Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Sapa sebelum tembak

Posted: 21 Aug 2014 02:43 PM PDT

Kajang: Seorang ejen insurans parah selepas ditembak di paha kanan oleh dua lelaki bermotosikal di Jalan 2/13, Seksyen 2, Taman Kajang Utama, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam, lelaki berusia 40-an itu dikatakan memberhentikan kenderaannya di bahu jalan untuk menunggu pelanggan di lokasi kejadian sebelum didatangi dua suspek.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa disapa dua lelaki terbabit selepas seorang daripadanya mengetuk cermin kereta mangsa.

"Mangsa tidak mengendahkan perbuatan suspek, bagaimanapun terkejut apabila seorang daripada suspek mengeluarkan sepucuk pistol.

Foto

KERETA mangsa dipercayai diserang dua suspek.


"Suspek kemudian menembak cermin kereta mangsa dan tembakan itu terkena paha mangsa," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, kelmarin.


Ab Rashid memberitahu mangsa yang memandu kereta Honda Accord bagaimanapun masih mampu memecut kenderaannya sejauh 200 meter sebelum menuju ke kawasan awam dan mengubungi talian kecemasan 999.

"Siasatan awal mendapati dua suspek itu terus melarikan diri selepas mangsa berjaya menyelamatkan diri dan polis sedang mengenal pasti identiti kedua-dua suspek berdasarkan keterangan yang diberikan mangsa," katanya.

Menurutnya mangsa dikejarkan ke Hospital Kajang dan dilaporkan stabil.

Ab Rashid berkata, motif sebenar serangan masih disiasat dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 yang jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung mandatori.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Silap tempat promosi seluar dalam tiruan

Posted: 21 Aug 2014 02:39 PM PDT

Kuala Lumpur: Tindakan seorang peniaga mempromosikan seluar dalam jenama terkenal kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membawa padah apabila produk tiruan itu kemudian dirampas.

Sebelum itu, beberapa penguat kuasa menjalankan pemantauan barangan tiruan di kawasan Bukit Bintang dan didekati peniaga berkenaan.

Bagaimanapun, peniaga terbabit cuak selepas mendapati pelanggan yang ditegurnya itu sebenarnya penguat kuasa KPDNKK.

Timbalan Pengarah KPDNKK Kuala Lumpur Rosli Ahmad berkata, seluar dalam jenama Calvin Klein itu hanya dijual dengan harga serendah RM36 sekotak berbanding jenama asli yang dianggarkan mencecah ratusan ringgit.

Foto

ANGGOTA penguat kuasa KPDNKK merampas seluar dalam tiruan.


"Sebanyak 15 helai seluar dalam tiruan dirampas. Rampasan dianggarkan bernilai RM540 berdasarkan harga pasaran semasa.


"Kami sudah mengambil keterangan peniaga terbabit bagi membantu siasatan untuk mencari pengedar barangan itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 berhubung larangan perihal dagangan palsu dan cap dagangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

'Sinilah kalau berani...'

Posted: 21 Aug 2014 02:38 PM PDT

Klang: "Sinilah kalau berani... jumpa dekat luar, satu lawan satu,". Itu kata seorang lelaki yang juga pengunjung kelab malam yang tiba-tiba naik angin apabila ditegur anggota penguat kuasa supaya tidak menghampiri pelayan pelanggan (GRO) yang ditahan dalam operasi bersepadu di Jalan Remia, Bandar Botanik di sini, awal pagi, semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan Majlis Perbandaran Klang (MPK) bersama Jabatan Imigresen Selangor kira-kira jam 2 pagi, lelaki berusia 30-an itu tiba-tiba menghampiri seorang daripada GRO yang ditahan dan apabila ditegur tidak mengganggu wanita berkenaan, dia tidak mengendahkannya, sebaliknya terus berbual.

Sambil memberi alasan kononnya anggota penguat kuasa bersikap biadab kerana menariknya ke belakang, lelaki itu yang mabuk cuba membuat provokasi supaya berlaku pergaduhan.

Pengarah Penguat kuasa MPK Andry Arman Masrom berkata, operasi bersepadu itu susulan aduan orang ramai mengenai ada premis pusat hiburan di bandar ini yang beroperasi tanpa lesen sah selain menggaji pekerja asing tanpa permit.

Menurutnya, susulan itu, pihaknya melakukan risikan dan hasilnya enam premis diserbu dan semua didapati beroperasi tanpa lesen sah.

"Enam premis yang diserbu itu ialah lima pusat hiburan serta satu rumah urut yang bukan sahaja beroperasi tanpa lesen, malah turut menggaji pendatang asing tanpa izin.

"Sebenarnya serbuan ini kali kedua dilakukan di semua lima pusat hiburan berkenaan dan ia menunjukkan sikap pemilik premis yang seakan-akan tidak serik dan terus berdegil," katanya.

Beliau berkata, semua premis berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 6 (1) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1995 Pindaan 2001 Negeri Selangor bagi pusat hiburan manakala rumah urut pula dikenakan tindakan mengikut Undang-Undang Kecil Pusat Kecantikan dan Penjagaan Kesihatan MPK.

Dalam serbuan itu, turut ditahan ialah 19 GRO serta seorang lelaki berusia 22 hingga 30 tahun kerana tidak memiliki permit perjalanan yang sah serta tidak mematuhi Akta Imigresen.

Foto

SEBAHAGIAN GRO yang ditahan, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Peluru tertanam sejak 32 tahun lalu

Posted: 21 Aug 2014 01:57 PM PDT

Kuala Berang: "Peluru itu masih terpahat di tengah-tengah tulang dada sejak 32 tahun lalu dan ia pengorbanan paling besar dalam hidup saya bagi mempertahankan negara tercinta ini," kata Mohd Jonoh Mohd Noor, 58, dari Rumah Kos Rendah Tok Randok, Ajil, dekat sini.

Menurutnya, kejadian kira-kira jam 3 petang pada Februari 1982 itu masih terpahat dalam ingatannya apabila dia bersama enam rakan diserang segerombolan komunis di hutan Gubir, Kedah, sempadan Malaysia-Thailand.

Katanya, sebaik menerima maklumat mengenai kehadiran komunis dia bersama beberapa rakan ditugaskan menjejak pengganas terbabit yang dianggarkan antara 10 hingga 15 orang.

"Rupanya komunis sudah memerhatikan pergerakan kami sebelum mereka melakukan serangan hendap dan nasib tidak menyebelahi saya apabila terkena dua tembakan di tulang dada dan paha kiri.


"Manakala dua lagi rakan terkena peluru pada anak telinga dan belakang leher, namun mereka hanya mengalami luka kecil serta dirawat sebagai pesakit luar," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.


Menurutnya, bagaimanapun mereka masih mampu bertahan dan melakukan serangan balas sebelum kesemua pengganas komunis melarikan diri ke negara jiran yang hanya terletak 100 meter dari tempat pertempuran.

"Saya yang mengalami kecederaan parah diterbangkan dengan helikopter ke Hospital Pulau Pinang dan terlantar hampir sebulan di wad menerima rawatan," katanya yang ketika itu bertugas di Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja berpangkalan di Kem Terendak, Melaka.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Cerita kita dalam setem

Posted: 21 Aug 2014 01:54 PM PDT

Kuala Lumpur: Menyoroti setiap peristiwa menarik dan bersejarah yang dilalui negara menerusi keluaran setem dilihat mempunyai signifikan kepada kemerdekaan negara yang mencapai 57 tahun usia.

Perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dengan pelbagai bentuk perubahan boleh dilihat dalam setiap setem keluaran Pos Malaysia.

Bagi pengumpul setem, setiap keluaran mempunyai keistimewaan tersendiri yang wajib ada bagi melengkapkan koleksi terutama keluaran terdahulu yang berpuluh-puluh tahun usianya.

Mungkin ramai yang tidak tahu selain setem, ramai dalam kalangan pengumpul setem juga adalah pengumpul Sampul Surat Hari Pertama.

Mereka bukan sahaja memiliki koleksi setem bagi setiap keluaran, tetapi juga sampul surat yang dicop tarikh hari pertama setem itu dikeluarkan.

Itulah yang menjadi buruan ribuan pengumpul Sampul Surat Hari Pertama termasuk Ahmad Zukiman Zain, 53 tahun.

Koleksi beliau yang hampir lengkap, bermula dengan Sampul Surat Hari Pertama keluaran setem sempena kemerdekaan pada tarikh keramat 31 Ogos 1957 sehingga koleksi terkini.

Semuanya disimpan dan dijaga rapi dalam 12 buah fail khas sebagai koleksi yang cukup tinggi nilainya.

Menyingkap permulaan hobi itu, Zukiman, yang memulakan kerjaya sebagai wartawan di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) berkata, semuanya bermula dengan minat beliau terhadap bahan sejarah.

Beliau, yang kini Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Antarabangsa BERNAMA, menyatakan selain suka membaca bahan sejarah, tugas sebagai wartawan membolehkan beliau melapor dan mencatat sejarah negara lantas terfikir untuk menyimpan koleksi yang mudah diperoleh dan murah terutama perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Ditambah dengan pendedahan awal ketika menyertai kelab filateli di Sekolah Victoria Institution pada masa itu.

Ia terus menyuburkan minat Zukiman untuk mengumpul setem sehinggalah awal tahun 1990-an, beliau semakin serius dengan hobi itu, tetapi lebih memberi fokus kepada Sampul Surat Hari Pertama.

Ujar beliau, walaupun kecil, setem memberi makna yang cukup besar sebagai jendela negara kepada dunia.

"Banyak makna tersirat pada setem yang kecil itu.

Foto

Ahmad Zukiman menunjukkan sebahagian koleksi Sampul Surat Hari Pertama yang dikumpulnya.


Perjalanannya luas ke serata dunia.


Bukan itu sahaja, ia mempunyai nilai artistik yang tersendiri dan itu menjadikan setiap tema yang diangkat dalam keluaran setem sangat penting", katanya.

Melihat kepentingan tema-tema pada setem itu menyebabkan kini hampir setiap bulan Pos Malaysia mengeluarkan koleksi setem baru berbanding ketika awal pengeluarannya yang hanya menghasilkan satu hingga tiga koleksi dalam setahun.

Berbanding setem yang agak terhad maklumatnya, Sampul Surat Hari Pertama lebih lengkap terutama risalah yang disertakan di setiap keluaran yang mengandungi maklumat mengenai tema setem yang dipilih serta signifikan tema itu kepada negara.

Lebih istimewa yang diburu oleh pengumpul bukan sekadar setem yang dikeluarkan, tetapi juga cop yang diperoleh pada sampul surat yang menyatakan tarikh sesuatu setem itu dikeluarkan.

Ini akan membantu melengkapkan pemahaman mengenai setem itu berdasarkan maklumat yang diberi, katanya.

Pada peringkat awal selepas merdeka, tiada risalah disertakan namun sekitar tahun 1960-an, setiap keluaran setem terbaru disertakan risalah pada Sampul Surat Hari Pertama sehinggalah keluaran hari ini.

Beliau, yang memperoleh Sampul Surat Hari Pertama pada tahun 1970, terus menanam minat untuk memburu koleksi-koleksi awal yang dikeluarkan Pos Malaysia.

Sentiasa berbincang dengan rakan-rakan pengumpul lain terutama setiap kali bertemu ketika pameran setem, membantu beliau mencari koleksi yang kurang.

"Selagi tidak lengkap dan gagal memperoleh koleksi yang dicari, selagi itu kita akan berusaha mendapatkannya.

Bila dapat...perasaan puas tidak terkata," katanya yang turut membeli koleksi-koleksi Sampul Surat Hari Pertama di sebuah kedai menjual setem lama di Wisma Imbi.

Pelaburan paling mahal yang pernah dibuat oleh Zukiman sebanyak RM800 bagi mendapatkan satu koleksi Sampul Surat Hari Pertama bertemakan burung yang dikeluarkan pada tahun 1965.

Sementara itu, untuk koleksi lain yang masih mudah ditemui biasanya dibeli dalam harga RM50 hingga RM100, katanya.

Mengimbas usaha yang dilakukan bagi mendapatkan koleksi yang dicari, beliau tidak dapat melupakan ketika terpaksa beratur panjang dan berpanas bersama pengumpul lain di Pejabat Pos Besar Kuala Lumpur semasa keluaran Sampul Surat Hari Pertama untuk setem yang bertemakan Formula One.

"Panjang orang beratur ketika itu hampir satu kilometer.

Bila dapat je koleksi tu memang puas hati", katanya ketika diminta mengimbau kenangan itu.

Ujar beliau, setiap kali membuka dan melihat koleksi yang ada satu persatu, timbul rasa bangga terutama melihat proses pembangunan yang dicapai Malaysia sejak merdeka sehingga kini.

Perubahan-perubahan itu bukan sahaja pada saiz dan warna setem malahan bagi tema-tema yang dipilih.

Pada tahun-tahun awal selepas merdeka, tema yang dipilih biasanya berkisar perpaduan rakyat, penggabungan Malaysia dan Singapura, kemudian berubah kepada projek-projek pembangunan dan komoditi seperti getah, bijih timah, flora dan fauna.

Perubahan itu semakin ketara sejak tiga tahun kebelakangan ini apabila tema-tema yang dipilih lebih meluas dan pelbagai sesuai dengan keadaan semasa.

Tema tradisi seperti Pertabalan Yang di-Pertuan Agong, ulang tahun pemerintahan sultan serta ulang tahun kemerdekaan turut tidak ketinggalan mewarnai koleksi setem yang dikeluarkan.

"Apabila melihat semua koleksi ini, kita boleh melihat perjalanan Malaysia dari pelbagai sudut dari peringkat awal kemerdekaan sehingga hari ini.

Ia memberi gambaran imej Malaysia sehingga hari ini," katanya.

- BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

No comments:

Post a Comment