Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


BAHANA BERHENTI DI SELEKOH

Posted: 21 Sep 2014 02:58 PM PDT

Perjalanan pulang sekumpulan 36 pekerja kilang warga asing nyaris mengundang tragedi kepada mereka apabila dua bas yang dinaiki terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 pagi itu, seorang penumpang patah kaki kanan manakala 16 lagi cedera ringan akibat terhentak pada tempat duduk dan mereka diberikan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Pulau Pinang (HPP).

Selain itu, pemandu bas Ramli Md Ismail, 61, cedera parah di tangan kanan namun enam penumpang dalam bas dipandunya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kemalangan itu dikatakan berlaku apabila bas dipandu Ramli mengalami kerosakan dan dia berhenti di bahu jalan selepas mendengar bunyi yang dipercayai terhasil daripada tayar belakang.

Namun, pemandu sebuah lagi bas kilang yang membawa 30 penumpang yang datang daripada arah sama tidak sempat mengelak dan merempuh bahagian belakang kanan bas yang rosak itu.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pulau Pinang Superintendan Ibrahim Abu Bakar berkata, siasatan awal mendapati pemandu bas pertama memberhentikan kenderaannya di selekoh.

Menurutnya, sebuah lagi bas yang datang dari belakang tidak sempat mengelak bas yang berhenti di selekoh itu dan merempuh bucu kanan bas di depannya.

"Siasatan awal juga mendapati pemandu bas yang mengalami kerosakan itu tidak meletakkan kon tanda amaran menyebabkan pemandu bas di belakang tidak sempat melihat kenderaan itu dan terus merempuhnya.

"Semua pekerja berkenaan dalam perjalanan pulang dari sebuah kilang di Bayan Lepas selepas tamat syif malam dan tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Foto
Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Dilayan macam keluarga

Posted: 21 Sep 2014 01:07 PM PDT

Makkah: Ada jemaah haji yang dimasukkan ke pusat perubatan Tabung Haji (TH) sama ada di Shisya atau Aziziah mengakui seolah-olah dijaga dan dilayan seperti ahli keluarga sendiri ketika dimasukkan ke pusat perubatan berkenaan.

Jemaah haji, Ismail Abdul Samad, 65, berkata, dia dimasukkan ke pusat perubatan Shisya selepas mengalami keletihan melampau menyebabkan badan lemah.

"Keletihan menyebabkan badan lemah dan mudah penat ketika bercakap sebelum saya dimasukkan ke pusat perubatan ini.

"Alhamdulillah walaupun isteri sudah pulang ke hotel, tetapi petugas termasuk doktor dan jururawat di pusat perubatan ini cukup mesra dan memberikan layanan yang cukup baik dan meminta saya banyak berehat," katanya yang berasal dari Muar, Johor.

Seorang lagi jemaah haji dari Johor, Saadon Ibrahim, 61, dimasukkan ke pusat perubatan sama selepas terjatuh menyebabkan kakinya luka.

Dia yang menghidap kencing manis terpaksa ditahan bagi membolehkan doktor menjalankan pemeriksaan teliti.

"Saya berterima kasih kepada petugas di pusat perubatan ini yang memberikan layanan dan rawatan teliti terhadap saya," katanya yang berasal dari Batu Pahat.

Bagi Che Yah Sulaiman, 65, dia dimasukkan ke hospital kerana kurang berselera untuk makan.

Dia yang berasal dari Taiping, Perak mengakui lemah badan dan doktor meminta dia minum air dalam kuantiti yang banyak.

"Kini, selepas dirawat, saya sudah ada selera untuk makan dan berdoa mampu meneruskan amal ibadat termasuk ketika waktu puncak haji di Arafah, Muzdalifah dan Mina.

"Jururawat dan doktor memberikan layanan baik ketika saya dirawat di sini," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Rombongan Haji (Perubatan) Dr Saiful Azlan Shariff berkata, sehingga kini, kebanyakan jemaah haji yang dimasukkan ke pusat perubatan ini berusia antara 50 hingga 70 tahun dan kebanyakannya berdepan masalah jangkitan di saluran pernafasan.

Beliau berkata, buat masa ini, juga pihaknya belum berdepan dengan jemaah haji yang membawa penyakit berjangkit cuma membabit penyakit biasa saja.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Jururawat kita jadi 'rebutan'

Posted: 21 Sep 2014 01:06 PM PDT

Jeddah: Imej dan prestasi pekerja profesional warga Malaysia yang cukup cemerlang terutama jururawat membuatkan permintaan untuk khidmat mereka di beberapa hospital di Arab Saudi meningkat.

Sehingga, kini terdapat lebih 600 jururawat terlatih menabur bakti di beberapa hospital di Jeddah dan mereka ditawarkan dengan imbuhan dua hingga empat kali ganda berbanding apa yang dinikmati di negara asal.

Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah Mohd Khalid Abbasi Abdul Razak berkata, selain boleh berbahasa Inggeris, pesakit juga dikatakan lebih selesa untuk mendapatkan khidmat jururawat warga Malaysia yang lebih baik dan terlatih.

Beliau berkata, peranan profesional Malaysia seperti arkitek, pegawai teknikal dan jurutera memang sentiasa diiktiraf Kerajaan Arab Saudi, malah masih banyak ruang boleh diisi oleh warga Malaysia di dalam sektor berkenaan di negara ini, Mengulas lanjut, beliau meminta rakyat Malaysia di negara ini terus mengekalkan imej positif bagi memastikan warga Malaysia terus dihormati bukan saja oleh rakyat tempatan, malah pihak berkuasa Arab Saudi.

"Imej baik membolehkan setiap usaha yang hendak dilakukan akan mendapat kerjasama mudah daripada kerajaan Arab Saudi dan pada masa sama menaikkan imej Malaysia di mata dunia.

"Malah, saya mengalu-alukan kehadiran lebih ramai rakyat Malaysia berkelayakan untuk menaburkan khidmat dalam pelbagai bidang yang masih kosong di negara ini," katanya selepas majlis sambutan Hari Malaysia di pejabat Konsulat Jeneral Malaysia, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Nikmat tawaf bersama 2 isteri

Posted: 21 Sep 2014 01:06 PM PDT

"Saya bersyukur kerana akhirnya dapat membawa kedua-dua isteri mengelilingi Kaabah sebelum bersama-sama mendirikan solat sunat di belakang makam Nabi Ibrahim dan berdoa sebelum melakukam saie."

Itu rasa hati yang diluahkan peniaga Meor Shamsudin Meor Sharif, 63, dari Sungai Siput, Perak ketika ditemui Harian Metro di penginapannya, semalam Menurutnya, dia memang menyimpan hasrat untuk membawa kedua-dua isteri ke Tanah Suci bagi mengerjakan haji dan akhirnya doa itu dimakbulkan.

"Kedua-dua isteri berada di belakang saya ketika melakukan tawaf dan saie, tetapi apabila saya bergerak laju, mereka berdua akan bersama beberapa rakan lain," katanya.

Dia dan dua isterinya, Aziah Ibrahim, 60, dan Normah Ismail, 58, baru pertama kali menunaikan haji cuma Aziah pernah menunaikan umrah sebelum ini.

Meor Shamsudin mengakui keikhlasan penting bagi melaksanakan apa juga tanggungjawab dan sentiasa berdoa kepada Allah SWT supaya niat murni yang hendak dilaksanakan berjaya dan mendapat keberkatan.

Malah, Aziah berkata, dia dan Normah sentiasa bersama mengerjakan solat fardu di masjid jika ada kelapangan bersama suami.

"Alhamdulillah ibadat yang dilakukan dapat berjalan dengan baik, malah kesihatan kami pun agak baik dan ia memudahkan ibadat yang dilakukan," katanya.

Pertemuan penulis dengan Meor Shamsuddin bersama satu lagi pasangan Ahmad Fuad Karjah, 57, bersama dua isteri, Normadiah Ahmad dan Maimunah Ali, kedua-duanya 60 tahun, diaturkan empat pegawai Tabung Haji (TH) yang membawa pasangan Ahmad Fuad menaiki kenderaan ke hotel penginapan Meor Shamsudin.

Ketika ditanya mengenai khidmat diberikan TH, Meor dan kedua-dua isteri mengakui perkhidmatan diberikan memang terbaik seperti yang sering diperkatakan oleh jemaah haji lain.

"Kedua-dua isteri saya ditempatkan dalam satu bilik bersama tiga jemaah lain dan bersebelahan dengan bilik saya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fuad dari Pontian Johor, bersyukur apabila dapat membawa kedua-dua isteri ke Tanah Suci untuk menunaikan haji.

Malah, kedua-duanya ditempatkan di dalam satu bilik bersama tiga rakan lain dan memudahkan mereka untuk bertukar pandangan dan ke masjid jika dia tidak dapat bersama.

Menurutnya, dia mendaftar haji pada 2007 dan memasang niat untuk membawa kedua-dua isteri dan bersyukur apabila ditawarkan menunaikan haji pada penghujung tahun lalu.

Bagaimanapun, dia membuat rayuan kepada TH untuk membawa isteri pertama dan bersyukur rayuan dimakbulkan Allah SWT.

"Kedua-dua isteri bersama membuat persediaan bagi memastikan semua kelengkapan disediakan termasuk meningkatkan pengetahuan mengenai ibadat haji," katanya yang menjalankan usaha menternak ayam secara kecil-kecilan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

Sesi cungkil masalah efektif

Posted: 21 Sep 2014 01:05 PM PDT

Kuala Lumpur: "Pemerhatian mendapati gaya pemikiran, kehidupan, tingkah laku dan emosi sebahagian besar penagih dadah terganggu.

"Justeru, fungsi kami adalah untuk memulihkan mereka menggunakan pelbagai sistem pembelajaran semula," kata Timbalan Pengerusi Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Abdullah Mohd Nor.

Menurut beliau, kehidupan di rumah Pengasih yang kini dihuni lebih 100 penghuni dengan sebahagian besarnya lelaki dan terbabit dengan ketagihan dadah seperti syabu dan heroin, pada hakikatnya sama seperti berada di dunia luar.

"Apabila masuk ke sini, kami akan bertanya masalah yang dihadapi dan mengapa terjebak dengan dadah.

Pada mulanya, mereka menunjukkan reaksi takut dan menyangka keadaan yang bakal mereka hadapi berkemungkinan sama di pusat pemulihan lain sedangkan ia sebaliknya.

"Di sini, kami lebih mengutamakan komunikasi dan kaedah menghilangkan ketagihan.

Pengasih mempunyai doktor yang ditugaskan memeriksa keadaan fizikal dan mental penghuni," katanya.

Abdullah berkata, penghuni kemudian akan diserap ke dalam pelbagai program berkaitan penyalahgunaan dadah.

"Selepas mereka memahaminya pada bulan pertama atau kedua, program akan diteruskan dengan sesi mencungkil masalah sebenar dihadapi mereka.

"Jika ia berkesan, penghuni akan diberi sesi kaunseling susulan.


Kami memberi masa kepada penghuni supaya mereka diberi kewarasan minda yang baik untuk menceritakan masalah dihadapi.

"Kami akan memaklumkan isu yang timbul dan jika ia membabitkan masalah keluarga, kami mempunyai kumpulan sokong bantu untuk memberi penerangan kepada keluarga penghuni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/22

No comments:

Post a Comment