Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Vivian, Khe Wei mara ke pusingan kedua

Posted: 25 Aug 2014 11:00 AM PDT

Kuala Lumpur: Pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2014 Glasgow, Vivian Hoo-Woon Khe Wei tidak mempunyai masalah mara ke pusingan kedua Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen apabila menumpaskan pasangan Republik Czech Sarka Krizkova-Katerina Tomalova semalam.

Anak didik Rosman Razak itu hanya mengambil masa 27 minit untuk mencatat kemenangan straight set, 21-11, 21-12 dalam perlawanan berlangsung di Ballerup Super Arena.

Menurut Vivian, lawan mereka yang menduduki ranking ke-100 dunia tidak terlalu sukar untuk dikalahkan.

"Bagi saya aksi kami sederhana saja dan ia lebih kepada menyesuaikan diri dengan gelanggang," kata pemain berusia 24 tahun itu.

Foto

VIVIAN (kanan) dan Khe Wei bakal menentang pasangan Denmark di pusingan kedua.


Jelasnya, mereka mampu beraksi dengan lebih baik terutama menjelang perlawanan pusingan kedua menentang pilihan ke-15 dari Denmark, Line Damk jaer Kruse-Marie Roepke.


"Saya rasa pertemuan dengan pasangan Denmark akan lebih sukar, malah kami belum pernah bertemu mereka sebelum ini.

"Saya menjangkakan peluang kami untuk mara ke pusingan ketiga 50-50," katanya yang pernah meraih emas di Sukan SEA 2013 Myanmar dalam acara beregu wanita, juga ketika bergandingan dengan Khe Wei.

Turut mara ke pusingan kedua beregu campuran tunggal, Tan Aik Quan-Lai Pei Jing yang menjinakkan gandingan Hong Kong Chan Yun Lung-Tse Ying Suet 21-14, 21-17.

Bagaimanapun, tugas berat menanti pasangan ke-85 dunia itu hari ini apabila bertemu pilihan keempat kejohanan dari England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock.

Pemain perseorangan wanita negara, Tee Jing Yi juga melepasi halangan awal selepas menumpaskan wakil New Zealand, Michelle Chan Ky 21-14, 21-19.

Menantinya di pusingan kedua pilihan kesembilan dari Sepanyol, Carolina Marin yang mendapat bye.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

'Pisah demi kebaikan'

Posted: 25 Aug 2014 10:56 AM PDT

Kuala Lumpur: Anggaplah perpisahan demi kebaikan, itu pesanan jurulatih beregu lelaki negara, Pang Cheh Chang kepada gandingan Goh V Shem-Lim Khim Wah menjelang aksi pusingan pertama Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen.

Cheh Chang mengakui walaupun kedua-dua pasangan itu tidak akan bergandingan selepas kejohanan itu, tetapi hakikat itu dijangka tidak mempengaruhi aksi mereka di Ballerup Super Arena hari ini.

"Memang akan ada kesan selepas mengetahui mereka tidak akan bergandingan sebaik tamat Kejohanan Dunia, namun pada peringkat ini kesan itu hanya sementara," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Jelasnya, kedua-dua anak buahnya itu harus membuktikan kehebatan masing-masing seterusnya membawa keuntungan kepada diri sendiri pada masa akan datang.

"Ini pentas terbaik buat mereka menguji kekuatan diri sendiri, semuanya terpulang bagaimana mereka fikir walaupun sedar Kejohanan Dunia saingan terakhir bersama.

"Pada peringkat ini mereka perlu fokus, baik dari segi strategi, serta bagaimana untuk mengekalkan kekuatan fi zikal," katanya.

Penyandang juara Siri Super Premier Terbuka Malaysia itu bakal berpisah dengan V Shem bergandingan bersama Tan Wee Kiong.

Kehebatan gandingan V Shem-Wee Kiong mula terserlah di Piala Thomas 2014 New Delhi Mei lalu apabila mereka memenangi kesemua perlawanan ketika digandingkan bersama termasuk perlawnan akhir menentang Jepun.

Mereka sekali lagi menunjukkan persefahaman tinggi di Siri Super Terbuka Australia apabila mara ke suku akhir.

Ia terus menarik minat Cheh Chang untuk mengekalkan gandingan ini pada masa akan datang namun V Shem-Khim Wah perlu melaksanakan tugas terakhir di Kejohanan Dunia kerana ia mengambil kira ranking ketika mereka bersama sehingga April lalu.

Hari ini halangan pertama V Shem-Khim Wah adalah menentang pasangan Afrika Selatan, Andries Malan-Willem Viljoen, sebelum menempah pertemuan dengan pilihan keenam dari Taiwan, Lee Sheng Mu-Tsai Chia Hsin yang mendapat bye.

Selain V Shem-Khim Wah turut beraksi di Kejohanan Dunia gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong dan Hoon Thien How-Wee Kiong.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Soon Huat tak gentar

Posted: 25 Aug 2014 10:55 AM PDT

Kuala Lumpur: Goh Soon Huat sudah bersedia menggalas tugas acara berpasukan pada temasya Sukan Asia di Incheon bermula 19 September sekali gus berpeluang membuktikan dia sememangnya pilihan terbaik.

Meskipun Persatuan Badminton Malaysia (BAM) secara rasmi belum memutuskan senarai nama ke Sukan Asia, Soon Huat hampir pasti terpilih selepas aksi hambar Liew Daren pada temasya Sukan Komanwel hingga menyaksikan ketua jurulatih perseorangan negara Rashid Sidek secara terbuka menyatakan enggan memilih pemain itu lagi.

Soon Huat berkata, dia kemungkinan besar ke Sukan Asia bersama seorang lagi rakan seangkatan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

"Sudah tentu setiap pemain mahu beraksi di tahap lebih tinggi, begitu juga saya.

"Peluang ini akan saya manfaatkan sebaik-baiknya.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman luas, saya percaya mampu membuktikan sesuatu," katanya.

Jelas Soon Huat, pengalaman ketika beraksi di Piala Thomas lalu membantunya untuk berdepan tugasan di Sukan Asia.

"Walaupun saya hanya beraksi sekali saja pada Piala Thomas, banyak yang saya pelajari di sana.

"Saya lihat bagaimana gigihnya Datuk Lee Chong Wei serta Chong Wei Feng pada sesi latihan dan sikap itu menjadi kunci kecemerlangan mereka berdua," katanya.

Pada temasya Sukan Asia, skuad negara mendapat bye di pusingan awal dan bakal bertemu sama ada Macau atau Mongolia di suku akhir.

Dijangka mudah menewaskan dua lawan itu, Malaysia bagaimanapun dijangka bakal bertemu China pada aksi separuh akhir.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Kesalahan serius!

Posted: 25 Aug 2014 10:54 AM PDT

Kuala Lumpur: Sebanyak 10 pertuduhan dikemukakan Pejabat Pesuruhjaya Sukan kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang kini berdepan penggantungan pendaftaran susulan isu membabitkan peruntukan kewangan yang disalurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar selepas mengadakan mesyuarat bersama Panel Penasihat Sukan pada minggu lalu mengarahkan surat tunjuk sebab dikeluarkan kepada PKBM susulan audit dijalankan pihaknya pada awal tahun ini untuk tempoh tiga tahun, bermula 2011 hingga tahun lalu.

Khairy menjelaskan banyak kesalahan berlaku membabitkan perlembagaan, salah urus kewangan, konflik kepentingan dan kekurangan tanggungjawab yang serius sehingga menyebabkan beliau memutuskan proses ke arah penggantungan dimulakan terhadap badan induk berbasikal negara itu.

"Sepuluh pertuduhan yang dikemukakan kepada PKBM itu dilihat terlalu umum.

Antara pertuduhan yang dikemukakan termasuk mengenai penggunaan firma audit bertauliah dalam laporan audit sebelum ini dan persoalan kenapa tidak mengadakan mesyuarat agung tahunan seperti ditetapkan," kata sumber.

PKBM diberi tempoh 14 hari sehingga 4 September untuk menjawab surat berkenaan dengan alasan kukuh bagi mengelakkan daripada digantung.

Sebelum ini mereka pernah diberikan peluang untuk memberi penjelasan iaitu ketika siasatan audit dalaman KBS dijalankan selain siasatan Panel Penasihat Sukan.

Difahamkan PKBM akan mengadakan mesyuarat majlis dalam tempoh terdekat dengan memanggil 10 exco serta 15 wakil ahli gabungan setiap negeri agar semua pihak dalam persatuan berkenaan dapat mengetahui perkara sebenar dan memberikan pandangan masing-masing.

Menerusi laporan Arena Metro semalam, Setiausaha Kehormat Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Sieh Kok Chi menasihatkan badan sukan berkenaan agar memahami secara terperinci pertuduhan dikemukakan selain mendapatkan khidmat peguam sekiranya perlu.

Isu membabitkan PKBM bermula apabila mereka gagal meraih emas dalam acara lebuh raya di Sukan SEA 2013, kali terakhir meraih emas pada 2005 di Filipina, walaupun mendapat pembiayaan jutaan ringgit setiap tahun daripada KBS.

Ia mencetuskan tanda-tanya mengenai peruntukan berkenaan yang bertujuan membangunkan pelumba lebuh raya negara selaras dengan penganjuran perlumbaan berprestij, Le Tour de Langkawi (LTdL).

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Kluang jadi inspirasi

Posted: 25 Aug 2014 10:52 AM PDT

Kuala Lumpur: Kejayaan muncul naib juara CP130 pada Pusingan 6 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Kluang, kelmarin menjadi inspirasi penting buat Mohd Zamri Baba untuk terus tampil dengan aksi terbaik bagi baki saingan akan datang.

Pelumba Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing itu menamatkan perlumbaan di belakang rakan sepasukan, Norizman Ismail, sekali gus membuktikan kehadirannya di litar masih perlu diberi perhatian sekalipun dihimpit masalah kecederaan dan prestasi kurang konsisten sejak beberapa musim lalu.

"Perlumbaan minggu lalu sangat hebat dan aksi saya di sepanjang sesi latihan, kelayakan dan perlumbaan akhir juga sangat memuaskan.

"Kejayaan menamatkan perlumbaan di belakang Norizman juga sesuatu yang hebat.

Ia petanda baik buat peningkatan prestasi saya tahun ini.

"Jika beberapa musim lalu saya gagal mencapai aksi terbaik selain prestasi tidak konsisten, namun kali ini suasana agak berbeza.


Keadaan fizikal dan mental saya jauh lebih baik ketika ini," kata Zamri.

Jumlah 20 mata dikutip di Kluang membantu Zamri naik ke tangga keenam keseluruhan dari tempat ke-10 dengan mengumpul 55 mata, namun masih ketinggalan 45 mata kepada pendahulu, Mohd Zaqhwan Zaidi (Givi Honda Yuzy Racing) yang memimpin cabaran dengan 100 mata.

Zamri berkata, kecederaan dialami beberapa bulan lalu juga sudah hampir 100 peratus pulih.

"Permulaan musim saya agak buruk selepas mengalami kecederaan kaki akibat terjatuh ketika menjalani latihan motocross.


"Jadual perlumbaan yang agak padat turut menjejaskan proses pemulihan.

Berikutan keadaan kaki yang masih tercedera, saya tidak dapat memberikan aksi terbaik pada setiap perlumbaan.

"Mujurlah tempoh rehat lama sepanjang Ramadhan dan sambutan Aidilfitri memberi ruang untuk saya merawat kecederaan kaki.

"Meskipun belum pulih sepenuhnya, tetapi sudah cukup untuk membantu saya beraksi dengan lebih kompetitif dan memburu kedudukan podium," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Saya bukan Faizal: Shahril

Posted: 25 Aug 2014 10:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Penyerang meningkat naik, Muhammad Shahril Saabah (gambar) tidak mahu dibandingkan dengan Faizal Saari yang sudah mencipta nama selaku penyerang utama skuad hoki negara.

Shahril dilihat pengganti terbaik Faizal pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan selepas penyerang utama itu meminta untuk berehat seketika daripada tugasan skuad negara.

Kedua-duanya dilihat mempunyai persamaan kerana selain berada di posisi penyerang, Shahril juga pakar pukulan sudut penalti, seperti Faizal.

Malah ketua jurulatih sementara skuad hoki negara Arul Selvaraj melabel Shahril pengganti terbaik Faizal.

"Saya sama sekali tak pernah terfikir untuk menggantikan tempat Faizal.

Dia ada cara permainannya tersendiri, begitu juga dengan saya.

"Lagipun Faizal sudah berada dalam kelas tersendiri manakala banyak yang perlu saya belajar.

"Namun sebenarnya lebih baik jika dia ada dalam pasukan.

Sudah pasti skuad negara lebih kuat," katanya ketika dihubungi semalam.

Shahril berkata, meskipun senarai akhir 16 pemain yang akan ke temasya belum diumumkan lagi, dia berharap dapat terpilih sekali gus membantu skuad negara meraih pingat emas yang menjamin tempat di Sukan Olimpik 2016 di Rio, Brazil.

"Dalam fikiran saya ketika ini hanyalah mahu membantu skuad negara meraih emas dan saya percaya kami mampu melakukannya," katanya.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Malam balas dendam: Zainal

Posted: 25 Aug 2014 10:39 AM PDT

Kuantan: Zainal Abidin Hassan yang terkejut dengan kekalahan 2-3 skuad kendaliannya di tangan FELDA United FC, Sabtu lalu, mahu mereka membalas dendam apabila kedua-dua pasukan kembali bertemu di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Justeru, bekas pemain kebangsaan itu meminta pemain meningkatkan prestasi serta memperkemaskan bahagian pertahanan bagi mengelak kekalahan berulang di tangan naib juara Liga Perdana itu.

Katanya, jika FELDA mampu mengecewakan skuad Tok Gajah di Stadium Darul Makmur, Pahang juga mampu membuatkan skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim itu berputih mata.

"Bagi saya, kami turut berpeluang untuk menang seperti mereka menewaskan kami Sabtu lalu.

"Tapi, ia tidak semudah disangka kerana FELDA masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan," katanya, semalam.

Menurutnya, jentera pertahanan perlu lebih kebal untuk mengekang asakan lawan terutama penyerang import berbisa, Edward Junior Wilson.

"Kekalahan 3-2 membuktikan kecuaian barisan pertahanan dan sudah pasti mereka diharap tidak mengulanginya.

"Saya juga mengharapkan jentera serangan dan tengah akan lebih kreatif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Sathia cabar anak buah

Posted: 25 Aug 2014 10:38 AM PDT

Kuala Lumpur: Misi wajib menang. Itu cabaran dilontarkan pengendali Angkatan Tentera Malaysia (ATM) B Sathianathan kepada barisan anak buahnya menjelang perlawanan keempat saingan Piala Malaysia bertemu Kelantan dalam Kumpulan C, hari ini.

Jelas Sathianathan, barisan pemainnya tidak mempunyai pilihan selain perlu meraih tiga mata pertama sekiranya mahu menghidupkan peluang beraksi di suku akhir.

"Kalau mahu melangkah lebih jauh, kami perlu menang perlawanan esok (hari ini).

"Sukar memanglah sukar, apatah lagi beraksi di tempat lawan, tapi hanya itu saja caranya untuk kami mencerahkan peluang ke suku akhir," katanya.

Selepas tiga perlawanan, anak buah Sathianathan masih gagal untuk mencipta kemenangan dengan perlawanan terakhir menyaksikan mereka tewas 0-3 kepada Kelantan di halaman sendiri.

Bakal beraksi di Stadium Sultan Mohamad IV hari ini, pengendali berusia 56 tahun itu tidak mahu faktor itu dijadikan alasan untuk anak buahnya gagal meraih tiga mata penuh.

"Semua sedia maklum Kelantan memang kuat di gelanggang sendiri tapi tiada yang mustahil.

"Peluang untuk kami meraih tiga mata tetap ada.

Cuma setiap pemain perlu memperkemaskan corak permainan mereka dan tidak melakukan kesilapan seperti ketika bertemu Kelantan sebelum ini.

"Benteng pertahanan perlu lebih ampuh kerana Kelantan mempunyai barisan serangan yang cukup berbahaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Badhri tekad bedil ATM

Posted: 25 Aug 2014 10:37 AM PDT

Kota Bharu: Ketua pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi mahu The Red Warriors (TRW) mempamerkan aksi lebih cemerlang ketika berdepan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam pusingan kedua peringkat Kumpulan C saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.

Mohd Badhri atau lebih dikenali sebagai Piya berkata, kemenangan 3-0 ke atas The Gladiators dalam perlawanan pusingan pertama Sabtu lalu meletakkan mereka di landasan tepat melangkah ke suku akhir namun pemain berusia 30 tahun itu tidak mahu rakan sepasukan terlalu yakin beraksi di gelanggang sendiri.

Katanya, gergasi Pantai Timur itu perlu mempamerkan aksi lebih cemerlang dan mendapatkan tiga mata bagi memastikan laluan ke suku akhir tidak tergugat sehingga tamat saingan peringkat kumpulan.

"Bagi saya, kami tidak boleh terlalu yakin walaupun masih berada di landasan untuk ke suku akhir.

Sebaliknya kami perlu mempamerkan aksi lebih mantap ketika beraksi di gelanggang sendiri malam esok (ini).

"Tidak dinafikan dua kemenangan sebelum ini menyuntik semangat pasukan dan saya mahu momentum itu diteruskan sehingga kami betul-betul layak ke suku akhir," katanya semalam.

Mohd Badhri berkata, kehadiran pemain tengah import Mohamed Shawky Aly juga memainkan peranan penting ketika menewaskan pasukan kendalian B Sathianathan, Sabtu lalu, memberi kelebihan untuk beraksi lebih garang.

Katanya, mereka perlu menghidupkan kembali 'aura' untuk menjulang Piala Malaysia musim ini bagi mendapatkan kepercayaan penyokong.

"Kehadiran Shawky memang membantu kami namun pemain lain juga memainkan peranan penting dan saya rasa ini masa terbaik untuk mendapatkan kembali kepercayaan penyokong," katanya.

Foto

BADHRI (tengah) yakin Kelantan mampu benam ATM.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

Selangor pincang

Posted: 25 Aug 2014 10:34 AM PDT

Kuala Lumpur: Juara 32 kali, Selangor ditimpa malang ketika saingan semakin sengit dalam baki tiga perlawanan untuk memburu slot ke suku akhir.

Merah Kuning yang masih tidak dapat menggunakan khidmat pertahanan kanan dan juga kapten Mohd Bunyamin Omar turut kehilangan pertahanan tengah, Shahrom Abd Kalam yang retak tangan serta bakal tersisih empat minggu.

Dua pemain jentera serangan Abdul Hadi Yahaya turut tersisih enam minggu kerana kecederaan lutut selain Afiq Azmi yang turut mengalami kecederaan.

"Sukar dipercayai, semua kecederaan datang serentak, ketika kami memiliki pemain terhad untuk diturunkan," kata pengendali Selangor Mehmet Durakovic yang kini berdepan misi sukar meneruskan rentak kemenangan menentang Sime Darby FC di Stadium Shah Alam, malam ini.

Durakovic bagaimanapun enggan menyerah kalah dan menjanjikan kesebelasan terbaik untuk diturunkan bagi memburu tiga mata di gelanggang sendiri.

"Tahap keyakinan pemain memang berada di peringkat terbaik selepas menewaskan lawan sama Sabtu lalu.

Pemain sudah menjalankan tugas seperti diarahkan dan saya mahu mereka meneruskannya.

"Setiap perlawanan sangat sukar.

Setiap perlawanan tidak ubah seperti final.


Jangan pandang rendah mana-mana pasukan kerana semua mahu memburu kegemilangan Piala Malaysia.


Saya sendiri mahu menang setiap perlawanan," kata bekas kapten Selangor itu.

Selangor kini menghuni tempat kedua Kumpulan D dengan meraih enam mata, ketinggalan tiga mata kepada PDRM yang gah mencatat rekod kemenangan 100 peratus dengan meledak sembilan gol dan hanya bolos sekali.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/26

No comments:

Post a Comment