Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tragedi mandi sungai

Posted: 16 Aug 2014 01:36 PM PDT

Kepala Batas: Kegembiraan sekumpulan remaja menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri rakan mereka berakhir dengan kejadian menyayat hati apabila seorang daripada mereka lemas di Sungai Muda, Kampung Kota Aur, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian jam 5.15 petang, Muhammad Firdee Akasha Ruslan, 14, dari Taman Seri Bayu, Sungai Petani, Kedah bersama enam rakannya ke majlis rumah terbuka rakan mereka, Danial Fikri Mohd Tarmizi, 15, di Kota Aur.


Bagaimanapun, difahamkan, sebelum pulang, Muhammad Firdee Akasha yang juga pelajar tingkatan dua Sekolah Agama Gurun dikatakan ke tepi sungai bersama rakannya dan ternampak beberapa remaja tempatan mandi berhampiran jeti nelayan Kota Aur.

Berikutan itu, mangsa dikatakan turut serta dengan terjun ke sungai untuk mandi sebelum naik ke jeti.


Bagaimanapun, selepas terjun kali kedua, mangsa dikatakan lemas dan cuba dibantu remaja lain yang melihat kejadian namun gagal diselamatkan.


Bapa mangsa, Ruslan Ayob, 48, berkata, arwah menghubunginya Khamis lalu untuk memaklumkan dia tidak dapat pulang kerana mahu menghadiri rumah terbuka rakan di Tikam Batu, Kedah.

Foto

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa yang lemas di Sungai Muda dekat Kota Aur, Kepala Batas, petang kelmarin.

"Arwah tinggal di asrama sekolah dan sepatutnya pulang ke rumah minggu ini tetapi tidak berbuat demikian.


"Dia beritahu mahu ke rumah rakan yang mengadakan majlis rumah terbuka. Bagaimanapun, saya terkejut apabila mendapat tahu dia lemas di Sungai Muda," katanya di Hospital Kepala Batas (HKB).

Ruslan berkata, arwah anak ketiga daripada lima beradik. Dia jarang keluar rumah, malah tidak berani menunggang motosikal tanpa kebenaran.


"Arwah bukan jenis gemar merayau dan hanya keluar jika ada urusan. Namun Khamis lalu, dia mengikut rakan dari asrama sekolah kerana tidak pulang ke rumah terlebih dulu," katanya.


Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Prai Yuhannas Faizal Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.30 petang dan operasi mencari dan menyelamat turut dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Muda.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Ajal tertidur

Posted: 16 Aug 2014 01:35 PM PDT

Juru: Akibat tertidur di dalam kenderaan pacuan empat roda, dua lelaki maut selepas mereka lemas kerana menghidu gas karbon monoksida di sebuah stesen minyak di kawasan rehat dan rawat (R&R) Juru menghala ke Selatan, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.30 malam, Rizuan Ismail, 35, dan Ong Cheng See, 39, ditemui tidak bernyawa dalam keadaan tersandar di kerusi pacuan empat roda jenis Ford Escape terbabit oleh orang awam yang berhenti mengisi minyak.


Orang awam yang curiga kemudian memberitahu pekerja stesen minyak sebelum mereka menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian.

Ong ditemui di tempat duduk pemandu dengan mukanya ditutup jaket, manakala Rizuan berada di tempat duduk penumpang dan kedua-duanya kaku, dipercayai terhidu gas yang terhasil daripada penyaman udara kenderaan berkenaan.


Seorang saksi yang juga pekerja stesen minyak terbabit dan enggan dikenali berkata, dia pada awalnya pelik melihat kenderaan berkenaan yang lama berada di parkir namun tidak mengendahkannya kerana menyangka kedua-dua mangsa mungkin kepenatan dan berhenti berehat.


"Bagaimanapun, ada pelanggan yang mahu mengisi minyak curiga melihat keadaan dua mangsa terbabit sebelum dia memaklumkannya kepada saya.

Foto

ANGGOTA forensik memeriksa kereta mangsa selepas dimaklumkan orang awam.

"Saya mengetuk cermin tingkap kenderaan berkenaan namun tiada tindak balas sebelum saya menghubungi polis dan bomba untuk meminta bantuan," katanya. Sementara itu, Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, siasatan awal mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan.


"Bagaimanapun, kita akan siasat kes ini secara terperinci, termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak berkenaan. Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya yang ditemui di lokasi kejadian.

Mayat Rizuan yang berasal dari Kedah dan Ong dari Melaka dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat. Usaha menemubual keluarga dan isteri Rizuan tidak berhasil kerana masih bersedih dengan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Pelajar UiTM maut jatuh tingkat 4

Posted: 16 Aug 2014 01:33 PM PDT

Shah Alam: Seorang penuntut jurusan Sains Asasi di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam di sini, meninggal dunia selepas terjatuh daripada tingkat empat asrama dihuninya jam 9 malam kelmarin.

Menurut rakan mangsa yang tinggal berhampiran biliknya, mangsa, Mohd Ilyas Saifullah Md Ashari, 19, dikatakan cuba memasuki biliknya melalui tingkap kerana mendapati pintu biliknya terkunci.


Rakan mangsa yang enggan dikenali itu berkata, ketika memanjat daripada tingkap bilik sebelah untuk ke biliknya, mangsa tergelincir sebelum terjatuh daripada ketinggian kira-kira 30 meter.

"Ketika tiba di lokasi kejadian, saya dapati Mohd Ilyas Saifullah sudah dibawa ke hospital dengan ambulans dan mendapati tempat di mana dia jatuh dipenuhi dengan kesan darah," katanya.


Difahamkan, sebelum kejadian, penuntut semester satu itu sedang menunggu ketibaan bapanya untuk menjemputnya pulang ke rumah sebelum naik ke asrama di Kolej Angsana 3 bagi mengambil barang namun mendapati biliknya terkunci.


Sekumpulan penuntut yang berada di tempat kejadian melaporkan kejadian kepada warden yang kemudiannya mendapatkan ambulans dan memaklumkan kepada pengurusan UiTM serta polis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Junaidi Bujang berkata, siasatan awal polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kejadian terbabit dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


"Mangsa disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Sungai Buloh akibat kecederaan parah di kepala," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Arwah suka bantu orang

Posted: 16 Aug 2014 01:28 PM PDT

Kota Bharu: "Arwah seorang anak yang baik dan suka menolong orang. Tanpanya, saya berasa kehilangan," luah Zulmi Mohamad, 41, ibu kepada Mohamed Farkhan Akhiramdzan, 14, yang lemas ketika mandi di tasik dekat Pantai Kuala Senok, Tawang, Bachok, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4 petang itu, Mohamed Farkhan bersama tiga lagi rakannya berbasikal dari rumahnya di Lorong Kubur Maras, Langgar, di sini, ke kawasan tasik berkenaan untuk mandi.


Bagaimanapun, tiga daripada mereka diselamatkan orang ramai, manakala Mohamed Farkhan lemas.

Mayat Mohamed Farkhan ditemui pada jam 5.43 petang oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Balai Bomba dan penyelamat Kota Bharu dan turut dibantu anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).


Zulmi berkata, sebelum kejadian, anak ketiga daripada lima beradik itu tidak memaklumkannya mahu ke Pantai Kuala Senok bersama rakan, malah dia hanya mengetahui anaknya lemas selepas dimaklumkan jiran.


"Saya tahu dia keluar rumah sekitar jam 9 pagi, tetapi dia tidak memaklumkan mahu ke mana-mana. Selalunya dia hanya bermain sekitar sini dengan rakan yang juga budak kampung ini.

"Sebab itu saya terkejut apabila ada jiran datang ke rumah hampir jam 5 petang memberitahu saya perlu ke Pantai Kuala Senok kerana anak saya lemas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

Berkabung kerana tragedi diharuskan

Posted: 16 Aug 2014 01:23 PM PDT

Kuala Lumpur: Berkabung dalam konteks masyarakat apabila berlaku peristiwa seperti pesawat MH17 terhempas adalah diharuskan.

Mufti Negeri Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, menjadi tanggungjawab untuk masyarakat Muslim bersimpati disertai berziarah dan menghulurkan bantuan jika ada keperluan perlu dipenuhi ahli keluarga mangsa.


"Bagi orang Islam, tanggungjawab utama ialah berdoa dan bersedekah surah Al-Fatihah kepada si mati," katanya ketika dihubungi Metro Ahad, semalam.

Khamis lalu, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan tarikh 22 Ogos atau Jumaat ini sebagai hari berkabung untuk menghormati jenazah dan jasad 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam insiden menyahat hati pada 17 Julai lalu.


Kumpulan pertama 15 mayat warga Malaysia, termasuk enam beragama Islam dan seorang rakyat Belanda yang berkahwin dengan wanita tempatan, dijadual tiba jam 10 pagi itu.


Mohd Tamyes berkata, tuntutan berkabung di sisi syarak hanya kepada si isteri yang kematian suami.

"Dalam Islam, isteri perlu berkabung selama empat bulan dan sepuluh hari, tidak boleh berhias, berseronok dan keluar rumah sesuka hati.


"Namun pada hari ini isteri yang bekerja perlu keluar seperti menjadi guru, maka dibolehkan, tetapi perlu balik rumah selepas menyelesaikan tugas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/17

No comments:

Post a Comment