keputusan untuk kembali ke perkampungan atlet untuk berehat seketika.

"Malangnya, ketika dalam perjalanan ke gelanggang, kami tersangkut dalam kesesakan lalu lintas, menyebabkan kami lewat 30 minit dan jawatankuasa menyingkirkan kami dari kejohanan.

"Jika kemenangan kami dibatalkan, ia masih boleh diterima, tapi mereka membatalkan kejayaan kami meraih pingat dan memberikannya kepada Singapura, itu tidak adil," kata pengurus Laos Sengthong Vangkoemany.

- Reuters

Foto

PASUKAN sepak takraw Laos (jersi biru) kemuka bantahan terhadap pembatalan pingat mereka.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

Tzu Chi bangga pecah rekod dunia

Posted: 23 Sep 2014 10:40 AM PDT

Incheon: Atlet angkat berat Taiwan, Lin Tzu Chi mencipta rekod baru dunia dalam acara clean and jerk dan keseluruhan bagi memenangi pingat emas kategori bawah 63 kilogram (kg) di Sukan Asia, semalam.

Tzu Chi mengangkat bebanan 145kg pada percubaan terakhir, 2kg lebih berat daripada rekod 2010 Maiya Maneza dari Kazakhstan di Turki.

Dia kemudian menambah 116kg bagi acara snatch untuk menjadikan keseluruhan angkatan 261kg bagi satu lagi rekod dunia.

Rekod keseluruhan 4kg lebih berat berbanding rekod 257kg milik atlet China, Liu Haixia di Thailand pada 2007.

Atlet China, Deng Wei meraih perak selepas memberi tentangan sengit kepada Lin.

Dia menamatkan cabaran dengan jumlah angkatan keseluruhan 259kg manakala Jo Pok Hyang dari Korea Utara merangkul gangsa selepas mengangkat bebanan 247kg.

Tzu Chi berkata, saingan diberikan Deng membuatkan dia berusaha bersungguh-sungguh.

"Terima kasih China kerana menjadi musuh ketat dalam membantu saya memberikan aksi terbaik," katanya.

Deng menafikan berlakunya kesilapan hingga menyebabkan atlet China terlepas pingat emas di Incheon.

"Tidak ada kesilapan.

Foto

TZU Chi menjerit gembira selepas menggondol emas kategori bawah 63kg.


Kami sudah berikan yang terbaik, tapi pencabar kami lebih hebat," katanya.

Pok Hyang pula mengalami kecederaan ketika acara snatch hingga menjejaskan persembahannya dalam acara clean and jerk.

"Walaupun saya cedera, saya cuba menahan kesakitan itu untuk cuba memberi cabaran mencipta rekod dunia acara clean and jerk," kata Pok Hyang yang kesedihan.

"Penat lelah dan usaha yang saya berikan tidak memadai jika dibandingkan dengan keputusan ini."

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

'Angkat paling ringan'

Posted: 23 Sep 2014 10:34 AM PDT

Incheon: Qatar melakar rekod unik acara angkat berat apabila Essa Saleh Al Buainain melengkapkan angkatan paling ringan di Sukan Asia, baik bagi kategori lelaki atau wanita.

Situasi itu menyebabkan seorang pegawai yang menyaksikan acara 77kg lelaki itu berkata: "Saya rasa dia datang untuk melancong, bukan sebagai atlet.

Angkatannya lebih rendah daripada atlet wanita." Essa Saleh memulakan angkatan 55kg atau kira-kira dua guni kentang.

Dia kemudian menaikkan angkatan kepada 60kg sebelum melengkapkan acara clean & jerk dengan 80kg untuk menjadikan angkatan keseluruhan 140kg.

Ia angkatan yang biasa dilakukan di gimnasium dan kurang 90kg berbanding pesaing terdekatnya.

Jika dibandingkan, tempat terakhir kategori 48kg wanita pada Sabtu lalu mencatatkan berat lebih 26kg berbanding angkatan Essa Saleh dan atlet wanita itu hanya mempunyai ketinggian 140 sentimeter.

Essa Saleh enggan menjawab pertanyaan mengenai perkara itu, namun jawapan Anggota Jawatankuasa Olimpik Qatar Salman Ahmad lebih mengejutkan.

"Ini persiapan kami untuk masa depan.

Kesemua tiga atlet angkat berat kami berlatih untuk persiapan masa depan dan masih kurang pengalaman.

"Kami bersiap sedia untuk Piala Teluk di Dammam, Arab Saudi pada Disember," katanya.

"Dia bukan hadir ke sini untuk bercuti.


Dia masih muda lagi," kata Salman.

Essa Saleh menyambut ulang tahun ke-30 pada Disember ini.


- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/24

No comments:

Post a Comment