Harian Metro: Global

Harian Metro: Global


Maut jika makan roti

Posted: 02 Aug 2014 08:14 AM PDT

Baltimore (Amerika Syarikat): Kebanyakan kanak-kanak tidak akan berfikir dua kali sebelum menerima manisan serta gula-gula. Namun bagi Evan Grimes ia boleh membawa maut.

Kanak-kanak malang berusia 18 bulan ini mempunyai terlalu banyak alahan sehingga hanya mampu makan 11 jenis makanan selain terpaksa sering memakai sarung tangan untuk menghalangnya menggaru badannya sehingga berdarah disebabkan ruam yang sentiasa memenuhi tubuhnya.

Asid sitrik bahan yang biasa ditemui dalam minuman ringan, gula-gula dan roti boleh mengakibatkannya menjadi buta atau maut jika EpiPen (pen suntikan Epinefrin) tidak digunakan segera.

Jadi untuk mengelak nyawanya diletakkan dalam bahaya, ibunya Toya, 28, berjaya menyenaraikan hanya 11 makanan 'selamat' untuk anaknya itu.

Foto

TOYA bersama anak kesayangannya Evan.

Foto

ALAHAN dialami Evan.


Toya pertama kali merasakan sesuatu tidak kena dengan anaknya ketika Evan baru berusia dua bulan selepas kulit di sekitar matanya melepuh akibat jangkitan kuman.


Bayi itu diberikan steroid untuk meredakan kesakitannya, namun Evan terus mengalami masalah kulit teruk yang menyakitkannya sehingga kulit wajahnya nampak seperti melecur dan nipis.

"Ketika mula melihat tanda-tanda alahan padanya saya memakaikan sarung tangan bayi untuk menghalangnya daripada menggaru.

"Namun disebabkan terlalu gatal dia menggosok wajahnya menggunakan tangannya yang bersarung sehingga semakin melarat.

"Saya begitu risau dan tidak tahu apa punca alahannya menyebabkan dia sering gatal-gatal dan melepuh. Katil bayinya sentiasa dipenuhi darah," katanya.

Menurutnya, seorang pakar dermatologi mencadangkan kemungkinan Evan alah terhadap asid sitrik berdasarkan pemerhatian terhadap pemakanannya.

Namun doktor enggan membuat ujian alahan terhadap Evan kerana mendakwa usianya terlalu muda.

"Saya merayu mereka membuat ujian kerana jelas anak saya merana. Dia menangis dan badannya berlumuran berdarah hampir setiap hari namun mereka enggan melayan permintaan itu," katanya.

"Saya rasa tidak berdaya, kasihan melihat anak menderita seperti itu," katanya.

Namun keadaan menjadi lebih baik selepas seorang pakar kulit yang tidak sampai hati melihat keadaan Evan bersetuju membuat ujian alahan ketika bayi itu berusia 15 bulan.

"Dia menangis apabila melihat keadaan Evan dan terus mengarahkan ujian darah dibuat," katanya.

Hasilnya, Evan didapati mempunyai 46 alahan termasuk terhadap asid sitrik, kentang, kekacang, produk tenusu dan gandum seterusnya dia dirujuk kepada pakar dermatologi dan pakar pemakanan.

Kini Toya berjaya menyenaraikan 11 makanan 'selamat' untuk anaknya itu yang antaranya termasuk ayam belanda, kacang panjang, lobak merah, epal, anggur, pear dan sayuran hijau. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

'Pondan' rogol wanita hamil

Posted: 02 Aug 2014 08:00 AM PDT

Shanghai: Seorang lelaki yang berpakaian perempuan ditahan kerana disyaki merogol dua wanita termasuk yang hamil ketika kejadian di rumah mereka dalam serangan yang berlaku dengan jarak 11 tahun.

Dalam kedua-dua kes, lelaki terbabit buruh binaan bernama Wang, 50-an, berpakaian seperti wanita sebelum mengikat mangsa dan memperkosa mereka.

Ketika ditahan Mei lalu, polis menemui pakaian wanita termasuk pakaian dalam serta rambut palsu di rumah Wang.

Wang yang mengakui gemar berpakaian seperti wanita berkata dia membeli pakaian berkenaan manakala ada yang dicuri dari ampaian.


Malah dia memberitahu pasukan penyiasat dia lebih mudah mendapat mangsa kerana wanita mudah percaya kepada wanita lain.


Wang ditahan kerana disyaki merogol seorang wanita hamil April lalu di Daerah Songjiang namun ketika siasatan dijalankan dia berjaya dikaitkan dengan satu lagi kes serupa di Daerah Baoshan pada 2003.

Dalam kejadian di Songjiang, Wang yang memakai rambut palsu hitam, topi dan kot wanita memasuki rumah mangsa selepas wanita itu membiarkan pintunya terbuka ketika mengambil segelas air.

Wanita itu merayu tidak diapa-apakan kerana mengandung empat bulan, namun diikat, ditutup matanya sebelum dipukul dan dirogol.

Wang turut merompak wang serta telefon bimbit mangsa sebelum ditahan di sebuah lokasi pembinaan di bandar Dongjing.

Sementara itu, dalam kejadian pada 2003 pula Wang dipercayai mengekori seorang wanita ke rumahnya sambil memakai pakaian perempuan.

Dia kemudian menyerang wanita terbabit dan mengambil wang serta beberapa gambar selepas merogolnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Hospital dikosongkan

Posted: 02 Aug 2014 07:58 AM PDT

Gaza City: Israel melancarkan puluhan serangan udara awal pagi semalam di Semenanjung Gaza atas alasan meneruskan pencarian anggota tenteranya yang disyaki menjadi tawanan pejuang Hamas.

Jurucakap kesihatan Ashraf al-Qudra berkata, sekurang-kurangnya 35 penduduk Palestin terbunuh dalam serangan itu di sekitar bandar Rafah menyebabkan hospital utama kawasan itu terpaksa dikosongkan atas tujuan keselamatan.

Tentera Israel percaya anggotanya Leftenan Hadar Goldin ditangkap Hamas dalam serang hendap yang dilakukan kira-kira sejam selepas gencata senjata mula berkuat kuasa, awal Jumaat.

Jurucakap tenteranya Leftenan Kolonel Peter Lerner mendakwa lelaki bersenjata muncul dari beberapa terowong dan melepaskan tembakan terhadap tentera Israel menyebabkan pihaknya percaya Goldin, 23, diculik dalam kejadian itu manakala dua askar lain terbunuh.

Foto

LELAKI mencari kitab dalam masjid al-Omeri di Jabalia yang musnah dalam serangan udara Israel.


Bagaimanapun, sayap tentera Hamas tidak mengakui bertanggungjawab terhadap kehilangan askar berkenaan yang mendapat kecaman antarabangsa. Malah dalam satu kenyataan di laman webnya Hamas berkata: "Kami tidak sedar mengenai kehilangannya atau keadaan di sebalik kejadian itu."


Sebaliknya, Hamas beranggapan anggota tentera itu terbunuh dalam pertempuran dengan pejuang Hamas kira-kira sejam sebelum gencatan senjata mula berkuat kuasa.

Menurut Hamas, ia terputus hubungan dengan pejuangnya dan percaya "semua anggota kumpulan berkenaan maut dalam serangan udara Israel termasuk askar Zionis yang didakwa pihak musuh dilaporkan hilang."

Tentera Israel bagaimanapun enggan mengulas kenyataan berkenaan.

Sementara itu, Presiden Barack Obama dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon masing-masing mendesak dia dibebaskan.

"Penduduk yang tidak berdosa menjadi mangsa konflik disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab Hamas. Kita perlu lebih berusaha untuk memastikan mereka selamat," kata Obama.

Ban turut menyalahkan Hamas atas pelanggaran syarat gencatan sementara itu dan mendesak Goldin dibebaskan. Dia turut menggesa kedua-dua pihak mengelak daripada terus menggunakan keganasan sebaliknya kembali menghormati gencatan senjata 72 jam yang dipersetujui.

Kehilangan Goldin dan pertempuran sengit yang menyusuli menghancurkan gencata senjata diusahakan di peringkat antarabangsa yang dipersetujui diadakan selama tiga hari untuk membolehkan perbincangan diadakan di Kaherah bagi mencapai kedamaian.

Israel dan Hamas masing-masing saling menuduh mereka melanggar perjanjian gencatan sementara berkenaan.

Ini bererti masih tiada penyelesaian untuk keganasan yang dihadapi 1.7 juta penduduk Gaza - yang kebanyakan kawasannya dimusnahkan serangan udara serta darat tentera Israel. Lebih 1,650 penduduknya yang rata-rata terdiri daripada orang awam terbunuh dan lebih 8,000 cedera dalam serangan yang dimulakan awal Julai lalu itu. Sebaliknya, hanya 63 tentera Israel dan tiga orang awamnya dilaporkan maut setakat ini.

Pertempuran di Rafah semakin sengit selepas kehilangan askar Israel terbabit malah diteruskan pagi semalam apabila penduduk melaporkan serangan udara berlaku di sempadan Mesir-Gaza selain tembakan kereta kebal dan peluru.

Tentera Israel mendakwa menghantar panggilan telefon automatik atau pesanan ringkas kepada penduduk Rafah supaya tidak keluar dari rumah masing-masing kerana sedang mencari anggotanya yang hilang.

"Kami diserang setiap minit dengan tembakan kereta kebal. Saya mahu meninggalkan tempat ini sejak jam 2 petang namun keadaan terlalu bahaya dan saya bimbang pikap saya dibedil peluru.

"Jadi kini saya bersama 11 anggota keluarga bersama abang serta isteri dan sembilan anaknya berpelukan di kawasan tangga rumah dalam ketakutan. Kami hanya mempunyai sedikit air dan radio untuk mendengar berita. Kami tiada pilihan selain bertawakal kepada Allah," kata penduduk Rafah Ayman Al-Arja, 45.

Sementara itu, Ashraf berkata, sejak Jumaat lalu, lebih 100 penduduk Palestin terbunuh di Rafah termasuk 35 pada awal Sabtu. Bilik operasi polis melaporkan lebih 77 serangan udara dan tembakan berterusan di kawasan itu.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberitahu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) John Kerry melalui perbualan telefon bahawa pejuang Hamas melanggar syarat gencatan apabila melakukan serangan selepas jam 9 pagi.

Bagaimanapun, Timbalan Ketua Hamas, Mousa Abu Marzouk menafikan dakwaan itu malah memberitahu rangkaian berita Al-Arabiya pihaknya tidak langsung melakukan serangan selepas jam 8 pagi. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Kongres lulus RM723j untuk Iron Dome

Posted: 02 Aug 2014 07:51 AM PDT

Washington: Kongres Amerika Syarikat (AS) berebut meluluskan rang undang-undang bernilai AS$225 juta (RM723 juta) untuk menyokong sistem pertahanan roket Iron Dome Israel sejurus sebelum memulakan cuti musim panjang selama lima minggu.

Wang itu akan digunakan untuk menampung pembelian senjata Iron Dome yang digunakan untuk menembak puluhan roket ditembak pejuang Palestin sejak pertempuran lebih dua minggu lalu.

Kelulusan diberikan dua hari selepas Pentagon mengisytiharkan penghantaran senjata kepada Israel dalam pada kegagalan gencatan senjata 72 jam yang dirancang.

Ia kini hanya memerlukan tandatangan Presiden Barack Obama untuk menjadi rasmi.


Dalam sidang media di Rumah Putih, Jumaat lalu, Obama menyatakan semula sokongannya terhadap 'hak Israel mempertahankan diri terhadap serangan' namun turut menggesa lebih banyak perlindungan diberi kepada penduduk Palestin.


Dia mendakwa Iron Dome sebagai cara berkesan membolehkan AS memastikan Israel 'mampu melindungi penduduknya.'

AS menyumbangkan lebih AS$700 juta (RM2.2 bilion) untuk membantu Israel dan jumlah itu dilihat semakin meningkat. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

65 mati kilang meletup

Posted: 02 Aug 2014 07:50 AM PDT

Beijing: Sekurang-kurang 65 terbunuh semalam dalam satu letupan di kilang barangan automotif yang turut dipercayai membekal barangan kepada syarikat General Motors (GM) di timur China.

Letupan di bandar Kunshan di wilayah Jiangsu mencederakan lebih 100 orang yang kebanyakannya melecur teruk, lapor agensi Xinhua.

Kunshan terletak sekurang-kurang 1,0000 kilometer ke selatan Bejing.

Siaran rakaman CCTV menunjukkan kepulan asap tebal dan hitam dari kilang.

Foto

GAMBAR dipercayai diambil menggunakan telefon bimbit menunjukkan mangsa yang cedera menunggu bantuan manakala asap tebal masih dilihat keluar daripada kilang terbabit.


Berita laman web pula menunjukkan mangsa dan penduduk yang terselamat dibawa ke hospital menaiki lori.


Selain itu, mangsa yang menunggu giliran untuk dihantar ke hospital dilihat terlantar di atas kotak kayu di luar kilang dengan pakaian koyak akibat terbakar dan badan yang mengalami cedera serius.

Menurut Xinhua ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, lebih 200 pekerja sedang bertugas.

Lebih 40 mayat ditemui di lokasi kejadian manakala kira-kira 20 mangsa lain meninggal dunia di hospital. Setakat ini kira-kira 187 mangsa berjaya diselamatkan dan dihantar ke hospital di Kunshan serta Suzhou.

Siasatan awal menunjukkan letupan dipercayai mengandungi habuk yang terhasil akibat pembakaran partikel terampai di udara di dalam kawasan tertutup.

Dua eksekutif syarikat kini sedang disoal polis.

Sementara itu, GM dalam satu kenyataan mengesahkan Zhongrong salah satu syarikat pembekalnya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Baling kaki palsu dalam pesawat

Posted: 02 Aug 2014 07:49 AM PDT

Edinburgh: Seorang wanita mabuk yang menaiki penerbangan Thomson Airlines dari Tunisia mengakibatkan kekecohan apabila bertindak di luar jangkaan termasuk menampar seorang kanak-kanak dan membaling kaki palsunya kepada anak kapal.

Penumpang John Smith, 48, berkata dia terkejut apabila wanita itu mula menjerit meminta rokok dan payung terjun untuk keluar dari pesawat berkenaan.

"Saya melihatnya menampar seorang budak perempuan sebelum menyerang pramugari dengan kaki palsunya.

"Anak kapal lain cuba merampas kaki palsu itu daripadanya tetapi dia mula menendang mereka menggunakan kaki yang tidak cacat.


"Bunyinya lawak tetapi ketika itu kami semua ketakutan. Dia sangat mabuk," katanya.


Wanita itu berjaya ditahan dan digari sebelum juruterbang meminta izin mendarat di Lapangan Terbang Gatwick, London dan menyerahkannya kepada polis yang menunggu.

Kejadian itu menyebabkan penerbangan terbabit lewat tiga jam ke destinasi akhirnya di Edinburgh. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Tanah runtuh bentuk tasik

Posted: 02 Aug 2014 07:49 AM PDT

Katmandu (Nepal): Sekurang-kurangnya lapan maut dalam kejadian tanah runtuh yang turut mengakibatkan aliran sungai dari gunung terhalang di utara Nepal sehingga membentuk tasik seluas tiga kilometer yang dikhuatiri mampu pecah dan menenggelamkan beberapa kampung.

Pasukan penyelamat menggunakan helikopter untuk membawa mangsa ke hospital.

Pegawai polis Arun Chetri berkata, jumlah kematian dibimbangi meningkat disebabkan kebanyakan rumah masih tertimbus. Jumlah mangsa hilang masih belum dapat ditentukan.

Lebuh raya Arniko menghubungkan Nepal ke Tibet terpaksa ditutup dan pihak berkuasa mengarahkan penduduk kampung mengambil langkah berjaga-jaga dengan berpindah ke kawasan lebih tinggi.


Selepas mengadakan mesyuarat tergempar, Kementerian Dalam Negeri mengarahkan tentera membuka sekatan untuk melepaskan air bertakung selain mengambil langkah berjaga-jaga sekiranya berlaku banjir kilat di Sindhupalchowk, 120 kilometer ke utara Katmandu.


Sehubungan itu, ketua pentadbir kawasan itu Gopal Parajuli berkata, bahan letupan kini akan digunakan di kawasan takungan berkenaan. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Gagal masuk Australia

Posted: 02 Aug 2014 07:48 AM PDT

Canberra: Lebih 150 pemohon suaka Sri Lanka diterbangkan dari kem tahanan imigresen di Australia ke kepulauan Nauru selepas mereka enggan dihantar pulang ke India.

Mereka diterbangkan menggunakan tiga pesawat ke Nauru di mana Australia mempunyai kem tahanan sebagai sebahagian daripada polisinya tidak membenarkan pemohon suaka mendarat di negaranya untuk mengelak mereka menetap di situ.

Menteri Imigresen Scott Morrison berkata, 157 lelaki, wanita dan kanak-kanak berketurunan Tamil itu meninggalkan pelabuhan Pondicherry di India Jun lalu sebelum ditahan kastam Australia.

Mereka ditahan di atas kapal kastam terbabit untuk beberapa minggu sebelum dipindahkan ke Pusat Tahanan Curtin pada 27 Julai lalu selepas India bersetuju menerima mereka semula.


Bagaimanapun, pemohon suaka terbabit rata-rata enggan menemui pegawai dari India.


"Kami kecewa peluang diberi kepada mereka disia-siakan sebegitu," kata Morrison dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kebanyakan pemohon suaka terbabit sudah lama tinggal di India dan sebenarnya selamat daripada penindasan.

Katanya, pemohon yang benar-benar pelarian akan dibenarkan tinggal di Nauru manakala yang gagal ujian pelarian akan dihantar pulang ke Sri Lanka.

"Ini bererti mereka tidak boleh pulang lagi ke pangkuan keluarga serta rakan di India," kata Morrison.

Tindakan kerajaan Australia itu dikecam Amnesty International (AI).

"Australia sekali lagi melanggar tanggungjawab diperuntukkan kepadanya melalui Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian apabila menghalang 157 orang itu mendapat perlindungan di negaranya," kata penyelaras kempen pelarian Australia AI Graeme McGregor dalam satu kenyataan.

Perdana Menteri Tony Abbott bagaimanapun tetap mempertahankan polisi itu.

"Anda mungkin sampai di sini, tetapi tidak boleh terus menetap," katanya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

Selfie askar cetus kemarahan

Posted: 02 Aug 2014 07:47 AM PDT

Moscow: Gambar selfie yang disiarkan tentera Russia mencetuskan konflik kerana dipercayai diambil di Ukraine walaupun Moscow menafikan tenteranya mencerobohi kawasan yang dilanda konflik itu.

Kontroversi tercetus selepas Alexander Sotkin, 24, menggunakan akaun Instagram miliknya untuk menyiarkan beberapa gambar 'selfie' sambil berpakaian seragam.

Walaupun gambar dimuat naik tidak menunjukkan lokasinya, data lokasi gambar menggunakan 'geotag' jelas menunjukkan ia diambil di Ukraine.

Beberapa gambar yang diambil pada awalnya menunjukkan lokasi di perkampungan Voloshino di selatan Russia, pangkalan yang menempatkan pasukannya.


Namun, geotag menyatakan dua gambar lagi disiarkan Sotkin pada 5 dan 6 Julai lalu meletakkan kedudukannya hanya 10 kilometer melepasi sempadan Ukraine.


Dua gambar itu dipercayai membuktikan tentera Russia sudah menyeberangi sempadan Ukraine walaupun dakwaan itu dinafikan Kremlin.

Menurut seorang pakar komputer adalah mustahil bagi seseorang memalsukan maklumat lokasi kerana memerlukan kepakaran meluas dalam komputer seperti pengekodan.

Menteri Pertahanan Russia enggan mengulas lanjut perkara ini.

Sementara itu, BuzzFeed melaporkan beberapa tentera Russia turut menyiarkan aktiviti mereka menerusi aplikasi laman sosial Vkontakte utama di negara itu.

Gambar yang tidak menyertakan sebarang maklumat atau data geolokasi memberi gambaran Russia ada melepaskan tembakan ke Ukraine seperti didakwa Kiev dan Washington.

"Kami melancarkan serangan ke atas Ukraine sepanjang malam," kata seorang askar, Vadim Grigoriyev pada 23 Julai lalu.

Gambarnya itu menunjukkan dua meriam di kawasan ladang gandum dengan beberapa kotak peluru yang terbuka berhampiran.

"Sudah lama gambar itu diambil. Mungkin akaun Vkontakte saya dicerobohi," kata Grigoriyev. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/03

No comments:

Post a Comment