Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Maut dipatuk 'kepala tedung'

Posted: 24 Aug 2014 01:41 PM PDT

Guangzhou: Seorang chef mati dipatuk ular tedung 20 minit selepas kepala reptilia berkenaan dipisahkan dari badannya untuk dimasak.

Dalam kejadian itu, tukang masak berasal dari Foshan, Peng Fan dilaporkan sedang menyiang seekor ular tedung. Restoran berkenaan memang dikenali ramai kerana menyediakan hidangan istimewa menggunakan daging ular tedung Indochina.


Media semalam melaporkan, Peng bercadang membuang kepala ular itu ke dalam tong sampah apabila dia dipatuk. Sumber berkata, badan ular itu biasanya dimasak sup manakala kepalanya dibuang begitu saja. Ia adalah hidangan popular di Guangdong dan banyak ditawarkan di restoran mewah wilayah berkenaan.

Pelanggan restoran itu, Lin Sun, 44, berkata, dia datang bersama isterinya ke restoran berkenaan untuk meraikan hari lahir apabila tiba-tiba suasana menjadi kecoh.


"Kami tidak mengetahui apa yang berlaku, tetapi dapat mendengar jeritan dari dapur. "Kami nampak pekerja restoran menghubungi doktor. "Apabila bantuan perubatan tiba, dia sudah meninggal dunia," katanya.


Selepas mendengar berita itu, dia dan isterinya segera meninggalkan restoran berkenaan. Mangsa patukan ular tedung Indochina biasanya mengalami sesak nafas kerana toksik dalam bisa ular melumpuhkan sistem pernafasan.

Foto

KEPALA ular yang dipotong tukang masak.

Jurucakap polis berkata, ia adalah kes luar biasa tetapi dikategorikan sebagai kemalangan.


"Tiada apa yang dapat dilakukan untuk menyelamatkan Peng. "Sepatutnya vaksin antibisa boleh membantu, namun ia tidak sempat diberikan. Ia memang tragik," katanya.

Pakar ular, Yang Hong-chang berkata, menyatakan semua reptilia boleh hidup sehingga satu jam selepas terputus sebahagian atau keseluruhan badannya.


"Memang ada kemungkinan ular itu masih hidup walaupun kepala dan badannya sudah terpisah. "Apabila kepala ular dipotong, sistem badannya terhenti namun masih ada tindak balas boleh berlaku dan ia mampu mematuk," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Jupe Ratu Tinju Profesional

Posted: 24 Aug 2014 01:39 PM PDT

Jakarta: Aktres seksi Julia Perez (Jupe) dinobatkan sebagai Ratu Tinju Profesional Indonesia dalam usaha merancakkan kembali sukan tinju yang semakin suram di negara itu.

Penganugerahan itu diumum penganjur kejohanan tinju tempatan, Yance Rahman menjelang kejuaraan tinju yang bakal berlangsung bulan depan.


Kejuaraan tinju itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-487 pembukaan Jakarta.

Dengan ternobatnya Jupe sebagai Ratu Tinju Profesional, dia pasti hadir memeriahkan kejohanan berkenaan. Selain itu sukan tinju Indonesia juga dirancakkan lagi dengan penganjuran Kejuaraan Tinju Tali Pinggang Emas Gabenor Jakarta, Piala The Best Boxer dan Piala Peninju Harapan Jakarta yang diadakan sempena Hari Antidadah Antarabangsa dan sambutan Kemerdekaan Indonesia ke-69.


Dalam acara itu nanti, Jupe akan dikalungkan pingat emas sebagai simbolik penganugerahan gelaran Ratu tinju profesional Indonesia.


"Penganugerahan ini bertujuan menjalinkan kerjasama dengan selebriti terkenal demi merancakkan kembali arena tinju profesional negara ini yang kian suram," kata Yance.

Sebelum ini, gelaran sama dianugerahkan kepada seorang lagi aktres seksi Indonesia, Camel Petir.


Yance berkata, sukan tinju profesional sebahagian daripada pencapaian negara ini dan ia berkait rapat dengan selebriti. Justeru, kerjasama artis dalam dunia tinju perlu diwujudkan. "Diharap dengan pemilihan Jupe sebagai duta sukan ini akan menghidupkan kembali kemeriahannya," katanya.

Sementara itu, Jupe mengakui bimbang melihatkan prestasi sukan berkenaan yang semakin merudum selepas tamatnya era peninju hebat seperti Ellyas Pical, Niko Thomas, Chris John, dan M Rahman. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Rampasan dadah paling besar di Myanmar

Posted: 24 Aug 2014 01:38 PM PDT

Yangon: Pihak berkuasa menahan 15 lelaki dan mematahkan cubaan menyeludup dadah terbesar dalam sejarah Myanmar.

Pegawai kanan skuad antidadah Myanmar, Myint Oo berkata tentera laut negara itu memintas sebuah kapal mencurigakan di Kawthaung.


Katanya, kapal berkenaan dalam perjalanan menuju Thailand.

"Selepas diperiksa, kami menemui 2.4 juta pil ekstasi di dalamnya," katanya.


Nilai dadah dianggar RM63.2 juta.


Myint berkata, kejayaan itu yang terbesar dalam sejarah Myanmar. Julai lalu, pihak berkuasa merampas heroin bernilai RM7.2 juta di bandar Tachilek, wilayah Shan berhampiran sempadan Myanmar dan Thailand. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Yahudi kutuk serakah Zionis

Posted: 24 Aug 2014 01:37 PM PDT

New York: Ratusan mangsa Holocaust yang terselamat dan keturunan mereka menandatangani sepucuk surat yang disiarkan sebagai iklan dalam akhbar New York Times bagi mengutuk pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin di Gaza.

Mereka juga menggesa orang ramai supaya memboikot sepenuhnya Israel. Menurut surat itu, mereka terdorong melakukan kecaman berkenaan selepas aktivis politik dan profesor Yahudi Elie Wiesel membeli iklan di media massa utama seluruh dunia untuk menuduh Hamas sebagai pembunuh kanak-kanak.


Wiesel juga membandingkan kumpulan pejuang Palestin itu dengan Nazi. Surat ditandatangani 327 Yahudi mangsa Holocaust itu ditaja Rangkaian Antarabangsa Yahudi Antizionis dan mereka menganggap Elie menodai sejarah untuk menghalalkan serangan Israel ke atas Gaza.

Surat itu menyatakan: "Kami meluat dan marah terhadap memanipulasi sejarah oleh Elie Wiesel bagi menghalalkan usaha Israel memusnahkan Gaza dan membunuh lebih 2,000 warga Palestin yang kebanyakannya kanak-kanak. Tiada apa boleh mewajarkan pengeboman ke atas tempat perlindungan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, rumah, hospital dan universiti. Tiada alasan untuk menyekat bekalan air dan elektrik ke atas Palestin." Rangkaian Antarabangsa Yahudi Antizionis turut menyalahkan Amerika Syarikat kerana membantu Israel dalam operasi di Gaza tindak-tanduk mereka melindungi negara Yahudi itu daripada dikecam.


"Penghapusan bangsa bermula dengan kesenyapan dunia," kata surat itu.


Surat berkenaan diakhiri dengan gesaan supaya Israel menghentikan sekatan ke atas Gaza dengan serta-merta serta penegasan supaya kezaliman itu ditamatkan sepenuhnya. - Agensi

Foto

ORANG ramai melarikan diri selepas bangunan di sebelah kediaman mereka dibom.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Netanyahu: Kami takkan berhenti

Posted: 24 Aug 2014 01:34 PM PDT

Tel Aviv: Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu semalam berkata, serangan ke atas Gaza akan diteruskan selagi ia dirasakan perlu.

"Operasi ini akan disambung sehingga matlamatnya tercapai.


"Ia mungkin mengambil masa," katanya. Dalam serangan udara tentera Israel semalam, dua pemuda Palestin menjadi mangsa terbaru kekejaman rejim Zionis ketika pejuang terus melancarkan roket ke negara Yahudi itu.

Kekerapan serangan Israel semalam agak menurun berbanding kelmarin apabila 60 bom menggegarkan Gaza dan mengorbankan 10 penduduk awam, Sebuah bangunan 12 tingkat juga runtuh.


Namun tiada tanda menunjukkan serangan akan dihentikan. Tentera berkata, 20 "sasaran pengganas" di Gaza dibom pagi semalam (waktu tempatan) manakala pejuang Palestin melancarkan sekurang-kurangnya 20 roket atau mortar ke Israel. Netanyahu berkata, Hamas perlu menanggung akibat daripada perjuangan mereka. "Saya menyeru semua orang awam meningalkan sebarnag struktur yang menjadi tempat Hamas melakukan aktiviti ke atas kami. Semuanya menjadi sasaran kami," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Yazidi 'si penyembah kejahatan'

Posted: 24 Aug 2014 01:34 PM PDT

Baghdad: Laporan mendakwa militan Islam memerangkap sehingga 40,000 komuniti minoriti Iraq mendorong Amerika Syarikat (AS) mempertimbangkan langkah ketenteraan di negara berkenaan.

Kebanyakan mereka adalah penganut agama Yazidi dan dianggap satu daripada minoriti tertua wujud di Iraq.


Baru-baru ini, mereka dipaksa meninggalkan kediaman masing-masing dan berlindung di Gunung Sinjar di wilayah barat laut Iraq atau dibunuh oleh militan Daulah Islamiah (IS).

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan, 40,000 orang kebanyakannya wanita dan kanak-kanak berlindung di sembilan lokasi di kawasan pergunungan itu.


Pada masa sama, gambar mangsa kekejaman IS juga tersebar.


Dianggarkan sekurang-kurangnya 500 penganut Yazidi termasuk 40 kanak-kanak maut di tangan militan IS.

Foto

PELARIAN Yazidi menyediakan minuman pagi di kem perlindungan sementara mereka di Bajed Kadal di wilayah Dohuk, Iraq.

Siapakah penganut Yazidi sebenarnya? Di seluruh dunia dianggarkan ada 700,000 orang mengikut fahaman itu dengan kebanyakannya menetap di utara Iraq serta sekitar Gunung Sinjar.


Sering disalah faham, majoriti penganut Yazidi ialah daripada etnik Kurdis yang tetap mengamalkan kepercayaan mereka sejak beratus tahun lalu walaupun sering berdepan tekanan serta ancaman.

Agama purba itu khabarnya diasaskan seorang ilmuan zaman Umayyah dan pecahan daripada kepercayaan zaman Parsi, Kristian dan Islam.


Penganutnya mengamalkan beberapa unsur daripada agama Islam dan Kristian, manakala api pula dianggap sebagai manifestasi tuhan.


Walaupun mempercayai keesaan tuhan, penganut Yazidi turut mengakui kuasa tujuh 'malaikat' dengan satu daripadanya dikenali sebagai Melek Tawwus (Malaikat Merak).


Mengikut kepercayaan mereka, Melek Tawwus pernah melakukan dosa, tetapi dibenarkan tuhan kembali ke syurga.


Disebabkan pengabdian mereka kepada 'malaikat' itu, sesetengah pihak melihat penganut Yazidi sebagai penyembah kejahatan.


Ketika zaman pemerintahan Uthmaniyah pada abad ke-18 dan ke-19, penganut Yazidi dilaporkan pernah menghadapi pembunuhan beramai-ramai 72 kali.


Pada 2007 ratusan penganut Yazidi terbunuh dalam siri letupan bom di kawasan petempatan utama mereka di utara Iraq.


Pertubuhan Palang Merah Iraq berkata, hampir 800 orang terbunuh dalam siri serangan bom berkenaan.


Di mata al-Qaeda serta IS, penganut Yazidi mesti dibunuh kerana kekufuran mereka.


Seorang ahli parlimen di Iraq yang juga penganut Yazidi, Vian Dakhil, beberapa hari lalu menangis sambil merayu supaya komuniti antarabangsa menyelamatkan mereka. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Jerman intip Turki sejak 1976

Posted: 24 Aug 2014 01:31 PM PDT

Berlin: Agensi perisikan Jerman dilaporkan mula mengintip rahsia kerajaan Turki sejak hampir 40 tahun lalu, lapor majalah Focus, semalam.

Majalah itu mendakwa agensi perisikan BND Jerman memulakan aktiviti pengintipan pada 1976 dan ia diluluskan kerajaan yang ketika itu diketuai Canselor Helmut Schmidt.


Ketika ini, kata majalah itu, aktiviti berkenaan masih berjalan dan tetap mendapat sokongan kerajaan.

Antara yang terbabit meluluskannya, kata Focus ialah pejabat canselor, kementerian pertahanan, kementerian luar dan kementerian ekonomi. Pendedahan itu adalah aib tambahan ditanggung kerajaan Canselor Angela Merkel selepas ia dituduh bersikap hipokrit kerana berang apabila AS mengintip mereka.


Minggu lalu Turki memanggil Duta Jerman di Ankara selepas media membongkar aktiviti itu.


Media melaporkan, Ankara menjadi sasaran utama pengintipan Berlin sejak 2009. Bagaimanapun, ahli parlimen konservatif Jerman, Hans-Peter Uhl berkata, ada sebab yang kukuh untuk BND mengintip Turki.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

Penjara penduduk lindungi pesakit Ebola

Posted: 24 Aug 2014 01:29 PM PDT

Freetown: Sierra Leone yang masih bergelut untuk mengekang penularan wabak maut semalam meluluskan undang-undang baru yang membenarkan pihak berkuasa memenjara penduduk negara itu yang melindungi pesakit Ebola.

Peguam negara mengumumkan langkah terbaru itu ketika ahli parlimen mengecam negara jiran kerana gagal bertindak secukupnya bagi menyelesaikan krisis berkenaan. Sierra Leone satu daripada negara paling teruk terjejas akibat wabak berkenaan dengan 374 kematian dan 907 kes direkodkan setakat ini.


Peguam Negara Sierra Leone, Frank Kargbo berkata, seseorang didapati bersalah menyembunyikan individu disyaki dijangkiti penyakit maut itu boleh dipenjara sehingga dua tahun. Pemimpin parlimen, Ibrahim Bundu pula mengkritik negara jiran kerana membiarkan Sierra Leone bersendirian menangani isu berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/25

No comments:

Post a Comment