Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Komisar tak adil!

Posted: 25 Sep 2014 11:32 AM PDT

Incheon: Kontroversi Sukan Komanwel New Delhi 2010 sekali lagi menimpa jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang yang kecewa dibatalkan pingat perak acara keirin lelaki Sukan Asia di Velodrom Antarabangsa Incheon, semalam.

Kekecewaan itu menyaksikan Malaysia gagal mengulangi pencapaian 1-2 di Guangzhou 2010 apabila Azizulhasni meraih emas dan Josiah Ng, perak.

Azizulhasni didapati bersalah memasuki lorong pecut ketika seorang pelumba lain sudah berada di situ dalam ulang tayang rakaman perlumbaan oleh komisar selepas mendapat bantahan. Berikutan pembatalan itu dia diturunkan ke tangga keenam.

Bagaimanapun, Josiah yang menamatkan perlumbaan di tangga keempat dinaikkan ke tangga ketiga dan meraih gangsa.

Foto

AZIZULHASNI (dua kanan) didakwa memasuki lorong pecut.


Acara itu dimenangi pelumba Iran, Mohamad Daneshvarkhourram manakala pelumba Jepun, Kazunari Watanabe yang menduduki tangga ketiga menerima perak.


Insiden itu seakan-akan ulangan Sukan Komanwel New Delhi empat tahun lalu apabila kemenangan Azizulhasni dibatalkan berikutan tunggangan berbahaya.

"Saya memang kecewa, pertama kerana gagal mempertahankan emas, lepas itu saya hilang perak pula. Daripada ulang tayang, jelas pelumba Jepun (Watanabe) dulu yang melakukan kesalahan menghalang dan memasuki lorong sebelum saya turut didapati berbuat demikian selepas itu.

"Sepatutnya pelumba Jepun itu dibatalkan kemenangan untuk membolehkan saya dan Josiah menang perak dan gangsa kerana Watanabe dulu melakukan kesalahan, tapi saya terkejut kerana kemenangan saya pula yang dibatalkan.

"Jika mahu adil, sepatutnya kemenangan pelumba Jepun itu juga dibatalkan. Saya memang terkejut dan tak berpuas hati," jelas Azizulhasni.

Josiah yang mengaku Sukan Asia ini pentas terakhirnya berdasarkan faktor usia, kecewa kerana dia dan Azizulhasni gagal mengulangi kejayaan 1-2 di Guangzhou 2010.

"Dua pelumba Jepun (Watanabe dan Yuta Wakimoto) jelas memberi fokus kepada saya dan Azizulhasni. Ini membolehkan pelumba Iran yang tidak diberi perhatian mencelah dan melakukan henjutan dari belakang," kata pelumba berusia 34 tahun itu yang akan mempertimbangkan untuk bersara atau sebaliknya selepas temasya ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Pujukan berbaloi

Posted: 25 Sep 2014 11:28 AM PDT

Incheon: Lima tahun lalu, Muhammad Ezuan Nasir Khan pernah bercadang melupakan terus karier dalam sukan menembak disebabkan kecederaan tulang belakang serius.

Namun selepas dipujuk dan mendapat dorongan terutama daripada bapanya Nasir Khan Abdul Rahman, 56, Ezuan menarik balik keputusannya itu.

Semalam, keputusannya nyata berbaloi apabila dia meraih pingat sulung pada peringkat antarabangsa, pingat perak pada temasya Sukan Asia Incheon dalam acara 50 meter rifle prone individu.

Malah Ezuan, 25, hanya ketinggalan 0.6 mata berbanding pemenang pingat emas, Zhao Shengbo dari China yang mengumpul 209.1 mata manakala Park Bong Duk dari Korea Selatan merangkul gangsa dengan 186.6 mata.

Foto

EZUAN (kiri) mengalungkan pingat kepada Isroil.


Catatan 208.5 Ezuan mengatasi rekod kebangsaannya sendiri 206.2 yang dirakam pada kejohanan Terbuka Selangor di Subang, Januari lalu.


"Memang benar pada 2009 saya hampir berputus asa tapi Alhamdulillah ibu dan bapa memberikan sokongan dan dorongan tidak berbelah bagi terus menyokong saya ketika jatuh dan bangun.

"Bapa pastinya orang yang paling seronok dengan kejayaan saya hari ini. Terima kasih tidak terhingga juga kepada Panglima TLDM Tan Sri Aziz Jaafar, MSN dan terutama jurulatih (Isroil Soidov) yang tidak jemu-jemu berjuang memastikan saya mendapat tempat dalam skuad kebangsaan," kata penembak berasal dari Kampung Baru, Kuala Lumpur itu.

Ezuan yang menduduki tangga kelima acara 50m rifle prone dan keenam 10m air rifle pada Sukan Komanwel Glasgow, turut tidak mempedulikan kritikan sesetengah pihak mengenai pasukan menembak lelaki yang dianggap tidak mampu menyerlah berbanding wanita.

"Saya ambil kritikan itu dengan cara positif dan syukur hari ini saya berjaya membuktikan penembak rifle negara juga boleh bersaing dan berjaya," katanya yang gagal mara ke pusingan akhir 10m air rifle, Selasa lalu.

Bagi acara berpasukan, Malaysia yang turut dianggotai Hadafi Jaafar dan Zubair Muhammad bagaimanapun sekadar menduduki tangga ke-10.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Fatehah kempunan gangsa pecut individu

Posted: 25 Sep 2014 11:20 AM PDT

Incheon: Pelumba trek wanita negara Fatehah Mustapa terlepas pingat gangsa acara pecut individu pada temasya Sukan Asia ke-17 di Velodrom Antarabangsa Incheon, semalam.

Fatehah tewas 1-2 kepada Lin Junhong dari China pada penentuan pingat gangsa. Pertembungan Fatehah dan Lin berlangsung tiga pusingan berikutan kemenangan pelumba China itu pada perlumbaan kedua dibatalkan kerana menghalang Fatehah.

Pingat emas dimenangi pelumba Hong Kong, Lee Wai Sze yang menewaskan pelumba China Zhong Tianshi 2-1.

Pertembungan final turut berlangsung tiga pusingan kerana pelumba China menghalang lawannya.


Pasukan berbasikal trek negara menyumbang satu perak dan satu gangsa dalam acara keirin lelaki dan wanita menerusi Fatehah dan Josiah Ng.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Vivian, Khe Wei lebur badi 44 tahun

Posted: 25 Sep 2014 11:19 AM PDT

Incheon: Penantian 44 tahun Malaysia meraih pingat badminton beregu wanita Sukan Asia berakhir di Gimnasium Gyeyang semalam, namun pemecah rekod itu Vivian Hoo-Woon Khe Wei menaruh harapan dapat mencatat sejarah dengan layak ke final pula.

"Kami langsung tidak tahu mengenai penantian 44 tahun, tapi ia pasti berita yang menggembirakan kerana kami mengakhirinya," jelas Khe Wei selepas dia dan Vivian menang 21-15, 19-21, 21-19 ke atas beregu Macau, Wang Rong-Zhang Zhibo pada suku akhir semalam.

Juara Sukan Komanwel yang menduduki ranking ke-19 dunia itu mara ke separuh akhir dan memastikan sekurang-kurangnya pingat gangsa.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat gangsa acara itu menerusi Rosalind Ang-Teoh Siew Yong di temasya Bangkok 1970.

Vivian-Khe Wei akan mencabar pilihan utama dari Jepun, Misaki Matsumoto-Ayaka Takahashi pada separuh akhir hari ini dan jika menang, mereka akan mencipta sejarah muncul pasangan pertama negara mara ke final.

"Selepas melangkah ke separuh akhir, kami akui kurang tekanan, tapi tidak bermakna kami sudah puas hati.

Beregu Jepun itu memang kuat dan jika mahu menang, kami perlu mengubah corak permainan," ujar Vivian.

Dalam beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong turut tidak mengecewakan apabila menundukkan Pathipat Chalardchalaem-Wannawat Ampunsuwan dari Thailand 21-19, 15-21, 21-15 untuk ke suku akhir hari ini.

Mereka akan berdepan gandingan Jepun, Hiroyuki Endo-Kenichi Hayakawa.

Perseorangan utama negara, Datuk Lee Chong Wei pula tidak bermasalah menyingkirkan Umer Zeeshan dari Pakistan 21-14, 21-6 sementara Chong Wei Feng gagal menyaingi kehebatan Chen Long apabila tewas 7-21, 13-21 pada pusingan kedua.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Ragbi wanita buru 8 terbaik

Posted: 25 Sep 2014 11:19 AM PDT

Petaling Jaya: Penampilan kali pertama skuad ragbi wanita negara di temasya Sukan Asia Incheon bukanlah pasukan pelengkap jadual atau hadir dengan label pasukan makan angin, sebaliknya ketua pasukan Aki Loh Nong Sim yakin kejutan mampu dicipta di bumi Korea Selatan nanti.

Aki Loh, 33, mengakui temasya itu akan menjadi peluang terbaik buat skuad ragbi wanita membuktikan kehebatan mereka dalam usaha menempatkan diri di kalangan lapan pasukan terbaik di benua ini.

Biarpun mengakui tertekan menjelang saingan itu selepas pasukan ragbi lelaki menerima pelbagai kritikan berikutan prestasi longlai di Sukan Komanwel lalu, dia dan rakan sepasukan mahu seboleh-bolehnya mengelak daripada menjadi pasukan belasahan di temasya itu.

"Tekanan tetap ada, namun kami akan cuba buat terbaik dan cuba bersungguh-sungguh mencipta kemenangan dalam setiap aksi.

"Saya yakin dengan semangat kekeluargaan yang cukup tinggi di kalangan rakan sepasukan serta kerjasama kuat, saya yakin kami boleh melakukan sesuatu," katanya kepada Arena Metro.

Skuad ragbi wanita yang menghuni Kumpulan B bakal diuji Thailand, Hong Kong, Laos dan pasukan ranking kedua Asia, Kazakhstan.

Malaysia dijadualkan memulakan aksi sulung menentang Thailand pada 30 September ini.

Sementara itu, bagi pengurus pasukan negara Noor Aini Muhammad, kemunculan skuad wanita di pentas Asia dalam temasya sukan kedua terbesar dunia selepas Olimpik itu, akan digunakan sebaik mungkin untuk memperbaiki ranking skuad kebangsaan yang ketika ini menghuni tangga ke-10 benua ini.

"Kami pasukan yang baru dibentuk sejak beberapa tahun lalu.

Sasaran kami hanya mahu meningkatkan ranking.


"Saya lihat peluang kami untuk mendapatkan mata tetap ada dengan menewaskan Thailand dan Laos berbanding Kazakhstan dan Hong Kong yang lebih kuat.

"Jika kami menang dua atau tiga aksi di sana, ranking kami akan naik sekurang-kurangnya ke tangga ke-8 terbaik Asia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Bukan mustahil benam Thailand

Posted: 25 Sep 2014 11:18 AM PDT

Incheon: Pasukan sepak takraw lelaki negara berdepan misi mustahil apabila turun menentang juara Sukan Asia empat kali, Thailand pada separuh akhir di Gimnasium Bucheon, hari ini.

Bagaimanapun, jurulatih negara Jamaluddin Hassan belum mahu mengaku kalah sebelum turun ke gelanggang dan yakin anak buahnya mampu mencipta keajaiban menundukkan pasukan lawan yang dilatih Kamol Tankimhong.

"Perlawanan ini getir, tapi saya percaya ia bukan satu misi mustahil cuma nasihat saya pemain tidak boleh terlalu menghormati Thailand dan melakukan kesilapan mudah," katanya semalam.

Malaysia yang menang sekali acara berpasukan di Beijing 1990, mara ke separuh akhir selepas mengatasi China, 3-0 sekali gus muncul naib juara Kumpulan B selepas tewas 1-2 kepada Indonesia kelmarin.

Regu pertama dan kedua tidak menghampakan apabila memastikan dua mata awal.

Syahir Rosdi, Zamree Dahan dan Syazreenqamar Salehan mengalahkan Ge Yusheng, Jin Jie dan Li Huan Huan 21-17, 21-18 manakala Izurin Refin, Fadzli Roslan dan Muqlis Borhan menundukkan Lin Ye, Fan Xu dan Yang Jiapeng 22-20, 21-12.

Regu ketiga Aizat Nor Azmi, Kamal Alfiza Shafie dan Zuleffendi Sumari memastikan keputusan 3-0 apabila mengatasi Zhang Ru Hao, Xu Ming Chi dan Wu Hao Ran 21-4, 21-16.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Skuad hoki lelaki wajib benam Jepun

Posted: 25 Sep 2014 11:18 AM PDT

Incheon: Hanya kemenangan ke atas Jepun pada perlawanan terakhir kumpulan esok boleh menjanjikan tempat ke separuh akhir Sukan Asia Incheon buat anak buah Arul Selvaraj.

Berbaki satu perlawanan, skuad hoki lelaki negara menghuni tangga ketiga Kumpulan A selepas mengalami kekalahan pertama dalam tiga perlawanan, 1-2 di tangan tuan rumah Korea Selatan di Stadium Seonhak, semalam.

Korea sudah memastikan tempat ke separuh akhir daripada kumpulan itu selepas menang semua tiga perlawanan pertama dan mengutip sembilan mata maksimum manakala Jepun dan Malaysia yang terikat enam mata, akan bertarung merebut satu lagi tempat.

Seri saja tidak memadai buat Malaysia layak kerana Jepun mempunyai kelebihan jaringan apabila mereka membelasah Singapura 13-0 semalam.

"Perlawanan menentang Jepun amat penting buat kami.

Kami gagal mencapai sasaran sekurang-kurangnya seri dengan Korea Selatan hari ini, tapi jika pemain mempamerkan persembahan seperti ini, saya yakin kami boleh mengatasi Jepun," kata Arul.

Penyerang Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Jalil menegaskan, dia dan rakan sepasukan perlu memperbaiki beberapa kesilapan jika mahu menundukkan Jepun.

"Ada beberapa kesilapan tidak sepatutnya dilakukan hari ini dan kami perlu menangani kelemahan itu berdepan Jepun," ujarnya.

Pada perlawanan semalam, Korea Selatan mendahului 2-0 menerusi dua gol sudut penalti Nam Hyun Woo pada minit ke-24 dan 43 sebelum Marhan Jalil merapatkan kedudukan melalui gol padang pada minit ke-59.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Skandal bola sepak?

Posted: 25 Sep 2014 11:17 AM PDT

Incheon, Korea Selatan: Acara bola sepak di Sukan Asia diselubungi gejala mengatur keputusan perlawanan selepas syarikat penganalisis perjudian mengesahkan mempunyai bukti mengenai manipulasi itu.

Penganjur Sukan Asia berjanji membuat siasatan menyeluruh selepas dakwaan Sportradar yang berpangkalan di Switzerland itu disiar akhbar Singapura.

"OCA (Majlis Olimpik Asia) serius dengan masalah ini dan akan bekerjasama dengan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) serta Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi menjalankan siasatan," kata seorang pegawai.

Akhbar Singapura The New Paper melaporkan, pegawai kanan Sportradar berkata, wujudnya tanda mengatur perlawanan di Sukan Asia, Incheon.

"Kami percaya berlakunya manipulasi perlawanan di Sukan Asia," kata Pengarah Urusan Strategi dan Integriti Sportradar Andreas Krannich.

Krannich tidak mendedahkan pasukan terbabit, namun menegaskan siasatan kini tertumpu sekurang-kurangnya kepada satu perlawanan selepas gol dijaringkan pada lewat permainan.

"Dalam perlawanan itu, ramai yang membuat pertaruhan gol akan dijaringkan pada minit akhir," katanya kepada akhbar berkenaan.

"Bagaimanapun, pertaruhan pelik dan bukti pertaruhan mungkin tidak boleh menjadi justifikasi berlakunya rasuah di kejohanan itu.- AFP "Tapi, beberapa perlawanan dikesan dimanipulasi dengan cara sama dan ada petanda sindiket sama beroperasi di Incheon." Tiada penjelasan dibuat AFC dan FIFA setakat ini.

Saingan bola sepak lelaki memasuki pusingan kedua hari ini selepas kempen pusingan kumpulan berakhir Isnin lalu.

Foto

OCA berjanji akan menyiasat gejala mengatur perlawanan di Sukan Asia, Incheon.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Pemain takraw Nepal ghaib

Posted: 25 Sep 2014 11:03 AM PDT

Incheon: Polis Korea Selatan kini memburu seorang ahli sukan Nepal yang didapati hilang daripada perkampungan atlet Sukan Asia.

Jawatankuasa penganjur temasya sukan itu berkata, atlet sepak takraw lelaki Nepal itu tidak bersama rakan sepasukannya ketika bersiap untuk pulang ke tanah air mereka.

Atas permintaan pasukan Nepal, anggota polis Korea Selatan melakukan siasatan dan mendapati atlet itu meninggalkan perkampungan sukan pada waktu malam tanpa memberitahu sesiapa.

Pihak penganjur tidak mendedahkan nama atlet itu, tetapi kecewa dengan insiden berkenaan.

Polis pula mengesyaki atlet itu mungkin mahu menjadi pendatang haram di Korea Selatan.

"Kamera tertutup di perkampungan sukan menunjukkan lelaki itu memakai baju hitam, membawa beg dan meninggalkan tempat itu pada waktu malam," kata Inspektor Kanan Kwon Wang-Hoon.

"Kami yakin dia sengaja menghilangkan diri untuk mencari kerja di sini," kata Kwon sambil menambah kes itu sudah dirujuk kepada pihak imigresen.

"Jika dia tampil sebelum 19 Oktober iaitu tarikh tamat visanya, dia boleh pulang tanpa sebarang masalah.

"Jika tidak, dia boleh didakwa sebagai pendatang haram," katanya.

Setiap tahun Korea Selatan mengeluarkan visa kepada kira-kira 10,000 pekerja asing dari Vietnam, Filipina dan negara Asia lain.

Lebih 200,000 warga asing bekerja secara haram di sektor pembuatan, pembinaan dan industri lain.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

Atlet Kemboja sah dadah

Posted: 25 Sep 2014 11:02 AM PDT

Incheon: Atlet remaja tenis lembut Kemboja gagal ujian dadah dan disingkirkan dari Sukan Asia.

Dia menjadi atlet kedua dikesan kerana kesalahan doping minggu ini, kata penganjur semalam.

Yi Sophany gagal ujian doping dijalankan pada 16 September sebelum upacara pembukaan Sukan Asia.

Majlis Olimpik Asia (OCA) berkata, ujian air kencing atlet itu didapati mengandungi bahan perangsang terlarang, sibutramin.

Kenyataan dikeluarkan OCA berkata, pemain berusia 18 tahun itu sudah dibatalkan penyertaannya dan kad akreditasinya juga ditarik balik.

Sebelum ini, pemain bola sepak Tajikistan, Khurshed Beknazarov, 20, diuji positif menggunakan bahan perangsang terlarang, metilheksaneamin dan disingkirkan dari temasya itu Selasa lalu.

Ujian air kencing Khurshed diambil pada masa rehat ketika pasukan negara itu mengalahkan Singapura pada 14 September lalu.

Pegawai pertandingan berkata, pakar doping OCA sentiasa menjalankan ujian ke atas atlet yang disyaki mencurigakan.

- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/26

No comments:

Post a Comment