Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Ali wira The Cops

Posted: 14 Aug 2014 10:52 AM PDT

Selayang: Penyerang import Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Maldives, Ali Ashfaq berada dalam kelas tersendiri apabila meledak dua gol untuk membantu pasukannya membelasah pasukan Liga Super, Sime Darby 3-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.

Masih segar dengan kejayaan muncul juara Liga Perdana musim ini yang meninggalkan naib juara, FELDA United dengan jurang lima mata, anak didik bekas pemain Selangor Azman Adnan itu kini melonjak selaku pendahulu Kumpulan D.

Pasukan The Cops itu menolak Selangor ke tempat kedua dengan perbezaan gol selepas naib juara Liga Super itu sebelum ini melakar kemenangan ke atas T-Team 2-1, malam kelmarin.

Walaupun perlawanan bermula perlahan akibat permukaan padang bertakung dengan air selepas hujan lebat membasahi Lembah Klang, PDRM mula menunjukkan belang menerusi larian deras Ali bersama gandingan jentera serangan, Bobby Gonzales yang sering memerangkap pertahanan Sime Darby.

Foto

ALI (kanan) diasak pemain Sime Darby.


Hantaran kemas tonggak tengah PDRM, Ahmad Ezrie Shafizie tepat ke arah ayam tambatan, Ali yang pantas memperdaya penjaga gol Mohamed Redzuan Harun untuk meletakkan PDRM mendahului tuan rumah 1-0 pada minit ke-15.


Dua puluh minit kemudian, PDRM mengukuhkan penguasaan apabila penyerang kelahiran Kunak, Sabah, Bobby menjaringkan gol kedua pada minit ke-35 selepas melepaskan rembatan deras untuk mengecewakan Redzuan kali kedua.

Sebaik saja babak kedua bersambung, PDRM dihadiahkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain pertahanan tuan rumah dan Ali sekali lagi mencatatkan namanya selaku penjaring apabila mudah mengatasi Redzuan pada minit ke-47.

Walaupun anak didik Ismail Zakaria cuba bangkit memburu jaringan, ketangkasan Azizon Abdul Kadir berjaya menyelamatkan kubu PDRM daripada dibolosi pasukan tuan rumah.

Kemenangan 3-0 itu kekal hingga tamat perlawanan untuk membolehkan PDRM meletakkan diri mereka sebagai antara pencabar musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Bos Gaurus hapus badi

Posted: 14 Aug 2014 10:47 AM PDT

Ipoh :Perak membuat permulaan baik dalam kempen Piala Malaysia Kumpulan B apabila menumpaskan Kedah 2-1, malam tadi.

Berikutan kemenangan itu pasukan Bos Gaurus akhirnya menamatkan badi kekalahan lima perlawanan di tangan Kedah, sebelum ini.

Pada perlawanan malam tadi, Milan Purovic dan Hafiz Ramadan menjaringkan gol pada minit ke-10 dan 51 untuk membolehkan tuan rumah mengutip mata penuh pada aksi sulung.

Malah Perak sebenarnya mampu memenangi perlawanan dengan jaringan lebih besar jika peluang terhidang diterjemahkan menjadi gol oleh Abdulafees Abdulsalam.

Foto

PEMAIN Kedah, Mohd Syamin Alif (kiri) dihalang pemain Perak, Azmeer Yusof.


Kedah seperti dijangka memberikan cabaran sengit kepada tuan rumah, tetapi kekentalan benteng Perak yang dikemudi Mohd Hisyamuddin Shaari berupaya mengekang asakan lawan.


Aksi kemas dan tersusun anak buah Tan Cheng Hoe membuatkan penyokong tuan rumah resah, mujur jentera serangan Helang Merah agak tumpul.

Sebaliknya Purovic menunjukkan ketajaman apabila menyambut hantaran silang Abdulafees untuk menceriakan penyokong termasuk Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Namun kesilapan Idris Ahmad menyaksikan Perak dihukum apabila Kedah menyamakan kedudukan melalui Billy Osman Mehmet.

Bagaimanapun Perak bangkit pada babak kedua dan berjaya memperoleh gol kemenangan melalui rembatan kencang Hafiz selepas mendapat lorongan Purovic.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Safiq juang dalam duka

Posted: 14 Aug 2014 10:43 AM PDT

Johor Bahru: Biarpun berduka kerana kehilangan ibu saudara yang meninggal dunia kelmarin, pengorbanan Safiq Rahim untuk tetap beraksi memang tinggi nilainya.

Malah, kelibat pemain tengah Johor Darul Ta'zim (Johor DT) itu yang segera pulang selepas melawat jenazah ibu saudara di Selangor sebelum menyertai skuad Harimau Selatan kelmarin memberi sinar buat pasukan itu walaupun sekadar menang tipis 1-0 ke atas Kelantan pada aksi pertama Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Larkin.

Apa tidaknya, tindakannya menyusup masuk dalam kotak penalti lawan selepas menerima umpanan Jazsarin Jamaluddin membuka ruang untuk menjaringkan gol, sekali gus memastikan tiga mata menjadi milik tuan rumah.

"Sebaik menerima berita menyedihkan itu, saya memohon pelepasan dari jurulatih Bojan Hodak dan beliau memberi kebenaran kerana saya berjanji akan kembali ke Johor Bahru sebelum sepak mula.

Foto


"Apapun saya tidak menafikan jaringan terhasil berkat kerjasama sepasukan bagi membolehkan kami meraih kemenangan pertama.


"Kami hilang beberapa tonggak untuk pertemuan itu, namun taktikal jurulatih yang mahu saya beraksi menggantikan Safee Sali selepas mengalami kecederaan di posisi tengah membolehkan saya menjaringkan gol," katanya.

Beliau menegaskan, tuah mungkin memihak kepadanya untuk menghasilkan jaringan itu kerana mengakui masih keletihan selepas terpaksa menempuh perjalanan jauh dari Tajiskistan.

"Kami akan bangkit untuk aksi seterusnya dan kerjasama sepasukan akan diteruskan terutama ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di laman sendiri, Selasa ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Kemenangan bakar semangat Tok Gajah

Posted: 14 Aug 2014 10:40 AM PDT

Kuantan: Kemenangan selesa 4-0 ke atas Johor Darul Ta'zim II (JDT II) kelmarin menjadi amaran awal Pahang selaku juara bertahan Piala Malaysia selain memiliki kelebihan untuk mengulangi pencapaian cemerlang musim lalu.

Hakikat itu diakui ketua pasukan Mohd Razman Roslan yang menegaskan kemenangan berkenaan ibarat suntikan semangat selepas berehat panjang yang membakar kesungguhan pemain untuk mempamerkan persembahan terbaik seterusnya mencatat kejayaan.

Katanya, janji pemain untuk membuka tirai saingan kempen Piala Malaysia musim ini dengan kejayaan membanggakan berjaya dicapai walaupun ada pihak agak curiga terutama apabila prestasi kurang memuaskan dipamer pada empat perlawanan persahabatan sebelum ini.

"Saya puas hati dengan semangat dan kesungguhan pemain kerana sebaik perlawanan bermula, asakan bertali arus dilakukan jentera serangan diketuai Matías Conti dan Dickson Nwakaeme.

"Kemenangan 4-0 ke atas JDT II itu diharap menjadi penyuntik semangat seterusnya membuka laluan lebih selesa ke peringkat seterusnya walaupun saingan Kumpulan A baru membuka tirai," katanya yang tidak menyangka jumlah jaringan besar dapat dilakukan.

Razman berkata, percaturan jurulatih Zainal Abidin Hassan yang kembali menggandingkan Conti dan Nwakaeme nyata membuahkan hasil memuaskan apabila mereka berjaya menghasilkan tiga gol seterusnya menyentap semangat pasukan lawan.

Katanya, jika kesungguhan dan semangat juang tinggi dipamerkan dalam pertemuan dengan JDT II dapat diteruskan pada perlawanan menentang FELDA United dan LionsXII selepas ini, tidak mustahil Tok Gajah mampu mencatat kemenangan.

"Selaku ketua pasukan, saya harap prestasi membanggakan terus dikekalkan pada kempen Piala Malaysia musim ini bagi memastikan impian mengekalkan kejuaraan menjadi kenyataan terutama selepas meraih Piala FA sebelum ini.

"Walaupun ada yang berpendapat saingan Kumpulan A tidak mencabar, bagi saya semua pasukan mempunyai kelebihan masing-masing.

Jika kita terlalu memandang rendah lawan, tidak mustahil musibah bakal melanda," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Harimau Kumbang idam terus mengaum

Posted: 14 Aug 2014 10:40 AM PDT

Georgetown: Satu mata yang diperoleh Pulau Pinang ketika menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Selayang, Selangor, kelmarin dianggap pembakar semangat bagi pasukan itu untuk terus memburu mata dalam perlawanan seterusnya bagi Kumpulan C.

Biarpun sekali lagi terpaksa bertandang ke gelanggang lawan apabila menjadi tetamu di Kota Bharu menentang Kelantan, Selasa ini, anak buah K Devan nyata mempunyai semangat juang tinggi untuk mencuri mata.

Kapten skuad Harimau Kumbang Mohd Azizan Baba berkata, semangat tidak mahu menyerah kalah serta komitmen tinggi ditunjukkan rakan sepasukan memastikan mereka membawa pulang satu mata berharga menerusi gol pemain sayap Rafiuddin Roddin.

"Corak permainan dan strategi diatur jurulatih menjadi, malah semua pemain menunjukkan semangat juang tinggi untuk memburu gol.

"Malah, kami sebenarnya berpeluang memenangi perlawanan jika rembatan Rafiuddin pada masa kecederaan yang terkena palang masuk," katanya semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Azizan yang juga pemain pertahanan berharap rakan sepasukan mengekalkan momentum perlawanan ketika bertemu Kelantan.

Menurutnya, Kota Bharu bukan gelanggang terbaik untuk menentang Kelantan selepas pasukan itu tewas perlawanan pembukaan menentang Johor Darul Ta'zim, malam kelmarin.

"Kami akui Kelantan bukan lawan mudah, namun saya menasihati rakan sepasukan supaya fokus dan terus komited.

"Jika bermain dengan semangat sama seperti kelmarin, saya yakin kami mampu meraih sesuatu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Buang sindrom hilang tumpuan

Posted: 14 Aug 2014 10:29 AM PDT

Selayang: Sindrom mudah hilang tumpuan pada penghujung permainan kini mula menghantui barisan kendalian B Sathianathan apabila nyaris dimalukan pasukan divisyen dua Pulau Pinang selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, kelmarin.

Biarpun pada suatu ketika tuan rumah mendahului pelawat menerusi jaringan mudah ketua pasukan Hairuddin Omar pada minit ke-25, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kelihatan mula hilang fokus pada hujung babak pertama hingga akhirnya dihukum barisan penyerang Pulau Pinang.

Sehubungan itu, Sathianathan mahu anak buahnya membuang segera 'penyakit' itu sebelum berdepan dua pencabar lebih kuat, bekas juara Piala Malaysia 2012, Kelantan dan juara Liga Super musim ini, Johor Darul Ta'zim (Johor DT) selepas ini.

"Sepatutnya perlawanan ini menjadi milik kami dengan tiga mata penuh.

Sebaliknya pemain saya hilang fokus pada 10 minit terakhir perlawanan.

"Kami tidak boleh bermain seperti itu lagi apabila berdepan Johor DT dan Kelantan kerana akan merugikan pasukan.

"Apapun, mereka perlu mengekalkan konsentrasi hingga perlawanan berakhir, tidak boleh hilang tumpuan walaupun ketika menguasai permainan," katanya.

Bekas pengendali skuad Harimau Malaya itu berkata, kehadiran semula pemain sayap lincah, Christie Jayaseelan akan menambahkan lagi sengat jentera serangan bagi mengatasi masalah kebuntuan jaringan.


"Kembalinya Christie dalam pasukan pasti memberikan lebih banyak pilihan kepada saya selepas S Thinagaran dan Venice Elphi bermain cukup cemerlang mengisi bahagian sayap kanan dan kiri.


Saya harap Christie dapat membantu mencari jaringan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

'Mereka tiada hak'

Posted: 14 Aug 2014 10:28 AM PDT

Kuala Lumpur: "Hanya 94 ahli gabungan yang berhak bersuara bukannya mereka (Gabungan Penyokong Selangor)," komen Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail (gambar) mengenai dakwaan wujudnya unsur penipuan dalam pemilihan Kongres Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) Isnin ini.

Menurut Shapawi, tindakan penyokong tegar skuad Merah Kuning itu yang mahu dikenali sebagai Gabungan Penyokong Selangor meminta Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PPS) campur tangan pada sesi kongres itu tidak akan berlaku, biarpun kumpulan terbabit mengakui memiliki bukti mengenai salah guna kuasa dalam pemilihan itu.

"Kami (PPS) dapati kumpulan penyokong itu bukan ahli FAS yang sah, sedangkan isu ditimbulkan mengenai perlembagaan persatuan dan hanya boleh dibangkitkan ahli FAS.

"Sekiranya tidak puas hati dengan pengendalian kongres itu, ahli perlu membangkitkan isu itu dalam mesyuarat agung mereka dan jika masih tidak puas hati, barulah mereka boleh merujuk kepada PPS.

"Kemudian barulah tindakan susulan akan dibuat.

Kumpulan penyokong itu tidak mempunyai hak walaupun saya faham mereka peminat setia pasukan Selangor," katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Sejak Sabtu lalu, Arena Metro melaporkan pendedahan kononnya wujud keraguan mengenai borang pencalonan atau borang 'D' apabila sebilangan besar perwakilan yang hadir mendapatkan borang itu diarahkan pihak sekretariat hanya mengisi di ruang tandatangan dan cop tanpa mencatatkan nama calon pilihan.

Kemuncak daripada rasa tidak puas hati itu menyaksikan kira-kira 50 penyokong setia Red Giants mengadakan demonstrasi aman di depan Wisma FAS, Selasa lalu bagi menuntut pemilihan adil pada kongres kali ini selain mendesak FAS menjawab lima tuntutan berhubung kemerosotan mutu bola sepak negeri itu.

Kelmarin, Setiausaha Agung FAS Rosman Ibrahim tampil menafikan segala tuduhan didakwa tidak berasas itu dengan menuduh kumpulan penyokong itu sengaja mahu menggugat keharmonian kongres yang akan berlangsung di Kelab Shah Alam.

Shapawi turut menekankan, setakat ini pihaknya masih belum menerima laporan rasmi dari ahli kongres FAS berhubung isu itu.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Harimau Malaya jatuh 4 tangga

Posted: 14 Aug 2014 10:27 AM PDT

Kuala Lumpur: Reputasi skuad Harimau Malaya di pentas antarabangsa terus tercalar apabila kedudukan mereka dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) merosot ke tangga ke-155 sekali gus memberikan tugas lebih berat untuk jurulatih baru Dollah Salleh.

Kekalahan 1-4 kepada Tajiskistan dalam aksi persahabatan berstatus A pada 8 Ogos lalu nyata memberi kesan kepada kedudukan Malaysia apabila turun empat tangga untuk berkongsi tempat dengan Puerto Rico dengan 134 mata.

Kedudukan itu yang terburuk buat Malaysia sepanjang tahun ini selepas menghuni tangga ke-154 pada Januari, 150 (Februari), 141 (Mac),142 (April), 145 (Mei), 153 (Jun) dan 151 (Julai).

Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia turun dua anak tangga untuk berada di tangga kelima di belakang Filipina (128), Vietnam (139), Singapura (152) dan Indonesia (153).


Malaysia turut mengalami kemerosotan di peringkat Asia apabila turun tiga anak tangga untuk berada di kedudukan ke-29 daripada 46 negara.


Selain misi ke final Piala AFF hujung tahun ini, Dollah yang menandatangani kontrak dua tahun setengah bagi menggantikan Datuk K Rajagobal pada 1 Julai lalu diberikan tanggungjawab memperbaiki ranking dunia yang tidak banyak berubah dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

Peluang pengendali berusia 50 tahun itu mengutip mata ranking terbuka jika Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat mengatur dua perlawanan status A menentang Vietnam dan Indonesia selain bertemu Jordan dan New Zealand sebelum Piala AFF.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Tuntutan MHC

Posted: 14 Aug 2014 10:25 AM PDT

Kuala Lumpur: Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) semalam mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk membolehkan status Kategori B pasukan hoki lelaki negara dinaik taraf kepada Kategori A untuk temasya Sukan Asia yang bakal berlangsung di Incheon, Korea Selatan, bulan depan.

Rayuan itu dikemukakan sehari selepas MOM menerusi mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM dipengerusikan Presiden Tan Sri Tunku Imran Tuanku Ja'afar membuat keputusan untuk meletakkan hoki dalam Kategori B kelmarin.

Keputusan itu bermakna, buat kali pertama dalam sejarah, hoki tidak tersenarai dalam Kategori A sekali gus menyebabkan MHC perlu mengeluarkan wang poket sendiri untuk membiayai segala kos di Incheon.

Bagaimanapun Setiausaha Kehormat MOM Datuk Sieh Kok Chi mengesahkan, Naib Presiden Kanan MHC Datuk Nur Azmi Ahmad tampil di pejabatnya semalam untuk mengemukakan rayuan itu.

"Pihak MHC memberikan beberapa sebab mengapa hoki wajar diletakkan dalam Kategori A kembali.

"Antaranya skuad negara mempunyai ranking yang baik iaitu berada di kedudukan ke-13 di dunia dan di peringkat Asia, Malaysia antara negara terbaik dalam sukan hoki.

"Kami menerima rayuan ini dan akan membawa isu berkenaan untuk dibincangkan kepada ahli MOM dalam tempoh terdekat," katanya.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, MOM membuat ketetapan untuk meletakkan hoki dalam Kategori B selepas mempamer aksi hambar sejak kebelakangan ini terutamanya di temasya Sukan Komanwel lalu.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

Hafiz sokong tindakan Rashid

Posted: 14 Aug 2014 10:19 AM PDT

Kuala Lumpur: Bekas pemain kebangsaan dan juara All England 2003, Hafiz Hashim menganggap keputusan Rashid Sidek untuk terus kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sangat tepat, tetapi perlu ada syaratnya.

Antara syaratnya semua tenaga kerja terutamanya jurulatih lain perlu sentiasa berada di belakang Rashid.

"Rashid sudah pasti sentiasa bekerja keras untuk menaikkan martabat sukan badminton negara dan tidak boleh hanya menuding jari kepada beliau seorang jika pemain tewas," katanya.

Sebelum ini abangnya yang juga bekas pemain beregu negara, Jalani Sidek menasihatkan Rashid supaya meninggalkan BAM selepas beliau dikatakan tidak mampu memenuhi kehendak pihak tertentu.


"Memang beliau perlu meneruskan kerjanya seperti biasa, tapi kita semua harus sedar setiap manusia mempunyai perasaan.


"Presiden BAM (Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff) perlu tahu batas untuk menegur, mungkin mereka harus berbincang secara bersemuka sebelum bercakap dengan media," katanya.

Hafiz yang pernah mendapat sentuhan bekas pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 1996 Atlanta itu menganggap Rashid mempunyai cara tersendiri dalam program latihannya.

"Ketika di bawah kendaliannya, kami tidak pernah mempunyai masalah. Beliau seorang jurulatih yang sentiasa memerhati prestasi pemain.

"Malah segala nasihat diberikannya juga memang sangat berkesan buat pemain," kata jurulatih kelab Jaguh Tangkis itu.

Menurutnya, yang penting pemain juga senang dengan corak latihan Rashid.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/15

No comments:

Post a Comment