Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Vermaelen perkuat Barca

Posted: 10 Aug 2014 11:05 AM PDT

Madrid: Barcelona memantapkan pertahanannya apabila bersetuju membeli pemain serba boleh, tetapi dibelenggu masalah kecederaan Thomas Vermaelen dari Arsenal melalui kontrak lima tahun.

Barca tidak mendedahkan sebarang nilai perpindahan secara lengkap tetapi media Sepanyol melaporkan mereka bersetuju membayar 19 juta euro (RM81.7 juta) untuk mendapatkan khidmat pemain itu.


Pertahanan tengah berusia 28 tahun itu akan menjadi pemain kedua dari Belgium bermain untuk kelab Catalunya itu selepas Fernand Goyvaerts (1961-1965) dan pembeliannya adalah yang kedua bagi posisi itu apabila mereka mendapatkan pemain antarabangsa Perancis, Jeremy Mathieu dari Valencia bulan lalu.

Pertahanan kelemahan utama Barca musim lalu apabila mereka gagal memenangi sebarang trofi buat kali pertama dalam masa enam tahun dan jurulatih Gerardo Martino digantikan dengan bekas pemain Barcelona dan Sepanyol, Luis Enrique.


Vermaelen yang melepasi ujian perubatan diperkenalkan di Stadium Nou Camp serta menandatangani kontrak semalam. Dia berpindah ke Arsenal pada 2009 selepas sembilan tahun bersama Ajax Amsterdam.


Dia pantas menjadi pemain kesayangan di bilik persalinan dan dalam kalangan penyokong sebelum dilantik menjadi ketua pasukan.

Foto

Thomas Vermaelen

Karier Vermaelen dihantui masalah kecederaan menyebabkan dia hanya beraksi sebanyak 21 kali pada musim 2013-14, selepas diketepikan Laurent Koscielny dan Per Mertesacker untuk posisi pertahanan tengah.


Dia bermain 150 kali untuk Arsenal dalam semua pertandingan, menjaringkan 15 gol dan akan bersaing mendapatkan tempat di Barca yang kini mempunyai pemain antarabangsa Sepanyol, Gerard Pique, Mathieu dan pemain dari akademi, Marc Bartra.

Javier Mascherano juga kerap beraksi di bahagian pertahanan tengah sejak menyertai Barcelona dari Liverpool pada 2010, tetapi aksi baiknya di posisi tengah ketika bersama Argentina di Piala Dunia menyebabkan dia dijangka bermain di posisi itu pada musim baru. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Ledakan Arsenal!

Posted: 10 Aug 2014 10:54 AM PDT

London: Arsenal mencetuskan harapan baru kepada penyokongnya menjelang musim baru Liga Perdana Inggeris (EPL) minggu depan apabila menewaskan Manchester City 3-0 pada perlawanan Perisai Komuniti di Stadium Wembley malam tadi.

Perlawanan pembuka tirai itu mungkin tidak memberi banyak makna kepada hala tuju kejuaraan musim ini namun sekurang-kurangnya ia memberikan tonik buat skuad Gunners yang ketandusan kejuaraan liga sejak 2003 manakala buat City ia mesej jelas bahawa laluan berliku untuk mereka mempertahanan gelaran kali ini.


Arsene Wenger yang mengemudi Arsenal menjuarai Piala FA musim lalu menurunkan tiga pemain baru dalam kesebelasan utama iaitu pertahanan Calum Chambers dan Mathieu Debuchy serta bintang Piala Dunia Chile, Alexis Sanchez yang dibeli dengan bayaran perpindahan £35 juta (RM188 juta) dari Barcelona.

Manakala Manuel Pellegrini yang mengharungi musim cemerlang dengan membawa trofi liga ke Eastlands musim lalu tidak dapat menggunakan pemain yang dibawa masuk dari Chelsea, Frank Lampard kerana dikatakan tidak cukup cergas namun mempertaruhkan pemain baru Willy Caballero di posisi penjaga gol dan Fernando di bahagian tengah.


Namun percaturan pengendali dari Chile itu nyata kurang menjadi apabila Arsenal berjaya mendahului dua gol pada babak pertama menerusi jaringan pemain tengah Santi Cazorla dan Aaron Ramsey.


Cazorla yang masa depannya masih belum menentu bersama Arsenal kerana dikaitkan dengan perpindahan ke beberapa kelab menghasilkan rembatan menerusi kaki kiri pada minit ke-21.

Pemain paling menyerlah Arsenal musim lalu, Ramsey kemudian menambah keceriaan penyokong kelab dari London itu dengan meledak gol menewaskan Caballero pada minit ke-42 selepas mendapat umpanan penyerang tunggal Yaya Sanogo.


Ketiadaan Sergio Aguero di jentera serangan memberi kesan kepada City apabila gandingan Edin Dzeko dan Steven Jovetic kurang menjadi.

Aksi Sanchez berakhir pada minit ke-46 apabila dia digantikan dengan pemain muda England, Alex Oxlade-Chamberlain bagaimanapun ia tidak menyekat Gunners mencipta gol ketiga menerusi penyerang gantian Olivier Giroud yang masuk mengambil tempat Sanogo. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Nasri gantung but skuad kebangsaan Perancis

Posted: 10 Aug 2014 10:54 AM PDT

London: Pemain tengah Manchester City, Samir Nasri membuat keputusan berundur daripada skuad kebangsaan Perancis berikutan hubungan dinginnya dengan jurulatih Didier Deschamps dan media Perancis.

Perancang tengah berusia 27 tahun itu membantu City memenangi Liga Perdana Inggeris musim lalu tetapi tidak tersenarai ke skuad Piala Dunia di Brazil yang menyaksikan Perancis berjaya mara ke suku akhir.


Deschamps kemudian memfailkan saman penghinaan awam terhadap teman wanita Nasri, Anara Atanes berhubung mesej yang ditulis di akaun Twitter miliknya selepas teman lelakinya itu disingkirkan daripada skuad kebangsaan.

"Mari berdepan isu ini. Selagi Deschamps menjadi jurulatih, saya tidak mungkin akan beraksi.


"Saya baru berusia 29 tahun apabila Perancis menganjurkan Euro 2016 tapi skuad kebangsaan Perancis tidak pernah membuatkan saya berasa gembira. Setiap kali saya beraksi, ia menambahkan lebih banyak masalah.


"Saya berdepan tuduhan buruk dan keluarga turut diheret dengan isu ini. Saya tidak mahu mereka terbabit, jadi lebih baik saya berhenti dan fokus kepada kelab saja," katanya.

Nasri yang sudah melakukan 41 penampilan, sering mencetuskan masalah dan digantung tiga perlawanan selepas mengeluarkan kata-kata kesat ke atas wartawan berikutan kekalahan Perancis kepada Sepanyol pada saingan suku akhir Euro 2012.


Pemain itu turut terlepas aksi Piala Dunia 2010 selepas bekas jurulatih Raymond Domenech menyingkirkannya.

Nasri berkata, bukan Deschamps saja yang menyebabkannya tekad mengambil keputusan untuk bersara.


"Saya faham dan akur dengan pilihannya. Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengannya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Spurs garang

Posted: 10 Aug 2014 10:53 AM PDT

London: Penyerang skuad kebangsaan Togo, Emmanuel Adebayor mencetak nama selaku penjaring selepas kelabnya Tottenham berjaya menewaskan wakil dari Jerman, Schalke 2-1 pada aksi persahabatan kelmarin.

Jaringan minit ke-29 menerusi sentuhan pemusnah Adebayor dan rakan sepasukannya Roberto Soldado pada minit ke-66 menghadiahkan kemenangan pertama buat pengurus baru Tottenham, Mauricio Pochettino di White Hart Lane selepas memimpin Southampton selama semusim.


Pochettino yang dilantik selepas pemecatan Tim Sherwood, hadir dengan reputasi besar menyaksikan barisan pasukannya mempamerkan permainan menghiburkan di samping turut mencipta banyak peluang keemasan bertemu Schalke.

Berbaki 10 minit, tonggak tengah Ghana, Kevin-Prince Boateng merapatkan kedudukan buat kelab Jerman itu namun kelab berpangkalan di utara London itu kekal bertahan bagi melakar kemenangan dan meningkatkan motivasi menjelang perlawanan pembukaan menentang West Ham dalam Liga Perdana Inggeris, hujung minggu ini.


Sementara itu pada aksi persahabatan di Upton Park menyaksikan West Ham sudah bersedia berdepan musuh setempat dalam perlawanan pertama saingan EPL apabila membenam kelab dari Itali Sampdoria 3-2.


Pemain remaja West Ham, Reece Burke muncul wira menerusi jaringan kemenangan buat mengendurkan tekanan pengendalinya Sam Allardyce selepas mencatat kemenangan pertama West Ham sepanjang aksi pramusim.

Sebelum itu, gerakan solo Mo Diame membolehkan West Ham menyamakan kedudukan selepas Stefan Okaka dan Citadin Eder meletakkan Sampdoria di depan namun Mark Noble merapatkan kedudukan menerusi sepakan penalti.


Southampton sebelum itu tewas 0-1 kepada kelab dari Jerman, Bayer Leverkusen.

Pada akhir musim lalu, Southampton melepaskan beberapa pemain utamanya seperti Adam Lallana, Luke Shaw, Rickie Lambert, Calum Chambers dan Dejan Lovren dengan menyaksikan pengurus baru Ronald Koeman bergelut untuk mencari pengganti berkualiti. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Fulham tak menjadi

Posted: 10 Aug 2014 10:53 AM PDT

London: Fulham bermula langkah kiri dalam misi untuk kembali semula ke Liga Perdana Inggeris apabila tewas di tangan Ipswich Town 1-2 dalam aksi pembukaan Liga Kejuaraan, kelmarin.

Skuad kendalian Felix Magath yang dirombak secara besar-besaran hanya mengekalkan bekas pemain tengah England, Scott Parker musim ini ketinggalan menerusi dua jaringan lawan Daryl Murphy dan David McGoldrick.


Namun kelab dari barat London itu yang diturunkan pangkat selepas 13 tahun beraksi dalam liga utama kembali bangkit dengan merapatkan kedudukan hasil sentuhan bekas pemain Schalke 04, Tim Hoogland lima minit sebelum tamat.

"Kami mempunyai ramai pemain baru. Mungkin perlawanan pertama tidak menjadi buat kami, namun kami tetap inginkan kemenangan," kata Hoogland.


"Bagi saya ia sememangnya menyedihkan apabila kami diturunkan ke liga bawahan. Saya rasa Fulham sebuah kelab besar dan perlu berada dalam Liga Perdana Inggeris," katanya kepada BBC.


Bekas pengurus England yang kini mengemudi pasukan Derby County, Steve McClaren memulakan aksi sulung dalam kempen untuk layak beraksi di EPL musim depan meraih kemenangan pertama 1-0 ke atas Rotherham United, menerusi jaringan lewat Jeff Hendrick.

"Kemenangan ini sangat penting, kami ingin mempamerkan aksi terbaik dalam setiap perlawanan dan mencapai keputusan yang positif," kata McClaren. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Marseille seri aksi pembukaan

Posted: 10 Aug 2014 10:51 AM PDT

Paris: Penyerang Andre-Pierre Gignac menjaringkan dua gol tetapi kesilapan pertahanan menyebabkan pasukan bimbingan Marcelo Bielsa, Olympique Marseille hanya seri 3-3 pada perlawanan pembukaan Ligue 1 menentang Bastia kelmarin.

Marseille cuba bangkit semula musim ini dengan mendapat sentuhan magis jurulatih Argentina, Bielsa untuk bersaing dengan pasukan musuh tradisi, Paris St Germain yang muncul juara dua musim berturut-turut.


Akibat hilang tumpuan membolehkan pemain tengah Christopher Maboulou membuka jaringan pertama Bastia pada minit kesembilan.

Gignac menyamakan kedudukan tiga minit kemudian dengan menanduk masuk hantaran lintang Benjamin Mendy dan gol sendiri Romaric membolehkan Marseille mendahului 2-1 pada separuh masa pertama.


Gignac seterusnya menjaringkan gol kedua Marseille menerusi sepakan penalti pada minit ke-62.


Bagaimanapun, pasukan bimbingan Claude Makelele berjaya bangkit semula menerusi jaringan penalti pada minit ke-66 yang disempurnakan Junior Tallo selepas Maboulou dikasari.

Maboulou kemudiannya menyamakan kedudukan menerusi gol kedua pada minit ke-73.


PSG pula hanya seri 2-2 pada perlawanan pembukaan di Stade Reims Jumaat lalu selepas Zlatan Ibrahimovic menjaringkan dua gol.

Caen mencatat kemenangan terbesar kelmarin, selepas mengalahkan Evian 3-0, sementara St Etienne menang 2-0 ke atas Guingamp dan Nice menumpaskan Toulouse 3-2 di tempat sendiri. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Stekelenburg sertai AS Monaco

Posted: 10 Aug 2014 10:50 AM PDT

Paris: Penjaga gol Belanda, Maarten Stekelenburg menyertai AS Monaco secara pinjaman dari kelab Liga Kejuaraan, Fulham.

Stekelenburg yang memulakan kariernya di Ajax Amsterdam dan bermain pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan, tetapi terlepas aksi kejohanan sama di Brazil tahun ini, disambar Fulham dari AS Roma tahun lalu.


"Kami amat gembira untuk mendapatkan seorang lagi penjaga gol berpengalaman di peringkat antarabangsa," kata Naib Presiden Monaco, Vadim Vasilvev dalam laman web rasmi kelab itu (www.

asm-fc.com).


Pemain berusia 31 tahun itu akan bersaing dengan Danijel Subasic bagi merebut tempat dalam kesebelasan utama.


"Saya amat gembira dapat menjadi sebahagian daripada projek kelab ini, saya seorang penjaga gol yang teknikal dan suka bermain jauh dari kedudukan di pintu gol untuk membantu pasukan," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Saingan seimbang

Posted: 10 Aug 2014 10:47 AM PDT

Kuala Lumpur: Persaingan dalam Kumpulan B Piala Malaysia pasti menjanjikan aksi mendebarkan dengan pertembungan antara Terengganu, Sarawak, Perak dan Kedah tampak seimbang.

Namun jika diukur berdasarkan pencapaian liga, Terengganu dan Sarawak pasti berada dalam kelas tersendiri untuk merebut tiket ke suku akhir namun itu hanya sekadar andaian awal kerana dalam bola sepak apa saja boleh berlaku.


Skuad Penyu pasti akan 'kepanasan' sekiranya mereka perlu terus menanti untuk merangkul kejuaraan selepas kali terakhir pada 2001, satu tempoh yang dianggap lama buat pasukan yang sering dianggap pencabar kejuaraan setiap musim.

Selepas menyaksikan kempen Liga Super berakhir di tangga keempat tahun ini, jurulatih berpengalaman Abdul Rahman Ibrahim pasti tidak rela kabinet trofi mereka terus 'berhabuk' jika terkandas lagi dalam Piala Malaysia.


Terengganu bukanlah calang-calang pasukan jika dilihat dengan pemain yang dimiliki. Sebut saja nama penyerang mereka, Nor Farhan Muhammad, Ashaari Shamsuddin serta Moustapha Dabo sudah boleh membuatkan pasukan lawan cemas.


Namun apa yang perlu diberi perhatian kepada Abd Rahman adalah untuk mencari penawar kepada 'penyakit' tidak konsisten pasukannya pada kempen liga tidak berulang dalam Piala Malaysia kerana mereka mempunyai prospek sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Foto

KEHEBATAN Moustapha (kiri) mampu buat pasukan lawan cemas.

Sarawak juga antara pasukan yang perlu diberi perhatian apatah lagi selepas mereka melakukan kejutan dengan melangkah ke separuh akhir musim lalu.


Anak buah Robert Alberts ini cukup digeruni pasukan lawan ketika beraksi di gelanggang sendiri kerana setiap kali turun di Stadium Negeri, Kuching, mereka pasti akan dibantu 'pemain ke-12' yang cukup fanatik.

Dengan gandingan pemain import Muamer Salibasic dan Ryan Griffiths, Skuad Ngap Sayot ini memiliki penggempur yang cukup berbisa namun mereka memerlukan sokongan daripada pemain seperti Ashri Chuchu, Joseph Kalang Tie dan Junior Eldstal dari bahagian tengah.


Selepas mencipta kebangkitan di penghujung kempen Liga Super untuk mengelak daripada tersingkir ke Liga Perdana, musim Perak tahun ini sudahpun boleh dianggap berjaya.


Dengan menduduki tangga kesembilan liga, anak buah Abu Bakar Fadzim tidak diletakkan harapan tinggi dalam kancah Piala Malaysia, namun itu tidak bermakna skuad Bos Gaurus ini boleh diperlekehkan.


Jika diukur pada peningkatan di akhir liga, Perak yang dibarisi ramai pemain muda boleh melakukan sesuatu seperti ketika menjuarai kempen 1998 dan 2000. Kedatangan penyerang Milan Purovic pada jendela perpindahan kedua menggantikan Zelimir Terkes adalah faktor kebangkitan skuad itu apabila meledak lima gol dalam lima perlawanan terakhir liga.


Berbanding Terengganu, Sarawak dan Perak, pasukan juara 2007/2008 Kedah kali ini hadir dengan reputasi biasa apabila menjadi wakil tunggal Liga Perdana dalam Kumpulan B.


Tugas cukup berat buat jurulatih Tan Cheng Hoe untuk memastikan anak buahnya hadir bukan sekadar pelengkap sebaliknya mampu memberi cabaran sekurang-kurangnya meloloskan diri ke pusingan kedua.


Kelibat dua pemain kebangsaan Baddrol Bakhtiar dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri pasti sekali lagi menjadi taruhan untuk skuad Helang Merah terus 'terbang tinggi' dalam saingan bermula Rabu ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

'Kami tak gentar'

Posted: 10 Aug 2014 10:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas pendedahan mengenai wujudnya unsur penipuan menjelang pemilihan Kongres Tahunan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) ke-64 didedahkan kelmarin, kini memasuki episod baru apabila dua individu yang dikaitkan dengan pendedahan itu difahamkan menerima ugutan pukul.

Menurut Ketua Gabungan Penyokong Selangor Khairil Mokhtar, beliau sama sekali tidak gentar dengan ugutan diterima daripada penyokong kuat FAS, malah menyifatkan tindakan seperti samseng itu menyerlahkan lagi sikap kotor mereka yang cuba menutup isu ini.


"Pendirian saya senang, mereka sebenarnya berada dalam ketakutan selepas pendedahan mengenai isu pemilihan tidak telus dan adil yang berlaku sejak tiga penggal lalu didedahkan. Ini menunjukkan mereka tidak mahukan perubahan.

"Apa yang lebih mengecewakan saya, FAS hingga ke hari ini (semalam) masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung unsur penipuan pada borang pemilihan itu. Sebaliknya, FAS hanya mengeluarkan kenyataan dengan menafikan penghijrahan empat tonggak ke Johor DT.


"Saya lihat mereka sengaja mengalih tumpuan dengan hanya menjawab soal empat pemain itu tapi tidak mengenai isu pemilihan. Lebih teruk, saya dan Khairul (jurucakap kelab Selangor Fanatik) pula diugut akan dipukul jika berjumpa dengan kami.


"Esok (hari ini) kami berdua akan membuat laporan polis mengenai ugutan yang diterima, di samping kemungkinan kami akan membawa isu pemilihan ini ke pihak SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia)," katanya kepada Arena Metro, semalam.

Foto

PAPARAN aplikasi Wechat mengandungi mesej berbaur ugutan.

Kelmarin, sebahagian besar ahli perwakilan menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mendakwa wujudnya unsur penipuan menerusi borang pemilihan dibuka Isnin hingga Jumaat lalu.


Difahamkan, seramai 93 ahli gabungan yang hadir bagi mengisi borang pencalonan dihalang pihak sekretariat daripada mengisi nama calon bagi merebut jawatan tertinggi FAS sebaliknya mereka hanya diminta meninggalkan tandatangan serta cop rasmi ahli di borang itu.

Kongres Tahunan FAS akan diadakan pada 18 Ogos ini di Kelab Shah Alam, Selangor.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Johor DT II sedia gempur

Posted: 10 Aug 2014 10:43 AM PDT

Johor Bahru: Kempen Piala Malaysia yang akan diharungi Johor Darul Ta'zim II (Johor DT II) bermula Rabu ini tampak semakin ampuh apabila kesebelasan utama yang menjadi taruhan sudah dikenal pasti.

Walaupun dilabel selaku pasukan bukan pilihan pada saingan Kumpulan A namun ketua jurulatih skuad Merah Biru, Azmi Mohamad optimis betapa barisan utama skuad itu sudah bersedia berdepan Pahang pada aksi pertama di Stadium Darul Makmur.


Keampuhan pertahanan menjadi taruhan terbaik buat skuad Merah Biru yang akan menurunkan Mohd Izuan Jarudin bergandingan bersama Jose Carrasco sambil Hardy Charles Parsi mengemudi bek kanan manakala Che Rashid Che Ismail selaku bek kiri.

"Benteng perlu ampuh apabila berdepan Pahang yang memiliki rangkaian serangan yang baik terutama kelicikan Matias Conti dan Dickson Nwakaeme mampu mengucar-kacirkan benteng kami.


"Faktor kelekaan harus dihakis oleh pemain kerana jika kami hilang tumpuan walaupun sesaat maka pasukan lawan akan mudah hukum untuk jaringkan gol. Senario itu perlu dielak terutama Mohd Izuan harus lebih konsisten.


"Saya yakin dalam tempoh terdekat masalah itu akan diselesaikan kerana kami kesuntukan masa dan pemain juga harus memberi corak permainan taktikal yang diterapkan," kata Azmi.

Azmi juga menegaskan akan mengkaji corak permainan skuad Tok Gajah yang begitu gemar beraksi secara 'set-piece' terutama gerakan sayap kiri dan kanan menerusi R Gopinanthan dan Azamuddin Akil.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

No comments:

Post a Comment