Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Matematik, Bahasa Tamil 9 Oktober

Posted: 22 Sep 2014 12:03 PM PDT

Putrajaya: "Tarikh 9 Oktober dipilih selepas mengambil kira cuti umum Aidiladha dan aspek logistik termasuk percetakan dan pengedaran," kata Ketua Pengarah Pendidikan Datuk Dr Khair Mohamad Yusof, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan tarikh itu untuk calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negara menduduki semula kertas ujian Matematik 015/1; 025/1 dan 035/1 dan Bahasa Tamil 036 dan 037 selepas soalannya ketika peperiksaan 10 September lalu didapati turut bocor.

Ia kebocoran subjek ketiga dan keempat peperiksaan UPSR tahun ini kerana sebelum ini semua calon diarah menduduki semula peperiksaan Bahasa Inggeris Kertas 1 dan 2 serta kertas Sains pada 30 September selepas kebocoran lebih awal dikesan.

Dr Khair dalam sidang media semalam berkata, pihaknya memutuskan kertas ujian Matematik dan Bahasa Tamil yang diduduki calon UPSR pada 10 September lalu dibatalkan dan perlu diduduki semula.

Foto

DR Khair (tengah) dan Madinah (kiri) pada sidang media di Kementerian Pendidikan, Putrajaya, semalam.


Menurutnya, keputusan itu dibuat bagi memastikan pengendalian peperiksaan awam mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan selain menjamin integriti dan kredibiliti keputusan UPSR.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Sepakat tak berganjak

Posted: 22 Sep 2014 12:00 PM PDT

Rawang: "Sudah lebih 75 tahun kami berniaga sejak bapa membuka kedai kopi di sini. Mengapa baru sekarang mereka mahu merobohkan kedai ini tanpa memberi notis awal," kata seorang peniaga warga emas, Lim Mok Seng, 74, yang tidak berpuas hati apabila kedainya di Jalan Taiping, di sini mahu dirobohkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) semalam.

Dia seorang daripada enam peniaga kedai yang mendakwa tidak diberikan notis awal sebaliknya hanya diberikan surat arahan minggu lalu supaya premis mereka dikosongkan.


Lim mendakwa semua peniaga di kawasan itu diarah MPS untuk mengosongkan premis mereka dengan alasan satu projek membesarkan saluran longkang akan dijalankan selain mengindahkan kawasan itu.

Malah, dia mendakwa, pihak MPS mengeluarkan arahan keras seolah-olah mengugut peniaga di situ.


"Sekurang-kurangnya berilah notis awal supaya kami boleh berbincang. Kami tidak menghalang kemajuan, tetapi ia dilakukan dengan cara kasar dan tidak beradab," katanya semalam selepas melakukan demontrasi bersama 100 peniaga dan individu di kawasan itu.


Sementara itu seorang lagi peniaga Satnam Singh, 34, berkata, dia ada menghubungi wakil MPS untuk mengadakan perbincangan, namun usaha itu tidak berhasil.

"Kami (peniaga) mahu tahu apa rancangan mereka (MPS). Sekiranya mahu membuat longkang boleh berbincang dengan kami dan mereka perlu mendengar suara kami.


"Kami sudah lama berniaga. Kalau mereka mahu roboh sepatutnya mereka perlu ada tempat untuk menggantikannya," katanya.

Satnam turut mendakwa sewaan tanah di kawasan itu adalah secara sewaan tol (lesen operasi sementara), namun ia sudah dibekukan sejak lima tahun lalu.


Dia menegaskan pihak peniaga akan mempertahankan enam premis mereka daripada dirobohkan selagi pihak MPS gagal memberikan penjelasan yang kukuh kepada mereka.


Sementara itu Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana (IKHLAS) Mohd Ridzuan Abdullah berkata, satu perbincangan perlu diadakan antara wakil peniaga, MPS dan wakil rakyat di kawasan itu bagi menyelesaikan kemelut yang melanda.


Katanya, pihak MPS perlu melakukan rundingan dan tidak seharusnya memberikan notis singkat untuk merobohkan premis mereka.


Pengarah Jabatan Korporat MPS, Mohamad Zin Masoad menafikan dakwaan beberapa peniaga terbabit dan berkata, pihaknya ada melakukan perbincangan secara tertutup dengan wakil peniaga.


Katanya, rancangan untuk menaik taraf kawasan itu sudah lama dirancang dan perkara itu sudah dimaklumkan kepada wakil peniaga sebelum ini.


"Kawasan itu sering berlaku banjir dan tujuan MPS untuk membesarkan longkang yang kecil bagi mengatasi masalah banjir kilat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Dicekup lepas sejam lari

Posted: 22 Sep 2014 11:59 AM PDT

Kapar: Dua penjenayah yang baru menyamun seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di Pekan Kapar, di sini, tidak menyangka diberkas polis kurang satu jam selepas melarikan diri.

Dalam kejadian 4.30 pagi itu, suspek berusia 20-an dikatakan merompak mangsa yang sedang berjalan pulang dari bank.


Sumber polis berkata, suspek yang menaiki kereta Proton Saga meluru ke arah mangsa sebelum seorang daripada mereka memperkenalkan diri sebagai anggota polis sambil menunjukkan gari.

"Suspek juga mencekik leher mangsa dan mengugut mahu menahan mangsa yang kononnya didapati menghisap dadah walaupun mangsa menafikan dakwaan itu.


"Suspek memeriksa badan mangsa sebelum merampas barangan peribadi mangsa antaranya telefon bimbit, wang tunai berjumlah RM500 serta dokumen pengenalan diri dan kad bank," katanya.


Menurutnya, suspek kemudian memecut laju ke jalan utama sementara mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Kapar.

"Berdasarkan laporan, anggota peronda berjaya mengesan kereta dinaiki suspek di Taman Aman Kapar, di sini, sekitar jam 5.30 pagi hari sama sebelum menahan mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Kumpulan ada dana RM3 juta

Posted: 22 Sep 2014 11:57 AM PDT

Kuala Lumpur: "Maklumat yang saya peroleh menunjukkan mereka ada dana lebih RM3 juta dan lebih membimbangkan, turut berpotensi untuk terjerumus kepada aktiviti militan."

Demikian kata Penolong Setiausaha (Keselamatan dan Ketenteraman) Kementerian Dalam Negeri (KDN) Zamihan Mat Zin Al Ghari mengenai ancaman satu ajaran sesat yang dibongkar akhbar ini menerusi beberapa laporan sejak awal bulan ini.


Beliau berkata, kumpulan itu yang dipercayai sudah mengumpul kira-kira 5,000 pengikut di seluruh negara didapati memperoleh sumber kewangan kukuh hasil sumbangan ahli.

"Gerakan dakyah songsang ini turut dikesan mempunyai kaitan dengan pertubuhan kongsi gelap Melayu dengan rangkaian di seluruh negara," katanya kepada Harian Metro.


Menurutnya, selain bergerak secara dalaman, maklumat risikan juga mendedahkan kumpulan terbabit mempunyai kaitan dengan sebuah pertubuhan politik dari negara jiran serta beberapa ajaran lain sebelum ini.


"Sebelum ini, ajaran itu bergerak aktif di Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan sebelum mula menyusup masuk ke bahagian utara Semenanjung selepas aktiviti mereka mula dihidu pihak berkuasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

Hancur digilis

Posted: 22 Sep 2014 11:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Mengerikan apabila seorang lelaki mati digilis sebelum mayatnya diseret hampir 100 meter menyebabkan badan mangsa hancur berhampiran Taman Connaught, Cheras di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.25 pagi itu, mangsa yang berusia 30-an dirempuh ketika melintas jalan di Lebuh raya Timur Barat dari Bandar Tun Razak menghala ke Cheras di sini.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, mangsa bagaimanapun dirempuh kereta Perodua Myvi dipandu seorang wanita berusia 30 tahun.

"Mangsa yang dirempuh terperosok di bawah kereta itu sebelum terseret lebih kurang 100 meter (m). Akibatnya badan mangsa hancur dan berteraburan di atas jalan.

Foto

KENDERAAN yang terbabit nahas.


"Pada masa sama sebuah kereta Honda dipandu lelaki berusia 44 tahun yang berada di belakang kereta wanita itu tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa sekali lagi," katanya, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/09/23

No comments:

Post a Comment