Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Nicol cari rentak

Posted: 21 Aug 2014 11:48 AM PDT

Kuala Lumpur: Berjaya menyesuaikan diri dengan pantas di gelanggang kaca Kompleks Membeli-Belah NU Sentral membantu Datuk Nicol David (gambar) memenangi perlawanan suku akhir Terbuka Malaysia 2014, mengalahkan Annie Au dari Hong Kong semalam.

Nicol yang dalam usaha memburu kejuaraan kesembilan mencatat kemenangan straight set 11-9, 11-5, 11-5 untuk melangkah ke separuh akhir hari ini.

Bagaimanapun, pemain nombor satu dunia itu mengakui masih mencari rentak ketika beraksi set pertama selain cuba menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang hingga membenarkan Annie memberikan tekanan kepadanya.

"Saya cuba untuk menyesuaikan diri dengan lantunan bola dan pada suatu ketika agak panik, sedangkan Annie berjaya mengambil kesempatan atas situasi itu," katanya selepas tamat perlawanan semalam.

Foto


Jelasnya, selepas mula mendapat rentak dia berjaya mengatasi Annie tanpa sebarang ruang diberikan kepada pemain nombor sembilan dunia itu.


"Pada set ketiga saya mula mempertingkatkan permainan dan gembira kerana berjaya mencatat kemenangan 3-0, namun saya sedar dia cuba untuk memberi tekanan kepada saya dengan melakukan beberapa pukulan bahaya selain menerapkan corak menyerang.

"Bagaimanapun, saya lebih berhati-hati dan tidak mengambil mudah tentangan diberikannya," kata Nicol yang bakal bertemu pemain Mesir, Raneem El Welily di separuh akhir nanti.

Sebelum itu, Raneem menumpaskan pemain England, Sarah-Jane Perry 11-4, 6-11, 12-10, 13-15, 11-6, manakala satu lagi perlawanan separuh akhir menemukan Amandy Sobhy dari Amerika Syarikat dengan seorang lagi pemain Mesir, Nour El Tayeb.

Ditanya mengenai pertembungan dengan Raneem, Nicol, 30, mengakui mana-mana pemain sudah pasti bersedia untuk beraksi di separuh akhir, begitu juga dengan dirinya.

"Kemenangan straight set ini memberi keyakinan kepada saya. Banyak yang saya belajar ketika bertemu dengan Raneem, satu saingan sengit bakal berlaku nanti," katanya yang pernah tewas kepada pemain nombor tiga dunia itu pada perlawanan akhir Terbuka Malaysia 2012.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Lantai licin jejas aksi Nafiizwan

Posted: 21 Aug 2014 11:45 AM PDT

Kuala Lumpur: Lantai gelanggang licin menjejaskan rentak pemain negara, Nafiizwan Adnan untuk melakukan kejutan ke atas pemain pilihan nombor satu, Mohamed Elshorbagy di Terbuka Malaysia 2014 apabila tewas di suku akhir semalam.

Nafiizwan terpaksa akur dengan kehebatan dan pengalaman Elshorbagy apabila kalah 5-11, 9-11, 3-11 dalam perlawanan yang buat julung kalinya diadakan di Kompleks Membeli-Belah NU Sentral.

Menurut pemain kelahiran Kuala Terengganu itu, permukaan lantai yang licin sedikit menggusarkannya tatkala kakinya masih lagi mengalami kecederaan.

"Memang gelanggang agak licin, masalah ini timbul sejak beberapa tahun sebelum ini dan ramai pemain yang merungut.


"Memang agak memalukan apabila langsung tidak ada perubahan daripada penganjur," katanya selepas perlawanan tamat semalam.


Pada masa sama, pemain berusia 28 tahun itu mengakui Elshorbagy seorang pemain hebat berikutan statusnya di ranking nombor tiga dunia.

Kekalahan Nafiizwan itu bermakna tidak ada wakil pemain lelaki negara beraksi di peringkat separuh akhir hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

PKBM digantung!

Posted: 21 Aug 2014 11:44 AM PDT

Putrajaya: Sukan berbasikal negara terpalit dengan detik hitam apabila Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (gambar) mengarahkan Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail memulakan langkah pertama untuk menggantung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) berkaitan peruntukan kewangan yang disalurkan antara 2011 hingga 2013.

Khairy mengambil keputusan itu selepas mengadakan mesyuarat kira-kira dua jam bersama Panel Penasihat Sukan (PPS) pagi semalam bagi membincangkan dengan lebih lanjut siasatan audit dalaman Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dilakukan pada awal tahun ini berhubung dana yang diperuntukkan kementerian.

Lebih serius, Khairy yang enggan mendedahkan jumlah peruntukan kewangan disiasat, tidak menolak kemungkinan akan memanjangkan siasatan itu kepada pihak berkuasa kerana terdapat kemungkinan wujudnya unsur jenayah.

"Selepas meneliti maklumat dan lampiran diberikan, saya dapati PPS mengemukakan laporan yang adil, terperinci dan menyeluruh. PPS membuat kesimpulan dengan wujudnya begitu banyak pelanggaran terhadap perlembagaan, salah urus kewangan, konflik kepentingan, kekurangan tanggungjawab yang serius serta berlanjutan terlalu lama oleh PKBM. Saya membuat keputusan untuk menggantung pendaftaran PKBM atas Seksyen 14 Akta Pembangunan Sukan 1997.

Foto


"Saya sudah meminta Shapawi mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada PKBM hari ini (semalam) bagi memberi peluang kepada mereka mengemukakan sebab tidak boleh menggantung mereka. Tempoh menjawabnya 14 hari," kata Khairy.


Arena Metro dua minggu lalu melaporkan mengenai PKBM bakal digantung selepas PPS memuktamadkan keputusan dan pendirian mereka berhubung isu berkenaan.

Isu PKBM bermula susulan kegagalan skuad lebuh raya negara memenangi emas di Sukan SEA 2013 walaupun badan induk berkenaan mendapat peruntukan kewangan bernilai jutaan ringgit yang disalurkan KBS setiap tahun untuk membangunkan pelumba lebuh raya.

"Secara keseluruhan, PPS mendapati berlakunya beberapa kesilapan dan keputusan yang melanggar perlembagaan mereka sendiri. Kami dapati beberapa kelemahan mengenai tatacara kewangan dikendalikan PKBM serta berlakunya konflik kepentingan dalam keputusan yang dibuat berkaitan pengurusan kewangan.

"KBS juga bersalah kerana memberikan kepercayaan terlalu tinggi kepada PKBM hingga mereka tidak dipantau sewajarnya dalam tempoh yang saya maksudkan (2011-2013)," katanya.

Mengenai nasib pelumba negara, Khairy berkata, sepatutnya tiada sebarang masalah timbul sekiranya digantung kerana beliau boleh melantik jawatankuasa sementara untuk mentadbir PKBM dalam tempoh tidak melebihi 12 bulan selain boleh mengarahkan untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) bagi memilih kepimpinan baru.

Menjelaskan prosedur yang akan diambil, Khairy menambah, PKBM perlu memberikan jawapan dalam tempoh 14 hari selepas surat tunjuk sebab dikeluarkan dan sekiranya digantung, mereka boleh mengemukakan rayuan kepadanya dalam tempoh 30 hari.

"Alasan penggantungan (sekiranya digantung) adalah kerana PKBM gagal dalam pengurusan kewangan dan akibat pentadbiran tidak teratur serta menghindarkan pembangunan sukan berbasikal di Malaysia mengikut Seksyen 20," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

PKBM sedia balas surat tunjuk sebab

Posted: 21 Aug 2014 11:42 AM PDT

Kuala Lumpur: Harapan untuk Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) tidak digantung tipis, namun badan induk berkenaan bersedia membalas surat tunjuk sebab dikeluarkan Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail.

Bagaimanapun, Presiden PKBM Datuk Abu Samah Wahab enggan mengulas lanjut isu itu kerana masih belum menerima sebarang surat.

"Saya rasa sekiranya surat dihantar, ia perlu dijawab, namun hingga kini kami belum mendapatnya.

Selepas melihat surat berkenaan baru saya boleh memberikan komen lanjut," katanya.

PKBM di ambang penggantungan selepas siasatan dijalankan unit audit dalaman Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didapati ada penyelewengan berhubung peruntukan kewangan yang disalurkan kepada badan berkenaan untuk membangunkan atlet lebuh raya negara.

Audit itu mendapati kelemahan ketara dalam pengurusan kewangan yang dianggap serius sehingga menyebabkan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar memanjangkan kepada Panel Penasihat Sukan (PPS) untuk membuat penelitian lebih lanjut dan memberikan cadangan tindakan yang boleh diambilnya.

Hasilnya selepas PPS bermesyuarat lima kali selain turut memberikan peluang kepada semua pihak terbabit mengemukakan pandangan, mereka mencapai satu keputusan dengan Khairy semalam yang mengumumkan proses permulaan kepada penggantungan PKBM.

Malah, surat tunjuk sebab itu menurut Khairy adalah peluang ketiga diberikan kepada PKBM untuk menjawab segala persoalan dibangkitkan selepas proses audit dalaman KBS selain turut berpeluang memberi keterangan kepada PPS.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

PPS siasat aduan Shapian

Posted: 21 Aug 2014 11:40 AM PDT

Kuala Lumpur: Pesuruhjaya Sukan Ahmad Shapawi Ismail tidak memandang ringan dakwaan Timbalan Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Mohd Shapian Ali berhubung status dua persatuan negeri, Kelantan dan Perlis menjelang mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk berkenaan yang dijadual hujung bulan ini.

Shapawi menjelaskan pihaknya masih belum menerima sebarang aduan rasmi, namun bersedia menyemaknya selain menasihatkan PSM supaya mengambil tindakan sewajarnya.

"Kami akan meneliti dakwaan membabitkan dua persatuan berkenaan," katanya.

Shapian menerusi laporan Arena Metro mendakwa terdapat ahli gabungan yang tidak sah yang dijangka hadir dan mengundi pada AGM, di salah sebuah hotel di Johor Bahru nanti, dijadualkan 31 Ogos ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Terengganu itu menggesa Pejabat Pesuruhjaya Sukan memainkan peranan lebih aktif bagi memastikan AGM itu berjalan dengan telus.

Setiap ahli gabungan dibenarkan menghantar tiga wakil bagi menentukan pemilihan pucuk pimpinan badan berkenaan dengan Shapian bakal mencabar penyandang Datuk Ahmad Ismail bagi merebut kerusi nombor satu bagi penggal 2014-2017.

Mengenai tarikh AGM berkenaan, Shapawi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad hari ini bagi membincangkan kemungkinan mengubahnya kerana tarikh berkenaan bertembung dengan Hari Kemerdekaan negara.

a sudah memberi tarikh akhir iaitu 31 Ogos sebelum ini, Shapawi membenarkan tarikh berkenaan dipinda sebelum berlangsungnya Sukan Asia di Korea Selatan pada 19 September ini.

Sementara itu, pada majlis undian membabitkan skuad lelaki negara di Incheon, anak buah Jamaluddin Hassan berada dalam Kumpulan B bersama China dan Indonesia dalam acara berpasukan manakala acara regu, tuan rumah Korea Selatan akan memberikan cabaran sengit bersama India, Nepal dan Brunei dalam Kumpulan B.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Bincang nilai semula sasaran suku akhir: Khairy

Posted: 21 Aug 2014 11:33 AM PDT

Kuala Lumpur: Sasaran suku akhir ditetapkan buat skuad bola sepak bawah 23 tahun negara (B-23) di Sukan Asia Incheon mungkin berubah selepas Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyatakan kesediaan untuk membincangkan semula perkara itu dengan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Undian bagi acara bola sepak diadakan semalam dan menyaksikan Malaysia berdepan laluan sukar menentang pasukan tuan rumah dan juara tiga kali Korea Selatan, naib juara Piala AFC bawah 22 tahun tahun lalu, Arab Saudi dan Laos dalam Kumpulan A.

Khairy berkata, MOM sudah mengkaji segala faktor sebelum menetapkan sasaran itu sebelum ini, namun itu tidak bermakna keputusan itu tidak boleh berubah.

"Mengenai sasaran suku akhir itu, saya rasa nanti saya bincang dengan MOM sebelum kita buat sasaran pingat. Tapi bila MOM buat sasaran itu, mereka sudah mengambil kira segala kemungkinan termasuk keputusan undian," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat bersama panel penasihat sukan semalam.


Dalam laporan Arena Metro baru-baru ini, bekas jurulatih kebangsaan Wan Jamak Wan Hassan menyuarakan pendapat supaya MOM tidak bertindak terburu-buru dalam menetapkan sasaran untuk skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee sebaliknya menunggu sehingga keputusan undian dikeluarkan.


Ini kerana baginya, saingan pentas Asia menjanjikan saingan lebih hebat dan sejauh mana keupayaan skuad B-23 negara mampu melangkah jauh turut bergantung kepada keputusan undian itu.

Atas kertas, Korea dianggap pasukan pilihan untuk meraih satu slot ke pusingan kedua selaku juara kumpulan dan Malaysia dijangka bakal bersaing dengan Arab Saudi untuk merebut satu lagi slot itu.

Namun berdasarkan undian itu, jika Malaysia mara ke pusingan kedua selaku naib juara kumpulan, halangan lebih mencabar di peringkat kalah mati itu dalam mencari tempat ke suku akhir apabila dijangka berdepan juara Kumpulan B Uzbekistan.

"Kita tahu tahap di Asia ini tinggi, saya rasa mungkin tidak akan ada perubahan, tapi mungkin kita akan bincang," kata Khairy.

Malaysia di bawah kendalian Datuk K Rajagobal berjaya melepasi halangan peringkat kumpulan sebelum terkandas di pusingan kedua di tangan Iran 1-3.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Aura sifu

Posted: 21 Aug 2014 11:33 AM PDT

Shah Alam: "Aura Dollah Salleh." Itu hakikat yang diakui ketua jurulatih PDRM Mohd Fauzi Pilus selepas juara Liga Perdana itu menumbangkan pasukan dari Liga Super kali kedua berturut-turut malam kelmarin untuk mengukuhkan laluan ke suku akhir.

Selangor, naib juara Liga Super, menjadi mangsa terbaru PDRM selepas The Cops turut menumbangkan pasukan kelima Liga Super, Sime Darby FC (SDFC) minggu lalu.

"Sebenarnya aura Dollah masih kekal dalam pasukan. Falsafah dan pendekatan yang beliau terapkan kepada pemain, kami masih kekalkan hingga kini. "Beliau sifu kami dan membentuk pasukan menjadi seperti hari ini," kata Fauzi selepas kemenangan 2-0 mengatasi Merah Kuning di Stadium Shah Alam.

Lebih manis kemenangan itu turut disaksikan Dollah dan barisan kejurulatihan skuad negara. Dollah membawa PDRM muncul juara Liga Perdana musim ini sebelum meninggalkan pasukan apabila dilantik pengendali baru Harimau Malaya.

Foto

PEMAIN PDRM, Rafael Souza (tengah) menyekat pergerakan pemain Selangor, Abdul Hadi Yahya (kiri).


"Kekuatan kami adalah disiplin yang dipamerkan pemain walaupun berterusan ditekan Selangor sepanjang perlawanan.


"Kami tetap hormati Selangor dan melihat perjalanan masih jauh berbanding pasukan Liga Super, namun kami sentiasa memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan," katanya.

Kemenangan itu membolehkan PDRM gah mendahului Kumpulan D namun Fauzi tetap melihat pasukannya sebagai pasukan bukan pilihan pada setiap perlawanan dengan aksi menentang pasukan kedua tercorot Liga Super musim ini, T-Team esok.

Atas kertas PDRM dilihat tidak mempunyai sebarang masalah untuk meraih tiga mata, namun Fauzi tetap waspada kerana lawan mempunyai pengalaman luas beraksi di liga elit negara dan perlu dihormati.

"Malah saya perlu menilai proses pemulihan pemain kerana dua perlawanan awal ini nampaknya memberikan impak yang agak teruk selepas pemain memberikan aksi terbaik dalam kedua-duanya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

ATM tagih tiga mata

Posted: 21 Aug 2014 11:30 AM PDT

Kuala Lumpur: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhasrat meraih tiga mata penuh apabila melayan kunjungan Kelantan di Stadium Shah Alam malam esok, selepas hanya mengumpul dua mata dalam dua aksi kumpulan C yang berkesudahan dengan keputusan seri.

Bermula dengan aksi pertama bertemu Pulau Pinang yang menyaksikan anak didik kendalian B Sathianathan seri 1-1 di halaman sendiri, kunjungan di Larkin berakhir seri tanpa jaringan biarpun diasak bertali arus barisan penyerang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) yang ditunjangi penggempur import, Luciano Figueroa.

Justeru, finalis Piala Malaysia 2012 itu tidak mempunyai pilihan selain wajib menumbangkan The Red Warriors untuk melayakkan diri dalam kumpulan maut buat mengisi dua slot teratas bagi mara ke peringkat kalah mati.

"Jika masih bercita-cita untuk layak ke suku akhir, pemain tiada pilihan selain mesti mendapatkan tiga mata dan tidak boleh lagi seri atau kalah.

"Kelantan kini berada dalam prestasi terbaik walaupun pada aksi pertama mereka kalah, tapi bangkit meraih kemenangan pada aksi kedua.

"Namun, saya lebih risau apabila kami bakal kehilangan tiga lagi tonggak utama yang cedera, Norfazly Alias, Thinagaran dan Fabrice Noel.

"Mereka mengalami kecederaan dalam aksi dengan Johor DT.

Fabrice dan Fazly rasanya terpaksa disisihkan manakala Thina akan saya pantau dalam sesi latihan untuk melihat sama ada boleh diturunkan.

"Sudahlah sebelum ini ramai yang cedera, sekarang tambah lagi tiga pemain dan situasi ini memang mencabar buat kami.


Lebih sukar lagi, kami wajib menang untuk memperbaiki tempat dalam kumpulan," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pertemuan menentang juara Liga Super itu, ATM turun tanpa pemain tengah, Affize Faisal Mamat yang terbabit dalam kemalangan tempoh hari dan pemain sayap, Christie Jayaseelan yang masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.


Hasil keputusan seri menyaksikan Johor DT berada di puncak Kumpulan C dengan empat mata disusuli Kelantan, tiga mata berikutan kejayaan 3-1 ke atas Pulau Pinang manakala ATM yang meraih dua keputusan seri di tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

'Bukan salah pemain'

Posted: 21 Aug 2014 11:29 AM PDT

Shah Alam: Pengendali Selangor Mehmet Durakovic tidak mahu menyalahkan anak buahnya walaupun gagal meneruskan rentak kemenangan pada pertemuan menentang PDRM, malam kelmarin.

Dua jaringan pada setiap babak menerusi penalti Ali Ashfaq dan Charles Souza Chad di Stadium Shah Alam membolehkan The Cops membawa pulang tiga mata berharga untuk mendahului Kumpulan D dengan enam mata.

"Kesilapan sendiri menyebabkan kami tewas.

Kami menguasai 10 minit awal perlawanan, namun disebabkan insiden Bunyamin (Umar) dilayang kad merah, kami merana.

Kami cuba memberikan tekanan hingga babak kedua, tetapi lawan bagus.


Mereka mendapat satu lagi peluang dan memanfaatkannya," katanya.

Usaha Merah Kuning memburu kemenangan di laman sendiri tersentak seawal minit ke-12 apabila kapten Selangor itu dilayang kad merah kerana mengasari penyerang PDRM Ashfaq dalam kotak penalti dan pemain Maldive itu tenang menewaskan Mohd Farizal Marlias.

"Bukan mudah apabila bermain 10 pemain dalam sebahagian besar permainan dan ketinggalan satu gol.


Tiada apa yang membimbangkan saya, gembira dengan pemain yang ada kerana mampu bergelar naib juara Liga Super.

Masalah kami terpaksa bermain 10 pemain, namun kami juga pernah menewaskan Terengganu 4-1 (dalam Liga Super) walaupun kekurangan seorang pemain," katanya.

Tegas Durakovic, anak buahnya perlu segera kembali ke landasan kemenangan apabila menentang Sime Darby FC, esok dengan tiga mata dianggap penting untuk mencerahkan peluang Merah Kuning melangkah ke suku akhir.

Selangor kini terikat tiga mata dengan T-Team selepas dua perlawanan manakala SDFC kendalian Ismail Zakaria tanpa sebarang mata.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

Waspada ancaman China

Posted: 21 Aug 2014 11:28 AM PDT

Kuala Lumpur: China menjadi ancaman terbesar skuad lelaki negara pada temasya Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bulan depan apabila dijangka bertemu negara Tembok Besar itu pada separuh akhir.

Menerusi undian dikeluarkan semalam, skuad negara mendapat bye pusingan awal dan bakal bertemu sama ada Macau atau Mongolia pada aksi suku akhir.

Dijangka mudah menewaskan kedua-dua lawan itu, Malaysia bagaimanapun hampir pasti bakal bertemu China yang bertemu sama ada Hong Kong atau Maldives di suku akhir.

Namun skuad negara berpeluang memperbaiki keputusan di New Delhi, India empat tahun lalu apabila terkandas di suku akhir selepas tewas kepada Thailand.


Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun berkata, skuad negara dari awal lagi sedar mereka bakal bertemu pasukan gergasi baik China, Indonesia atau Korea Selatan.


"Saya harap mereka dapat mempamer semangat lebih tinggi berbanding Piala Thomas pada Sukan Asia.

"Kita sudah buktikan di Piala Thomas dan berpeluang melakukannya sekali lagi tidak kira siapa lawan yang bakal ditemui," katanya ketika dihubungi semalam.

Berbanding pasukan lelaki negara, Norza bagaimanapun mengaku skuad wanita negara kurang bernasib baik apabila bertemu China di suku akhir selepas mendapat bye pada pusingan awal.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/22

No comments:

Post a Comment