Harian Metro: Arena

Harian Metro: Arena


Tok Gajah gah

Posted: 26 Aug 2014 10:32 AM PDT

Kuala Lumpur: Jaringan R Gopinathan dan Dickson Nwakaeme pada babak kedua memastikan Pahang mengutip tiga mata berharga untuk mengukuhkan cengkaman ke suku akhir.

Pemain sayap lincah itu memanfaatkan hantaran Faizol Hussain dalam kotak penalti pada minit ke-65 untuk menewaskan Mohd Farizal Harun yang sukar dibolosi sebelum itu.

Pahang menambah gol kedua menerusi sepakan penalti Dickson Nwakaeme pada masa kecederaan selepas Mohd Fauzi Roslan dijatuhkan Mohd Farizal Harun dalam kotak penalti.

Kemenangan 2-0 mengatasi FELDA United di Stadium Majlis Perbandaran Selayang itu memastikan dendam anak buah Zainal Abidin Hassan yang tewas 2-3 kepada lawan sama pada Sabtu lalu, akhirnya terbalas.

Foto

PEMAIN Pahang, Azammuddin Akil (jersi putih) diasak pemain pertahanan FELDA United, Shukor Adan.


Lebih penting kemenangan ini membolehkan Tok Gajah merampas kedudukan teratas Kumpulan A untuk mengumpul sembilan mata dengan baki dua perlawanan.


FELDA United yang kekal di kedudukan kedua dengan tujuh mata terpaksa akur dengan kekalahan pertama selepas gagal memecahkan benteng lawan yang dikemudi Damion Stewart dan Zesh Rahman.

Terdahulu Pahang seharusnya membuka jaringan menerusi Dickson Nwakaeme pada minit ke-32 yang membuat susulan percubaan Azamuddin Mohd Akil, namun berjaya dinafikan penjaga gol lawan.

Peluang terbaik anak buah Irfan Bakti Abu Salim untuk mendahului perlawanan hadir pada minit ke-61 menerusi Raimi Mohd Noor, namun dihalang Mohd Nasril Nourdin di gawang Pahang.

Pahang akan meneruskan saingan menentang LionsXII di Kuantan manakala FELDA bertandang ke Pasir Gudang menentang JDT II, Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

Johor DT selamba ratah Pulau Pinang

Posted: 26 Aug 2014 10:29 AM PDT

Johor Bahru: Johor Darul Ta'zim (Johor DT) hampir melangkah ke suku akhir Piala Malaysia selepas bergaya membelasah Pulau Pinang 5-0 pada aksi Kumpulan C di Stadium Larkin, malam tadi.

Paling mencuri tumpuan pastinya Luciano Figueroa yang menyumbat dua gol selain Jorge Pereyra Diaz dan Mohd Amri Yahyah serta pemain gantian, Hariss Harun untuk melengkapkan malam gemilang Johor DT bagi memastikan rekod bersih di laman sendiri kekal sepanjang aksi Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Sentuhan berbisa Diaz nyata memberi tuah buat skuad Harimau Selatan ketika aksi baru memasuki minit ke-2 apabila pemain import dari Argentina menewaskan penjaga gol G Jeevananthan.

Bagaikan terkejut dengan jaringan awal Harimau Selatan, skuad bimbingan K Devanmengemaskan permainan untuk menggempur gawang tuan rumah namun sukar menembusi benteng yang dikawal Marcos Antonio dan Mohd Fadhli Shas.


Tindakan pertahanan pelawat menjatuhkan Diaz dalam kotak penalti memaksa pengadil perlawanan Zulkifli Ahmad menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-28 dan Figuero mudah menyempurnakan sepakan itu.


Johor DT menambah duka anak didik K Devan apabila mencipta gol pada minit ke-39 yang berpunca dari gerakan Mohd Amri Yahyah yang melintangkan bola kepada Diaz sebelum mengumpan semula kepada pemain sayap kanan itu untuk merembat menerjah jaring.

Kesilapan Jeevananthan yang mengasari Figueroa di dalam kotak penalti mengundang padah apabila Johor DT sekali lagi dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-54 dan bekas pemain Pananthiakos FC itu tidak menghadapi masalah memanfaatkan sepakan itu.

Ketika aksi berbaki tujuh minit untuk ditamatkan sepakan lintang Mohd Amri tepat kepada pemain gantian Hariss yang menanduk masuk bagi memastikan kemenangan 5-0 milik Johor DT.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

ATM bedil Kelantan

Posted: 26 Aug 2014 10:26 AM PDT

Kota Bharu: Kelantan gagal memanfaatkan peluang beraksi di tempat sendiri apabila tewas 1-2 kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, malam tadi.

Keputusan itu juga menyaksikan The Gladiators berjaya menebus kekalahan 0-3 di tangan The Red Warriors di Stadium Shah Alam pada pusingan pertama.

Hairudin Omar menjadi wira pasukan kendalian B Sathianathan selepas menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-86.

Usaha pasukan kendalian Goerge Boateng berhasil apabila Forkey Doe berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-42 hasil lorongan Mohd Fitri Omar sekali gus menceriakan penyokong.


Pada minit ke-52 pemain sayap, Ahmad Fakri Saarani melakukan percubaan, namun palang gol menjadi penghalang meskipun penjaga gol ATM Syed Adney Syed Hussien sudah tergamam melihat rembatan itu.


ATM bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-77 menerusi Manuel Arostegui yang bijak melepasi perangkap ofsaid selepas menerima hantaran Hairudin dan melakukan tampanan sekali gus menewaskan penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Hairudin kemudian memusnahkan impian tuan rumah apabila menanduk masuk bola sepakan percuma Irwan Fadzli Idrus.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

JDT II hanya pungut satu mata

Posted: 26 Aug 2014 10:25 AM PDT

Singapura: Johor Darul Ta'zim II (JDT II) gagal melebarkan kemenangan ke atas LionsXII apabila terpaksa berpuas hati dengan satu mata selepas terikat 2-2 di Stadium Jalan Besar, malam tadi.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Fandi Ahmad terlebih dulu bermula garang dengan pemain LionsXII, Hafiz Sujad menjaringkan gol pertama ketika perlawanan baru berusia 38 saat.

Kegembiraan itu tidak kekal lama selepas JDT II menyamakan kedudukan pada minit kesembilan menerusi Yusof Abidin.

JDT II yang dilihat menguasai permainan pada babak kedua, menambah jaringan menerusi Akmal Ishak yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-56.

Skuad bimbangan Azmi Mohamed itu gagal mencatatkan kemenangan selepas Faris Ramli menjaringkan gol kedua LionsXII pada minit ke-82.

JDT II sebelum ini menundukkan LionsXII, 2-1 di Stadium Pasir Gudang, Sabtu lalu.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

Tiada masalah!

Posted: 26 Aug 2014 10:24 AM PDT

Kuala Lumpur: Kekentalan benteng Selangor bakal teruji menentang Sime Darby FC di Stadium Shah Alam, malam ini apabila turun tanpa dua tonggak utama.

Merah Kuning masih belum dapat menggunakan pertahanan kanan yang juga kapten Mohd Bunyamin Umar kerana penggantungan kad merah dan tonggak pertahanan tengah Shahrom Abd Kalam yang mengalami kecederaan tangan.

Perkembangan itu sedikit menggugat anak buah Mehmet Durakovic yang sememangnya mempunyai pilihan terhad di barisan pertahanan, namun hakikat itu dinafikan seorang lagi tonggak pertahanan tengah Selangor, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang tidak mahu menjadikannya sebagai alasan untuk mereka tidak meneruskan rentak kemenangan.

"Saya rasa tiada masalah walaupun kami kehilangan mereka berdua.

Cuma mungkin berlaku perubahan posisi oleh jurulatih seperti meletakkan Steve Pantelidis kembali sebagai pertahanan tengah berbanding posisi pemain tengah bertahan sebelum ini.

"Cuma sedikit kebimbangan adalah soal kepimpinan ketika perlawanan berlangsung dengan Shahrom sebelum ini banyak memberikan peringatan dan arahan kepada rakan sepasukan yang lain.

"Namun saya dan Pantelidis akan cuba memainkan peranan yang lebih aktif agar rakan sepasukan lain sentiasa berwaspada sepanjang permainan," kata pemain kelahiran Kelantan itu.

Selangor yang mengumpul enam mata kini memburu kemenangan ketiga bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kumpulan D untuk ke suku akhir ketika PDRM yang sudah mengumpul sembilan mata hampir pasti meraih salah satu tiket seandainya menewaskan T-Team di Kuala Terengganu.

"Kami tidak mempunyai pilihan selain mempamerkan corak permainan seperti Sabtu lalu bagi memburu kemenangan.


"Semangat yang sama untuk meraih kemenangan perlu diteruskan kerana saingan semakin sengit untuk muncul 16 pasukan terakhir.

"Lawan tidak boleh dipandang mudah kerana mereka sudah membuktikan kemampuan pada Sabtu lalu mampu menguasai perlawanan dan mengancam kubu pertahanan," katanya.

Pada Sabtu lalu, jaringan Paulo Rangel dan Ahmad Hazwan Bakri memastikan kemenangan 2-0 Selangor ke atas Sime Darby di Stadium Majlis Perbandaran Selayang namun lawan turut mendapat beberapa peluang untuk meledak jaringan.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

The Cops enggan ambil mudah T-Team

Posted: 26 Aug 2014 10:23 AM PDT

Seremban: Biarpun sudah mampu menarik nafas lega kerana hanya selangkah saja untuk ke suku akhir Piala Malaysia, pemain skuad Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan tidak mudah berasa selesa kerana masih ada baki tiga perlawanan perlu diharungi.

Sehubungan itu, cabaran menentang T-Team di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah Kuala Terengganu, malam ini, perlu disudahkan dengan kemenangan bagi mengesahkan tempat ke kelompok lapan pasukan terbaik.

Jurulatih Mohd Fauzi Pilus berkata, pemain pasukan yang sinonim dengan jolokan The Cops itu, perlu terus bekerja keras dan meneruskan rentak terbaik untuk memastikan tiga mata penting itu.

Katanya, biarpun T-Team yang dibimbing Anuar Abu Bakar dijangka bakal memberikan tentangan sengit dan mahu menebus kekecewaan selepas mereka kecundang 1-4 dalam aksi di Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi, Sabtu lalu, namun pemain PDRM tidak boleh kehilangan rentak.

"Yang penting pemain perlu terus fokus sepanjang tempoh perlawanan dan tidak melakukan sebarang kesilapan mudah yang boleh menjejaskan keputusan positif yang ingin dicapai," katanya semalam.

Menurutnya, pihaknya mengakui tidak akan membuat banyak perubahan pada kesebelasan utama, namun menyedari perlunya menyusun strategi lebih baik kerana cabaran T-Team tidak boleh dipandang rendah walaupun PDRM sudah meraih kemenangan ke atas pasukan itu di laman sendiri.

Mohd Fauzi berkata, pihaknya tetap waspada dan sentiasa melihat semua pasukan dalam Kumpulan D mempunyai kelebihan tersendiri dan perlu dihormati, apatah lagi T-Team memiliki kelebihan beraksi di gelanggang sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

Tetap waspada

Posted: 26 Aug 2014 10:22 AM PDT

Kuala Lumpur: Laluan mudah dari pusingan pertama hingga ketiga tidak boleh dipandang ringan pemain perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei ketika dalam usaha memburu trofi Kejohanan Dunia buat kali pertama sepanjang kariernya.

Awal pagi semalam, Chong Wei tidak berdepan masalah mengenepikan pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun, 21-11, 21-12.

Chong Wei memerlukan 45 minit untuk mengalahkan pemain muda Korea itu yang kini menghuni tangga ke-32 dunia.

Hari ini pemain nombor satu dunia itu dijangka mampu mengenepikan lawannya dari Jerman, Dieter Domke pada pusingan kedua di Ballerup Super Arena.

Domke yang pernah meraih pingat perak Kejohanan Remaja Eropah 2005, mengejutkan pemain India, Kashyap Parupalli 26-24, 13-21, 21-18.

Bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu tetap menghormati lawannya yang sekadar menduduki ranking ke-43 dunia.

"Saya tetap hormatinya walaupun dalam dua pertemuan di Piala Sudirman tahun lalu dan Kejohanan Dunia 2009 Hyderabad, saya mengalahkannya," katanya selepas perlawanan pusingan pertama.

Jelasnya, yang penting baginya pada Kejohanan Dunia ini terus kekal fokus tanpa memandang rendah semua lawan dihadapinya.

"Setakat ini memang saya belum beraksi pada tahap terbaik, tetapi jika asyik fikirkan kecederaan (kekejangan otot), ia akan mengganggu fokus," katanya.

Sebelum ini, jurulatih Tey Seu Bock pernah menasihatkan Chong Wei melupakan seketika kecederaan dialami yang memaksanya berehat dua bulan dan tidak beraksi pada Sukan Komanwel 2014 Glasgow.

Jika berjaya mengalahkan Domke, Chong Wei dijangka bertemu pemenang pertemuan Scott Evans (Republik Ireland) dan David Obernosterer (Austria).

Cabaran sebenar Chong Wei hanya bermula di suku akhir apabila dijangka bertemu pemain China, Wang Zhengming atau jaguh Hong Kong, Wei Nan yang menumpaskan pemain sensasi Jepun, Kento Momota di pusingan pertama kelmarin.

Foto
Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

Hajat tak kesampaian

Posted: 26 Aug 2014 10:21 AM PDT

Kuala Lumpur: Hasrat pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing untuk membalas dendam kekalahan kepada Chris Adcock-Gabrielle Adcock di Sukan Komanwel 2014 Glasgow tidak kesampaian apabila tewas di pusingan kedua Kejohanan Dunia 2014 Copenhagen, semalam.

Pei Jing yang kembali bergandingan dengan Tan Aik Quan mengakui pilihan keempat dari England itu sukar dikalahkan apabila mereka tewas 16-21, 9-21 dalam tempoh 33 minit.

Menurut pemain kelahiran Kuantan itu, bukan mudah menumpaskan pasangan kelima dunia itu, tetapi sekurang-kurangnya mereka belajar sesuatu.

"Mereka mempunyai pengalaman luas, walaupun kita sudah berusaha mempelajari teknik permainan pasangan itu sebelum masuk gelanggang," kata pemain berusia 22 tahun itu.

Sebelum ini Pei Jing sudah menanamkan hasrat untuk melakukan kejutan bersama Aik Quan serta membalas dendam jika bertemu pasangan suami isteri itu selepas mereka tewas dalam acara berpasukan campuran.

"Saya berasa lebih bermotivasi walaupun kami kalah lagi, kali ini tidak lagi sedih seperti sebelum ini," katanya yang beraksi buat kali kedua di Kejohanan Dunia bersama Aik Quan.

Tahun lalu mereka beraksi buat kali pertama di kejohanan ini dan tersingkir seawal pusingan pertama selepas kalah kepada pasangan China, Tao Jiaming-Tang Jinhua 19-21, 7-21.

Sementara itu, pasangan wanita negara, Ng Hui Lin-Ng Hui Ern tidak berdepan masalah mara ke pusingan kedua apabila menundukkan wakil Nigeria, Tosin Damilola Atolagbe Fatima Azeez 21-4, 21-10 Mereka akan bertemu pilihan ke-14 dari Belanda, Eefje Muskens-Selena Piek yang mendapat bye.

Foto

HARAPAN Pei Jing (kiri) musnah selepas tewas sekali lagi kepada pasangan Adcock.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

Ranjau menanti Arul

Posted: 26 Aug 2014 10:20 AM PDT

Kuala Lumpur: Sukan Asia Korea Selatan mungkin bakal menjadi saksi kejayaan skuad negara menempah tiket ke Sukan Olimpik Rio 2016, namun Incheon juga berpeluang menyaksikan hasrat itu tertangguh hingga kelayakan Liga Dunia tahun depan sebelum layak ke Brazil.

Kira-kira tiga minggu sebelum temasya Sukan Asia pada 19 September, pelbagai persoalan timbul mengenai kemampuan skuad negara memenuhi sasaran Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) merangkul pingat emas yang bakal mengesahkan tempat Malaysia di Sukan Olimpik.

Persoalan itu timbul selepas pelbagai kemelut dan 'drama' yang berlaku dalam skuad negara hingga mengheret kepada isu pertukaran jurulatih pada saat akhir yang kini digalas Arul Selvaraj selaku pengendali sementara, menggantikan Muhammad Dhaarma Raj Abdullah.

Jika gagal meraih pingat emas, kelayakan Liga Dunia pada tahun depan menjadi pilihan terakhir untuk skuad negara layak ke Brazil bagi menamatkan kemarau gagal layak ke Sukan Olimpik sejak 2000.

"Kita boleh layak andai setiap pemain kembali bersatu hati dan mengubah perangai masing-masing kepada lebih positif.

"Jika tidak, lupakan saja kerana tanpa kerjasama dalam pasukan serta persepsi positif setiap pemain, sukar untuk kita membentuk sebuah pasukan mantap," kata bekas ketua pasukan negara Mohamad Abdul Hadi.

Ditanya sejauh mana keyakinannya terhadap Arul, Mohamad percaya bekas penolong jurulatih skuad negara ketika di bawah bimbingan Paul Revington itu mempunyai 'ilmu' mencukupi untuk membimbing skuad negara.

"Walaupun sekadar pembantu kepada Revington di Afrika Selatan, Ireland dan Malaysia, sedikit sebanyak sudah pasti Arul mempelajari sesuatu daripada Revington.

"Inilah masanya untuk membuktikan keputusan MHC memilihnya tepat," katanya.

Di Incheon, skuad negara diletakkan dalam Kumpulan A bersama gergasi Asia Korea Selatan, Jepun, Bangladesh serta Singapura.

Kumpulan B pula menyaksikan juara bertahan Pakistan, India, China, Oman dan Sri Lanka.

Foto

ARUL pikul amanah besar bawa pasukan negara layak ke Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

Tengku Abdullah impi kilauan emas

Posted: 26 Aug 2014 10:18 AM PDT

Johor Bahru: Sudah tiba masanya skuad hoki negara bangkit memperbaiki prestasi untuk memastikan pingat emas diraih di Sukan Asia Incheon, Korea Selatan, bulan depan.

Justeru, Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah melaungkan cabaran kepada barisan skuad bimbingan Arul Selvaraj untuk layak ke final bagi memburu kilauan emas.

"Saya harap sangat kami meraih emas kerana ia menjadi sasaran utama MHC.

Tiada alasan untuk pemain tidak mempamerkan aksi terbaik untuk ke final.

"Ketika Paul Revington membimbing skuad hoki negara kami sudah menetapkan sasaran emas.

Sudah tiba masanya kita cuba sedaya upaya mendapatkan emas itu," kata Tengku Abdullah.

Mengulas mengenai Kejohanan Hoki Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor yang akan diadakan di Stadium Taman Daya, 12 Oktober ini, Tengku Abdullah berkata, saingan itu menyediakan medan untuk pemain muda mempamerkan aksi terbaik.

Katanya, skuad negara akan diwakili pasukan Projek 2016 dan akan bersaing dengan juara bertahan, India, Great Britain, Australia, Pakistan dan New Zealand.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/27

No comments:

Post a Comment