Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


'Kami tak paksa'

Posted: 28 Aug 2014 11:02 AM PDT

Kuala Lumpur: Membenarkan Goh V Shem beraksi di Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen bukan satu perjudian. Itu penjelasan jurulatih beregu negara, Pang Cheh Chang.

Bekas pemain negara itu mengakui jadual padat mungkin menjadi punca anak buahnya mendapat kecederaan dengan terbaru V Shem yang mengalaminya ketika bergandingan dengan Lim Khim Wah.

Menurut Cheh Chang, selepas Sukan Komanwel 2014 Glasgow beliau ada bertanya kepada V Shem mengenai tahap kecederaan pemain itu dan sentiasa memantau keadaannya.

"Dia sendiri yang memberitahu akan beraksi di Kejohanan Dunia walaupun sedar mengalami kecederaan di bahagian belakang badan," katanya.

Foto


V Shem-Khim Wah terpaksa menarik diri daripada aksi pusingan kedua kelmarin ketika ketinggalan 11-21, 7-11 kepada pasangan Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin.


Keputusan itu jelas sekali mengecewakan Khim Wah yang berpasangan buat kali terakhir dengan V Shem kerana mereka akan dipisahkan selepas Kejohanan Dunia.

"Memang saya akan selalu berbincang dengan pemain sebelum mereka menyertai mana-mana kejohanan atau masuk ke dalam gelanggang.

"Jika ada pemain yang mengalami kecederaan, kami tidak memaksa mereka untuk beraksi bagi mengelak perkara itu menjadi lebih buruk," katanya.

Menurutnya, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah diberitahu mengenai tahap kecederaan V Shem dan pemain kelahiran Kuala Lumpur itu akan berehat beberapa minggu untuk menjalani rawatan.

Senario itu sedikit-sebanyak akan mengganggu persiapan V Shem sendiri untuk Sukan Asia 2014 Incheon atau mungkin dia tidak akan beraksi di kejohanan yang dianjurkan empat tahun sekali itu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Beri masa skuad wanita menyerlah

Posted: 28 Aug 2014 10:59 AM PDT

Kuala Lumpur: "Bagi kami masa," itu yang dimahukan jurulatih beregu wanita negara, Rosman Razak selepas cabaran anak buahnya berakhir di pusingan kedua Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen awal pagi semalam.

Rosman mengakui standard pemainnya masih belum tinggi jika dibandingkan dengan pemain lain terutama dari Denmark, China, Jepun dan Korea Selatan.

"Banyak perkara harus dipertingkatkan lagi terutama dari segi kualiti pukulan dan mengekalkannya sehingga tamat perlawanan," katanya.

Awal pagi semalam satu persatu anak buahnya tumbang di pusingan kedua bermula dengan gandingan Lim Yin Loo-Lee Meng Yean yang kalah kepada Luo Ying-Luo Yu dari China 7-21, 15-21, diikuti pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

Foto


Vivian-Khe Wei tumpas kepada pilihan ke-15 dari Denmark, Line Damkjaer Kruse-Marie Roepke 16-21, 21-11, 10-21.


Pasangan adik-beradik, Ng Hui Lin-Ng Hui Ern pula kalah kepada pasangan Belanda, Eefje Muskens-Selena Piek 17-21, 20-22, manakala Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho dikecewakan pilihan keempat dari China, Wang Xiaoli-Yu Yang 14-21, 16-21.

"Saya percaya semua anak buah saya akan bekerja lebih keras untuk mencapai tahap tertinggi, bagi kami masa kerana ia bukan sesuatu yang mudah.

"Sasaran selepas ini untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik 2016 Rio," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Dalam masa yang sama Rosman juga mengakui mereka tidak mempunyai masa panjang dan semua perancangan harus bermula sebaik berakhirnya perjuangan di Kejohanan Dunia.

Sementara itu Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Norza Zakaria berkata, cabaran pemain wanita sekarang ini semakin mencabar kerana bukan saja dari negara Asia malah Eropah terutama England dan Denmark.

"Mereka masih lagi mempunyai perjalanan panjang untuk ditempuhi," katanya yang turut berada di Copenhagen bersama jurulatih dan pemain.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Nicol mara suku akhir

Posted: 28 Aug 2014 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyandang juara Terbuka Hong Kong Datuk Nicol David melangkah ke suku akhir selepas menumpaskan Emma Beddoes di pusingan pusingan kedua semalam.

Nicol yang melakar kemenangan ke-47 berturut-turut di kejohanan itu, mengambil 46 minit untuk mengalahkan Emma 11-4, 11-6, 8-11, 11-7.

Menantinya di pusingan suku akhir hari ini pemain tuan rumah, Joey Chan yang mengejutkan pilihan ketujuh dari Mesir, Omneya Abdel Kawy 11-8, 13-11, 11-7.

"Saya bermain dengan tenang pada dua set awal tapi Emma mula bangkit di set ketiga," kata pemain berusia 31 tahun itu.

Selepas menyedari lawannya itu cuba bangkit, Nicol mula mengorak langkah dan tidak melakukan sebarang kesilapan pada set keempat.

Bagaimanapun, hasrat untuk melihat seorang lagi wakil negara, Low Wee Wern mengikut jejak langkah Nicol mara ke suku akhir tidak kesampaian apabila tewas kepada Nour El Tayeb dari Mesir.

Nour terpaksa berhempas pulas untuk menewaskan Wee Wern yang diletakkan sebagai pemain pilihan kelima sebelum menang 11-8, 7-11, 11-3, 7-11, 11-5.

Nicol cuba untuk memburu kejuaraan kali ke-10 selepas menjuarainya secara berturut-turut sejak 2005 hingga tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Tuju Eropah

Posted: 28 Aug 2014 10:57 AM PDT

Kuala Lumpur: Selepas direhatkan seketika oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) daripada membimbing skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah (gambar) akan memanfaatkan peluang itu dengan membawa diri ke Eropah selama tiga bulan untuk mendalami ilmu dalam bidang kejurulatihan.

Dhaarma akan menjelajah ke Eropah bermula pertengahan September sehingga Disember dan sepanjang tempoh itu beliau akan cuba singgah di 12 kelab dengan menghabiskan masa selama seminggu bagi setiap kelab.

Setakat ini, Dhaarma sudah mendapat maklum balas daripada tujuh kelab iaitu empat dari Belanda, dua (Jerman) dan satu (England).

"Saya akan memanfaatkan tempoh tiga bulan ini untuk memantapkan ilmu kejurulatihan.

Foto


"Selain itu, peluang selama tiga bulan ini juga membolehkan saya membina hubungan dengan kelab di Eropah supaya pada masa depan, mungkin ada peluang untuk pemain kita beraksi di benua itu.


"Ini antara matlamat yang sudah saya rancang sejak sekian lama. Jika kita mempunyai ramai pemain beraksi di Eropah, maka saya percaya corak permainan pasukan kebangsaan juga akan meningkat," katanya.

Dhaarma berkata, hasratnya itu sudah mendapat lampu hijau Majlis Sukan Negara (MSN) dan beliau akan meneruskan hasratnya itu meskipun masa depannya selaku ketua jurulatih skuad negara masih samar.

"Saya tak pasti sama ada akan kembali semula membimbing skuad negara atau sebaliknya. Tapi sekurang-kurangnya saya dapat menambah ilmu kejurulatihan sementara direhatkan ini.

"Kalau kembali semula, saya akan curahkan ilmu kepada barisan pemain. Kalau tidak, saya akan berkongsi dengan sesiapa saja," katanya.

Dhaarma direhatkan seketika oleh MHC berikutan aksi hambar skuad negara pada Sukan Komanwel lalu dan digantikan dengan Arul Selvaraj selaku pengendali sementara yang akan membimbing pasukan untuk misi meraih pingat emas di Sukan Asia, Incheon, Korea Selatan bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Fokus satu demi satu

Posted: 28 Aug 2014 10:55 AM PDT

Kelana Jaya: Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tidak mahu isu sasaran mengganggu fokus skuad bawah 23 tahun negara (B-23) sebaliknya mengarahkan anak buah Datuk Ong Kim Swee memberikan aksi terbaik dalam setiap perlawanan di Sukan Asia Incheon bulan depan.

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan sasaran ke suku akhir kepada skuad B-23 negara biarpun ada pihak menganggap ia misi yang sukar memandangkan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama pasukan tuan rumah Korea Selatan, Arab Saudi dan Laos di Incheon.

Bagaimanapun Tengku Abdullah yang ditanya mengenai keputusan MOM itu tidak mahu isu itu diperbesarkan.

"Saya rasa lebih baik kita fokus satu perlawanan ke satu perlawanan.

Tidak guna juga jika kita meletak sasaran tinggi tetapi dengan persembahan teruk, kita mencapai kegagalan dan tidak akan pergi jauh.

Kita kena faham bahawa skuad negara berada dalam kumpulan sukar.

Foto

PEMAIN B-16 negara, Najib Abdullah (jersi kuning) dihalang pemain Uzbekistan.


Itulah sebab mengapa saya lebih berminat untuk letakkan sasaran kepada fokus satu demi satu perlawanan.

"Sasaran itu bergantung kepada jurulatih (Kim Swee) dan pemain kerana bagi saya, setiap perlawanan itu adalah sasaran saya.


Bagaimanapun, sasaran yang diletakkan oleh MOM itu seharusnya diambil sebagai satu cabaran.

Jika kita berjaya (layak ke suku akhir), ia bagus untuk kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan persahabatan skuad bawah 16 tahun negara menentang Uzbekistan B-16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, semalam.

Dalam perlawanan itu skuad kendalian S Balachandran yang kini dalam persiapan ke pusingan akhir Piala AFC B-16 di Bangkok bulan depan tewas 1-3 kepada Uzbekistan.

Tengku Abdullah melahirkan rasa tidak puas hati dengan persembahan skuad muda negara itu dan mahu mereka bangkit untuk melangkah ke final di Bangkok sekali gus meraih tempat beraksi di Piala Dunia B-17 di Chile tahun depan.

"Saya tidak berpuas hati dengan permainan hari ini (semalam) tapi saya percaya mereka mempunyai kemampuan untuk beraksi lebih baik.

Saya mahu mereka bangkit pada kejohanan sebenar kerana kami mahu mereka beraksi sehingga ke final," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Empat senior rebut tempat

Posted: 28 Aug 2014 10:53 AM PDT

Kuala Lumpur: Empat pemain senior termasuk kapten Harimau Malaya Mohd Aidil Zafuan Abd Radzak (gambar) bakal bersaing merebut tempat dalam skuad B-23 tahun negara ke Sukan Asia Incheon apabila mereka dipanggil untuk menjalani latihan pusat bersama 21 lagi pemain di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee pada 3 September depan.

Senarai 25 pemain dikeluarkan semalam yang menyaksikan pengendali negara itu memanggil empat pemain lebih umur iaitu Aidil (pertahanan), Brendan Gan (tengah), Bobby Gonzales dan Mohd Nor Farhan Muhammad (penyerang) bagi sesi pemilihan.

Bagaimanapun Kim Swee akan menggugurkan salah seorang daripada pemain itu memandangkan beliau hanya mempunyai kuota tiga pemain lebih umur bagi melengkap senarai 20 pemain terakhir ke Incheon.

Selain empat pemain senior, skuad B-23 turut mempertaruhkan sembilan lagi pemain daripada pasukan Liga Super dan Liga Perdana manakala selebihnya pemain Harimau Muda A yang beraksi dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia.

Foto


Bagi Kim Swee yang akan tiba di tanah air bersama skuad Harimau Muda A hari ini, kesemua pemain yang dipanggil adalah yang terbaik mengikut prestasi semasa.


"Ini barisan pemain yang terbaik ketika ini termasuk empat pemain yang lebih umur iaitu Bobby, Farhan, Brendan dan Aidil. Bagaimanpun selepas perlawanan persahabatan dengan satu lagi pasukan pada 6 September ini, saya akan mengeluarkan senarai akhir 20 pemain ke Incheon.

"Saya berharap tiada lagi masalah kecederaan terutama pemain yang beraksi dalam Piala Malaysia selepas ini," katanya yang dihubungi Arena Metro semalam.

Menurut Kim Swee, beliau merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang skuad kebangsaan Yaman pada 6 September di Stadium Shah Alam dalam pemilihan terakhir pemain.

Pada saingan Sukan Asia kali ini, Malaysia yang disasarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia untuk layak ke suku akhir diundi dalam Kumpulan A bersama tuan rumah dan juara tiga kali Korea Selatan, naib juara Piala AFC B-22 tahun lalu Arab Saudi dan Laos.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Tiada alasan gagal

Posted: 28 Aug 2014 10:46 AM PDT

Kelana Jaya: Tiada alasan untuk skuad Harimau Malaya gagal menyerlah di kejohanan Piala AFF November ini walaupun ada pihak menganggap ketua jurulatih Dollah Salleh perlu mengharapkan keajaiban untuk menepati sasaran ke final.

Masa dilihat agak suntuk untuk pengendali itu menyiapkan pasukan selepas dilantik melatih skuad kebangsaan pada 1 Julai lalu namun di sebalik kekangan itu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sudah mengatur persiapan terbaik sebelum mengharungi kempen Kumpulan B Piala AFF di Singapura.

Lima perlawanan persahabatan antarabangsa bakal dilalui anak buah Dollah Salleh dalam baki tempoh tiga bulan ini sebagai ujian pemanas badan sebelum ke kejohanan itu dan bagi Setiausaha Agung FAM Datuk Hamidin Mohd Amin beliau berharap skuad kebangsaan dapat memanfaatkan masa yang ada dengan sebaiknya untuk memantapkan prestasi.

"Saya fikir lima perlawanan sudah cukup sebagai persiapan sebelum ke Piala AFF. Kami boleh mengatur beberapa lagi perlawanan persahabatan tapi tidak mempunyai masa cukup kerana terikat dengan jadual Piala Malaysia," katanya ketika ditemui pemberita semalam.

Foto

SKUAD kendalian Dollah (kanan) diharap mampu mara ke final.


Lima perlawanan yang sudah ada dalam perancangan Dollah membabitkan menentang Indonesia di Surabaya atau Jakarta pada 14 September, Kemboja (20 September), Jordan (11 Oktober), Syria (11 November) dan Vietnam (14 November).


Pada kejohanan kali ini FAM menetapkan sasaran ke final biarpun Malaysia diundi dalam kumpulan sukar menentang juara bertahan dan pasukan tuan rumah Singapura, Thailand dan juara pusingan kelayakan bagi saingan Kumpulan B.

Skuad kebangsaan gagal mempertahankan kejuaraan dua tahun lalu apabila terkandas di separuh akhir kepada Thailand.

"Ini satu cabaran kepada kita, jadi kena berusahalah. Kita jangan mengalah dulu. Memang masa suntuk untuk membuat persiapan dan atas sebab itu kami melantik Dollah kerana beliau mempunyai kelebihan sudah kenal pemain," kata Hamidin.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

The Gladiators miliki kelebihan psikologi

Posted: 28 Aug 2014 10:41 AM PDT

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mempunyai kelebihan psikologi menjelang pertemuan penting menentang juara Liga Super Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Lima perlawanan terakhir menyaksikan Harimau Selatan gagal menewaskan anak buah B Sathianathan dengan Johor DT tewas dua kali dan seri dalam tiga perlawanan.

Malah, Johor DT sekadar terikat tanpa jaringan pada perlawanan pusingan pertama Kumpulan C di laman sendiri, sesuatu yang jarang berlaku kepada pasukan pelawat yang bertandang ke Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin.

"Mereka gagal menewaskan kami dalam lima pertemuan terakhir, jadi saya pasti lawan akan bersemangat tinggi untuk meraih kemenangan pada pertemuan kali ini," kata kapten ATM Hairuddin Omar.

Kemenangan akan memastikan tiket buat anak buah Bojan Hodak melangkah ke suku akhir yang kini mengumpul 10 mata manakala Kelantan di kedudukan kedua dengan enam mata, ATM (lima mata) dan Pulau Pinang meraih satu mata.

"Saya tidak melihat sebarang kelemahan Johor DT kerana mereka mempunyai pemain tempatan terbaik dan import yang hebat.

Cuma kami perlu fokus kerana tidak boleh mengharapkan bantuan pasukan lain untuk mara ke suku akhir.

Kami perlu menang baki dua perlawanan bermula malam esok (malam ini).

"Malah, saya sendiri selaku pemain pertahanan perlu bersedia untuk menyerap segala tekanan dan berharap mampu mengekang asakan mereka," katanya.

Bagaimanapun, usaha The Gladiators dilihat sukar kerana Hairuddin sendiri juga masih belum pasti diturunkan kerana mengalami kecederaan ketika membantu ATM menumbangkan Kelantan di Kota Bharu beberapa hari lalu.

Turut mengalami kecederaan adalah penyerang import dari Haiti, Fabrice Noel dan Ahmad Fauzi Saari yang turut berdepan risiko disisihkan pada perlawanan penting itu.

Foto

NOEL dibelenggu kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Hodak ada strategi lebur ego ATM

Posted: 28 Aug 2014 10:40 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) menyimpan tekad untuk menamatkan kemarau kemenangan ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila beraksi di Stadium Selayang, malam ini.

Selepas tiga pertembungan musim ini, skuad bimbingan Bojan Hodak masih buntu mencatat kemenangan apabila hanya seri 1-1 dan tewas 2-1 pada saingan Liga Super dan terbaru sekadar seri 0-0 apabila menentang skuad bimbingan B Sathiananthan dalam kempen Piala Malaysia.

Kini Hodak berkata, sudah tiba masanya untuk merencana strategi yang lebih ampuh bagi memburu kemenangan dalam misi layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila kedua-dua pasukan bertembung pada aksi Kumpulan C.

"Apabila berdepan ATM, kami berdepan masalah menewaskan pasukan itu.

Saya sendiri agak pelik kerana senario itu terus menghantui kami sepanjang musim ini.

"Bagaimanapun, kami tidak boleh pandang ke belakang kerana hanya selangkah lagi untuk layak ke suku akhir dan pemain harus mengambil kesempatan sebaik mungkin untuk membawa pulang tiga mata.

"Tiada penggantungan atau kecederaan dan saya mampu membentuk kesebelasan yang mantap.

Namun pemain juga perlu lebih tenang dan beraksi mengikut perancangan taktikal," katanya.

Skuad Harimau Selatan kini menghuni tangga teratas kumpulan itu selepas mengutip 10 mata dan keputusan seri sudah memadai untuk layak ke pusingan seterusnya.

Namun Hodak tidak meletakkan sasaran untuk aksi 90 minit berkesudahan dengan seri sebaliknya menuntut pemain Johor DT mencatat kemenangan bagi memastikan rekod tanpa kalah sepanjang saingan Piala Malaysia terus kekal.

Percaturan gandingan dua penyerang import, Jorge Pereyra Diaz dan Luciano Figueroa bakal dijadikan taruhan selepas kedua-dua pemain kelahiran Argentina itu menyerlah ketika menentang Pulau Pinang, Selasa lalu.

"Pemain harus tenang dan mengelak daripada membuat kesilapan.


ATM bijak dalam mengambil kesempatan, jadi barisan pertahanan perlu berjaga-jaga dengan corak serangan pantas lawan," kata Hodak.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Ismail protes pengadil

Posted: 28 Aug 2014 10:38 AM PDT

Shah Alam: Prestasi pengadil dalam kancah Piala Malaysia terus menjadi tumpuan dengan jurulatih Sime Darby FC (SDFC) Ismail Zakaria tampil meluahkan rasa kecewanya walaupun berjaya menumpaskan Selangor malam kelmarin.

Ismail jelas kecewa dengan beberapa keputusan pengadil perlawanan Mohd Amirul Izwan Yaacob dan bercadang memanjangkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk diambil tindakan sewajarnya.

"Kami akhirnya berjaya mencapai kemenangan (pertama) cuma saya terkilan dengan keputusan pengadil yang sangat tidak konsisten.

Pengadil hanya melayangkan kad kuning pada minit-32 kepada penjaga gol Selangor sedangkan beberapa kesalahan lain yang berlaku tidak diambil kira," katanya selepas perlawanan di Stadium Shah Alam itu.

Penjaga gol Selangor Mohd Farizal Marlias dilayangkan kad kuning pada minit ke-32 selepas menjatuhkan penyerang import SDFC, Mateo Roskam di luar kotak penalti.

"Kami akan membuat laporan kepada FAM, mereka boleh melihat rakaman video dan jika tindakan boleh diambil, saya minta tindakan diambil," katanya.

SDFC berada di ambang penyingkiran apabila ketinggalan menerusi jaringan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-63 sebelum bangkit dengan dua jaringan menerusi Fahrul Razi Kamaruddin dan Roskam untuk mengejutkan anak buah Mehmet Durakovic.

Kekalahan ini menyebabkan saingan tiga penjuru -Selangor, SDFC dan T-Team -untuk merebut salah satu tiket ke suku akhir selepas PDRM muncul pasukan pertama layak.

Namun tumpuan pastinya kepada Farizal yang juga penjaga gol kebangsaan kerana gagal menghalang Roskam untuk jaringan kedua pelawat dengan Durakovic terpaksa mengeluarkannya ketika perlawanan memasuki minit ke-83, sejurus selepas penyerang Croatia berkenaan menjaringkan gol kemenangan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

No comments:

Post a Comment