Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


James sokong Rashid

Posted: 08 Aug 2014 10:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Rashid Sidek mungkin berasa lega apabila bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk James Selvaraj memberi sokongan padu kepadanya.

Menurut James, Rashid hanya menjalankan tugasnya dalam memberi cadangan mengenai penyenaraian pemain dan keputusan muktamad berada di tangan pihak pengurusan BAM. "Pengurusan BAM harus bertanggungjawab kerana tugas jurulatih hanya mencadangkan nama pemain untuk dibawa ke mana-mana kejohanan," katanya.


James berkata, jika BAM tidak gembira dengan pemilihan Liew Daren kenapa mereka membiarkan pemain itu disenaraikan ke Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

"Kenapa biarkan pemain itu pergi, selepas itu menyalahkan Rashid pula apabila tidak ada keputusan memberangsangkan.


"Tindakan paling tepat kini melantik seorang pengarah kejurulatihan yang dapat membimbing jurulatih," katanya.


Beliau membayangkan peristiwa sama akan berlaku seperti yang terjadi kepada Rexy Mainaky, jika meminggirkan Rashid ketika mesyuarat antara jurulatih, Rabu lalu.

Foto

James Selveraj

"Sekarang Rexy di Indonesia dan sudah berjaya memantapkan beregu lelaki," kata bekas pemain kebangsaan itu.


Sementara itu bekas pemain beregu kebangsaan, Lee Wan Wah berkata, apa yang berlaku dalam BAM kini budaya tidak sihat.

"Kalau kalah semua perlu bertanggungjawab, tugas pemain berlatih, jurulatih memilih pemain, presiden pula bertanggungjawab mengesahkan pemilihan pemain.


"Tidak guna kalau asyik menuding jari sesama sendiri mencari kesalahan kerana orang ramai di luar sana tidak mahu tahu," katanya yang mencadangkan jalan terbaik adalah duduk berbincang bersama antara semua pihak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Awas Besiktas!

Posted: 08 Aug 2014 10:37 AM PDT

Nyon, Switzerland: Arsenal bakal berdepan kelab Turki, Besiktas manakala Celtic berdepan juara liga Slovenia, Maribor pada aksi play-off Liga Juara-Juara, bulan ini.

Begitupun, sejurus sebelum majlis undian di Nyon bermula, terdapat sedikit kekecohan apabila kelab Poland, Legia Warsaw diketepikan.


Legia terpaksa bermain di play-off Liga Europa apabila menurunkan pemain yang tidak layak, Bartosz Bereszynski.

Musim lalu, Celtic gagal melepasi peringkat kumpulan.


Arsenal perlu mengatasi Besiktas untuk memastikan penampilan ke-17 berturut-turut di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.


"Undian yang menarik! Saya sudah tidak sabar untuk bertemu Besiktas!" kata pemain tengah Jerman, Mesut Ozil menerusi laman Twitter miliknya.

Musim lalu, Gunners mengenepikan satu lagi kelab Turki, Fenerbahce untuk layak ke pusingan kedua sebelum anak buah Arsene Wenger itu ditundukkan Bayern Munich.


Pertemuan ini yang pertama buat kelab utara London dengan Besiktas yang menamatkan saingan di kedudukan ketiga Liga Super Turki.

Besiktas dilatih bekas pemain pertahanan West Ham dan Everton, Slaven Bilic.


Perlawanan lain menyaksikan Lille menentang juara Eropah 2004 FC Porto, Napoli berdepan Athletic Bilbao, Bayer Leverkusen bertemu FC Copenhagen dan Zenit St Petersburg melawan Standard Liege.


Perlawanan pertama dijadual berlangsung pada 19 dan 20 Ogos manakala aksi timbal balik 26 dan 27 Ogos.


Sepuluh pemenang akan menyertai 22 pasukan yang layak automatik ke peringkat kumpulan. Saingan sebenar bermula September.


Sementara itu, dalam undian play-off Liga Europa, Tottenham dan Hull diundi bertemu Limassol dari Cyprus dan kelab Belgium, Lokeren.


Aksi play-off Liga Europa bermula 21 dan 28 Ogos. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Tagih magis Fabregas

Posted: 08 Aug 2014 10:36 AM PDT

London: Setiap musim, penyokong Chelsea tidak sabar-sabar untuk melihat muka baru pasukan itu, tetapi tahun ini, mereka menunggu aksi pemain yang sangat sinonim dengan Liga Perdana Inggeris (EPL), Cesc Fabregas.

Kepulangan pemain yang pernah mewakili Arsenal selama lapan musim itu ke London mungkin menjadi pembelian paling penting dalam saingan bola sepak England musim panas ini.


Jurulatih Chelsea Jose Mourinho berharap Fabregas mampu menyumbang gerakan kreatif di bahagian tengah seterusnya menyelesaikan masalah Chelsea yang bergelut menjaringkan gol pada musim lalu.

Pasukan bimbingan Mourinho memenangi semua perlawanan ke atas empat pasukan teratas musim lalu namun mereka sering gagal mencipta jaringan ketika bertemu pasukan kurang menyerlah.


Pengendali dari Portugal itu melihat Fabregas sesuai untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Frank Lampard yang mempunyai naluri penjaring gol dan membolehkannya menjadi penjaring terbanyak kelab itu walaupun beraksi di bahagian tengah.


Lampard meninggalkan Chelsea pada penghujung musim lalu selepas 13 tahun bersama The Blues.

"Saya melihat dia akan berada di mana saja di atas padang kerana dia boleh bermain di mana-mana posisi.


"Kualiti dimilikinya adalah kepantasan kerana dia akan menganalisis permainan dan menyesuaikannya. Dia juga sangat bijak, kami perlukan kepintarannya," kata Mourinho.

Fabregas juga dijangka membantu pemain lain yang baru dibeli termasuk Diego Costa yang disambar dari Atletico Madrid bagi menyelesaikan masalah tidak konsisten penyerang senegara, Fernando Torres.


Torres mungkin diketepikan selepas kepulangan semula Didier Drogba yang kini berusia 36 tahun ke London, tetapi masih dianggap hero oleh penyokong Chelsea.


Pertahanan kiri Brazil, Felipe Luis dan penjaga gol Belgium, Thibaut Courtois kedua-duanya hadir dari Atletico Madrid selepas aksi mengagumkan bersama kelab Sepanyol itu dengan menyingkirkan Chelsea pada aksi separuh akhir Liga Juara-Juara musim lalu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Jamin Reds menyengat!

Posted: 08 Aug 2014 10:35 AM PDT

London: Pengurus Liverpool Brendan Rodgers yang bakal memulakan kempen musim ketiganya di Anfield tanpa khidmat penyerang sensasi Luis Suarez, memikul beban berat pada saingan Liga Perdana Inggeris serta Liga Juara-Juara.

Rodgers memiliki rekod cemerlang sejak tiba di Merseyside pada 2012 selepas menggantikan Roy Hodgson serta Kenny Dalglish dan kerja kerasnya membuahkan hasil apabila anak buahnya muncul naib juara liga musim lalu.


Liverpool terlepas peluang menjulang kejuaraan ke-19 pada hujung musim dan ketika ramai menjangkakan sukar untuk mereka mengulangi pencapaian musim lalu, Rodgers menganggap ia pencapaian awal untuk kejayaan lebih gemilang pada masa depan.

Rodgers mahu menjadikan kekecewaan musim lalu sebagai pembakar semangat pada kempen baru ini.


"Saya rasa kekecewaan itu sebahagian daripada proses mencapai kejayaan. Segala pengalaman lalu menjadikan kami lebih kuat dan berjaya pada masa depan," katanya.


Pengendali berusia 41 tahun dari Ireland itu masih baru dalam dunia pengurusan dan ketika usahanya dilihat berhasil, Rodgers kini perlu kembali bersaing tanpa khidmat Suarez.

Liverpool cukup berbisa musim lalu dengan barisan depan Reds menerusi gandingan Daniel Sturridge dan Suarez menyaksikan mereka menjaringkan 101 gol pada saingan Liga Perdana Inggeris.


Rodgers dijangka menukar formasi 4-3-3 dengan Sturridge mengetuai jentera serangan.

Barisan pemain muda seperti Raheem Sterling dan Philippe Coutinho akan menambah bisa di barisan depan, tetapi Rodgers tetap yakin Sturridge mampu menggalas tugas selaku penyerang tunggal.


"Saya rasa anda sendiri pernah saksikan tahap permainan Sturridge yang lebih baik berbanding pemain lain dengan keyakinan tinggi dan memanfaatkan peluang untuk menjaringkan gol," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Van Gaal optimis pulih imej United

Posted: 08 Aug 2014 10:34 AM PDT

London: Atas kertas, Manchester United di bawah bimbingan Louis van Gaal dilihat begitu cemerlang mencatat kemenangan pada perlawanan pramusim dan dijangka mampu merampas kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim baru.

Menjelang aksi pertama liga menentang Swansea City, Sabtu depan, reputasi United masih terjejas akibat aksi hambar musim lalu dan andai mahu menebus kekecewaan itu, Red Devils perlu bekerja keras sejak awal musim.


"Saya jangkakan dia akan mengalami pengalaman berbeza di Liga Perdana Inggeris berbanding liga lain yang pernah dilaluinya," kata pengurus Liverpool Brendan Rodgers.

Berikutan juara bertahan Manchester City, Chelsea, Arsenal dan Liverpool akan menjadi pencabar utama United, Van Gaal berdepan ujian besar kali ini.


Musim lalu, ketika menamatkan saingan di tangga ketujuh di bawah bimbingan David Moyes, jiran mereka, City meraih kejuaraan kedua selepas menewaskan Liverpool serta Chelsea pada hujung musim.


Bersaing sengit dengan tiga kelab itu ialah Arsenal yang diperkuat ketibaan penyerang antarabangsa Chile, Alexis Sanchez dan kehadiran semula Theo Walcott daripada kecederaan.

Namun Van Gaal sudah membuktikan keupayaan dengan membantu Ajax dan AZ Alkmaar memenangi kejuaraan liga di Belanda, Barcelona dan Bayern Munich yang menyaksikannya muncul jurulatih Belanda pertama memenangi kejuaraan Bundesliga.


Dia turut membantu Belanda menduduki tempat ketiga di Piala Dunia Brazil.

Kemenangan ke atas Real Madrid dan Liverpool pada saingan pramusim membuktikan kemampuannya.


Bagaimanapun, kemampuan sebenar Van Gaal hanya akan teruji apabila saingan liga bermula.


"United kelab gergasi yang dikenali di seluruh dunia. Tapi dalam sukan ini, kelab besar perlu membuktikan sesuatu. Musim lalu kami sekadar menduduki tempat ketujuh dan itu membuktikan United bukan lagi kelab besar.


"Mampukah saya memenuhi jangkaan ramai? Saya rasa boleh, tetapi kerana United kelab terkenal, saya juga berdepan tugas sukar," katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Dengar rayuan sehari

Posted: 08 Aug 2014 10:34 AM PDT

Lausanne, Switzerland: Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) memulakan perbicaraan rayuan penyerang Uruguay, Luis Suarez berhubung penggantungannya kerana menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini di Piala Dunia Brazil 2014.

Suarez yang memakai baju kemeja, enggan melayan jurugambar dan tidak mahu memberi sebarang komen apabila tiba dengan teksi di ibu pejabat CAS di pinggir Lausanne, semalam.


Pemain berusia 27 tahun itu diharamkan daripada menyertai sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan dan digantung sembilan aksi kompetitif oleh FIFA susulan insiden yang mengejutkan penonton seluruh dunia.

Suarez yang meninggalkan Liverpool dan menyertai Barcelona sejak insiden itu, gagal dalam rayuan kepada Jawatankuasa Disiplin FIFA sebelum ini.


Dua kali digantung kerana menggigit dan menafikan sengaja menggigit Chiellini, namun seminggu kemudian memohon maaf kerana insiden itu.


Perbicaraan dijangka berlangsung sehari suntuk dan diadakan secara tertutup. CAS mengumumkan: "Keputusan akhir mungkin diberikan beberapa hari selepas tamat perbicaraan".

Foto

SUAREZ tiba di luar ibu pejabat CAS di Lausanne, semalam.

Penggantungan bermakna Suarez tidak boleh membuat penampilan pertama bersama Barcelona hingga penghujung Oktober dan terlepas semua perlawanan Copa America di Chile tahun depan apabila Uruguay bermain aksi perlawanan kompetitif selepas ini.


Uruguay bermain minimum tiga perlawanan dan maksimum enam perlawanan di Copa, sekali gus bermakna Suarez akan turut terlepas antara tiga hingga enam perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.

"Isu utama, sembilan perlawanan kerana agak kejam, bergantung kepada persembahan Uruguay di Copa America kerana Suarez tidak dibenarkan bermain hingga 2016," kata Daniel Cravo, peguam yang mewakili Persatuan Bolasepak Uruguay (AUF).


"Tempoh itu terlalu lama untuk seorang pemain berusia 27 tahun. Bagaimanapun, kami tidak boleh terlalu yakin kerana turut perlu menghormati panel." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Cabaran Juve lebih sukar: Allegri

Posted: 08 Aug 2014 10:33 AM PDT

Sydney: Juventus menjangkakan cabaran lebih sukar bakal menanti di Serie A musim ini dalam usaha memburu gelaran Scudetto buat kali keempat berturut-turut, dakwa jurulatih Massimiliano Allegri selepas juara Itali itu tiba di Australia untuk aksi persahabatan sebagai sebahagian daripada jelajah pramusim.

Allegri, 46, mengendalikan pramusim pertama di Juventus selepas menggantikan Antonio Conte yang membawa kelab Turin itu meraih gelaran hatrik liga namun mengundur diri pada Julai lalu.


Jurulatih AC Milan Allegri yang keletihan selepas penerbangan dari Indonesia dengan Juventus menang 8-1 ke atas pilihan bintang tempatan, berkongsi pandangan Conte peluang untuk Juve mempertahankan kejuaraan pasti lebih sukar.

"Tahun ini jelas lebih sukar berbanding tahun lalu," katanya pada sidang media di salah satu mercu tanda Sydney, Opera House.


"Saingan lebih sukar dengan pasukan lain dalam Serie A berebut memperkuatkan pasukan masing-masing.


"Kami masih pasukan pilihan, namun ia lebih mencabar." Hadir sama, penyerang Carlos Tevez dan penjaga gol, Gigi Buffon serta pemain baru Patrice Evra. Allegri mengucapkan terima kasih kepada ratusan penyokong tempatan yang hadir beberapa jam sebelum itu untuk mengalu-alukan kehadiran mereka di lapangan terbang.

Juventus yang dianggarkan mempunyai 250 juta penyokong di seluruh dunia akan berdepan kesebelasan pilihan A-League diketuai bekas kapten kelab berkenaan, Alessandro Del Piero di Stadium Olimpik Sydney, esok.


Ketika penyokong di Sydney pada hujung minggu nanti dijangka sekitar 60,000, jumlah sama yang hadir dalam perlawanan berlangsung dalam cuaca panas di Jakarta Rabu lalu, Allegri menjangkakan cabaran pasti lebih sukar.

"Saya yakin perlawanan Ahad lebih sukar berbanding di Indonesia," katanya.


"Bola sepak Australia sudah meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun lalu. Walaupun gagal menyerlah di Piala Dunia, mereka mempunyai pemain yang sangat bagus.


"Justeru, perlawanan itu akan menjadi ujian penting untuk Juventus menjelang musim baru." - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Sambutan meriah

Posted: 08 Aug 2014 10:32 AM PDT

Georgetown: Seramai 2,500 peserta dari dalam dan luar negara menyertai Larian Forwards Oat King Sports 2014 di Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang, Jalan Masjid Kapitan Keling, baru-baru ini.

Kejohanan itu dianjur bersama TG Ocean Health Food Industries Sdn Bhd, Kelab Sukan Forwards, Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang (PCTH) dan Persatuan Atlet Amatur Pulau Pinang (PAAA) sambil disokong Kerajaan Negeri Pulau Pinang serta Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP).


Larian sejauh 21 kilometer (km) di pusat bandar raya bermula jam 5.30 pagi dengan pelepasan peserta disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri Chow Kon Yeow.

Pengerusi penganjur Lim Choo Hooi berkata, cuaca baik membolehkan program larian julung kali itu berjalan lancar apabila semua peserta berjaya menamatkan larian.


"Ini kali pertama acara ini diadakan dan sambutan menggalakkan," katanya.


Peserta dibahagi kepada beberapa kategori, terbuka lelaki dan wanita, veteran lelaki dan wanita serta remaja lelaki dan wanita.

"Selain wang tunai, pemenang setiap kategori turut menerima pingat serta hadiah iringan lain," katanya.


Sumbangan kepada badan kebajikan turut disampaikan, RM20,000 kepada Persatuan Thalassemia Pulau Pinang, Happy Retired Home (RM3,000), House of Hope (RM4,000), Eden Handicap Service Centre (RM5,000), St Joseph's Home (RM5,000) dan The Salvation Army Children Home (RM5,000).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Jaafar, Roslinda unggul

Posted: 08 Aug 2014 10:32 AM PDT

Kuantan: Pasangan Datuk Jaafar Abdullah dan Roslida Abd Malik yang mencatat 865 jatuhan pin muncul juara Kejohanan Bowling Kelab Kebajikan dan Rekreasi Pengurusan Air Pahang (PAIP) Berhad di Premium Lanes Kuantan Plaza, baru-baru ini.

Naib juara dimenangi beregu Al-Bahtime Ahmad dan Asmah Abdul Majid yang melakukan 755 jatuhan pin manakala tempat ketiga diraih Abdul Rahman Mohd Yunus dan Nurul Zuriana, 749 jatuhan pin.


Seramai 28 pemain menyertai kejohanan bertujuan mengeratkan silaturahim dan membuat pemilihan ke kejohanan bowling peringkat daerah PAIP Berhad, bulan depan.

Penyelaras kejohanan Noorhasnida Alias berkata, pihaknya bangga dengan komitmen semua pemain yang terdiri daripada pemain Ibu Pejabat PAIP Pahang untuk memeriahkan kejohanan.


"Sambutan menggalakkan itu membuktikan mereka mengamalkan gaya hidup sihat dan sedia mengeratkan silaturahim," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

Nayaim tawan Anjung Balai

Posted: 08 Aug 2014 10:31 AM PDT

Alor Gajah: Muhamad Nayaim Borhan, 17, dari Bukit Katil muncul juara ujian masa mountain bike anjuran Jabatan Belia dan Sukan di Anjung Balai, Melaka Pindah, baru-baru ini.

Naib juara milik Mohamad Emir Berahim, 17, dari Bukit Baru manakala ketiga, Amiruddin Mansor, 22, dari Bertam Hulu pada saingan membabitkan lebih 100 penyertaan.


Selain hadiah iringan, mereka turut menerima barangan sukan dan hamper dengan pemenang lima tempat teratas turut membawa pulang sagu hati.

Pemenang pingat emas Sukan SEAP 1965, Shaharudin Jaafar ketika menyempurnakan kejohanan berkata, program ini menyediakan pentas membudayakan sukan untuk remaja mengisi masa terluang.


"Hubungan silaturahim juga dibentuk sepanjang saingan sekali gus mendedahkan mereka kepada gaya hidup positif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/09

No comments:

Post a Comment