Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


'Habis' nyawa atas pokok petai

Posted: 18 Aug 2014 12:49 PM PDT

Kampar: Seorang lelaki Orang Asli ditemui maut selepas terjatuh dan tersangkut di atas dahan pokok petai setinggi lebih 10 meter dalam kejadian di kawasan hutan berhampiran Taman Seri Emas, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang, mangsa Johnny Pandak, 29, dipercayai tersilap langkah lalu terjatuh dan tersangkut pada dahan pokok ketika mengutip petai di kawasan berkenaan.

Ketua Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kampar Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shariman Mohd Yusof berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 4.38 petang sebelum bergegas ke lokasi.

Menurutnya, anggota bomba yang tiba di tempat kejadian mendapati mangsa dalam keadaan lemah dan tidak sedarkan diri ketika diturunkan.

Foto

OPERASI menurunkan mayat mangsa dari atas pokok petai.

Foto

PASUKAN menyelamat merangka strategi untuk mengeluarkan mayat mangsa daripada kawasan hutan.


"Pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.


"Jarak daripada jalan utama ke lokasi kira-kira tiga kilometer dan hanya boleh dilalui menerusi jalan denai," katanya.

Beliau berkata, anggota penyelamat terpaksa menggunakan tali dan pengusung untuk menurunkan mayat mangsa sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, operasi menyelamat tamat jam 6.44 petang kelmarin.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Pelancong Somalia terapung dua hari

Posted: 18 Aug 2014 12:44 PM PDT

Pelabuhan Klang: Impian lapan warga Somalia untuk mengunjungi lokasi menarik di negara ini berakhir dengan kejadian yang hampir meragut nyawa mereka apabila ditemui dalam keadaan lemah selepas dibiarkan hampir dua hari dalam sebuah bot uzur yang tidak berenjin dalam satu kejadian Sabtu lalu.

Lebih menyedihkan, mereka mendakwa ditipu tekong yang melarikan diri bersama enjin bot selepas mendakwa enjin berkenaan mempunyai masalah dengan membiarkan kelapan-lapan mangsa termasuk dua wanita kelaparan dalam bot berkenaan.

Pengarah Operasi Daerah Maritim Klang KDR Maritim Romli Mustafa, siasatan awal pihaknya mendapati semua mangsa merancang untuk bercuti dan melawat tempat menarik di Malaysia, namun impian mereka akhirnya musnah apabila ditinggalkan kira-kira 60 batu nautika dari barat laut Pelabuhan Klang.

Menurutnya, mangsa dipercayai mula ditinggalkan kira-kira jam 10 malam Sabtu lalu dan tekong bot berusia lingkungan 30-an itu memberi alasan bot yang dinaiki mereka mengalami kerosakan enjin sebelum seorang rakannya tiba dan membawanya pergi bersama enjin itu.

Foto

WARGA Somalia diselamatkan selepas tekong melarikan diri bersama enjin bot.


Difahamkan, warga Somalia berkenaan membayar RM 1,500 seorang kepada tekong berkenaan untuk membawa mereka melawat beberapa tempat menarik termasuk Pulau Langkawi, Sabah dan Sarawak.


Romli berkata, mangsa ditemui ketika anggotanya sedang membuat rondaan Op PATKOR 23A/2014 sebelum mereka menemui sebuah bot nelayan Indonesia kelas A terapung di laut.

"Hasil siasatan mendapati seorang daripada penumpang adalah pelajar IPTA tempatan. Mereka berusia antara 23 dan 32 tahun dan bertolak dari jeti Kuala Selangor pada jam 4 petang pada hari kejadian," katanya.

Bagaimanapun katanya, semua mangsa kini direman sehingga 21 Ogos ini untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 dan juga Akta Imigresen.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Paksa kutip duit

Posted: 18 Aug 2014 12:41 PM PDT

Kuala Lumpur: Satu sindiket mengutip wang dikesan mengupah dan memaksa pelajar sekolah untuk mengutip derma menggunakan kad jogathon sekolah untuk mendapatkan wang mudah.

Dalam kejadian terkini, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di daerah Brickfields hidup dalam ketakutan selepas diugut bunuh oleh ahli sindiket berkenaan selepas mangsa enggan mengikut arahan mereka.

Sumber polis berkata, mangsa berusia 15 tahun itu berkenalan dengan ahli kumpulan itu melalui rakan sekolahnya berikutan lelaki itu selalu melepak di hadapan sekolah mangsa.

"Selepas mengenali lelaki itu sejak Jun lalu, mangsa mendapat tahu kegiatan sebenar lelaki berkenaan yang akan memaksa pelajar sekolah berkenaan untuk mengutip derma menggunakan salinan kad jogathon sekolah lain sebelum menyerahkan wang berkenaan kepadanya.

"Mangsa turut dipaksa untuk membuat perkara yang sama dan selepas membuat kutipan beberapa hari, mangsa dipaksa untuk menyerahkan wang kutipan itu dan jika gagal, dia diugut bunuh," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan memberitahu keluarganya.

Mangsa kemudian dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk membuat laporan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan keterangan mangsa sudah diambil untuk tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Semua 8 ditahan

Posted: 18 Aug 2014 12:40 PM PDT

Shah Alam: Sepasang suami isteri yang juga pengamal perubatan mengalami detik cemas selepas rumah mereka disamun empat lelaki dalam kejadian di Taman Sahabat, Tanjung Karang, Selasa lalu.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi itu, mangsa yang berusia 27 tahun cedera ringan manakala suaminya parah kerana ditetak selepas empat lelaki termasuk seorang daripada mereka bersenjatakan parang memecah masuk rumah mereka.

Difahamkan, kumpulan lelaki terbabit memasuki rumah mangsa melalui tingkap bilik belakang yang diumpil sebelum melarikan barang kemas, telefon bimbit, jam tangan serta sejumlah wang tunai dan kerugian dianggar RM4,500.

Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Rahim Jaafar berkata, susulan kejadian itu, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor menjalankan risikan dan menahan seorang suspek berumur 19 tahun di Kampung Seri Indah, Sungai Buloh, jam 1.30 pagi, semalam.

Foto

MOTOSIKAL antara barang bukti kumpulan samun.

Foto

ANTARA MyKad yang dirampas daripada kumpulan samun.


"Kira-kira lapan jam selepas tangkapan suspek pertama, polis menahan enam lagi suspek termasuk seorang wanita berumur antara 19 dan 22 tahun di Kota Malim Prima dekat Tanjung Malim, Perak," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.


Menurutnya, susulan dua tangkapan itu, seorang lagi suspek yang juga ahli kumpulan berumur 20 tahun ditahan di tepi Jalan Besar Kampung Melayu Sungai Buloh.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

Selak telekung

Posted: 18 Aug 2014 12:37 PM PDT

Kota Bharu: "Saya sudah rasa tidak sedap hati ketika terpandang kereta bercermin gelap tiba-tiba berhenti di belakang kedai runcit itu.

"Sebab itu juga saya berpatah balik sebelum mereka tiba-tiba menarik dua tangan saya dari belakang dan memegang tengkuk," kata Esah Seman, 72, yang diragut ketika dalam perjalanan ke surau untuk menunaikan solat Subuh di Kampung Mulong, dekat sini, kelmarin.

Kejadian jam 5.50 pagi itu menyebabkan Esah kerugian RM3,000 apabila rantai lehernya direntap dan dia cedera ringan di lutut dan tangan.

Menceritakan detik cemas itu, warga emas terbabit berkata, dia berjalan sendirian dari rumahnya tidak jauh dari kedai runcit itu untuk solat Subuh di surau.

Foto

ESAH (kiri) melakonkan semula kejadian ragut yang menimpanya di Kampung Mulong, kelmarin.


"Sudah jadi amalan saya berjalan kaki seorang diri melalui belakang kedai runcit ini kerana lebih dekat.


"Saya yang baru hendak melalui kawasan itu terus berpatah balik, tetapi tidak sempat menyelamatkan diri apabila dua lelaki keluar dari kereta dan terus menyentap tangan saya ke belakang dan memegang tengkuk serta menyelak telekung yang saya pakai.

"Mereka menarik rantai leher emas yang saya pakai sebelum melepaskan tangan menyebabkan saya tersungkur dan luka di lutut dan tangan," katanya, semalam.

Esah berkata, percaya lelaki berkenaan sudah lama memerhati sekitar kawasan berkenaan sebelum mendekatinya.

Katanya, syukur kerana ketika kejadian tidak memakai gelang tangan emas dan cincin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Idris Abd Rafar ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Katanya, mangsa membuat laporan di Balai Polis Nilam Puri jam 8 pagi hari kejadian dan kes disiasat Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/19

No comments:

Post a Comment