Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Ini baru peminat tegar MU

Posted: 21 Aug 2014 10:57 AM PDT

Svishtov (Bulgaria): Seorang peminat yang begitu taksub dengan pasukan bola sepak Inggeris Manchester United (MU) mentatu lencana kelab berkenaan pada dahinya.

Pekerja binaan warga Bulgaria itu yang sebelum ini bernama Zdravkov Levidzhov, 50, juga menukar namanya kepada Manchester United selepas berusaha untuk menyakinkan mahkamah agar membenarkan namanya itu sejak 10 tahun lalu.

Meskipun tatu lencana kelab bola sepak tidak pernah didengar, tindakan lelaki itu menarik banyak perhatian.

United memberitahu wartawan, tatu itu melambangkan pengenalan dirinya yang unik.

Foto

KOLEKSI barang kenang-kenangan MU menghiasi rumah United di Bulgaria.

Foto

TATU MU di belakang tubuh seorang lagi peminat kelab itu.

Foto

UNITED dengan tatu lencana MU pada dahinya.

"Orang ramai melihat saya dengan penuh kagum. Ia membuktikan kesetiaan saya kepada United.

"Sebelum ini saya mahu mentatu lencana itu pada lengan, tetapi ia tidak akan memberi kesan yang sama," katanya.

Meskipun sudah sekian lama menyokong kelab berkenaan, dia hanya pernah berada di Old Trafford sekali saja, selepas menyimpan wang selama tiga tahun.

United kini tinggal bersama ibu dan kucing peliharaannya yang dinamakan sempena pemain yang diminatinya, David Beckham, di sebuah flat di Svishtov.

United bagaimanapun bukan satu-satunya penyokong MU yang mengabadikan kesetiaan mereka dengan mentatu anggota tubuh mereka.

Tahun lalu, seorang penyokong pasukan itu mempamerkan tatu di belakang badannya yang memberi penghormatan kepada Sir Alex Ferguson, Busby Babes dan jam bagi memperingati kemalangan udara di Munich yang membabitkan pasukan itu.

Di bawah pula ialah tatu wajah George Best, Ole Gunnar Solskjaer dan Eric Cantona.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Apartmen paling mahal di dunia

Posted: 21 Aug 2014 10:49 AM PDT

Monaco: Sebuah apartmen berharga £240 juta (RM1.3 bilion) yang paling mahal di dunia kini dalam pembinaan, di sini.

Aparment berkenaan mempunyai lima tingkat, terletak di tingkat atas Tour Odéon, bangunan pencakar langit baru setinggi 171 meter itu yang akan siap tahun depan.

Apartmen mewah itu mempunyai pemandangan menakjubkan menghadap Laut Meditteranean.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan gelongsor persendirian bagi pemiliknya untuk meluncur ke kolam renang besar di atas bangunan berkenaan.

Foto

TOUR Odeoan setinggi 49 tingkat akan menjadi menara kedua tertinggi di pantai Mediterranean.

Foto

KOLAM renang dengan gelongsor yang disambung pada apartmen berharga RM1.3 bilion itu.


Bangunan itu yang turut menempatkan 70 apartmen lain akan mempunyai pusat kesihatan, katerer dalaman di samping perkhidmatan penyelenggaraan 24 jam.


Tour Odéon ialah bangunan pencakar langit pertama dibina di tepi pantai Monaco dalam masa 30 tahun selepas Putera Rainier, pemerintah negara itu mengambil keputusan menghentikan pembinaan bangunan tinggi kerana bimbang ia akan memusnahkan pantainya pada 1980-an.

Keputusan itu dibatalkan anak yang juga penggantinya, Putera Albert.

Kediaman mewah itu disasarkan kepada pelanggan Eropah yang kaya.- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Adu tak dapat layanan pelacur

Posted: 21 Aug 2014 10:45 AM PDT

Montana (Amerika Syarikat): Seorang lelaki, William McDaniel, 53, ditangkap kelmarin selepas didakwa memanggil polis untuk mengadu berkenaan seorang pelacur enggan mengadakan seks dengannya.

Menurut polis, McDaniel mengunjungi pusat pelacuran di Butte, Montana dan memberikan seorang wanita wang AS$350 (RM1,120) supaya menari untuknya.

Bagaimanapun, tarian itu dihentikan tiba-tiba apabila McDaniel menjadi agresif cuba memeluk wanita itu.

Marah kerana penari itu menolak kehendaknya, lelaki berkenaan menelefon 911 untuk memaklumkan kepada pihak berkuasa bahawa wanita itu tidak mahu mengadakan seks dengannya.


Polis yang tiba di tempat kejadian menahan McDaniel atas tuduhan melanggan pelacur. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Sah Prayut PM Thai

Posted: 21 Aug 2014 10:44 AM PDT

Bangkok: Parlimen Thai yang dikuasai anggota tentera semalam memilih pemimpin rampasan kuasa Jeneral Prayut Chan-O-Cha sebagai perdana menteri baru negara itu.

Pelantikan Prayut, ketua tentera negara itu yang menggulingkan kerajaan yang dipilih menerusi pilihan raya dalam rampasan kuasa 22 Mei lalu, disokong 191 daripada 197 anggota Dewan.

Tiga ahli berkecuali dan tiga lagi anggota tidak hadir pada persidangan semalam.

Tidak ada anggota membantah pemilihan ketua tentera itu, satu-satunya calon untuk jawatan berkenaan.

Foto

PERDANA Menteri Thai yang baru Prayut (kiri) bersama isteri, Naraporn Chanoch (kanan) bergambar bersama keluarga tentera ketika dia melawat markas Rejimen 21 Infantri di wilayah Chonburi, semalam.


Prayut tidak hadir pada sidang berkenaan.


Pelantikannya bagaimanapun mesti diluluskan Raja Bhumibol Adulyadej walapun ia hanya formaliti.

Langkah Prayut mengambil alih jawatan perdana menteri itu dilihat sebagai usaha untuk mengukuhkan penguasaan tentera di negara yang sering dilanda kekacauan politik.

Junta itu menolak untuk mengadakan pilihan raya baru sebelum atau pada Oktober tahun depan walaupun digesa Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah supaya ia kembali kepada demokrasi.

Prayut yang dijangka bersara sebagai panglima tentera pada September, ialah penentang bekas perdana menteri Thaksin Shinawatra yang penggulingannya pada 2006 menjerumuskan Thailand dalam krisis politik berpanjangan.

Thaksin, abang Yingluck, perdana menteri yang digulingkan Prayut, melarikan diri pada 2008 kerana mengelak hukuman penjara atas tuduhan rasuah.

Pemerintah tentera berkata, mereka mahu melakukan pembaharuan bagi mengakhiri kekacauan politik dan keganasan jalanan.

Bagaimanpun, pengkritik berkata, penggulingan itu bertujuan menghapuskan pengaruh Thaksin.

Prayut juga sering dianggap sebagai perancang tindakan ketenteraan terhadap perhimpunan 'Baju Merah,' kumpulan penyokong Thaksin di Bangkok pada 2010 yang menyebabkan puluhan orang mati.
Sebelum merampas kuasa, peminat golf dan bapa anak kembar itu berkata, dia tidak akan membenarkan Thailand menjadi sebuah lagi Ukraine atau Mesir. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Filipina risau militan IS pulang

Posted: 21 Aug 2014 10:42 AM PDT

Manila: Kira-kira 100 penduduk Islam Filipina yang menyertai kumpulan Negara Islam (IS) dibimbangi melakukan keganasan di Filipina apabila mereka pulang kelak.

Bekas Presiden Fidel Ramos berkata, militan itu dipilih oleh 12 militan Asia Tenggara yang masih bersembunyi di selatan negara itu sejak lebih 10 tahun lalu.

"Sekurang-kurangnya 100 rakyat Islam Filipina memasuki Iraq untuk menjalani latihan dan mereka mungkin melancarkan keganasan apabila pulang nanti.

"Presiden Benigno seharusnya memberi tumpuan rancangan antikeganasan bagi menghadapi kemungkinan itu," kata Ramis.


Sekurang-kurangnya 12 anggota Jemaah Islamiah (JI) cabang al-Qaeda di Asia Tenggara antaranya rakyat Malaysia, Indonesia dan Singapura bersembunyi di selatan Filipina, kata satu sumber tentera yang enggan dikenali.- AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Kemenangan Jokowi kekal

Posted: 21 Aug 2014 10:42 AM PDT

Jakarta: Mahkamah tertinggi Indonesia semalam mengekalkan keputusan pilihan raya presiden negara itu, sekali gus membuka jalan kepada Joko 'Jokowi' Widodo untuk menggantikan Presiden Susilo Bambang Yudhoyonio sebagai pemimpin negara demokrasi ketiga terbesar dunia.

Mahkamah Perlembagaan menolak usaha terakhir oleh calon yang kalah dalam pilihan raya berkenaan, Prabowo Subianto untuk membatalkan keputusan berkenaan yang dia dakwa dicemari dengan penyelewengan dan penipuan secara besar-besaran.

Keputusan mahkamah itu tidak boleh dirayu.

"Mahkamah menolak semua permohonan daripada pemohon (Prabowo)" kata Ketua Mahkamah Perlembagaan, Hamdan Zoelva.

Suruhanjaya Pilihan Raya bulan lalu mengisyitiharkan Jokowi menang dengan kelebihan 8.5 juta undi atau lebih 53 peratus dalam pilihan raya presiden paling sengit dalam sejarah Indonesia.

Terdahulu, polis terpaksa menembak gas pemedih mata dan meriam air dalam usaha menyuraikan penyokong Prabowo yang mengancam menyerbu mahkamah itu.

Lapan orang dikatakan cedera.

Sembilan hakim mula membaca keputusan mereka seorang demi seorang yang dianggarkan beratusan muka sejak jam 2 petang (waktu tempatan) dan mengambil masa berjam-jam sebelum mengumumkan keputusan menyeluruh.

Dengan halangan dari segi perundangan sudah berakhir, presiden terpilih itu kini boleh menyegerakan persiapannya sebelum mengambil alih jawatan pada 20 Oktober depan.

Beliau dijangka meletak jawatan selaku Gabenor Jakarta dalam masa terdekat ini untuk memberi tumpuan kepada proses peralihan kuasa.

Pentadbiran Susilo sehingga ini menangguhkan perbincangan dengan pasukan peralihan Jokowi mengenai isu ekonomi, kenaikan kos subsidi minyak dan jurang defisit akaun semasa yang semakin besar.

Seorang anggota pasukan peralihan Jokowi memberitahu wartawan: "Kami akan bersikap terbuka dalam perbincangan dengan pentadbiran kerajaan sekarang." Kira-kira 50,000 polis dan tentera dikerah berjaga-jaga di sekitar Jakarta bagi menghadapi kemungkinan keganasan meletus.

Beberapa premis perniagaan dan sekolah ditutup sebagai langkah berwaspada.

Seorang jurucakap Prabowo menggesa penyokongnya mengelak daripada melakukan keganasan dan berkata, keputusan mahkamah itu akan dihormati.

"Kami akan menghormati keputusan mahkamah kerana ia muktamad dan berperlembagaan," kata Tantowi Yahya sebelum keputusan akhir itu diumumkan.

Prabowo bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengulas keputusan berkenaan.

Bagaimanapun, menurut beberapa laporan, beliau akan bermesyuarat dengan pengerusi beberapa parti politik yang menyokongnya dalam pilihan raya 9 Julai lalu yang dipuji oleh pemerhati antarabangsa kerana telus.

Sementara itu, Jokowi semalam berharap Prabowo dan penyokongnya dapat menerima keputusan pilihan raya selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan kemenangannya.- Agensi

Foto

PEMANDANGAN dalam Mahkamah Perlembagaan ketika hendak memutuskan perbicaraan berkait dengan pilihan raya presiden Indonesia, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Hubungan Joko, Prabowo baik

Posted: 21 Aug 2014 10:40 AM PDT

Jakarta: Presiden terpilih Joko 'Jokowi' Widodo berkata hubungannya dengan Prabowo Subianto, penentangnya dalam pilihan raya presiden Indonesia Julai lalu tetap baik.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan sebelum Mahkamah Perlembagaan mengumumkan keputusan mengenai perbicaraan mencabar keputusan pilihan raya itu.

Jokowi dan pasangannga, Jusuf Kalla diisytihar memenangi pilihan raya berkenaan oleh suruhanjaya pilihan raya tetapi dibantah oleh Prabowo dan pasangannya, Hatta Rajasa yang mendakwa berlaku penyelewengan ketika proses pengundian.

"Saya dengan Prabowo bersahabat baik.

Tiada masalah antara kami.

Memang kami baik," kata Jokowi kepada wartawan di Jakarta, semalam.

Dia mengaku hubungan itu tegang seketika ketika kempen pilihan raya dengan kedua-duanya saling sindir-menyindir.


"Ketika itu keadaan memang tegang, tetapi kini sudah baik semula.


Dan kerana itu tidak perlu ada usaha untuk membaikkan semula saya dengan Prabowo.

Memang kami sudah baik," katanya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Gas pemedih mata lerai tunjuk perasaan

Posted: 21 Aug 2014 10:40 AM PDT

Jakarta: Polis semalam menembak gas pemedih mata dan meriam air untuk menyuraikan tunjuk perasaan oleh penyokong bekas jeneral yang kalah dalam pilihan raya presiden bulan lalu.

Ketika hakim Mahkamah Perlembagaan mula membacakan rumusan panjang lebar keputusan perbicaraan bantahan Prabowo Subianto terhadap pilihan raya yang dimenangi Joko 'Jokowi' Widodo, polis bertindak terhadap penyokongnya dengan kekerasan.

Polis menembak gas pemedih mata dan meriam air ke arah beratus-ratus penyokong bekas jeneral itu yang sebelum itu melontar batu dan cuba merempuh barisan polis pencegah rusuhan yang mengawal jalan raya menuju ke mahkamah.

Beberapa anggota polis turut mengejar penyokong dan memukul mereka dengan belantan.

Ia berakhir hanya beberapa minit dan orang ramai kemudian bersurai.

Seorang penunjuk perasaan dilihat dibawa menaiki ambulans.

Dalianto, penunjuk perasaan berusia 57 tahun, sebelum itu memberitahu wartawan, dia berada di situ untuk menunjukkan sokongan kepada Prabowo yang dianggapnya 'presiden sebenar.' Sebelum ini, keputusan rasmi yang diumumkan selepas proses pengiraan di seluruh Indonesia menunjukkan Jokowi mencapai kemenangan mutlak.

Bagaimanapun, Prabowo yang berusaha menjadi presiden sejak 10 tahun lalu, enggan menerima keputusan itu dan pasukannya memfailkan bantahan panjang lebar terhadap suruhanjaya pilihan raya di Mahkamah Perlembagaan, badan yang mempunyai kata putus mengenai pertikaian pilihan raya.

- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

3 pemimpin kanan Hamas gugur syahid

Posted: 21 Aug 2014 10:39 AM PDT

Gaza: Tiga pemimpin kanan sayap bersenjata Hamas terbunuh dalam serangan udara Israel semalam yang mungkin menjadi tamparan hebat kepada moral pertubuhan itu.

Serangan berhampiran Rafah, bandar di selatan Gaza itu antara 20 serangan dilancarkan Israel sepanjang malam kelmarin.

Dalam mesej kepada media, Hamas mengesahkan, tiga pemimpin kanan tenteranya Mohammed Abu Shamaleh, Mohammed Barhoum dan Raed al-Attar — terbunuh bersama-sama tiga yang lain.

Polis dan pegawai perubatan Gaza berkata, puluhan orang tertimbus di bawah runtuhan bangunan empat tingkat yang musnah dalam serangan berkenaan.

Ketiga-tiga pemimpin Hamas itu dianggap pemimpin paling kanan sayap tenteranya dan terbabit dalam beberapa serangan ke atas Israel.

Agensi perisikan Israel, Shin Bet mengesahkan kematian Shamaleh dan al-Attar, tetapi tidak menyebut Barhaoum.

Israel menyambung semula keganasannya selepas rundingan mengadakan gencatan senjata jangka panjang di Kaherah menemui jalan buntu.

Kekejaman Israel sejak 7 Julai lalu setakat ini meragut hampir 2,100 nyawa warga Palestin, kebanyakannya orang awam sedangkan dipihaknya, daripada 67 orang yang mati, hanya tiga daripadanya orang awam.

Pegawai kesihatan Palestin Ashraf al-Kidra berkata, puluhan orang mungkin terimbus di bawah runtuhan dalam serangan di Rafah itu.

Di tempat lain, satu lagi serangan Israel di tengah Gaza membunuh lelaki berusia 27 tahun, Jomma Anwar Mayar.

Israel turut menyerang apa yang didakwanya terowong penyeludupan di sepanjang sempadan Gaza dengan Mesir dan sebuah kawasan pertanian di barat Rafah.

Israel sebelum ini menyasarkan ketua tentera Hamas, Mohammed Deif.

Serangan itu bagaimanapun membunuh isteri dan bayi Deif.

Hamas berkata, Deif terselamat.

Berucap menerusi televisyen, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dengan bongkak berkata, rejimnya akan meneruskan serangan ke atas Gaza selagi perlu.

Rundingan di Kaherah gagal selepas Israel dan Mesir enggan menarik balik sepenuhnya kepungan ke atas Gaza seperti yang dituntut Hamas.- AP

Foto

PETUGAS bertungkus-lumus mengeluarkan jenazah mangsa yang tertimbus disebalik runtuhan kediaman yang musnah akibat serangan udara Israel yang menyebabkan tiga komander kanan Briged Al-Qassam terbunuh.

Foto

AHLI keluarga al-Rifi meratapi kematian tiga kanak-kanak di bilik mayat Hospital al-Shifa, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

AS tingkat serangan

Posted: 21 Aug 2014 10:35 AM PDT

Washington: Amerika Syarikat (AS) semalam melancarkan serangan udara terbaru ke atas kumpulan bersenjata Sunni yang bertanggungjawab dalam pembunuhan wartawan negara itu, James Foley.

Presiden Barrack Obama bertekad untuk terus memburu kumpulan berkenaan dan White House mendedahkan AS sudah melancarkan operasi menyelamat rahsia di Syria sebelum ini namun gagal menyelamatkan Foley.

Beberapa rakyat Amerika juga masih berada dalam tawanan kumpulan itu.

Obama dalam ucapannya kelmarin berkata AS akan melakukan apa yang termampu untuk melindungi rakyatnya.

Dalam pada itu, Jabatan Negara AS enggan menolak kemungkinan terbabit dalam ketenteraan di Syria pada masa akan datang walaupun Obama mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam perang saudara yang berlaku sejak tiga tahun lalu.

Pembunuhan Foley dilihat sebagai satu tindakan balas dendam IS terhadap AS yang melancarkan serangan udara ke atas mereka di Iraq dan turut menegaskan bahawa lebih ramai tawanan akan berdepan nasib sama jika serangan itu berterusan.

Bagaimanapun, AS terus melancarkan 14 lagi serangan udara terbaru selepas video pembunuhan itu tersebar menjadikan jumlah serangan udara sejak ia mula dilancarkan 8 Ogos lalu sebanyak 84 serangan.

Dua pegawai AS berkata, pasukan tentera tambahan mungkin digerakkan ke Iraq bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Baghdad yang juga lokasi kedutaan AS di negara itu.

Ia akan menjadikan jumlah tentera AS yang berada di Iraq kini melebihi 1,000 anggota namun perkara itu masih belum diputuskan.

Sementara itu, Jordan dan Arab Saudi yang bersempadan dengan Iraq menempatkan tentera mereka di kawasan sempadan bagi mengelakkan sebarang kemungkinan serangan IS.

Iran pula menghantar penasihat tentera bagi membantu menguruskan militia Syiah di Iraq dan melindungi tempat suci Syiah.- AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

No comments:

Post a Comment