Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Biar suami reput di rumah

Posted: 10 Aug 2014 01:47 PM PDT

Lafayette (AS): Seorang balu membiarkan mayat suaminya reput di rumah mereka selama sembilan bulan kerana mendakwa suaminya mahukan mayatnya diperlakukan begitu supaya ia dimakan burung.

Ila Solomon, 54, berdepan tindakan undang-undang selepas mayat suaminya, Gerald Gavan, 88, ditemui di rumah mereka Mei lalu.


Dia baru-baru ini membawa kru berita ke rumah berkenaan dan menunjukkan tempat veteran Perang Dunia Kedua itu mati.

"Saya percaya seseorang yang berkhidmat begitu banyak untuk Amerika Syarikat (AS) perlu menjalani kematian yang diingininya. Dia hanya mahu mayatnya dimakan burung sebagai sebahagian daripada kitaran kehidupan. "Pelan alternatif ialah membiarkan mayatnya di luar supaya burung memakannya di situ. Tetapi, saya tidak melakukan demikian, sebaliknya, membiarkan saja mayatnya di tempat dia mati," kata Ila.


Menurutnya, dia membiarkan saja pintu rumahnya terbuka dengan harapan burung masuk dan memakan mayat suaminya.


Ila mendakwa mayat itu baru saja disimpan selama lima hari, namun koroner Jabatan Polis Lafayette berkata, ia mungkin sudah disimpan sembilan bulan. Bagaimanapun, punca kematian masih tidak diketahui.

Foto

ILA ketika ditemu ramah wartawan di rumahnya.

Ila didakwa mengambil wang bantuan suaminya selepas kematian lelaki itu.


Satu wasiat yang kononnya ditulis Gavan meminta mayatnya dimakan burung di India. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Kaku lihat isteri dibaham harimau

Posted: 10 Aug 2014 12:33 PM PDT

Kolkata: Seekor harimau membaham sebelum mengheret seorang wanita ke hutan di depan suaminya.

Pasangan itu bersama seorang jurumudi bot dikatakan menangkap ketam di sungai cetek di Benggala Barat Jumaat lalu.


Haiwan itu menerkam dan mengheret wanita berkenaan ke paya bakau di Hutan Pirkhali kawasan yang terkenal dengan beberapa siri serangan haiwan buas itu, sementara suaminya kaku melihat kejadian berkenaan.

Pegawai hutan Nabin Chandra berkata, operasi mencari dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada suami mangsa.


Bagaimanapun, usaha itu gagal menemui sebarang kesan mangsa.


Serangan berlaku di Sunderbans, kawasan paya bakau, tempat mengalirnya Sungai Ganges ke Teluk Benggala.

Ia kes keenam yang dilaporkan tahun ini.


Menurut pakar alam sekitar, habitat harimau yang semakin terancam memaksa haiwan itu meluaskan kawasan memburu makanan.

Jun lalu, harimau benggala menerkam lelaki di dalam bot dan mengheretnya ke kawasan paya bakau di depan beberapa anaknya.


Difahamkan, keluarga yang diserang harimau itu juga bekerja sebagai pemungut ketam di Taman Hutan Negara Sunderbans.


Kira-kira 3,200 harimau dipercayai masih berkeliaran di hutan di seluruh India. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Bunuh dengan hajat masuk jel

Posted: 10 Aug 2014 12:01 PM PDT

Michigan: Seorang budak berusia 12 tahun menikam seorang kanak-kanak hingga mati sebelum dengan tenang menelefon polis meminta supaya dia dimasukkan ke penjara.

Suspek, Jamarion Lawhorn menikam Michael Connor Verkerke hingga mati dalam satu serangan di sebuah taman permainan.


Jamarion mengeluarkan pisau dan menikam Verkerke sebanyak empat kali di belakang badannya.

Selepas ditikam dengan teruk, mangsa sempat balik ke rumah bersama adiknya Kameron.


Sebelum rebah di depan rumah, dia memberitahu adiknya: "Jika sesuatu terjadi, ini bukan salah kamu dan saya sentiasa menyayangi kamu." Keluarga Verkerke mengejarkannya ke hospital, namun kanak-kanak itu tidak sempat diselamatkan.


Sementara itu, Jamarion dilaporkan berlari ke rumah jirannya, Glen Stacy, 34 untuk meminjam telefon.

Menurut Stacy, Jamarion mengaku baru membunuh seseorang yang tidak dikenali.


Sejurus selepas memberitahu perkara itu, Lawhorn membuat panggilan ke balai polis.

"Saya baru membunuh seseorang. Bawa saya pergi. Saya mahu mati dan tak mahu hidup lagi," katanya.


Jamarion juga mendakwa membenci hidupnya kerana tiada siapa yang menyayanginya dan mengambil terlalu banyak 'pil.' Bagaimanapun, menurut Stacy, kanak-kanak itu tidak menunjukkan sebarang tanda khayal. Apabila polis tiba, Jamarion menjerit sambil berjalan ke arah polis dengan menghulurkan tangannya untuk digari. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Nenek sembunyi wang dalam coli

Posted: 10 Aug 2014 11:59 AM PDT

Detroit (AS): Seorang wanita berusia 78 tahun cuba menaiki pesawat di Lapangan Terbang Metropolitan di sini untuk ke Filipina bersama wang tunai berjumlah AS$41,000 (RM131,507) yang disembunyikan di dalam seluar dalam, coli dan begnya.

Menurut dokumen mahkamah di Detroit, wanita dari Clearwater, Florida itu cuba menaiki pesawat berkenaan pada 2 April lalu bersama anak perempuannya.


Dia pada mulanya membawa wang tunai RM640, tetapi mengemukakan borang dan mengisytiharkan dia mempunyai wang sebanyak RM3,849, menyebabkan dia disoal pegawai.

Ketika diperiksa, pegawai Kastam dan Perlindungan Sempadan menemui RM25,660 dalam dompetnya, RM41,152 dalam saku dijahit khas pada pakaiannya dan hampir RM3,207 dalam sampul surat.


Dia kemudian mengaku mempunyai RM9,622 dalam pakaiannya dan wang tunai berjumlah sama dalam colinya.


Pemeriksaan selanjutnya membolehkan pegawai menemui RM67,357 lagi dalam seluar dalamnya.

Wanita itu memberitahu pihak berkuasa, dia menjual rumahnya dengan harga RM38,490 sebelum memindahkan sebahagian daripada wang itu menerusi bank ke Filipina dan merancang membawa sebahagian lagi bersamanya.


"Dia tidak memindahkan semua wang itu kerana merasakan lebih selamat untuk membawa sebahagiannya dalam bentuk tunai," menurut laporan itu. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Kata dua Moeldoko

Posted: 10 Aug 2014 11:07 AM PDT

Jakarta: Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI) Jeneral Moeldoko berkata, dia berang dengan tindakan kerajaan Malaysia membina rumah api di kawasan perairan yang dituntut kedua-dua negara di luar pantai Pulau Borneo.

Moeldoko dalam kenyataannya kepada wartawan mendakwa kawasan perairan itu terletak di Tanjung Datu di daerah Paloh, Kalimantan Barat yang dikuasai Indonesia.


Walaupun mengaku tuntutan bertindih itu sepatutnya diselesaikan menerusi saluran diplomatik, Moeldoko berkata, dia hilang sabar dengan tindakan Malaysia membina rumah api berkenaan lebih-lebih lagi wakil kedua-dua negara masih belum dapat kata sepakat untuk menyelesaikan isu terbabit.

Menurutnya, TNI mempunyai cara tersendiri untuk menyelesaikan isu rumah api itu tanpa perlu menunggu hasil rundingan diplomatik kerana ia membabitkan masalah pertahanan.


"Jika kerajaan Malaysia enggan meruntuhkan rumah api itu, tentera Indonesia akan meruntuhkannya. Saya sudah maklumkan perkara ini kepada wakil Indonesia supaya bertindak cepat, jangan tunggu lebih lama," katanya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Prabowo himpun penyokong

Posted: 10 Aug 2014 11:07 AM PDT

Jakarta: Jentera calon presiden Prabowo Subianto semalam berkata bersedia menghimpunkan ribuan penyokongnya apabila mahkamah bersidang kali ketiga dalam kes mencabar keputusan Pilihan Raya Presiden 2014 hari ini.

Ketua Perwakilan Gerindra Jakarta, M Taufik berkata, pihaknya memohon maaf jika tindakan itu mengganggu pergerakan masyarakat setempat.


"Mungkin ribuan penyokong kami akan berhimpun. Ini perhimpunan aman. Wakil parti yang menjalinkan kerjasama dengan kami juga akan bersama esok (hari ini). Kami memohon maaf jika ada yang terganggu," katanya.

"Ia perlu dilakukan bagi menegakkan kebenaran dan keadilan. Jadi semuanya harus sentiasa berada dalam kawalan," katanya.


Menurutnya, tindakan ini bagi memperlihat kesungguhan pihaknya dalam menuntut keadilan kerana pelbagai masalah wujud dalam pilihan raya lalu termasuk politik wang dan campur tangan asing.


"Dengan keputusan yang bakal dibuat Mahkamah Perlembagaan nanti, kami berharap agar keadilan demokrasi dapat dikembalikan," katanya.

Ketua Gerindra Jawa Barat, Ferry Juliantono berkata pihaknya mengerah kira-kira 5,000 orang dari pelbagai daerah untuk menyertai perhimpunan berkenaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Yingluck pulang ke Thailand semalam

Posted: 10 Aug 2014 11:07 AM PDT

Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra kembali ke negara itu awal pagi semalam sekali gus menepis khabar angin yang menyatakan dia menangguhkan kepulangannya sehingga hujung bulan.

Perkara itu dinyatakan bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar, Surapong Tovichakchaikul yang turut menyatakan Yingluck kini berada berhampiran Thailand dan bukan di Amerika Syarikat seperti yang didakwa.


Pengarah Pusat Penyelarasan Reformasi, Leftenan Jeneral Kampanart Ruddit menafikan dakwaan yang mengatakan Yingluck menghubungi NCPO bagi melanjutkan tempoh untuk berada di luar negara.

Selepas mengambil alih kuasa, NCPO menahan Yingluck bagi membantu siasatan dan membebaskannya dengan beberapa syarat.


Satu daripadanya adalah dia tidak boleh meninggalkan negara itu tanpa kebenaran.


Peguamnya, Norawit Lalaeng berkata, Yingluck tidak mengambil peguam untuk permohonan melanjutkan tempohnya berada di luar negara. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Bom meletup di luar hospital

Posted: 10 Aug 2014 11:06 AM PDT

Pattani: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera apabila bom seberat 30 kilogram yang disembunyikan di dalam sebuah motosikal meletup di perkarangan Hospital Mayor, Selatan Thai semalam.

Ketua Polis daerah Mayor, Kolonel Kong-ath Suwankham berkata, seorang kakitangan hospital menghubungi polis selepas melihat seorang lelaki mencurigakan yang meletakkan motosikal roda tiga di perkarangan hospital.


Lelaki berkenaan yang memakai topi keledar dan kemeja-T hitam kemudiannya bergegas menaiki motosikal lain dan meninggalkan tempat itu.

Menurut saksi, dia mendengar letupan 10 minit selepas membuat panggilan.


Letupan itu mencederakan seorang wanita berusia 25 tahun dan anaknya yang menaiki motosikal melalui kawasan itu pada masa kejadian.


Seorang kakitangan hospital berkenaan turut cedera tetapi ketiga-tiganya kini dilapor stabil.

Pasukan pemusnah bom menemui motosikal yang musnah dan kepingan tangki gas bertaburan di kawasan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Raja tak campur tangan dalam rampasan kuasa

Posted: 10 Aug 2014 11:06 AM PDT

Bangkok: Panglima tentera Thailand semalam menegaskan keputusan melakukan rampasan kuasa pada 22 Mei lalu adalah keputusannya sendiri tanpa sebarang campur tangan institusi diraja negara itu.

Jeneral Prayuth Chan-ocha memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak membabitkan istana dalam kemelut politik yang melanda Thailand.


"Raja tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara ini. Jangan kaitkan beliau lagi dalam isu yang melanda sekarang," katanya ketika ditemui wartawan.

Dia yang juga pengerusi Majlis Keamanan dan Kestabilan Kebangsaan (NCPO) menyatakan perkara berkenaan dalam ucapannya pada forum 'Hala tuju perubahan' yang turut dipengerusikannya di Kelab Tentera Diraja Thai.


"Sama ada ramapasan kuasa ini betul atau salah, saya yang bertanggungjawab sepenuhnya. "Jangan kaitkan raja dalam perkara ini. Saya menjunjung kedaulatannya dan memohon ampun mengenai perkara ini," kata Prayuth. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

48 korban nahas pesawat

Posted: 10 Aug 2014 11:05 AM PDT

Teheran: Sebuah pesawat penumpang kecil terhempas selepas berlepas dari sebuah lapangan terbang berhampiran ibu negara Iran ini, semalam.

Agensi berita rasmi Iran, IRNA, melaporkan, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam nahas itu.


Pesawat itu, jet Iran-140 yang biasanya digunakan untuk penerbangan jarak dekat terhempas di kawasan kediaman berhampiran Lapangan Terbang Mehrabad, barat Teheran, selepas enjinnya terhenti, lapor IRNA.

"Laporan awal menunjukkan 48 orang yang berada dalam pesawat itu terbunuh, termasuk dua bayi dan tiga kanak-kanak bawah usia 12 tahun," katanya.


Ia bagaimanapun tidak menyatakan sumber laporan itu.


Pesawat itu jatuh di blok kediaman di Mina 6 Boulevard. Televisyen Iran pula melaporkan, terdapat 42 penumpang di dalam pesawat malang berkenaan ketika kejadian.

Foto

PENGAWAL Revolusi Iran memeriksa rangka pesawat yang terhempas berhampiran Teheran, semalam.

Menurutnya, pesawat itu, milik Taban AIR. IRNA pula melaporkan ia milik Sepahan Air.


Pesawat Iran-140 ialah kapal terbang penumpang 52 tempat duduk yang dibuat menggunakan teknologi Ukraine. Iran mengalami beberapa siri kemalangan pesawat sejak beberapa tahun kebelakangan akibat pesawat yang sudah berusia dan kerja penyelenggaraan yang buruk.

Kebanyakan pesawat Boeing dikendalikan syarikat penerbangan negara berkenaan dibeli sebelum Revolusi Islam 1979 yang menjejaskan hubungannya dengan Amerika Syarikat dan Eropah.


Sekatan yang dikuatkuasakan Amerika Syarikat dan sekutunya menghalang negara berkenaan membeli pesawat baru buatan Amerika dan juga menyukarkannya mendapatkan alat ganti atau pesawat baru dari Eropah.


Ia menyebabkan negara itu terpaksa bergantung kepada pesawat buatan Russia, kebanyakannya kapal terbang buatan era Soviet.


Kemalangan pesawat terbesar sebelum ini berlaku pada Januari 2011 apabila pesawat Boeng 727 milik Iran Air berkecai ketika mendarat dalam ribut salji di barat laut Iran, meragut 77 nyawa.


Pada Julai 2009, sebuah jet buatan Russia terhempas juga di barat laut negara itu selepas berlepas dari Teheran, menyebabkan 168 orang mati.


Pada 2003, sebuah pesawat Ilyushin buatan Russia yang membawa 76 anggota Pengawal Revolusi terhempas di kawasan pergunungan tenggara Iran, menyebabkan 302 penumpang di dalamnya maut. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

No comments:

Post a Comment