Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


10 tahun kusangka mati

Posted: 08 Aug 2014 11:17 AM PDT

Banda Acheh: Sepasang suami isteri dipertemukan semula dengan anak perempuan mereka 10 tahun selepas dia dihanyutkan tsunami yang melanda Aceh.

Pertemuan itu sekali gus menghidupkan kembali impian pasangan Jamaliah dan Septi Rangkuti untuk melihat wajah seorang lagi anak mereka yang masih hilang hingga kini. Ketika Aceh dilanda tsunami dulu, Raudhatul Jannah berusia empat tahun ketika itu dihanyut arus bersama abangnya Arif Pratama, 7.


Raudhatul berpaut pada serpihan kayu dan dihanyutkan arus sebelum dia ditemui serta diselamatkan seorang nelayan.

Jamaliah dan Septi pula menyangka kedua-dua anak itu sudah meninggal dunia dan tidak lagi menaruh harapan bertemu dengan mereka.


Namun pada Jun lalu, abang Jamaliah bertemu terserempak dengan seorang kanak-kanak yang mirip Raudhatul ketika sedang berjalan pulang dari sekolah.


Dia kemudian bertanya kepada penduduk setempat dan dimaklumkan kanak-kanak terbabit adalah mangsa tsunami yang dibela keluarga angkat. Selepas dimaklumkan, Jamaliah dan Septi datang ke kampung berkenaan untuk melihat sendiri sama ada remaja terbabit memang anak mereka. Apabila dipertemukan, Jamaliah benar-benar yakin remaja terbabit yang diberi nama Weni oleh keluarga angkatnya adalah Raudhatul Jannah.

Foto

RAUDHATUL Jannah gembira apabila dipertemukan semula dengan ibu bapa kandungnya.

Kata Jamaliah, pertemuan semula itu adalah satu keajaiban dan kini berharap agar dipertemukan dengan anak lelaki mereka.


"Kami sangat berharap dapat bertemu semula dengan Arif. Laporan polis sudah dibuat agar pihak berkuasa membantu mencari dia," katanya.

Mereka mengakui sukar untuk mempercayai Raudhatul masih hidup.


Kata Septi, dia berputus harap kerana menganggap tidak mungkin Raudhatul masih hidup kerana 10 tahun sudah berlaku. Tsunami melanda Acheh pada 2004 meragut lebih 170,000 nyawa dan memusnahkan hampir keseluruhan wilayah berkenaan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Diskaun doa

Posted: 08 Aug 2014 11:13 AM PDT

Winston, Amerika Syarikat: Berdoalah untuk mendapat diskaun.

Sebuah restoran di North Carolina menawarkan potongan harga kepada setiap pelanggan yang berdoa di depan orang ramai sebelum menjamah makan masing-masing. Pemilik bersama Mary's Gourmet Diner di Winston-Salem, Mary Hanglind memberitahu media, pelayan kedainya akan memberi potongan 15 peratus ke atas bil pelanggan jika mereka menunjukkan kesyukuran sebelum makan.


Kata Mary, diskaun itu diberi tanpa mengambil kira kepercayaan atau pegangan agama pelanggan. "Asalkan mereka meluangkan sedikit masa berterima kasih kepada Tuhan atas rezeki diberikan, kami menghargainya.

"Saya berbesar hati melihat seseorang menghargai makanan yang kami hidangkan," katanya.


Mary berkata, pendirian restoran itu dikuatkuasakan sejak empat tahun lalu tetapi ia tidak pernah diiklankan sebelumnya.


"Kami tidak pernah memberitahu pelanggan mereka akan dapat diskaun jika menunjukkan kesyukuran. Kami tidak pernah mempromosikannya, cukuplah sekadar mencatatkannya dalam resit," katanya.

Diskaun kerana doa itu berterusan selama ini dengan hanya sebilangan kecil pelanggan menyedarinya.


Bagaimanapun ia tersebar kepada umum apabila sebuah stesen radio Kristian menyiarkan bukti resit dalam Facebook minggu lalu dan mendapat 9,000 Like serta komen positif.

Namun seperti biasa kritikan dan komen negatif juga muncul.


Ramai juga pengguna Facebook membanjiri akaun restoran Mary mengutuk mereka kononnya bersikap diskriminasi terhadap pelanggan yang tidak mempunyai sebarang kepercayaan agama.


"Cuba jelaskan bagaimana untuk membezakan sama ada orang itu bermeditasi atau sekadar mengambil masa sejenak sebelum mula makan? Tidak mungkin kamu boleh mengagak apa yang ada dalam fikiran seseorang malah ramai juga yang berdoa dalam diam-diam tanpa menunjukkan sebarang perlakuan," tulis seorang pengkritik.


Mary menegaskan sekali lagi potongan harga tidak diberikan hanya kepada pelanggan Kristian yang menunjukkan mereka berdoa.


"Tidak kiralah apapun kepercayaan kamu atau cara kamu berdoa, saya sekadar suka bila orang menghargai pemberian Tuhan kerana pernah hidup di negara miskin yang sentiasa kekurangan makanan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Derita lelaki sunyi tiada isteri

Posted: 08 Aug 2014 11:12 AM PDT

Chongqing, China: Gara-gara hidup kesunyian, seorang warga emas dilaporkan menelefon polis sebanyak 1,483 kali sepanjang tahun lalu.

Malah, menurut sumber polis, warga emas yang cuma didedahkan identiti sebagai Zhao itu biasanya membuat panggilan telefon berkenaan ketika mabuk dan terdesak untuk meluahkan perasaannya.


"Pada satu hari, dia menghubungi polis hanya kerana tertinggal kunci di dalam rumahnya.

"Terpaksa pula saya menelefon bekas isterinya supaya membantu dia," katanya. Menurut sumber itu, dia mengesyaki Zhao, 71, selalu meminum arak.


Selepas panggilan pertama itu, Zhao mula menelefon Balai Polis Daping beberapa kali sehari.


Menurut sumber berkenaan, Zhao pernah dilaporkan membuat panggilan sebanyak 29 kali seminggu. "Zhao mendakwa dia kesunyian dan mahu berbual dengan seseorang apabila mabuk. "Kami boleh memahami situasinya tetapi dia terlampau kerap menelefon," katanya.

Difahamkan, Zhao berpisah dengan isterinya lebih 20 tahun lalu, manakala anak perempuan mereka menetap di Beijing.


Zhao bagaimanapun enggan berpindah ke rumah penjagaan kerana tidak sanggup mematuhi polisi ketat yang melarang minuman keras selain kos pembiayaan tinggi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Hospital pun tak selamat

Posted: 08 Aug 2014 11:11 AM PDT

Kenema, Sierra Leone: Hospital kerajaan kini bukan lagi dilihat sebagai tempat mendapat rawatan semata-mata sebaliknya ia boleh menjadi 'perangkap kematian.'

Wad di hospital itu dikosongkan dalam usaha pihak berkuasa mengawal penularan wabak Ebola yang setakat ini sudah membunuh ramai mangsa dari sehari ke sehari.


Ketika pesakit sepatutnya bertumpu ke hospital untuk mendapatkan bantuan, mereka sebaliknya menjauhinya - kecuali segelintir. Ebola ialah sejenis penyakit sangat berbahaya yang boleh menyebabkan kematian.

Ia mampu berjangkit melalui darah, sentuhan secara langsung dan makanan.


Pada ketika tertentu, empat kematian dicatatkan di Hospital Kenema dan pada masa sama, individu yang dijangkiti menjauhkan diri daripada doktor menyebabkan usaha mengekang penularan wabak itu kian sukar. Ketika media membuat tinjauan di hospital berkenaan semalam, mereka dikejutkan dengan sergahan kakitangan perubatan.


"Jangan sentuh dinding di sini! Semuanya sudah tercemar!" katanya. Sementara itu, Timbalan pengarah hospital berkenaan, Albert J Mattia berkata, tidak ramai yang meninggal di hospital itu kerana kebanyakan antara mereka meninggalkan 'perangkap kematian' lebih awal.

"Kebanyakannya mangsa mati di kediaman masing-masing dan kadang-kadang angka kematian mencecah lima hingga enam orang sehari," katanya.


Kenema adalah bandar terbesar di Sierra Leone dan menjadi penghubung kepada kawasan paling teruk dilanda Ebola.

Lebih 930 orang, termasuk di Sierra Leone, maut sejak wabak itu dikesan semula Mac lalu. Lebih 20 petugas perubatan sendiri meninggal dunia kerana merawat pesakit dijangkiti wabak berkenaan. Sementara itu di Liberia, mayat mangsa Ebola dilaporkan terbiar di jalanan atau rumah di seluruh ibu negeri, Monrovia. Ketika orang ramai membuat sekatan jalan raya bagi memastikan pekerja perubatan mengalih mayat berkenaan, hospital di bandar itu pula ditutup.


Tidak dapat dipastikan beramai ramai mangsa Ebola meninggal dunia setakat ini. Sukarelawan pertubuhan amal Doctors Without Borders, Alexis Moens berkata, suasana di Kenema amat berisiko dan menakutkan. "Tiada pengasingan, tiada sistem. Anda tersalah langkah, anda dijangkiti," katanya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Bersedia untuk syahid

Posted: 08 Aug 2014 11:10 AM PDT

Jakarta: Sekurang-kurang 200 penyokong kuat Prabowo-Hatta melakukan solat Jumaat di depan pagar Mahkamah Perlembagaan di jalan Medan Merdeka Barat semalam dengan khutbahnya disampaikan oleh Syeikh Rasyid Makhdum.

Dalam khutbahnya, Sheikh Rasyid menggesa jemaahnya supaya sentiasa membela keadilan.

"Kali ini, termasuklah juga membela hak Prabowo supaya menang," katanya.

Prabowo kini mencabar keputusan pilihan raya presiden yang dimenangi pesaingnya, Joko Widodo - Jusuf Kalla.

Foto

PENYOKONG Prabowo berdoa pada hari kedua perbicaraan yang mencabar keputusan pilihan raya presiden 9 Julai lalu.


Mahkamah Perlembagaan sedang mendengar hujah Prabowo sebelum membuat keputusan.


Jemaah yang menghadiri solat Jumaat di situ memenuhi hampir satu perempat bahu jalan namun tidak menghalang lalu lintas.

Sheikh Rasyid menegaskan keadilan harus ditegakkan walaupun sampai mempertaruhkan nyawa.

"Jika itu berlaku (maut), bererti kita mati syahid," katanya.

Namun, Sheikh Rasyid turut mengingatkan semua penyokongnya supaya bersabar sehingga isu itu diselesaikan mahkamah.

Sementara itu, Ketua Gerakan Muslim Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) Muntasil turut membuat kenyataan dengan mengatakan Prabowo-Hatta dizalimi Suruhanjaya Pemilihan Umum kerana tidak membenarkan proses pemilihan diadakan sekali lagi.

"Doa orang dizalimi akan dimakbulkan," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Wanita ditahan cuba seludup RM3 juta

Posted: 08 Aug 2014 11:09 AM PDT

Mukdahan, Thailand: Seorang wanita ditahan kerana cuba menyeludup wang tunai sebanyak 30 juta baht (RM3 juta) dari Thailand ke Laos melalui Jambatan Persahabatan.

Ketua pegawai kastam Mukdahan, Woraphat Chaovisit berkata, wanita dikenali sebagai Matapon, 42, cuba menyeludup masuk wang itu melepasi pemeriksaan imigresen Thai-Laos.

"Suspek membawa 30 ikat wang tunai yang berjumlah 1 juta baht setiap satu," katanya.

Katanya, pihaknya bertindak hasil maklumat yang diberikan kepada kastam dan menahan lori pikap dipandu suspek ketika dia tiba di pusat pemeriksaan itu kelmarin.


Selepas lori digeledah, pihaknya menemui wang itu disorokkan di bawah kerusi bahagian depan dan belakang di dalam kotak peralatan.

Matapon menjelaskan majikannya di Laos mahu menggunakan wang itu untuk membeli minuman tenaga, tetapi dia tidak sempat membuat pembayaran kerana bank tutup.

Justeru, Matapon mendakwa dia terpaksa membawa semua wang itu bersamanya ke Laos.

Bagaimanapun, pihak kastam tetap meragui penjelasan wanita berkenaan.

Undang-undang Thai melarang individu membawa wang 500,000 baht (RM50,000) ke luar negara tanpa kebenaran pihak berkuasa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Zionis kembali membunuh

Posted: 08 Aug 2014 11:09 AM PDT

Gaza City: Sejurus selepas tempoh gencatan senjata 72 jam berakhir 1 petang semalam (waktu Malaysia) Israel kembali memulakan serangannya dan seorang budak berusia 10 tahun menjadi mangsa pertama rejim Zionis itu.

Media melaporkan serangan itu dilancar selepas pejuang Palestin 'mengirim' roket mereka menjelang detik akhir gencatan senjata pada jam 8 pagi (waktu tempatan).


Penduduk Gaza kemudian meninggalkan rumah masing-masing dalam kebimbangan sebelum Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengeluarkan amaran untuk bertindak dalam skala besar-besaran. Kematian budak itu menamatkan ketenangan tiga hari selepas Hamas dan Israel bersetuju menghentikan serangan yang bermula sejak 8 Julai lalu.

Jurucakap perubatan di Gaza berkata, korban pertama semalam adalah budak lelaki yang terbunuh selepas Israel mengebom sebuah masjid di kawasan Sheikh Radwan di utara Gaza City. "Tujuh lagi mangsa, termasuk seorang wanita, cedera," katanya.


Saksi berkata, Israel turut mengebom timur dan utara Gaza City. Tentera Zionis pula mendakwa, sasaran itu adalah 'tapak pengganas' yang diserang selepas pejuang Palestin menembak 33 roket ke Israel menyebabkan dua orang, termasuk seorang tentera cedera. Hamas tidak mengeluarkan sebarang kenyataan menyatakan bertanggungjawab melakukan serangan itu.


Netanyahu kemudian mengarahkan tentera bertindak balas 'sepenuhnya.' Sementara itu usaha mendapatkan gencatan senjata lebih lama terus dijalankan di Mesir. - AFP

Foto

ASAP, debu dan serpihan bangunan kelihatan di Gaza City selepas Israel menyambung semula serangan mereka ke bandar itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Misteri 3 kawah Siberia

Posted: 08 Aug 2014 11:08 AM PDT

Siberia: Kemunculan tiga lubang di kawasan terpencil di Russia masih menjadi misteri walaupun saintis sudah mengemukakan beberapa teori bagi menjawabnya.

Bermula dengan kehairanan sesetengah pihak mengaitkan fenomena itu dengan campur tangan makhluk asing, kesan peluru berpandu atau akibat hentaman tahi bintang.


Lubang atau juga dikenali sebagai kawah pertama itu mempunyai kedalaman 70 meter dan selebar 30 meter, manakala lubang kedua berukuran lebih kecil, iaitu selebar 15.3 meter.

Lubang ketiga pula berukuran hanya 4 meter.


Lubang pertama ditemui seorang penduduk tempatan secara kebetulan, dan lebih menarik ia berlaku di suatu tempat dikenali sebagai Yamal - bermaksud Hujung Tanah.


Apa yang menyebabkan ia menjadi lebih misteri ialah, lubang itu dipercayai terbentuk bukan disebabkan pemendapan, sebaliknya letusan dari dalam tanah.

Lubang pertama dikesan pada pertengahan Julai lalu sebelum beberapa hari kemudian, lubang kedua yang lebih kecil tetapi sama sifatnya dengan yang pertama ditemui.


Saintis juga menemui lubang ketiga di kedudukan beberapa ratus kilometer jaraknya beberapa hari selepas itu.

Beberapa orang yang sampai ke situ berkata, pengalaman melihat lubang besar dan dalam itu amat menakutkan, terutama apabila mendengar bunyi ketulan tanah jatuh ke air.


Kadar kandungan gas metena di situ juga dilaporkan tinggi.


Selepas saintis melihat lubang berkenaan, beberapa penjelasan ditawarkan bagi menjelaskan mengapa ia berlaku. Penyelidik dari Institut Kriosfera Bumi percaya lubang itu adalah kesan aktiviti alam semula jadi. Satu daripada kemungkinan puncanya ialah ais yang ada di bawah tanah mencair menyebabkan gas di dalamnya terbebas secara mendadak.


Fenomena itu menyebabkan berlaku letusan dari dalam ke permukaan tanah. Ketua saintis Marina Leibman berkata, mereka perlu menyelidik ketiga-tiga lubang misteri itu sebelum dapat memberi penjelasan muktamad. "Setiap lubang menyediakan maklumat tambahan kepada saintis," katanya. Ketua Unit Pembangunan Artik Russia, Vladimir Pushkarev pula berkata fenomena itu sangat menarik untuk diselidik. Pakar geografi di Universiti Alaska Fairbanks itu berkata, dia yakin lubang berkenaan terbentuk akibat letusan yang kuat. "Ia sangat menarik kerana fenomena begitu belum didokumentasikan dan agak baru kepada kami," katanya. Saintis Universiti New South Wales di Australia, Chris Fogwill berpendapat ia terjadi akibat fenomena 'pingo.' Ia merujuk kepada timbunan tanah yang sering terbentuk di Artik serta sekitarnya.


Beberapa saintis lain menyokong teori Fogwill. Semenanjung Yamal menyimpan rizab gas terbesar di Russia dan lubang terbesar dikesan kurang dari 32 kilometer dari telaga gas terbesar di negara itu di Bovanenkovo. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

No comments:

Post a Comment